Khamis, Februari 29, 2024

Ayatul Kursi & Wirid

Dinyatakan sebagai ayat teragung dalam al-Quran oleh Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mempunyai fadhilat dan khasiat yang menakjubkan, selain ajaran dan panduan yang luhur. Ramai yang menghafalnya dan menjadikan sebahagian wirid penting mereka. Itulah Ayatul Kursi, ayat yang ke-255 dalam Surah al-Baqarah. Kelebihan, khasiat dan ganjaran bagi sesiapa yang membaca ayat ini sudah tidak asing lagi dalam masyarakat Islam. Perkara ini disebut dalam berbagai nas yang shahih, hasan dan dhaif. Oleh itu, ianya menduduki tempat yang istimewa dalam hati dan dada umat ini.

Di antara fadhilatnya sebagaimana tercatat dalam Kanzul Ummal, jilid 2, adalah sesiapa yang mewiridkan bacaannya setiap selepas shalat fardhu, maka Allah ta`ala sendiri yang akan mencabut nyawanya menjelang ajal, yakni tatkala menjelang ajalnya dia akan mendapat perhatian rahmat khusus daripada Allah `azza wa jalla. Di samping itu, dia juga akan diberikan kedudukan seperti atau seumpama orang yang berjihad di pihak para nabi dan rasul sehingga dia memperolehi kesyahidan. Riwayat - riwayatnya adalah sebagai berikut:
  • Sesiapa yang membaca Ayatul Kursi, tiadalah diwakilkan untuk mencabut nyawanya (ketika ajalnya) selain Allah ta`ala.
  • Sesiapa yang membaca Ayatul Kursi selepas setiap shalat, yang mencabut rohnya (nanti) adalah Tuhan Dzul Jalali wal Ikram dan adalah dia seperti orang yang berperang di pihak para nabi dan rasul sehingga dia gugur syahid.
  • Sesiapa yang membaca Ayatul Kursi selepas setiap shalat fardhu, maka Tuhan yang mencabut rohnya dengan tanganNya (yakni qudrahNya) dan dia diberi kedudukan (seumpama) kedudukan orang yang berperang bagi para nabi dan rasul sehingga gugur syahid.
  • Sesiapa yang membaca Ayatul Kursi selepas setiap shalat, maka tiada yang mencegahnya dari memasuki syurga selain kematian (yakni, dia tidak dapat masuk syurga hanya kerana dia belum mati). Sesiapa yang membacanya ketika hendak tidur, maka diamankan Allah ta`ala rumahnya, rumah jirannya dan rumah - rumah di sekitarnya (yakni dijaga dari sebarang musibah dan bencana).
  • Sesiapa yang membaca Ayatul Kursi selepas setiap shalat fardhu, maka tiada penghalang di antara dia dengan masuk syurga kecuali mati.
  • Sesiapa yang membaca Ayatul Kursi selepas setiap shalat,  tiadalah di antara dia dengan masuk syurga selain kematiannya, maka apabila dia mati, masuklah dia syurga.
Allahu ... Allah, walaupun riwayat - riwayat tersebut ada yang shahih dan ada yang dhaif, namun tidak sewajarnya kita biarkan sahaja tanpa tergerak hati untuk kita menjadikan bacaan ayat yang agung ini sebagai wirid yang kita lazimi setiap selepas shalat. Juga barang diingat, bahawa berzikir atau berwirid dan berdoa selepas shalat fardhu, apatah lagi dengan zikir - zikir selepas shalat yang ma'tsur, samada panjang atau ringkas, adalah satu sunnah yang sunat hukumnya, yakni seseorang yang berzikir selepas shalat fardhu akan mendapat ganjaran pahala yang berganda, iaitu pahala sunat berzikir secara umum (mutlak) dan pahala sunat berzikir selepas shalat fardhu secara khusus. Namun semuanya tertakluk kepada qasad atau niatnya, yakni jika niat atau qasadnya pada permulaan zikir atau ketika berzikir adalah untuk melakukan zikir - zikir yang sunat selepas shalat sebagaimana anjuran syarak, maka dia akan mendapat ganjaran berzikir secara mutlak dan juga ganjaran khusus kesunnahan berzikir selepas shalat. Jika dia berzikir tanpa sebarang niat, maka dia hanya memperolehi pahala berzikir secara mutlak. Ini adalah kerana setiap amalan itu tergantung dengan niatnya, namun keluasan rahmat Allah itu tiada terhingga.

Menurut sebahagian ulama, kesunnahan berzikir atau membaca wirid dan berdoa selepas shalat fardhu ini juga berlanjutan masanya sehingga masuk shalat fardhu yang berikut, walaupun dipisahkan oleh senggang waktu yang panjang atau telah diceraikan dengan percakapan atau pekerjaan lain. Berzikir atau berwirid dan berdoa sejurus sahaja selesai shalat fardhu itu afdhal dan akmal menurut mereka namun jika dilakukan kemudian daripada itu, tetap mendapat pahala sunat berzikir atau berwirid selepas shalat fardhu dan bukan hanya pahala sunat berzikir secara mutlak. Inilah pandangan sebahagian ulama kita, walaupun ada ulama lain yang berpandangan sebaliknya. Apa - apa pun, sayogia selepas shalat fardhu jangan ditinggalkan berzikir atau berwirid dan berdoa walaupun secara ringkas, dengan mendahulukan wirid zikir yang ma'tsur, walaupun sekadar istighfar dan Allahumma antas Salam.... Maka biasakan dan lazimkan berwirid dan berdoa selepas shalat fardhu, jangan lepas salam lantas jalan. Di dunia ini mungkin kita tak nampak, namun nanti di akhirat, hatta setelah kita jadi ahli syurga pun, kita akan menyesal kerana berlalunya masa - masa kita di dunia ini tanpa zikrullah. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Setiap detik masa yang dibiarkan berlalu pergi oleh seseorang anak Adam tanpa diisi dengan zikir mengingati Allah atau ibadah (yakni samada zikir dan ibadah khusus maupun umum) akan menjadi sesalan baginya pada Hari Kiamat (yakni dia akan menyesal atas kealpaan dirinya setelah dia melihat bagaimana besar ganjarannya)." 

Sebagai penutup, faqir kongsikan 2 faedah bagi kita yang bermazhab Syafie. Yang pertama, menurut sebahagian ulama kita, segala amalan atau wirid atau zikir yang berwaktu seperti wirid - wirid selepas shalat fardhu, apabila luput waktunya sunat pula diqadha pada waktu - waktu yang lain. Yang kedua, wirid selepas shalat fardhu boleh juga diindiraj (yakni dimasukkan atau digabungkan niat - niatnya) dengan wirid lain yang serupa, menurut sebahagian ulama kita, antaranya Imam Ibnu Hajar rahimahullah. Contoh, Tasbih Siti Fatimah ( yakni 33 kali tasbih, 33 kali tahmid, 33 kali takbir, lalu ditutup dengan tahlil sekali) adalah sunat dibaca selepas shalat fardhu dan juga sebelum tidur. Maka jika seseorang, selepas dia menunaikan shalat fardhu Isyak belum lagi membaca Tasbih Siti Fatimah, maka ketika hendak tidur dia boleh melakukannya dengan niat mendatangkan zikir selepas shalat fardhu Isyak yang belum dia lakukan beserta membaca zikir sebelum tidur. Dengan sedemikian, dia akan mendapat ganjaran bagi kedua - dua zikir yang diniatkannya tersebut. Maka qiyaskanlah pada yang sedemikian akan lain - lain zikir yang sunat dilakukan selepas shalat dan sebelum tidur seperti Fatihah, Ayatul Kursi, Surah al-Ikhlas dan sebagainya.

Tercatat ibaratnya dalam Bughyatul Mustarsyidin pada halaman 48 sebagai berikut:-

...(Masalah daripada fatwa Habib Abdullah bin Umar bin Abu Bakar BinYahya) zikir - zikir yang warid selepas shalat (wirid shalat), zikir ketika hendak tidur, zikir ketika bangun tidur, zikir - zikir petang (malam) dan zikir - zikir pagi (siang), jelas mesti diniatkan (yakni diniatkan sebagai zikir khusus untuk waktu tersebut) sebagaimana niat yang terdahulu bahasannya dalam bab wudhu, iaitu niat untuk mencari keredhaan Allah dan niat ketika memulakan zikirnya untuk meraih ganjaran yang dikhususkan dengan zikir tersebut dalam waktunya........... Telah berfatwa Imam Ibnu Hajar bahawa sesiapa yang meninggalkan zikir - zikir (wirid) selepas Isyak, lalu melakukannya ketika hendak tidur, jika dia berniat dengan kedua-duanya sekali (yakni berniat zikirnya adalah untuk melaksanakan wirid Isyak dan juga wirid tidur), maka terhasil baginya ganjaran pahala kedua-duanya (yakni pahala zikir selepas shalat dan pahala zikir tidur). Jika dia hanya berniat dengan salah satu daripadanya, maka terhasillah pahala bagi yang dia niatkan sahaja, namun gugur tuntutan bagi zikir yang satu lagi yang tidak dia niatkan, dengan pengertian, tidak terhasil ganjaran yang warid bagi zikir yang tidak diniatkan tersebut. Jika dia tidak berniat ketika berzikir tadi dengan sesuatu daripada keduanya (yakni dia berzikir secara mutlak tanpa meniatkan sebagai zikir tidur atau zikir selepas shalat atau kedua -duanya sekali), maka tidaklah dia memperolehi ganjaran yang dikhaskan untuk zikir - zikir tersebut (yakni zikir tidur atau zikir selepas shalat), hanya terhasil baginya ganjaran berzikir secara mutlak.

Inilah pandangan yang dinukilkan oleh Khatimatul Muhaqqiqin, Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah. Namun, tidak semua ulama yang sependapat dengan beliau. Imam Ibnu Ziyad rahimahullah berpandangan sebaliknya, dalam Ghayatu Talkhish yang dicetak di tepi Bughyah pada halaman 89 dinyatakan sebagai berikut:- 

....Maka jika dikatakan bahawa mustahab mengqadha wirid shalat, lalu seseorang melakukannya ketika hendak tidur dengan diniatkan sebagai zikir shalat dan juga zikir tidur, maka tidaklah terhasil dengannya (ganjaran) dua amalan sunat tersebut (iaitu sunat berzikir selepas shalat dan sunat berzikir sebelum tidur.)....

Faqir harap ibarat - ibarat di atas dapat difahami pembaca dan bermanfaat. Yang penting kita sentiasa berzikir, dengan lisan, dengan hati, dengan nafas, dengan pandangan lirikan dan kelipan mata, dengan segala anggota, dengan segala rupa bentuk amal ibadah, samada khusus atau umum, dengan menjunjung segala titah perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya, pada setiap masa dan ketika sehingga ajal menjelang tiba. Semoga setiap hari, ilmu dan amalan kita bertambah dengan istiqamah.


Sabtu, Februari 24, 2024

Doa Nishfu - Syaikh Muhd an-Nabhan

Sempena kedatangan malam yang mulia, mari kita sama - sama bertabarruk mendengar bacaan Doa Nishfu oleh almarhum Syaikh Muhammad bin Ahmad bin Nabhan, seorang wali dan ulama dari Halab, Syria. Juga sebagai peringatan bahawa menyambut malam yang mulia ini dengan bacaan Doa Nishfu yang masyhur telah menjadi amalan para ulama dan awliya di serata dunia Islam, bukan hanya di Nusantara sahaja. Mudah - mudahan Allah memberi kita umur yang panjang penuh ketaatan dan keberkatan; Dipelihara daripada segala bala bencana di dunia dan akhirat; Dimurahkan rezeki dan dilapangkan kehidupan lalu akhirnya ditutup dengan husnul khatimah.



Jumaat, Februari 23, 2024

Shalawat Bilal Jumaat

Menjadi kebiasaan yang telah diadatkan di tempat faqir, bahkan satu negeri, ketika khatib duduk di antara dua khutbah, maka tok bilal akan melantunkan shalawat dan para jemaah mengaminkannya dengan suara lirih. Faqir percaya, di tempat - tempat lain seperti di Banjar juga begitu, manakala di sesetengah tempat seperti Selangor dan Johor, tok bilal membacakan doa yang diaminkan jemaah. Teks shalawat yang biasa dibaca ini, dengan sedikit perbezaan lafaz, juga mudah dijumpai dalam beberapa karya, antaranya Ushul al-`Ibadah karangan al-Haqir Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Aziz, Singapura, yang dicetak di Mathba`ah Muhammadi Bombay, di mana pada halaman 47 tertera sebagai berikut: "Ini shalawat yang dibaca ketika duduk imam antara dua khuthbah. Baca bilal.. Allahumma shalli wa sallim wa zid wa adim wa an`im wa tafadhdhal wa baarik......."

Begitulah kebiasaan yang ada di tempat kami sebagaimana dijelaskan oleh ulama kami, Syaikh Daud bin Abdul Ghani as-Sarawaqi rahimahullah  dalam karangan beliau yang berjodol Pedoman Ibadah. Pada halaman 110, beliau menyatakan sebagai berikut:- Bila sudah habis khutbah yang pertama, lantas khatib duduk sebentar (duduk ini dinamakan duduk antara dua khutbah. Di negeri kita biasanya di waktu itu bilal ada membaca shalawat.) Beginilah `urufnya di tempat kami yang telah berjalan sekian lama adanya. Maka sewajarnya `uruf atau adat yang baik ini dilestari sebagai warisan kepada anak cucu kita di Nusantara ini.

Shalawat yang dibaca tidaklah tertentu lafaznya, mana - mana lafaz boleh, tapi kebiasaannya, lafaz atau shighah yang dibaca adalah yang dimulakan dengan lafaz: Allahumma shalli wa sallim, wa zid wa adim wa an`im, wa tafadhdhal wa baarik.... hingga akhir. Faqir kurang periksa nama yang diberikan kepada shalawat ini dan asal muasalnya. Cuma yang faqir dengar, sebahagian menamakannya sebagai Shalawat Taslim, ada juga yang menyebutnya sebagai Shalawat Dustur. Shighah - shighahnya pun ada sedikit perbezaan, ada yang ringkas dan ada yang mempunyai tambahan lafaz. Apa - apa pun, itu bukanlah isu kerana tidak ada ketentuan pada bacaan atau doa atau shalawat yang mesti dibaca ketika khatib duduk antara dua khutbah. 

Ulama kita memilih untuk membaca shalawat ketika itu, mungkin kerana fadhilat atau kelebihan shalawat itu teramat banyak. Antaranya, dengan hanya satu shalawat kita dibalas dengan 10 shalawat daripada Allah, mendapat shalawatnya para malaikat dan mendapat balasan shalawat daripada Rasulullah, diangkat 10 darjat, dihapuskan 10 dosa kesalahan dan berbagai - bagai lagi kelebihan, ganjaran dan anugerah. Selain daripada itu, ramai, bahkan boleh dikatakan jumhur, ulama yang berpendapat bahawa shalawat adalah satu amalan yang mudah diterima Allah, bahkan menurut mereka pasti diterima Allah ta`ala, betapa pun jua keadaan si pembacanya. Maka tidak hairan, jika ulama memilih shalawat untuk dibaca ketika itu, yakni di waktu yang berkat, di tempat yang berkat dan dalam himpunan yang berkat. 

Juga faqir temui bahawa saudara - saudara di beberapa negeri di Semenanjung Tanah Melayu, menjadikan shalawat ini untuk menyambut ketibaan pengantin, sehingga dinamakan sebagai Shalawat Pengantin. Hal ini juga dilakukan di beberapa tempat lagi seperti di Tanah Betawi. Ustaz Said bin Che Ros menulis dalam karangan beliau yang berjodol Fadilat Membaca Selawat pada halaman 56 sebagai berikut: Lafaz selawat ini biasanya digunakan (dibaca) oleh orang - orang Melayu terutama di kampung - kampung semasa menyambut ketibaan pengantin lelaki dalam sesuatu majlis perkahwinan. Walau bagaimanapun selawat ini boleh diamalkan pada bila - bila masa sahaja. 

Sebagai mengakhiri entri ini, faqir rasa bahawa mungkin juga hikmah shalawat ini jadi pilihan untuk dibaca ketika umat berkumpul menunaikan fardhu Jumaat yang diwajibkan berjemaah kerana di antara khasiat shalawat ini, menurut kata ulama, berdasarkan pengalaman dan tajribah, adalah ia menjadi sarana untuk memperolehi tambahan nikmat zahir dan batin, juga untuk mendatangkan ketenangan dan ketenteraman hati, bukan hanya bagi si pembaca, juga bagi keluarga, lingkungan masyarakat, bangsa dan negara. Maka diharap dengan keberkatan shalawat tersebut, Allah akan menjaga dan memelihara ketenteraman dan keharmonian semua rakyat dan negara, bahkan dunia. Juga tidak hairan pula, jika pasangan mempelai disambut dengan shalawat ini dengan harapan dianugerahkan mereka dengan rumahtangga yang aman damai, tenteram dan harmoni. Mudah - mudahan bermanfaat dan terus memperbanyakkan shalawat.

Shalawat Bacaan Bilal Masjid Bahagian Kuching.


Bacaan Shalawat Taslim Syaikh Abdul Karim Makki 

Selasa, Februari 13, 2024

Talqin - Syaikh Ahmad & Haji Hadi

Amalan bertalqin telah menjadi amalan para pengikut Mazhab Syafie dan mempunyai dalil daripada nas yang diterima oleh para ulama. Maka tidak perlulah nak memperlekehkan amalan bertalqin atau menggantikannya dengan kulkub (kuliah kuburan) atau tadzkub (tadzkirah kuburan), atau lebih parah dengan berpuisi untuk arwah. Bertalqin itu sudah cukup baik, samada bagi si mati maupun bagi kita yang masih hidup. Antaranya bertalqin mengingatkan kita kepada adanya fitnah kubur, iaitu soalan Munkar Nakir dan adanya azab dan nikmat kubur. Keyakinan tersebut, jika mantap, sudah cukup menginsafkan sesiapa yang ada matahati. Bertalqin juga memberi manfaat kepada simati dalam menghadapi ujian getir kali pertama di alam kubur sebagaimana yang disebut dalam hadis, yang walaupun dhaif namun tidak bermasalah untuk dijadikan panduan dan amalan dalam bab fadhail. Tok Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah dalam Majmu` al-Azhar adz-Dzakiyyah @ Segugus Bunga Yang Menghimpunkan Beberapa Banyak Guna, halaman 58 menulis sebagai berikut:-
[ Ini suatu faedah ] Disunatkan baca talqin atas mayyit yang lain daripada nabi dan orang mati syahid dan kanak - kanak kerana datang warid daripada Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, bahawasa orang yang mati apabila ditalqin akan dia, maka berkata salah seorang daripada dua malaikat Munkar dan Nakir bagi taulannya: "Keluar kamu daripada orang ini, maka apa kita kerjakan pada mereka yang telah diajarkan hujjahnya.".......
Allahu Allah, demikian antara kelebihan mentalqinkan orang mati setelah dikubur, yakni boleh meringankan bahkan harus pula terhindar daripada disoal oleh Munkar Nakir. Tapi ingat hal ini tidaklah mutlak. Maka jelas tujuan talqin itu untuk membantu si mati menghadapi ujian Munkar Nakir, justru bagi mereka - mereka yang tidak berhadapan dengan soalan kubur atau fitnah kubur, seperti para nabi, orang syahid, orang gila asal, kanak - kanak dan seumpamanya, tidak sunat ditalqin. Oleh itu, tujuan utama mentalqinkan mayat bukanlah untuk berceramah kepada orang hidup sebagaimana sangkaan sebahagian manusia, tapi sebagai syafaat dan pertolongan kepada simati dengan harapan dimudahkan dan ditetapkan hujjahnya ketika didatangi oleh Munkar dan Nakir. Sewajarnya kita melakukan amalan bertalqin kerana hukumnya sunnat, dibuat dapat pahala namun jika ditinggalkan tidaklah berdosa, jadi eloknya dibuat, jangan ditinggal.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi hafizahullah

Khamis, Februari 08, 2024

Dialog Langit & Bumi

Durratun Nashihin adalah sebuah karangan yang tidak asing lagi di kalangan santri. Sekian lama ianya menjadi materi pembelajaran di pesantren dan juga di masjid. Sungguhpun, kitab ini dikatakan oleh ramai pengkaji sebagai mengandungi hadis - hadis yang dhaif bahkan palsu, namun hingga kini ianya masih beredar dan dibaca. Walaupun ada riwayat - riwayat yang bermasalah, namun ajaran, nasihat dan pedoman yang terkandung tidaklah menyalahi akidah, syariat dan akhlak yang dibawa oleh Islam. Usaha untuk meneliti riwayat - riwayat hadis yang terkandung dalam kitab ini juga telah banyak dilakukan, antaranya oleh pengkaji tempatan seperti Ahmad Lutfi Fathullah, Jawiah Dakir dan Mazlan Ibrahim, dalam penelitian mereka yang berjodol Nilai Hadis Dalam Durrat al-Nasihin. Usaha sebegini sedikit - sebanyak dalam memberi gambaran kepada kita tentang kekuatan riwayat - riwayat yang ada di dalam Durratun Nashihin. Namun, penelitian tersebut tidaklah boleh dianggap sebagai muktamad atau qathie atau tetak putus atau exhaustive kerana ikhtilaf juga berlaku dalam penilaian sesuatu riwayat dan ada juga riwayat - riwayat yang ..."belum dapat dikesan"..., di mana statusnya hanya berdasarkan anggapan sahaja. Ini pendapat faqir sahaja, nak pakai pakai, tak nak tak mengapa. Faqir tidaklah mengatakan bahawa segala yang terkandung dalam kitab tersebut hendaklah ditelan bulat - bulat atau diterima secara mutlak atau dijadikan rujukan utama dalam akidah dan ibadah kita. Ini adalah kerana faktor riwayat yang bercampur tadi dan juga perbezaan mazhab pengarangnya iaitu Hanafi dengan kita yang bermazhab Syafie. Namun jika sekadar mengambil faedah daripada segala nasihat dan teladan berdasarkan riwayat dan hikayat, tidaklah mengapa.

Pengarang kitab Durratun Nashihin bernama Utsman bin Hasan bin Ahmad asy-Syakir al-Khubawi ar-Rumi al-Hanafi rahimahullah, yang digelar oleh Syaikh Umar Ridha Kahhalah sebagai seorang wa`iz (penceramah / juru nasihat), mufassir dan muhaddits, hidup di akhir abad ke 12H di zaman Dinasti Utsmaniyyah. Kitab ini selesai beliau tulis sekitar tahun 1224H. Dalam penulisannya, beliau telah merujuk kepada sekurang - kurangnya 75 buah kitab dan menukil daripadanya. Di antara 75 buah kitab tersebut ada yang sudah sangat sulit untuk dijumpai kerana langka, maka dari satu sudut kita sepatutnya berterimakasih kepada si pengarang yang telah menyajikan kepada kita faedah dan mutiara yang terkandung dalam kitab - kitab yang langka tersebut. Selanjutnya, pada halaman 123, pengarang menukil kisah dialog di antara Langit dengan Bumi, sebagai berikut:-
...Adapun (antara) sebab bagi mi'raj (Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam) adalah Bumi bermegah - megah dengan Langit. Kata Bumi: "Aku lebih baik daripada engkau kerana Allah ta`ala telah menghiaskan aku dengan berbagai negeri, laut, sungai, pepohonan, gunung - ganang dan sebagainya." Langit menjawab: " Aku lebih baik daripada engkau kerana matahari, bulan, bintang - bintang, falak, buruj, arsy, kursy dan syurga ada padaku. " Bumi berkata lagi: " Ada padaku Ka`bah yang diziarahi dan bertawaf padanya para nabi dan rasul, para wali dan orang - orang mukmin amnya." Langit membalas: " Padaku ada Baitul Makmur tempat para malaikat langit bertawaf, padaku juga ada syurga kediaman arwah para nabi, para rasul, awliya dan shalihin." Bumi berkata lagi: " Sesungguhnya Penghulu Para Rasul, Penutup Para Nabi, Kekasih Tuhan Semesta Alam, Makhluk Terafdhal yang Allah wujudkan - atasnya tahiyyat (penghormatan) yang paling sempurna - mendiamiku dan syariatnya berjalan atasku." Mendengar perkataan Bumi ini, Langit tidak mampu untuk menjawabnya. Langit mendiamkan dirinya seraya bertawajjuh kepada Allah sambil berkata: "Ya Tuhanku, Engkaulah yang menjawab permohonan orang - orang yang tersepit dan aku lemah untuk memberikan jawapan atas perkataan Bumi. Maka aku memohon agar Engkau naikkan Muhammad kepadaku supaya aku mendapat kemuliaan dengan baginda sebagaimana mulianya Bumi dengan keindahan baginda dan bermegahnya Bumi dengan baginda." Maka Allah mengabulkan permintaan Langit (dengan memi'rajkan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam ke langit)......

Begitulah sedikit dialog antara Langit dengan Bumi berkait mi'rajnya Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mungkin ini salah satu sebab atau hikmah perjalanan ke langit tersebut, tanpa menafikan hikmah dan sebab - sebab lain yang lebih besar dan utama. Kisah - kisah seumpama ini, iaitu permohonan Langit agar dia dimuliakan dengan dimi'rajkan Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, turut termaktub dalam berbagai penulisan dan diceritakan oleh para ulama kita. Untuk meratakan manfaat dan simpanan dalam entri ini, faqir kongsikan cuplikan daripada Syaikh Dr. Fathi Hijazi, salah seorang ulama dan tenaga pengajar al-Azhar, kisah yang beliau dengar daripada guru beliau Syaikh Salamah al-`Azami. Sama - sama kita dengar, semoga bermanfaat dan menjadi motivasi untuk kita lebih memuliakan lagi Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Dr. Fathi Hijazi