Jumaat, Julai 29, 2022

Shalawat Sidi Syamsuddin

Faqir pernah menulis sedikit tentang Shalawat Sidi Syamsuddin al-Hanafi @ Sulthanul Hanafi rahimahullah, kali ini faqir sambung sedikit lagi tentang shalawat yang berkat ini, yang faqir petik dari Afdhalush Shalawat bagi Sayyidi Yusuf an-Nabhani rahimahullah. Dalam kitab tersebut, Syaikh Yusuf an-Nabhani menukil akan perkataan Sidi Ahmad Zaini Dahlan dan Imam asy-Sya'rani yang menyatakan bahawa shalawat ini memiliki asrar dan keajaiban yang banyak sehingga tidak dapat hitung. Maka tidak hairan jika ada ahli - ahli thariqah dan ahli - ahli shalawat yang menjadikan shalawat ini sebagai wirid harian mereka.

Selanjutnya sukalah faqir kongsikan di sini kisah mimpi Syarif Nu'mani mengenai Shalawat Sidi Syamsuddin al-Hanafi sebagaimana dinukil oleh Syaikh Yusuf an-Nabhani dalam kitabnya tersebut pada halaman 98, yang beliau nukil dari Thabaqat Imam asy-Sya'raani rahimahullah, sebagai berikut:- Maka adalah asy-Syarif an-Nu'mani radhiyaAllahu `anhu, salah seorang sahabat Sidi Muhammad (al-Hanafi) radhiyaAllahu `anhu berkata: " Aku telah mimpi bertemu datukku, Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, baginda berada dalam satu khemah yang besar, lalu berdatanganlah para wali kepada baginda untuk bersalam seorang demi seorang. Terdapat seorang penyeru yang menyebut nama mereka seorang demi seorang, "ini fulan bin fulan." Kemudian mereka pun duduk berdekatan dengan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam sehingga datang satu rombongan manusia yang ramai. Maka penyeru tadi berkata: "Ini Muhammad al-Hanafi." Apabila beliau sampai di hadapan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, baginda mempersilakannya duduk di sisi baginda. Kemudian Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menoleh kepada Sayyidina Abu Bakar radhiyaAllahu `anhu dan Sayyidina Umar radhiyaAllahu `anhu, lalu baginda bersabda sambil mengisyarat kepada Sidi Muhammad al-Hanafi: "Sesungguhnya aku kasih akan lelaki ini, cuma serbannya serban ash-shamma`" (iaitu serban tanpa `adzbah, yakni juluran yang dibelit atau ekor, di mana menurut segelintir ulama hukumnya makruh), atau sabda baginda "serbannya warna za'faran (juga dimakruhkan oleh sebahagian ulama)." Maka Sayyidina Abu Bakar radhiyaAllahu `anhu pun berkata kepada baginda: "Wahai Rasulullah, adakah paduka tuan mengizinkan aku untuk melilit semula serban baginya?" Baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Ya." Lalu Sayyidina Abu Bakar radhiyaAllahu `anhu mengambil serban dirinya dan menjadikannya di atas kepala Sidi Muhammad, beliau melepaskan ekor (`adzbah) serban Sidi Muhammad dari pihak kiri dan melilitnya bagi Sidi Muhammad. 

Ketika kisah ini diceritakan kepada Sidi Muhammad, beliau menangis dan hadirin yang mendengarnya pun menangis sama. Beliau berkata kepada asy-Syarif Muhammad an-Nu'mani: "Jika engkau melihat lagi datukmu shallaAllahu `alaihi wa sallam, tanyakan kepada baginda bagi pihakku: "Apakah amalan tertentu (yang dalam sesetengah thariqat dinamakan sebagai " al-`imarah") daripada amalan - amalanku (sehingga aku dapat kemuliaan tadi)." Selang beberapa hari, asy-Syarif an-Nu'mani kembali bermimpikan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam lalu beliau bertanya mengenai amalan istimewa Sidi Muhammad. Maka baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda kepadanya bahawa amalan tersebut adalah pembacaan shalawat yang dilakukan oleh Sidi Muhammad dalam khalwat beliau setiap hari sebelum terbenam matahari dengan lafaz: "Allahumma shalli `ala Muhammadinin Nabiyyil Ummiy, wa `ala aalihi wa shahbihi wa sallim, `adada maa `alimTa, wa zinata ma `alimTa, wa mil-a ma `alimTa." Ketika kisah ini diceritakan semula kepada Sidi Muhammad, beliau berkata: "Benarlah Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam"....

Allahu ... Allah, maka dapat diperolehi dari kisah ini bahawa shalawat ini merupakan amalan yang dianggap istimewa oleh Sultanul Hanafi, Sidi Syamsuddin Muhammad al-Hanafi rahimahullah yang puluhan tahun menduduki maqam quthub. Sebagai penutup, faqir kongsikan pernyataan Syaikh Ahmad Abdul Jawwad rahimahullah sebagaimana tercatat pada halaman 60 karya beliau yang berjodol Shalawat al-Muhibbin `ala Habibi Rabbil `Aalamiin. Beliau menyatakan bahawa: (Mudah - mudahan) sesiapa yang bershalawat dengan shalawat ini dihimpunkan bersama - sama dengan para muqarrabin di hadhrat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam serta dipakaikan dengan pakaian kemuliaan dan kemegahan. Semoga bermanfaat dan bertambah shalawat kita terutama pada hari Jumaat yang mulia, lebih - lebih lagi ini Jumaat terakhir bagi tahun hijrah 1443H. Selamat sejahtera hendaknya, berkat shalawat Nabi dan berkat tuah jah baginda.

Selasa, Julai 26, 2022

Yaasin Fadhilah - Syaikh Abdul Ghani Makki

Syaikh Abdul Ghani bin Muhammad Nur al-Hafiz al-Jarumi al-Qadahi al-Makki adalah ulama Melayu yang bermastautin dan mengajar di Mekah al-Mukarramah. Beliau merupakan cucu kepada Syaikh Wan Idris bin Wan Jamal yang digelar "Tok Syaikh Jarum" oleh Raja Fathani kerana ketajaman ilmu dan fikirannya. Syaikh Abdul Ghani rahimahullah terkenal sebagai tokoh ulama yang berkemahiran dalam al-Quran dan selain mengajar, beliau dilantik menjadi imam rasmi bagi Masjid al-'Utaibiyyah di Mekah al-Musyarrafah. Beliau memulakan pengajian agamanya di Pondok Syaikh Abdul Rahman al-Jarumi, sebelum dimasukkan ke Maktab Mahmud, Kedah. Selesai mengaji di Maktab Mahmud, beliau dihantar gurunya, Syaikh Abdul Rahman al-Jarumi, ke Mekah untuk belajar di Madrasah Darul Ulum, Mekah dan Maahad Tahfiz Masjidil Haram. Sungguhpun beliau mengaji dan menetap di Mekah, yang di bawah penguasaan rejim Saudi-Wahhabi, beliau tetap dengan pegangan al-Asya`irah dan bermazhab Syafie. Syaikh Abdul Ghani kembali ke rahmatullah di Mekah dan dimakamkan di Jannatul Ma'la, rahimahullah.....al-Fatihah.

Di antara warisan yang ditinggalkan kepada kita oleh Syaikh Abdul Ghani rahimahullah adalah berupa risalah yang mengandungi bacaan surah Yaasin dengan kaifiat yang tertentu menurut sebahagian ulama. Risalah tersebut dinamakan sebagai Yaasin Fadhilah / Fadzilah Yasin. Risalah amalan ini beliau tulis pada 20 Sya'baan 1391H dan mengandungi bacaan surah Yaasin yang dibaca dengan kaifiat tertentu beserta doa - doanya sekali. Kaifiat amalannya pun ditulis pada awal risalah tersebut dalam Bahasa Melayu dan Inggeris. Sebenarnya amalan Yaasin Fadhilah telah diamalkan serta diperturunkan oleh beberapa ulama terdahulu dan sekarang. Ianya bukanlah surah Yaasin yang lain untuk dijadikan saingan bagi surah Yaasin yang biasa dibaca. Ia hanyalah kaifiat pembacaan surah Yaasin, di mana ianya dibaca dengan kaedah tertentu, seperti ada ayat yang dilebihkan atau ditambah bacaannya, dengan pengulangan ayat tersebut, juga ada penambahan dengan shalawat dan doa-doa yang munasabah disela - sela ayat yang tertentu. Jadi yang lebih atau ditambah adalah hal sedemikian, iaitu pengulangan, shalawat dan doa. Ayat - ayat surah Yaasin tetap sama dan utuh, jadi bukanlah menambah - nambah ayat al-Quran sebagaimana tohmahan sebahagian puak. Di sinilah letaknya erti "fadhilah" yakni "kelebihan", maka maksud Yaasin Fadhilah jika diMelayukan adalah bacaan surah Yaasin yang dilebihkan atau ditambah bacaannya daripada bacaan biasanya dengan beberapa doa dan shalawat dan pengulangan ayat. Singkatnya, ia adalah "Yaasin plus doa". Bukan maksudnya Yaasin Fadhilah adalah surah Yaasin yang lebih utama atau superior daripada surah Yaasin semata, tanpa extra doa - doa dan shalawat. Maka jangan diiktikadkan bahawa Yaasin Fadhilah itu ertinya surah Yaasin yang mempunyai keutamaan melebihi surah Yaasin semata. Sesungguhnya fadhilat keutamaan itu tergantung dengan keikhlasan, kesungguhan dan benarnya qasad seseorang untuk mengabdikan dirinya kepada Allah. Di kalangan ulama, ada yang merangkai kaedah dan doa, untuk diamalkan bersama surah Yaasin, menurut mereka ianya munasabah berdasarkan ilmu dan tajribah mereka, di mana mereka merasa mudah dan manjur untuk diamalkan. Dan hal ini tidak sesekali menyalahi sunnah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang menyuruh kita berdoa memohon rahmat ketika sampai pada ayat - ayat rahmat dan memohon perlindungan dari azab ketika membaca ayat - ayat berkaitan azab. Pernah juga diriwayatkan yang Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam hanya mengulang - ngulang satu ayat sahaja dalam shalat malam baginda sepanjang malam tersebut. Dari sinilah, maka sebahagian ulama dan awliya` merumus kaedah atau kaifiat dalam pembacaan surah Yaasin, maka lahirlah "Yaasin Fadhilah", "Yaasin Tunggal""Yaasin 7 Mubin", "Yaasin 41" dan sebagainya. Semuanya membaca surah Yaasin, cuma dengan kaedah, kaifiat dan doa-doa yang tertentu mengikut pengalaman dan tajribah mereka sahaja.

Oleh itu jumhur ulama kita yang tidak bermasalah dengan amalan Yaasin Fadhilah ini, walaupun ada perbezaan dalam kaifiat dan bilangan pengulangan ayat atau bentuk doa dan shalawatnya. Itu tidak penting kerana tidak ada kaedah baku daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam mengenainya. Semuanya bersandarkan kepada ijtihad dan tajribahnya para ulama sahaja. Namun tidak dinafikan, bahawa ada segelintir ulama kita tidak bersetuju dengan amalan tersebut, lebih tepat, tidak bersetuju dengan cara dan gaya buku atau risalah yang mengandungi Yaasin Fadhilah tersebut ditulis atau dicetak atau dibaca. Pengalaman pribadi faqir, rata - rata buku Yaasin Fadhilah yang ada di pasaran, dicetak tanpa memisahkan dengan jelas mana ayat surah Yaasin dan mana doanya. Seseorang yang baru belajar mungkin terkeliru dan menyangka rangkaian doa itu adalah satu ayat juga daripada surah Yaasin. Ini amatlah tidak wajar dan boleh mendatangkan bahaya serta mencemar kesucian ayat - ayat al-Quran. Dalam keadaan sedemikian, maka perlulah dijelaskan kepada para pembaca yang ingin membaca atau mengamalkan Yaasin Fadhilah agar mereka tidak keliru serta usahakanlah agar cetakannya jelas dan terang membezakan Kalam Allah dan kalam manusia. Boleh sahaja ditulis dengan diberikan penjelasan atau nota atau notakaki atau ditulis secara dalam kurungan atau ditulis dengan gaya / font yang berbeza atau seumpamanya. Dengan sedemikian, tidaklah berlaku pembauran antara ayat dan doa, samada dalam tulisan maupun dalam bacaan.

Untuk menghindari agar tidak berlaku kekeliruan sebegini, maka Pihak Jabatan Mufti Kedah dalam Himpunan Fatwa 2, Negeri Kedah Darul Aman pada halaman 22 - 24, ketika menanggapi masalah Buku Yaasin Fadhilah keluaran Sayyid Muhammad bin Ali al-Aydrus, Jakarta, menyatakan sebagai berikut:- Jawatankuasa telah meneliti buku tersebut di atas dan mendapati ada beberapa tempat di antara ayat dengan ayat yang berikutnya diselangi dengan shalawat dan doa dan ada ayat yang terus disambung dengan perkataan - perkataan yang asing dari Yaasin itu seperti (yakni diberikan contoh di mana ayat 81 ditulis terus dengan sambungan doa tanpa ada pemisah yang membezakan antara keduanya) ........ "Yaasin Fadhilah" ini (yakni buku "Yaasin Fadhilah" yang dikeluarkan oleh Sayyid Muhammad al-Aydrus tadi) benar - benar bertentangan dengan surah Yaasin yang sebenar. Ia bercampur aduk Kalam Allah dengan kalam manusia dan mengelirukan awam kaum muslimin, khususnya generasi yang tiada begitu mahir dengan al-Quran dan tiada mengetahui mana ayat - ayatnya yang sebenar dari al-Quran dan mana yang bukan....... (Faqir sertakan fatwa sepenuhnya di bawah nanti). Begitulah jika  kita telusuri pandangan yang tidak bersetuju tersebut, mereka sebenarnya khuatir masyarakat awam yang kurang pengetahuan akan beranggapan bahawa segala doa dan shalawat tersebut sebagai ayat - ayat Surah Yaasin juga. Ini adalah kerana dalam kebanyakan cetakan Yaasin Fadhilah tidak memberikan tanda atau pemisah yang jelas untuk membezakan ayat - ayat al-Quran dan doa - doa tersebut. Jangankan yang sedemikian, sebahagian ulama menegah menulis atau meletak apa jua ayat atau apa jua tanda dalam mushaf, yang boleh mengelirukan, tanpa diberi pemisah yang jelas untuk membezakan mana ayat al-Quran dan mana yang bukan. 

Dalam sanad amalan Yaasin Fadhilah yang faqir perolehi, dijelaskan sejelas-jelasnya oleh orang tua dan para guru yang mulia, rahimahumullah, bahawa ini ayat surah Yaasin, di sini berhenti dulu sebentar, lalu baca shalawat serta doa dengan suara yang pelan atau tidak senyaring membaca ayat - ayat al-Quran tadi, yakni bezakan ketinggian nada suara ketika membaca ayat dan ketika membaca yang bukan ayat sehingga dapat dibeza antara keduanya. Semua ini tujuannya adalah untuk memisahkan atau membezakan, antara ayat al-Quran dan yang bukan ayat al-Quran, demi menjaga kesucian al-Quran yang merupakan Kalam Allah. Jadi dengan sedemikian, diharap tidaklah berlaku kekeliruan atas si pembacanya.

Berbalik kepada risalah Yaasin Fadhilah Syaikh Abdul Ghani, sebagaimana dinyatakan di atas, dalam risalah tersebut ada dijelaskan oleh beliau akan kaifiat, tertib dan bacaan - bacaan fawatih yang tiga (mengikut sanad amalan beliau), iaitu untuk Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, Nabi al-Khadhir `alaihis salam dan Syaikh Abdul Qadir al-Jailani qaddasaAllahu sirrahul `aziz,  sebelum memulakan bacaan Yaasin tersebut. Menarik lagi, beliau menulis kaifiat tersebut bukan sahaja dalam Bahasa Melayu, juga dalam Bahasa Inggeris. Setelah faqir buat carian, rupa - rupanya Syaikh Abdul Ghani adalah seorang ulama yang mahir berbahasa Inggeris dan mempunyai ramai murid dari Afrika Selatan dan Eropah, di mana beliau mengajar mereka dengan menggunakan Bahasa Inggeris. Dalam penjelasan tersebut beliau menegaskan bahawa pada tempat yang tertentu yang telah ditandai dengan "x", si pembaca hendaklah berhenti dahulu sebentar dan membaca doanya, dengan kata beliau: "...In this Fadzilah Yasin there are a few verses denoting x, where one should pause reciting and seeks Allah's blessings ......" Jadi, selaku ulama yang mahir al-Quran lagi hafiz, beliau, rahimahullah, amat menjaga agar jangan sampai si pembaca terkeliru. Maka sebelum membaca doa tambahan atas sesuatu ayat tadi, seseorang hendaklah memisahkannya dengan berhenti sebentar, agar tidak bercampur baur antara ayat dan doa.

Begitulah sedikit mengenai Syaikh Abdul Ghani al-Jarumi dan risalah Yaasin Fadhilah beliau. Bagi sesiapa yang hendak membaca Yaasin Fadhilah, bacalah, sesiapa yang tidak mahu, maka baca sahajalah Surah Yaasin atau Yaasin Tunggal, jangan amal Yaasin Tinggal udah le. Mudah - mudahan jadi bermanfaat, setidak - tidaknya kita tidak mudah menyalahkan amalan Yaasin Fadhilah, amalan sebahagian ulama terdahulu, walaupun kita sendiri mungkin keberatan untuk mengamalkannya......lana a'maaluna wa lakum a'maalukum.

Komen Buya Yahya Tentang Yaasin Fadhilah

Fatwa Kedah Tentang Buku "Yaasin Fadhilah" 
keluaran Sayyid Muhammad al-'Aydrus, Jakarta.


Ahad, Julai 24, 2022

Kentongan Bukan Beduk

Hadhratusy Syaikh KH Hasyim Asy`ari rahimahullah diketahui pernah memfatwakan bahawa penggunaan "kentongan" untuk memaklumkan masuknya waktu shalat adalah tidak diperbolehkan, yakni haram kerana menyerupai perbuatan agama lain bagi menandakan waktu ibadah mereka. Dikatakan bahawa beliau mengemukakan pendapat tersebut setelah beliau sendiri melihat kentongan digunakan oleh orang kafir untuk menandakan masuknya waktu ibadat mereka. Maka atas dasar tersebut, beliau tidak membenarkannya. KH Hasyim menjelaskan fatwa beliau tersebut dalam sebuah risalah yang beliau namakan Risalatul Jaasus fi bayaani hukmin naaquus. Namun, faqir pernah mendengar beberapa ustaz di sini yang menggunakan fatwa haram kentongan tersebut untuk mengharamkan beduk. Perkara ini tidak tepat kerana yang diharamkan dalam fatwa tersebut adalah kentongan yang lumrah digunakan di Pulau Jawa. Di tempat kita, setidak - tidak di tempat faqir, masyarakat tidak mengenali kentongan, kerana yang ada dan digunakan dahulu adalah beduk yang tidak seperti kentongan. Maka yang diharamkan oleh fatwa tersebut bukanlah beduk tetapi kentongan.

Di sebalik fatwa Hadhratusy Syaikh tersebut, ada seorang lagi ulama besar lagi kenamaan dalam Nahdlatul `Ulama ketika itu, KH Faqih Maskumambang rahimahullah mempunyai fatwa mengharuskan penggunaan kentongan untuk waktu shalat. Bahkan, beliau rahimahullah telah mengarang sebuah risalah khusus bagi tujuan itu dan menolak fatwa KH Hasyim Asy`ari tersebut . Risalah beliau itu dinamakan Hazzur Ruus fi raddil jaasuus `an tahrimin naaquus.

Faqir tidak berhasrat untuk masuk dalam khilaf dua ulama besar tersebut. Kedua - dua fatwa tersebut benar dari sisinya masing - masing. Apa yang faqir ingin kongsikan adalah walaupun kedua - dua ulama tersebut berada dalam wadah perjuangan yang sama, akidah dan mazhabnya sama, namun mereka memiliki perbezaan pendapat dalam masalah - masalah tertentu. Sungguh pun begitu, mereka memiliki tasamuh yang tinggi dan saling menghargai perbezaan pendapat tersebut. Kedua - dua mereka saling hormat - menghormati dan sedikit pun perbezaan pendapat tersebut tidak merosakkan ukhuwwah dan hubungan baik antara mereka. KH Hasyim rahimahullah tidak berkecil hati dengan fatwa KH Faqih yang menyalahi fatwa beliau, bahkan KH Hasyim membenarkan para santri dan masyarakat awam untuk memilih mana-mana pendapat yang hendak diikuti. KH Faqih pun begitu juga, bahkan ketika KH Hasyim Asy`ari datang untuk ceramah mawlid di pondok KH Faqih, beliau memerintahkan agar semua kentongan yang ada di daerah beliau diturunkan dan tidak diketuk selama mana KH Hasyim berada di sana. Allahu .... Allah, lihat betapa akhlaknya dua ulama tersebut. Sebenarnya entri ini faqir tulis untuk menyimpan cuplikan penjelasan almarhum Gus Dur mengenai perkara ini agar mudah dijadikan rujukan bila diperlukan nanti. Mudah - mudahan bermanfaat. 

KH Abdur Rahman Wahid (Presiden Ke-4 NKRI)

Khamis, Julai 21, 2022

Menghargai Hadiah Si Hidup

Shahibus Samahah Syaikh Yusuf bin Shahabuddin rahimahullah adalah seorang ulama yang alim lagi `allaamah, dilantik menjadi mufti pertama bagi Negeri Selangor. Beliau dilahirkan di Kampung Teluk Menegon, Kelang, Selangor, sekitar tahun 1889M / 1306H. Beliau memulakan pendidikan formal di Sekolah Melayu Teluk Menegon sehingga tamat darjah 5, yang melayakkan beliau menjadi guru sekolah. Walaupun diberi tawaran untuk menjadi guru, beliau menolaknya kerana ingin mendalami ilmu agama. Diceritakan minat beliau untuk mendalami ilmu - ilmu agama tumbuh setelah beliau terjumpa dan membaca kitab Siyarus Salikin karangan Syaikh Abdus Shamad al-Falimbani rahimahullah.

Maka berangkatlah Shahibus Samahah ke Bukit Mertajam untuk memondok di Pondok Padang Lalang, menimba ilmu dengan pengasasnya, Tuan Guru Haji Ahmad. Beliau mengaji di bawah asuhan Tuan Guru tersebut lebih kurang 13 tahun sehingga betul - betul alim di dalam bidang fiqh, tauhid, tashawwuf, tafsir, hadis dan ilmu - ilmu alat yang lain. Kemudian, beliau berangkat ke Mekah al-Mahmiyyah untuk menyambung pengajian sekitar tahun 1911. Beliau kembali semula ke tanahair sekitar tahun 1917 dan mula mengasaskan pondok pengajian di Selekoh, Perak. Sekitar tahun 1937, Shahibus Samahah berangkat lagi ke Mekah untuk menambah lagi ilmu beliau dan bermukim di sana. Pada tahun 1952, Sultan Hishamuddin, Sultan Selangor ketika itu, telah pergi ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji. Di sana baginda telah bertemu dengan Syaikh Yusuf Shahabuddin dan kagum dengan ilmu dan pribadinya. Lalu baginda memujuk Syaikh Yusuf Shahabuddin untuk kembali ke Selangor agar dapat mendampingi baginda dan menjadi mufti kerajaan menggantikan Syaikhul Islam Selangor, Syaikh Mahmud Zuhdi, yang telah bersara. Pada awalnya, Syaikh Yusuf Shahabuddin keberatan dengan pelawaan tersebut, namun akhirnya beliau akur dengan pujukan baginda sultan dan kembalilah beliau serta keluarga ke tanahair. Beliau dilantik oleh baginda sebagai mufti pertama bagi Negeri Selangor dan berkhidmat selama lebih kurang 14 tahun (1953 - 1967).

Shahibus Samahah Haji Yusuf Shahabuddin rahimahullah meninggalkan dunia yang fana ini ketika di Mekah, pada tahun 1967 dan dimakamkan di sana. Beliau meninggalkan murid - murid yang ramai dan karya - karya tulis yang bernilai. Antara karya tulis beliau adalah seperti berikut:- Mukhtashar min anwaril Quran fi raddi mutanabbi` al-Qadiyan (karangan beliau untuk menjawab dan menolak ajaran Qadiyani yang sesat menyesatkan), Irsyadul Ummah ila Madzahibil Arba`ah (karangan tentang usul dan kaedah fiqh mengenai taqlid kepada mazhab yang empat), Sekitar Hukum Memungut Zakat, Kifayatus Salik wa Bulghatul `Abidin Nasik (karya tashawwuf) dan Risalah Pembantu kepada Orang - Orang Islam Laki - Laki dan Perempuan Yang Telah Mati Di Dalam Kubur Dengan Percintaan.

Untuk berkat dan meratakan manfaat, sukacitalah faqir nukilkan di sini sebahagian tulisan almarhum Shahibus Samahah, beliau muatkan dalam karangan beliau yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Agama Islam Selangor, iaitu Risalah Pembantu tersebut. Syaikh Yusuf Shahabuddin menegaskan bahawa sampai pahala - pahala amalan termasuklah bacaan - bacaan al-Quran, zikir dan tahlil kepada arwah kaum muslimin yang telah wafat. Beliau menyebut betapa gembiranya para arwah tersebut jika memperolehi hadiah - hadiah pahala daripada orang hidup. Pada halaman 9, dinyatakan, antaranya, sebagai berikut:- "....Ketahui olehmu bahawasanya mayyit, apabila berhadiah oleh orang yang hidup akan dia apa - apa jua yang dihadiahkannya kepadanya adalah mayyit membilangkan banyak pemberian si hidup kepadanya. Bersalahan orang hidup, terkadang kita beri kepadanya, tiada ia menghargainya. Tetapi orang mati tiada ia menghinakan pemberian orang hidup walaupun sekadar 'sebanyak nyamuk' (nota: mungkin tersilap cetak, sebenarnya yang dimaksudkan adalah 'sayap nyamuk') atau kadar zarrah sekalipun kerana ia mengetahui akan harganya......."

Sebenarnya, apa yang dinyatakan beliau ini, beliau nukil dari karya guru beliau Syaikh Muhammad al-`Arabi at-Tabbaani al-Husain rahimahullah yang menukilnya dalam karangan beliau yang berjodol Is`aaful Muslimin wal Muslimaat yang beliau pungut dari kitab tafsir al-Jawaahirul Hisaan karangan al-`Allaamah al-Hafiz Syaikh `Abdur Rahman ats-Tsa'labi daripada kalam al-Hafiz al-`Allaamah Abdul Haq al-Asybili dalam kitabnya al-`Aqibah yang menyatakan, antaranya sebagai berikut:- ".....Ketahuilah bahawa orang mati itu seperti orang hidup dari segi memberi dan menghadiahkan sesuatu kepadanya. Bahkan, si mati itu berlebih - lebihlah (kesukaan dan penghargaannya), kerana orang yang hidup boleh jadi memandang rendah atau kecil akan sesuatu yang dihadiahkan kepadanya atau dia meremehkan apa yang diberikan kepadanya. Orang yang telah mati pula tidak akan memandang rendah sesuatu pun daripada yang sedemikian itu, walaupun ianya sekadar sebesar sayap nyamuk atau hanya seberat timbangan satu zarah, kerana dia tahu akan nilainya.........."

Allahu ... Allah, begitulah tuan - tuan, orang mati yang sudah putus amalan dirinya selain tiga yang masyhur - sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan doa anak yang shalih -, amatlah menghargai, bahkan menanti - nanti orang hidup untuk menghadiahkan pahala amalan kepada mereka. Tak kiralah samada amalan tersebut berupa sedekah atau waqaf harta benda, doa, istighfar, bacaan Quran, zikir, shalawat dan seumpamanya. Setiap yang dihadiahkan itu akan mendapat penghargaan yang setinggi - tingginya daripada mereka. Diharap apabila kita berpulang nanti, dalam keadaan sudah putus amalan diri, ada hendaknya mereka - mereka yang sudi menghadiahkan sesuatu kepada kita, samada atas jalan umum muslimin muslimat, lebih - lebih lagi atas jalan khusus kepada diri pribadi kita. Marilah kita hadiahkan bacaan surah al-Fatihah kepada para ulama yang disebutkan tadi dan juga kepada sekalian umat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Nak hadiahkan sedekah duit, kena pegi banklah pulak, kena cari faqir miskinlah pulak, nak mujahadah lawan sifat kedekutlah pulak, dan dan dan ..... kita buat yang mudah dulu .....al-Fatihah....Allahummagh fir lahum warhamhum.

Isnin, Julai 18, 2022

Rahsia Hakikat... Kena Lipat Daa...

Dalam era digital ini, amatlah mudah untuk sesuatu maklumat disampaikan di alam maya, di mana ianya akan sampai kepada ratusan, ribuan bahkan jutaan manusia. Jika dahulu aliran - aliran sesat yang bertopengkan ilmu hakikat, ilmu makrifat, ilmu - ilmu rahsia yang pelik dan aneh, seperti rahsia insan, rahsia itu, rahsia ini dan sebagainya, yang isinya kesesatan batiniyyah, diajar secara sembunyi - sembunyi, bak kata orang tua - tua "dalam kelambu", kini telah disebar merata melalui media - media sosial. Maka, sebagaimana kata - kata, kullu saqith laqith, maka ada sahaja mereka - mereka yang mengambil, percaya dan membenarkan akan ajaran - ajaran batiniyyah dhalalah yang digula-gulakan dengan ilmu rahasia, ilmu hakikat dan makrifat. 

Ketahuilah, wahai saudara yang budiman, ilmu hakikat dan makrifat yang benar, tidak akan terhasil melainkan dengan menjadikan syariat sebagai panduan dan thariqat sebagai jalan. Thariqat dalam pengertian yang wajib, iaitu menjalankan atau melaksanakan atau mempraktikkan ajaran - ajaran Syariat - yang wajib dikerjakan, yang haram ditinggalkan dan seumpamanya. Oleh itu, berhati - hatilah mengikuti pengajian atau ajaran atau ceramah atau celoteh yang mengatasnamakan ilmu rahasia, ilmu hakikat atau ilmu makrifat, yang meremeh dan memperlekehkan ilmu syariat serta pengamalannya. Ingat akan firman Allah jalla wa `ala dalam surah al-Maidah ayat 48, yang antaranya, bererti: ...Bagi tiap - tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti masing - masing)...... Maka jika bertemu dengan yang sedemikian ajarannya, hindarilah dan tetaplah berpegang dengan jalan syariat. Ilmu hakikat yang sebenarnya bukanlah sesuatu yang dicakap -cakapkan di medsos atau ditulis dalam tulisan - tulisan yang merapu dan meraban seperti karya Ahmad Laksamana yang berjodol Hakikat Insan. Ini faqir tegaskan kerana buku Hakikat Insan  yang penuh dengan kesesatan dan kebohongan ini masih lagi beredar dalam masyarakat dan ada yang masih berpegang, bahkan fanatik dengan isi kandungannya yang karut marut.

Panutan kita, imam yang agung bergelar Hujjatul Islam, Abu Hamid al-Ghazali asy-Syafie ath-Thusi rahimahullah dalam mukaddimah beliau bagi karangannya yang berjodol Misykaatul Anwaar menyatakan, antara lain, sebagai berikut: ...Bukan semua rahsia (ketuhanan) boleh disingkap dan disebar. Dan bukanlah semua hakikat itu dapat dibentangkan atau dijelaskan kepada umum. Bahkan dikatakan bahawa dada - dada mereka yang telah merdeka dari penghambaan kepada selain Allah (al-ahrar) adalah kuburnya segala asrar (yakni segala rahsia ilmu hakikat tersebut tersimpan dan terpendam dalam hati - hati mereka dan bukannya dipertontonkan untuk tatapan khalayak umum). Dan telah berkata sebahagian awliya` yang `arifin: "Menyebar / Membuka sir rububiyyah (rahsia ketuhanan @ ilmu hakikat yang sifatnya dzauqiyyah) adalah kekufuran (yakni boleh menjeremuskan seseorang ke lembah kekufuran akibat salah dalam memahaminya)". Bahkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Bahawasanya di antara ilmu itu ada yang tersimpan rapi (yakni bak permata yang terpendam)", yang tidak difahami melainkan oleh ulama yang kenal Allah (al-`ulama-u billah).....

Makanya, antara kalam para awliya dan sufi adalah: " Sesiapa yang kenal akan Allah, maka kelulah lidahnya". Ini tidak, mengaku kenal Allah, tapi bicaranya tak keruan, sehingga menyalah - nyalahkan hukum Allah dan sunnah kekasihNya, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, dan merobek - robek kehormatan hamba - hambaNya, sehingga para ulama dan awliya` pun tak terkecuali dari pancaran mulut lasernya. Menyalah - nyalahkan pegangan ulama menurut pemahaman dirinya yang salah, menghukum ulama menurut pemahamannya dan bukan dengan apa yang difahami oleh ulama tersebut. Ulama kata Nur Muhammad itu makhluk ciptaan Allah dan bukannya Zat Allah yang Qadim, dia kata ulama kata Nur Muhammad itu Dzat Allah yang Qadim, contoh......Allahu .....Allah. Mudahan - mudahan Allah pelihara kita.

Akhirul kalam, hendaklah kita mempelajari ilmu - ilmu yang diwajibkan menurut syariat yang berkaitan dengan akidah, ibadah, mu`amalah, akhlak dan seumpamanya. Menjalani dan mempraktikkannya, mudah - mudahan Allah menganugerahkan kita dengan ilmu hakikat dan makrifat sehingga kita kenal akan Dia dengan haqqa ma'rifatihi (makrifat yang sebenar - benarnya) yang menjadikan jiwa kita tenang setenang - tenangnya, meraih nafsul muthmainnah yang diakui Allah `azza wa jalla sebagai hambaNya yang berhak untuk memasuki syurgaNya.... Allahumma aamiin.

Guru Sekumpul rahimahullah

TG Baba Ismail Spanjang hafizahullah

Khamis, Julai 14, 2022

Nur Muhammad - TG Hj Sulum

Sebagai tambahan kepada entri Nur Muhammad, kali ini faqir nukil dari kitab karangan asy-Syahid TG Haji Muhammad Sulum bin `Abdul Qadir bin Muhammad al-Fathani @ TG Hj Sulong rahimahullah yang berjodol Cahaya Islam, Gugusan Mawlid Sayyidil Anaam. Pada risalah ini Tuan Guru rahimahullah menyatakan ianya sebagai perihal asal bagi berbuat mawlid yang karim dan menyatakan kelebihannya yang`amiim. Dan sebagaimana lazimnya karya - karya mawlid, beliau memulakannya dengan memperikan kisah penciptaan Nur Muhammad sebagai ciptaan terawal.
Dalam juz 1, pada halaman 37 - 39, beliau rahimahullah menulis, antaranya, sebagai berikut:-  ".....lalu dijadikan Nur Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam daripada tak dak kepada ada. Maka ialah awal - awal kejadian Allah ta`ala seperti sabda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam: ....artinya "Awal - awal barang yang menjadi oleh Allah ta`ala itu nur aku," dan pada satu riwayat: "ruhku." Maka adalah sekalian alam ini dijadikan dia oleh Allah ta`ala daripada sebab Nur Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam kerana firman Allah ta`ala di dalam qudsi: .....artinya, " Aku jadikan segala perkara itu kerana engkau ya Muhammad dan Aku jadikan akan dikau kerana Aku," yakni Aku jadikan Nur Muhammad itu dengan tiada menengahi suatu jua pun, hanya semata-mata dengan Qudrah Iradah Allah ta`ala. Sabda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Adalah aku nur antara Qudrah dan Iradah Allah ta`ala sebelum lagi dijadikan Nabi Adam dengan 2000 tahun. Mengucap tasbih oleh Nur itu akan Allah ta`ala dan mengikut tasbih oleh malaikat dengan sebab tasbih Nur itu." Dan diriwayatkan daripada `Ali bin al-Husain daripada Sayyidina `Ali bin Abi Thalib daripada Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda ia: "Adalah aku nur di antara Qudrah dan Iradah Allah ta`ala sebelum lagi dijadikan Adam dengan 14000 tahun. Maka tatkala hendak dijadikan Nabi Adam, dimasukkan nur itu ke dalam tanah yang dikemil hendak dijadikan Nabi Adam. Dan diturunkan Nabi Adam ke bumi, adalah aku pada sulbi Nabi Adam. Maka jadilah Nabi Adam khalifah (ganti Allah ta`ala) di atas muka bumi. Dan menjadikan daku di dalam sulbi Nabi Nuh pada masa ia di dalam perahu pada ketika karam dunia. Maka selamatlah mereka - mereka yang di dalam perahu itu daripada tenggelam. Dan menjadikan daku di dalam sulbi Nabi Ibrahim pada ketika dicampak akan dia oleh Namrud ke dalam api, maka jadilah api itu sejuk.........."

Begitulah sedikit peri kejadian Nur Muhammad yang dinukil oleh TG Haji Sulong rahimahullah. Oleh itu janganlah bermudah - mudah mengkhurafatkan atau menyesatkan sesiapa yang percaya bahawa Allah memulakan penciptaannya dengan makhluk terawal yang dinamakan sebagai  Nur Muhammad yang merupakan rohnya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi sallam yang menjadi sebab dan pembuka bagi diwujudkan Allah segala ciptaan lain. Maka sesiapa yang tidak bersetuju atau kurang bersetuju, itu adalah hak kamu masing - masing. Tidaklah perlu dicemoh dan dihina mereka - mereka yang percaya, kerana di antara mereka itu ada ulama dan awliya`. Bertasamuhlah.

Sabtu, Julai 09, 2022

Shalawat Padang Arafat

Ini shalawat faqir namakan sahaja sebagai Shalawat Padang Arafat atau Shalawat Wuquf kerana ia pernah dicatat dan dianjur sebagai amalan di Padang Arafat ketika berwuquf oleh pihak Tabung Haji suatu masa dahulu. Shalawat ini faqir nukil dari risalah Panduan Doa - Doa Di Tanah Suci yang dikeluarkan oleh Lembaga Urusan & Tabung Haji, cetakan ke-6, Tahun 1973 dan Risalah Kecil Mengandungi Doa - Doa Di Tanah Suci, cetakan ke-10, Tahun 1985, juga dikeluarkan oleh pihak Lembaga Urusan & Tabung Haji.

Selain itu, faqir juga mendapati bahawa shalawat yang hampir sama juga dimuatkan oleh Ustaz Syaikh H. A. Fuad Said rahimahullah dalam buku beliau, Adab Manasik Haji & Umrah pada halaman 165 sebagai amalan yang dibaca ketika wuquf. Faqir nukilkan di sini biar jadi ingatan dan tatapan, serta tambahan bagi khazanah shalawat kita kerana membaca shalawat tidaklah terikat dengan wuquf atau dengan Padang Arafat. Bershalawatlah sentiasa tanpa mengira masa dan tempat, asalkan layak, dan dengan apa jua shighahnya.. Bacalah shalawat ini sesekali atau banyak kali, mudah - mudahan dengan keberkatannya diberikan peluang dan kesempatan untuk kita berwuquf di Padang Arafat menunaikan rukun yang kelima. Mudah - mudahan bermanfaat hendaknya.

Khamis, Julai 07, 2022

"Toothpick" Punya Pasal

Kita sesungguhnya percaya bahawa di Mahsyar nanti kita akan dihisab atas segala amal perbuatan kita sewaktu hayat kita di dunia ini. Keadaan manusia ketika itu berbagai - bagai, ada yang ringan hisabnya, ada pula yang berat hisabnya dan ada golongan yang paling bertuah dengan dimasukkan ke syurga tanpa sebarang hisab....Allahummaj `alna minhum. Tanpa rahmat Allah, betapalah kita tatkala berdiri untuk menghadapi hisab nanti ....Allahu...Allah. Ingat jika Allah al-Hasib jalla jalaluh yang Maha Menghisab mengaudit kita dengan ketat, rasanya tak lepas kita ni.....Allahu ... Allah. Faqir kongsikan di sini satu kisah yang tercatat dalam karangan ulama, mudah - mudahan bertambah keinsafan diri kita dalam mengharungi kehidupan ini. Kisah ini amat menyeramkan kita, mudah - mudahan Allah selamatkan kita sekalian. Faqir nukilkan di sini satu kisah yang menyeramkan, kisah ini dinukilkan oleh Syaikh Abdul Wahhab asy-Sya'raani rahimahullah dalam Tanbihul Mughtarin.

Syaikh Abdul Wahhab asy-Sya'raani @ Imam asy-Sya'raani rahimahullah menukilkan dalam kitab beliau, Tanbiihul Mughtariin pada halaman 21 menukilkan bahawa:- Adalah Wahab bin Munabbih rahimahullah (tabi`in masyhur yang mahir dan banyak meriwayatkan kisah - kisah Israiliyyat) menceritakan bahawa ada seorang pemuda dari kalangan Bani Israil telah bertaubat dari segala maksiat yang telah dia lakukan. Kemudian dia pun beribadah kepada Allah selama 70 tahun dengan berpuasa setiap hari dan menghidupkan setiap malam (yakni banyak puasa dan qiamnya). Dia beribadah dengan penuh kesungguhan sehingga tidak menghirau urusan kehidupan dunianya sehingga dia tidak peduli di mana beliau berteduh serta meninggalkan makanan yang lazat - lazat (yakni hanya fokus beribadah semata-mata). Setelah dia meninggal dunia, sebahagian saudaranya telah bermimpi bertemu dengannya lalu bertanya kepada dia: "Apa yang diperbuat Allah denganmu?" Dia menjawab: "Aku telah dihisab, lalu diberi keampunan segala dosa kecuali (dosa) satu bilahan kecil kayu yang aku gunakan untuk mencungkil gigiku tanpa izin pemiliknya (yakni dosa mengambil hak orang lain tanpa izinnya). Maka tertahan aku dari memasuki syurga dengan sebab tersebut sehingga ke waktu ini."......
 
Allahu ... Allah, sesuatu dosa sekecil mana pun ia, jika tidak diampuni Allah akan menjerumuskan kita ke jurang kebinasaan. Maka hendaklah kita sentiasa takut dan khuatir untuk atau bila melakukan apa jua perkara yang menjadi dosa dan maksiat kepada Allah, jangan sekali - kali dipandang ringan dan remeh bermaksiat akan Allah. Sentiasalah bertaubat dan beristighfar sepanjang masa, ingat Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam menyatakan bahawa orang yang banyak beristighfar memohon keampunan Allah akan mencapai tuah kebahagiaan dunia dan akhirat. 
  استغفر الله، استغفر الله، استغفر الله العظيم

Jumaat, Julai 01, 2022

Marhaban DzalHijjah

Selamat Menyambut DzulHijjah, bulan di mana 10 hari pertamanya merupakan sebaik - baik hari untuk melakukan kebajikan. Telah datang beberapa hadis tentang perkara ini, bahkan disebut hari - hari yang sepuluh ini sebagai a'dzamul ayyam dan afdhalul ayyam, yakni hari - hari yang teragung dan terafdhal untuk mempersembahkan amal kebajikan kepada Allah jalla wa 'ala. Imam Ahmad radhiyaAllahu `anhu meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam  bersabda: " Tidak ada hari yang teragung dan yang paling disukai di sisi Allah, untuk melakukan amal kebajikan padanya, dari hari - hari yang sepuluh (yakni 10 hari permulaan DzulHijjah). Maka kamu perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid." Juga diriwayatkan oleh antaranya Imam Tirmidzi, Imam Ibnu Majah dan Imam al-Baihaqi bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Tidak ada hari - hari yang paling dikasihi Allah subhanahu wa ta`ala untuk beribadat kepadaNya dari hari - hari yang sepuluh (yakni 10 hari permulaan DzulHijjah). Bahawasanya menyamai puasa sehari padanya, (seumpama) puasa setahun dan (menghidupkan) malamnya, (seumpama menghidupkan) Lailatul Qadar." Maka janganlah kita biarkan masa - masa yang penuh berkat ini berlalu tanpa sebarang amal kebajikan, betapapun keadaannya.

KH Muhammad Bakhiet al-Banjari hafizahullah dalam kuliah beliau menukilkan kalam ulama bahawa sesiapa yang membesarkan dan memuliakan hari - hari sepuluh awal bulan DzulHijjah akan dimuliakan Allah dengan 10 kemuliaan seperti berikut: (1) diberikan dia umur yang berkat; (2) ditambah hartanya; (3) dipelihara keluarganya; (4) dihapuskan dosa kesalahannya; (5) digandakan ganjaran pahalanya; (6) dimudahkan baginya sakaratul maut; (7) diberikan dia cahaya bagi menerangi segala kegelapan; (8) diberatkan timbangan amal kebajikannya; (9) diselamatkan dia dari api neraka; dan (10) diangkat darjatnya. Inilah antara kelebihannya menurut sebahagian ulama, sejauhmana kebenarannya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Mudah - mudahan bermanfaat.
KH Muhammad Bakhiet @ Guru Bakhiet Barabai