Isnin, April 29, 2024

Tahlil Jaami` Sidi Ahmad

Di antara wirid asas yang terpenting dalam Thariqah Ahmadiyyah Idrisiyyah adalah lafaz tahlil yang dirangkaikan dengan pengharapan agar ganjaran pahalanya digandakan Allah dengan berlipat kali ganda. Maka dinamakan zikir atau tahlil ini sebagai Zikir @ Tahlil Jaami` yakni ucapan zikir tahlil yang menghimpunkan ganjaran pahala yang teramat besar sehingga tak terperi. Thariqah Ahmadiyyah Idrisiyyah adalah salah satu thariqat yang masyhur dan ramai pengamalnya di dunia termasuklah di negara kita ini. Di Malaysia, ianya telah lama bertapak di Kelantan dan Negeri Sembilan, hingga ke saat ini masih ada dan berkembang. Ada pun tahlil jaami`, para ulama kita, walaupun tidak berafiliasi dengan Thariqah Ahmadiyyah Idrisiyyah secara khusus atau ketat, turut menganjurkan bacaan tahlil jaami` sebagai upaya mencapai gandaan ganjaran sebagaimana yang dilafazkan. Zikir ini telah masyhur dan rata diamalkan oleh ulama dan awam, samada pengamal Thariqat Ahmadiyyah Idrisiyyah atau bukan. Misalnya, almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz pun mengamalkannya dan memasukkan zikir ini dalam Zikir Pagi Jumaat yang biasa beliau baca bersama jemaah. Almarhum al-Muhaddits Dr. Muhammad bin `Alawi al-Maliki dan al-Faqih Habib Zain bin Ibrahim BinSumaith hafizahullah turut menganjurkan membaca Tahlil Jami` ini.

Buya al-Maliki dalam kitab zikir dan wirid yang biasa beliau ijazahkan kepada muridin dan muhibbin, Khulasah Syawaariqal Anwaar, halaman 31, berpesan sebagai berikut:- (Jangan  Tinggalkan) Untuk menyibukkan diri dengan zikir:- " { La ilaha illa Allah, Muhammadur Rasulullah }, fi kulli lamhatin wa nafasin `adada maa wasi`ahu `ilmUllah." Sesungguhnya ia adalah zikir jaami` (yakni zikir yang menghimpunkan ganjaran pahala) bagi segala wirid.
 
Untuk melengkapkan faedah, faqir nukilkan sejarah Tahlil Jaami` sebagaimana tercatat dalam karya Ustaz Muhammad bin Ali bin Ahmad al-Ibrahimi, yang membahas tentang wirid - wirid yang biasa diamalkan selepas sembahyang, berjodol an-Nafahatur Rabbaniyyah fil Awradil Madaniyyah. Pada halaman 79 dinyatakan sebagai berikut:
Mengkhatam Dengan Tahlil Yang Jaami`

Disukai kita mengkhatam atau menutup tahlil kita itu dengan lafaz tahlil yang jaami`:-
 "La ilaha illa Allah, Muhammadur Rasulullah, fi kulli lamhatin wa nafasin `adada maa wasi`ahu `ilmUllah", artinya: "Tiada tuhan melainkan Allah, Muhammad itu Pesuruh Allah, pada tiap - tiap kelipan mata dan hembusan nafas, sebanyak - banyak bilangan barang yang diliputi oleh ilmu Allah. 

Tahlil yang jaami` ini berasal daripada al-`Arif biLlah al-Imam as-Sayyid Ahmad bin Idris radhiyaAllahu `anhu. Ia menerimanya di dalam suatu pengalaman rohaniahnya, di dalam mana ia berjumpa dengan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam beserta dengan Nabi al-Khidhr `alaihis salam. Tahlil yang jaami` ini ditalqinkan kepadanya, mula - mulanya oleh Nabi al-Khidhr `alaihis salam atas suruhan daripada Nabi kita shallaAllahu `alaihi wa sallam, bersekali dengan talqin shalawat dan istighfar yang jaami`. Kemudian Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sendiri mentalqinkannya kepada as-Sayyid Ahmad radhiyaAllahu `anhu. Di dalam pengalaman itu Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam mengatakan kepadanya, bahawa ia telah dikurniakan anak - anak kunci langit dan bumi, iaitu tahlil yang khusus itu, beserta dengan shalawat yang `adzimah dan istighfar yang kabir. Barangsiapa mengucap tiap - tiap suatu daripadanya sekali, maka ganjarannya adalah kadar dunia dan akhirat dan barang yang di dalam keduanya, berlipat - lipat kali ganda banyaknya.......
Dalam an-Nujumuz Zahirah, halaman 76, Habib Zain bin Ibrahim BinSumaith hafizahullah berpesan agar kita mengamalkan tahlil jaami` Sidi Ahmad bin Idris radhiyaAllahu `anhu selepas setiap shalat fardhu sebanyak 4 kali. Beliau menyatakan bahawa membaca sekali tahlil tersebut seumpama membaca 72,000 kali ucapan tahlil yang biasa. Ini adalah kerana ghalibnya pada setiap hari, seseorang bernafas sebanyak 24,000 kali, manakala matanya pula berkelip sebanyak 48,000 kali, menjadikan jumlah bilangan nafas dan kelipan matanya sebanyak 72,000 kali. Ini menurut anggaran sebahagian orang, bukannya mesti dan pasti sebanyak itu.

Pada hemat faqir yang dhaif, mungkin ini jumlah yang dapat dihitung dan dikira - kira, sedangkan yang dalam keluasan ilmu Allah, di mana ilmu Allah itu berta`alluq dengan segala wajibat, mustahilat dan jaa-izat, tiada siapa yang mengetahuinya selain Zat Yang Maha Mengetahui, Allah `azza wa jalla. Jadi jumlah 72,000 tersebut hanyalah bilangan yang kecil, yang dapat dihitung berdasarkan turun naik nafas dan pejam celiknya mata. Gandaan yang sebenar hanya Allah sahaja yang mengetahui, tertakluk kepada KehendakNya dan kabul daripadaNya jua, dari nol hinggalah ke tak terperi. Kita selaku hamba hendaklah sentiasa berbaik sangka dengan Zat yang Maha Pengasih Maha Penyayang yang berkuasa mutlak memberikan balasan yang berlimpah ruah tak terhitung kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Semoga segala amalan kita diterima Allah dan diredhaiNya sehingga menjadi sebab kita melangkah ke syurga dengan rahmatNya jua.

Habib Muhammad al-Maliki


Guru Kapuh


Tuan Guru Nik Abdul Aziz