Isnin, Mac 26, 2012

Jadilah Faqih dan Sufi

Sultan al-Malik al-Kamil Muhammad bin al-Malik al-`Adil Abu Bakar bin Ayyub daripada Dinasti Ayyubi yang memerintah Mesir satu ketika dahulu telah membina sebuah kubah indah menaungi makam Sulthanul A-immah Muhammad bin Idris asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu. Atas kubah tersebut dibina suatu lambang berbentuk kapal atau bahtera dan bulan sebagai isyarat bahawa di bawah kubah tersebut bersemadinya "Bahrul `Ulum" [Lautan Ilmu Pengetahuan], Sulthanul A-immah, Imam al-Muthallibi, Muhammad bin Idris asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu. Keluasan ilmu dan wawasan Imam asy-Syafie diibaratkan seperti lautan yang tidak bertepi. Sebahagian ulama tatkala menziarahi makam Imam besar ini telah mendendangkan syair yang berbunyi:-
Telah kudatangi kuburnya asy-Syafi`i untuk kuziarahi
Kudapati bahtera padanya tanpa samudera di sisi
Maka kukatakan: Maha Tinggi Allah, inilah isyarat menunjuki
Bahawasanya samudera telah ditelan oleh kuburnya Syafi`i

Imam besar ini telah menghabiskan umur beliau di dunia dengan sebaik-baiknya, penuh kesalihan dan manfaat bagi sekalian umat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Umur beliau yang berkat itu juga ditutup dengan khatimah yang baik, hari Jumaat akhir bulan haram, Rajab. Diceirtakan bahawa Imam az-Za'faarani radhiyaAllahu `anhu memberitakan yang beliau mendengar Imam Ahmad radhiyaAllahu `anhu berkata:
 "Aku telah bermimpi seakan-akan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam wafat dan orang ramai melayat jenazah baginda. Maka tatkala berpagi, kami dapati bahawa Imam asy-Syafie yang telah wafat pada hari tersebut."
Imam asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu adalah seorang imam dalam berbagai lapangan ilmu - ilmu Islam dan beliau juga adalah seorang yang berjalan atas landasan tasawwuf dalam kehidupan sehariannya. Bahkan, beliau berpesan agar seseorang itu menjadikan dirinya orang yang faqih lagi sufi dan bukan hanya faqih dan hanya sufi semata-mata. Ini adalah kerana faqih yang tidak berjalan atas landasan tasawwuf, maka hatinya akan menjadi keras akibat penyakit-penyakit hati yang bersarang dalamnya, manakala sufi yang tidak mempedulikan ilmu fiqh, akan menjadi seorang yang jahil akan hukum-hakam dan ketentuan agamanya. Perkara ini dinyatakan oleh Imam asy-Syafi`i, antaranya, dalam bait-bait syair yang beliau gubah. Bait-bait ini termaktub dalam diwannya yang masyhur. Namun perlu diberi perhatian bahawa dalam sesetengah cetakan "Diwan al-Imam asy-Syafi`i" dan yang dalam bentuk e-book, bait-bait ini telah digugurkan oleh mereka-mereka yang anti kepada sufi dan tasawwuf (baca: geng anak Pak Wahab) sebagaimana yang telah mereka lakukan dalam karangan panutan mereka sendiri, Ibnu Taimiyyah, dalam himpunan fatwanya. Berbalik kepada "Diwan al-Imam asy-Syafi`i" maka pada halaman 47, Imam asy-Syafi`i radhiyaAllahu `anhu bersyair dengan katanya:-


Faqih lagi sufi, Engkau jadikan dirimu
Kedua-duanya sekali, Jangan hanya salah satu
Demi Allah, Sungguh - sungguh aku menasihatimu
Faqih semata tiada merasa takwa, kerna hatinya membatu
Manakala semata sufi itu jahil, Kurang faham, tiada ilmu
Justru bagaimana si jahil, menjadi baik sholih lagi bermutu ?

Oleh itu, janganlah meremeh-remehkan ilmu fiqh dengan anggapan ianya tidak penting kerana ianya kulit sahaja. Berusaha menjadikan diri kita orang yang faqih dan sufi sebagaimana nasihat dan pesanan Imam kita asy-Syafi`i tersebut. Insya-Allah, kita memperolehi keselamatan dan laba di akhirat nanti.

Jangan jadi sesetengah manusia zaman ini, 
Dengan thoriqat dia menisbah diri
Saban hari berkhayal dirinya wali
Namun lalai syariat Ilahi
Majlis ilmu ia jauhi
Para ulama tiada ia hampiri
Rasa dirinya sudah mencukupi
Lagi pula guru thoriqatnya wali
Kalau pun sungguh bagai yang dirasai
Maka yang wali itu si gurunya tadi
Sang Guru wali
Ilmunya penuh amalnya selari
Memadaikah bagi si murid hanya dengan bangga diri

Selasa, Mac 13, 2012

Istiqamah Atas Syariat

Kita umat yang mengikut ajaran syariat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka segala tuntutan syariat yang menjadi kewajipan, hendaklah dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Mengamalkan syariat itulah permulaan menjalani thoriqat mencari keredhaan Allah subhanahu wa ta`ala. Namun, apa yang menyedihkan apabila ada segelintir saudara kita yang apabila menggabungkan diri mereka dalam "thoriqat", jadi longgar pulak amalan syariat mereka. Bahkan ada yang ese dengar mereka yang mengaku kononnya menjalani thoriqat Naqsyabandi mengatakan bahawa kalau tak sholat lima waktu pun tak apa, asalkan jangan lupa berzikir... Allahu ... Allah. Entahlah apa jenis "Naqsyabandi" yang diamalkan puak-puak ni, sejauh yang ese tahu para pengamal thoriqat yang benar, baik Naqsyabandi atau Qadiri atau lainnya, amat kuat menjaga amalan syariat mereka. Ese kenal jua ngan beberapa tokoh thoriqat yang muktabar, tak pernah pulak ese dengar deme ni memudah-mudahkan syariat zahir bagi murid-murid deme. Kalaulah ada ahli thoriqat tapi tak pula menjaga sholat yang difardhukan Allah ta`ala, maka itu bukanlah ahli thoriqat yang sebenar. Itu bukan sufi, itu cuma orang yang mengaku-ngaku sebagai orang sufi. 

Makanya, jika tuan-tuan ingin berthariqat, pastikanlah thariqat tersebut tidak lari dari pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah dan Syariat al-Muhammadiyyah yang sejati. Sungguh segala amalan itu mesti dilaksanakan zahir dan batin, bukankah Allah ta`ala itu adz-Dzahir dan Dia juga al-Bathin. Juga segi tertibnya, hendaklah dimulakan dengan yang zahir lalu diterapkan ke batin, kerana pada zahir itu lebih mudah daripada batin, juga kerana Allah `azza wa jalla berfirman: 

هو الأول و الأخير و الظاهر و الباطن و هو بكل شيء عليم
 "Dialah Yang Awwal dan Yang Akhir, dan Yang Dzahir dan Yang Bathin, dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." [al-Hadiid:3]
Ada juga terlancar di lidah yang tak bertulang, kata-kata yang mengecil-ngecilkan amalan zahir berbandingkan amalan batin, kata-kata seumpama - "amalan zahir tu cuma kulit sahaja, batin tu isi, kita nak isi bukan kulit". Perkataan yang batil, tanpa kulit mana sempurna isinya, bahkan buruk hodohlah isi tersebut. Maka kata-kata sedemikian adalah sesuatu yang tidak wajar diucapkan, apatah lagi jika ianya dari mulut seseorang yang mengaku menjalankan thoriqat tasawwuf. Amalan zahir itu penting seperti juga amalan batin, kesempurnaan amalan itu adalah zahir dan batinnya selari dan bersamaan. Tidak sempurna zahir tanpa batin dan tidak sempurna batin tanpa zahir. Manusia juga terdiri dari dua unsur, jasmani dan rohani, zahir dan batin, kehidupan duniawi ini kita harungi dengan jasad dan roh, dan dengan jasad dan roh itu juga kita hidup kekal di akhirat, negeri yang baqa, samada dalam syurga yang penuh kenikmatan atau neraka yang penuh azab sengsara. Makanya, jagalah amalan zahir batin, itulah ajaran thoriqat yang haq. Jauhilah segala ajaran yang merendah-rendahkan zahir syarak kerana kononnya hendak mengambil batin sahaja. Sesuatu thoriqat itu mesti bersendikan syariat.

Dr. KH Muhibbuddin Waly al-Khaalidy rahimahullah seorang ulama juga mursyid Thoriqat Naqsyabandiyyah al-Khaalidiyyah, mengajar kepada para murid beliau akan satu doa untuk diamalkan setiap kali mereka selesai melaksanakan zikir. Doa tersebut berisikan permohonan agar tetap istiqamah atas jalan syariat dan thoriqat yang benar, ianya berbunyi:-

"Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadaMu taubat dari segala dosa, inabah (kembali) kepadaMu dan kekal istiqamah melaksanakan tuntutan syariat yang elok cemerlang dan  thoriqat yang bersih (dari segala penyelewengan dan bid`ah yang sesat), dengan rahmatMu, wahai Tuhan yang Maha Pengasih daripada segala yang pengasih.
Maka pengamal thariqat tidak boleh sekali-kali meremehkan hukum - hakam syariat. Jika ada ajaran yang berupa dengan rupa thoriqah kaum sufi namun menganjurkan para pengamalnya untuk meringan-ringankan ketentuan syarak, maka tinggalkan sahaja thoriqah tersebut. Walaupun pribadi si pembawanya mungkin membuat kamu kagum. Janganlah terpedaya dengan ungkapan yang menakjubkan dan janji-janji manis lidah yang tidak bertulang. Tinggalkan sahaja thoriqah tersebut. Jangan sekali-kali menyimpang dari hukum - hakam syariat, tetap istiqamah atas syariat kerana itulah dasar bagi thariqah. Semoga Allah menjadikan kita istiqamah atas kebenaran dan menyelamatkan kita dari segala kesesatan dan penyelewengan.

Jumaat, Mac 09, 2012

Terjemah Nazham Munajah

Memperingati pemergian Dr. KH Muhibbuddin Waly al-Khaalidy rahimahullah, ambo nukilkan sebahagian kalam beliau mengenai ajaran thoriqah, khususnya Thoriqah Naqsyabandiyyah al-Khaalidiyyah yang jadi pakaian beliau. Peri penting untuk kita renungi, istimewa kepada para pengamal thoriqah di mana nampaknya semakin ramai anak-anak muda yang tertarik untuk mengafiliasikan diri dengan thoriqat. Namun di situ ada dampak negatif, apabila ada yang hanyut dalam - so called "kerohanian" - sehingga melupakan dan melalaikan asas akidah dan syariat Islam. Sedangkan hal ini tidak pernah diajarkan oleh mana-mana thoriqat yang muktabar. Ajaran thoriqah tidak boleh sekali-kali dipisahkan dengan pegangan akidah yang murni dan amalan syariat yang kukuh. Malangnya ada segelintir golongan yang mengaku berthariqat, namun menyisihkan amalan syariat. Thoriqat yang diamalkan itu lebih cenderung kepada mengikut hawa nafsu dengan mengikut apa yang mudah walaupun dengan mengabaikan syariat....Allahu ... Allah. Ada pula yang mengaku mengikut thoriqat Naqsyabandi tetapi memperlekehkan syariat dan bermudah-mudah dengannya, sedangkan pengamal Thariqat Naqsyabandiyyah yang sebenar terkenal dengan amalan syariatnya yang ketat bahkan masyhur di sisi mereka untuk mengambil yang azimah dan meninggalkan yang rukhsah.

Thoriqah itu bukannya zikir semata-mata, ianya mempunyai dasar, rukun dan kewajipan yang dijadikan panduan untuk mendisiplinkan pengamalnya menjadi seorang mukmin muslim muhsin muttaqin yang mencapai kesempurnaan makrifatullah. Buya Muhibbuddin Waly menyatakan bahawa thoriqah itu punya 6 asas/dasar, 6 rukun dan 6 kewajipan, sebagai berikut:-

Dasar Thariqat
  1. Sentiasa bertaubat kepada Allah ta`ala dari segala dosa dan kesilapan, baik yang disengajakan atau tidak;
  2. `Uzlah, yakni membatasi pergaulan hanya dengan orang - orang yang bertakwa kepada Allah ta`ala;
  3. Zuhud, yakni tidak menempatkan dunia ini dalam hatinya;
  4. Takwa, yakni melaksanakan segala perintah Allah ta`ala dan menjauhi segala laranganNya hatta yang makruh.
  5. Qana`ah, yakni tidak tamak dan panjang angan-angan;
  6. Taslim, yakni reda dengan qadha` dan qadar Allah ta`ala.
Rukun Thariqat
  1. Sentiasa meningkatkan ilmu - ilmu agama;
  2.  Sentiasa bersikap lapang hati (al-hilm) dan berpandangan luas untuk mencapai ketenteraman hati dan istiqamah dalam melaksanakan segala amal ibadah menurut syariat Islam Ahlus Sunnah wal Jamaah;
  3. Bersabar atas taat, bersabar atas musibah dan bersabar dari maksiat;
  4. Reda atas ketentuan Allah ta`ala setelah berusaha mencari kebaikan yang dikehendaki;
  5. Ikhlas, yakni mengharapkan hanya kasih sayang Allah dan redaNya dalam mendekatkan diri kepadaNya melalui ketaatan dan ibadah;
  6. Berakhlak dengan akhlak yang mulia.
Kewajipan Thariqat
  1. Tidak lupa menyebut atau berzikir kepada Allah ta`ala;
  2. Meninggalkan hawa nafsu, yakni segala keinginan yang tidak bermanfaat di sisi agama;
  3. Meninggalkan dunia yang sifatnya mubazir dan mengganggu hubungan kita dengan Allah dan segala ajaran agamaNya;
  4. Sentiasa mengikut dan mematuhi segala ajaran agama dan mendahulukan kepentingan agama atas yang lain;
  5. Berbuat baik terhadap umat manusia dan makhluk lain;
  6. Mengerjakan kebaikan-kebaikan dalam pengertian yang luas.
 Inilah ajaran yang  beliau simpulkan dari berbagai sumber Thoriqah Naqsyabandiyyah al-Khalidiyyah, antaranya dari kitab "Jaami`ul Ushul" karya Syaikh Ahmad Dhiya-uddin an-Naqsyabandi al-Mujaddidi rahimahullah.

Juga di sini sebagai penutup, ambo nukilkan terjemahan Bahasa Melayu Nazam Munajah karangan Syaikh Ismail al-Khaalidy. Nazam yang dinamakan sebagai "Ubat Hati" berisikan tawassul dengan para awliya` dalam silsilah Thoriqat Naqsyabandiyyah al-Khaalidiyyah. Ianya dikarang oleh Syaikh Ismail al-Khaalidy dalam tahun 1270H, ianya kemudian diterjemah dalam Bahasa Aceh oleh Syaikh Muda Muhammad Waly al-Khaalidy pada tahun 1370H dan akhirnya diterjemah dengan sedikit penambahan oleh KH Muhibbuddin Waly al-Khaalidy pada hari Khamis tanggal 23 Rabi`ul Akhir 1415H. Mudah-mudahan ada keberkatan yang diperolehi darinya buat kita dan sekalian umat Islam.

Terjemahan Munajat "Ubat Hati"

بسم الله الرحمن الرحيم

Mohon kami kepadaMu, wahai Allah
Dengan berkat rahsia Dzat, wahai Ghautsah

Dengan Jibril lagi berkat Nabi yang benar
Penghulu `alam sekalian Abu Bakar

Dengan berkat Salman Farisi yang mulia
Berkat Qasim berkat Ja'far yang arif raya

Berkat Abu Yazid raja para awliya`
Thaifur nama Abul Hasan masyhur raya

Berkat Abu `Ali wali di Farmadi
Berkat Yusuf Hamdan bangsa tolong madadi

Abdul Khaliq bangsa Ghajduwan baik benar
Arif bangsa Riyukiri masyhur tenar

Berkat Mahmud sudah itu berkat `Ali
Berkat Muhammad Samasi bangsa lagi wali

Berkat Kulal murid beliau Bahauddin
Imam dalam thariqat ini dengan yakin

Ala-iddin menantunya bagi puterinya
Berkat Ya'kub indah sangat pribadinya

`Ubaidillah syaikh yang banyak rahsia Tuhan
Ahrar masyhur di thariqat laqab gelaran

Syaikh yang zahid nama Muhammad wahai ikhwan
Dunia akhirat lantas Darwisy kemudian

Khawajakiy sesudah itu Syaikh Muhammad
Pemimpin kita mujaddid raya Syaikh Ahmad

Berkat Ma'sum kemudian Saifuddin
Sesudah itu Nur Muhammad syaikh yang yakin

Jani Janaan matahari terang sekali
Berkat qutub Syaikh `Abdullah megah tinggi

Maulana Khalid imam kita megah tenar
Berkat khalifah lagi saleh mulia benar

Syaikh `Abdullah turunan sayyid yang mulia
Quthubul Wujud jarang banding di dunia

Berkat mursyid lagi kamil di negeri Makkah
Cara rahsia irsyadnya itu lalu megah

Habis umur waktu duduk muraqabah
Sedang menunggu pemberian dari Allah

Beliau sedang menghadap Ka'bah yang mulia
Hampir Subuh hari `Arafah masyhur raya

Subuh Jum`at haji akbar beliau pindah
Dari dunia fana ini ke rahmatullah

Habis umur di rumahnya Jabal Qubais
Dimuliakan oleh Tuhan serta taqdis

Roh beliau sucikanlah wahai Rabbi
Terangkanlah kuburnya bernilai tinggi

Dengan berkat Syaikh Ismail guru kami
Yang menuntun thariqat ini kepada kami

Saudaranya yang mulia lapang dada
Sulaiman Qarimy mursyid megah dengan nyata

Dua khalifah dari dua mursyid tadi
Abu Bakar dengan `Umar mengikuti

Kemudian jadi khalifah `Utsman dan `Ali
Setiap mursyid mendapat izin megah jali

Dengan berkat Syaikh mulia yang terpuji
Itulah mursyid Sulaiman Zuhdi sabar tinggi

Quthubul Irsyad yang masyhur wahai rakan
Utsman Fauzi `alim `abid kepada Tuhan

Syaikh yang `arif dibangsakan kepada Shamad
Yusuf Zahid terkenal fana dalam Ahad

Mursyid kami yang terkenal wahai akhi
Beliau masyhur di negeri Kampar Abdul Ghani

Syaikh yang kamil lagi halim `inayah Rabbi
Faham yang halus mursyid kami Muhammad Wali

Angkatkanlah martabat beliau wahai Rahman
Tetapkanlah syurga tinggi kediaman

Dua khalifah yang diangkat dua maulana
Muhibbuddin Waly Idrus dua purnama

Sesudah itu `Adnan dengan Qamaruddin
Abuya wafat setelah diangkat jadi mursyidin

Syaikh Jailani Abdul Hamid kemudian
Tidak lama sudah itu Teungku Hasan

Wasiat isyarah dilakukan buah hati
Mursyid kami Kiyai Muhibbuddin Waly

Sesudah itu Teungku Jamaluddin Waly
Jadi mursyid serta Teuku Usman Fauzy

Telah sepakat atas ini semua mursyid
Doktor Muhibbuddin Waly hanya tanfidz

Gunung hakikat begitu tinggi naikkan kami
Laksana Kau tuntun kami ke thariqat ini

Minuman cinta begitu bersih minumkan kami
Agar hampir yang sempurna berikan kami

Martabat ihsan naikkan kami dengan kurnia
Matikan kami dalam iman semuanya

Martabat ihsan naikkan kami dengan kurnia
Khususkan kami mendapat sukses dalam syurga

Berikan rahmat serta salam selama-lama
Atas Nabi turunan Hasyim Ahmad nama

Atas sahabat dan pengikut keluarga
Shalawat salam tiada putus selamanya

Ismail Khalidy nama nazhim munajah ini
Hitungilah tarikh nazham huruf ini

Penterjemah Bahasa Aceh nazham ini
Syaikh murabbi harap ikhlas Tuhan beri

Nama beliau Syaikh Haji Muhammad Waly
Mohon penuh dari Allah rahsia tinggi

Penterjemah ke Bahasa Melayu tinggi
Professor kami Doktor Muhibbuddin Waly

Kedua beliau husnul khitam hai saudara
Disampaikan oleh Allah cita-cita

و صلى الله على سيدنا محمد و على آله و صحبه اجمعين
و الحمد لله رب العالمين
آمين

Khamis, Mac 08, 2012

Belasungkawa - Dr. Muhibbuddin Waly

Ese telah dimaklumkan oleh seorang sahabat dari seberang bahawa  guru kami al-Mursyid Prof. Dr. Teungku Muhibbuddin Waly al-Khalidy telah berpulang ke rahmat Allah subhanahu wa ta`ala sekitar jam 10 malam semalam (7 Mac 2012). Buya Muhibbuddin adalah anakanda kepada Syaikh Mudo Waly al-Khalidy rahimahullah, ulama besar Aceh Darus Salam yang merupakan antara sahabat sepengajian Syaikh Yaasin al-Fadani rahimahullah. Beliau adalah graduan al-Azhar dari sarjana muda sehinggalah selesai Phd dalam bidang Syariah dengan thesis berkaitan ijtihad - jodol thesisnya ese dah lupa, tebalnya kalau hempok kat kepala boleh bawak umur kata orang kampung ese. Beliau pernah menjadi ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia dan pernah juga menjadi pensyarah di Kuliyyah Undang-Undang & Syariah Universiti Islam Antarabangsa.

Selain bidang Syariah, beliau juga terkenal dalam ilmu tasawwuf dan thariqat. Dalam ilmu thoriqat, beliau adalah mursyid Thoriqat Naqsyabandiyyah al-Khalidiyyah al-Waliyyah. Beliau diangkat menjadi mursyid mulanya oleh guru ayahanda beliau, Syaikh Abdul Ghani al-Kampariy rahimahullah. Di antara karya yang beliau tinggalkan buat umat adalah "Hakikat Hikmah Tauhid Dan Tasawuf (Syarah al-Hikam)", "Tafsir Waly", "Fathul Waly (Syarah kitab Jauharatut Tawhid)" dan "Nahjatun Nadiyah ila Martabatis Shufiyyah". Buya Muhibbuddin hingga akhir hayatnya tidak pernah berhenti berkhidmat kepada agama, nusa, dan bangsa, beliau selalu menyempat diri melayani umat, meskipun terpaksa dipapah. Beliau mudah memberikan hidangan ilmu dari ceramah-ceramahnya. Sebagai ulama beliau telah mendedikasikan hidupnya dalam dunia ilmu dan dakwah. Beliau terkenal sebagai seorang ulama yang sentiasa tenang, bicaranya lembut dan jarang sekali marah. 
Tanggal 7 Mac 2012 menyaksikan pemergian ulama besar ini di Tanah Serambi Makkah, Aceh Darussalam. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Rumah Sakit Fakinah, Banda Aceh sekitar jam 10 malam wib. dalam usia 75 tahun. Mudah-mudahan Allah ta`ala mencucurkan rahmatNya yang tiada berkesudahan kepada Buya Muhibbuddin Waly dan menempatkan beliau bersama para kekasihNya dalam syurga yang penuh kenikmatan. Pemergianmu kuiringkan dengan al-Fatihah .....Selamat Jalan Buya.

Khamis, Mac 01, 2012

Shalawat Nur al-Qiyamah

 

Ya Allah Wahai Tuhan kami
Sholawat ke atas penghulu kami Muhammad dilimpahi
Baginda lautan segala nur yang Engkau miliki
Sumber segala asrarMu diperolehi
Lisan penegak hujjah kebenaran Ilahi
Dalam kerajaanMu baginda disanjung bak mempelai
Imam segala makhluk di hadhrat Ilahi
Hiasan kerajaanMu yang tiada terperi
Gudang rahmatMu yang tiada dibatasi
Jalan syariatMu yang menunjuki
Dalam mentawhidMu kelazatan baginda kecapi
Punca dan sebab wujud segala ciptaan Ilahi
Makhluk paling terpilih antara segala pilihan Ilahi
Ciptaan terawal daripada sinar cemerlang nur milik Ilahi
Shalawat yang kekal abadi dengan berkekalannya Zat Ilahi
Shalawat tiada diketahui kesudahannya selain ilmu Rabbi
Shalawat yang Engkau redhai
Shalawat yang diredhai Junjungan Nabi
Shalawat yang dengannya kami diredhai
Ya Rabbal `Aalamiin, Wahai Tuhan kami.

Shalawat ini terkenal dengan nama "Nurul Qiyamah" dan banyak dinukilkan oleh para ulama kita yang mulia dalam karya-karya mereka. Di antaranya al-`Alim al-`Allaamah Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahullah dalam "Afdhalus Shalawat `ala Sayyidis Saadaat", shalawat ke-27 pada halaman 78. Dinukilkan bahawa Sayyidi Ahmad ash-Shawi rahimahullah dan selain beliau menyatakan bahawa shalawat ini dinamakan dengan "Nur al-Qiyamah" kerana pembacanya akan memperolehi nur yang banyak pada hari kiamat nanti. Menurut sebahagian wali-wali besar shalawat ini diumpamakan dengan 14,000 shalawat.

Dalam shalawat ini juga Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dirujuk sebagai ".. al-mutaqaddim min nuri dhiya-ik".... yakni makhluk yang paling awal diciptakan daripada sinar cemerlang nur yang dimiliki oleh Allah ta`ala, iaitu merujuk kepada awwaliyyah Nur Muhammad yang diterima oleh ramai para ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah sebagai makhluk yang paling awal dijadikan Allah ta`ala mengikut tafsiran yang tidak bercanggah dengan aqidah dan syariah. Dan menarik juga untuk dinukilkan di sini bahawa Ra-isul Muhadditsin al-'Alim al-'Allaamah Maulana Muhammad Zakaria al-Kandahlawi `alaihi rahmatul Bari dalam "Fadhilat Shalawat" karangan beliau yang telah diterjemahkan turut memuatkan shalawat ini. Pada halaman 79 beliau menyatakan bahawa Syaikh Abdul Haq (seorang muhaddith dari Delhi) menulis dalam kitabnya "Targhib Ahli Sadat" menulis bahawa jika seseorang membaca shalawat ini (yakni Shalawat Nurul Qiyamah) 70 kali ketika hendak tidur, dia akan dapat melihat Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam mimpinya.

Buku terjemahan "Fadhilat Shalawat" bagi Mawlana Zakaria ini ese nampak udah dicetak dengan cetakan baru yang cantik dan kemas oleh pihak Inteampublishing dengan jodol "Kelebihan Selawat". Eloklah kome dapatkan sebelum habis stok, banyak manfaatnya untuk menambahkan lagi gemar kita bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.