Isnin, Julai 29, 2024
Semoga dapat kita baca, dengar dan fahami molek, agar tidak salah tafsir sehingga walaupun hadisnya sahih, namun pemahamannya tidak sahih, melenceng jauh daripada kebenaran. Akhirnya Tuhan disamakan turun naik macam lift. Ingat kata Imam Malik radhiyaAllahu `anhu: "Turunnya rahmat, bukannya turun perpindahan," (yakni berpindah tempat kerana Maha Suci Allah dari bertempat). Difahami sebagaimana yang diterangkan oleh para ulama kita, secara tafwid mutlak atau ditakwil dengan selayaknya bagi Zat yang Maha Mulia.
Rabu, Julai 24, 2024
Sejengkal & Segenggam
Qiyam atau dalam istilah tok - tok guru tua kita, "berdiri betul", adalah salah satu rukun shalat. Tok guru tak kata berdiri sahaja, tapi berdiri betul dengan kedua tapak kaki direnggangkan sedikit, yakni berdiri yang normal, tidak membongkok, tidak terkangkang dan tidak pula terjepit. Berhubung dengan jarak antara dua tapak kaki, bagi lelaki, maka yang sunatnya adalah dijarakkan dan tidak dirapatkan. Para ulama mencontohkan keadaan menjarakkan tapak kaki ketika berdiri tadi kepada 4 pandangan:- (i) direnggangkan kedua-dua tapak kaki dengan jarak sejengkal; (ii) direnggangkan dengan jarak empat (4) jari atau segenggam; (iii) dihimpunkan dua riwayat tadi dengan menjadikan jarak tumit ke tumit pada kadar empat (4) jari dan ibu jari ke ibu jari dalam kadar sejengkal; dan (iv) dijarakkan tanpa ada kadar yang tertentu asalkan jangan keterlaluan sampai terkangkang atau terlalu rapat sehingga terjepit. Para ulama juga menyatakan bahawa jika jarak antara kedua tapak kaki tersebut terlalu renggang atau terlalu rapat, jika tanpa uzur, maka dihukumkan makruh. Inilah hukumnya bagi orang laki - laki.
Dalam entri ini, faqir hanya ingin menarik perhatian kepada kaifiat yang ke-iii tersebut. Ini adalah kerana semenjak dua menjak ini ada yang ingin menang sendiri dan menyalah-nyalahkan amalan atau kaifiat yang telah lama diajarkan ulama zaman berzaman. Dalam anggapan mereka cara tersebut salah kerana anak - anak jari tidak diarahkan menghadap kiblat. Menurut mereka, kesemua anak jari kaki hendaklah lurus tegak menghadap kiblat. Maka mereka memaksa - maksa diri untuk meluruskan kedua - dua tapak kaki sehingga mendatangkan ketidakselesaan pada betis dan berdirinya nampak janggal (peylok), dibuat - buat dan tidak normal lagi.
Pengalaman pribadi faqir sejak awal mula diajar shalat, kedudukan tapak kaki ketika berdiri betul, yang diajar oleh tok - tok guru, dengan mengambilkira segala nas dan menghimpunkannya, adalah ibu jari kaki kanan dijarakkan kira - kira sejengkal dari ibu jari kaki kiri, manakala tumit kanan dijarakkan kira - kira empat (4) jari dari tumit kiri. Dan inilah keadaan biasa ketika mana seseorang berdiri. Dalam shalat, kedudukan anak - anak jari kaki dalam keadaan sedemikian juga tidaklah keluar dari menghadap kiblat kerana bukanlah maksud menghadap kiblat itu semua kepala anak - anak jari kita mesti lurus menghadap arah kiblat.
Rata - rata beginilah rupa bentuk kedudukan dua tapak kaki yang diajarkan oleh para ulama kita. Jika kita rujuk buku - buku pedoman atau panduan sembahyang yang biasa digunakan dahulu, baik karya almarhum Ustaz Syed Ahmad Semait atau almarhum Ustaz Ahmad Sonhadji, maka kedudukan tapak kaki adalah sebagaimana lakaran yang diambil dari buku Mari Sembahyang (Laki - Laki) yang disusun oleh almarhum Ustaz Haji Ahmad Sonhadji dari cetakan terawal dan cetakan - cetakan berikutnya. Juga dikekalkan lakarannya dalam buku beliau yang lebih terperinci mengenai sembahyang yang diberi jodol Bimbingan Solat Yang Sempurna. Dalam lakaran tersebut kedudukan tapak kaki adalah sejengkal antara ibu jari dan segenggam (4 jari) antara tumit. Kaifiat inilah yang telah diperturunkan oleh ustaz - ustaz dan tuan - tuan guru kita di rantau ini.
Hal ini faqir utarakan berpandukan bukan sahaja daripada tunjuk ajar tuan - tuan guru, juga dari apa yang didengar dan dilihat daripada amalan ulama, ustaz dan masyarakat awam di berbagai tempat belahan dunia. Makanya, ulama kelahiran Jember, 1955, pengasuh Pondok Pesantren Nurul Islam, tokoh Nahdlatul Ulama, KH Muhyiddin Abdusshomad hafizahullah mencatat dalam karangan beliau Shalatlah Seperti Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, pada halaman 46 sebagai berikut:- ...Tata cara berdiri adalah kedua kaki diluruskan. Antara ujung keduanya direnggangkan kira - kira sejengkal dan kedua tumitnya kira - kira empat jari......
Semoga dengan entri yang tidak seberapa ini, terbuka dada kita untuk sentiasa berlapang dadalah, tanpa perlu membenarkan pendapat sendiri semata - mata sehingga meremehkan atau menyalah-nyalahkan pandangan orang lain. Selagi mana berdirinya betul, maka memadailah rukunnya dan sahlah shalatnya, tanpa merasa diri terlebih sunnah berbanding yang lain. Semoga hidayah dan taufiq Allah sentiasa dikurniakan kepada kita sehingga perjalanan kita menuju syurga menjadi mudah dan gampang.
KH Idrus Ramli menyebut kaifiat berdiri
Khamis, Julai 18, 2024
Pengarang Jawahirul Khams
Ulama kita Nusantara, ketika memperturunkan amalan hasballah 70 kali beserta doanya untuk dibaca pada hari `Asyura menjelaskan ianya dinukil daripada seorang yang dikatakan sebagai wali al-Ghauts dalam kitabnya yang berjodol Jawahirul Khams atau dalam sesetengah naskhah ditulis sebagai Jawahirul Khamis dan ada juga yang menulisnya sebagai Jawahirul Khamsah. Misalnya, Mawlana Syaikh Daud rahimahullah dalam Kifaayatul Mubtadi halaman 35 menulis sebagai berikut:- Faedah yang adzimah yang nafisah disebut di dalam kitab Jawahirul Khamis bagi Sayyidi Muhammad al-Ghauts radhiya Allahu `anhu.... Maka siapakah ulama yang digelar al-Ghauts ini?
Sidi Muhammad al-Ghauts merupakan seorang ulama sufi yang amat tersohor dan terkenal, ahli makrifat yang amat disanjungi dan disegani oleh kawan maupun lawan, yang hidup di Benua IndoPak. Beliau ini adalah ulama sufi yang besar pengaruhnya dan merupakan tokoh dalam berbagai thariqah terutama sekali Thariqat Syathariyyah. Thariqat Syathariyyah merupakan thariqat yang banyak diamalkan oleh ulama - ulama Nusantara terdahulu termasuklah Mawlana Syaikh Daud al-Fathani dan daripada beliau - beliau ini menyebar ke seluruh Nusantara. Maka tidak pelik jika karya Syaikh Muhammad al-Ghauts ini dijadikan rujukan untuk beberapa amalan para ulama kita. Riwayat hidup, ajaran - ajarannya, karya - karyanya, juga pengaruh dan keterlibatannya dalam polemik dan politik telah banyak dibuat kajian oleh para pengkaji dan sarjana. Tuan - tuan bolehlah cari sendiri jika berminat untuk mengetahui lebih lanjut lagi mengenai Sidi Muhammad al-Ghauts yang juga dikenali sebagai Syaikh Muhammad Ghouse Gwaliori kerana makamnya berada di Gwalior, Madhya Pradesh, India.
Dalam entri ini, niat faqir hanyalah untuk secara santai memperkenalkan tokoh ulama ini menerusi beberapa karya, agar kita tidak mudah memandang remeh kepada para ulama terdahulu. Dalam al-A`laam, juz ke-6, halaman 114, az-Zirikli hanya memberikan sedikit informasi mengenai Syaikh Muhammad al-Ghauts. Beliau menyatakan nama penuhnya sebagai Abul Muayyad, Muhammad bin Khathiruddin bin Bayazid al-`Aththar. Wafat tahun 970H bersamaan 1562M. Seorang ahli tasawwuf India yang disifatkan sebagai al-Ghauts (yakni wali ghauts). Beliau mengarang kitab Jawahirul Khams di Gujerat pada tahun 956H.
Sebagaimana yang faqir nyatakan di atas, Syaikh Muhammad al-Ghauts ini adalah seorang ulama sufi yang berperanan besar dalam Thariqat Syathariyyah. Bahkan kebanyakan silsilah Thariqat Syathariyyah yang diamalkan oleh para ulama Nusantara bersambung dengan beliau. Mawlana Syaikh Daud rahimahullah dalam Kaifiat Khatam Quran halaman 174 - 176 menyebut silsilah thariqat beliau, antaranya sebagai berikut:- Alhamdulillah, telah talqinkan zikir Syathariyyah ini serta dengan bay`ahnya dan libasul khirqah dan kaifiat yang tersebutnya itu oleh faqir ila Allah ta`ala Syaikh Daud bin Abdullah Fathani akan ikhwanana filllah, al-muhibbu lillah, an-naasik, al-muwaafiq, daripada al-`Arif billah Sayyidi asy-Syaikh Muhammad As`ad qaddasaAllahu sirrahu serta ia ijazahkan faqir, ia ambil daripada bapanya Syaikh Muhammad Sa`id Thahir, ia ambil daripada bapanya Sayyidi asy-Syaikh Ibrahim al-Madani, ia ambil daripada bapanya al-`Arif billah, al-`Alim Syaikh Muhammad Thahir, ia ambil daripada bapanya al-`Arif billah, al-Jaami` bainasy Syariah wal Haqiqah, Syaikh Mulla Ibrahim al-Kuraani, ia ambil daripada Quthbul Madaar wa Qudwatul Muqarrabin al-Abraar, Sayyidi Ahmad al-Qusyasyi, ia mengambil daripada Quthbu Daairatu Musyahadah ar-Rabbani, al-Munfarid fi awaanihi bi tsulatsi, Abil Mawahib `Abdullah bin Ahmad at-Tanawi thayyibaAllahu tsarahu, ia mengambil daripada Sulthanul `Arifin, Sayyidi Shibghatullah, ia mengambil daripada Imamul Qidam wa Ulama-ul A'lam, Sayyidina Wajihuddin al-`Alawi, ia mengambil daripada Ghautsul Jaami, Sayyidina Muhammad al-Ghauts...... Maka Syaikh Muhammad al-Ghauts menduduki tangga ke-10 dalam mata rantai silsilah tersebut.
Syaikh Muhammad al-Ghauts juga tercatat sebagai salah seorang guru bagi seorang lagi wali yang masyhur, iaitu Syaikh Shahul Hameed an-Nagore. Perkara ini diketahui umum dan tercatat dalam karya - karya manaqib bagi Syaikh Shahul Hameed Nagore, antaranya sebagaimana tulisan Imam Mahmud ath-Thaybi `alaihi rahmatul Bari yang berjodol Manaaqib al-Quthbul Majid as-Sayyid Shahul Hameed al-Manakpuri an-Naahuuri yang menyatakan bahawa Shahul Hameed telah dididik dan ditarbiah dalam berbagai ilmu terutama sekali ilmu - ilmu kerohanian oleh Syaikh Muhammad bin Khathiruddin (dalam naskhah yang dimiliki faqir ditulis sebagai "Muhammad ibni Khadziruddin" dengan "dhzo" yang mungkin clerical mistake si penyalin), yang dikhitabkan Allah dengan panggilan "Ya Ghauts" secara yakin. Juga dinyatakan bahawa Syaikh Shahul Hameed an-Nagore juga menerima kitab Jawahirul Khamsah daripada beliau.
Akhir sekali, Mawlana Zakaria al-Kandahlawi rahimahullah dalam Tareekh Masyaikh Chisti, karangan beliau mengenai latar belakang para masyaikh dalam silsilah Thariqat Chistiyyah. Ketika menulis mengenai Maulana Shah `Abdul Quddus Gangohi qaddasaAllahu sirrah, beliau menyentuh pertemuan antara Mawlana `Abdul Quddus dengan Syaikh Muhammad al-Ghauts, pengarang kitab Jawahirul Khamsah. Dikisahkan pada halaman 206 bahawa Syaikh Muhammad al-Ghauts ingin bertemu dengan Mawlana `Abdul Quddus yang lebih berusia daripada dirinya. Lalu beliau yang mempunyai murid atau khadam daripada kalangan jin, telah menyuruh beberapa jin untuk membawa Mawlana `Abdul Quddus kepadanya. Namun, singkat cerita, jin - jin tersebut sebaliknya telah membawa Syaikh Muhammad al-Ghauts kepada Mawlana `Abdul Quddus atas perintah Mawlana `Abdul Quddus. Dalam pertemuan tersebut, Mawlana Abdul Quddus telah memberikan teguran, nasihat dan pengajaran kepada Syaikh Muhammad al-Ghauts. Syaikh Muhammad al-Ghauts juga mengambil bay`ah daripada Mawlana Abdul Quddus sehingga beliau mencapai kedudukan shahibun nisbat (yakni satu kedudukan kerohanian yang tinggi).
Sebagai penutup, Syaikh Muhammad al-Ghauts meninggal dunia di Agra pada 17 Ramadhan 970H dan dimakamkan di Gwalior. Beliau meninggalkan ramai murid dan khalifah thariqat, juga beberapa karya lain seperti Mairaj Namah, Bahrul Hayat dan Khalid e Makhzan. Begitulah sekelumit kecil daripada riwayat hidup Syaikh Muhammad al-Ghauts qaddasaAllahu sirrah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Syaikh Muhammad al-Ghauts dan menyampaikan keberkatannya kepada kita sekalian.
Kubah Makam Syaikh Muhammad al-Ghauts di Gwalior
Isnin, Julai 15, 2024
Faedah Dari Bahjah - `Asyura
Keistimewaan hari `Asyura sudah masyhur di sisi kita. Kali ini faqir berhasrat menambah sedikit informasi berkisar kelebihan beramal pada hari yang mulia tersebut. Tok Syaikh Nik Mat Shaghir rahimahullah dalam al-Bahjatul Mardhiyyah pada halaman 128 - 129 menulis sebagai berikut:- ...Tersebut dalam Taurat, barangsiapa puasa pada hari `Asyura, maka seolah - olah seperti puasa sepanjang - panjang tahun sekaliannya. Dan barangsiapa menyapu pada hari `Asyura kepala anak yatim, diberi Allah baginya dengan sebilang - bilang urat rambut, satu pohon kayu di dalam syurga atasnya beberapa pakaian barang yang tiada diketahuikan dia melainkan Allah ta`ala. Dan barangsiapa bersedekah pada hari `Asyura, maka seolah - olah seperti tiada meninggal ia akan orang yang meminta - minta melainkan diberikan dia. Dan sabda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Barangsiapa meluaskan atas anak buahnya dan ahlinya pada hari `Asyura, diluas Allah atasnya sekalian tahunnya," riwayatkan dia oleh Baihaqi. Dan daripada Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Barangsiapa sembahyang pada hari `Asyura empat rakaat, dibaca pada tiap - tiap rakaat akan Fatihah dan `Qul Huwa Allahu Ahad' sebelas kali, diampuni Allah baginya akan dosa lima puluh tahun dan dibina baginya mimbar daripada nur. Dan barangsiapa mandi pada hari `Asyura, tiada sakit ia pada tahun itu melaibkan sakit mati. Dan barangsiapa bercelak pada hari `Asyura, tiada sakit matanya pada demikiannya tahun itu.
Inilah sekadarnya yang dimuatkan oleh Tok Syaikh Nik Mat Shaghir dalam kitabnya tersebut. Barang diingat bahawa segala amalan - amalan yang dianjurkan tadi dan kelebihannya masing - masing, maka segala riwayat yang menyandarkan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa salam adalah bermasalah, selain tentang puasa dan melapangkan nafkah bagi keluarga. Namun, memandangkan amalan - amalan tersebut termasuk dalam anjuran umum untuk dilakukan, maka tidaklah menjadi masalah untuk melakukannya, asalkan tidak dinisbahkan fadhilat dan anjuran perlaksanaannya secara khusus pada hari `Asyura kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan pasti.
Khamis, Julai 11, 2024
Shalawat Fatih -Sidi Jailani ?
Sebagaimana yang pernah faqir tulis bertahun dahulu, Shalawat Fatih dengan sedikit perbezaan lafaz, ada ulama yang menisbahkannya kepada Sultanul Awliya` Syaikh `Abdul Qadir al-Jailani qaddasaAllahu sirrahul `aziz. Tok Syaikh Wan Ali Kutan rahimahullah dan Kiyai Agung Sidi Syaikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi qaddasaAllahu sirrah, adalah antara ulama yang berpendapat sedemikian, sama seperti pandangan guru beliau Sidi Ahmad bin Zaini Dahlan rahimahullah. Dalam al-Futuuhatul Ilahiyyah pada halaman 17, Kiyai Agung menukilkan sebagai berikut:- Adapun shighah shalawat yang dinisbahkan kepada Sayyid al-Kamil, asy-Sayyid, asy-Syarif, asy-Syaikh `Abdul Qadir al-Jailani radhiyaAllahu `anhu, iaitu "Allahumma shalli wa sallim `ala Sayyidina Muhammad, al-Fatihi limaa ughliq....." Maka telah ramai awliya menyatakan bahawa lafaz shalawat ini mengandungi asrar (rahasia -rahasia) dan keajaiban - keajaiban yang tidak terjangkau oleh akal. Sesiapa yang melazimi membacanya 100 kali setiap hari, akan t\dibukakan baginya hijab - hijab banyak (yakni akan dihilangkan Allah baginya bermacam tabir yang menghalang dia untuk mencapai makrifatullah dan mahabbatullah), diberikan baginya nur - nur yang banyak, dan ditunaikan baginya segala cita - cita yang tiada siapa mengetahui kadarnya selain Allah.
Tok Syaikh Wan Ali Kutan dalam al-Jawharul Mawhub pada halaman 29 memuatkan terjemahan yang persis seperti ibarat dalam al-Futuuhatul Ilahiyyah, memberikan andaian bahawa kedua - dua ulama ini menukilkan ibarat asal dari satu sumber yang sama. Nukilan beliau adalah seperti berikut:- ( Ini shalawat) bagi Syaikh `Abdul Qadir al-Jailani radhiyaAllahu `anhu, iaitu .."Allahumma shalli wa sallim `ala Sayyidina Muhammad, al-Fatihi lima ughliq ...." Telah menyebut kebanyakan daripada arifin bahawasanya shalawat ini bagi membukakan asrar dan yang ajaib - ajaib yang terhairan oleh akal. Barangsiapa mengekali atasnya tiap - tiap hari 100 kali nescaya terbuka baginya daripada segala hijab dan hasil baginya daripada anwar dan menunaikan segala hajat barang yang tiada mengetahui kadarnya melainkan Allah ta`ala.
Semoga bermanfaat dan tambah semangat dalam beramal, tanpa menghirau kepada celaan para pencela yang bertopengkan sunnah dan merasakan diri lebih sunnah berbanding para ulama dan awliya umat ini. Ingat pepatah Melayu, hanya jauhari mengenal manikam, jangan tertipu dengan kilauan kaca hingga akhir dikata intan.
Guru Ijai Tentang Shalawat Fatih
Rabu, Julai 03, 2024
Dalail - Hakimul Ummah
Hakimul Ummah Maulana Asyraf Ali Thanwi rahimahullah berkata:- "People request permission (ijazah) for reciting Dalailul Khairat from the piously elders (syuyukh). There is a faulty intention in doing so, as they believe that reciting it without permission (ijazah) will be without any blessing (barakah). Most likely, the system of acquiring permission was intially developed to make sure that the wordings of the text were correctly transmitted. While giving the permission, the syaikh used to listen to the recitation and made any correction needed. If someone asks me regarding the recitation of Dalailul Khairat, I tell him to recite but leave the recitation of the statements that say: "Qala an-Nabiy shallaAllahu `alaihi wa sallam". This is because few of the hadis in it are fabricated (maudhu`). Apart from this, its subject matter is completely accurate.
Begitulah pernyataan salah seorang ulama besar benua IndoPak dalam Majmu`al Malfuzat: al-Kalam al-Hasan yang dterjemahkan dalam Bahasa Inggeris pada halaman 106. Maka amalan membaca kitab shalawat Dalailul Khairat tidak dipertikaikan oleh majoriti ulama di sana, samada Deobandi atau Barelwi. Mereka tidak mempermasalahkan ungkapan shighah - shighah shalawat yang disusun oleh Imam al-Jazuli rahimahullah, yang dipertikaikan adalah beberapa hadis yang disebut oleh beliau dalam mukaddimahnya yang mengikut disiplin ahli hadis tidak sabit. Para ulama kita bersikap adil, buang yang keruh ambil yang jernih; berbeza dengan puak sebelah yang marahkan nyamuk kelambu dibakar. Wujudnya satu dua hadis bermasalah tidak menjadikan Dalailul Khairat sebagai kitab sesat yang perlu dibakar. Berlaku adil kepada penyusunnya yang diiktiraf oleh ramai ulama sebagai seorang yang alim, faqih lagi wali. Ra-isul Muhadditsin, Mawlana Zakaria al-Kandahlawi rahimahullah dalam karangan beliau Fadhail Duruud Syarif pada halaman 155 menulis: Syaikh Zarruq rahimahullahu ta`ala menulis bahawa kubur penyusun Dalailul Khairat (Syaikh Abu Abdullah Muhammad bin Sulaiman al-Jazuli rahimahullah) berbau wangi semerbak harum bagaikan kasturi dan anbar kerana keberkatan shalawat.
Langgan:
Catatan (Atom)