Dinyatakan sebagai ayat teragung dalam al-Quran oleh Baginda Muhammad
shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mempunyai fadhilat dan khasiat yang menakjubkan, selain ajaran dan panduan yang luhur. Ramai yang menghafalnya dan menjadikan sebahagian wirid penting mereka. Itulah
Ayatul Kursi, ayat yang ke-255 dalam Surah al-Baqarah. Kelebihan, khasiat dan ganjaran bagi sesiapa yang membaca ayat ini sudah tidak asing lagi dalam masyarakat Islam. Perkara ini disebut dalam berbagai nas yang shahih, hasan dan dhaif. Oleh itu, ianya menduduki tempat yang istimewa dalam hati dan dada umat ini.
Di antara fadhilatnya sebagaimana tercatat dalam
Kanzul Ummal, jilid 2, adalah sesiapa yang mewiridkan bacaannya setiap selepas shalat fardhu, maka Allah
ta`ala sendiri yang akan mencabut nyawanya menjelang ajal, yakni tatkala menjelang ajalnya dia akan mendapat perhatian rahmat khusus daripada Allah
`azza wa jalla. Di samping itu, dia juga akan diberikan kedudukan seperti atau seumpama orang yang berjihad di pihak para nabi dan rasul sehingga dia memperolehi kesyahidan. Riwayat - riwayatnya adalah sebagai berikut:
- Sesiapa yang membaca Ayatul Kursi, tiadalah diwakilkan untuk mencabut nyawanya (ketika ajalnya) selain Allah ta`ala.
- Sesiapa yang membaca Ayatul Kursi selepas setiap shalat, yang mencabut rohnya (nanti) adalah Tuhan Dzul Jalali wal Ikram dan adalah dia seperti orang yang berperang di pihak para nabi dan rasul sehingga dia gugur syahid.
- Sesiapa yang membaca Ayatul Kursi selepas setiap shalat fardhu, maka Tuhan yang mencabut rohnya dengan tanganNya (yakni qudrahNya) dan dia diberi kedudukan (seumpama) kedudukan orang yang berperang bagi para nabi dan rasul sehingga gugur syahid.
- Sesiapa yang membaca Ayatul Kursi selepas setiap shalat, maka tiada yang mencegahnya dari memasuki syurga selain kematian (yakni, dia tidak dapat masuk syurga hanya kerana dia belum mati). Sesiapa yang membacanya ketika hendak tidur, maka diamankan Allah ta`ala rumahnya, rumah jirannya dan rumah - rumah di sekitarnya (yakni dijaga dari sebarang musibah dan bencana).
- Sesiapa yang membaca Ayatul Kursi selepas setiap shalat fardhu, maka tiada penghalang di antara dia dengan masuk syurga kecuali mati.
- Sesiapa yang membaca Ayatul Kursi selepas setiap shalat, tiadalah di antara dia dengan masuk syurga selain kematiannya, maka apabila dia mati, masuklah dia syurga.
Allahu ... Allah, walaupun riwayat - riwayat tersebut ada yang shahih dan ada yang dhaif, namun tidak sewajarnya kita biarkan sahaja tanpa tergerak hati untuk kita menjadikan bacaan ayat yang agung ini sebagai wirid yang kita lazimi setiap selepas shalat. Juga barang diingat, bahawa
berzikir atau berwirid dan berdoa selepas shalat fardhu, apatah lagi dengan zikir - zikir selepas shalat yang ma'tsur, samada panjang atau ringkas,
adalah satu sunnah yang sunat hukumnya, yakni seseorang yang berzikir selepas shalat fardhu akan mendapat ganjaran pahala yang berganda, iaitu pahala sunat berzikir secara umum (mutlak) dan pahala sunat berzikir selepas shalat fardhu secara khusus. Namun semuanya tertakluk kepada qasad atau niatnya, yakni jika niat atau qasadnya pada permulaan zikir atau ketika berzikir adalah untuk melakukan zikir - zikir yang sunat selepas shalat sebagaimana anjuran syarak, maka dia akan mendapat ganjaran berzikir secara mutlak dan juga ganjaran khusus kesunnahan berzikir selepas shalat. Jika dia berzikir tanpa sebarang niat, maka dia hanya memperolehi pahala berzikir secara mutlak. Ini adalah kerana setiap amalan itu tergantung dengan niatnya, namun keluasan rahmat Allah itu tiada terhingga.
Menurut sebahagian ulama, kesunnahan berzikir atau membaca wirid dan berdoa selepas shalat fardhu ini juga berlanjutan masanya sehingga masuk shalat fardhu yang berikut, walaupun dipisahkan oleh senggang waktu yang panjang atau telah diceraikan dengan percakapan atau pekerjaan lain. Berzikir atau berwirid dan berdoa sejurus sahaja selesai shalat fardhu itu
afdhal dan
akmal menurut mereka namun jika dilakukan kemudian daripada itu, tetap mendapat pahala sunat berzikir atau berwirid selepas shalat fardhu dan bukan hanya pahala sunat berzikir secara mutlak. Inilah pandangan sebahagian ulama kita, walaupun ada ulama lain yang berpandangan sebaliknya. Apa - apa pun, sayogia selepas shalat fardhu jangan ditinggalkan berzikir atau berwirid dan berdoa walaupun secara ringkas, dengan mendahulukan wirid zikir yang ma'tsur, walaupun sekadar
istighfar dan
Allahumma antas Salam.... Maka biasakan dan lazimkan berwirid dan berdoa selepas shalat fardhu, jangan lepas salam lantas jalan. Di dunia ini mungkin kita tak nampak, namun nanti di akhirat, hatta setelah kita jadi ahli syurga pun, kita akan menyesal kerana berlalunya masa - masa kita di dunia ini tanpa zikrullah. Junjungan Nabi
shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
"Setiap detik masa yang dibiarkan berlalu pergi oleh seseorang anak Adam tanpa diisi dengan zikir mengingati Allah atau ibadah (yakni samada zikir dan ibadah khusus maupun umum) akan menjadi sesalan baginya pada Hari Kiamat (yakni dia akan menyesal atas kealpaan dirinya setelah dia melihat bagaimana besar ganjarannya)."
Sebagai penutup, faqir kongsikan 2 faedah bagi kita yang bermazhab Syafie.
Yang pertama, menurut sebahagian ulama kita, segala amalan atau wirid atau zikir yang berwaktu seperti wirid - wirid selepas shalat fardhu, apabila luput waktunya sunat pula diqadha pada waktu - waktu yang lain.
Yang kedua, wirid selepas shalat fardhu boleh juga di
indiraj (yakni dimasukkan atau digabungkan niat - niatnya) dengan wirid lain yang serupa, menurut sebahagian ulama kita, antaranya Imam Ibnu Hajar
rahimahullah. Contoh,
Tasbih Siti Fatimah ( yakni 33 kali tasbih, 33 kali tahmid, 33 kali takbir, lalu ditutup dengan tahlil sekali) adalah sunat dibaca selepas shalat fardhu dan juga sebelum tidur. Maka jika seseorang, selepas dia menunaikan shalat fardhu Isyak belum lagi membaca
Tasbih Siti Fatimah, maka ketika hendak tidur dia boleh melakukannya dengan niat mendatangkan zikir selepas shalat fardhu Isyak yang belum dia lakukan beserta membaca zikir sebelum tidur. Dengan sedemikian, dia akan mendapat ganjaran bagi kedua - dua zikir yang diniatkannya tersebut. Maka qiyaskanlah pada yang sedemikian akan lain - lain zikir yang sunat dilakukan selepas shalat dan sebelum tidur seperti
Fatihah,
Ayatul Kursi,
Surah al-Ikhlas dan sebagainya.
Tercatat ibaratnya dalam
Bughyatul Mustarsyidin pada halaman 48 sebagai berikut:-
...(Masalah daripada fatwa Habib Abdullah bin Umar bin Abu Bakar BinYahya) zikir - zikir yang warid selepas shalat (wirid shalat), zikir ketika hendak tidur, zikir ketika bangun tidur, zikir - zikir petang (malam) dan zikir - zikir pagi (siang), jelas mesti diniatkan (yakni diniatkan sebagai zikir khusus untuk waktu tersebut) sebagaimana niat yang terdahulu bahasannya dalam bab wudhu, iaitu niat untuk mencari keredhaan Allah dan niat ketika memulakan zikirnya untuk meraih ganjaran yang dikhususkan dengan zikir tersebut dalam waktunya........... Telah berfatwa Imam Ibnu Hajar bahawa sesiapa yang meninggalkan zikir - zikir (wirid) selepas Isyak, lalu melakukannya ketika hendak tidur, jika dia berniat dengan kedua-duanya sekali (yakni berniat zikirnya adalah untuk melaksanakan wirid Isyak dan juga wirid tidur), maka terhasil baginya ganjaran pahala kedua-duanya (yakni pahala zikir selepas shalat dan pahala zikir tidur). Jika dia hanya berniat dengan salah satu daripadanya, maka terhasillah pahala bagi yang dia niatkan sahaja, namun gugur tuntutan bagi zikir yang satu lagi yang tidak dia niatkan, dengan pengertian, tidak terhasil ganjaran yang warid bagi zikir yang tidak diniatkan tersebut. Jika dia tidak berniat ketika berzikir tadi dengan sesuatu daripada keduanya (yakni dia berzikir secara mutlak tanpa meniatkan sebagai zikir tidur atau zikir selepas shalat atau kedua -duanya sekali), maka tidaklah dia memperolehi ganjaran yang dikhaskan untuk zikir - zikir tersebut (yakni zikir tidur atau zikir selepas shalat), hanya terhasil baginya ganjaran berzikir secara mutlak.
Inilah pandangan yang dinukilkan oleh Khatimatul Muhaqqiqin, Imam Ibnu Hajar al-Haitami
rahimahullah. Namun, tidak semua ulama yang sependapat dengan beliau.
Imam Ibnu Ziyad rahimahullah berpandangan sebaliknya, dalam
Ghayatu Talkhish yang dicetak di tepi
Bughyah pada halaman 89 dinyatakan sebagai berikut:-
....Maka jika dikatakan bahawa mustahab mengqadha wirid shalat, lalu seseorang melakukannya ketika hendak tidur dengan diniatkan sebagai zikir shalat dan juga zikir tidur, maka tidaklah terhasil dengannya (ganjaran) dua amalan sunat tersebut (iaitu sunat berzikir selepas shalat dan sunat berzikir sebelum tidur.)....
Faqir harap ibarat - ibarat di atas dapat difahami pembaca dan bermanfaat. Yang penting kita sentiasa berzikir, dengan lisan, dengan hati, dengan nafas, dengan pandangan lirikan dan kelipan mata, dengan segala anggota, dengan segala rupa bentuk amal ibadah, samada khusus atau umum, dengan menjunjung segala titah perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya, pada setiap masa dan ketika sehingga ajal menjelang tiba. Semoga setiap hari, ilmu dan amalan kita bertambah dengan istiqamah.