Dipimpin Ke Syurga
Nikmat Allah yang paling besar dan tidak ternilai, yang dianugerahkanNya kepada kita, adalah nikmat Iman dan Islam. Dengan kurniaan dan ihsan Allah, kita dilahirkan sebagai orang mukmin yang bertuhankan Allah, bernabikan Junjungan Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam dan berpegang atas agamaNya yang diredhai, Dinul Islam. Berapa ramai manusia yang berakal namun tidak mendapat kurniaan terbesar ini. Manusia yang keilmuannya dalam bidang sains dan teknologi mengkagumkan kita, namun yang mencengangkan kita adalah apabila mereka yang dikatakan berotak bijak ini seperti tidak berakal, apabila menjadikan makhluk sebagai sembahan, ada yang menyembah patung, batu dan kayu; Ada yang menyembah alam semesta, bukit bukau dan gunung ganang; Ada yang menyembah manusia yang makan minum seperti dirinya; Dan yang lebih parah ada yang menyembah Iblis, jin dan syaitan yang durjana. Allahu ...Allah... di manakah kecerdikan akal? Allahu ... Allah, makanya hendaklah kita bersyukur banyak - banyak dan menghargai hidayah dan taufik daripadaNya tersebut. Maka sentiasalah hendaknya kita mensyukuri nikmat terbesar ini, nikmat yang membawa kita selamat di negeri yang abadi. Jangan sesekali kita tukar nikmat ini dengan apa jua, sekali pun nyawa menjadi galang gantinya. Sentiasa ingatkan diri agar redha dengan yang sedemikian. Ucapkan dengan penuh keikhlasan dari lubuk hati terdalam: " Aku redha Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai nabiKu". Dan benarkanlah apa yang engkau pegang dan katakan tadi dalam segala perbuatan, kelakuan dan keperibadianmu, yakni dengan mematuhi dan menjunjung segala titah perintah Allah dan menjauhi segala tegahan dan laranganNya, berpandukan ajaran dan sunnah baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam yang disampaikan oleh para ulama muktabar yang merupakan pewaris baginda.
Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah mengajar dan menganjur kita untuk membaca satu rangkaian kalimah yang ringan, berisikan ikrar pengakuan dan keredhaan kita menjadikan hanya Allah sebagai Rab (Tuhan), Islam sebagai agama dan Nabi Muhammad sebagai nabi. Junjungan menganjurkan kita mengucapkan kalimah ini setidak - tidaknya setiap pagi sekali, agar ianya terpahat dan tertancap kukuh dalam hati sanubari kita. Imam ath-Thabrani rahimahullah meriwayatkan dengan sanad yang shahih bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang mengucapkan ketika berpagi akan ucapan: "Radhitu billaahi rabba, wa bil Islami diina, wa bi Muhammadin nabiyya"; Maka aku beri jaminan untuk memegang / mengambil tangannya sehingga kumasukkan dia ke syurga." Allahu ... Allah, betapa kalimah yang sedikit memiliki kelebihan yang luar biasa, pastinya ianya hendaklah diimani, diyakini dan dihayati dengan sebenar - benar keyakinan dan penghayatan, tidak hanya bermain di bibir sahaja. Walau bagaimanapun, mudah - mudahan apa yang sentiasa bermain di bibir akan meresap ke hati lalu mempengaruhi segala anggota. Allahumma aamiin.