Isnin, November 30, 2009

Tauhid tiga serangkai disyariat dalam Islam?

MINGGU ini kita menyambung kembali persoalan tauhid tiga serangkai yang telah pun diberikan lontaran awal pada dua minggu lepas. Sebelum soalan pertama dilontarkan mengenai tauhid tiga serangkai atau tauhid tiga bahagian yang diformulasikan atau direka oleh Ibnu Taimiyyah ini, sebaiknya kita melihat dahulu secara ringkas definisi yang diberikan kepada ketiga-tiga tauhid ini.

Tauhid rububiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada ciptaan, pemerintahan, takdir, pentadbiran dan perbuatan-Nya serta dalam memberikan suatu kesan.

Manakala tauhid uluhiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah dalam hal peribadatan tanpa mengambil seorang manusia pun bersama Allah sebagai sembahan.

Tauhid Asma' dan Sifat pula didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada apa yang dinamakan dan disifatkan dengan diri-Nya, sebagaimana yang terdapat di dalam kitab-Nya atau yang didapati daripada lidah nabi-Nya yang telah menetapkan dengan apa yang telah ditetapkan bagi diri-Nya.

Dalam membincangkan pembahagian ini, maka perkara utama yang perlu dipersoalkan dan bincangkan ialah adakah pembahagian ini telah dinaskan oleh syarak dan terdapat dalil-dalil yang menunjukkan ke atasnya? Adakah pembahagian ini merupakan perkara yang disyariatkan ataupun perkara baru yang dicipta (bidaah)?

Persoalan ini, mengandungi beberapa jawapan:

Jawapan Pertama

Ibnu Taimiyyah yang merupakan pereka pembahagian tauhid ini mendakwa dirinya bermazhab Hanbali.

Namun Imam Ahmad ibnu Hanbal r.a. sendiri, yang dikatakan menjadi tempat sandaran bagi orang-orang yang melakukan pembahagian tauhid bidaah ini, tidak pernah menyatakan bahawa tauhid itu mempunyai beberapa bahagian; tauhid rububiah, tauhid uluhiah dan tauhid asma' dan sifat.

Beliau juga tidak pernah menyatakan bahawa sesiapa yang tidak mengetahui tauhid uluhiah, tidak dikira makrifatnya tentang tauhid rububiah kerana tauhid rububiah ini telah diketahui oleh orang musyrikin.

Sesungguhnya akidah Imam Ahmad ibn Hanbal r.a telah disusun di dalam kitab-kitab karangan pengikutnya. Misalnya, di dalam kitab biografinya yang ditulis oleh Ibnu Jauzi dan lain-lainnya, tidak terdapat langsung pembahagian tauhid rekaan ini. Maka dari manakah Ibnu Taimiyyah mengambil tauhid ini?

Jawapan Kedua

Tidak berkata walau seorang daripada Sahabat-sahabat Nabi r.a: "Sesungguhnya tauhid itu ialah tauhid rububiah dan tauhid uluhiah, dan sekiranya seseorang tidak mengetahui tentang tauhid uluhiah, maka tidak dikira makrifahnya tentang tauhid rububiyyah kerana tauhid rububiah ini telah diketahui oleh orang musyrikin".

Justeru, saya mencabar kepada setiap orang yang mempunyai ilmu yang mendalam, supaya menaqalkan kepada kami pembahagian yang diada-adakan ini daripada sahabat-sahabat Nabi r.a, sekalipun dengan mengemukakan satu riwayat yang lemah.

Jawapan Ketiga

Tidak terdapat dalam sunnah Nabi SAW yang luas dan menjadi penjelas kepada kitab Allah, sama ada dalam kitab-kitab hadis sahih, sunan-sunan, musnad-musnad dan mu'jam-mu'jam yang menyebut bahawa Nabi SAW pernah bersabda dan mengajar sahabat-sahabatnya, bahawa tauhid itu terbahagi kepada tauhid uluhiah dan juga rububiah yang telah diketahui oleh orang musyrik.

Sekiranya berkumpul jin dan manusia bersama-sama mereka untuk menetapkan bahawa pembahagian ini adalah datang daripada Nabi SAW dengan isnadnya, sekalipun dengan isnad yang lemah, nescaya mereka tidak akan mampu untuk mendatangkannya walaupun dengan satu jalan.

Jawapan Keempat

Telah tercatat dalam sunnah yang banyak, bahawa dalam dakwah Rasulullah SAW mengajak manusia kepada Allah, Baginda SAW menyeru mereka ke arah penyaksian kalimah syahadah: Tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Baginda SAW juga mengajak mereka meninggalkan penyembahan berhala.

Di antara hadis yang paling masyhur menyebut tentang perkara ini ialah hadis Muaz ibnu Jabal r.a. Ketika beliau diutuskan oleh Nabi SAW ke Yaman, Baginda SAW bersabda kepadanya: Serulah mereka kepada penyaksian "Bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah". Sekiranya mereka mentaatinya, maka hendaklah kamu khabarkan kepada mereka bahawa diwajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam. (riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya)

Diriwayatkan oleh pengarang kitab Sunan dan Ibnu Hibban, bahawa seorang Arab Badawi memberitahu Rasulullah SAW bahawa dia telah melihat anak bulan. Lantas Rasulullah SAW memerintahkan supaya berpuasa dan Baginda SAW tidak menyoalnya melainkan tentang pengakuannya terhadap kalimah syahadah. (diriwayatkan oleh Abu Daud, al Nasaei, al Tirmizi dan lain-lain)

Sekiranya tauhid itu terbahagi kepada tiga bahagian sebagaimana yang mereka perkatakan, maka sudah tentulah Nabi SAW menyeru sekelian manusia kepada tauhid uluhiah yang tidak mereka ketahui dan bukannya tauhid rububiah kerana mereka telah mengetahuinya.

Demikian juga, perlulah Baginda SAW bersabda kepada Muaz r.a, "Serulah mereka kepada tauhid uluhiah," dan Baginda SAW bertanya terlebih dahulu kepada orang Arab Badawi yang melihat anak bulan Ramadan, "Adakah kamu mengetahui tentang tauhid uluhiah dan perbezaan di antara tauhid ini dengan tauhid rububiah, dan adakah kamu mengetahui tauhid asma' dan sifat?"

Jawapan Kelima

Di dalam kitab Allah yang ternyata tidak dicemari dengan kebatilan, tidak membezakan di antara tauhid uluhiah dan tauhid rububiah.

Begitu juga tidak dikatakan kepada mereka: Sesiapa yang tidak mengetahui tauhid uluhiah tidak dikira imannya, bahkan dia adalah lebih kafir daripada Firaun dan Haman. Tetapi Allah SWT memerintahkan dengan kalimah tauhid secara mutlak sebagaimana firman Allah SWT kepada Nabi-Nya dalam surah Muhammad ayat 19: Ketahuilah, bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah. Begitu jugalah dengan keseluruhan ayat tauhid yang disebut di dalam al-Quran.

Sekiranya kamu kehendaki, maka bacalah surah al-Ikhlas yang menyamai sepertiga al-Quran. Adakah kamu mendapati di dalamnya ayat yang membezakan di antara uluhiah dan rububiah sebagaimana yang mereka sangkakan?

Jawapan Keenam

Melalui pembahagian yang direka ini, memberi kefahaman kepada kita, seolah-olah Allah masih belum lagi menyempurnakan agama-Nya. Kemudian, datang seseorang yang kononnya untuk menyempurnakan agama Allah yang masih lagi mempunyai kekurangan dan menjelaskan tentang tauhid dan pembahagiannya kepada manusia pada kurun ke-7 Hijrah.

Pada kurun ini, lahirnya pembahagian tauhid uluhiah, rububiah, asma' dan sifat yang dicetuskan oleh Ibnu Taimiyyah (661- 724 H). Seolah-olah semua umat tidak mengetahui tentang apa yang diperkenalkan oleh pemuka-pemuka pembahagian tauhid rekaan ini.

Selepas kita mengetahui jawapan daripada soalan pertama ini, yakinlah kita dengan sempurna bahawa tauhid ini tidak mempunyai sumber yang sah daripada al-Quran dan hadis.

Ia menunjukkan bahawa pembahagian ini hanyalah rekaan semata-mata. Persoalan kedua akan dikemukakan pada minggu hadapan, insya-Allah.

Beradab Dalam Berbeza Pendapat

KITA harus menerima hakikat bahawa walaupun agama Islam itu satu, namun tafsiran terhadap Islam itu berbeza-beza. Pemahaman dan seterusnya penafsiran terhadap sumber-sumber Islam yang asal iaitu al-Quran dan al-Sunnah adalah tidak sama di kalangan para imam dan ulama mujtahid. Kerana itulah ia membawa kepada wujudnya pelbagai aliran atau disebut juga mazhab dalam dunia Islam sejak awal lagi.

Bahkan perbezaan kefahaman ini wujud sejak di zaman para sahabat Rasulullah SAW lagi. Kekalutan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini ialah apabila munculnya sekelompok 'agamawan reformis' atau digelar juga 'progresif' yang mendakwa bahawa pendapat mereka sahajalah yang betul lalu mereka ini ingin melakukan apa yang disebut 'pembaikan' (islah) atau pembaharuan (tajdid) dalam masyarakat.

Pembaharuan ini ingin dilakukan atas pelbagai nama dan platform sama ada 'minda tajdid', atau mengemudi 'bahtera itu dan ini' dengan pelbagai slogan pula seperti 'kembali kepada al-Quran dan Sunnah', atau 'mengikut amalan generasi Salaf' dan seumpamanya.

Apa yang ingin digambarkan oleh kelompok 'mujaddid palsu' ini ialah selama ini amalan masyarakat kita kononnya tidak mengikut al-Quran dan Sunnah; nenek moyang dan ibu bapa kita tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya; masyarakat kita banyak melakukan amalan bidaah sesat, bahkan turut mempertikaikan mengikut mazhab kerana katanya di zaman Nabi SAW dulu tiada mazhab lalu kenapa kita harus mengikut mazhab hari ini.

Tiada salah untuk melakukan pembaharuan malah ia dituntut apabila masyarakat menjadi semakin jauh dari amalan murni Islam yang sebenar lalu mencampur-adukkan dengan amalan khurafat dan bidaah sesat. Bahkan ada hadis dari Abu Hurayrah r.a., yang menyebut bahawa Allah akan membangkitkan setiap seratus tahun untuk ummah ini orang yang memperbaharui agamanya. (Sunan Abu Dawud)

Namun apa yang mengecewakan ialah apabila golongan-golongan ini bukannya 'memperbaharui' agama daripada perkara-perkara khurafat dan bidaah sesat, sebaliknya membongkar perkara-perkara khilafiyyah yang telah disepakati para ulama silam sejak ratusan tahun lalu untuk bersetuju berbeza pendapat (agree to disagree).

Kesan pembongkaran itu hanyalah menimbulkan keresahan dan keraguan di kalangan masyarakat sehingga membawa kepada perpecahan sesama sendiri.

Perkara-perkara khilafiyyah yang wujud dalam amalan mazhab-mazhab Ahlul Sunnah wal Jamaah seperti membaca qunut Subuh, keadaan jari telunjuk ketika tasyahhud perlu digerakkan atau tidak, berdoa beramai-ramai selepas sembahyang, dan seumpamanya tidak mungkin dapat diselesaikan hari ini jika dahulu pun tidak mampu diselesaikan oleh alim-ulama yang ratusan kali ganda lebih hebat daripada ulama-ulama hari ini dan lebih dekat dengan Rasulullah SAW dan generasi Salaf.

Menyedari hakikat bahawa perbezaan pendapat para ulama itu tidak dapat dielakkan khususnya dalam hal-hal ranting yang terperinci dalam ibadat, maka para ulama usul telah merumuskan bahawa "kebenaran dalam perkara ranting (furuk) itu berbilang-bilang." Ia suatu hakikat bahawa kebenaran dalam perkara bersifat 'cabang-cabang' Islam ini tidak mampu untuk diseragamkan menjadi satu walaupun ribuan ulama telah mencubanya sejak sekian lama.

Lalu selama kita mengikuti pandangan majoriti ulama (al-sawad al-a'zam) iaitu para imam mazhab empat dari kalangan Ahlul Sunnah wal Jamaah, maka insya-Allah kita berada di atas landasan dan jalan yang benar.

Renunglah nasihat para ulama silam dalam mengambil sikap beradab apabila menangani perbezaan pendapat dengan menekuni karya-karya mereka yang banyak berhubung dengan adabul ikhtilaf (Adab Berbeza Pendapat). Imam al-Shatibi r.a. sendiri sebagai contoh menulis: Sesungguhnya perbezaan pendapat yang terjadi pada zaman sahabat hingga ke hari ini berlaku adalah dalam masalah-masalah ijtihadiyyah. Pertama kali ia berlaku pada zaman Khulafa' al-Rasyidin dan sahabat-sahabat yang lain, lalu berterusan sehingga zaman para tabi'en dan mereka tidak saling mencela di antara satu sama lain. (al-I'tisom 2/191)

Selain tidak beradab dalam menangani perbezaan pendapat, golongan reformis agama ini juga mendakwa bahawa Islam yang sebenar ialah dengan mengikut al-Quran dan al-Sunnah dan bukannya mengikut mazhab.

Bunyinya menarik dan benar tetapi sebenarnya penuh dengan kebatilan dan kepalsuan seperti mana yang sering diungkapkan "kalimatul haq yuridu biha al-batil".

Mereka secara tidak langsung menyeru masyarakat menjadi 'bebas mazhab' (al-la madhabiyyah) suatu aliran yang dianggap 'bidaah' paling bahaya yang menentang syariat Islam seperti mana ungkapan Sheikh Dr. Said Ramadhan al-Buti dalam kitabnya al-la Madhhabiyya Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu al-Shari'at al-Islamiyyah (Bebas Mazhab Bid'ah Paling Bahaya Menyalahi Syariat Islam).

Bahkan Imam Ibn Rajab al-Hanbali (meninggal dunia 795H/1393M) telah lama menentang aliran ini menerusi kitabnya Radd 'ala man Ittaba'a Ghayr al-Madhahib al-Arba'ah (Sanggahan Terhadap Mereka Yang Tidak Mengikut Mazhab Empat).

Kita perlu faham bahawa apabila disebut 'mengikut mazhab' bukanlah bermakna taksub kepada pandangan akali para Imam-Imam mazhab, kerana pandangan mereka itu juga sebenarnya didasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Bahkan mazhab itu sendiri bukanlah pandangan sosok tubuh seorang individu atau Imam mazhab semata-mata.

Mengikut mazhab Shafie bukan bermaksud mengikut pandangan Imam Shafie seorang diri sahaja, tetapi ia melibatkan sekumpulan para alim ulama yang mengikut kaedah mengistinbatkan hukum berdasarkan kaedah dan kriteria Imam Shafie.

Adalah tidak benar seperti apa yang cuba dimomokkan oleh kelompok agamawan reformis ini bahawa mengikut mazhab itu seolah-olahnya tidak mengikut al-Quran dan al-Sunnah. Terlalu dangkal jika kita berfikiran begitu dan terlalu hina kita meletakkan taraf keilmuan para imam-imam kita dan ulama mazhab yang menghabiskan usia menjadi penyuluh kegelapan umat dengan menelaah al-Quran, al-Hadis dan kitab-kitab saban waktu tanpa jemu.

Hidup mereka dipenuhi dengan ilmu dan pengajian sehingga ada ulama silam yang walaupun ketika sedang makan masih tetap menelaah kitab-kitab, sedangkan hidup kita penuh dengan bersenang-lenang dan berseronok-seronok.

Adalah amat mengecewakan apabila kita dapati ungkapan-ungkapan menghina para ulama silam dan dilontarkan bersahaja tanpa rasa bersalah bahkan dengan cukup biadab sekali sama ada dalam tulisan di dada-dada akhbar mahupun pada ceramah-ceramah.

Ini bukanlah bermaksud mengatakan bahawa para ulama itu maksum dan tidak melakukan kesalahan, tetapi pendekatan menghina itu tidak sewajarnya dilakukan apatah lagi oleh golongan agamawan sendiri.

Kesimpulannya, kelemahan para ulama bukanlah untuk didedahkan kepada masyarakat umum apatah lagi untuk dijadikan bahan ditertawakan kerana tiada sekelumit manfaat pun yang diperolehi dengan pendedahan sebegitu melainkan 'mengajar' masyarakat bersikap biadap terhadap para ulama silam.

Kita harus ingat bahawa kita juga ulama dan apabila kita 'mengajar' masyarakat awam biadap terhadap para alim-ulama silam dan tidak menghormati mereka, kita jangan terkejut jika masyarakat juga akan bersikap biadap terhadap kita selaku ulama suatu hari kelak'.

Sabtu, November 28, 2009

Maqam Junjungan SAW

Puak Wahabi telah melarang berdoa dengan menghadapkan muka kepada maqam Junjungan Nabi SAW. Mereka bukan sahaja mengharamkan perbuatan tersebut tetapi menghukumkannya sebagai satu kesyirikan. Mereka juga allergic mendengar para pencinta Utusan Allah yang menjadi rahmat bagi sekalian alam menyeru nama baginda yang mulia. Mereka melarang umat untuk menyeru Nabi dengan ucapan: "Ya RasulAllah", atau "Ya Nabi" atau "Ya Muhammad". Bahkan nida` atau seruan "Ya Muhammad" yang sekian lama tertulis di pintu maqam Junjungan Nabi SAW yang bergandingan dengan seruan kepada Allah Yang Maha Esa, telah diubah dengan dibuang "ya nida`"nya secara memotong huruf "ya" tersebut. Ikhwah boleh lihat perubahan tersebut sebagaimana gambar di bawah. Tidak cukup dengan perubahan tersebut, maka kini tulisan nama Junjungan Nabi SAW yang bergandingan dengan nama Rabbul 'Izzah tersebut telah dihapuskan samasekali dan diganti dengan "Ya Maajid", dan "Ya Maajid" dipilih agar perbuatan tersebut tidak disedari oleh para penziarah kerana gaya penulisannya hampir sama dengan "Ya Muhammad". Walaupun perkara ini bukanlah satu kesalahan, tetapi adakah meletak atau membiarkan seruan "Ya Muhammad" di pintu maqam Junjungan Nabi SAW itu satu kesalahan yang perlu diubah? Apa motif sebenar puak-puak badwi penjajah dari gurun Nejd ini?

(Gambar Maqam Junjungan Sebelum Diubah)

(Gambar Maqam Junjungan Selepas Diubah)

********************************************************
Raja Saudi Berdoa Mengadap Junjungan SAW

Rabu, November 25, 2009

Bahaya Taklid Dalam Tauhid



APABILA ditanya dari mana nas al-Quran dan sunnah yang menyebut pembahagian yang jelas bagi tauhid tiga serangkai iaitu tauhid uluhiah, tauhid rububiah dan tauhid asma' wa sifat, pendokongnya yang mengaku berpegang dengan al-Quran dan sunnah pun, teragak-agak mendatangkan hujah.

Lantas mendatangkan hujah-hujah berbentuk taklid iaitu WAMY, ulama-ulama lain dan silibus-silibus beberapa buah universiti yang menyokong. Itu sebenarnya taklid.

Kadang-kadang didatangkan nukilan al-Baghdadi dalam al-Farq Baina al-Firaq berkaitan dengan tafsiran perkataan 'ahlussunnah' sebab mahu bergantung dengan ulama silam Ahlussunnah, namun ditiadakan syarahan bahawa Imam al-Baghdadi sebenarnya mensyarahkan tauhid Sifat di dalam kitab tersebut apabila beliau mensyarahkan firqah najiah (firqah yang selamat). Bahkan perkataan 'tauhid-tauhid sifat' dalam definisi tersebut diabaikan. Walhal itulah antara sifat-sifat 20.

Lihat bagaimana Imam al-Baghdadi mensyarahkan pandangan Ahlussunnah dalam mentauhidkan sifat Allah SWT: "Mereka ijmak bahawa tempat tidak meliputiNya (Allah SWT tidak bertempat) dan masa tidak mengikatnya, berbeza dengan firqah al-Hasyamiah dan al-Karamiah, yang mengatakan Allah memegang arasynya". (Lihat Al-Baghdadi, al-Farq Baina al-Firaq, hal.256).

Dalam isu tauhid, amat merbahaya kita bertaklid. Sepatutnya didatangkan nas-nas yang jelas berkaitan pembahagian tiga serangkai tersebut bersesuaian sekiranya kita bersarjanakan al-Quran dan sunnah.

Kalau berdoa selepas solat secara berjemaah yang tidak ditunjuk oleh hadis secara jelas pun dituduh bidaah dan sesat oleh sesetengah orang (walau berdoa disuruh dalam al-Quran dan sunnah), apatah lagi isu pokok dan besar seperti tauhid.

Apabila ditanya, mana dalil al-Quran dan sunnah apabila anda mengatakan penyembah berhala bertauhid dengan tauhid rububiah (tanpa tauhid uluhiyah)? Lantas akan dinyatakan kata-kata si polan dan polan mengatakan perkara ini dan di sokong pula dengan ulama-ulama ini dan ini.

Persoalan saya: Kenapa tidak ada sepatah pun ayat al-Quran dan hadis atau kata-kata ulama-ulama Salafussoleh (tiga kurun pertama) mengenai perkara ini?

Memang benar ada ayat yang bermaksud: Dan jika engkau bertanya kepada mereka, siapakah yang menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab: Allah; jadi bagaimana mereka dapat dipalingkan (dari menyembah Allah SWT). (al-Zukhruf: 87).

Dalil ini digunakan untuk menunjukkan orang-orang Musyrik (penyembah berhala) beriman dengan iman rububiah. (Mohd. Naim Yasin, hal.11).

Namun kenapa tidak dicantumkan dengan ayat selepasnya? Dan (Allah mengetahui) ucapannya (Muhammad): Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang tidak beriman. (al-Zukhruf: 88).

Tidak pula al-Quran mahupun sunnah menyebut orang-orang Musyrik beriman dengan tauhid rububiah sahaja! Ini persoalan akidah, sepatutnya ada nasnya secara jelas.

Sebaliknya al-Quran mengatakan dengan jelas bahawa mereka bukan orang yang beriman. Bagaimana kita boleh mengubahnya mengatakan mereka beriman dengan tauhid rububiah? Mana dalilnya sebab ini persoalan akidah?

Ini adalah taklid. Kenapa kita membenarkan taklid dalam soalan akidah sebegini? Kita amat tidak adil apabila membenarkan taklid pada persoalan akidah sebegini.

Lantas kemungkinan saya pula ditanya: Apa dalil kamu dari al-Quran dan sunnah yang menyebabkan kamu mengkhususkan Sifat 20 untuk Allah SWT?

Maka saya berkata: "Bahawasanya Allah SWT bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, dan maha suci dari segala kekurangan. Sesungguhnya ketuhanannya melazimkan kesempurnaan mutlak secara khusus untuk ZatNya.

"Kemudian, kami memilih sifat-sifat terpenting daripada sifat-sifatNya yang maha sempurna dan kami menjelaskannya secara terperinci perkara-perkara dan keyakinan-keyakinan yang berkaitan dengannya (Lihat al-Buti, 1992, Kubra al-Yaqiniyat al-Kauniyyah, h108).

Adalah satu fitnah sekiranya kami dikatakan menghadkan sifat Allah SWT kepada 20 sahaja!

Saya mungkin ditanya lagi: Mana dalilnya dari al-Quran dan sunnah? Saya akan mengatakan bahawa semua sifat dua puluh itu ada dalilnya di dalam al-Quran dan sunnah. Kalau mahu diperincikan, boleh dilihat dalam semua buku yang mensyarahkan Sifat 20.

Saya ditanya lagi: Bukankan Sifat 20 itu susunan Muktazilah? Saya berkata: Sekiranya saudara membaca sejarah Islam silam, saudara akan memahami bahawa pada zaman Khalifah Abbasiah iaitu Ma'mun bin Harun ar Rasyid (198H-218H), al-M'tashim (218H-227H) dan al-Watsiq (227H-232H) adalah khalifah-khalifah penganut fahaman Muktazilah atau sekurang-kurangnya penyokong-penyokong yang utama dari golongan Muktazilah.

Dalam sejarah Islam, dinyatakan terjadinya apa yang dinamakan 'fitnah al-Quran itu makhluk' yang mengorbankan beribu-ribu ulama yang tidak sefaham dengan kaum Muktazilah.

Pada masa itu, Imam Abu Hassan al-Asy'ari muda remaja, dan belajar kepada seorang Sheikh Muktazilah, iaitu Muhammad Abdul Wahab al-Jabai (wafat 303H).

Imam Abu Hassan al-Asy'ari (wafat 324H) melihat terdapat kesalahan besar kaum Muktazilah yang bertentangan dengan iktiqad (keyakinan) Nabi SAW dan sahabat-sahabat baginda, dan banyak bertentangan dengan al-Quran dan sunnah. Lantas beliau tampil meninggalkan fahaman Muktazilah dan menongkah hujah-hujah kaum Muktazilah.

Kefahaman Masyarakat

Bermula dari itulah, Imam Abu Hassan al-Asy'ari melawan kaum Muktazilah dengan lidah dan tulisannya. Justeru, susunan tauhidnya bermula setelah dia berjuang menentang Muktazilah dan mengembalikan kefahaman masyarakat kepada al-Quran dan sunnah.

Di atas jalannya, ulama silam menelusuri, antaranya ialah Imam Abu Bakar al-Qaffal (wafat 365H), Imam Abu Ishaq al-Asfaraini (wafat 411H)., Imam al-Hafiz al-Baihaqi (wafat 458), Imam Haramain al-Juwaini (wafat 460H), Imam al-Qasim al-Qusyairi (wafat 465H), Imam al-Baqilani (wafat 403H), Imam al-Ghazali (wafat 505H), Imam Fakhrurazi (wafat 606H) dan Imam Izzuddin bin Abd Salam (wafat 660H). (Lihat Kiyai Sirajuddin Abbas (2008). Aqidah ahlussunnah wal Jamaah, h21-23).

Tidak pernah wujud pertelingkahan antara penghuraian Imam Abu Hassan al-Asy'ari dan Imam al-Maturidi dengan pengikut-pengikut mazhab fiqh yang empat.

Kemudian saya mungkin diperlekeh kerana pengajian sifat 20 ini bentuknya kaku, lantas contoh sindirannya ialah: "Wujud maksud ada, lawannya tiada.... akhirnya semuanya tiada".

Saya katakan sememangnya cara perbahasan Sifat 20 kena diperbaharui dan diringkaskan.

Dalil-dalil al-Quran berkaitan sifat tersebut perlu lebih dipertekankan berbanding dengan dalil-dalil akal yang rumit-rumit yang mungkin zaman kita tidak memerlukannya.

Pada saya, mungkin penulisan seorang ulama Indonesia Kiai Sirajuddin Abbas bertajuk: Aqidah Ahlussunnah wal Jamaah, boleh digunakan untuk memudahkan kefahaman pembaca. Buku ini masih banyak dijual di toko-toko buku di Wisma Yakin, Kuala Lumpur.

Saya kemudian ditanya berkaitan dengan sahabat-sahabat saya yang mungkin belajar dan mengajar tauhid tiga serangkai ini?

Saya katakan pengalaman saya mendengar pensyarah-pensyarah dan sahabat-sahabat saya yang mengajar tauhid pecah tiga ini, ada di kalangan mereka tidak ekstrem, tidak sampai mengkafirkan/mensyirikkan golongan yang tidak sependapat.

Contohnya bila memperkatakan tawassul dan menziarahi kubur, ada di kalangan mereka menerimanya tanpa mengkafirkannya atau menyesatkannya.

Demikian juga persoalan penafsiran ayat-ayat sifat, ada yang tidak menerima/ tidak taklid bulat-bulat kenyataan Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab, dan lebih kepada menyerahkan kepada Allah SWT. Mereka lebih suka merujuk terus ke Ibn Taymiyyah berbanding Sheikh Muhammad Abd Wahhab.

Di kalangan mereka (mengikut cerita adik saya ketika dia belajar di Universiti Yarmuk, Jordan), pensyarah Aqidahnya mengatakan: Kamu orang-orang Malaysia, ramai mengikut Ahlu sunnah aliran Asyairah.

Namun, tauhid yang diajarkan ini mengikut susunan Ibn Taymiyah kerana menjadi silibus Universiti ini (pada masa itu). Terserah kepada kamu mengikut keyakinan Asyairah itu (tanpa beliau menyesatkannya).

Mereka menyedari ramai ulama silam (sama ada muhadithin, fuqaha' atau mufassirin) dari kurun ke tiga Hijrah berpegang kepada huraian Imam Abu Hassan al-Asy'ari (wafat 324H) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (wafat 333H).

Walaupun begitu, ada yang amat ekstrem dalam pegangannya sehinggakan menyesatkan imam-imam terdahulu yang berada dalam lingkungan ratusan tahun.

Semoga pembaca membuat pertimbangan dan terbuka berkaitan isu ini. Pada saya berpegang pada tauhid susunan dan huraian orang yang dekat dengan Rasulullah SAW (al-'ali) lebih selamat dari berpegang kepada tauhid orang terkemudian dan sekarang yang kelihatan cacar marba metodenya dan bertaklid dengan orang-orang baru (al-nazil).

Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dari kesesatan dan menganugerahkan kita jalan yang lurus.

- Utusan Malaysia

Khamis, November 19, 2009

Habib Ahmad bin Husein as-Segaf

Habib Ahmad bin Husein bin Abu Bakar bin Husein as-Segaf dilahirkan di Kota Bangil, Jawa Timur dalam tahun 1935. Ayahanda beliau al-Habib Husein bin Abu Bakar rahimahUllah adalah seorang ulama yang sholeh yang dalam penguasaannya dalam ilmu fiqh. Dari usia kecil lagi, Habib Ahmad mendapat asuhan dan didikan agama dengan ketat oleh ayahanda beliau tersebut. Datuk beliau, al-Habib Abu Bakar bin Husein as-Segaf, rahimahUllah juga seorang sholeh yang diakui kewaliannya oleh khalayak ramai. Beliau mengabdikan hayatnya untuk membantu segala fakir dan miskin serta sesiapa sahaja yang perlukan bantuan. Beliau merupakan sahabat dan murid al-Quthub al-Habib Abu Bakar bin Muhammad as-Segaf rahimahUllah.

Habib Ahmad telah meneruskan pengajian agamanya dengan menjadi santri kepada Habib Muhammad Ba`Abud rahimahUllah di Pesantren Darun Nasyi'in, Lawang, kemudian ke Bondowoso untuk belajar dengan Habib Hasan BaHarun rahimahUllah. Akhirnya, Habib Ahmad telah berangkat ke Makkah al-Mukarramah untuk mengaji dengan Prof. Dr. Habib Muhammad bin 'Alawi al-Maliki al-Hasani. Habib Ahmad bermastautin selama kira-kira 6 tahun di Makkah, dan selain dengan Buya al-Maliki, beliau turut menimba ilmu dan mengambil ijazah dan sanad daripada beberapa ulama besar al-Haramain seperti Habib 'Abdul Qadir bin Ahmad as-Saqqaf, Syaikh 'Abdullah bin Sa`id al-Lahji dan ramai lagi, rahimahumUllah.

Sekembalinya dari Kota Makkah, beliau telah turut bersama Habib Hasan bin Ahmad BaHarun membuka Pesantren Darul Lughah wad Da'wah. Habib Ahmad telah mengabdikan dirinya sebagai tenaga pengajar di pesantren tersebut selama lebih kurang 25 tahun. Setelah wafatnya Habib Hasan rahimahUllah, Habib Ahmad telah mendirikan pesantrennya sendiri di Bangil, Jawa Timur dengan nama Darul Ihya` Li Ulumiddin. Habib Ahmad hafizahUllah terkenal sebagai ulama yang tegas dalam menghadapi berbagai aliran sesat yang bertentangan dengan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah terutamanya ajaran Syiah. Mudah-mudahan Allah melanjutkan usia beliau dalam sihat wal `afiat yang sempurna serta melindungi serta merahmati beliau sentiasa.

Rabu, November 18, 2009

Doktrin Serpihan

Umat Islam Malaysia tak boleh berpecah kerana doktrin serpihan
Oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali

MASYARAKAT Islam di negara ini sudah lama menerima dan mengamalkan Islam berdasarkan pendekatan Ahli Sunnah Waljamaah. Dalam aspek akidah, pegangan yang dihayati dan sebati ialah fahaman Asyaairah dan Maturidiah. Aliran Asyairah diasaskan oleh Abu Hasan bin Ismail Asyaari (260H -330H) manakala aliran Maturidiah diasaskan Abu Mansur Muhammad bin Muhammad Maturidi (wafat 333H).

Kedua-dua aliran ini, fahaman dan pendekatan mereka sealiran dan sederhana yang menampakkan kesan baik kepada kestabilan rohani dan masyarakat. Pada zaman globalisasi ini, keresahan tetap timbul apabila fahaman lain ditonjolkan di dalam masyarakat Islam walaupun fahaman itu pada hakikatnya masih di bawah payung Ahli Sunnah.

Masyarakat Islam dilihat mahukan aliran Ahli Sunnah tidak harus dilibatkan dalam kancah fahaman sempit menerusi doktrin dan tokoh tertentu saja. Malah umat Islam tidak harus dibabitkan dengan perpecahan kerana doktrin serpihan itu.

Majoriti umat Islam di rantau ini sejak berabad-abad lamanya menerima dan mengamalkan Islam berasaskan pendekatan aliran Ahli Sunnah Waljamaah hingga menjadi begitu dominan. Hakikat ini memperlihatkan rantau ini paling seragam dalam pegangan akidah, amalan syariah dan akhlak berbanding dengan masyarakat Islam di rantau lain.

Keadaan ini secara tidak langsung memberi sumbangan kepada kestabilan politik, masyarakat dan perpaduan ummah. Pendekatan Ahli Sunnah yang sederhana harus disuburkan kerana ia tonggak kestabilan politik Malaysia.

Pendekatan ini dihayati masyarakat Islam dalam aspek akidah dan kepercayaan melalui fahaman dan aliran Asyairah dan Maturidiah. Fahaman kedua-dua aliran tokoh di atas sangatlah kukuh dan sukar dirungkai, terutama di kalangan orang awam. Masyarakat Islam berasa ganjil dan resah apabila wujud aliran berbeza daripada apa yang mereka anuti.

Dalam konteks ini kekuatan pegangan masyarakat Islam kepada aliran Asyairah dan Maturidiah dapat dilihat menerusi kitab akidah yang menjadi bahan pengajian dan sumber rujukan sama ada di institusi pengajian formal atau di institusi tidak formal seperti di masjid atau surau.

Keseluruhannya menggunakan kitab berorientasikan aliran Asyairah dan Maturidiah seperti kitab Ihya' Ulumiddin al-Ghazali, Ibanah oleh Abu Hassan al-Asyaari dan lain-lain. Kesederhanaan sikap dan pendekatan Abu Hassan Asyaari berjaya menolak golongan berpegang kepada akal dalam menafsirkan teks dengan golongan yang berpegang kepada literal teks.

Kesederhanaan ini dapat dilihat apabila beliau menyeru umat Islam kembali kepada teks al-Quran dan al-Sunnah dan tidak pentakwilan yang jauh. Sementara itu, beliau juga menentang jumud pemikiran dan menyeru agar peranan akal dikembalikan seiringan dengan wahyu.

Beliau berpendapat dengan ada paduan antara akal (akli) dan dalil atau sumber (naqli), adalah lebih mudah untuk meningkatkan kefahaman masyarakat Islam mengenai akidah. Kebanyakan tokoh Asyairah adalah bermazhab Syafie dan Abu Hasan Asyaari dalam fikahnya juga bermazhabkan Syafii.

Hal ini mungkin disebabkan ada persamaan dasar antara kedua-dua aliran ini iaitu dasar kesederhanaan. Imam Syafii juga dianggap tokoh yang memilih pendirian sederhana antara pendekatan Imam Malik yang mengutamakan kehendak hadis dalam membuat hukum dan Imam Abu Hanifah yang banyak menggunakan akal. Kesederhanaan pendekatan Asyaari dalam akidah dan pendekatan Syafii dalam fikah adalah faktor penting.

Ia sangat mudah diterima dan menguasai sebahagian besar masyarakat Islam di Malaysia. Mana-mana golongan ingin menggugat kedudukannya akan ditentang daripada majoriti umat Islam di negara ini.

Dalam satu kajian bertajuk `Civil Democratic Islam : Patners, Resources and Strategis`(2003) diterbitkan oleh RAND Corporation sebuah badan penyelidikan dan penasihat yang berpengaruh di Washington, menyatakan umat Islam dinilai dari segi kecenderungan pemikiran mereka sama ada tradisionalis, fundamentalis, moden atau sekular.

Kajian ini memperlihatkan bagaimana cara untuk mengadu domba umat Islam melalui pengelompokan ini.

Kajian itu menegaskan golongan moden dan sekular seperti aliran Kamal Atartuk dan juga pertubuhan bukan kerajaan bercirikan liberal perlu didukung secara halus dengan lambakan dana penajaan, ruang media dan penonjolan idola untuk dipuja. Ini dapat dilihat melalui golongan liberal dianggap sebagai reformis Islam.

Golongan tradisional Salafi dan Wahabi pula disaran agar didukung manakala golongan fundamentalis seperti gerakan Islam hendaklah dipinggirkan. Berlaku perbalahan antara golongan itu dalam isu remeh dan persoalan furu' (cabang). Perbalahan dan pertelingkahan perlu disuburkan agar sumber kekuatan umat Islam `dilelahkan` tanpa sebarang manfaat jelas.

Oleh itu umat Islam tidak perlu terperangkap dengan permainan musuh yang ingin mengadu domba dan melemahkan umat Islam.

Selasa, November 17, 2009

Mengapa Tauhid Tiga Serangkai ?


umat Islam di negara ini kuat berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. – Gambar hiasan


SEJAK kemasukan Islam ke Tanah Melayu, umat Islam di negara ini kuat berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang disusun atau diformulasikan oleh dua tokoh terbesar dalam bidang ilmu tauhid iaitu Imam Abu al Hasan al Asy’ari r.a dan Imam Abu Mansur al Maturidi r.a. Perkara ini telah ditegaskan oleh ulama ulung Tanah Melayu, al Allamah Sheikh Abdullah Fahim. Beliau juga menyatakan bahawa ia telah menjadi ijmak ulama di Tanah Melayu. Antara kenyataannya berbunyi:

“Tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu seMelaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas; awam-awam, kadi-kadi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga Raja-raja sekalian mereka itu bermazhab dengan mazhab al Imam al Syafi’e r.a ijma’an (ijmak), tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafi’e. Usuluddin atas perjalanan Abi al Hasan al Asy’ari r.a. Diambilkan dari Syuruh dan Hawasyi Ummu al Barahin dan Jauharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu”.

Di dalam kitab ini, pendekatan Sifat 20 digunakan bagi memahami permasalahan ketuhanan. Pendekatan ini juga diguna pakai di kebanyakan negara-negara Islam yang berpegang dengan akidah ASWJ seperti di Mesir, Syria dan Morocco.

Ia juga menjadi silibus di kebanyakan universiti di dunia Islam termasuklah universiti Islam terulung di dunia, Universiti al Azhar al Syarif.

Sejak doktrin ini digunapakai di negara kita, kita berupaya mengecapi nikmat keamanan beragama dan ketamadunan negara. Tidak seperti negara-negara Islam lain yang memakai acuan yang bercanggah dengannya seperti aliran fahaman Syiah, Muktazilah, Musyabbihah dan sebagainya.

Tidak timbul di dalam doktrin Sifat 20 ini soal-soal kepincangan dan percanggahannya dengan akidah ASWJ yang tulen.

Namun, setelah ratusan tahun pendekatan ini digunakan tanpa sebarang masalah dalam menjaga kemurnian tauhid dan akidah umat Islam, timbul desas-desus yang mengatakan bahawa ia diambil dari Falsafah Greek.

Malah, tidak lagi sesuai dijadikan sebagai pendekatan dalam pembelajaran ilmu Tauhid. Sementelahan itu juga, pendekatan tauhid tiga serangkai yang dirumuskan oleh Ibnu Taimiyyah menjadi pengganti Doktrin Sifat 20.

Usaha-usaha untuk menukar pendekatan tauhid tiga serangkai ini dalam kurikulum pendidikan negara juga nampaknya begitu pantas dilakukan.

Persoalannya, kenapakah tiba-tiba pendekatan ini pula yang perlu dipilih sebagai pengajaran ilmu tauhid di negara kita? Adakah pendekatan Sifat 20 mengandungi unsur-unsur yang mengelirukan atau terseleweng dari iktikad ASWJ?

Adakah pembahagian tauhid tiga serangkai ini telah dinaskan oleh syarak dan terdapat dalil-dalil yang menunjukkan ke atasnya? Apakah kita pasrah sahaja dengan pendapat yang mengatakan doktrin Sifat 20 yang kita pegang dan pakai selama ini bukan tauhid yang benar tetapi diambil dari fahaman falsafah Greek.

Jika begitu, semua orang yang berpegang dengan Tauhid 20 mengikut ajaran yang salah dan sesat. Apakah boleh kita terima penyesatan ini yang melibatkan nenek moyang kita, para ulama kita dan majoriti umat Islam di seluruh dunia?

Dibawa Rasullulah SAW

Kita telah sedia maklum, bahawa akidah ASWJ yang diketahui secara umum ialah akidah yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh sahabat-sahabat baginda.

Tidak kedapatan langsung, perkataan yang terkeluar daripada Rasulullah SAW dan sahabat baginda yang menyebut tentang tauhid yang digembar-gemburkan oleh pengikut Ibnu Taimiyyah dan Wahhabi ini.

Begitu juga dalam metodologi ASWJ yang telah disusun oleh pelopornya, Imam Abu al Hasan al Asy’ari r.a dan Imam Abu Mansur al Maturidi r.a, tidak pernah menggariskan tauhid ini dalam ruang lingkup akidah ASWJ.

Apa yang kita dapati tauhid ini telah ditimbulkan dan direka oleh Ibnu Taimiyyah dan dikembang biakkan pula oleh anak-anak muridnya sehingga ke generasi Muhammad ibn Abdul Wahhab. Dalam erti kata lain, tauhid inilah yang menjadi pegangan golongan Wahhabi secara khusus.

Sejak dahulu lagi hinggalah ke hari ini, telah terdapat banyak penentangan dan penolakan yang diutarakan oleh ulama terhadap Tauhid 3 Serangkai ini.

Oleh yang demikian, kita melihat di dalam kitab-kitab penulisan ulama ASWJ, terdapat banyak butiran lanjut mengenai penolakan mereka terhadap tauhid yang direka cipta ini.

Jika kita menyoroti dari perspektif ulama tersebut, kita mendapati ulama al Azhar telah bersetuju mengeluarkan kenyataan tentang kesalahan tauhid ini yang sebenarnya telah direka dan dicipta oleh orang-orang yang terkeliru dengan maksud sebenar ayat al-Quran dan hadis.

Justeru, kenapa pula kita perlu memakai pendekatan Tauhid 3 Serangkai yang mengandungi kepincangan dan telah ditolak oleh ulama kecuali Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya?

Untuk lebih jelas lagi, di bawah ini disenaraikan beberapa cendekiawan dan sarjana Islam dan kitab penulisan mereka yang mengandungi penolakan terhadap ajaran tauhid rekaan ini:

*Al ‘Allamah al Mufassir al Muhaddith Sheikh Yusof al Dijwi RA, Ahli Lembaga Majlis Ulama Besar al Azhar. Beliau mengeluarkan fatwa penolakan al Azhar terhadap tauhid rububiah dan uluhiah. Kenyataannya ini dipaparkan dalam Majalah Nur al Islam edisi tahun 1933 yang merupakan lidah rasmi al Azhar pada masa itu. Fatwa yang dikeluarkannya ini, turut dipersetujui oleh ulama al Azhar yang lain tanpa adanya sebarang bangkangan. Sehingga hari ini, fatwa tersebut masih lagi segar. Ini dapat dilihat dalam beberapa majalah yang diiktiraf oleh al Azhar. Antaranya, di dalam majalah al Muslim. Al Muhaddith al ‘Allamah Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim r.a telah mengeluarkan kembali fatwa ini dalam majalah tersebut.

*Al Muhaddith al ‘Allamah Sheikh Salamah al Qudha’i al ‘Azzami al Syafi’i r.a dalam kitabnya al Barahin al Sati’ah fi Raddi b’ad al bida’ al Syai’ah. Kitab ini telah mendapat pengiktirafan dan pujian daripada muhaddith pada zaman tersebut iaitu al ‘Allamah Sheikh Muhammad Zahid al Kauthari r.a.

*Al Allamah al Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki al Hasani, ulama besar di Mekah al Mukarramah dan bekas tenaga pengajar Masjid al Haram yang diakui ilmunya oleh ulama pada zaman ini. Beliau telah menulis penolakannya terhadap tauhid ini dalam kitabnya Huwallah. Bahkan beliau menyarankan kerajaan Arab Saudi supaya mengkaji semula pengajaran tauhid ini di institusi pengajian rendah, menengah dan Tinggi di dalam Muktamar Hiwar al Watoni di Mekah yang diadakan pada 5/11/1424 hingga 9/11/1424. Ia disebut di dalam kertas kerja beliau yang bertajuk al Ghuluw.

*Mufti Besar Mesir, Prof. Dr. Ali Jumu’ah. Beliau turut menyentuh masalah ini di dalam laman web beliau ketika menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya. Iaitu, tentang seorang pemuda yang mengkafirkan seluruh penduduk kampung kerana bertawassul dengan mendakwa orang yang bertawassul tergolong dalam golongan musyrikin yang beriman dengan tauhid rububiah tetapi tidak beriman dengan tauhid uluhiah. Beliau menolak sekeras-kerasnya pembahagian tauhid ini dengan mengatakan bahawa pembahagian tauhid ini adalah perkara rekaan yang tidak pernah datang dari Salafussoleh tetapi orang pertama yang menciptanya ialah Sheikh Ibnu Taimiyyah. Beliau juga menyatakan bahawa pendapat yang menyatakan bahawa tauhid rububiah sahaja tidak mencukupi bagi keimanan seseorang adalah pendapat yang diadakan-diadakan dan bercanggah dengan ijmak kaum Muslimin sebelum Ibnu Taimiyyah.

*Prof. Dr. Muhammad Sa’id al Ramadhan Bouti, Ulama Kontemporari Dunia Islam dari Syria. Beliau menyatakan dengan tegas bahawa pembahagian tauhid ini adalah bidaah dalam Seminar Pengurusan Fatwa Negara-negara Asean anjuran Universiti Sains Islam Malaysia pada pada 16 hingga 17 April 2005 di Hotel Nikko Kuala Lumpur.

*Prof. Dr. Isa ibn Abdullah Mani’ al Himyari - Mantan Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam Dubai. Beliau telah menulis mengenai kepincangan pembahagian tauhid ini di dalam kitabnya yang bertajuk al Fath al Mubin fi Bara’at al Muwahhidin min ‘Aqaid al Musyabbihin.

*Al ‘Allamah Abu Abdullah ‘Alawi al Yamani dalam kitabnya Intabih Dinuka fi Khatorin. Kitab ini telah mendapat pujian dari lima ulama besar Yaman.

*Al ‘Allamah Abu al Hasanain Abdullah ibn Abdur Rahman al Makki al Syafi`i, ulama besar Mekah. Beliau juga telah membahaskan masalah ini di dalam kitabnya al Qaul al Wajih fi Tanzih Allah Taala ‘an al Tasybih.

*Dr. Sheikh Yusof al Bakhur al Hasani salah seorang ahli fatwa di Kanada juga telah menulis risalah mengenainya.

*Sheikh Sirajuddin Abbas seorang ulama unggul Indonesia, juga menghuraikan masalah ini yang ditulis dalam versi Melayu dalam kitabnya Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Beliau dengan tegas menyatakan bahawa tauhid ini merupakan iktikad rekaan puak Wahhabi dan bukannya iktikad ASWJ. Dalam satu petikan, beliau menyatakan: Kaum Wahhabi mencipta pengajian baru ini bertujuan untuk menggolongkan orang-orang yang datang menziarahi Makam Nabi SAW di Madinah, orang-orang yang berdoa dengan bertawassul dan orang yang meminta syafaat Nabi SAW serupa dengan orang kafir yang dikatakan bertauhid rububiah itu.

*Al ‘Allamah Muhammad al ‘Arabi ibn al Tabbani al Hasani, Tenaga Pengajar di Masjid al Haram. Beliau juga turut menulis kepincangan tauhid ini di dalam kitabnya Bara’ah al Asy’ariyyin min ‘Aqaid al Mukhalifin.

*Dr. Umar Abdullah Kamil, sarjana dan pakar ekonomi Arab Saudi serta ahli eksekutif Universiti al Azhar. Beliau pernah membentangkan kebatilan konsep Tauhid 3 Serangkai ini di dalam Seminar Perpaduan Ummah dan Pemurniaan Akidah anjuran Kerajaan Negeri Pahang pada 25-26 Ogos 2006 dan di Multaqa 3 Ulama Mekah al Mukarramah yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Johor pada 20 Februari 2008. Kertas kerja tersebut telah diterbitkan oleh Sekretariat Penjelasan Hukum Berkenaan Isu-isu Aqidah dan Syariah Majlis Agama Islam Johor. Beliau turut membahaskan kepincangan pembahagian tauhid ini di dalam kitabnya yang bertajuk Kalimah Hadi’ah fi Bayan Khata’ al Taqsim al Thulasi li al Tauhid (Perkataan yang tenang dalam menjelaskan kesalahan pembahagian yang tiga bagi ilmu Tauhid).

*Al Allamah Abdur Rahman Hasan Habannakah al Maidani. Beliau juga telah menulis masalah ini secara khusus di dalam kitabnya yang bertajuk Tauhid al Rububiah wa Tauhid al Ilahiyyah wa Mazahib al nas bi al Nisbah Ilaihima.

Ulama-ulama ini telah lama melakukan pengkajian dan penelitian rapi terhadap tauhid tiga serangkai ini.

Kepada pembaca yang prihatin dan bijaksana sebaik-baiknya mendapatkan keterangan lanjut dari kitab-kitab ini terlebih dahulu sebelum berani membuat kesimpulan dan melontarkan pendapat di khalayak ramai.

Asas sahih

Perkara agama apatah lagi berkaitan dengan akidah tidak boleh dibuat kesimpulan sebarangan tetapi perlu merujuk kepada asas yang sahih.

Untuk mempertahankan agama tidak cukup bermodalkan semangat juang dan sijil menjela-jela semata-mata sehingga kita terpekik dan terlolong tidak kena pada tempatnya tetapi memerlukan kemantapan ilmu, kecemburuan terhadap penodaan yang dilakukan ke atas agama dan umatnya, keikhlasan kepada Allah dan hati yang disinari cahaya oleh Allah.

Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya didapati telah menjadikan konsep pembahagian tauhid ini sebagai batu loncatan untuk mengkafirkan umat Islam.

Mereka telah mengkafirkan orang-orang yang bertawassul dengan Rasulullah SAW dan wali-wali, orang-orang yang menziarahi kubur dan sebagainya dengan dakwaan orang yang melakukan pekerjaan tersebut bertauhid dengan tauhid rububiah sahaja tetapi tidak tidak bertauhid dengan tauhid uluhiah.

Mereka menyamakan tauhid yang dimiliki oleh orang-orang yang melakukan pekerjaan ini sama dengan orang musyrikin yang menjadikan berhala sebagai sampingan mereka dengan Allah.

Apakah pernah ketika Rasulullah SAW berdakwah, Baginda SAW mengatakan kepada orang yang memeluk Islam kamu telah mempunyai tauhid rububiah tetapi masih belum memiliki tauhid uluhiah?

Apakah boleh kita katakan orang bukan Islam juga mempunyai tauhid seperti orang Islam atau ahli tauhid?

Objektif tauhid Asma’ dan Sifat digembar-gemburkan untuk menyandarkan kepada Allah SAW makna perkataan tangan, mata, bersemayam, ketawa, turun dan sifat penyerupaan yang lain kepada makna yang hakiki yang dikenali di sisi makhluk.

Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan kerana yang demikian itu menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya.

Sehubungan dengan ini, umat Islam diseru agar sama-sama berfikir dan meneliti dengan hati yang lapang dan dada yang terbuka rasional perkara ini.

Kita seharusnya berbangga dengan ramainya bilangan umat Islam dan berusaha menambah bilangan umat Islam tetapi sebaliknya kita sendiri yang mengecilkan lagi kuantiti umat Islam yang semakin hilang kualitinya hanya kerana permasalahan uluhiah dan rububiah yang sengaja ditimbulkan.

Tidak ada suatu perkara yang lebih buruk daripada mengkafirkan orang Islam yang menyebut kalimah tauhid Laa ilaaha illallah dan mentasdiqkannya di dalam hati.

Banyak kemusnahan yang berlaku di negara-negara Islam disebabkan oleh perkara ini. Kita sendiri telah menyaksikan dengan mata kepala kita bagaimana persengketaan umat Islam telah mencetuskan kelemahan dan kemusnahan terhadap negara-negara Islam seperti di Afghanistan, Yaman, Lebanon, Syria, Mesir dan sebagainya.

Semoga persengketaan dan kehancuran ini tidak terjadi di negara kita Malaysia yang tercinta ini. Justeru, sewajarnya pembahagian ini dibentangkan di atas meja perbincangan secara ilmiah dan profesional serta berlandaskan kepada usul kitab dan sunnah.

Ini hanyalah lontaran awal dari hasil penelitian kami yang dirujuk kepada sumber-sumber yang sahih dan tokoh-tokoh ulama yang berkeahlian. Insya-Allah, penerangan lanjut mengenai tauhid ini akan dikeluarkan pada keluaran akan datang.

Bahan-bahan yang bakal dipersembahkan banyak merujuk kepada kitab penulisan Imam al Haramain al ‘Allamah Ibnu al ‘Arabi al Tabbani bertajuk Bara’ah al Asy’ariyyin. Ia telah diringkaskan oleh al Allamah Prof. Dr. Isa ibn Abdullah Mani’ al Himyari, Mantan Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam Dubai di dalam kitabnya yang bertajuk ‘al Fath al Mubin fi Bara’at al Muwahhidin min ‘Aqaid al Musyabbihin.

- Utusan Malaysia 16 November 2009

Membataskan sumber hukum rugikan umat Islam

Oleh Hasliza Hassan

hasliza@bharian.com.my




Perbezaan pendapat hasil kajian, penyelidikan boleh pertingkat ilmu pengetahuan ummah

TINDAKAN mengehadkan sumber hukum hanya akan menyempitkan pandangan terhadap syiar Islam dan membantutkan penyuburan ilmu, sedangkan Islam menggalakkan umatnya meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.

Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya, berkata sikap membataskan pandangan terhadap sumber hukum juga akan merugikan um

TINDAKAN mengehadkan sumber hukum hanya akan menyempitkan pandangan terhadap syiar Islam dan membantutkan penyuburan ilmu, sedangkan Islam menggalakkan umatnya meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.

Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya, berkata sikap membataskan pandangan terhadap sumber hukum juga akan merugikan umat Islam.

Katanya, perbezaan pandangan hasil daripada kajian serta penyelidikan kepada sumber hukum yang pelbagai membolehkan umat Islam mempelajari lebih banyak perkara serta menghasilkan ketetapan memberi manfaat untuk kemajuan ummah.

"Islam sendiri membenarkan perbezaan pandangan atas perkara tertentu dan ia hendaklah dilakukan mengikut caranya. Jangan pula apabila berbeza itu kita mendabik dada mengatakan kita lebih baik dan mencemuh orang lain.

"Dalam bab hukum ini, jika hendak faham belajarlah usul fiqh," katanya pada seminar dakwah Memperkukuhkan Ahlus Sunnah Wal Jamaah: Isu dan Cabaran Semasa anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kolej Dar al Hikmah, Sungai Ramal, Kajang, baru-baru ini.

Beliau berkata, jika semua boleh berlapang dada dan menerima perbezaan pandangan dalam hal membabitkan amalan agama dengan hati terbuka, maka tidak timbul sikap perselisihan hingga boleh memecahbelahkan umat Islam seperti berlaku hari ini.



Hashim berkata, dalam masalah cabang yang menjadi amalan umat Islam ada yang tidak mempunyai dalil khusus tetapi hujah berpandukan kepada dalil umum yang dikembangkan dan disusun dengan sempurna oleh ulama nusantara.

Antaranya, amalan berwirid selepas solat yang dikatakan tidak dibolehkan kerana Rasulullah SAW tidak melakukannya sedangkan Baginda menyuruhnya kerana amalan baik memang digalakkan.

Mengenai susunan zikir pula, Hashim berkata, ia adalah ijtihad ulama yang menyusunnya dengan tujuan memudahkan masyarakat umum yang mungkin tidak tahu apa hendak dibaca untuk meningkatkan amalan serta mendekatkan diri kepada Allah.

Begitu juga katanya, dengan amalan lain yang dikatakan tidak dilakukan Rasulullah SAW tetapi ulama melihat akan kebaikannya untuk mengembalikan dan mendekatkan umat Islam kepada ajaran Islam.

"Tidak ada dalil khusus tetapi ada dalil umum, jadi jangan terkeliru kerana ini akan merugikan umat Islam. Perlu faham kenapa ada galakan membaca Yasin yang menjadi amalan sejak dulu, kerana ketika Islam mula datang tidak ramai boleh membaca al-Quran.

"Jadi ulama kata, mari kita berkumpul dan baca ayat al-Quran iaitu surah Yasin. Jika dihalang, apa yang hendak dibaca jika yang dia tahu hanya surah Yasin. Sekurang-kurangnya ada ayat al-Quran yang dia boleh baca dan janganlah kata amalan itu bidaah," katanya.

Beliau berkata, perbezaan pandangan berkaitan perkara cabang dalam amalan agama jika dijadikan bahan untuk diperbahaskan hingga kiamat tidak akan selesai dan sebaiknya tenaga itu sepatutnya ditumpukan ke arah membanteras kemungkaran yang lebih jelas.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady, berkata gerakan aliran tidak bermazhab sudah bertapak di negara ini hampir satu abad tetapi tidak nampak sumbangan mereka dari sudut keilmuan dan pembangunan masyarakat.

Katanya, disebabkan tiada hasil karya ilmu berwibawa dan muktabar daripada golongan aliran tidak bermazhab menyebabkan ia tidak dapat diterima dalam arus perdana sama ada pada peringkat pemerintah atau masyarakat.

"Aliran tidak bermazhab ini sebenarnya tidak mempunyai asas kuasa yang kuat dari sudut keilmuan atau tidak cukup wibawa ulamanya jika dibanding dengan ulama beraliran mazhab serta karya mereka.

"Malah, aliran ini juga tidak berlaku dalam pengalaman negara Islam selepas penerimaan mazhab tertentu dalam masyarakat. Arab Saudi masih bermazhab Hambali, Turki dan Pakistan bermazhab Hanafi sementara Libya dan Tunisia bermazhab Maliki," katanya.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk 'Pengaruh Fiqh Mazhab Syafie Dalam Pemikiran Masyarakat Melayu di Malaysia dan Cabaran Masa Kini' menjelaskan cabaran berlaku terhadap mazhab Syafie melalui tiga gelombang.

Gelombang pertama berlaku pada 20-an dan 30-an apabila golongan muda cuba mengemukakan idea baru yang berbeza dengan pegangan sedia ada oleh pelajar yang melanjutkan pengajian di Arab Saudi, Mesir dan India kerana terpengaruh pemikiran gerakan Islam di sana.

Usaha itu kemudian disambung gelombang kedua yang berlaku antara 1940-an dan 1960-an yang banyak menumpukan persoalan khilafiyyah lebih khusus hingga menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat awam tetapi ulama akhirnya sepakat bersetuju dengan pendirian ulama aliran mazhab Syafie.

Gelombang ketiga berlaku dari 70-an hingga kini dipelopori golongan muda menyambung pemikiran dan pendekatan golongan muda sebelumnya yang mempertikai beberapa amalan dalam masyarakat diambil daripada ulama aliran mazhab Syafie.

"Golongan ini tidak mengikat diri mereka dengan mana-mana mazhab muktabar yang diiktiraf dunia Islam dan mazhab Syafie di negara ini. Mereka anggap mereka layak berijtihad mutlak seperti imam muktabar kerana mereka adalah manusia dan tiada bezanya.

"Bagi orang yang mengkaji ilmu mengetahui ulama muktabar yang berijtihad lengkap dari segi ilmu asas syariah. Berijtihad tanpa ilmu yang lengkap dari sudut syariah, bahasa Arab dan kaedah usul fiqh boleh membawa kepada penyelewengan.

"Hal ini dapat dilihat bibitnya kebelakangan ini dengan kemunculan kelompok liberal yang tidak mahu terikat dengan kaedah epistemologi Islam dan kaedah usulnya memahami al-Quran dan sunnah hingga akhirnya membawa kecelaruan tafsiran sumber ajaran Islam," katanya.

Abdul Halim berkata, golongan berkenaan hakikatnya sudah melanggar adab berdakwah kerana tidak menghargai sumbangan ulama aliran mazhab Syafie, malah memperkecil serta memperlekehkan sumbangan mereka dari sudut ilmu dan pembangunan masyarakat.

Katanya, golongan itu juga menganggap ulama aliran mazhab Syafie membawa ilmu yang menjadikan umat Islam tidak tepat memahami Islam dan tidak ada usaha ijtihad dalam ilmu mereka tetapi hanya mengikut mazhab membabi buta atau disebut bertaqlid buta.

Khamis, November 12, 2009

Mulut Lancang

Puak Kaum Muda mintak agar jangan membuat tuduhan Wahabi terhadap mereka, sebab katanya kalau mereka tak qunut, pengikut Hanafi pun tak qunut, jadi adakah pengikut Hanafi itu Wahabi? Maka poninglah kepala orang awam kita, sambil bermain di kepala mereka: Ya tak ya jugak. Sebenarnya, Hanafi betullah tak qunut dalam sembahyang Subuh, tapi tak pula terdengar pengikut Hanafi kat Mesia ni yang mencerca amalan pengikut Syafi`i yang berqunut dalam sholat Subuh. Tapi Wahabi pesen deme ni lain, deme bukan sahaja tak beramal dengan amalan yang biasa diamalkan oleh pengikut mazhab Syafi`i di Malaysia, tetapi lidah mereka lancang dan celupar untuk mencerca amalan yang biasa diamalkan oleh ulama kita sebagai bid`ah, syirik, khurafat dan sebagainya. Di sinilah letak perbezaan mereka dengan pengikut mazhab Sunni yang lain. Oleh itu mengqiyaskan mereka dengan pengikut mazhab Sunni yang lain adalah qiyas ma`al fariq yang tertolak.

Kalau pun nak ikut fatwa mazhab Maliki ke atau Hanbali ke atau Hanafi ke atau ikut kepala otak mujtahid mereka yang ada pada zaman ni, itu hak deme lah, tapi apa hak nak mencerca amalan kami yang ikut ulama Syafi`iyyah. Lepas itu deme buat pula tuduhan yang kita tak ikut Imam Syafi`i RA, mazhab kita ini bukan mazhab Syafi`i yang tulin. Deme yang sebenarnya ikut Imam Syafi`i. Allahu ... Allah, sungguh mereka ini tidak tahu konsep dan kaedah bermazhab, jadi cam mana nak komen orang bermazhab. Maka mengambillah mereka akan perkataan Imam Mazhab tanpa melihat kepada penjelasan para ulama yang datang kemudian. Fikirkanlah, apakah para ulama Syafi`iyyah tidak mengetahui akan nashnya Imam Syafi`i, sedangkan para ulama kita mempunyai sanad ilmu yang muttasil kepada Imam Mazhab berbanding mereka yang tidak pun mahir dalam usul, qawaid dan fiqh Syafi`i. Kalau setakat itu idak apa lagi, yang buat kita berbulu adalah apabila lidah tak bertulang deme itu mudah je nak mencerca orang lain. Lidah mereka celupar dan lancang menuduh orang lain dengan berbagai tuduhan yang keji. Bukan sahaja orang awam macam kita, tetapi juga para ulama kita yang banyak berjasa.

Lihatlah bagaimana lancangnya mulut Asri dalam menghukum dan membuat fatwa. Sungguh kelancangan mulutnya ini serupa, walaupun mungkin tak sama darjatnya, dengan mulut tokoh pujaannya iaitu Syaikh Ibnu Taimiyyah al-Harrani. Peminat Ibnu Taimiyyah jangan marah pulak kalau ese kata lagu tu, sebab bukan ese yang kata, kome buleh tengok dalam kitab-kitab mengenai Ibnu Taimiyyah, kelancangan mulut Ibnu Taimiyyah telah masyhur di sisi ulama. Jangan pulak kome tuduh ese anti-Ibnu Taimiyyah plak, bagi ese Ibnu Taimiyyah itu salah seorang ulama umat ini, beliau bukan nabi dan tidak maksum. Pendapatnya boleh diterima dan boleh ditolak. Dan perlu diberi perhatian bahawa beliau bukanlah termasuk dalam kalangan ulama mazhab Syafi`i yang dipegang perkataannya. Jadi kalau ese tak ikut fatwa beliau, kome jangan marah, sebab ese bermazhab Syafi`i. Jadi tidaklah boleh berhujjah dengan Ibnu Taimiyyah bagi menentukan kedudukan sesuatu hukum menurut Mazhab Syafi`i. Mazhab Hanbali mungkin boleh, sebab beliau tergolong dalam ulama Hanbali, tapi itu pun masih dipertikaikan kerana ramai fuqaha Hanbali tidak mengambil pendapat Ibnu Taimiyyah sebagai pendapat yang muktamad dalam Mazhab Hanbali. Oleh itu, mengambil pendapat Ibnu Taimiyyah untuk mewakili mazhab Hanbali juga kurang tepat, kalau pun tidak 100% salah.

Berbalik kepada kelancangan Ibnu Taimiyyah, maka Dr. Alias Othman dan isteri beliau Dr. Anisah Abdul Ghani, walaupun banyak menukilkan perkataan Ibnu Taimiyyah dalam karya mereka, menulis pada halaman 230 - 231 buku "Islam Yang Mudah" sebagai berikut:-
Sikap fanatik menentang mazhab dan imam dengan menggunakan kata-kata kesat dan lidah yang lancang juga perbuatan yang dicela. Ia sama seperti fanatik kepada mazhab dan imam. Lancang lidah adalah fenomena baru yang tidak terdapat pada masa lampau, kecuali sikap lancang lidah Ibn Hazmin dan Ibn Taimiyah yang menjadi kritikan para ulama. Sikap Ibnu Taimiyah pula pada pandangan orang lain memang diketahui semua. Ia bukan suatu yang tersembunyi, dapat dilihat dalam tulisannya.
Ese dulu pun pernah duduk mendengar syarahan Prof. Dr. Alaeddin Kharofa hafizahUllah, dahulunya pensyarah Undang-Undang Syariah, Universiti Islam Antarabangsa, yang turut memperkatakan sikap lancang Ibnu Taimiyah apabila berhujjah. Maka tidak hairan pengkagum Ibnu Taimiyyah, sedikit sebanyak terikut-ikut dengan kelancangan Ibnu Taimiyyah, sehingga sanggup mencerca dan memperlekehkan orang lain bahkan mengeluarkan fatwa-fatwa yang dahsyat, antaranya menghukum Sholawat Syifa` sebagai sesuatu yang bercanggah dengan aqidah Islam. Allahu ... Allah, hukuman yang amat berat, sepatutnya dia kena guna kepala otak sikit untuk berfikir, jikalah benar dakwaannya sholawat Syifa` itu bercanggah dengan `aqidah, kenapa ramai ulama yang terbilang dahulu dan sekarang, di serata pelusuk dunia Islam, bukan sahaja Dr. Harun Din hafizahUllah, mengamalkannya bahkan menganjurkan amalannya. Sholawat Syifa` itu bukan sahaja disebut oleh ulama kita, tetapi telah disyarahkan pula oleh ulama-ulama Timur Tengah antaranya oleh Imam Ahmad ash-Showi al-Maliki rahimahUllah, ulama besar ahli tafsir dalam karya beliau. Wahai orang yang punya kepala otak, gunakanlah kepala otak tu untuk berfikir sejenak, tergamakkah untuk menghukum Syaikh Wan Ahmad al-Fathani sebagai orang yang rosak `aqidah, Dr. Harun Din sebagai orang yang rosak `aqidah dan ramai lagi ulama dan awliya` serta sholihin sebagai mereka-mereka yang rosak aqidah sebab mereka mengamalkan Sholawat Syifa`, kalau sanggup, maka ketahuilah kamu telah dijangkit virus Wahabi, kerana antara simptomnya adalah suka menyalahkan orang lain yang tidak sependapat. Segeralah anda ke mana-mana pusat pengajian dan rawatan Islam Ahlus Sunnah Wal Jama`ah termasuklah ke Darul Shifa` untuk berubat..... Maaf Cakap.

Amboi Sodapnya Mengata

Hassan Ali Pertahan JAIS - Utusan 12/11/09

Hassan pertahan tindakan JAIS tahan Mohd. Asri

SHAH ALAM 11 Nov. - Exco kerajaan negeri, Datuk Dr. Hassan Ali hari ini mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin kerana memberi kuliah tanpa tauliah baru-baru ini.

Beliau turut mempertahankan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang menjadi asas kepada penahanan Mohd. Asri.

Hassan berkata, tindakan JAIS menguatkuasakan Seksyen 119 enakmen itu bukan satu kesalahan kerana ia diwujudkan untuk menyekat penyebaran ajaran yang bercanggah dengan Islam seperti yang termaktub dalam undang-undang negeri.

"Pentauliahan ini ada dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor dan ada prosedurnya. Orang yang ingin mengadakan ceramah atau berkhutbah, kita perlu tahu latar belakang mereka, siapa dia sebenarnya dan apakan ajaran yang ingin disampaikan.

"Maka dengan adanya tauliah ini, ia amat baik untuk kita mengetahui semua itu. Namun ia bukan bermakna kita nak menyekat tetapi langkah berhati-hati supaya tidak timbul perkara yang boleh merosakkan perpaduan umat Islam di Selangor," katanya ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia ketika ditanya mengenai desakan supaya enakmen itu dikaji semula berkata, tidak ada sebab untuk JAIS mengubah undang-undang tersebut yang jelas adil kepada semua pihak.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan pihak yang mahukan enakmen itu dikaji semula hanya kerana wujud perasaan tidak puas hati dalam hal-hal tertentu.

"Saya tidak nampak enakmen ini perlu dikaji, ia sebenarnya sangat adil. Hanya barangkali ada pihak tidak puas hati," jelasnya.

Isnin, November 09, 2009

Berpegang Kepada Ahli Sunnah, Elak Wahabi

Berpegang kepada Ahli Sunnah, elak Wahabi cetus konflik ummah

KITA mulakan tulisan ini dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pegangan dan amalannya. Mengenai Ahli Sunnah tidak perlu kita berbicara panjang sebab ia diketahui umum. Kalau hendak disebut pun kita boleh membuat beberapa kenyataan seperti istilah itu diterima pakai oleh ulama sejak awal dengan Imam Tahawi, al-Asyari, Abu Hanifah, Imam Syafie, Baqillani, Baghdadi, al-Ghazali, al-Nawawi dan seterusnya sampai kepada Waliyullah al-Dihlawi dan Said Nursi bahkan Syeikh Hasan al-Banna dan Said Hawwa.

Bagaimanapun, boleh disebut bahawa istilah itu dalam hadis Nabi SAW yang dinukil dalam ‘al-Milal wa al-Nihal’ oleh al-Shahrastani dan juga dalam hadis al-Tabarani.

Mengenai pegangan, kita hanya boleh sebut secara ringkas iaitu Ahli Sunnah berpegang kepada Rukun Iman yang enam, Rukun Islam yang lima, berpegang kepada ajaran akidah Imam al-Asyari dan Maturidi dan yang mengikuti mereka sampai masa kini; mereka beriman mengenai Allah memiliki sifat sempurna tidak terhisab, tetapi sekurang-kurang perlu diketahui semua orang ialah sifat ada, sedia kala, kekal, tidak menyerupai semua yang baru, berdiri sendiri, Maha Esa, hidup, mengetahui, berkehendak, mendengar, melihat dan berkata-kata dengan kalam-Nya yang kadim dan azali tidak menyerupai makhluk dalam semua perkara. Zat-Nya tidak seperti zat makhluk, perbuatan-Nya tidak seperti makhluk.

Kalau sesiapa mengatakan ia mempunyai sifat makhluk atau menyerupai makhluk, maka ia terkeluar daripada iman. Sebab itu Imam Tahawi, Syafie, Abu Hanifah dan seterusnya menyebut Ia tidak bertempat, tidak tertakluk oleh masa, tidak berada dalam ruang.

Tidak boleh dikatakan Tuhan berada di atas, di bawah, di kanan, atau di kiri, di belakang atau di hadapan, sebab ia tidak berpihak.

Dalam Ahli Sunnah, ayat al-Quran dan hadis nabi yang menyebut sifat Allah seperti sifat makhluk, maka disuruh kita sama ada menerima seperti asalnya (tafwidh) menyerahkan erti hakikinya kepada Allah SWT, atau mentakwilkannya dengan sifat yang layak dengan-Nya.

Ini dilakukan umpamanya oleh penghulu orang Salaf al-Tabari.

Orang Wahabi menerimanya secara literal dan hakiki, kalau disebut Tuhan ada tangan, tanganlah, kalau kaki, kakilah, kalau jari maka jarilah. Ini membawa kepada menyerupakan Allah dengan makhluk. Nauzu billahi min zalik.

Seperkara lagi mereka membahagikan tauhid kepada tiga, tauhid Rububiah, tauhid Uluhiah, dan tauhid Asma Wassifat. Setiap satunya terasing daripada yang lain. Rububiah ertinya tauhid mengakui Tuhan Pencipta Alam, Esa, Berkuasa dan lainnya, tauhid Uluhiah ertinya menyembah-Nya dan taat kepada-Nya. Maka dengan skema ini, mereka boleh berkata Abu Jahal itu ahli tauhid dan ikhlas tauhidnya lebih daripada orang yang mengucap ‘Lailahailallah’.

Dengan skema ini juga mereka mengkafirkan orang yang berdoa meminta keberkatan di makam salihin dan anbia dan bertawassul dengan mereka. Ini pula satu tajuk yang tersendiri huraiannya.

Mengenai nabi, Ahli Sunnah mengajarkan, anbia ada sifat maksum (tidak berdosa), apa lagi Nabi Muhammad SAW dan mereka mempunyai sifat benar, amanah, menyampai kebenaran, dan bijaksana; mereka manusia yang makan dan minum serta berkahwin, tetapi mereka sempurna kerana itu diturunkan wahyu kepada mereka oleh Tuhan.

Ini diikuti dengan iman mengenai malaikat, akhirat (termasuk nikmat dan azab kubur), dan qada dan qadar yang menentukan segalanya ialah Allah, manusia diperintah berusaha dan berikhtiar dalam perkara yang baik dan mengelak daripada perkara yang jahat.

Ahli Sunnah mengajarkan kewajipan mengucap syahadah dengan yakin ertinya, menjalankan sembahyang lima waktu, melakukan puasa, menunaikan zakat dan menunaikan haji bagi mereka yang berkemampuan.

Ia mengajarkan kewajipan menunaikan nazar dan sumpah. Ia mengajarkan membaca al-Quran, lebih-lebih lagi dengan mengerti ertinya, melakukan zikir mengingati Allah dan berdoa kepada-Nya. Ia mengajarkan manusia bersangka baik terhadap Allah SWT dan jangan bersangka buruk terhadapnya.

Ahli Sunnah mengajarkan bahawa dosa besar ialah sihir, mencuri, berzina, berjudi, membuat sumpah palsu, memakan rasuah, memakan riba, yang terbesar ialah syirik yang berupa dosa yang tidak terampun, melainkan sebelum mati orang yang berkenaan bertaubat dan kembali kepada tauhid. Seseorang yang beriman tidak menjadi kafir dengan melakukan dosa bagaimana besar sekalipun, ia menjadi kafir hanya kerana kufur iktikad, kata-kata atau perbuatannya seperti ia menyembah berhala, kecuali ia dipaksa seperti diancam bunuh.

Orang Wahabi boleh menghukum orang kafir kerana dosa, bahkan kerana bertawassul di kubur nabi dan yang sepertinya.

Ahli Sunnah mengajarkan bahawa amalan orang hidup sampai kepada orang mati, baik dalam rupa bacaan seperti bacaan al-Quran, bertasbih, berdoa, bersedekah, dan amalan lain asalkan diniatkan untuk orang yang mati itu; kalau anak jika tidak diniatkan pun amalan itu sampai kepada kedua-dua ibu bapanya kerana ia lahir kerana mereka. Fahaman Wahabi mengatakan amalan orang hidup tidak sampai kepada orang mati.

Ahli Sunnah Wal-Jamaah mengajarkan Muslimin wajib taat kepada ulil-amri mereka, tidak boleh derhaka atau keluar menentang mereka, melainkan mereka itu kafir. Orang Wahabi tidak sedemikian sebab itu mereka menentang dan memberontak menentang Sultan Othmaniah dan wakilnya, tetapi mereka berbaik dengan British dan Perancis seperti yang jelas dalam sejarahnya. Ahli Sunnah mewajibkan memberi nasihat yang baik dan ikhlas kepada ulil-amri bukan memberontak. Tidak ada teori memberontak dalam Ahli Sunnah.

Dalam Ahli Sunnah, ulamanya mengajarkan bidaah ada yang baik dan ada yang buruk, tetapi Wahabi mengajarkan semua bidaah tidak dibolehkan; talkin, berwirid ramai-ramai selepas sembahyang, qunut subuh, tahlil arwah, majlis Maulud Nabi dan membaca Yassin pada malam Jumaat.

Banyak lagi perbezaan antara fahaman Wahabi dan Ahli Sunnah jika mahu diperkatakan. Hakikatnya kita melihat fahaman Wahabi berlainan daripada pegangan dan amalan Ahli Sunnah dan kita tidak boleh membiarkan orang Islam di negara ini terpengaruh dengannya kerana banyak implikasi negatifnya. Berwaspadalah. Wallahualam.

- Tulisan Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady

Fahaman Wahabi Perlu Dibendung - SS Mufti Johor

Penceramah agama di Johor perlu kebenaran MAIJ (Utusan 9/11/2009)

JOHOR BAHRU 8 Nov. - Mufti Johor, Datuk Tahrir Shamsuddin menegaskan, setiap penceramah agama perlu mendapatkan kebenaran daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) untuk menyampaikan ceramah di negeri ini.

Beliau berkata, ia adalah peraturan yang wajib dipatuhi bagi memastikan ceramah yang disampaikan tidak bercanggah daripada pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah.

Selain itu, katanya, peraturan itu bukan untuk menyekat mana-mana aktiviti dakwah, sebaliknya bagi membendung sebarang usaha untuk mengembangkan fahaman Wahabi yang boleh menyebabkan perpecahan ummah.

"Sesiapa sahaja yang berceramah di Johor tidak mengira apa kedudukan atau kelulusannya maka dia mesti perlu mendapatkan kebenaran MAIJ.

"Ini penting bagi memelihara perpaduan dan ketenangan yang wajib dijaga dalam masyarakat Islam dan usaha-usaha untuk membawa kerosakan keamanan itu perlu dibanteras," katanya.

Beliau mengulas kenyataan pihak tertentu semalam yang menyatakan para penceramah agama sama ada penduduk tempatan atau orang luar tidak perlu mendapatkan tauliah daripada pihak berkuasa jika mahu menyampaikan ceramah di negeri ini.

Tahrir berkata, usaha-usaha mengembangkan fahaman Wahabi di negara ini perlu ditolak dan dibendung kerana ia akan menyebabkan perbalahan ummah kecuali di satu negeri.

"Kita tidak menyalahkan dia (fahaman Wahabi) tetapi ia hanya sesuai di negeri tertentu begitu juga fahaman Syiah sesuai di negara tertentu.

"Rantau ini sesuai dengan pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah bermazhab yang selama ini kita amalkan maka sesiapa tak perlu kacau," tegasnya.

Beliau berkata, pegangan Al Sunah bermazhab Syafie selama ini berjaya membawa kepada suasana tenang, hormat-menghormati dalam soal hukum fiqah, manakala dalam soal tauhid, ia dipelopori Abu Hassan al-Asy'ari dan Abu Mansur al-Maturidi yang memberi impak besar kepada masyarakat Islam negara ini.

"Ini khususnya meletakkan keagungan dan kemuliaan Allah SWT yang langsung tidak serupa dan setanding dengan makhluk berpandukan kepada firman Allah yang bermaksud, Tiada Allah itu mempunyai persamaan sedikit pun dengan makhluk," katanya.

Justeru, tegas Tahrir, fahaman Wahabi yang menjisimkan Allah SWT adalah ditolak.

Selain itu, dalam hubungan sosial, jika fahaman Wahabi dikembangkan, tegas beliau, akan menimbulkan perselisihan di kalangan anggota masyarakat termasuk pergaduhan sesama ahli keluarga.

Tahrir berkata, Wahabi antaranya mencerca amalan membaca surah Yasin, tahlil dan talkin yang dikatakan bidaah, maka keadaan itu akan mengelirukan umat Islam.

Justeru, Tahrir berkata, umat Islam diingatkan supaya berwaspada dengan pihak-pihak tertentu yang cuba mengembangkan fahaman Wahabi di negara ini.

"Saluran pendidikan merupakan saluran penting untuk diperkasakan agar umat Islam terus berpegang kepada Ahli Sunah Wal Jamaah yang membawa kepada suasana damai dan aman di negara ini," katanya.

Memahami Isu Penangkapan Dr. Asri

Memahami Isu Penangkapan Dr Asri
Posted on Sunday, November 08 @ 01:42:38 PST by SongkokPutih
Oleh: Anak_Pejuang

"Tulisan ini asalnya bertujuan sebagai respons khusus kepada dua tulisan Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dalam Mingguan Malaysia yang bertajuk Fitnah dan Perjuangan dan Sejarah Akan Berulang. Bagaimanapun, oleh kerana sekarang ini pandangan masyarakat lebih tertumpu kepada isu penangkapan beliau, wajarlah di sini kita soroti persoalan Dr. Asri secara lebih umum.

Apabila berita beliau ditahan tersebar, tidak kurang yang simpati kerana asas penangkapannya, iaitu mengajar tanpa tauliah dirasakan terlalu kecil.

Mereka yang lebih mengenali dan analitikal terhadap Dr. Asri pula beranggapan sememangnya beliau tidak wajar dibenarkan bebas menyebarkan pandangannya. Terlepas daripada soal wajar atau tidaknya Dr. Asri ditangkap, undang-undang yang mewajibkan tauliah untuk mengajar agama Islam tidaklah perlu dipertikaikan.

Undang-undang itu bukan sahaja bertujuan untuk memastikan hanya mereka yang berkelulusan dibenarkan mengajar. Ia juga bertujuan agar mereka yang tidak sesuai dan layak, dapat dihalang daripada mengajar walaupun mempunyai pelbagai kelulusan dan gelaran akademik. Jika ada yang tidak sesuai dan layak tetapi masih berdegil untuk mengajar walaupun telah diberi amaran, maka tidak salahlah tindakan penangkapan diambil jika dirasakan perlu.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa pula seorang seperti beliau dikatakan tak sesuai dan tidak layak mengajar? Jawaban pokok kepada soalan ini adalah, Dr. Asri sebenarnya mewakili dan menjuarai suatu aliran pemikiran yang tidak selari dengan fahaman Islam sebenar atau yang biasa dinamakan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Oleh kerana fahaman Islam ASWJ menjadi pegangan asas para ulama dan pihak berkuasa agama di semua negeri, maka Dr. Asri dalam banyak hal menjadi tokoh yang sangat kontroversial kerana beliau sering menimbulkan pandangan yang mengelirukan masyarakat dan secara langsung atau tidak, menggugat kestabilan hidup beragama di negara kita.

Oleh kerana beliau jelas mengambil pendekatan bertentangan dengan arus perdana Islam di Malaysia, tidak hairanlah beliau diminati oleh sebahagian tokoh, individu dan organisasi yang sememangnya prejudis terhadap arus perdana Islam di Malaysia. Beliau turut diminati oleh mereka yang cenderung terlebih liberalis, rasionalis dan 'pemberani' dalam soal-soal agama kerana mereka ini juga terasa terbatas dengan kuatnya arus perdana Islam ASWJ di Malaysia.

Dr. Asri juga menerima dokongan atau sekurang-kurangnya simpati segelintir tokoh agama dan orang politik yang memang sealiran dengan beliau. Aliran Islam yang diperjuangkan oleh Dr. Asri boleh digelar pelbagai nama walaupun beliau sendiri cenderung menggunakan istilah yang bunyinya lebih positif seperti 'tajdid' atau 'kaum muda' serta mengelakkan istilah yang lebih kontroversi seperti 'Wahhabi'.

Apa pun labelnya, hakikatnya aliran ini memang wujud di dunia Islam walaupun merupakan aliran minoriti umat Islam yang majoritinya beraliran ASWJ. Perlu diingat para pendokong aliran ini sendiri sering mendakwa bahawa aliran mereka adalah aliran ASWJ sebenar. Antara ciri utama aliran 'kaum muda' seperti yang dipegang oleh Dr. Asri ini adalah kecenderungan merujuk terus kepada nas-nas al-Quran dan sunah tanpa mengutamakan tafsiran dan ijma' para ulama. Kecenderungan ini membawa kepada penolakan terhadap kebakuan fiqh Mazhab yang empat, akidah 'Ash'aari- Maturidi dan kerohanian tasawuf.

Pegangan

Di Malaysia, sejak awal lagi aliran ASWJ telah menjadi pegangan majoriti dan aliran yang dominan. Pun begitu, minoriti individu dan tokoh yang cenderung kepada aliran 'kaum muda' sudah ada sebelum munculnya Dr. Asri lagi. Mereka ini berada di pelbagai tempat tetapi mereka umumnya tahu diri dan tidak cuba mencabar secara agresif aliran perdana ASWJ. Bagaimanapun, fenomena Dr. Asri yang agresif dan lantang itu dilihat telah menyuntik keberanian kepada pengikut aliran ini untuk turut cuba mencabar dominasi fahaman ASWJ di Malaysia.

Dalam 'perjuangan' mendominasikan alirannya, Dr. Asri banyak bergantung kepada bakat pidato dan penulisannya berjubahkan nas-nas al-Quran dan sunah yang terpilih dengan tafsiran yang selari dengan alirannya. Beliau juga sering berselindung di sebalik tokoh-tokoh ulama terkenal sama ada dengan memilih pandangan tertentu yang memihak kepadanya sahaja serta mengaburkan aspek kontroversi tokoh-tokoh tersebut. Inilah yang sering beliau lakukan dengan tokoh-tokoh seperti Ibnu Taymiyyah, Ibnul Qayyim, Muhammad Ibn Abdul Wahab, Yusuf al-Qaradhawi dan Hamka.

Dalam dua tulisan terbarunya, Dr. Asri cuba bersandar kepada populariti Hamka dan ayahnya yang turut membawa aliran pembaharuan dalam masyarakat Islam Indonesia. Mungkin Dr. Asri ingin mengatakan bahawa beliau sebanding dengan Hamka, ditentang kerana membawa aliran pembaharuan yang bercanggah dengan ulama tradisi. Seperti biasa, mereka yang tidak meneliti dan pada masa yang sama mengagumi Hamka secara mutlak mungkin termakan dengan hujahnya ini tetapi pada hakikatnya, Hamka juga ada sisi kontroversinya dan bukanlah serba maksum. Kritikan Hamka terhadap ulama Malaysia seperti yang dipetik oleh Dr. Asri bukanlah buah pandangan terbaiknya yang perlu kita telan bulat-bulat. Kita ingin tanyakan kepada Dr. Asri, apabila beliau memetik kata-kata Hamka, "Tidak hairan, sebab feudalisme raja-raja di sana sebagai raja Islam, bersandar kepada ulama kolot yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya rakyat taat kepada ulama, ertinya kepada raja, erti kepada Inggeris!", adakah beliau bersetuju dengan kenyataan ini? Jika betul ia adalah suatu gambaran salah yang menghina bukan sahaja para ulama tanah air, tetapi turut memperlekehkan institusi Raja-raja yang tak dapat dinafikan sumbangannya dalam menaungi agama di negara kita dari dahulu hingga sekarang.

Dari satu sudut lain, mereka yang mengkaji juga akan segera mengakui bahawa nasib sejarah dan realiti Islam dalam perlembagaan dan pentadbiran di Indonesia dan Malaysia jelas berbeza. Di Indonesia, Islam gagal diperuntukkan secara rasmi dalam perlembagaan sehingga urusan agama tidak dapat dikawal dengan kemas oleh undang-undang dan institusi rasmi.

Teman-teman yang prihatin dari Indonesia sering mengeluh bahawa inilah suatu kelebihan Islam di Malaysia berbanding dengan negara mereka yang akhirnya menyumbang kepada kerencaman yang melampau dan kurangnya kesepaduan umat Islam Indonesia. Kita patut tanyakan Dr. Asri, adakah beliau mahu kita mencontohi Indonesia dalam aspek ini dan melemahkan lagi kesatuan suara dan rasa umat Islam di Malaysia?

Sesiapa pun yang sedia mengkaji secara tekun dan jujur segala ucapan, tulisan dan sikap Dr. Asri (yang kebanyakannya boleh didapati di laman webnya) dengan berlatarbelakangkan pertembungan aliran ASWJ dan aliran-aliran pinggiran, akan segera banyak menemukan pola-pola pemikiran yang bertentangan dengan jumhur (majoriti) umat. Taklid dan hormat kepada tokoh ulama dan mazhab ditentang hanya untuk digantikan secara halus dengan taklid kepada tokoh dan alirannya sendiri. Dr. Asri juga sering menyeru kepada minda yang terbuka tetapi pada masa yang sama sering mempermasalahkan perbezaan pandangan dalam isu-isu ranting hingga menimbulkan ketegangan sesama Islam. Pandangan mazhab dan jumhur ulama kerap digambarkan sebagai ketinggalan dan jumud sedangkan dalam pelbagai persoalan lain aliran ini jauh lebih ketat dan keras daripada pandangan jumhur ulama.

Tulisan ini bukanlah sebuah perbahasan terperinci fenomena Dr. Asri tetapi cuba melakarkan suatu gambaran besar tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku. Gambar yang terhasil sebenarnya amat membimbangkan. Jika tidak berhati-hati, umat Islam di Malaysia yang sudah parah menanggung perpecahan mengikut garis kefahaman politik mungkin akan dirumitkan lagi dengan perpecahan aliran agama melibatkan ketiga-tiga sendi iaitu tauhid, Fikah dan tasawuf. Emosi dan simpati semata-mata tidak memadai untuk mencari sikap yang tepat dalam isu ini.

Dalam mabuk lagu perubahan dan pembaharuan yang dimainkan oleh Dr. Asri dan teman-teman sealirannya, kewibawaan kerangka fahaman agama serta keutuhan suara umat Islam boleh terhakis. Jika tidak berhati-hati kita akan mengulangi kesilapan isteri Aladdin yang termakan pujukan si tukang sihir jahat lalu menukarkan lampu lama yang penuh kesaktian dengan lampu baru yang hanya hebat luarnya tapi kosong isinya. Wallahualam.

Oleh:

Yusri Mohamad ialah Naib Presiden, Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM)
dan Bekas Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).