Selasa, September 28, 2010

Ratibul Haddad - Pandangan Pejabat Mufti

Rupa-rupanya pihak Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Sarawak telah pun memberikan pandangan mereka mengenai Ratib al-Haddad. Ianya dibuat setelah suatu pertanyaan dikemukakan kepada pihak mereka suatu ketika dahulu oleh seorang muhibbin dan ese telah berhasil mendapatkan salinan jawapan pihak Pejabat Mufti tersebut yang bertarikh 21 Syawal 1419H / 8 Februari 1999, iaitu kire-kire 12 tahun dahulu.

Isi kandung surat tersebut antara lain memperakui bahawa Imam al-Haddad adalah seorang alim dan warak, seorang mahaguru, ustaz, penulis, penyair, seorang pemimpin dakwah dan seorang yang mempunyai pendidikan dari keturunan al-Husaini al-Hadrami asy-Syafi`ie. Juga dinyatakan bahawa menurut kajian dan pengalaman pihak Pejabat Mufti, RATIB AL-HADDAD ADALAH BAIK DAN SESUAI UNTUK DIAMALKAN kerana dalam ratib tersebut tidak terdapat unsur-unsur yang bercanggah dengan syariat Islam.

Moga-moga Allah memberikan balasan kebajikan berganda kepada pihak Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Sarawak teristimewanya kepada Shohibus Samahah Datuk Haji Murtadza Haji Daud dan Shohibus Samahah Datu Haji Loling Othman bin Haji Alwi. Juga mudah-mudahan Allah merahmati dan memberikan curahan kasih sayangNya kepada mereka-mereka yang bertolong bantu atas ketaqwaan dan atas kebajikan dengan mengamal serta menyebarluas kan amalan mulia berupa ratib dan wiridnya para sholihin yang bersumberkan ajaran Sayyidul Mursalin. Inilah surat tersebut untuk tatapan para ikhwah yang budiman:-

Isnin, September 20, 2010

Doa Ka`ab al-Ahbaar

Sayyidina Ka`ab al-Ahbaar RA atau nama sebenarnya Abu Ishaaq Ka`ab bin Maati' al-Himyari adalah seorang pendita Yahudi yang memeluk Islam pada zaman pemerintahan Amirul Mu'minin Baginda 'Umar RA. Ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah menerima beliau sebagai seorang yang tsiqah (dipercayai). Amirul Mu'minin fil Hadits, Imam Ibnu Hajar al-'Asqalaani rahimahUllah, dalam karya beliau "Taqrib at-Tahdzib" jilid 2 halaman 135 menyatakan:-
Ka`ab bin Maati' al-Himyari, Abu Ishaaq, dikenali sebagai Ka`ab al-Ahbaar. Seorang yang tsiqah, daripada generasi kedua (yakni daripada kalangan tabi`in). Beliau hidup di zaman Jahiliyyah dan juga zaman Islam. Berasal dari Yaman sebelum menetap di Syam. Beliau meninggal dalam pemerintahan Sayyidina Uthman RA dalam usia melebihi 100 tahun. Imam al-Bukhari tidak meriwayatkan apa-apa daripada beliau. Manakala Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadits daripada Sayyidina Abu Hurairah menerusi beliau daripada jalan al-A'masy daripada Abu Shalih.
Selain daripada Imam Muslim, Imam Tirmidzi, Imam Abu Dawud dan lain-lain muhadditsin juga menerima riwayat hadits daripada beliau. Imam Malik bin Anas RA dalam "al-Muwaththa'", halaman 583, menukil sebuah atsar daripada Sayyidina Ka`ab berupa doa yang diamalkan beliau untuk memohon perlindungan Allah SWT daripada kejahatan ciptaanNya. Imam Malik meriwayatkan daripada Sumayyin mawla Abu Bakar daripada al-Qa'qaa' bin Hakim bahawasanya Ka`ab al-Ahbaar berkata:- Jika bukan disebabkan beberapa kalimat yang aku baca nescaya kaum Yahudi telah menyihirkan aku menjadi seekor kaldai." Maka ditanyakanlah kepadanya: "Apakah kalimah-kalimah tersebut?"


Maka beliau berkata:- " Aku berlindung dengan Zat Allah yang Maha Agung, yang tiada sesuatu melebihi keagunganNya; (Aku berlindung) dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna, yang tidak dapat dilampaui oleh orang baik maupun orang jahat; (Aku berlindung) dengan semua nama-nama Allah yang indah, yang aku ketahui dan yang tidak aku ketahui; Daripada kejahatan apa-apa yang Dia ciptakan, jadikan dan perbanyakkan [yakni kejahatan segala makhluk ciptaan Allah SWT]."

Mudah-mudahan amalan ini dapat dijadikan sarana memohon perlindungan Allah SWT daripada segala kejahatan makhluk ciptaanNya terutama sekali para ahli-ahli sihir yang telah mula berkembang biak dalam masyarakat kita hari ini.

Khamis, September 16, 2010

Berwasilahkan Junjungan SAW

Berdoa atau memanjatkan sesuatu permohonan kepada Allah melalui Junjungan Nabi SAW, itu namanya berwasilah kepada Allah dengan Junjungan Nabi SAW. Inilah antara rupa bentuk tawassul dengan Junjungan Nabi SAW. Apabila bertawassul, tidaklah bererti kita menjadikan wasilah itu sebagai matlamat, namanya pun wasilah. Junjungan Nabi SAW pernah berwasilah dengan segala anbiya` yang diutuskan sebelum baginda, bahkan Junjungan pernah berwasilah dengan hak para hamba Allah yang memohon kepadaNya dan yang berjalan menuju ke masjid (atau yang menjalani jalan menuju kepada Allah SWT). Maka tidaklah menghairankan jika kaum muslimin, para ulama dan awamnya, turut mengamalkan tawassul dalam permohonan-permohonan mereka, teristimewa pula dengan Wasilatul 'Udhzma, Junjungan Nabi SAW.

Apabila Tuanku Muhammad Faris (moga-moga Allah memelihara baginda dan menjadikan baginda pemerintah sholeh yang menjadi payung kepada sekalian rakyat Kelantan dan Malaysia) dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru, sampai ke pengetahuan alfaqir yang perwartaan Perwawai Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan dalam Warta Kerajaan Kelantan pada 22 Julai 2010, juga diakhiri dengan permohonan rahmat daripada Allah SWT berwasilahkan Junjungan Nabi SAW. Ini menunjukkan bahawa amalan bertawassul atau berwasilah dengan Junjungan Nabi SAW telah sebati dengan amalan kaum Muslimin zaman berzaman. Pada akhir undang-undang yang penting tersebut dinyatakan sebagai berikut:-
"Mudah-mudahan ALLAH yang Maha Kuasa melalui junjungan KITA NABI MUHAMMAD (Sallallahu 'alaihi wassalam) melimpahkan rahmatNya kepada Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) (Pindaan) 2010 ini selama-lamanya."
Terjemahannya dalam Bahasa Inggeris pula dengan jelas bertawassul dengan "greatness" atau jah atau kemegahannya Junjungan Nabi SAW. Ianya berbunyi sebagai berikut:-
"May Allah, Lord of the Universe, through the Greatness of OUR PROPHET MUHAMMAD (Sallallahu 'alaihi wassalam) grant His Blessing to this Law of the Constitution of Kelantan (Second Part) (Amendment) 2010 for ever and ever."
Oleh itu, janganlah nak menghukum sembarangan kaum muslimin yang memohon kepada Allah berwasilahkan Junjungan Nabi SAW. Sesungguhnya kaum Muslimin kenal siapa al-Khaliq dan siapa makhluk. Sebagai peringatan bagi semua umumnya dan khususnya bagi para pencinta, penyokong, pengkagum Tuan Guru Nik Aziz (moga-moga Allah memberikan beliau umur yang panjang dengan kesihatan yang baik serta membimbing beliau agar sentiasa berada dan berbetulan atas jalan Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sebenar), ese ulangkan kembali pandangan beliau mengenai tawassul kepada Junjungan Nabi SAW. Perkara ini ese dah tulis dalam posting terdahulu bawah tajuk "Tawassul -TG Nik Aziz". Di sini ese suka menukilkan lagi pandangan beliau yang dinyatakan dalam karya beliau "Rasulullah Muhammad S.A.W. insan teladan sepanjang zaman", pada halaman 175 - 176, Tok Guru menulis, antara lain:-
Oleh yang demikian, apabila telah mengetahui bahawa mengambil berkat dengan sesuatu itu bererti mencari kebaikan melaluinya. Maka fahamlah bahawa bertawassul ataupun bertabarruk dengan kesan-kesan baginda itu adalah suatu perkara yang digalak dan disyariatkan oleh Islam. Lebih-lebih lagi mengambil berkat daripada zat Nabi yang mulia.

Mengambil berkat daripada kesan Nabi itu tiada beza antara semasa hidup ataupun selepas baginda wafat. Kerana para sahabat di zaman hidup Rasulullah SAW mengambil berkat dengan air basuhan wuduk baginda, ataupun air peluh dan juga air ludah serta rambut baginda. Kesan-kesan itu sama sahaja selepas wafatnya, semuanya bukanlah suatu yang hidup dan keadaannya sama semasa hayat baginda.

Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam Sahih Bukhari. Ramai orang menjadi sesat selepas kewafatan Rasulullah SAW, kerana dalam hati mereka tiada kasih kepada baginda. Mereka telah menidakkan tawassul terhadap zat baginda selepas wafatnya. Mereka menganggap bahawa kesan keberkatan Rasulullah SAW itu telah habis apabila baginda wafat. Jika bertawassul selepas baginda wafat bererti bertawassul kepada suatu yang tidak berkesan.

Hujah seperti itu menunjukkan bahawa mereka sebenarnya jahil mengenai Rasulullah SAW. Persoalannya, adakah semasa hayat baginda ia memberi kesan? Sedangkan kesan hanya datang daripada Allah SWT sebagai Khaliq, tiada makhluk yang memberi kesan. Tiada siapa pun boleh mendakwa bahawa Rasulullah SAW boleh memberi kesan secara peribadi semasa hayatnya. Kerana dakwaan itu telah disepakati boleh membawa kerosakan akidah.

Para sahabat mengambil berkat daripada kesan-kesan baginda, bukan kerana baginda boleh memberi kesan. Tetapi baginda adalah seafdal-afdal manusia di muka bumi ini. Seluruh makhluk di langit atau di bumi, hanya Rasulullah SAW sahaja orang yang menjadi kesayangan Allah SWT. Baginda juga menjadi rahmat Allah kepada seluruh alam. Ia adalah tawassul disebabkan Rasulullah SAW sangat akrab dengan Allah SWT, melalui bagindalah seluruh makhluk mendapat rahmat daripada Allah SWT.
الله ربي، محمد نبي
الله يا الله بجاه رسول الله
الله يا الله بجاه رسول الله
الله يا الله بجاه رسول الله
صلى الله عليه و سلم

Khamis, September 09, 2010

تقبل الله منا و منكم

Insya-Allah, esok, Jumaat 10 September, kita akan menyambut 'Aidul Fitri. Maka ese dengan rendah hati mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua ikhwah, maaf zahir dan batin. Semoga hari raya ini lebih bermakna dalam kehidupan kita, bukan sekadar sesuatu yang hanya datang dan pergi begitu sahaja saban tahun. Di hari yang mulia ini juga kita dianjurkan untuk saling ziarah menziarahi untuk bermaafan dan menyambung tali silaturahim sesama kita, juga untuk saling doa-mendoakan dengan ucapan-ucapan keselamatan dan kesejahteraan agar memperolehi kebahagiaan yang hakiki lagi abadi dengan diterimanya segala amal-amal sholeh kita. Ucapan "Selamat Lebaran", "Selamat Hari Raya", "'Eid Mubarak", "TaqabbalAllahu minna wa minkum" dan seumpamanya ucapan-ucapan tahniah adalah sesuatu yang dianjurkan. Bahkan dalam mazhab kita asy-Syafi`iyyah dan mazhab jumhur ulama mengucapkan ucapan-ucapan tahniah di hari raya dihukumkan sebagai sunnat atau mandub, kerana telah datang berbagai riwayat yang menyatakan mengucapkan ucapan-ucapan tahniah pada hari raya telah dilakukan sejak zaman sahabat lagi.

Antara nya apa yang diriwayatkan dengan sanad kepada Jubair bin Nufair RA yang menyatakan bahawa para sahabat Junjungan Nabi SAW apabila bertemu pada hari raya saling mengucapkan sesama mereka dengan ucapan "TaqabbalAllahu minna wa minka". Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani rahimahUllah sanad riwayat ini adalah hasan. Imam al-Ashbihaani dalam "at-Targhib wat Tarhib", juzuk 1 halaman 251 menukilkan juga riwayat ini dengan sedikit perbezaan lafaz, iaitu ucapan yang diucapkan adalah "TaqabbalAllahu minna wa minkum." Imam 'Ala-uddin ibn at-Turkamani al-Hanafi rahimahUllah, ulama hadits bermazhab Hanafi yang wafat tahun 749M/1348H, dalam karya beliau "al-Jawharun Naqiy 'ala Sunan al-Baihaqi" menukilkan sebuah hadits lain yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Ziyaad yang menyatakan bahawa dia berada bersama-sama Sayyidina Abu Umaamah al-Baahili RA dan beberapa sahabat Junjungan Nabi SAW yang lain, dan apabila mereka berpisah mereka saling mengucapkan sesama mereka dengan ucapan "TaqabbalAllahu minna wa minkum."

Imam al-Qalyubi rahimahUllah pada hasyiahnya atas kitab Minhajuth Thaalibiin, pada halaman 310 menulis satu faedah seperti berikut:-

Mengucapkan ucapan tahniah pada hari raya-hari raya, bulan-bulan (yakni bulan-bulan seperti Ramadhan dan seumpamanya) dan tahun-tahun (yakni menjelang tahun baru), menurut Imam Ibnu Hajar hukumnya adalah MANDUB.
Oleh itu, marilah kita saling ziarah menziarahi, bermaaf-maafan, bersilatur rahim dan saling doa mendoakan. Moga kehidupan kita di hari-hari depan bertambah cerah, bertambah cemerlang, bertambah gemilang.

من العائدين و الفائزين
تقبل الله منا و منكم