Ayat 7 ad-Dhuha: Tafsir 2 Tokoh
Ayat ke-7, surah ad-Dhuha sering diterjemah atau ditafsirkan oleh sesetengah orang dengan salah atau kurang tepat, bahkan dengan terjemahan yang boleh dikategorikan sebagai merendahkan ketinggian dan kebesaran martabat Junjungan Nabi SAW. Jika kita rajin mentelaah karya-karya klasik para mufassir yang muktabar seperti Imam ar-Razi dan seumpamanya nescaya kita akan dapat menggarap pengertian dan tafsirannya yang tepat lagi munasabah serta mendaulatkan keagungan martabat Junjungan Rasulullah SAW. Ulama Jawi kontemporari turut memberikan tafsiran mereka tentang ayat tersebut. Di sini aku ingin berkongsi dengan ikhwah sekalian, tafsir bagi ayat yang mulia ini bagi dua orang ulama Jawi yang terkenal dalam era kita, iaitu Ustaz Syed Abdillah al-Jufri dan Dr. HAMKA. Almarhum Ustaz Syed Abdillah Ahmad Al-Jufri dalam tafsir beliau yang bertajuk "Pelita Al-Quran", juz 30 halaman 170 - 171 mentafsirkan ayat tersebut sebagai berikut:-
"Dan Dia telah dapati kamu tiada mengetahui lalu ditunjukiNya kamu." Dahulu kamu belum mengetahui tanda-tanda kenabian dan hukum - hukum syariat yang akan diturunkan kepadamu, juga tidak mengetahui apakah perkara yang akan diberitahu kepadamu, maka Allah menurunkan Al-Quran yang mengandungi hukum - hukum syariat yang diutuskan bersamanya. Ini sesuai dengan firman Allah ta`ala dalam surah Asy-Syura yang berbunyi: "........... artinya:- Begitulah Kami wahyukan kepada engkau (Al-Quran) dengan perintah Kami, Engkau dahulunya tiada mengetahui apakah kitab dan apakah iman. Tetapi Kami jadikan Al-Quran itu cahaya yang terang nyata. Yang dengannya Kami pimpin orang - orang yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami dan sesungguhnya engkau memberikan pimpinan kepada jalan yang lurus." (Asy-Syura:52).Perkataan Dhaallan, artinya sesat. Maksud sesat di sini tidak boleh ditafsirkan dengan kesesatan biasa yang dialami oleh masyarakat Arab di zaman Jahiliah. Sesat yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah, bahawa Rasulullah s.a.w. sendiri dalam bingung dan tidak senang hati melihatkan keadaan masyarakatnya begitu buruk. Kusut fikirannya, Baginda tidak tahu apa yang hendak dibuat terhadap masyarakatnya sehinggalah Allah menurunkan wahyuNya kepada Baginda, dan pengajaran - pengajaran agama yang seterusnya barulah Baginda tahu bagaimana cara dan jalan yang patut diikuti untuk memimpin masyarakatnya.Ada setengah ahli tafsir mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. masa kecilnya pernah tersesat jalan di kawasan pergunungan Mekah itu, kemudian dia ditunjuki jalan pulang ke rumah. Kata Ibnu Abbas: Rasulullah semasa kecilnya pernah tersesat jalan, dia telah ditemui oleh Abu Jahal lalu dibawa pulang ke rumah datuknya Abdul Muthalib.Kata Sa`id bin Jubair: Iblis cuba menarik kekang unta yang ditunggangi oleh Rasulullah s.a.w. di waktu malam gelap ketika belayar bersama pakciknya Abu Talib maka datanglah Jibril membawa balik Nabi Muhammad ke dalam kumpulan kafilah Abu Talib. Dan banyak lagi riwayat yang seumpama itu tentang kehilangan Nabi Muhammad s.a.w. semasa kecil, wallahu-a'lam.
Almarhum Dr. HAMKA pula dalam "Tafsir al-Azhar" juzu` 30 halaman 171 memberikan tafsiran berikut :-
"Dan didapatinya engkau dalam keadaan bingung, lalu Dia pimpin." (Ayat 7). Sejak masa muda belianya telah kelihatan beliau tidak menyukai perbuatan - perbuatan kaumnya, menyembah berhala, menternak uang dengan riba, memperbudak sesama manusia dengan sesuka hati, mengubur anak-anak perempuan hidup - hidup. Kadang - kadang berperang di antara satu qabilah dengan qabilah yang lain hanya karena soal-soal kecil. Beliau menolak semuanya itu. Tetapi beliau bingung, tak tahu jalan, bagaimana memperbaiki segala kebobrokan yang didapatinya dalam masyarakat ini. Lalu tertariklah hatinya hendak menyisihkan diri, mencari kejernihan pada jiwa, memohonkan pertunjuk kepada Allah, maka datanglaj wahyu. Dan diceriterakan pula bahwa wahyu itu datang bertingkat-tingkat. Mulanya berupa suatu mimpi yang benar, kemudian sebagai bunyi lonceng. Akhirnya datanglah malaikat membawa wahyu pertama di gua Hiraa. Dengan datangnya wahyu sebagai hidayat daripada Allah, hilanglah kebingungan beliau dan dapatlah beliau memimpin kaumnya dan bangsa dan dunia seluruhnya.
Cubalah tuan - tuan bandingkan tafsiran kedua ulama Jawi ini dengan tafsir yang disampaikan Ustaz Zahazan Mohamed dalam kuliah tafsir beliau, sebagaimana dalam klip yang disertakan dengan transkripnya sebagai berikut:-
".... Saudara - saudari yang dirahmati dan dikasihi Allah sekalian. Seterusnya Allah mengingatkan sebelum ini kamu dalam keadaan bingung, yang dimaksudkan bingung di sini iaitu sebelum kedatangan Islam, sebelum kedatangan wahyu nubuwwah kepada Nabi Muhammad s.a.w., baginda terjebak dalam perkara - perkara yang menyebabkan mereka, menyebabkan Nabi s.a.w. tidak dinilai sebagai orang - orang beriman kepada Allah s.w.t. Di sini menjadi pengajaran kepada kita walaupun seseorang itu hebat kedudukannya, pengorbanannya, jasa baktinya, tanpa Islam dia tidak dinilai apa-apa oleh Allah s.w.t....."
Aku lebih selesa dengan tafsiran dua ulama terdahulu tadi berbandingkan tafsiran Ustaz Zahazan yang menggambarkan Junjungan Nabi SAW sebagai seorang yang tidak beriman kepada Allah sebelum baginda menerima wahyu. Tafsiran sebegini nyata bertentangan dengan iktikad yang kita pegang mengenai kemaksuman para Nabi. Diharap Ustaz Zahazan dapat menilai kembali tafsiran beliau tersebut dengan merujuk kembali kepada tafsiran para ulama muktabar terdahulu dalam tafsir-tafsir mereka dan tidak hanya melihat kepada tafsir-tafsir yang bersifat ringkasan atau mudah karya ulama kontemporari yang cenderung kepada fahaman "salahpi" seumpama "Tafsir al-Muyassar" atau "Tafsir as-Sa'di" yang sering beliau war-warkan dalam corong radio. Mudah-mudahan Allah sentiasa memberikan taufiq dan hidayahNya kepada kita sekalian agar tidak tersesat dalam terang.
Klip Tafsir Ust. Zahazan