Sabtu, September 30, 2006

Berzikirlah


Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: "Ucapan yang paling dikasihi Allah ada empat, iaitu:- SubhanAllah wal Hamdulillah wa La ilaha illa Allah wa Allahu Akbar". Inilah kalimah-kalimah yang paling dikasihi Allah, yang sewajarnya sentiasa basah bibir kita menyebutnya. Setidak-tidaknya didisiplinkan diri kita untuk mengucapkannya 100 kali pagi dan 100 kali petang, agar kita memperolehi kebajikan yang banyak. Sibuk mana pun kita, cubalah disiplinkan diri, disela-sela waktu yang kita ada. Imam at-Tirmidzi meriwayatkan dalam "Sunan", juzuk 5, halaman 288 - 289, sepotong hadits berdarjat hasan ghorib daripada Muhammad bin Waziir al-Waasithiy daripada Abu Sufyan al-Humairiy iaitu Sa`id bin Yahya al-Waasithiy daripada adh-Dhahhak bin Humrah daripada 'Amr bin Syu`aib daripada ayahandanya daripada nendanya bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-

من سبح الله مائة بالغداة و مائة بالعشي كان كمن حج مائة حجة، ومن حمد الله مائة بالغداة و مائة بالعشي كان كمن حمل على مائة فرس في سبيل الله أو قال غزا مائة غزوة، ومن هلل الله مائة بالغداة و مائة بالعشي كان كمن أعتق مائة رقبة من ولد إسماعيل، و من كبر الله مائة بالغداة و مائة بالعشي لم يأت في ذلك اليوم أحد بأكثر مما أتى به إلا من قال مثل ما قال أو زاد على ما قال

"Sesiapa yang bertasbih mensucikan Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka dia umpama orang yang mengerjakan 100 kali haji; Sesiapa yang bertahmid memuji Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka dia umpama orang yang menunggang 100 ekor kuda di jalan Allah, atau disabdakan baginda "orang yang berperang 100 peperangan (jihad)"; Sesiapa yang bertahlil mengesakan Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka dia umpama orang yang memerdekakan 100 orang hamba daripada keturunan Nabi Isma`il; Dan sesiapa yang bertakbir membesarkan Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka tiada seorang pun yang datang pada hari tersebut membawa pahala amalan yang lebih banyak daripadanya selain orang yang mengucapkan takbir seperti yang dia baca atau lebih banyak lagi."

Besar sungguh rahmat dan kemurahan Allah, sungguh Allah itu asy-Syakuur, amalan yang sedikit dan ringan diganjariNya dengan berlipat-lipat kali ganda. Masih mahu lari ke tuhan-tuhan lainkah kita, ketuhanan yang palsu semuanya, selain Allah al-Haq. Kerajaan bagi bonus sebulan gaji, kita sudah gembira (yang tak gembira tu, kena demand le lebih kat Pak Lah), naik gaji 10%, kita gembira, Ini Allah balas ganjaran entah berapa peratus lipat gandanya (yang faham matematik kira sendiri, aku dah tak cukup jari nak kira), tak percaya lagikah kita kepada kasih sayang Allah terhadap hamba-hambanya yang beramal. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa menjadi hamba-hamba yang taat beramal kebajikan, Allah tidak akan mempersia-siakan amalan hamba-hambaNya yang tulus beramal.



Jumaat, September 29, 2006

Shalawat Badawi

Inilah shalawat masyhur yang dinisbahkan kepada Wali Quthub Sidi Ahmad a-Badawi rahimahullah. Tok Syaikh Wan 'Ali Kutan al-Kelantani rahimahullah dalam kitabnya "al-Jawharul Mawhub" halaman 29 menulis, antara fadhilat shalawat ini seperti berikut:-
Telah menyebut kebanyakan daripada orang yang 'arifin bahawasanya shalawat ini telah mujarrab bagi menunaikan segala hajat dan membukakan bagi segala dukacita dan menolakkan segala bala` dan menghasilkan segala anwar dan asrar. Dibacakan dia tiap-tiap hari 100 kali.
Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahullah dalam "Afdhalush Shalawat" juga membuat nukilan sebagaimana di atas daripada Sidi Ahmad Zaini Dahlan rahimahullah dengan sedikit tambahan, iaitu:-
.....bahkan sholawat ini mujarrab untuk segala sesuatu dan bilangan wiridannya ialah 100 kali setiap hari. Sewajarnya para muridin memulakan suluk mereka dengan shighah sholawat ini .....
Sebahagian ulama, termasuklah Kiyai Agung Muhammad bin 'Abdullah as-Suhaimi BaSyaiban, telah memasukkan ucapan salam dengan menambahkan kalimah "sallim" dalam shalawat tersebut, dan shighah inilah yang biasa kita dengar kerana telah dipopularkan dengan irama yang mendayu menusuk qalbu. Bagi yang suka beramal silalah, sesiapa yang tidak suka, maka janganlah membuat dosa mengeji dan mencaci orang yang membaca shalawat ke atas Nabi yang ummi yang menjadi nur segala anwar dan penyuluh umat dalam kegelapan.

Ya Allah, limpahkan sholawat
Serta salam kesejahteraan
Atas nur (cahaya) segala nur
Sir (rahsia) segala sir
Ubat segala penyakit
Pembuka pintu kesenangan
Junjungan Mawlana Muhammad yang terpilih
Bersama ahli keluarga baginda yang suci bersih
Dan para sahabat baginda yang baik berbudi
Sholawat dan salam sebanyak bilangan
Ni'mat Allah dan kelebihanNya.

Rabu, September 27, 2006

Nabi Khidhir - 4

Satu lagi posting berhubung NabiyUllah Khidhir a.s., mudah-mudahan dengan menyebut nama baginda a.s. dalam bulan yang mulia ini kita akan dapat keberkatannya. Kebetulan aku baru dapat sebuah buku karangan Allamah Syaikh Muhammad al-Jazri dengan jodol "al-Hisnul Hasin" ( الحصن الحصين ) yang diterjemah oleh Maulana Muhammad Rafeeq ibni Maulana Ahmed Hathurani dan diberi kata pengantar oleh Maulana Muhammad Taqi Usmani. Kitab asalnya memang aku kenali, tetapi aku tidak pernah memiliki dan mentelaahnya secara terperinci kerana aku merasakan bahawa ianya karangan berisikan doa dan zikir semata-mata. Rupa-rupanya tentang NabiyUllah Khidhir a.s. pun ada disebut pengarangnya pada halaman 228 di mana dinyatakan bahawa pada hari kewafatan Junjungan Nabi s.a.w., Nabi Khidhir a.s. telah menziarahi jenazah baginda yang mulia serta mengucapkan kata-kata takziah dan nasihat kepada para sahabat. Untuk lebih jelas, biar aku nukilkan semula apa yang disebut dalam buku itu, di bawah subtitle "Condolence of Sayyidona Khidr a.s.":-
According to the Hadeeth, the day Rasoolullah (Sallallaahu-alayhi-wasallam) passed away, a powerful-looking, beautiful and handsome man with a white beard came leaping across the necks of people till he reached where the sacred body of Rasoolullah (Sallallaahu-alayhi-wasallam) lay. He wept bitterly and turned towards the Sahabah (RA) and said the undermentioned words. Aboo Bakr (RA) and Ali (RA) said that he was Khidr (AS). The words are as follows:- "Surely, Allah alone grants patience in every misfortune and compensation for anything lost and substitute for anything destroyed. Return to Allah alone and flee towards Him only. In times of difficulty, His gaze is set on you (and He does not forsake you). Understand this because a genuinely unfortunate and miserable person is one who is not given any compensation for his misfortune."

Sebagaimana yang aku jelaskan dalam posting-posting terdahulu berhubungan, isu berterusan hayat NabiyUllah Khidhir sehingga masa ini adalah masalah khilafiyyah ulama. Jika ada ulama yang menafikan hayatnya sekarang, maka ada ulama lain yang mensabitkannya. Jadi tidak perlulah isu ini dijadikan punca perbalahan yang tidak berkesudahan, dan yang lebih parah lagi perbalahan yang membawa kepada kutuk-mengutuk dan keji-mengeji. Berhubung hadits mengenai ziarah dan takziah Nabi Khidhir ini, insya-Allah di lain posting aku akan nukilkan kalam ulama berhubung dengannya. Allahu a'laam.

مدد يا نبي الله يا الخضر عليه السلام

Selasa, September 26, 2006

Imam Haji Morshidi

Datuk Hakim Imam Haji Morshidi yang nama penuhnya ialah Abang Haji Morshidi bin Abang Haji Narudin (Nuruddin) bin Datuk Bandar Haji Bolhasan. Beliau dilahirkan di Kuching pada tahun 1877.

Beliau melanjutkan pengajian agamanya ke Makkah al-Musyarrafah dan menjadi murid kepada ramai ulama ternama di sana seperti Syaikh Haji Uthman bin Abdul Wahhab as-Sarawaki, Syaikh Wan Ahmad al-Fathani, Syaikh Mukhtar Bogor, Syaikh Muhammad Sa`id BabShail dan Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi. Setelah menahun di Kota Makkah selama kira-kira lapan tahun, pulanglah beliau ke Sarawak untuk menabur jasa mendidik anak bangsanya dengan menjadikan Masjid Tambi atau Masjid India atau nama rasminya sekarang Masjid Bandar Kuching sebagai pusat kegiatan dakwahnya. Di situlah juga Datuk Imam Haji Morshidi membuka sebuah madrasah pada tahun 1917 yang dinamakan sebagai Madrasah al-Mursyidiyyah ditukar namanya kepada Madrasah Islamiah. Dari Madrasah ini telah lahir ramai tokoh masyarakat dan agama, bahkan kebanyakan Mufti-Mufti Negeri menerima pendidikan formal agama dan Bahasa Arab dari madrasah ini, termasuklah mufti sekarang Datu Haji Loling Othman bin Haji Alwi. Pada tahun 1939, berpulanglah Datuk Imam Haji Morshidi ke rahmatUllah di Kuching dengan meninggalkan banyak anak murid dan alhamdulillah, almarhum ayahandaku sempat menimba ilmu dengan beliau. Oleh itu sedikit sebanyak pertautan titihan ilmu itu sampai juga kepadaku.

Sebenarnya Sarawak seperti negeri-negeri lain mempunyai ramai ulama keluaran Makkah, tetapi sejarah hidup mereka dan perjuangan serta dakwah mereka tidak banyak diketahui. Pendakwah Sarawak ada yang pergi berdakwah di kawasan-kawasan negara jiran seperti Kalimantan, dan terdapat juga tradisi berfaqir dilakukan oleh ulama-ulama Sarawak. Aku berharap anak-anak negeriku ini akan membuat usaha untuk mencari dan mendokumentasikan riwayat-riwayat hidup dan perjuangan tokoh-tokoh agama seperti Datuk Imam Haji Morshidi, Datuk Hakim Keramat, Tuan Guru Haji Baha`, Tuan Guru Haji Daud Abdul Ghani, Tuan Guru Haji Saleh Arif dan ramai lagi. Biarlah sejarah hidup mereka diketahui oleh anak bangsa kita, agar boleh dijadikan contoh dalam meneruskan perjuangan mendaulatkan Islam di tanah air ini. Menulis riwayat hidup para ulama dan sholihin adalah satu tugas yang mulia, bahkan ada ulama yang menyatakan bahawa jika seseorang menulis riwayat hidup seorang waliyUllah, kelak di hari kiamat dia akan bersama dengan wali tersebut. Ini kata-kata ulama, kalau nak percaya, percayalah, kalau tidak apa boleh buat, cuma ingat-ingatlah pada sabdaan Junjungan s.a.w. hadits baginda yang shohih bahawa "seseorang itu akan bersama-sama dengan orang yang dikasihinya." Aku terlalu dhoif dan tidak berkemampuan untuk menjalankan kerja ini, banyak cerita dan riwayat lisan yang kudengar sewaktu nembiak dolok, udah ingat-ingat lupak di ingatan. Antara yang aku masih ingat ialah mengenai cerita berkenaan Tuan Guru Haji Baha` yang meninggal sewaktu berfaqir di Batang Samarahan, alhamdulillah, aku berkesempatan bergaul dengan muridnya yang kini sudah berusia lebih 80 tahun yang menceritakan bagaimana mereka berdayung dari Batang Samarahan dengan mudahnya mudik ke Kuching membawa jenazah almarhum. Sayang sampai ke saat ini riwayat dan kisah dakwah ulama-ulama ini masih samar dan tidak dipedulikan berbanding dengan tokoh-tokoh politik semasa. Mudah-mudahan Allah menyirami roh Datuk Imam dan segala arwah para ulama serta sekalian muslimin dengan cucuran hujan rahmat dan keredhaan yang berkekalan sehingga ke hari pertemuan ........al-Fatihah.

Ahad, September 24, 2006

Martabat Puasa

Sempena keberadaan kita dalam bulan yang mulia ini. Mari kita lihat sejenak martabat amalan kita ini. Agar dengan itu boleh kita tahu dan tingkatkan kualitinya. Jangan hanya perkara dunia sahaja yang kita mahu peningkatan, tetapi soal akhirat dan amal ibadah, kita tak ambil pusing atau ambik ala kadar saja., tapi nak masuk syurga tanpa hisab, nakkan syurga firdaus yang tertinggi.....Allahu .... Allah.

Ikhwah, Fadhilatul Ustadz al-Imam as-Sayyid Muhammad Zaki Ibrahim dalam tulisannya "Khulaashah Ahkam ash-Shiyaam" menulis, antara lain:-
Puasa di sisi Ahlul Haq (khasnya ahli tasawwuf) ada 4 jenis (martabat):-
  1. Shiyaamul 'Awaam: menahan diri daripada keinginan syahwat perut dan kemaluan;
  2. Shiyaamu Khawaashil 'Awaam : menahan diri daripada dua keinginan di atas serta menjauhi segala perkataan dan perbuatan yang diharamkan.
  3. Shiyaamul Khawaash: apa yang telah disebutkan di atas ditambah dengan menahan diri daripada selain dzikir dan ibadah;
  4. Shiyaamu Khawaashil Khawaash: puasa daripada selain Allah, dan puasa ini tidak ada berbuka padanya melain tatkala hari pertemuan dengan Allah nanti.
Puasa hanya daripada keinginan syahwat, perut dan kemaluan, adalah puasa orang awam, puasa orang yang masih melakukan berbagai kelalaian (shaumul ghoofilin). Puasa ini jika ditambah dengan menahan diri daripada melakukan segala perkara yang haram, maka ianya menjadi puasa orang salik ( shaumus saalikiin : orang yang benar-benar mahu berjalan mencari keredhaan Allah). Puasa salik pula jika disertakan dengan menjaga hati daripada selain Allah dari perkara-perkara keduniaan (dunia dalam erti sesuatu yang tidak berfaedah untuk akhirat atau yang tidak menjadi amal akhirat), maka ianya menjadi puasanya orang arif (shaumul 'aarifiin). Puasa orang awam akan batal dengan makan dan minum, puasa orang salik dengan melakukan dosa kecil dan puasa orang arif dengan ingat kepada selain Allah.
Jadi dikategori manakah martabat puasa kita? Bulan puasa baru bermula, jadi masih ada masa untuk membuat peningkatan. Harap-harap puasa kita tidak sentiasanya menduduki tempat tercorot dalam carta, dengan hanya menahan daripada makan-minum semata-mata, sedangkan anggota-anggota lain masih melakukan berbagai dosa dan maksiat, mulut hanya puasa tak makan nasik tapi masih makan bangkai dengan mengumpat dan sebagainya .. Allahu .. Allah. Peringkat kita, jika tidak keseluruhan 29 - 30 hari-hari Ramadhan menjadi puasa kategori A, maka setidak-tidaknya hendaklah ada 1 atau 2 atau 3 atau beberapa hari daripada tidak ada langsung. Insya-Allah, satu kebaikan akan menarik kepada kebaikan yang lain. Tingkatkan usaha dalam mencari keredhaan Ilahi. Akhirul kalam renungilah sabdaan Junjungan Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Sayyidina Abu Hurairah secara marfu`:-

ليس الصيام من الأكل و الشرب، و إنما الصيام من اللغو و الرفث
Bukanlah puasa itu daripada makan dan minum (semata-mata), sesungguhnya puasa itu daripada segala lagha (kelalaian) dan rafats (kekejian).

اللهم تَقَبَّلْ مِناَّ صِيَامَ شَهْرِ رَمَضَانَ عَلَى مَا كَانَ فِيْهِ مِنْ تَسَاهُلِناَ


Sabtu, September 23, 2006

Marhaba Ya Ramadhan

Alhamdulillah, atas limpahan rahmatnya kita semua dapat bertemu dengan bulan Ramadhan yang mulia ini. Bulan yang penuh rahmat dan keberkatan. Bulan di mana al-Quran diturunkan kepada Junjungan Nabi s.a.w. Mudah-mudahan kita dapat melaluinya dengan penuh kesabaran kerana bagi orang yang bersabar ganjarannya tidak dapat dikira-kira dan syurga menjadi kesudahannya. Bulan Ramadhan merupakan hadiah Allah kepada umat ini, di mana pahala amalan digandakan, satu nafil diberi pahala fardhu, yang mana pahala fardhu sebillion nafil pun tak boleh nak tanding. Satu fardhu pulak dalam bulan Ramadhan diganda sehingga 70 kali ganda, masyaAllah wa SubhanaAllah. Zikir dan tasbih pula juga digandakan, Imam Tirmidzi meriwayatkan daipada al-Husain bin al-Aswad al-'Ijliy al-Baghdaadiy daripada Yahya bin Adam daripada al-Hasan bin Sholih daripada Abu Bisyr bahawa Imam az-Zuhri berkata:-

تسبيحة في رمضان افضل من الف تسبيحة في غيره

"Satu ucapan tasbih dalam bulan Ramadhan lebih afdhal daripada 1,000 tasbih dalam bulan-bulan lain.

Jadi tunggu apa lagi:-

سبحان الله، سبحان الله، سبحان الله،

سبحان الله، سبحان الله، سبحان الله،


Bahana Menulis


Dan tiadalah penulis melainkan akan mati
Dan tinggal berzaman apa yang telah ditulis tangannya
Maka jangan kau tulis dengan tanganmu selain sesuatu
Yang menyukakanmu di hari kiamat tika kau melihatnya

Renungilah akan bahr wafir yang disusun oleh Sufi Agung, Syaikh Dzun Nun al-Mishri. Moga dapat jadi panduan ketika kita menggerakkan jari-jemari menulis sesuatu. Alangkah malangnya kita jika sekiranya dalam kubur pun dosa kesesatan dan keonaran apa yang telah kita tulis terus mengalir. Malang sungguh malang, seribu kali malang, tidak sejuta juta juta juta kali malang. Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa kesalahan kita dan dosa kesalahan para penulis yang mukhlisin yang tersandung dalam menulis dan mudah-mudahan tulisan-tulisan tersebut dihapuskan agar kesalahannya tidak berpanjangan. Aamiin bi jahi Sayyidil Amiin.

Waktu Imsak


Aku sebenarnya tak gemar nak berhujah atau bermujadalah dengan orang. Tapi kekadang ianya tak dapat dielakkan. Kalaulah kita nak bersoal jawab ngan geng Ahkam Online, Hafiz Firdaus, THTL, MAZA, dan golongan yang sewaktu dengannya, maka habislah segala umur kita digunakan untuk tujuan itu. Orang lain dah sampai ke bulan, dah lepas pun bulan, kita masih dok bertelagah mengenai isu-isu khilafiyyah remeh-temeh. Kalau ada ikhwah yang bertanya, maka kalau aku ada kelapangan, aku jawablah sekadar termampu untuk menunjukkan pegangan dan hujah kita, jangan sampai ditohmah oleh puak-puak tersebut yang ulama kita tidak mempunyai hujah (macamlah geng-geng tu dan tuan guru mereka dah tahu semua hujah ulama, kena ingat ilmu itu luas bukan setakat yang deme tahu sahaja). Entahlah kenapa puak-puak tu suka sangat menimbulkan isu-isu remeh yang sebenarnya tidak perlu ditimbulkan. Tak dak kojo agaknya atau cari glamour kot (maaf le kalau aku terkasor bahso sinie, nak lepaskan goram sobab hari Ahad dah nak poso). Entahlah, Allahumma 'alaika bi ha-ulaik. Coba ikhwah pikau betul-betul, kalau seseorang mematuhi waktu imsak yang diijtihadkan oleh para ulama sebagai langkah ihtiyath berhati-hati, kira-kira 10 - 15 minit sebelum terbit fajar shodiq (masuk waktu Subuh), adakah ianya menjadikan puasanya rosak ? Sudah tentu tidak. Adakah dengan mematuhi waktu tersebut akan menyebabkan sipelakunya masuk neraka? Adakah seseorang setelah makan sahur, pergi ke masjid 20 minit sebelum waktu Subuh dan membaca Quran, boleh dianggap menyalahi sunnah? Jadi deme nak bising ngan orang yang berhenti makan 10 minit sebelum fajar, apa hal ? Kalau deme tak nak ikut, sudah, mengkedarahlah sampai dengar azan (ops...maaf terkaso bahso laie), taqlidlah kat guru-guru deme di Ahkam Online atau kat Hafiz Firdaus, tapi jangan kutuk orang lain.

Ikhwah, sebenarnya ketetapan waktu imsak sebagai ihtiyath itu punya dasarnya. Habib Hasan bin Ahmad bin Saalim al-Kaaf menyebut dalam "at-Taqriiraat as-Sadiidah fil Masaa-ilil Mufiidah" yang merupakan talkhish daripada ajaran guru-guru beliau terutama sekali al-'Allaamah al-Faqih al-Muhaqqiq al-Habib Zain bin Ibrahim bin Zain BinSmith, pada halaman 444 menyatakan, antara lain:-

و يمسك ندبا عن الأكل قبل الفجر بنحو خمسين آية - ربع ساعة

..."Dan imsak daripada makan (yakni bersahur) itu mandub (disunnatkan) sebelum fajar kira-kira sekadar pembacaan 50 ayat ( sekadar seperempat jam @ 15 minit)". Yakni seseorang itu disunnatkan melakukan imsak sebelum fajar kira-kira 15 minit atau kadar pembacaan 50 ayat yang sederhana dengan kelajuan yang sederhana. Inilah yang dimaksudkan oleh ulama kita sebagai waktu imsak yang disunnatkan sebagai langkah berhati-hati dan mengikut sunnah Junjungan Nabi s.a.w. Sedangkan imsak setelah masuk fajar adalah wajib. Oleh itu seseorang masih boleh makan-minum selepas waktu imsak tadi selagi mana waktu Subuh belum masuk kerana imsak pada waktu itu dihukumkan sunnat. Tidaklah benar dakwaan yang dibuat oleh Hafiz Firdaus & the gang yang menyatakan bahawa menetapkan waktu imsak beberapa minit sebelum fajar itu sebagai bid`ah dan tidak punya dasar dalam Islam. Ukuran minit-minit tersebut diambil daripada kadar pembacaan 50 ayat tersebut, yang merupakan kadar yang dinyatakan dalam beberapa hadits shohih sebagai senggang waktu antara sahur Junjungan s.a.w. dengan masuknya sholat. Antara hadits-haditsnya ialah yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari berbunyi:-
عَنْ أنس عن زيد بن ثابت رضي الله عنه قال تَسَحَّرْناَ مع النبي صلى الله عليه و سلم ثم قام إلى الصلاة. قلت: كم كان بين الأذانِ و السُّحُوْرِ؟ قال: قَدْرُ خَمْسِيْنَ آيةً

Daripada Sayyidina Anas meriwayatkan bahawa Sayyidina Zaid bin Tsabit r.a. berkata: "Kami telah makan sahur bersama-sama Junjungan Nabi s.a.w., kemudian baginda bangun mengerjakan sembahyang. Sayyidina Anas bertanya kepada Sayyidina Zaid:- "Berapa lamanya antara azan (Subuh) dengan masa makan sahur itu ?" Dia menjawab: "Kira-kira sekadar membaca 50 ayat."

Hadis ini menunjukkan bahawa jarak atau senggang masa antara bersahurnya Junjungan s.a.w. dan azan Subuh ialah kira-kira 50 ayat. Sekali-kali ianya tidak membawa makna yang Junjungan s.a.w. makan sahur sehingga berkumandang azan Subuh, yang jelas ialah ia menyatakan bahawa Junjungan bersahur dan berhenti kira-kira kadar pembacaan 50 ayat sebelum masuk waktu Subuh. Inilah yang difahami oleh para ulama kita sehingga menetapkan kesunnahan berimsak dalam kadar pembacaan 50 ayat tersebut yang dianggarkan pada kadar 10 - 15 minit. Senggang masa antara sahur dan masuk fajar (azan subuh) yang dinamakan sebagai waktu imsak yang dihukumkan sunnat imsak (menahan diri daripada perkara membatalkan puasa), diperjelaskan lagi dalam sepotong hadits yang juga riwayat Imam al-Bukhari berbunyi:-

عَنْ أنس بن مالك رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه و سلم و زيد بن ثابت تَسَحَّرَا، فلما فرغا من سحورهما قام نبي الله صلى الله عليه و سلم فصلى. قلنا لأنس: كم كان بين فراغهما من سحورهما و دخولهما في الصلاة ؟
قال: قدر ما يقرأ الرجل خَمْسِيْنَ آية
ً
Daripada Sayyidina Anas bin Malik r.a. bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersahur bersama-sama dengan Sayyidina Zaid bin Tsabit. Apabila kedua mereka selesai daripada sahur mereka, baginda bangun mendirikan sembahyang. Kami bertanya kepada Anas: "Berapa lamakah masa (senggang waktu) di antara selesai mereka berdua daripada sahur dan masuk mereka berdua kepada sembahyang (yakni "berapa lamakah masa antara selesai Junjungan dan Zaid bersahur dan masuknya waktu sholat Subuh"). Dia menjawab: "Sekadar 50 ayat yang dibacakan seseorang."

Begitulah ikhwah, antara dalil yang mensunnatkan penetapan waktu imsak sekadar 10 minit yang jadi amalan umat Islam. Hadits mengenai azan Sayyidina Ibnu Ummi Maktum tidaklah bercanggah dengan hadits - hadits di atas kerana hadits azan Sayyidina Ibnu Ummi Maktum menunjukkan keharusan dan bolehnya makan dan minum sehingga nyata masuk waktu Subuh, manakala hadits-hadits di atas menunjukkan sunnah Junjungan Nabi s.a.w. yang menyelesaikan makan sahur baginda kira-kira selama pembacaan 50 ayat. Oleh itu pernyataan Hafiz Firdaus yang kononnya tidak wujud penetapan waktu untuk imsak 5 - 10 minit sebelum fajar shodiq adalah pernyataan yang gegabah yang dibuat terburu-buru dan terikut-ikut kepada orang yang ditaklidkannya. Mudah-mudahan Allah memberi hidayat dan taufiq kepada Hafiz Firdaus dan kita semua serta membersihkan diri kita dari sifat ego dan ujub kepada diri dan pandangan kita semata-mata sehingga berani berlaku kurang ajar dan kurang sopan kepada para ulama yang amilin....aamiin Ya Rabbal 'Alamin bi barkati Syahri Ramadhanal Adzim.

Khamis, September 21, 2006

Sholawat Ibrahimiyyah

Malam Jumaat akhir Sya'baan, Bulan Junjungan s.a.w. ini, elok jika kita memperkatakan serba sedikit mengenai sholawat yang paling agung yang diucapkan dalam sholat. Insya-Allah, untuk sholawat-sholawat lain sabar dahulu. Untuk tujuan ini aku nukilkan keterangan mengenainya daripada kitab "Afdhalush Sholawaat 'ala Sayyidis Saadaat" karangan panutan kita Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rhm. Beliau membicarakan berkenaan sholawat ini mulai mukasurat 56 sehingga mukasurat 58, dan antara katanya:-
Inilah shighah sholawat yang paling sempurna yang ma`tsur diriwayatkan daripada Junjungan Nabi s.a.w................... Dan telah berkata Syaikh Ahmad ash-Showi bahawa Imam al-Bukhari telah meriwayatkan dalam kitab-kitab beliau yang Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:- "Sesiapa yang mengucapkan sholawat ini, aku menjadi saksinya pada hari kiamat dan pasti aku memberi syafaat baginya." Di mana hadits ini darjatnya hasan dan segala rijalnya adalah rijal yang shohih. Disebut juga oleh sebahagian ulama bahawasanya pembacaan sholawat ini 1,000 kali akan mempastikan untuk melihat Junjungan Nabi s.a.w. dalam mimpi. Dan sholawat ini dalam hadits diriwayatkan tanpa lafaz as-siyaadah, berkata al-Imam asy-Syam ar-Ramli dalam syarah "al-Minhaj" (yakni kitab "Nihayatul Muhtaj Syarah Minhaj") yang afdhalnya didatangkan lafaz as-siyaadah kerana pada mendatangkannya menyempurnakan atas apa yang kita diperintahkan (yakni telah datang firman Allah yang memerintahkan kita membesar dan menjaga kadar kemuliaan Junjungan s.a.w.) dan menambah perkhabaran atas keadaan sebenarnya (yakni keadaan bahawasanya Junjungan s.a.w. benar-benar sayyid bagi sekalian anak Adam sebagaimana dinyatakan dalam hadits) dan ianya adalah satu adab yang lebih afdhal dilaksanakan daripada ditinggal. Imam Ibnu Hajar pula berkata dalam "al-Jawharul Munadhzdhzam" bahawa penambahan lafaz sayyidina sebelum Muhammad tidaklah menjadi kesalahan bahkan ianya merupakan satu adab pada hak Junjungan Nabi s.a.w. walaupun penambahan tersebut dilakukan di dalam sholat yakni sholat fardhu. Imam al-Qastholani dalam "al-Mawaahib" (yakni "al-Mawahibul Laduniyyah" yang masyhur) menyatakan bahawa ulama telah menjadikan ajaran Junjungan Nabi s.a.w. kepada para sahabat baginda akan kaifiat sholawat ini setelah mereka menyoal baginda sebagai dalil bahawa sholawat ini adalah seafdhal-afdhal kaifiat sholawat untuk Junjungan Nabi s.a.w. kerana bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. tidak akan memilih bagi diri baginda melainkan yang paling mulia dan paling afdhal, dan rentetan daripada yang sedemikian maka apabila seseorang bersumpah untuk bersholawat atas Junjungan Nabi s.a.w. dengan seafdhal-afdhal sholawat, maka jalan untuk menunaikan sumpahnya ialah dengan mengucapkan sholawat ini, dan inilah yang dibenarkan oleh Imam an-NAwawi dalam "ar-Raudhah"....
Begitulah martabat Sholawat Ibrahimiyyah yang kita baca selepas tasyahhud dalam setiap sholat fardhu dan sunnat. Bahkan di luar sholat pun sayogia diamalkan, menjadi antara wirid sholawat kita ke atas Junjungan s.a.w. Sebahagian ulama menganjurkan jika sholawat ini dibaca dalam sholat jenazah dan di luar sholat, maka hendak ditambah ucapan salam juga untuk mengeluarkan dari kemakruhan menunggalkan sholawat tanpa salam yang sama-sama diperintahkan oleh Allah dalam ayat 52 surah al-Ahzab tersebut. Apa yang kita perlu faham ialah kemakruhan yang dinyatakan ulama ialah pada perbuatan menunggalkan sholawat tanpa salam atau salam tanpa sholawat dan bukannya pada amalan mengucapkan sholawat tersebut semata-mata atau salam semata-mata tersebut. Untuk keluar dari kemakruhan penunggalan ini, maka sekurang-kurangnya sekali hendaklah diucapkan sholawat beserta salam, jika telah dilakukan sedemikian maka memadailah, walaupun ucapan-ucapan setelah itu hanya berisikan sholawat semata-mata atau salam semata-mata. Seperti dalam dalam sholat, ucapan salam kita dahulukan pembacaannya di dalam tahiyyat sebelum sholawat, maka tidaklah berlaku kemakruhan menunggalkan tersebut.

Selanjutnya para ulama kita menyebut ada 3 tempat di mana penunggalan tersebut tidak dimakruhkan. Syaikh Muhammad bin Saalim bin Sa`id BabShil asy-Syafi`i dalam kitabnya "Is`aadur Rafiiq" mukasurat 10 menyatakan bahawa tempat-tempat tersebut ialah:- (1) ucapan sholawat itu daripada kita, maka tidaklah makruh jika daripada para nabi atau para malaikat yang mengucapkannya kerana perintah ayat tersebut ditujukan kepada kita, orang beriman, dan adalah perintah untuk bersholawat dan mengucapkan salam yang sempurna (...shollu 'alaihi wa sallimu taslima); (2) Tidak makruh penunggalan pada bacaan-bacaan yang warid di mana penunggalan berlaku seperti dalam hadits yang menyebut sesiapa yang mengucapkan pada hari Jumaat 80 kali "Allahumma sholli 'ala Muhammadin 'abdika wa rasulikan nabiyyil ummiy" diampunkan baginya dosa 80 tahun", tidaklah berlaku makruh penunggalan tersebut; dan (3) Tatkala memasuki hujrah asy-syarifah yakni makam Junjungan yang mulia, maka tidaklah dimakruhkan seseorang hanya mengucapkan "as-salamu alaika, Ya Rasulallah", tanpa ucapan sholawat. Inilah 3 keadaan di mana penunggalan tidak menjadi makruh dalam mazhab kita Syafi`i.

Penambahan tersebut boleh dibuat dengan berbagai cara, antaranya dengan menyelitkan ucapan salam selepas sholawat seperti diucapkan:

...اللهم صل و سلم على سيدنا محمد

Atau, dibuat penambahan pada hujungnya, seperti:

إنك حميد مجيد و سلم تسليما.........

Atau, ikhwah boleh buat penambahan sebagaimana diajar oleh Syaikh Muhammad Ba'Asyin dalam "Busyral Karim" juzuk 1 halaman 86, di mana pada hujung ditambah seperti berikut:-

إنك حميد مجيد و سلم تسليما كثيرا طيبا مباركا فيه...
...innaka hamidu(m) majiid, wa sallim tasliiman katsiiran thoyyiban mubaarakan fih.

Mudah-mudahan dah manfaatnya buat diriku dan kalian serta sekalian muslimin. Aamiiin.




Majlis Dzikir

Halaqah-halaqah dzikir di mana umat berkumpul biasanya dalam lingkaran berkeliling untuk sama-sama menyebut dan memuji Allah s.w.t. dan bersholawat serta bermunajat adalah satu perkara yang sudah jelas hukumnya dan tidak perlu kepada perbahasan yang panjang. Antara dalil ialah hadits shohih riwayat Imam al-Bukhari dalam "Shohih"nya pada "Kitab ad-Da`awaat" yang diriwayatkan daripada Qutaibah bin Sa`iid daripada Jariir daripada al-A'masy daripada Abu Sholih daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. di mana diriwayatkan bahawa:-
Junjungan s.a.w. bersabda:-
"Bahawasanya Allah mempunyai malaikat-malaikat yang tugas mereka ialah mengelilingi segenap pelosok bertujuan mencari ahli dzikir. Maka apabila mereka menemui satu kaum (yakni satu kumpulan manusia) yang sedang berdzikrullah, mereka pun berseru sesama sendiri (yakni sesama malaikat tadi): "Marilah kepada hajat (tuntutan / tujuan) kamu (yakni tugas mereka mencari ahli dzikir tadi)".
Junjungan meneruskan sabdaan:
"Maka malaikat-malaikat tersebut menyelubungi mereka (yakni kaum yang berdzikir itu) dengan sayap-sayap mereka sehingga ke langit dunia."
Junjungan
meneruskan sabdaan:
"Lalu Tuhan mereka bertanya kepada para malaikat tersebut, sedangkan Dia lebih mengetahui daripada mereka: "Apa yang diucapkan oleh hamba-hambaKu?" Para malaikat menjawab: "Mereka bertasbih kepadaMu, bertakbir kepadaMu, bertahmid kepadaMu, bertamjid kepadaMu (mengagungkan Allah)."
Junjungan
meneruskan sabdaan:
"Maka Allah berfirman: "Adakah mereka melihatKu?"
Junjungan
meneruskan sabdaan:
"Lalu para malaikat menjawab: "Tidak, demi Allah mereka tidak melihatMu."
Junjungan
meneruskan sabdaan:
"Maka Allah berfirman: "Dan bagaimana jika sekiranya mereka melihatKu?"
Junjungan
meneruskan sabdaan:-
"Para malaikat itu berkata: "Jika sekiranya mereka melihatMu, nescaya jadilah mereka lebih kuat beribadah keranaMu, lebih kuat bertamjid keranaMu dan lebih banyak bertasbih keranaMu."
Junjungan meneruskan sabdaan:
"Allah berfirman: "Lalu apakah yang dipohon mereka kepadaKu?"
Junjungan meneruskan sabdaan:
"Para malaikat menjawab: "Mereka memohon kepadaMu akan syurga."
Junjungan meneruskan sabdaan:
"Allah berfirman: "Dan adakah mereka melihatnya (yakni melihat syurga)?"
Junjungan
meneruskan sabdaan:-
"Para malaikat menjawab: "Tidak, demi Allah, mereka tidak melihatnya."
Junjungan meneruskan sabdaan:
"Allah berfirman: "Maka bagaimana jika sekiranya mereka melihatnya?"
Junjungan meneruskan sabdaan:
"Para malaikat menjawab: "Jika sekiranya mereka melihatnya, nescaya sangat berkehendaklah mereka kepadanya, lebih sungguh-sungguh memohonnya dan lebih besar keinginan terhadapnya."
Junjungan meneruskan sabdaan:
"Allah berfirman: "Lalu dari apa mereka memohon perlindungan?"
Junjungan meneruskan sabdaan:-
"Para malaikat menjawab: "Daripada api neraka."
Junjungan meneruskan sabdaan:
"Allah berfirman: "Dan adakah mereka melihatnya?"
Junjungan meneruskan sabdaan:-
"Para malaikat menjawab: "Tidak, demi Allah, mereka tidak melihatnya."
Junjungan meneruskan sabdaan:-
"Allah berfirman: "Maka bagaimana jika sekiranya mereka melihatnya?"
Junjungan meneruskan sabdaan:-
"Para malaikat menjawab: "Jika sekiranya mereka melihatnya, nescaya jadilah mereka lebih kuat melepaskan diri daripadanya dan lebih takut lagi."
Junjungan meneruskan sabdaan:
"Maka berfirmanlah Allah: "Maka Aku persaksikan kamu bahawa sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka."
Junjungan meneruskan sabdaan:-
"Berkata satu malaikat daripada malaikat-malaikat tersebut: "Di antara mereka (yakni antara kaum yang berdzikir itu) ada fulan (yakni orang) yang bukan daripada kalangan mereka, sesungguhnya dia datang kerana sesuatu hajat keperluannya." Allah berfirman: " Mereka sekalian adalah kaum/kumpulan yang tidak celaka orang yang ada bersama mereka."
Ikhwah, inilah antara dalil yang menggalakkan perhimpunan-perhimpunan dzikir. Untuk kesimpulan buat posting ini, aku nukil perkataan almarhum Habib Ahmad Masyhur bin Thaha al-Haddad dalam bukunya "Miftahul Jannah" yang telah diterjemah dalam bahasa Inggeris oleh murid beliau Dr. Mostafa al-Badawi dengan jodol "Key to the Garden" pada halaman 116 - 117:-
This hadith indicates what merits lies in a gathering for Remembrance and in everyone present doing it aloud and in unison, because of the phrases,"They are invoking You" in the plural, and "They are the people who sit", meaning those who assemble for Remembrance and do it in unison, something which can only be done aloud, since someone whose Remembrance is silent had no need to seek out a session in someone else's company. This is further indicated by the hadith which runs, "I am with him when he remembers Me; when he remembers Me within himself I remember him within Myself, and when he mentions Me in an assembly, I mention him in a better assembly." Thus, silent Remembrance is differentiated from Remembrance said out loud by His saying, "..... remembers Me within himself," meaning "silently," and "in a better assembly," meaning "aloud".
Marilah kita sama-sama mempertingkatkan kerajinan diri untuk hadir ke majlis-majlis dzikir, termasuklah majlis-majlis ilmu yang bermanfaat. Tetapi adalah tidak benar, jika ditafsirkan majlis dzikir terhad kepada majlis - majlis ilmu sahaja sebagaimana tafsiran sesetengah geng anak Pak Wahab.

اللهم اجعلنا من الذاكرين لك كثيرا
"Ya Allah, jadikanlah kami dari golongan orang yang banyak berdzikir kepadaMu"


Rabu, September 20, 2006

Gelengan Zikir


Ikhwah, rezeki semuanya daripada pemberian Allah, dah jadi rezeki mike Ukhtina Mardhiah, tergolek bahan untuk aku buat posting pertanyaanmu. Aku cakap pasal gaya-gaya zikir dulu, hak lain tunggu dulu noooo. Ikhwah, yang kumaksudkan dengan gaya di sini ialah perlakuan zahir seseorang tatkala berzikir, yakni biasa kita lihat sewaktu berzikir ada yang mengeleng - gelengkan kepalanya ke kiri ke kanan dan sebagainya. Bagi sebahagian orang yang menerima baiah thoriqat, maka dalam ijazah zikir mereka diajar gaya-gaya tertentu sewaktu melaksanakan zikir tersebut dengan falsafahnya masing-masing. Ada yang mengajar agar tarikan kalimah "Laa" itu bermula dari bawah pusat, kemudian dibawa sehingga ke dahi kemudian diturunkan kalimah "ilaha" ke bahu kiri dan akhirnya dipalu kalimah "Allah" terus masuk ke dalam hati sanubari. Ada yang menarik kalimah "La ilaha" daripada hati sanubari sebagai isyarat mengeluarkan dan menafikan segala aghyar yang ada di dalamnya, kemudian dilontarkan ke belakang melalui bahu kanan, kemudian dikembalikan kalimah "illa" ke bahu kanan dan dipukul kalimah "Allah" ke dalam hati sanubari. Gaya-gaya ini biasanya diajar oleh syaikh yang mursyid kepada anak muridnya sewaktu menerima baiah thoriqat mereka. Bagi yang bukan ahlinya maka mereka memandang sinis perlakuan ini tanpa terlebih dahulu melihat dan mengkaji dalil dan alasan mereka berbuat sedemikian. Oleh itu, kalau nak tahu pergilah bertanya dengan mereka-mereka yang ahlinya, seperti Ustaz Jahid Haji Sidek, Prof. Dr. Harun Din dan sebagainya. Jangan tanya ngan THTL, MAZA, pilot, karang percuma free je kena bid`ah haarrrrraammmmmm.

Bagi orang awam yang tidak berthoriqah seperti di atas, mereka juga apabila berzikir, kebiasaannya dan pada umumnya, bergerak-gerak dan tergeleng-geleng kepala mereka. Sebenarnya semua ini punya sebab, alasan dan dalil. Antaranya ialah riwayat daripada Sayyidina Ali r.a. yang mensifatkan perlakuan para sahabat antaranya:-

فإذا أصبحوا فذكروا الله مادوا كما يميد الشجر في يوم الريح

"fa idza ashbahuu fa dzakarUllah maaduu kamaa yamiidusy syajar fi yawmir riih" yang bermaksud: "para sahabat apabila mereka berpagi-pagi mereka berzikrullah dalam keadaan bergerak (bergoyang) seperti goyangan pokok-pokok pada hari berangin." Perkara ini juga disebut oleh Mufti Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa`id Linggi dalam kitabnya "Faraa-idul Maatsir al-Marwiyyah lith Thoriqah al-Ahmadiyyah" di mana pada mukasurat 56 sebagai berikut:-

  • Al-Hafidz Abu Nu`aim meriwayatkan bahawa as-Sayyid al-Jalil al-Fudhail bin 'Iyyadh berkata:- "Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. apabila berzikir mereka menggerakkan badan condong ke kiri ke kanan seperti pohon kayu yang condong ditiup angin kuat." Inilah di antara cara berzikir untuk keterangan lanjut mengenai cara ini, hendaklah ia menggerakkan tubuh badannya condong ke sebelah kanan memulakan dengan perkataan nafi "La" (daripada ayat tahlil La ilaha illa Allah) di sebelah kanan kerana nafsu yang condong kepada kejahatan ada di sebelah kanan. Kemudian menyebut lafaz "Allah" ketika badannya condong ke sebelah kiri, supaya hati menerima segala cahaya dan rahsia lafaz "Allah".
Ustadz Muhibbul Aman Aly, pengasuh ruangan Istifta, Majalah Dakwah Bulanan terbitan Habib Taufiq as-Segaf dengan nama "Cahaya Nabawiy" dalam edisi 44 Th. IV Sya'ban-Ramadhan 1427H/September - Oktober 2006M telah ditanya mengenai dalil yang menjelaskan tentang cara membaca tahlil yang menoleh ke kanan dan ke kiri. Soalan tersebut dijawab:-

  • Sebenarnya tidak ada keharusan (peringatan: "harus" di sini mengikut pengertian bahasa Indonesia yang bererti "wajib atau mesti" dalam bahasa kita, jadi makna "tidak ada keharusan" ertinya "tidak ada kewajipan atau kemestian", fahami betul-betul jangan salah faham karang sosat jalan) menggerak-gerakkan kepada ke kanan dan ke kiri dalam tatacara membaca kalimat tahlil. Akan tetapi jika cara itu dapat menambah kekhusyu'an pembaca dalam menghayati makna kalimat, maka hukumnya sunnah. Sedangkan cara yang umum adalah menoleh ke kanan pada kalimah nafi (la ilaha) dan menoleh ke kiri pada kalimah itsbat (illaAllah). Cara ini berdasarkan riwayat hadits yang artinya:- "Berkata Rasulullah s.a.w. kepada 'Ali kw.: "Dengarkan perkataanku tiga kali, kemudian tirukan tiga kali dan aku mendengarkannya". Lalu Rasulullah s.a.w. mengucapkan 'La ilaha illa Allah' tiga kali dengan menoleh ke kanan pada kalimah nafi dan menoleh ke kiri dalam kalimah itsbat sambil memejamkan matanya. Demikian juga tentang gerakan badan secara spontan yang biasa dijumpai pada saat berdzikir, hukumnya adalah boleh. Karena gerakan itu merupakan reaksi spontan yang wajar ketika perasaan sedang terbawa oleh bacaan dzikir. Lihat: Bariqoh Mahmudiyah juz IV hal. 139 - 140, Mausu`ah Yusufiah hal 175.

Oleh itu, janganlah dibesar-besarkan masalah manusia berzikir dengan gerakan badan dan gelengan kepala. Aku sendiri kalau berzikir dengan duduk diam je samalah macam berjalan tak hayun tangan gamaknye, macam robot. Apa yang lebih patut difikirkan kita dan mereka yang seberang tu ialah anak-anak muda termasuk juga kekadang anak-anak tua, yang tergeleng-geleng, terloncat-loncat kat konsert Jom Heboh yang turut diadakan di Negeri Darus Sunnah yang langsung tidak sunnah. Sebenarnya banyak lagi dalil, cuma aku tak larat nak muatkan di sini. Insya-Allah, ada kesempatan di lain ketika, dua`ukum.

  • p/s - Cahaya Nabawiy online ada gak, tapi update biasanya lambat. URLnya kat:- http://www.cahayanabawiy.or.id/



Selasa, September 19, 2006

Tidur lagi

Satu lagi posting mengenai amalan sebelum tidur, harap ikhwah jangan pulak tertidur, bukan apa dah terlanjur kitab ada di tangan, apa lagi habaq mai le, kalau dah tahu jadi ingatan, kalau tak tahu, jadi tahu, betui tak, jangan jadi togey sudah. Hidup tahu, jangan hidup tak tahu.

Baiklah, kita semua sedia maklum bahawa beristighfar memohon keampunan Allah merupakan amalan yang mesti bagi kita hamba yang banyak dosa ini. Lidah hendaklah dibiasakan mengucapkan ucapan "Aku mintak keampunan Allah yang Maha Agung", mudah-mudahan dari lidah terus ke hati, tapi ada gak ulama habaq yang lidah itu cuma dalil bagi apa yang ada dalam hati. Apa-apa pun yang penting betul-betul mintak keampunan Allah s.w.t. Selain beristighfar selepas sholat, kita juga dianjurkan untuk beristighfar sebelum tidur, bahkan benar-benarlah kita mohon keampunan Allah sebelum kita tidur kerana tidur itu saudaranya mati. Imam at-Tirmidzi meriwayatkan sebuah hadits berdarjat hasan gharib dalam Sunannya pada kitab ad-Da`awaat daripada Sholeh bin 'Abdullah daripada Abu Mu`aawiyah daripada al-Washshaafi daripada 'Athiyyah daripada Sayyidina Abu Sa`id r.a. daripada Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:- "Sesiapa yang ketika merebahkan dirinya ke tempat tidur mengucapkan istighfar 3 kali, Allah akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun seumpama buih lautan, sebanyak bilangan daun pokok, sebanyak bilangan pasir halus dan sebanyak bilangan hari-hari dunia."

Selain beristighfar, Imam at-Tirmidzi juga meriwayatkan satu doa ringkas yang sayogia kita amalkan sewaktu hendak melelapkan mata kita. Doanya اللهم قني عذابك يوم تبعث عبادك (Allahumma qinii 'adzaabaka yawma tab`atsu 'ibaadak) atau setengah riwayat "tab`atsu" diganti dengan "tajma'u" yang membawa erti permohonan agar diselamatkan Allah daripada azabnya pada hari kebangkitan atau hari perhimpunan di padang Mahsyar kelak. Haditsnya diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Ibnu Abu 'Umar daripada Sufyan daripada 'Abdul Malik bin 'Umair daripada Rabi`iy bin Haraasy daripada Sayyidina Hudzaiifah al-Yamaani yang mengkhabarkan bahawa Junjungan Nabi s.a.w. apabila hendak tidur baginda meletakkan tangannya dibawah kepala baginda dan mengucapkan doa tersebut. Darjat haditsnya ialah hasan shohih. Jadi geng anak Pak Wahab tentu tak dak masalah nak amalkan...kan..kan...kan.... lainlah kalau dah tak caya sama Imam at-Tirmidzi.

Isnin, September 18, 2006

Wirid Tidur

Waktu kecik-kecik dahulu, aku diajar dengan beberapa bacaan untuk diamalkan sebelum tidur. Bacaan-bacaan tersebut dinukilkan daripada kitab tok-nenek dahulu, kitab yang masyhur, di mana rata-rata golongan tua dahulu mengenali dan memilikinya. Kitabnya tak lain tak bukan kitab "Perukunan" dikenali juga sebagai "Perukunan Besar" karangan Syaikh Abdur Rasyid Banjar. Dalam kitab itu disebut sekali akan kaifiat dan kelebihannya, dan tidaklah aku ketahui akan sumber darjat riwayatnya itu. Tetapi bagiku, bacaan-bacaan tersebut tidaklah menjadi kesalahan atau bid`ah dholalah untuk diamalkan kerana semua bacaan - bacaan tersebut adalah tsabit pada syarak, cuma kelebihan yang dinyatakan dan waktu atau kaifiyat bacaannya sahaja yang mungkin kita yang jahil ini tidak tahu samada ianya warid daripada Junjungan s.a.w. dalam rupa bentuknya tersebut. Oleh itu jika kita dituntut untuk berhusnudz dzan, maka husnudz dzan terhadap ulama terdahulu terlebihlah wajar. Tujuan aku nukilkan di sini bukanlah untuk meninggalkan riwayat-riwayat yang shohih berkenaan doa, wirid dan zikir tidur sebagaimana diketahui umum dalam banyak hadits seperti riwayat Imam al-Bukhari berkenaan Ayatul Kursiy yang jika dibaca tatkala hendak tidur dipelihara kita daripada syaitan hingga ke pagi atau hadis berhubung tasbih Siti Fathimah r.anha atau hadits Imam at-Tirmidzi yang menyatakan apabila seseorang hendak tidur lalu membaca istighfar 3 kali nescaya diampunkan akan dosa kesalahannya walaupun sebanyak buih lautan, sebanyak bintang-bintang atau dedaun pohonan, sebanyak pasir halus dan sebanyak bilangan hari dunia. Kunukilkan di sini sekadar untuk dijadikan amalan tambahan bagi sesiapa yang berkehendak, sesiapa yang tidak mahu maka tidaklah ada apa-apa paksaan, kerana kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah memang terkenal dengan sikap tasamuh yang tinggi sesama ahli kalimah "La ilaha illa Allah". Oleh itu, harap jangan ada yang nak bercekak ngan aku dalam apa yang hendak kusampaikan, kerana kalau ada yang cekak, aku pun cekak, bila sama-sama cekak maka tidaklah boleh berlawan lagi sebab satu perguruan, terpaksalah guna buah 6 tolak 6. Tapi la ni dah timbul 2 cekak pulak, satu cekak Hanafi lagi satu cekak Syafi`i, kot. Eh, melalut pulak aku dalam arena seni pertahanan diri cekak mencekak ni (p/s - aku melawak je, jadi ahli cekak tak kiralah dari kumpulan mana, jangan marah nooo sebab aku dulu pun cekak jugak). Berbalik kepada kitab "Perukunan" maka tersebutlah pada mukasurat 25 - 26 demikian itu kitab begini bunyinya: "Sabda Rasulullah s.a.w. kepada sahabat:-Barangsiapa hendak tidur, jika belum membaca Quran 30 juzuk, jangan engkau tidur, maka baca olehmu akan Fatihah 3 kali maka serasa membaca Quran 30 juzuk. Barangsiapa hendak tidur jika belum perang sabilillah jangan engkau tidur, maka baca olehmu قل هو الله احد (al-Ikhlash) 3 kali maka serasa perang sabilillah. Barangsiapa hendak tidur jika belum memerdekakan hamba 40 orang jangan engkau tidur, maka baca olehmu sholawat 3 kali maka serasa memerdekakan hamba 40 orang. Maka barangsiapa hendak tidur jika belum memberi makanan segala mukminin maka jangan engkau tidur, maka baca olehmu Allahummagh fir lil mu`miniina wal mu`minaat wal muslimiina wal muslimaat 3 kali maka serasa memberi makanan segala mukminin. Barangsiapa hendak tidur jika belum naik haji jangan engkau tidur, maka baca olehmu akan SubhanAllah walhamdulillah wa la ilaha illaAllah wa Allahu Akbar 3 kali maka serasa naik haji." Begitulah, keterangan dalam kitab "Perukunan", dan pernah juga aku terjumpa dalam kitab lain riwayat yang sedikit berbeza di mana Junjungan s.a.w. diriwayatkan bersabda kepada Siti 'Aisyah r.anha ketika hendak tidur, "Wahai 'Aisyah, jangan engkau tidur sebelum mengkhatamkan al-Quran, menjadikan para nabi mensyafaatimu kelak di hari kiamat, menjadikan semua orang Islam meredhaimu dan sebelum engkau mengerjakan haji dan umrah." Siti Aisyah r.a. bertanya kepada Junjungan s.a.w.: "Ya RasulAllah, ayah dan ibuku menjadi tebusanmu, apa yang engkau perintahkan aku lakukan empat perkara tersebut dalam waktu itu tidaklah dapat aku laksanakan." Junjungan s.a.w. tersenyum dan menyatakan:- "Apabila engkau membaca suratul Ikhlas 3 kali, maka seolah-olah engkau mengkhatamkan al-Quran, apabila engkau membaca sholawat kepadaku dan ke atas para nabi maka kami akan mensyafaatimu pada hari kiamat, apabila engkau beristighfar untuk sekalian orang mukmin, maka telah redhalah mereka akan dikau, dan apabila engkau membaca SubhanaAllah wal hamdulillah wa la ilaha illaAllah wa Allahu Akbar, maka seolah-olah engkau berhaji dan berumrah. Begitulah ikhwah, antara amalan yang disebut dalam kitab-kitab ulama dahulu. Sekadar untuk tatapan kalian, dan jika yang hendak memakainya, silalah, sesiapa yang tidak mahu, maka silalah jugak, yang penting jangan sampai tidur bersila, karang lenguh pinggang dan lutut.
اللهم اغفر للمؤمنين و المؤمنات و المسلمين و المسلمات
سبحان الله و الحمد لله و لا إله إلا الله و الله أكبر
باسمك اللهم احيا و اموت

Naskhah Pusaka "Kitab Perukunan". 


Ahad, September 17, 2006

Harakat Madani


Telah lama aku mencari-cari kaset nasyid sholawat kumpulan Harakat Madani. Sayang sehingga kini belum aku temui. Kumpulan tersebut pun sudah tak diketahui lagi ke mana perginya. Nasib ada lagi nasyid mereka kat alam siber. Nasyid yang aku gemari dalam kompilasi mereka ialah yang menganjurkan agar kita banyak bersholawat atas Junjungan s.a.w. Alhamdulillah, sesiapa yang nak dengar bolehlah cari nasyid no. 23 di bawah laman ni dengan jodol "Nur Selawat". Lirik-liriknya seperti berikut, tapi jangan dok bernasyid sampai lupa nak bersholawat:-


Banyakkanlah selawat ke atas Nabi
Memberi fadhilat yang besar sekali
Allah dan malaikat turut berselawat
Kepada Junjungan Nabi yang dikasihi

Berselawat itu menjadi sinar
Di hari akhirat mendapat syafaat
Penawar hati dari kegelisahan
Terlepas diri dari kemunafikan

Pahala selawat banyak sekali
Dimurahkan rezeki bagi yang meyakini
Pabila berdoa jangan dilupai
Semoga Allah akan memberkati

Amalan selawat elok dibiasakan
Tandalah ingatan kasih padanya
Moga keimanan kuat dirasa
Untuk mengamalkan segala sunnatnya

Wahai ikhwah budiman, Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani dalam "Afdhalush Sholawat 'ala Sayyidis Saadaat" menukilkan banyak hadits berhubung keutamaan dan fadhilat bersholawat, antaranya:-
  1. Junjungan s.a.w. bersabda:- "Sholawat ke atasku adalah nur pada hari kiamat tatkala kegelapan meniti titian Shiratul Mustaqim, maka perbanyakkanlah bersholawat ke atasku."
  2. Junjungan s.a.w. bersabda:- "Sesiapa yang mendapat kesempitan dalam menunaikan hajatnya, maka hendaklah dia memperbanyakkan sholawat ke atasku, kerana sesungguhnya sholawat menghilangkan kesusahan, kesedihan dan kesusahan, serta membanyakkan rezeki dan menunaikan hajat-hajat."
  3. Junjungan s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang suka berjumpa Allah ta`ala dalam keadaan Allah meredhainya, maka hendaklah dia banyak bersholawat ke atasku."
Bersholawat bukan sahaja keberkatannya nampak di dunia tetapi lebih cemerlang dan gemilang di negeri akhirat nanti. Keberkatan yang meratai diri pembaca dan anak keturunannya, yang melimpah ruah sehingga ke negeri yang abadi. Sungguh agung amalan bersholawat ini, bahkan Syaikh Yusuf an-Nabhani juga menyebut dalam kitabnya tadi, antara lain:- "Ketahuilah olehmu wahai saudaraku, bahawasanya jalan yang paling cepat untuk wushul ke hadhrat Allah (yakni untuk mendapat keredhaanNya serta memperolehi makrifah dan mahabbah) ialah dengan bersholawat ke atas Junjungan s.a.w. Sesiapa yang berkehendak untuk memasuki hadhrat Allah (yakni wushul tadi) sedangkan tidak membuat khidmat yang khusus untuk Junjungan s.a.w., maka kehendaknya itu adalah sesuatu yang mustahil untuk diperolehi. Ini adalah kerana dengan meninggalkan khidmatnya untuk Junjungan Rasulullah s.a.w. maka dia telah buruk adab dengan Allah ta`ala, seumpama seorang petani yang ingin berhimpun bersama sultan tanpa melalui wasithah/perantara. Maka oleh itu wajib atasmu wahai saudaraku, untuk memperbanyakkan sholawat ke atas Junjungan Rasulullah s.a.w. kerana bahawasanya khadam-khadam Rasulullah s.a.w. tidak akan diganggu oleh malaikat zabaaniah pada hari kiamat kelak demi memuliakan Junjungan Nabi s.a.w."

Oleh itu nyatalah kepada kita bahawa amalan bersholawat ini sama sekali tidak boleh diperlekeh dan diperkecilkan. Mari kita senantiasa melantunkan ucapan sholawat dan salam atas Junjungan s.a.w. dengan penuh rasa takzim dan syauq kepada Junjungan s.a.w. yang merupakan rahmat bagi sekalian alam.

Allahumma sholli 'ala Sayyidina Muhammadinin
Nabiyyil Ummiyyi wa 'ala aalihi wa shohbihi wa sallim


Sabtu, September 16, 2006

Wasilah Agung


Satu ketika, Khalifah Abu Ja'far al-Manshur daripada Daulah Abbasiyyah menziarahi maqam Junjungan s.a.w. di Kota Madinah al-Munawwarah. Khalifah tersebut telah mengajukan soalan kepada Imam Darul Hijrah, Imam Malik bin Anas r.a., dengan katanya:- "Wahai Aba Abdillah, adakah menghadap qiblat aku berdoa atau menghadap Junjungan Rasulullah s.a.w.?" Imam Malik r.a. menjawab: "Kenapa engkau hendak memalingkan wajahmu daripada baginda, sedangkan baginda adalah wasilahmu dan wasilah bapamu Nabi Adam a.s. kepada Allah. Bahkan hendaklah engkau hadapkan wajahmu kepada baginda dan mohonlah syafaat dengan baginda, nescaya Allah akan menerima syafaat baginda." Kisah ini antara lain dinukil oleh al-Qadhi 'Iyyadh al-Yahsubi dalam "asy-Syifa`" dan Imam Ibnu Hajar dalam "al-Jawharul Munadhzdzam" serta telah masyhur diketahui umum.

Dengan Junjungan s.a.w. hendaklah kita membaikkan adab, kerana beliau adalah wasilah kita yang terbesar dan selaku umat yang beriman Allah memerintahkan kita agar senantiasa mencari wasilah untuk bertaqarrub kepadaNya, baik wasilah tersebut berupa amal saleh, keimanan dan ketaatan diri kita, maupun yang ada pada para kekasihNya daripada kalangan anbiya`, awliya` dan sholihin. Lihatlah saudara sekalian, bagaimana Imam Malik r.a., seorang ulama besar dan mujtahid mutlak, cukuplah kebesaran Imam Malik ini yang Imam kita asy-Syafi`i adalah muridnya, memahami erti wasilah itu sebagai mencakup wasilah dengan Junjungan s.a.w dan tidak terbatas hanya dengan amal-amal saleh diri pribadi kita semata-mata sebagaimana yang difahami oleh segolongan ahli bid`ah zaman ini.

Keumuman makna wasilah ini sebenarnya telah diterangkan oleh ramai ulama kita yang terdahulu maupun yang datang kemudian. Contoh yang hampir dengan kita ialah penjelasan almarhum Habib Muhammad bin 'Alwi bin 'Abbas al-Maliki al-Hasani al-Makki rhm. dalam "Syifa-ul-Fuaad" yang menyatakan bahawa maksud wasilah atau `mencari jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah' seperti difirmankanNya dalam ayat 35 surah al-Maidah yang kira-kira bererti "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan untuk mendekatkan diri kepadaNya, dan berjihadlah pada jalanNya agar kamu memperolehi kejayaan" membawa maksud agar kita bertawassul kepada Allah melalui perantara yang dapat mendekatkan diri kepada Allah, samada ianya melalui tawassul dengan amal saleh maupun dengan pribadi yang mempunyai maqam dan darjat di sisi Allah s.w.t. Ini adalah kerana kalimah 'al-wasilah' dalam ayat tersebut hendaklah diertikan secara mutlak keumumannya, sedangkan membataskan tawassul hanya dengan amal-amal saleh kita sahaja tidak mempunyai alasan ynag kukuh. Tambahan pula, jikalah yang dimaksudkan al-wasilah itu hanya semata-mata amal saleh kita sendiri, maka ianya telahpun dinyatakan di pangkal ayat tersebut yang menyuruh kita bertaqwa kepada Allah kerana perintah bertaqwa itu membawa erti mengerjakan amal saleh dan meninggalkan kemungkaran. Jadi perintah yang kedua untuk mencari wasilah itu adalah perintah lain dan bukannya semata-mata menjadi penguat kepada perintah bertaqwa yang pertama.

Oleh itu, wahai ikhwah yang budiman, ketahuilah dan ingatlah pesanan Imam Malik tersebut, Junjungan s.a.w. adalah wasilah udhzma yang utama dan teragung bagi kita untuk meraih keredhaan dan rahmat Allah s.w.t. Junjungan adalah wasilah kita, bahkan wasilah bagi bapa kita, Nabi Adam a.s. Oleh itu usahlah kalian hiraukan golongan yang anti tawassul dengan Junjungan s.a.w. Tanpa baginda, siapa dan di manakah kita ?

Allahumma sholli wa sallim wa baarik 'alaih

Khamis, September 14, 2006

Nabi dalam rumah



Imam adz-Dzahabi dalam "at-Tadzkirah" dan Imam Ibnu Hajar dalam "at-Tahdzib" menaqalkan daripada Abu 'Ali Manshur bin 'Abdullah al-Khaalidi akan pernyataan Imam at-Tirmidzi berhubung karangannya "Jami` at-Tirmidzi" atau "Sunan at-Tirmidzi" di mana beliau berkata:- "Setelah aku karang akan kitab ini, maka ianya kubentangkan kepada para ulama Hijaz, 'Iraq dan Khuraasaan, lalu mereka redha dengannya (yakni mereka merestui isi kandungannya), dan sesiapa yang ada di rumahnya akan kitab ini, maka seolah-olah dalam rumahnya Junjungan Nabi s.a.w. sedang berbicara."

Inilah perkataan Imam Abu 'Isa at-Tirmidzi dalam rangka tahadduts li ni'matIllah yakni melahirkan ni'mat Allah atas dirinya setelah diizinkanNya untuk menyelesaikan "Jami` at-Tirmidzi" atau "Sunan at-Tirmidzi", karangan hadits yang amat bermanfaat bagi umat. Sungguh kitabnya itu amat bernilai di sisi umat, kitab yang dimartabatkan oleh umat sebagai antara rujukan utama. Dinyatakan dalam "Kasyfudhz Dhzunuun" bahawa al-"Jami` ash-Shohih" bagi Imam at-Tirmidzi adalah kitab yang ketiga dari Kutubus Sittah dalam ilmu hadits. Imam Ibnu Atsir pula dalam Tarikhnya menyatakan bahawa Imam at-Tirmidzi adalah seorang Imam Hafidz yang mempunyai berbagai karangan yang bermutu, antaranya ialah "al-Jami` al-Kabiir" yang mana ianya adalah sebaik-baik kitab. Manakala Imam Abu Ismaa`iil 'Abdullah bin Muhammad al-Anshaari berhubung "Jami` at-Tirmidzi" menyatakan pandangannya seperti berikut:- "Kitabnya di sisiku lebih besar manfaat daripada kitab Imam al-Bukhaari dan Imam Muslim, kerana kedua-dua kitab tersebut faedahnya tercapai hanya bagi orang 'alim yang melaut ilmunya (mutabahhir) (yakni orang yang betul-betul dapat mengambil manfaat daripada kitab Bukhaari dan Muslim adalah seorang yang benar-benar alim), dan kitab Imam Abu 'Isa sampai faedahnya kepada setiap orang."

Sungguh Imam at-Tirmidzi adalah seorang ulama dan muhaddits yang tsiqah, yang dapat dipegang akan perkataannya. Para muhadditsin terdahulu telah menyatakan kesaksian mereka atas hal ini. Imam as-Sam`aani dalam "al-Ansaab" mensifatkan beliau sebagai salah seorang Imam yang dijadikan panduan dalam ilmu hadits. Imam al-Mizzi pula mensifatkan beliau sebagai salah seorang Imam hadits berdarjat hafidz (yakni menghafal sekurang-kurang 100,000 hadits dengan sanad) yang cemerlang di mana Allah telah memberi manfaat dengan beliau akan umat Islam. Imam adz-Dzahabi dalam "al-Miizaan" pula menyatakan bahawa Imam Abu 'Isa at-Tirmidzi adalah tonggaknya para hafidz yang tsiqah dengan ijma' para ulama muhadditsin.

Ukuran kehebatan beliau bukan sahaja terletak pada kesarjanaannya dan keilmuannya semata-mata, tetapi akhlak dan pribadi serta kewarakannya pun memuncak tinggi. Muhaddits Khuraasaan al-Imam al-Hafidz al-Hakim Abu Ahmad Muhammad bin Muhammad bin Ahmad bin Ishaaq an-Nisaabuuri menukilkan perkataan salah seorang gurunya yang menyatakan bahawa setelah kewafatan Imam Muhammad bin Ismaa`iil al-Bukhaari tidak ada yang menggantikannya di Khuraasaan seperti Imam Abu 'Isa at-Tirmidzi dalam keilmuan, penghafazan, kewarakan dan kezuhudan, Imam at-Tirmidzi selalu menangis kerana takutkan Allah s.w.t. sehingga matanya buta. Imam at-Tirmidzi merupakan murid kepada Imam al-Bukhaari di mana Abu al-Fadhl al-Bailamaani menyatakan bahawa dia mendengar Nashr bin Muhammad asy-Syairkuuhi berkata bahawa dia mendengar Imam at-Tirmidzi menyatakan bahawa gurunya Imam al-Bukhari pernah berkata kepadanya:- "Tidaklah aku menjadi manfaat bagimu lebih daripada engkau menjadi manfaat bagiku." Inilah kesaksian guru beliau Muhaddits Agung Imam al-Bukhaari terhadap dirinya.

Ini antara sanjungan para ulama terhadap Imam at-Tirmidzi dan kitab haditsnya tersebut. Sungguh perkataan dan ijtihad Imam Besar ini dalam menetapkan darjat sesuatu hadits hendaklah masuk dalam perkiraan kita dan dihormati jikapun tidak diikuti. Mari kita hadiahkan bacaan al-Fatihah buat Imam at-Tirmidzi yang banyak jasa kepada umat serta lain-lain ulama dan muhadditsin.....al-Fatihah.

Ahad, September 10, 2006

Yaasin Hati al-Quran

Ikhwah, aku ada membaca artikel yang ditulis oleh (Dr.) Mohd. Asri Zainal Abidin (MAZA) dengan jodol "Yasin sebagai Qalbul-Quran?" kat website Darul Kautsar yang dikatakan sebagai website geng Maulana Asri al-Kelantani yang mendakwa sebagai ahli hadits. Dalam artikel itu MAZA telah menyatakan bahawa hadis "Inna li kulli syai-in qalban wa qalbul Quraan Yaasin" yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dalam "Jami' at-Tirmidzi" sebagai hadits maudhu/palsu. Jadi MAZA telah menuduh dan mentohmah Imam at-Tirmidzi sebagai meriwayatkan hadits palsu dalam kitab haditsnya yang masyhur itu yang termasuk dalam sunan sittah rujukan utama Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Mengenai Imam at-Tirmidzi dan Jami` atau Sunannya tersebut, tidak ada ulama Sunni yang berselisih untuk menjadikan ianya sebagai salah-satu rujukan utama. Para ulama telah memuji dan meletakkan karangannya itu ke satu tempat yang tinggi di sisi umat. Berhubung hadits-hadits yang terkandung dalam "Jami` at-Tirmidzi" atau dikenali juga sebagai "Sunan at-Tirmidzi" tersebut, Imam asy-Syaukani dalam "Nailul Awthar" menukilkan bahawa Imam at-Tirmidzi telah berkata:- "Aku tidak memasukkan ke dalam kitab ini melainkan hadits yang sekurang-kurangnya telah diamalkan oleh sebahagian fuqaha`".

SubhanAllah, hebat sungguh ilmu MAZA sehingga berani membuat tuduhan sedemikian hanya berpandukan kepada keterangan imam besarnya Nasir al-Albani dalam kitabnya "Silsilatul Ahaditsi al-Maudhu`ah wad Dha`ifah". MAZA telah menukil kalam tok syeikhnya tersebut yang kononnya para penganalisa hadits yang terdiri dari kalangan para ulama hadits telah menyemak sanad dan riwayat hadis ini dan menyimpulkannya sebagai hadis palsu. Ini adalah kerana seorang rawinya yang bernama Harun bin Abu Muhammad adalah seorang yang majhul. Begitulah mudahnya bagi al-Albani dan konco-konconya untuk memaudhukan sesuatu hadits atau mendhaifkan sesuatu hadits, bahkan kini ada trend orang yang mengaku dirinya muhaddits zaman ini yang menyamakan dhoif dengan maudhu (iaitu apabila dhoif maka ia maudhu).

Ikhwah, Imam at-Tirmidzi dalam komentarnya untuk hadits tersebut telah berlaku amanah apabila menyatakan bahawa Harun bin Abu Muhammad adalah seorang syaikh majhul. Lihatlah bagaimana amanahnya Imam at-Tirmidzi. Malangnya sikap amanah Imam Muhadditsin ini tidak dicontohi oleh MAZA bila dia tidak menyatakan dalam artikelnya itu bahawa kedudukan hadits ini menurut kajian Imam at-Tirmidzi adalah HASAN GHARIB dan bukannya maudhu/palsu.

MAZA juga tidak memaklumkan bahawa ada beberapa hadits lain yang menyokong matan hadits di atas walaupun sanad-sanad hadits lain ini juga dhoif. MAZA juga tidak jujur dan amanah dalam ilmu apabila tidak menyatakan perbezaan pendapat di kalangan Muhadditsin mengenai kedudukan hadits tersebut. MAZA hanya memenangkan pendapat Albani yang keilmuannya dalam ilmu hadits masih menjadi pertikaian ulama sezaman dan masa kini. Diharap MAZA dapat mengubah sikap fanatik dan taksubnya kepada Albani dan mereka-mereka yang sewaktu dengannya sehingga sanggup mentohmah Imam at-Tirmidzi sebagai periwayat hadis palsu.

Ikhwah, berbalik kepada hadits yang masyhur sebutan dan maknanya di lidah umat. Ianya diriwayatkan oleh Imam at-Timidzi pada bab "Maa jaa-a fii fadhli Yaasin" dengan rawi-rawinya sebagai berikut:-
  1. Qutaibah dan Sufyaan bin Wakii';
  2. Humaiid bin Abdur Rahmaan ar-Ruaasi;
  3. al-Hasan bin Sholih;
  4. Harun bin Abu Muhammad;
  5. Muqaatil bin Hayyaan;
  6. Qataadah;
  7. Sayyidina Anas r.a.;
  8. Junjungan Nabi s.a.w. bersabda (matan hadis seperti di atas).

Dalam komentarnya, Imam at-Tirmidzi menyatakan bahwa:- "Hadits ini HASAN GHARIB yang tidak kami ketahui (mengenainya) melainkan daripada hadits (riwayat) Humaaid bin 'Abdur Rahmaan. Dan di Bashrah tidak diketahui ianya daripada hadits riwayat Qataadah melainkan dari wajah ini. Dan Harun Abu Muhammad syaikhun majhulun." Inilah penelitian yang dibuat oleh Imam at-Tirmidzi berhubung hadits di atas.

Imam at-Tirmidzi juga telah membawa satu lagi sanad bagi hadits tersebut melalui jalan Abu Musa Muhammad bin al-Mutsanna daripada Ahmad bin Sa`id al-Darimi daripada Qutaibah daripada Humaiid bin Abdur Rahman dan seterusnya seperti sanad yang pertama tadi. Selain dari itu, Imam at-Tirmidzi juga menyatakan dalam bab ini ada riwayat daripada Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. akan tetapi sanadnya tidak shahih bahkan dhoif dan juga telah datang satu riwayat daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a.

Syaikh Abul 'Ula Muhammad 'Abdur Rahman bin 'Abdur Rahiim al-Mubaarakpuuri (1283 - 1353) pengarang kitab "Tuhfatul Ahwazi bi Syarhi Jaami' at-Tirmidzi" membahaskan hadits ini dalam jilid ke-3 dari mukasurat 196 - 198. Bagi pernyataan Imam at-Tirmidzi bahawa hadits ini HASAN GHARIB, Imam al-Mubaarakpuri tidak menyatakan apa-apa komentar atau bantahannya terhadap ketetapan tersebut dan ini bermakna bahawa dia bersetuju dengan ijtihad Imam at-Timidzi berhubung kekuatan hadits tersebut. Bahkan dia juga menyatakan bahawa hadits ini juga dikeluarkan oleh ad-Darimi. Dia juga menyatakan hadits Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. yang dimaksudkan oleh Imam at-Tirmidzi tersebut adalah sebagaimana dikatakan oleh al-Hafidz Ibnu Katsir dalam tafsirnya bahawa hadits as-Siddiq r.a. tersebut telah diriwayatkan oleh al-Hakim at-Tirmidzi dalam kitabnya "Nawaadir al-Ushuul". Perlu diingat bahawa al-Hakim at-Tirmidzi adalah seorang ulama lain dan bukannya Imam at-Tirmidzi. Adapun hadits Sayyidina Abu Hurairah r.a., maka Imam Abu Bakar al-Bazzaar berkata bahawa telah memberitahu 'Abdur Rahman bin al-Fadhl lalu disebutkan segala sanadnya dengan lafaz hadits: - Inna li kulli syai-in qalban, wa qalbul Quran Yaasin" (Bahawasanya bagi setiap sesuatu itu hati, dan hati al-Quran ialah surah Yaasin).

Selain hadits as-Siddiq dan Abu Hurairah tersebut, Imam asy-Syaukani dalam "Nailul Awthaar" menyatakan bahawa Imam Ahmad telah meriwayat hadits berbunyi:- "Yaasin qalbul Quraan, laa yaqra-uha rajulun yuridullah wad daaral akhirata illa ghufira lahu, waqra-u-ha 'ala mautaakum" (Yaasin adalah hati al-Quran, tidak membaca akan dia seseorang yang berkehendakkan (keredhaan) Allah dan negeri Akhirat melainkan diampunkan baginya, dan bacakanlah ia atas orang mati kamu." Untuk pengetahuan ikhwah, "Nailul Awthar" ini adalah syarah bagi "Muntaqal Akhbar" karangan ikutan besar puak Salafi-Wahhabi iaitu Syaikh Ibnu Taimiyyah al-Harrani.

Ikhwah, Fadhilatul Ustadz al-Imam as-Sayyid Muhammad Zaki Ibrahim dalam "al-Iskaat Barakaatul Quraan 'ala al-ahyaa-i wal amwaat" mukasurat 22 menyatakan bahawa selain diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dan ad-Darimi, hadits tersebut juga diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam "Syu`abul Iiman" (2/482) di mana Imam al-Baihaqi menyatakan, antara lain, bahawa hadits ini telah dinaqalkan dengan sanadnya tersebut daripada perkataan Abu Qalaabah yang merupakan salah seorang ulama besar dan pemuka tabi`in (min kibaari at-Tabi`in). Hadits ini juga diriwayatkan dalam "Musnad asy-Syahaab"(2/130), manakala Imam al-Qurthubi menyebutnya dalam Tafsirnya (15/2) dan menisbahkannya kepada Dhahhaaak daripada Sayyidina Ibnu 'Abbas. Imam Abu Zar`ah ar-Razi telah meriwayatkan hadits ini dalam "at-Tadwiin fi Akhbar Qazwiin lil-Rafi`i" (3/243) dan menyebut bahawa al-Khathib menceritakan mengenai hadits ini dalam "Tarikh Baghdaad".

Walaupun begitu, aku tidak menafikan ada berlaku khilaf antara muhadditsin mengenai taraf hadits riwayat Imam at-Tirmidzi tersebut. Memang ada ulama yang mendhoifkan riwayat tersebut, antaranya Imam as-Sayuthi dalam "Jami`us Shoghir". Oleh itu bagiku, serendah-rendah taraf yang sewajarnya diberikan kepada hadits riwayat Imam at-Tirmidzi tersebut adalah dhoif dan bukannya maudhu`. Jikapun dalam sanadnya ada seorang syaikh yang majhul, tetapi ianya tidaklah boleh terus dihukumkan sebagai maudhu`, kerana majhul itu juga ada kategorinya dan mempunyai perbahasan luas dan tersendiri di kalangan muhadditsin.

TINDAKAN MAZA DAN TOK GURUNYA AL-ALBANI MEMAUDHU`KAN HADITS TERSEBUT MEMPUNYAI IMPLIKASI TERSENDIRI DI MANA MEREKA SEOLAH-OLAH MENYATAKAN YANG IMAM AT-TIRMIDZI ADALAH SEORANG YANG TIDAK TELITI DALAM MERIWAYATKAN HADITS KERANA BELIAU TELAH MERIWAYAT HADITS PALSU DALAM JAMI` ATAU SUNANNYA TERSEBUT. Adakah ini mesej yang hendak disampaikan oleh MAZA kepada umat? Jika begitu dimanakah kita harus letakkan kitab rujukan umat Sunni ini ? Adakah setaraf dengan kitab "al-Kafi" puak Syiah yang bercampur-baur dengan hadits-hadits maudhu'? Jika dikatakan bahawa Imam at-Tirmidzi sebagaimana manusia biasa boleh melakukan kesilapan dalam periwayatan dan ijtihadnya, maka apa yang menegah MAZA atau al-Albani untuk tidak melakukan sebarang kesilapan dalam penelitian mereka? Jika dibandingkan Imam at-Tirmidzi yang muhaddits lagi hafiz dalam bidang hadits, dimanakah kedudukan MAZA dan al-Albani? Kalaulah MAZA berhujjah bahawa dia berpegang kepada ijtihad al-Albani untuk memaudhu`kan hadits tersebut, maka adakah ijtihad al-Albani itu wajib diikuti oleh umat ? Adakah umat ini tidak berhak untuk mengikut ijtihad Imam at-Tirmidzi yang menyatakan darjat hadits tersebut sebagai HASAN GHARIB ? Oleh itu untuk penutup, nasihatku kepada MAZA dan golongan yang sewaktu dengannya ialah HENDAKLAH KAMU BERTAQWA KEPADA ALLAH DAN BERHATI-HATILAH SERTA BERADABLAH APABILA BERBICARA MENGENAI ULAMA TERDAHULU. Allahu `a'laam.

Sabtu, September 09, 2006

Sholawat Habib Hasan BaHarun

Sempena bulan Junjungan s.a.w. yang mulia, aku muatkan di sini sholawat gubahan almarhum Habib Hasan bin Ahmad BaHarun, pengasas pesantren Darul Lughah wad Da`wah, Bangil, Pasuruan, Jawa Timur. Isinya adalah sholawat dan permohonan kesejahteraan diri, ahli keluarga, harta benda dan kaum muslimin sekaliannya dari segala bala bencana, malapetaka, kemalangan, wabak penyakit, kezaliman dan sebagainya. Mudah-mudahan ada manfaatnya buat kita sekalian dan rahmat Allah dicucurkan atas penggubahnya Habib Hasan bin Ahmad BaHarun ......al-Fatihah.

*****************

Ya Allah Ya Tuhanku
Limpahkanlah sholawat ta'dhzimMu
Atas Junjungan Maulana Muhammad
Sebaik-baik makhluk ciptaanMu

Sholawat yang dengan keberkatannya
Engkau selamat sejahterakan kami
Juga ahli keluarga kami, anak-anak kami
Kaum kerabat kami, orang yang kami cintai
Guru-guru kami, murid-murid kami
Rakan taulan kami, jiran tetangga kami
Engkau selamat sejahterakan
Segala rumah kediaman kami, masjid kami
Ma'had kami, madrasah kami,
Ladang kami, pejabat tempat kerja kami,
Sekalian tempat kami dan segala harta-benda kami,

Dari bahaya gempa bumi dan pergerakannya
Dari bahaya hujan, angin, petir dan sebagainya
Dari bahaya kereta, kapal terbang, kapal laut dan lain kenderaan
Dari bahaya wabak, bala bencana, malapetaka dan seumpamanya
Dari bahaya jin, manusia, haiwan, thoghut, syaitan dan tipuannya
Dari bahaya jatuh, binasa, terbakar, tenggelam dan segala musibah
Dari bala` pada urusan agama, dunia dan akhirat

Kabulkanlah Ya Ilahi
Demi jah tuah Junjungan Nabi Pilihan al-Musthofa
Limpahkanlah juga sholawat
Ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda
Bersama-sama salam kesejahteraan yang sempurna

********************

Rabu, September 06, 2006

Nishfu Sya'baan 2 - Syaikh Ahmad

  • Dan telah menghimpun oleh ulama akan beberapa doa yang ma`tsur yang munasabah dengan hal yang tertentu dengan malam Nishfu, membaca akan dia oleh muslimun pada demikian itu malam, berseorang diri atau berhimpun pada perhimpunan mereka itu atau pada lain-lainnya mengajar akan mereka itu oleh seorang daripada mereka itu atau pun mendoa ia dan yang lain me(ng)aminkan atasnya. Dan kaifiyatnya bahawa dibaca pada mula-mula dahulu daripada berdoa kemudian daripada sembahyang Maghrib akan surah Yaasin 3 kali. Pada bacaan yang pertama dengan niat minta panjang umur, dan yang kedua dengan niat menolakkan bala`, dan yang ketiga dengan niat terkaya daripada manusia. Dan tiap-tiap dibaca Yaasin satu kali, dibaca kemudiannya akan doa satu kali. Maka inilah doa yang tersebut (...lihat di atas).

Ikhwah, inilah kaifiyat yang disebut oleh Mufti Syaikh Ahmad Muhammad Sa`id dalam "Tuhfatul Awthan wal Ikhwan" dan yang lazim diamalkan oleh masyarakat kita. Dalam beramal tu, biarlah dengan tulus hati memohon anugerah Ilahi, baik anugerah di akhirat berupa pahala dan keselamatan di akhirat maupun anugerah nikmat zahir kat dunia yang fana ini berupa umur yang panjang lagi berkat, keselamatan dari bala bencana duniawi dan kelapangan rezeki yang halal. Bacalah dengan tenang dan betul tajwidnya, jangan berlumba mengejar masa, biar sahaja masa berlalu kerana ianya dilalui dalam keadaan kita beribadah membaca al-Quran dan bermunajat kepada Ilahi. Seelok-eloknya, kita usahakan untuk membaca 3 kali surah Yaasin kerana menurut panduan dan amalan para ulama kita. Baca Yaasin sebelum berdoa ini adalah termasuk dalam bab bertawassul dengan amal sholeh sebelum berdoa, dan tawassul ngan amal sholeh, geng anak Pak Wahab pun tak bantah. Tetapi kalau tak dapat 3 kali, sekali pun boleh, bukannya wajib, tak baca pun boleh, tapi sendiri kena ingat bahawasanya Allah tidak akan mensia-siakan amalan orang yang beramal. Kalau gopoh-gopoh takut tercicir pulak dhommah, syaddah, iqlab, ikhfa` dan idhgham bacaannya, terlanggar pulak hukum-hakam tajwid, jatuh berdosa pulak. Apa-apa pun buat yang terbaik, kemudian serah kat Allah. Yang tak nak baca Yaasin atau yang tak nak sambut Nishfu, hang pa baliklah rumah, Isya` nanti mai pulak untuk sholat berjemaah, respect sikit kat orang yang nak baca, tok sah nak tunjuk keras kepala dan kurang ajar.

Selasa, September 05, 2006

Nishfu Sya`baan - Syaikh Ahmad


Kenyataan yang ke-7 pada menyebutkan barang yang dituntut pada bulan Sya`baan yang mulia. Diriwayatkan daripada 'Atha` bin Yasaar r.a. berkata ia: "Apabila adalah malam Nishfu Sya`baan menasakhlah oleh Malakul Maut alaihish sholatu was salam akan tiap-tiap mereka yang lagi akan mati daripada Sya`baan kepada Sya`baan."

Dan bahawasa laki-laki sesungguhnya menzalim ia dan berjahat ia dan bernikah ia akan perempuan dan menanam ia akan pohon-pohon kayu, hal keadaannya telah dinaskhkan namanya daripada orang yang hidup kepada orang yang mati.

Dan tiada daripada satu malam kemudian daripada malam Lailatul Qadar yang terlebih afdhal daripada malam Nishfu Sya`baan.

Kemudian ketahui olehmu bahawasa barang yang menyuruh akan dia oleh Allah ta`ala kemudian daripada menzahir akan dia bagi malaikat alaihimush sholatu was salam tiadalah diganti akan dia dan diubahi, bersalahan barang yang belum dizahirNya bagi malaikat dan adalah ia pada al-Lauh al-Mahfuzh, maka bahawasa Allah mempadam Ia akan dia dan menetap Ia akan barang yang Ia menghendaki.

Dan telah diriwayatkan beberapa atsar dan hadits-hadits ahad memberi faedah ia akan bahawasa me(ng)hukum oleh Allah ta`ala pada itu malam yang diberkatkan akan tiap-tiap ajal dan 'amal dan rizqi hingga kepada seumpama itu malam pula pada tahun yang lain. Dan pada kebanyakan daripada akhbar simpan atas ajal-ajal sahaja.

Dan hikmah menentukan itu malam dengan demikian itu nasakh ialah menggemarkan dan menakutkan bagi mukallaf supaya gemarlah ia dahulu daripada datang itu malam pada membuat kebajikan dan takut ia daripada membuat maksiat-maksiat dan bersungguh-sungguh ia pada itu malam dengan membuat taat supaya mudah-mudahan menulis oleh Allah ta`ala pada itu malam akan bahagianya. Dan demikian juga adalah halnya kemudian pergi itu malam kerana takut daripada bahawa ditulis akan dia pada itu malam daripada orang yang mati itu tahun, maka bersedialah ia bagi berjumpa Allah ta`ala dengan membanyakkan ibadah dan amalan, maka adalah yang demikian kelakuan mereka-mereka yang ditaufiq oleh Allah ta`ala, ja`alanaAllahu minhum aamiin.

Dan berkata di dalam kitab "Tuhfatul Ikhwan" telah bersabda Nabi s.a.w.:- "Bahawasa Allah ta`ala mengampun Ia bagi sekalian muslimin pada itu malam melainkan tiada mengampun Ia bagi tukang kahaanah dan tukang sihir dan orang yang berseteru dengan menaruh dendam di dalam hati atau orang yang melazimkan minum arak atau orang yang derhaka bagi dua ibubapanya." Kemudian mendatang ia yakni al-'Allaamah al-Fasyani seumpama demikian itu daripada beberapa hadits hingga berkata ia:- "Dan telah berhimpunlah daripada beberapa riwayat bahawa mereka yang didindingkan daripada ampun dan rahmat Tuhan orang yang musyrik dan orang yang berseteru dengan menaruh dendam di dalam hati dan orang yang mengambil akan cukai dan yang membunuh orang dan yang memutuskan rahim dan yang melabuhkan akan kain hingga melampaukan tumit dan orang yang berzina dan orang yang meminum arak dan orang yang mendua muka dan orang yang membuat tashwir dan orang yang derhaka bagi ibu bapa dan orang yang menipu perniagaan dan orang yang bid`ah dan rafidhi yang adalah pada hatinya benci dan seteru bagi sahabat r.anhum ajma`in." Maka barangsiapa berperangai ia dengan sesuatu daripada ini-ini dosa nescaya luputlah akan dia oleh untung dengan ampun Allah ta`ala pada malam Nishfu daripada Sya`baan, melainkan bahawa kembalilah ia daripada dosanya dan taubat ia kepada Tuhannya dan me(ng)ikhlas ia akan taubatnya dan membasuh ia dengan air kekesalan akan kesalahannya, maka pada ketika itu memasuk oleh Allah ta`ala dengan dia akan sebaik-baik jalan dan memasuk akan dia di dalam jumlah mereka-mereka yang diampun oleh Tuhan akan dosa-dosa mereka itu. Dan barangsiapa taatkan Allah dan rasulNya maka sesungguhnya telah beruntunglah ia akan sebagai untung yang sangat besar.

Dan setengah daripada barang yang beradat pada ini malam bahawa bertambahlah padanya air zam-zam sebagai bertambah yang nyata.

Dan disunnatkan menghidup ini malam dengan beribadah. Telah meriwayat oleh al-Ashfahaani pada "at-Targhiib" daripada Sayyidina Mu`aadz bin Jabal berkata ia telah bersabda Rasulullah s.a.w.:- "Barangsiapa menghidup ia akan malam-malam yang lima wajiblah baginya syurga, malam yang ke-lapan daripada Dzulhijjah dan malam 'Arafah dan malam Raya Haji dan malam Raya Puasa dan malam Nishfu Sya`baan."

Berkata setengah ulama, dilebihkan bulan Rejab pada 'asyarnya yang pertama kerana kelebihan awal malam daripadanya, dan dilebihkan bulan Sya`baan pada 'asyarnya yang tengah oleh malam nishfu daripadanya dan dilebihkan bulan Ramadhan pada 'asyarnya yang akhir oleh kerana Lailatul Qadar padanya.

*****************************

  • Ikhwah, di atas adalah petikan tulisan seorang waliyullah al-'Alim al-'Allaamah asy-Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa`id bin Jamaaluddin al-Linqi al-Malayuwi rhm., mantan mufti Negeri Sembilan Darul Khusus, dalam karangannya berjodol "Tuhfatul Awthan wal Ikhwan" mukasurat 74 - 77. Di sisi ulama kita Ahlus Sunnah wal Jamaah, kelebihan malam Nishfu Sya`baan ini adalah sabit melalui beberapa hadits yang boleh dijadikan dalil dan hujjah dalam bab fadhail. Syaikh Muhammad bin 'Abdur Rahman al-Mubarakfuri rhm. dalam "Tuhfatul Ahwadzi bi Syarhi Jami` at-Tirmidzi", juzuk 3 mukasurat 442 menyatakan antara lain:- "...Hadits-hadits fadhilat malam Nishfu Sya`baan itu secara keseluruhan adalah hujjah yang mematahkan pendapat yang mengatakan bahawa tidak ada satu dalil pun tentang fadhilah malam Nishfu Sya'baan."
  • Buya Habib Muhammad al-Maliki telah menulis karangan khusus mengenai kelebihan dan amalan bulan Sya`baan termasuk malam Nishfunya dengan jodol "Madza fi Sya`baan". Di dalam karangannya tersebut pada mukasurat 100 - 101, Habib Muhammad al-Maliki telah menyatakan bahawa pembacaan doa yang masyhur lagi mujarrab (yakni doa Nishfu Sya`baan yang biasa orang kita baca) yang mana sebahagian besarnya diceduk dari doa yang diriwayatkan daripada Sayyidina Ibnu Mas`ud r.a. sebagaimana dikeluarkan oleh Imam Ibnu Abi Syaibah dalam "al-Mushannaf" dan Imam Ibnu Abi ad-Dunya dalam "ad-Du`a`", bersama-sama tertib susunan pembacaan surah Yaasin telah berlaku sebagai satu adat (yakni kebiasaan umat ini). Walaupun Buya al-Maliki telah memberi komentarnya berhubung penambahan kalimah "fi ummil kitab" dalam doa tersebut yang dianggapnya sebagai kesilapan penyalin, tetapi beliau sekali-kali tidak membid`ahsesatkan amalan tersebut, bahkan beliau menyatakan doa tersebut sebagai masyhur dan mujarrab serta pembacaannya beserta surah Yaasin telah menjadi satu adat kebiasaan. Berhubung dengan komen beliau di atas ianya bertitik tolak kepada pengertian "ummul kitab", sebahagian ulama mengatakan bahawa apa yang termaktub dalam "ummul kitab" atau "lauh mahfudz" itu sekali-kali tidak boleh diubah, manakala sebahagian ulama lain berpendapat apa yang ditulis dalam "ummul kitab" masih boleh ditukar menurut kehendak Allah selagimana ianya belum dizahirkan kepada para malaikat seperti penjelasan Syaikh Ahmad di atas. Di sinilah tempat berlaku khilaf antara dua golongan ulama kita ini. Perbahasan mengenainya adalah panjang, masing-masing punya dalil dan bukanlah ruang untuk orang miskin seperti kita ini mencampurinya. Apa yang penting ialah kedua-dua golongan ulama kita ini tidaklah memandang salah dan serong bagi umat menjalankan kebiasaan mereka membaca Yaasin dan doa Nishfu Sya`baan pada malam tersebut.
  • Rata-rata doa yang diamalkan oleh masyarakat kita mempunyai penambahan "fi ummil kitab" sebagaimana yang termaktub dalam kitab-kitab karangan ulama-ulama kita di sini seperti Syaikh Ahmad dalam kitabnya di atas, Syaikh Wan Ahmad al-Fathani dalam "Badaa-i'uz Zuhur" dan lain-lain ulama Melayu. Bagi diriku yang dhoif, aku lebih suka mengamalkan doa yang tanpa penambahan tersebut kerana riwayat daripada Sayyidina Ibnu Mas`ud tidak mengandungi penambahan itu dan doa Nishfu Sya`baan himpunan al-Imam al-Habib al-Quthub Hasan bin Syaikhul Islam al-Habib al-Quthub 'Abdullah al-Haddad juga tidak memuatkan penambahan "fi ummil kitab" tersebut. Tetapi tidaklah menjadi kesalahan bagi seseorang untuk berpegang dengan doa yang dengan tambahan itu kerana ianya juga mempunyai sandaran kepada sebahagian ulama yang 'amilin lagi mukhlishin lagi banyak jasa lagi tak sombong lagi tak ego lagi tak jual agama lagi tak suka membid`ahsesatkan sesama umat lagi tak suka mensyirikkan sesama umat lagi tak suka mengkafirkan sesama umat. Akhirul kalam dengan pernyataan Buya Maliki bahawa amalan membaca Yaasin dan berdoa dengan doa Nishfu Sya'baan telah berlaku menjadi adat kebiasaan umat, maka tertolaklah dakwaan geng Salafi Gadungan yang syok sendiri bahawa hanya orang Malaysia saja dok buat amalan ini. Oleh itu, peganglah panduan para ulama kita dan biarlah geng-geng salafi-wahhabi-asri-thtl-zain.y.s.-wahidah-rasuldahri terojun ngan labu-labu mereka. Allahu a'laam.