Isnin, Februari 28, 2022

Allah Tidak Bertempat


Malam ini kita dan ramai umat Islam di seluruh dunia akan memperingati satu mukjizat besar yang pernah berlaku ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Lebih 1400 tahun yang lalu, pada malam 27 Rejab, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah diperjalankan pada satu malam tersebut dari Kota Mekah ke Kota Baitul Maqdis, lalu dilanjutkan perjalanan baginda menerobos 7 petala langit sehingga ke Mustawa. Junjungan diperlihatkan kepada beberapa rahsia dan keajaiban termasuklah syurga dan neraka. Namun, jangan pula kita beranggapan bahawa neraka itu bertempat di mana - mana satu langit tersebut. Melihatnya Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam akan neraka ketika dalam perjalanan agung tersebut, bukanlah bererti neraka itu terletak atau bertempat di laluan yang dilalui oleh Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Allah Maha Kuasa untuk memperlihatkan apa jua, di mana jua, kepada siapa jua yang Dia kehendaki. Maka begitulah juga jika dikatakan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam telah melihat Allah `azza wa jalla dengan mata kepala baginda dalam peristiwa tersebut, maka jangan pula dikatakan Allah `azza wa jalla itu bertempat. Ketika Junjungan melihat Allah, maka itu tempat Junjungan melihat dan bukanlah tempat bagi Zat Allah yang Maha Agung. Kita berpegang dengan akidah Ahlis Sunnah wal Jama`ah bahawa Zat Allah tidak bertempat, Dialah yang menjadikan segala tempat maka Maha Suci dan Terkayalah Dia daripada mengambil faedah daripada makhluk ciptaanNya. Oleh itu, hindarilah ajaran - ajaran songsang yang menyalahi Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang menyatakan Allah itu bertempat, bahkan mereka sanggup membuat bid`ah dengan mengada-adakan tempat bagi Allah yang  dinamakan sebagai makanul `adami, yang imbas - imbas alam karut hasil khayalan manusia yang dinamakan The Null Realm atau World of Void yang termaktub dalam kitab komik Dragon Ball. Jauhi puak - puak ini walaupun lidah mereka petah berhujjah dan mengaku salafi.

Isnin, Februari 14, 2022

Doa Bulan Rejab

Walaupun sudah hampir pertengahan bulan Rejab, masih ada yang bertanya tentang doa yang biasa dibaca orang ketika menjelang bulan Rejab atau diamalkan sepanjang bulan Rejab. Doa yang sudah masyhur dan diamalkan sejak zaman berzaman dalam masyarakat Islam di Nusantara. Jika pun riwayat doa tersebut dianggap dhaif sekalipun, maka tetap tidak menyalahi syarak untuk kita mengamalkannya. Jangankan doa daripada sumber yang dhaif, doa yang langsung tak bersumberkan sebarang riwayat hadis, yang dikarang sendiri pun tidak bermasalah untuk diamalkan asalkan tidak menyalahi akidah dan hukum. Imam an-Nawawi radhiyaAllahu `anhu menukilkan dalam kitab al-Adzkar pada halaman 288 sebagai berikut:- Telah kami riwayatkan sebuah hadis yang terkandung dalam Hilyatul Awliya` dengan sanad yang mengandungi perawi yang dhaif, daripada Ziyad an-Numairi daripada Sayyidina Anas radhiyaAllahu `anhu yang menyatakan bahawasanya Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika masuk bulan Rejab berdoa dengan: "Ya Allah, berkatilah kami pada Rejab (ini) dan Sya'ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan." Kami juga meriwayatkannya dari kitab Ibnus Sunni dengan penambahan, wa Allahu a'lam.
Maka status dhaif riwayat doa ini seharusnya jangan dijadikan isu dan perdebatan, terutama sekali di kalangan masyarakat awam, sehingga merenggangkan ukhuwwah sesama umat dan menjadi saling bermusuhan dek sebab yang terlalu kecil. Oleh itu, tak perlulah diperbesar - besarkan perkara ini. Sesiapa yang hendak mengamalkannya, silakan dan sesiapa yang tidak mahu, tidaklah menjadi kesalahan, yang jadi kesalahan adalah mencemuh, mengejek dan membid`ahsesatkan pihak yang mengamalkannya.


Berlepas dari isu kedhaifan riwayat doa tersebut, timbul lagi isu apakah Rajab itu dibaca Rajaba atau Rajabin, sebab ada ustaz yang baca "Allahumma baarik lana fi Rajaba wa Sya'baan" dan ada ustaz lain yang baca "Allahumma baarik lana fi Rajabin wa Sya'baan". Maka poninglah jugak orang awam, ada yang ambil jalan mudah dan bijak, diwaqafkannya sajalah pada kalimah Rajab, Allahumma baarik lana fi Rajab, wa Sya'baan .... Sebenarnya, kedua - dua bacaan tersebut adalah benar dan betul. Jika dibaca Rajaba maka maksudnya adalah Rajab yang tertentu (mu`ayyan), dan jika dibaca Rajabin maka maksudnya adalah Rajab secara umum. Hal ini telah dijelaskan dalam kitab - kitab nahu, antaranya Hasyiah al-Haamidi `alal Kafrawi dan Hasyiah Khudhari `ala Ibni `Aqil, juz 1, halaman 718. Mudah - mudahan bermanfaat hendaknya.

Hasyiah al-Haamidi
(pada hamisy Kafrawi)

Hasyiah Khudhari