Jumaat, Mac 31, 2006

Kelebihan Membaca Mawlid 1

Sayyidisy-Syaikh Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi dalam kitabnya "I`anatuth-Tholibin" jilid 3 mukasurat 414 menyatakan antara lain:-
  1. Telah berkata Imam al-Hasan al-Bashri qaddasaAllahu sirrah: "Aku kasih jika ada bagiku seumpama gunung Uhud emas untuk kunafkahkan atas pembacaan mawlid ar-Rasul."
  2. Telah berkata Imam al-Junaidi al-Baghdadi rhm.: "Sesiapa yang hadir mawlid ar-Rasul dan membesarkan kadar baginda, maka telah berjayalah dia dengan iman."
  3. Telah berkata Syaikh Ma'ruuf al-Karkhi qds.: "Sesiapa yang menyediakan untuk pembacaan mawlid ar-Rasul akan makanan, menghimpunkan saudara-saudaranya, menyalakan lampu-lampu, berpakaian baru, berwangi-wangian, berhias-hias, demi membesarkan mawlid Junjungan s.a.w., nescaya dia akan dihimpunkan oleh Allah ta`ala pada hari kiamat bersama-sama kumpulan pertama daripada para nabi dan jadilah dia berada pada setinggi-tinggi syurga. Dan sesiapa yang telah membaca mawlid ar-Rasul s.a.w. ke atas dirham-dirham perak atau emas, dan mencampurkannya bersama dirham-dirham lain, jatuhlah padanya keberkatan dan tidaklah papa si empunyanya serta tidak akan kosong tangannya dengan berkat mawlid ar-Rasul s.a.w."

Begitulah ikhwah, buat pendahuluan perkataan 3 orang ulama dan waliyUllah besar berhubung kelebihan bermawlid dan membaca mawlid, sebagaimana dinukilkan oleh ulama besar kita yang jadi ikutan dalam mazhab (i.e. ikutan orang yang bermazhab, yang tidak bermazhab tentu tak ikut). Nak pakai,pakai, tak nak pakai ikut mu le, tapi aku pakai kerana aku Sunniyyun Syafi`iyyun. Jom mawlid.

Rabu, Mac 29, 2006

Talqin Mayyit


Ini satu lagi amalan yang sering diserang oleh kaum mudah dan ulama mereka. Hebat serangannya sehingga ada antara kita yang tergugah dalam melaksanakannya, seolah-olah ianya memang bid`ah yang ditegah. Sedangkan dalam mazhab kita asy-Syafi`iyyah, ianya dihukumkan mustahab (disukai/sunnat) bagi mayyit yang baligh. Silalah ikhwah rujuk kitab-kitab mu'tabar dalam mazhab kita antaranya Tohfah dan hawasyinya, jilid 3, mulai mukasurat 227.

Di sini aku nukil sikit dari "Risalah Ketetapan Majlis Muzakarah Ulama SeMalaya - Di Kepala Batas", antara lain menyebut:-

  • Bahawasanya talqin mayyit itu hukumnya sunnat bukannya bid`ah dhalalah. Dalilnya:-
  • (1) Firman Allah ta`ala : ...... yang bererti "Beringat-ingat olehmu maka bahawasanya beringat-ingat itu berguna kepada orang yang mu'minin."
  • (2) Hadis yang diriwayat oleh Thobarani fil Kabir marfu`an daripada Abi Umamah sabda Nabi s.a.w.:.....yang bererti "Apabila mati seorang daripada saudara kamu maka kamu ratakan tanah di atas kuburnya maka hendaklah berkata ia "Hai Fulan anak Fulanah", maka bahawasanya ia mendengar akan dia dan tiada ia jawab ........ hingga berkata ia - maka hendaklah ia berkata - Ingat olehmu barang yang engkau keluar atasnya daripada dunia iaitu syahadatu an la ilaha illaAllah wa anna Muhammadan 'abduhu wa rasuluhu ...... hingga akhir riwayat."
  • (3) Atsar yang diriwayatkan oleh Sa`id bin Manshur daripada Rasyid bin Sa`id dan Dhamrah bin Habib dan Hakim bin 'Umair, berkata mereka itu:- ........... yang bererti "Apabila diratakan atas mayyit akan kuburnya dan berpaling manusia daripadanya adlah mensunnat mereka itu bahawa dikata bagi mayyit di sisi kuburnya - Wahai Fulan anak Fulanah - kata olehmu la ilaha illaAllah tiga kali - kata olehmu tuhanku Allah - agamaku Islam - nabiku Muhammad s.a.w. ....... hingga akhirnya.
  • (4) Aqwal al-'Ulama`:-......... yang bererti - "dan disunnat talqin orang yang baligh lagi berakal atau orang yang gila yang terdahulu oleh taklif." Telah berkata akan dia Imam Nawawi di dalam Raudhah dan Syaikhul Islam di dalam Asnal Mathalib dan Fathul Wahhab dan al-'Allamah Ibnu Hajar di dalam Tohfah dan Fathul Jawaad dan Syaikh Ramli di dalam Nihayah dan al-'Allamah al-Khathib di dalam Mughni dan beberapa ulama yang lain daripada mereka itu seperti Qadhi Husain dan Ibnu ash-Sholah.
  • Dengan segala nas yang tersebut itu nyatalah bahawa talqin mayyit kemudian daripada anam itu sunnat yang ada asalnya daripada Quran dan hadis dan atsar daripada sahabat dan perkataan ulama r.'anhum. Adapun firman Allah ta`ala ......."Beringat-ingat olehmu maka bahawasanya beringat-ingat itu berguna kepada orang yang mu'minin", maka ayat ini umum kepada sekalian orang yang beriman sama ada hidup atau mati. Dan yang terlebih sangat berhajat seseorang kepada pengingatan itu ialah di masa ia di dalam kubur. Ada pun Abi Umamah yang diriwayatkan oleh Thobarani sungguhpun dhaif akan tetapi disokong oleh beberapa syahid daripada hadis yang lain seperti hadis ...........yang bererti "Pintalah olehmu baginya akan ketetapan, maka bahawasanya ia sekarang sedang ditanya akan dia". Demikianlah tersebut di dalam Majmu' - dan hadis Ibnu 'Abbas yang diriwayat oleh Daruquthni di dalam sunannya - dan wasiat Amr bin al-'Aash yang diriwayat oleh Muslim - dan amal ahlu Syam. Lagi pula adalah talqin ini setengah daripada fadhail yang memada pada meisbat akan dia dengan hadis yang dhaif jua.

Sunniyyun Syafi`iyyun begitulah kedudukan talqin dalam mazhab kita, oleh itu mari teruskanlah bertalqin dan ditalqin nanti.

Selasa, Mac 28, 2006

Shalawat Tafrijiyyah

Shalawat Tafrijiyyah (shalawat memohon kelepasan dari kesusahan dan bencana) adalah antara shalawat yang terkenal diamalkan oleh para ulama kita. Shalawat ini juga dikenali sebagai Shalawat at-Tafrijiyyah al-Qurthubiyyah (dinisbahkan kepada Imam al-Qurthubi), ada ulama yang menisbahkannya kepada Imam 'Ali Zainal 'Abidin bin Imam al-Husain r.anhuma, dan ada juga yang menisbahkannya kepada Syaikh Ibrahim at-Tazi. Di negeri sebelah maghrib, ianya dikenali sebagai Shalawat an-Naariyah kerana menjadi amalan mereka apabila ingin melaksanakan sesuatu hajat atau menolak sesuatu bencana, mereka akan berkumpul dan membaca shalawat ini 4444 kali lalu terkabul hajat mereka dan tertolak segala malapetaka secepat api yang menyambar atau membakar. Ianya juga dikenali sebagai Miftahul Kanzil Muhiith li naili muraadil 'abiid (kunci perbendaharaan yang meliputi untuk menyampaikan harapan si hamba). Shalawat ini mempunyai keistimewaannya kerana selain sholawat ianya merupakan tawassul kepada Allah dengan Junjungan Nabi s.a.w. di mana kita menyebut nama dan dhamir Junjungan s.a.w. sebanyak 8 kali.

Menurut Imam al-Qurthubi sesiapa yang melazimi akan shalawat ini setiap hari 41 kali atau 100 kali atau lebih, nescaya Allah melepaskan kedukaan, kebimbangan dan kesusahannya, menyingkap penderitaan dan segala bahaya, memudahkan segala urusannya, menerangi sirnya, meninggikan kedudukannya, memperbaikkan keadaannya, meluaskan rezekinya, membuka baginya segala pintu kebajikan, kata-katanya dituruti, diamankan dari bencana setiap waktu dan dari kelaparan serta kefakiran, dicintai oleh segala manusia, dimakbulkan permintaannya. Akan tetapi untuk mencapai segala ini, seseorang itu hendaklah mengamalkan shalawat ini dengan mudaawamah (berkekalan).

Imam as-Sanusi berkata bahawa sesiapa yang melazimi membacanya 11 kali setiap hari, maka seakan-akan rezekinya turun langsung dari langit dan dikeluarkan oleh bumi.

Imam ad-Dainuri berkata bahawa sesiapa yang membaca shalawat ini dan menjadikannya wirid setiap selepas shalat 11 kali, nescaya tidak berkeputusan rezekinya, tercapai martabat yang tinggi dan kekuasaan yang mencukupi. Sesiapa yang mendawamkannya selepas shalat Subuh setiap hari 41 kali, tercapai maksudnya. Sesiapa yang mendawamkannya 100 kali setiap hari, terhasil kehendaknya dan memperolehi kehormatan/kemuliaan melebihi kehendaknya. Sesiapa yang mendawamkannya setiap hari menurut bilangan para rasul (313 kali) untuk menyingkap segala rahsia, maka dia akan menyaksikan segala apa yang dikehendakinya. Sesiapa yang mendawamkannya 1000 kali sehari, maka baginya segala yang tidak dapat hendak diterang dengan kata-kata, tidak pernah dilihat mata, tidak pernah didengar dan tidak pernah terbetik di hati manusia.

Imam al-Qurthubi juga berpesan bahawa sesiapa yang berkehendak untuk menghasilkan hajatnya yang besar atau menolak bencana yang menimpa, maka bacalah shalawat ini sebagai tawassul dengan Junjungan Nabi yang empunya akhlak yang agung 4,444 kali, nescaya Allah ta`ala akan menyampaikan kemahuan dan harapan itu atas niat si pembaca. Ibnu Hajar al-'Asqalani telah menyebut akan kelebihan bilangan ini sebagai iksir fi sababit ta`siir (pati ubat sebagai penyebab berlakunya kesan).

Menurut kata ulama, shalawat ini adalah merupakan satu perbendaharaan daripada khazanah-khazanah Allah, dan bershalawat dengannya merupakan kunci-kunci pembuka segala khazanah-khazanah Allah yang dibukakan Allah bagi sesiapa yang mendawaminya serta dengannya seseorang boleh sampai kepada apa yang dikehendaki Allah s.w.t. Oleh itu silalah ikhwah semua merujuk kepada para ulama kita (ingat bukan ulama mereka kerana karang semuanya akan dibid`ahsesatkan) dan melihat akan karangan-karangan terdahulu seperti "Afdhalush Shalawat 'ala Sayyidis Saadaat" karangan Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani, "Jawahirul Mawhub" dan "Lum`atul Awrad" kedua-duanya karangan Tok Syaikh Wan 'Ali Kutan al-Kelantani, "Khazinatul Asrar" karangan Syaikh Muhammad Haqqi an-Naazili dan lain-lain lagi. Sesiapa yang tak ingin beramal dengannya, tak mengapa, amalkan sahaja apa yang kamu nak amal, jangan nak berbalah pulak dengan aku kerana aku sekadar menukil kata ulama. Daripada berbalah, elok kita perbanyakkan shalawat, shollu 'alan Nabiy.

Isnin, Mac 27, 2006

Hadis Thawus - Fatawa Kubra


Untuk sedara Zambili, dah jumpa ke idak. Dalam aku punya kitab ada, mu punya kitab takkan tak jumpa. Jangan-jangan kitabmu dah diedit geng-geng tu kot. Jangan marah no, kali ini aku scan, lain kali cari betul-betul ok. Muka 30, jilid 2, baris 12 dari bawah.

Sabtu, Mac 25, 2006

Mufti Haji Nor al-Kelantani (1905M - 1987M)


Dato' Hj Mohd Noor bin Ibrahim adalah seorang ulama’ Kelantan yang terkemuka dan dianggap tokoh paling masyhur selepas Tok Kenali. Dilahirkan pada 20hb. Ogos 1905 di Kota Bharu, beliau adalah anak kepada Haji Ibrahim Yusuff, Mufti Kerajaan Kelantan antara 1928-1941. Setelah menamatkan persekolahan awalnya di Madrasah Muhammadiah, Majlis Agama Islam Kelantan, beliau melanjutkan pelajaran ugamanya di Mekah pada tahun 1923. Bidang ilmu yang beliau pelajari meliputi bukan sahaja ilmu-ilmu agama tradisional seperti usuluddin, fiqh, hadith dan tafsir, tetapi juga ilmu-ilmu falak dan qiraat. Guru-guru beliau di Mekah antara lain ialah Syaikh Hasan al-Masyath, Tok Senggora, Syeikh Nuh Jamaludin Kelantan, Syeikh Mohd. Nor Patani, Tengku Mahmud Zuhdi al-Fatani, Chek Pak Ya al-Ramani dan lain-lain. Jawatan beliau yang pertama selepas pulang ke Kelantan ialah menjadi Qadhi Besar Kelantan pada tahun 1937. Pernah memangku jawatan Mufti Khas antara 1hb. September 1941 hingga 28hb. Oktober 1944, iaitu sehingga jawatan berkenaan dihapuskan. Antara 1949 hingga pertengahan 1965, beliau menjadi guru di Jami’ Merbau al-Ismail (kemudiannya Maahad Muhammadi) dan sekaligus mengajar di Masjid Muhammadi. Selang waktu antara pertengahan 1965 hingga April 1968, beliau habiskan di Masjid Negara Kuala Lumpur, berkhidmat di Kelas Tahfiz al-Qur’an yang baru ditubuhkan sekarang (Dar-al-Qur’an) dan menyusun tafsir pimpinan ar-Rahman yang terkenal itu.Dilantik menjadi Mufti pada 1hb. Mei 1968 berikutan kematian sahabatnya Dato’ Haji Ahmad Maher. Jawatan ini beliau sandang sehingga ke akhir hayatnya pada 13hb. Februari 1987. Lebih dari seorang ulama’, beliau adalah seorang hafiz dan ahli falak yang terkenal, pun juga seorang penulis dan orang alim yang menguasai bahasa Inggeris. Kemasyhuran beliau lebih banyak terserlah dalam bidang-bidang qiraat, falak, tafsir dan usuluddin, ketimbang bidang fiqh sebagaimana layaknya seorang Mufti.

Jumaat, Mac 24, 2006

Syaikh Hasan al-Masyath


Nama penuhnya ialah Abu Ahmad Hasan bin Muhammad bin 'Abbas bin 'Ali bin 'Abdul Wahid al-Masyath al-Makki al-Maliki. Dilahirkan di Makkah pada 3 Syawwal 1317H. Mula belajar daripada ayahandanya sendiri, kemudian di Madrasah ash-Shaulatiyyah dan Masjidil Haram. Di antara guru-gurunya ialah Syaikh Jamaal al-Maliki, Syaikh Hamdan al-Wanisi al-Jazairi al-Madani, Syaikh Muhammad Hasyim al-Fuuti al-Fulaani, Syaikh Muhammad al-Kattani, Syaikh Muhammad al-Khidhr al-Jakni al-Mauritani, Syaikh Musytaq Ahmad, Syaikh 'Umar Hamdan al-Mahrusy, Habib 'Aydrus bin Salim al-Bar, Syaikh 'Abdur Rahman ad-Dahhan, Syaikh 'Isa Rawwas, Syaikh Muhammad Habibullah asy-Syinqithi dan ramai lagi. Beliau juga telah mengadakan rehlah ilmu dengan mengunjungi ulama dan belajar dengan mereka di merata-rata tempat, antaranya ke Sudan di mana beliau berkesempatan bertemu dengan Sayyid 'Ali al-Mirghani dan Syaikh al-Fatih QaribUllah. Di Mesir, beliau bertemu dengan Syaikh Muhammad Zahid al-Kawtsari, Syaikh Salamah al-Qudha`ie dan Syaikh Ibrahim al-Bajuri. Di Syria, beliau bertemu dengan Syaikh 'Abdul 'Aziz 'Uyun, Syaikh 'Abdul Fattah Abu Ghuddah dan Syaikh Salih Farfur. Selain menjadi qadhi, beliau juga mengajar di Madrasah ash-Shaulatiyyah dan di Masjidil Haram dengan mengajar hadits melalui kitab-kitab shahih, tafsir, fiqh, usul fiqh dan lughah. Di antara murid-muridnya ialah Syaikh Ibrahim al-Ahdal, Syaikh Ismail Zain, Syaikh Ismail Hariri, Syaikh Ahmad al-Badali, Syaikh Ahmad al-Halwani, Syaikh Ahmad al-Masyath, Syaikh Ahmad Damanhuri, Syaikh Ahmad Zaki Yamani, Syaikh Zaini Bawean, Syaikh Shalih Mahjub, Syaikh 'Abdullah al-Lahji, Habib Abdullah Hasan Tholib al-Jufri, Syaikh Yasin al-Fadani dan ramai lagi. Di tanah air kita, antara ulama yang pernah menjadi muridnya ialah Datuk Mufti Syaikh Muhammad Nur bin Ibrahim al-Kelantani. Syaikh Hasan al-Masyath juga telah meninggalkan berbagai karangan antaranya "al-Jawhar ats-Tsaminah", "at-Tuhfah ats-Tsaniyyah", "al-Bahjah as-Saniyyah" dan banyak lagi. Beliau wafat di Makkah pada hari Rabu, 7 Syawwal 1399H........al-Fatihah.

Khamis, Mac 23, 2006

Ulama Jawi

Ikhwah, aku sekadar nak mulakan muqaddimah agar kalian dapat berfikir dan mencari serta mengenali lebih mendalam sejarah dan perjuangan serta keilmuan dan ketaqwaan Ulama Jawi. Sewaktu aku mengaji kuliah dulu, ada kawanku dari Bangkok yang terpengaruh dengan Wahhabi yang mempunyai pandangan agak sinis terhadap Ulama Jawi i.e. Ulama Fathani kerana dia beranggapan bahawa ulama-ulama kita dahulu bila gi Makkah hanya duduk mengaji dengan ulama sebangsa mereka sahaja. Aku ingat pendapat ini hanya angin lalu sahaja i.e. angin kentut lalu busuk amat baunya.

Tiba-tiba ada mamat yang suarakan pandangan yang hampir serupa seolah-olah ulama di Tanah Arab sana (tapi dia tak bagi tahu Arab mana dan zaman bila) itu lebih hebat dan lebih dapat dipercayai daripada Ulama Jawi kita terdahulu. Aku ingat mamat ni memang tak baca sejarah, dan kalau dia Melayu, Melayu tak kenang budi.

Ulama Jawi kita terdahulu bukan sekadar belajar di Tanah Arab, tetapi belajarnya mereka itu adalah perjuangan yang menempuh berbagai rintangan dan pancaroba. Waktu mereka mengaji kat Makkah dan Madinah, tak ada pun terima biasiswa Wahhabi, Tok Kenali sewaktu mengaji di Makkah berapa punya susah. Tu yang ilmu mereka berkat, jadi obor umat, bukan macam sesetengah yang mengaji tinggi tapi bila balik bawak fitnah, jadi tukang bahagi syurga dan neraka, memecahbelahkan anak bangsa atas nama Islam.

Ulama kita dahulu amat cemerlang, gemilang dan terbilang (pinjam slogan Pak Lah) dan tak hilang-hilang. Lihat Tok Syaikh Nawawi al-Bantani yang dikenali sebagai Imam Nawawi ats-Tsani (Imam Nawawi kedua) juga dikenali sebagai Sayyidul Ulama-il-Hijaz. Adakah anak-anak didiknya hanya terdiri daripada bangsa Jawi sahaja? Lihat Syaikh Ahmad Khatib Minangkabau, Syaikh Abdul Hamid Kudus, ilmu dan lidahnya diakui ulama sezaman tak kira bangsa sehingga diangkat menjadi khatib dan imam kat Masjidil Haram. Lihat Tok Syaikh Wan Ahmad al-Fathani, Tok Syaikh Daud, Syaikh Nik Mat Kecik, keilmuan mereka diakui ulama berbagai bangsa. Lihat Syaikh Ahmad Khatib Sambas yang berjaya memadu dua thariqah menjadi satu iaitu TQN (Thoriqat Qadiriyyah wan Naqsyabandiyyah).

Ulama tanah airku tercinta, Syaikh Uthman Sarawak dan anaknya Syaikh Zainuddin, ditauliah mengajar dalam Masjidil Haram depan BaitUllah. Kalau Wahhabi tak menguasai Hejaz, nescaya obor Ulama Jawi yang tetap Sunniyun Syafi`iyyun akan terus memancar dari tanah suci tersebut.

Jangan dilupa ulama Padang yang diiktiraf sebagai ahli hadis ulung bergelar Musnid Dunya, Syaikh Muhammad Yasin al-Fadani. Syaikh Yasin mengaji hadis bukan setakat kat UIA sahaja (maaf bebanyak bukan nak rendahkan UIA, yang aku pelik ada Dr. yang buat Phd Hadis (thesisnya aku tak tahu pasti tajuknya) mengaji dengan muhaddits dari India kat UIA yang bermazhab Hanafi, i.e. muhaddits yang jadi tok guru ikut mazhab, tapi anak murid memandai sahaja tak nak ikut mazhab, nak ikut hadis sahaja kononnya piiiiiiirraaaaahhhhhhhhhh).

Oleh itu, harap sedara jangan terlalu buta sejarah, sehingga kaca disangka berlian dan berlian tulin dikatakan kaca. Ingat belajarlah berterima kasih, ulama-ulama inilah yang telah menerangi dunia kita rantau Jawi dengan cahaya ilmu dan taqwa. Albani, apa yang dibawaknya selain daripada fitnah dan pecah belah. Sesiapa yang anak bangsa Jawi nak ikut Albani, elok pi pindah kat Albania sana.

Rabu, Mac 22, 2006

Ibnu Qayyim al-Jawziyyah 2




Nukilan daripada kitab "Senjata Syariat Pakaian Ahlus Sunnah wal Jama`ah - Memerangkan khurafat dan mubtadi`ah", susunan Ustaz Abu Zahidah Sulaiman dan Ustaz Abu Qani`ah Haji Harun bin Muhammad ash-Shomadi dan diberi taqridhz (akuan) kitab ini oleh Shohibul Fadhilah al-'Alim al-'Allamah Tuan Guru Haji 'Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husain, Pokok Sena dan Tuan Guru Haji 'Abdur Rahman bin Haji Abdullah, Merbok, Kedah.
  • Dan tuan-tuan jaga-jaga daripada kitab yang bernama "Hadyur Rasul" itu mukhtasar daripada "Hadyul 'Ibad" itu mukhtasar daripada "Zaadul Ma`aad" karangan Ibnu Qayyim al-Khariji (yang terkeluar daripada golongan Ahlus Sunnah wal Jama`ah) semuanya berasal daripada mazhab (perjalanan) Ibnu Hazmin yang dinamakan Ahludz-Dzahir yang memecahkan ijma`- ijma`....
  • Saudara-saudari yang berkemahuan sentosa dunia akhirat hendaklah berpegang kamu dengan pegangan sebagai biasa seperti yang dibawa oleh ulama yang pilihan di dalam mazhab kita kerana ulama kita itu mengambil daripada Quran al-Karim dan Hadits an-Nabawi. Maka tidaklah kamu terdorong masuk di dalam golongan fasid yang membawa kepada memecah kaum kerabat yang bersatu-padu....
  • Walhasil kami pun mengaku ada orang-orang yang boleh buat mazhabnya dengan sendirinya masa kita ini, boleh mengambil empat rubu' fiqh itu daripada Quran dan hadits sahaja, iaitulah syaithan, na`udzubillahi min dzalik. Sebagai kata Syaikh 'Abdul Wahhab Sya'raani di dalam kitabnya yang bernama "Mizan" (yakni "Mizanul Kubra") begini terjemah bunyinya:- "Maka jika mereka perbuat ia akan demikian itu (yakni menyalahi-menyalahi akan nas-nas Imam-Imam yang empat dan mencarik ia akan ijma') maka tiada ia taqlid bagi seorang daripada Imam-Imam empat dan sungguhnya ia mengikut syaithan."
  • Maka sungguhnya dari kerana kitab Hadyur Rasul ini banyak orang-orang di masa kami ini yang mengharamkan dan menyesatkan orang-orang mengikut mazhab empat dan mengharamkan ushalli dan menyesatkan talqin, ziarah kubur, kenduri arwah, berqunut Subuh, mengangkat tangan berdoa, wirid-wirid ma`asyir, bang Jumaat dua kali, sunnat qabliyyah Jumaat, sayyidina dalam tahiyyat, muqaranah dan lain-lain lagi, na`udzubillahi min dzalik.

Letih nak komen panjang, sendili baca sendili fahamlah, kalu tatak faham tanye same itu olang faham, ini hali ada sikit letihlah. Cuma mauk ingat itu bendela atas itu kitab... aaaa.... bukan Saudi punye bendela.

Selasa, Mac 21, 2006

Taqlid - Pandangan Ulama 3

Kali ini aku bawa tulisan Habib 'Alwi bin 'Abbas bin 'Abdul 'Aziz al-Maliki al-Hasani rhm. (ayahanda kepada Buya Dr. Habib Muhammad bin 'Alwi al-Maliki rhm.) dan Syaikh Hasan Sulaiman an-Nuri. Nukilan ini adalah daripada muqaddimah beliau-beliau bagi kitab karangan bersama mereka berjodol "Ibanatul-Ahkam syarah Bulugh al-Maraam", antara lain:-
  • ...bahawasanya al-ijtihad itu adalah suatu martabat yang agung pada syarak dan darjat yang besar lagi tinggi. Ianya memerlukan kepada keluasan ilmu dan kemahiran bukan sahaja terhad kepada topiknya tetapi juga kepada lain-lain lagi. Maka zahirlah dengan ini bahawa orang yang mendakwa mencapai ijtihad mutlak pada masa-masa akhir ini adalah orang yang tidak mengetahui ketinggian taraf perkara yang didakwanya (yakni maqam ijtihad mutlak itu) atau jahil tentang taraf kemampuan dirinya (yakni dia beranggapan dirinya sudah mencapai darjat tersebut), dan mana-mana satu dari dua perkara ini tidak boleh dianggap sebagai keuzuran bagi sipendakwa tersebut.
  • Dan sesiapa yang berkata bahawasanya ijtihad itu wajib atas setiap manusia, sedangkan pada kalangan mereka terdapat orang awam dan jahil dan para pekerja, jika sekiranya dia mengingkari kewujudan mereka dalam umat ini, maka keingkaran itu adalah perbuatan bongkak yang menafikan kenyataan.
  • Dan jika sekiranya dia mengakui kewujudan golongan awam yang berhajat kepada taqlid, maka taqlidnya orang awam kepada ahli kurun yang tiga terdahulu daripada kalangan para imam besar adalah lebih awla dan lebih benar daripada taqlidnya orang awam tersebut kepada selain para imam besar tersebut, yang mana Junjungan Nabi s.a.w. telah mendatangkan kesaksian atas kebaikan mereka tersebut sebagaimana sabdaan baginda:- ...."Sebaik-baik manusia adalah kurun aku, kemudian mereka-mereka yang mengikutinya, kemudian mereka-mereka yang mengikutinya." Hadis ini adalah kesaksian seorang Nabi yang maksum yang tidak boleh ditolak atau didusta atau diragui atau ditukar, serta mazhab-mazhab para imam tadi telah dhabit, sumber ambilan mereka adalah murni dan telah disaring akan perkataan-perkataan dan fatwa-fatwa mereka daripada pengikut-pengikut mereka dengan ambilan yang sahih atau mutawatir dengan generasi kemudian mengambilnya daripada generasi sebelumnya.
  • Jadi bagaimana ditinggalkan taqlid kepada para ulama ini untuk bertaqlid kepada orang yang tidak mengetahui tempat berlakunya ijmak dan tidak mengetahui rahsia tasyri' serta tidak mengetahui cara mengistinbath segala hukum. Di antaranya, mereka yang meremehkan sunnah dan tiada syak ini adalah daripada was-was syaithan. Sebahagian lagi tidak mempunyai akal yang rusukh lalu mengingkari nasikh dan mansukh, bahkan ada sebahagiannya yang ingkar akan wujudnya qiyas........
  • Dan bukanlah kami mendakwa bahawa pintu ijtihad telah ditutup, bahkan pintu tersebut sentiasa terbuka sampai ke hari kiamat, akan tetapi ianya adalah bagi orang yang berkelayakan dengannya (yakni layak untuk berijtihad) orang yang benar-benar mengetahui cara istinbath, mengetahui berhubung nasikh dan mansukh, tempat berlakunya ijma'.....
  • Maka dakwaan ijtihad bagi orang yang bukan ahlinya, maka itu adalah kalimah yang hak tetapi yang dikehendakinya adalah kebatilan, tempat timbulnya fitnah yang kosong dari kebenaran, memalsukan kebenaran dan melencong lari dari mengikut Sunnah wal Jama`ah serta menyalahi jumhur.

Begitulah kekawan, bukan senang nak jadi Imam asy-Syafi`i. Bukan senang nak senang ooooo. Kalau setakat cut and paste, setakat baca kitab cincai-cincai atau baca tak habis, tok sahlah. Dulu punya ulama, bukan baca kitab, siap karang kitab. Sekarang kalau ada orang boleh karang kitab macam mereka, tak leh jugak kata setaraf sebab sekarang kitab-kitab rujukan dah bertabur ada kat mana-mana dan senang didapati, maklum information technology. Muhadditsin dah siapkan kitab-kitab mereka, muffasirin jugak begitu dan begitu jugak dengan yang lain.

Tapi jangan pulak lupa bahawa ulama dulu punya information technology lain, lagi hebat, kalau kita online kat net, depa online terus sambung dengan Zat Yang menciptakan orang yang mencipta teknologi net tu.....i.e. ilmu wahbi (.......bukan ilmu wahhabi, ini ilmu baru akhir zaman). Tak heran ilmu mereka hebat lagi berkat berpanjangan sampai ke masa kita, sambut menyambut antara guru dan murid.

Hebat-hebat mereka dok taqlid jugak dengan imam-imam mazhab. Imam an-Nawawi tak hebat ke ? Hujjatul Islam al-Ghazali ? Amirul Mukminin fil hadits Ibnu Hajar al-'Asqalani ? Imam al-Bukhari ? Kalau mereka pun ikut bertaqlid dengan mazhab, aku dengan ekau elok ikut samalah jang ooooo. Karang tak taqlid dengan imam-imam mazhab, jadi taqlid ngan setan pulak.

Tapi ada gak yang tunjuk terer, kata ikut semua mazhab. Yang ikut semua mazhab ni sebenarnya tak ikut pun mana satu mazhab. Alkisah adalah ada satu negeri kat kayangan kata dia ikut Ahlus Sunnah Wal Jamaah sahaja tanpa terikat dengan mana-mana satu daripada 4 mazhab, hakikatnya mereka tak beramal pun dengan salah satu daripada yang 4 itu sebab yang mereka amal adalah mazhab ke-5, mazhab ABC. Apa tidaknya, campur-campur ertinya tukang pilih atau tukang campur tu tentulah lebih hebat daripada ulama-ulama 4 mazhab tersebut, sebab dia yang boleh tarjih kekuatan nas semua mazhab, ertinya dia memang sudah tabahur betul-betul segala aqwal mazahib dan hujjah-hujjah mereka. Kalau beginilah, jom kita pakat ramai-ramai nobatkan dia sebagai Imamul Ama-im.

Kita Sunniyun Syafi`iyyun terima dan saling menghormati mazhab-mazhab Ahlus Sunnah yang lain. Tapi kita beramal dengan mazhab kita secara lazim, tanpa bersikap fanatik sehingga memandang serong terhadap saudara-saudara kita tersebut. Al-Quran boleh dibaca dengan 7 gaya bacaan (qiraat), tapi kita tidak diwajibkan untuk membacanya dengan ketujuh-tujuh gaya tersebut, memadai kita memilih satu daripada yang 7 tersebut, dan dipandang satu kesalahan jika kita mencampur-campur bacaan tersebut dengan sembrono.

Jumaat, Mac 17, 2006

Hadis Jabir - 'Iqdul Jawahir



Aku nukilkan di sini buat tatapan ikhwah yang tak sabar-sabar, hadis Jabir bin Abdillah al-Anshari r.anhuma sebagaimana dicatat oleh Imam al-'Ajluni dalam himpunan 40 haditsnya yang berjodol "Iqdul Jawharil Tsamiin fi arba`iina hadiitsan min ahaadiitsi Sayyidil Mursalin" atau "`Iqdul Jawaahirits-Tsamiin fi arba`iina hadiitsan min ahaadiitsi Sayyidil Mursalin" dengan tulisan khat oleh al-'Alim al-'Allamah adz-Dzakiy asy-Syaikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthofa al-Fathani. Pada mukasurat 25 terkandung hadits Jabir tersebut yang kira-kira bererti:-
  • Aku (yakni Sayyidina Jabir) telah bertanya kepada Junjungan Nabi s.a.w.: " Wahai Rasulallah, demi ayah dan ibuku yang menjadi tebusan bagimu, khabarkanlah kepadaku mengenai apa yang mula pertama dicipta Allah ta`ala sebelum segala sesuatu."
  • Junjungan s.a.w. bersabda:- "Wahai Jabir, Allah ta`ala telah mencipta sebelum segala sesuatu nur nabimu daripada nurNya. Lalu dengan kudratNya berputar nur tersebut (yakni menjalani satu proses yang Allah sahaja Maha Mengetahui hakikatnya) menurut kehendakNya, dan pada waktu itu belum ada lauh, belum ada qalam, belum ada syurga, belum ada neraka, belum ada malaikat, belum ada langit, belum ada bumi, belum ada matahari, belum ada bulan, belum ada jin dan belum ada manusia. Ketika Allah ta`ala berkehendak untuk menciptakan makhluk, dibahagiNya nur tersebut kepada empat bahagian, maka dijadikanNya daripada bahagian pertama, qalam, dan daripada bahagian kedua, lauh, dan daripada bahagian ketiga, arsy. Kemudian dibahagiNya bahagian keempat kepada empat bahagian lagi, lalu diciptakanNya daripada bahagian pertama akan malaikat penanggung arsy (hamalatul-arsy), dan daripada bahagian kedua, kursiy; dan daripada bahagian ketiga, baki sekalian malaikat. Kemudian dibahagiNya pula bahagian keempat kepada empat bahagian, lalu dijadikan daripada bahagian pertama akan segala langit; dan daripada bahagian kedua, segala bumi; dan daripada bahagian ketiga, syurga dan neraka. DibahagiNya lagi bahagian keempat kepada empat bahagian, lalu diciptaNya daripada bahagian pertama, nur absharil mu`minin (nur pandangan orang-orang mu`min); daripada bahagian kedua, nur hati-hati mereka iaitu ma'rifatu billah ta`ala (yakni ma`rifat akan Allah ta`ala); dan bahagian ketiga, nur jiwa mereka iaitu tauhid "la ilaha illa Allah, Muhammadur Rasulullah s.a.w.".....al-hadits sebagaimana diriwayatkan dalam "al-Mawaahibul-Laduniyyah" tanpa menyebut sanad hadits dan tanpa disempurnakannya.

Apa yang perlu kita perhatikan ialah al-Imam al-'Ajluni telah membawa hadits ini dalam himpunan 40 haditsnya tanpa apa-apa komentar mengenai darjat hadits ini. Beliau hanya menyebut bahawa hadits ini diriwayatkan dalam "al-Mawaahibul-Laduniyyah" karangan Imam al-Qastholani. Oleh itu kita beranggapan bahawa Imam al-'Ajluni sesungguhnya menerima ucapan tersebut sebagai hadits yang boleh diriwayatkan dan dijadikan hujjah, kerana para muhadditsin telah menyatakan bahawa hadits dhaif atau maudhu` tidak boleh diriwayatkan tanpa menerangkan kedhaifan atau maudhunya. Bahkan Imam al-'Ajluni juga telah menukil hadits ini dalam "Kasyful Khafa" tanpa komentar mengenai darjat hadits ini. Ulama yang menentang mengatakan bahawa Imam al-Qasthalani tersilap, maka Imam ar-Zarqani dan ulama-ulama selepasnya yang menyetujui dan menukil hadis ini juga tersilap, maka ramailah ulama-ulama yang silap. Adakah ulama - ulama kita tersebut memang silap atau mereka yang tidak bersetuju yang tersilap ? Imam al-Qasthalani, ar-Zarqani, al-'Ajluni bukannya jahil mengenai hadis dan periwayatannya. Walaupun ada yang menolak tetapi, ramai juga yang menerimanya bahkan Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam "Fatawa Haditsiyyah" menyatakan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Abdur Razzaq, begitu jugalah ulama-ulama kita di Nusantara.

Apatah lagi, himpunan Imam al-'Ajluni ini ditulis sendiri oleh Syaikh Wan Ahmad al-Fathoni yang menerimanya secara sanad yang muttasil kepada pengarangnya seperti berikut:-

  • Syaikh Wan Ahmad menerimanya daripada;
  • Syaikh Sayyid Muhammad 'Ali bin Sayyid Dhzahir Watari daripada;
  • Syaikh Ahmad MinnatUllah al-Maaliki al-Azhari, daripada;
  • Syaikh al-Amir Muhammad al-Kabir, daripada;
  • Syaikh 'Abdur Rahman bin Muhammad al-Kuzbari ad-Dimasyqi, daripada;
  • Syaikh Ahmad bin 'Ubaid al-'Aththar ad- Dimasyqi, daripada;
  • Syaikh Isma`il al-'Ajluni.

Siapa Syaikh Wan Ahmad ? Ulama besar kita yang menjadi guru utama Tok Kenali al-Kelantani. Kalau ada geng-geng anak Pak Wahab hidung pesek nak tolak, atau anak murid mamak nak tolak, ikut suka hang pa lah. Kamu semua ngaji hadis, aku yang tak ngaji hadis ikut Tok Syaikh Wan Ngah jadilah. Kamu ikut le Tok Syaikh kamu dan mawlana kamu.

Jadi terpulanglah kepada kalian sama ada untuk mengi'timadkan hadits ini dengan mengikut para ulama yang menyokongnya atau menolak seperti sebahagian yang lain atau tawaqquf, duduk diam-diam sahaja. Buya Dr. Muhammad al-Maliki telah menyatakan bahawa hadis Jabir ini adalah masyhur tetapi ada khilaf padanya, ada yang mensabitkannya dan ada yang menolaknya. Yang aku pelik, dekat nak putus urat tekak aku kata ada khilaf, masih ada jugak yang nak berbalah. Mamat ni nak aku cakap dalam Urdu kot baru faham !!!!!!

Barang diingat bahawa kalaupun ulama kita seperti Sidi Hasan Saqqaf dan guru-gurunya menolak sabitnya hadis ini, maka tidak bermakna mereka menolak konsep Nur Muhammad yang menjadi pegangan kebanyakan ulama terdahulu. Yang ditolak cuma hadis Jabir tersebut bukannya konsep Nur Muhammad. Ini kita kena fahami betul-betul, kerana jika pun hadis Jabir tidak sabit maka ada hadis lain yang menunjukkan kewujudan awal Nur Muhammad ini. Lain masa kita tulis, insya-Allah. Percaya atau tidak kepada makhluk paling awal dicipta itu Nur Muhammad, bukan perkara pokok, oleh itu jangan jadikan ianya sebagai hujjah untuk menyesatkan orang selagi mana tafsirannya tidak bercanggah dengan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Rabu, Mac 15, 2006

Ibnul Qayyim al-Jawziyyah 1



Petikan dari "Risalah Ketetapan Majlis Muzakarah 'Ulama` Semalaya - Di Kepala Batas" mukasurat 37:-

  • Jangan tuan terpedaya dengan mereka yang berpegang dengan kitab Hadyur-Rasul, dan mereka berkata: "Kerana apa tak boleh dii'timadkan, kerana kitab Hadyur-Rasul itu diikhtishar daripada Zaadul Ma`aad karangan Ibnul Qayyim al-Jawziyyah".
  • Maka kita berkata:- "Bahawa Ibnul Qayyim itu daripada ulama kurun kedelapan yang anak murid kepada Ibnu Taimiyyah. Ianya telah ditolak oleh ulama semasa dengannya hingga sekarang kerana banyak menyalahinya daripada ijmak. Pada hal Nabi bersabda: .....yang bererti:- "Bahawasanya Allah ta`ala tiada menghimpun akan umatku atas sesat, dan pertolongan Allah itu beserta perhimpunan, barangsiapa yang keluar daripada perhimpunan adalah keluarnya itu kepada api neraka (riwayat Tirmidzi daripada Ibnu 'Umar). "

Ikhwah, inilah alamat akhir zaman, apabila yang lurus dilihat bengkok dan yang bengkok dipandang lurus. Cuba tuan-tuan fikir, Ibnu Taimiyyah sendiri telah dihukumkan sesat oleh ulama sezaman dengannya. Kalaulah kita berpegang bahawa dia difitnah, maka kita pula yang memfitnah ulama-ulama yang telah menghukumnya sesat itu. Kerana nak mempertahankan Ibnu Taimiyyah, kita fitnahkan ulama - ulama yang telah membicarakannya dan menghukumnya. Pendapatku pribadi, aku tak ada apa-apa dengan Ibnu Taimiyyah, dia sudah tiada dan biarlah urusannya dengan Allah, tapi aku tak ikut Ibnu Taimiyyah, sebab aku ada ulama lain yang dijadikan panduan, ulama yang lebih hebat dan lebih banyak jasanya kepada datuk nenekku berbanding Ibnu Taimiyyah. Kalaupun Ibnu Taimiyyah belum dipastikan sesat, maka setidak-tidaknya telah ada tohmah daripada ulama berhubung dengan pribadinya, baik ulama sezaman dengannya mahupun ulama yang datang kemudian seperti Imam Ibnu Hajar dalam "Fatawa Haditsiyyah" dan Pehin Mufti Haji Ismail dalam fatwa-fatwa dan karangan-karangannya. Isu Ibnu Taimiyyah ini seperti juga isu Ibnu 'Arabi, ada yang menyokong dan ada yang menyesatkan mereka berdua. Bagi aku, biar kita letak tepi dua-dua, kita pegang ulama yang tidak ada tohmah pada mereka. Sesiapa yang nak ikut Ibnu Taimiyyah, kome ikutlah, tapi jangan fanatik sangat sampai tak nampak ulama lain. Barang diingat kalau orang awam bermazhab Syafi`i tanya, mu jawablah ikut qawl ulama Syafi`i, jangan jawab ikut fatwa Ibnu Taimiyyah dan sebagainya, karang pening pulak orang yang bertanya tu.

Selasa, Mac 14, 2006

Imam al-Ghazali & Tasbih


Ikhwah, masih ada yang mempertikaikan penggunaan "subhah" atau lazim disebut di daerah kita sebagai "tasbih", iaitu satu alat yang digunakan untuk mengira bilangan-bilangan zikir. Sebahagian memandangnya sebagai bid`ah yang munkarah yang kononnya diceduk daripada agama-agama lain, menyebabkan mereka phobia dengannya. Sebenarnya, tidak ada ulama kita, Ahlus Sunnah wal Jama`ah, yang anti-tasbih. Kalaupun ada maka itu hanyalah "setengah" ulama.

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam kitabnya "Bidayatul Hidayah" pada fasal 'adab dukhul al-masjid', menganjurkan kita agar menghitung atau mengulang-ulang segala zikir, wirid dan tasbih kita dengan menggunakan subhah. Dan subhah yang tidak lain melainkan alat tasbih yang kita gunakan untuk berwirid dan berzikir. Guru kepada guru-guru kita, Sayyidul Ulama al-Hijaz, Syaikh Nawawi Banten dalam syarahnya terhadap kitab Imam al-Ghazali tersebut yang berjodol "Maraqil 'Ubudiyyah" mukasurat 29 menjelaskan bahawa subhah adalah butiran atau bijian berlubang yang disusun (kharazaatun mandhzumatun ) dan dinamakan juga sebagai mudzakkirah iaitu persis tasbih yang kita kenali dan guna.

Jadi sesiapa yang membid`ahsesatkan penggunaan tasbih untuk berzikir, maka jadilah dia membid`ahsesatkan Imam Hujjatul Islam al-Ghazali. Jadi kekawan, berhati-hatilah dalam menjatuhkan hukuman. Kalau tak nak guna, janganlah anti sangat. Sesiapa yang guna, teruskanlah sebab kan sudah ada anjuran daripada Hujjatul Islam kita al-Ghazali rhm.

Ahad, Mac 12, 2006

Taqlid Pandangan Ulama 2


Ikhwah, jumhur ulama ushul berpendapat bahawa orang Islam yang belum mencapai darjat mujtahid mutlak hendaklah dia mengikut mazhab. Bagi mereka tidak ada perbezaan antara 'taqlid' dan 'ittiba`', kedua-duanya adalah sinonim, hanya ahli bid`ah zaman ini sahaja yang membeza-beza antara keduanya dengan mendefinasikan 'taqlid' sebagai ikut - ikut buta, manakala 'ittiba`' sebagai ikutan dengan mengetahui dalil. Dr. Sa`id Ramadhan al-Buthi membahaskan hal ini dengan panjang lebar dalam tulisannya "al-La Mazhabiyyah akhtharu bid`atin tuhaddidusy Syari`atil Islamiyyah" (Fahaman Tidak Bermazhab / Bebas Mazhab/ Mazhab Caca Marba/ Mazhab Rojak/ bid`ah paling bahaya yang meruntuhkan Syari`at Islam).

  • Al-Amudi dalam kitabnya "al-Ihkaam", jilid 4, mukasurat 197 berkata:- "Orang awam yang belum memiliki keahlian berijtihad, walaupun dapat menghasilkan sebahagian ilmu yang mu'tabar dalam berijtihad, dia tetap wajib mengikuti pendapat para mujtahid dan berpegang dengan fatwa-fatwanya. Demikianlah menurut ahli tahqiq daripada ulama ushul."

  • Ibnus-Subki dalam "Jam`ul Jawami'", jilid 2, mukasurat 393 berkata:- "Selain Mujtahid Mutlak, baik dia awam maupun lainnya, wajib bertaqlid kepada mujtahid berdasarkan ayat ..... ertinya: "Maka bertanyalah kamu kepada ahli ilmu/ahli zikir jika kamu tidak mengetahui." (an-Naml:43).

Persoalannya bukan tertutupnya pintu ijtihad, tetapi lebih kepada siapa yang layak untuk memasukinya. Pintu tersebut tidak pernah tertutup, tetapi dikatakan tertutup kerana sudah langka sekali orang yang bisa mencapainya. Sekadar ambil-ambil i.e. mutit ngareh dari aqwal mazahib yang ada bukannya ijtihad, tapi sekadar bersenang-senang dengan memilih-milih sampai boleh jadi merosakkan kaedah sistematik istinbath hukum para imam mazhab. Apa tidaknya, kadang-kadang terima hadis Ahad ikut kaedah Hanafi, kadang terima ikut kaedah Syafi`i, kadang-kadang tolak, kadang-kadang dahulukan hadis, kadang-kadang dahulukan amal ahli Madinah, takkah bercelaru dan haru biri proses istinbath serta merosakkan usul dan kaedah istinbath yang dirumus, dipilih dan diguna oleh para Imam mazhab, maka jadilah ianya bukan lagi salah satu mazhab 4, tetapi mazhab baru, iaitu mazhab haru biru yang menggunakan usul dan kaedah instinbath yang juga bercelaru tanpa disiplin dan sistem tertentu.

Sabtu, Mac 11, 2006

Syaikh Muhammad al-'Arabi at-Tabbaani

Syaikh Muhammad al-'Arabi bin at-Tabbaani bersambung nasabnya kepada Syaikh 'Abdus Salam ibnu al-Masyisy (yakni guru kepada Syaikh Abul Hasan 'Ali asy-Syazali) yang merupakan keturunan Sayyidina al-Hasan r.a. cucu Junjungan Nabi s.a.w. Beliau dilahirkan di kampung Ra`s sebuah wadi di Algeria pada tahun 1315H. Beliau berguru dengan Syaikh 'Abdullah bin al-Qadhi al-Ya'laawi di Algeria dan selainnya daripada para masyaikh Jami' Zaituniyyah di Tunis.

Setelah berhijrah ke Haramain, beliau berguru dengan Syaikh Ahmad asy-Syinqithi, Syaikh Muhammad asy-Syinqithi, Syaikh Hamdan al-Wanisi, Syaikh 'Abdur Rahman ad-Dahhan dan Syaikh Musytaq Ahmad. Beliau mula mengajar di Masjidil Haram pada tahun 1338H dan di Masjidin Nabawi apabila kebetulan berziarah ke sana. Beliau juga mengajar di Madrasah al-Falaah, Makkah.

Antara muridnya ialah as-Sayyid Muhammad Amin Kutubi (teringat nasyid Sidanan Nabi dendangan Haddad Alwi... Sidanan Nabi, Sidanan Nabi, Sidanan Nabiyyy, Sidi Muhammad Amin Kutubi, Habibin Nabiyyyy, Sidi Muhammad Amin Kutubi, Habibin Nabiyyy... maaflah kalau sumbang), asy-Sayyid 'Alwi bin 'Abbas al-Maliki (ayahanda Buya Habib Muhammad al-Maliki), Syaikh Muhammad Nur Sayf dan Syaikh 'Abdullah al-Lahji. Beliau wafat di Makkah pada tahun 1390H........al-Fatihah.

Beliau juga ada mengarang dan antara karangannya ialah "Ifaadatul Akhyar bi baraa-atil abraar" dan "Is`aaful Muslimin wal Muslimaat bi jawaazil qiraa-ati wal wushuli tsawabiha lil amwaati" di mana dalam kitabnya ini beliau menyatakan membaca al-Quran untuk dihadiahkan pahalanya kepada orang-orang yang telah mati adalah harus dan sampai pahalanya kepada mereka menurut pendapat jumhur fuqaha` Islam Ahlus Sunnah, walaupun bacaan tersebut dilakukan dengan diberi upah.

Jadi mana-mana orang yang kata tak sampai atau membid`ahkan perbuatan yasinan atau tahlilan. Elok cari kitab tersebut dan telaah, lihat dalil-dalilnya, kemudian kalau nak tahlil buatlah, kalau tak nak, diamlah. Kalau kamu ada hujjah, kami jugak punya. Kalau kamu ada ulama, kami jugak punya. Jangan jadi macam India punya cakap " tempurung atas katak" itu Melayu cakap "katak bawah tempurung", sampai itu katak tarak tahu siapa ada sana luar itu tempurung. Jangan ambik ati nooooo.

Jumaat, Mac 10, 2006

Nur Muhammad - Hadis Jabir


Atas permintaan Abukajang, aku nukilkan di sini sebuah hadis yang disebut oleh saudara Mohd Zaidi Abdullah, murid Tuan Guru Haji Abdullah Abdur Rahman Lubok Tapah, dalam karangannya berjodol "Pegangan Sejati Ahli Sunnah wal-Jama`ah" mukasurat 116 di mana katanya:-

1. Aku (yakni Mohd Zaidi 'Abdullah) meriwayatkan hadis ini daripada:-
2. Syaikh kami 'Abdullah secara sama`an dan Syaikh kami Muhammad al-Banjari, daripada;
3. Musnid Dunya al-Fadani, (yakni Syaikh Yaasin) daripada;
4. Muhammad 'Ali al-Maaliki, daripada;
5. as-Sayyid Abu Bakar Syatha al-Makki, (yakni Sidi Syatha ad-Dimyathi) daripada;
6. Syaikhul Islam Ahmad Zaini Dahlan, daripada;
7. Utsman bin Hasan ad-Dimyathi, daripada;
8. al-Mujaddid 'Abdullah asy-Syarqawi, daripada;
9. asy-Syam Muhammad al-Hifni, daripada;
10. 'Abdul 'Aziz az-Ziyaadi, daripada;
11. asy-Syam al-Baabili, daripada;
12. an-Najm Muhammad al-Ghoithi, daripada;
13. al-Qadhi Zakaria al-Anshari, daripada;
14. al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalaani, daripada;
15. Abil Faraj 'Abdur Rahman al-Ghazzi, daripada;
16. Abin Nun Yunus bin Ibrahim ad-Dabus, daripada;
17. Abil Hasan 'Ali bin al-Muqir, daripada;
18. Muhammad bin Nashir as-Salaami, daripada;
19. 'Abdul Wahhab bin Muhammad bin Mundah, daripada;
20. Abil Fadhl Muhammad al-Kawkabi, daripada;
21. Abil Qasim ath-Thabarani, daripada;
22. Abi Ya'kub Ishaq bin Ibrahim bin Makhallad bin Ibrahim al-Mirwazi al-Handhzali, daripada;
23. al-Hafiz Abi Bakar 'Abdur Razzaq bin Humam bin Nafi' ash-Shan`aani dengan sanad yang shahih kepada Jabir r.a. berkata:-
  • Aku bertanya pada Rasulullah tentang perkara yang pertama yang Allah cipta sebelum segala-galanya. Maka Nabi Muhammad menjawab:
  • Huwa nuru Nabiyyika !!! Ya Jaabir, khalaqahu-Ullahu tsumma khalaqa minhu kulla khairin wa khalaqa ba'dahu kulla syai-in."
  • "Ia (yakni perkara pertama yang diciptakannya oleh Allah) adalah nur Nabimu, wahai Jabir, Allah menciptakan nur kemudian diciptakan daripada nur itu akan setiap kebaikan dan diciptakan selepas nur itu setiap sesuatu." Abdurrazzaq

Selanjutnya, saudara Zaidi menyambung pada mukasurat 117:-

  • Antara ulama hadis yang menyokong Nur Muhammad sebagai makhluk pertama yang dijadikan oleh Allah semasa alam arwah ialah Ismail al-'Ajluni dan al-Amir al-Kabir. Muhaddith al-Syam Ismail ibn Muhammad ibn Abdul Hadi (1087/1676 - w. 1662/1749M) telah memaparkan hadis riwayat Abdurrazzaq tersebut dalam kitab 'Iqdul Jawhar ats-Tsamiin. Dalam kitab ini, al-'Ajluni tidak berani langsung memaudhu'kan hadis ini sedangkan beliau seorang tokoh hadis utama di Syam serta mempunyai sanad dalam meriwayat dan menerima sesebuah kitab hadis untuk diterima pakai. al-Imam al-Muhaddith al-Musnid al-Faqih Muhammad bin Muhammad al-Maliki yang terkenal dengan gelaran al-Amir ul-Kabir (1154.1742 - w. 10 Zulqaedah 1232/1817M) telah memaparkan mafhum Nur Muhammad dalam kitab "Saddul Arabi min 'ulumil isnadi wal adabi" yang amat terkenal.

Ikhwah, daripada sanad di atas ternyata bahawa hadis Jabir tersebut shahih dengan rawi-rawi yang terkemuka seperti Amirul Mu'minin fil hadis Ibnu Hajar al-'Asqalaani. Aku bukan muhaddis, belajar hadis pun bukan, so jangan nak berpolemik dengan aku pasal hadis di atas. Kalau mu nak polemik gak, gi jumpa Tok Guru Haji Abdullah Lubok Tapah (hafizahUllah) ke, Syaikh Muhammad Nuruddin al-Banjari (hafizahUllah) ke, Saudara Zaidi ke, dan lain-lain lagi yang alim tetapi kurang dikenali, tidak seperti terkenalnya Bin Baz dan al-Albani, tetapi Bin Baz dan al-Albani memang patut jugak dikenali dunia sebab mendapat tajaan dan promosi yang maha hebat daripada geng-geng anak Pak Wahhab dan mereka-mereka yang sewaktu dengannya.

Untuk pengetahuan ikhwah, buku saudara Zaidi ini telah diperaku dan diberi kata sambutan oleh Syaikhul Kalantan al-Muhaqqiq al-Ustaz al-Faqih an-Nahwi Tuan Guru Haji 'Abdullah bin Tuan Guru Haji Abdur Rahman, mudir Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas, Kelantan; Tuan guru Haji Hasyim Haji Abu Bakar, Presiden Pusat Pembangunan Pondok, mudir al-Madrasah ad-Diniyyah al-Bakriyyah (Pondok Pasir Tumbuh), Kelantan; dan Dato 'Abdul 'Aziz @ Ambak Ismail, Ahli Jawatankuasa Fatwa Trengganu. Insya-Allah, lain kali kita cakap lagi pasal Nur Muhammad ini, yang percaya padanya pun terkadang tersilap pulak tafsirannya, sebab itu pentingnya berguru agar dapat pemahaman yang betul.

Shallu 'alan Nabiy. Allahumma sholli wa sallim 'alaih.

Khamis, Mac 09, 2006

Habib Hasan bin Ahmad BaHarun

Hari ini 8 Shafar 1427 merupakan haul bagi seorang daie yang berjuang selama hayatnya untuk memartabatkan Islam dan bahasa al-Qur`an. Daie yang telah melahirkan ramai santri dan daie yang kemudian menyebar ke berbagai tempat untuk menyampaikan ilmu dan dakwah.

Habib Hasan bin Ahmad BaHarun dilahirkan di Sumenep pada tanggal 11 Jun 1934 dan merupakan putra pertama dari empat bersaudara daripada Habib Ahmad bin Husein bin Thohir Bin Umar BaHarun dengan Fathmah Binti Ahmad Bakhabazi. Wafat pada hari Isnin tanggal 8 Shafar 1420 H bersamaan tanggal 23 Mei 1999 M.

Sejak masih kecil disiplin dan kesederhanaan telah ditanam oleh kedua orang tua beliau sehingga beliau tumbuh menjadi sosok pribadi yang mempunyai akhlak dan sifat-sifat yang terpuji.

Pendidikan Agama selain diperolehi daripada bimbingan kedua orang tuanya ia dapatkan dari Madrasah Makarimul Akhlaq, Sumenep dan dari datuknya yang dikenali sebagai ulama di Kabupaten Sumenep yaitu Ustaz Ahmad Bin Muhammad Bakhabazi yang senantiasa membina dan membimbingnya dengan penuh kasih sayang dan kesabaran dan apabila ada undangan untuk dakwah Abuya Ustaz Hasan BaHarun sering diajak untuk menemaninya.

Setelah datuknya meninggal dunia ia menimba ilmu agama dari bapa-bapa saudaranya sendiri iaitu Ustaz Usman Bin Ahmad Bakhabazi dan kepada Ustaz Umar Bin Ahmad Bakhabazi. Semangat belajar Ustaz Hasan BaHarun semenjak kecil memang dikenal rajin bahkan apabila bulan Ramadhan tiba dia belajar semalam suntuk, selepas melaksanakan sholat tarawih dan tadarus Al-Qur'an beliau lanjutkan dengan belajar dan mendiskusikan masalah agama kepada Ustaz Usman sampai tiba waktu subuh/sahur. Dan beliau menjadi murid kesayangan al-Faqih Habib Umar Ba'Agil Surabaya. Pada Habib Umar Ba'Agil inilah beliau banyak memperdalam ilmu fiqih disamping ilmu-ilmu lainnya.

Disamping pendidikan agama ia juga menuntut ilmu umum mulai dari Sekolah Rakyat (SR /setingkat SD), Pendidikan Guru Agama (PGA) 6 tahun dan hanya sampai di kelas 4 karena pindah dan melanjutkan ke SMEA di Surabaya.

Semasa menginjak usia remaja beliau senang berorganisasi baik remaja masjid ataupun organisasi lainya seperti Persatuan Pelajar Islam (PII) bahkan beliau pernah diutus untuk mengikuti Muktamar I PII se-Indonesia yang pada saat itu dilaksanakan di Semarang. Dan pernah pula menjadi ketua Pandu Fatah Al-Islam di Sumenep.

Setelah menamatkan sekolahnya beliau sering mengikuti ayahnya ke Masalembu untuk berdakwah sambil membawa barang dagangan. Keluarga Ustaz Hasan pada saat itu dikenal ramah dan ringan tangan, apabila ada orang yang tidak mampu membayar hutangnya disuruh membayar semampunya bahkan dibebaskan. Sifat-sifat inilah yang diwarisi beliau yang dikenal apabila berdagang tidak pernah membawa untung karena senantiasa membebaskan orang-orang yang tidak mampu membayarnya. Dan pada waktu menjadi pedagang keliling beliau dikenal suka mendamaikan apabila ada orang/tokoh masyarakat yang bermusuhan.

Pada tahun 1966 beliau merantau ke Pontianak berdakwah keluar masuk dari satu desa ke desa yang lainnya yang pada waktu itu harus melewati hutan belantara yang masih ganas dengan binatang buas dan ular berbisanya, melalui jalan yang penuh lumpur dan rawa-rawa namun dengan penuh kesabaran dan ketabahan semua itu tidak dianggapnya sebagai rintangan. Dengan penuh kearifan dan bijaksana diperkenalkannya dakwah Islam kepada orang-orang yang masih awam terhadap Islam. Dan alhamdulillah dakwah yang beliau lakukan mendapat sambutan yang cukup baik dari masyarakat ataupun tokoh-tokohnya.

Di setiap daerah yang beliau masuki untuk berdakwah beliau senantiasa bersilaturrahmi terlebih dahulu kepada tokoh masyarakat dan Ulama/kiyai setempat untuk memberitahu sekaligus minta izin untuk berdakwah di daerah tersebut sehingga dengan budi pekerti, akhlak dan sifat-sifat yang terpuji itulah masyarakat beserta tokohnya banyak yang simpati dan mendukung terhadap dakwah yang beliau lakukan.

Pada waktu melakukan dakwah beliau senantiasa membawa seperangkat peralatan pengeras suara (loudspeaker/sound system) yang pada saat itu memang masih langka di Pontianak sehingga dengan hal itu tidak merepotkan yang punya hajat/mengundangnya untuk mencari sewaan pengeras suara. Dan tak lupa pula beliau membawa satir/tabir untuk menghindari terjadinya ikhtilat (percampuran) antara laki-laki dan perempuan dan perbuatan ma'siat/dosa lainnya dalam pertemuan dan acara dakwah tersebut. Karena beliau berprinsip bahawa jika terjadinya perbuatan dosa di tempat itu sudah barang tentu beliau mendapat bahagian dosanya dan akan menghalang-halangi masuknya hidayah Allah s.w.t. sedangkan pahala dakwah beliau belum tentu diterima oleh Allah SWT.

Berdagang yang beliau lakukan adalah untuk memenuhi keperluan hidupnya dan sekaligus dijadikan sarana pendekatan kepada masyarakat. Kedermawanan dan belas kasihnya kepada orang yang tidak mampu menyebabkan dagangannya tidak pernah berkembang karena keuntungannya diberikan kepada masyarakat yang tidak mampu serta membebaskan orang yang tidak mampu membayarnya. Selain itu pula beliau mempunyai keahlian memotret dan cuci cetak film yang beliau gunakan pula sebagai daya tarik dan mengumpulkan massa untuk didakwahi, karena pengambilan hasil pemotretan yang beliau lakukan sudah ditentukan waktunya, sehingga apabila mereka sudah berkumpul sambil menunggu cuci-cetak selesai waktu menunggu tersebut diisi dengan ceramah dan tanya jawab masalah agama.

Selain berdakwah beliau aktif pula di partai politik yaitu Parti NU (Nahdatul Ulama) dan dikenal berani dan tegas di dalam menyampaikan kebenaran sehingga pada saat itu sempat diperiksa dan ditahan. Namun pada saat itu masyarakat akan melakukan demonstrasi besar-besaran apabila beliau tidak segera dikeluarkan dan atas bantuan bapa saudaranya sendiri yang saat itu aktif di Golkar membebaskan beliau dari tahanan. Dan tak lama setelah kejadian tersebut, sekitar pada tahun 1970 atas permintaan dan perintah dari ibundanya, beliau pulang ke Madura dan disuruh untuk berdakwah di Madura atau di Pulau Jawa saja. Namun karena kegigihan beliau selama 2 tahun masih tetap aktif datang ke Pontianak untuk berdakwah walaupun telah menetap di Jawa Timur.

Kemudian dilanjutkan dengan mengajar di Pondok Pesantren Gondanglegi Malang mengembangkan Bahasa Arab, sehingga pondok Gondanglegi pada saat itu terkenal maju dalam bidang Bahasa Arabnya.

Selanjutnya beliau pindah dan mengabdikan diri di Pondok Pesantren Al Khairiyah Bondowoso bersama Ustaz Abdullah Abdun dan Habib Husein al-Habsyi. Sehingga beliau diminta oleh Habib Husein al-Habsyi untuk mengajar di Pondok Pesantren Yayasan Pendidikan Islam (YAPI) yang baru dirintisnya. Pada waktu beliau mengajar di YAPI beliau dikenal sangat disiplin dalam mengajar dan mentaati peraturan yang telah ditetapkan oleh pesantren, sehingga beliau mendapat kepercayaan menjadi tangan kanan Habib Husein al-Habsyi. Selama beliau mengajar di Pondok YAPI masyarakat Bangil tidak tahu bahwa beliau adalah ahli pidato (seorang orator) karena Habib Husein al-Habsyi melarangnya untuk melakukan dakwah dan menerima kursus Bahasa Arab. Adapun karya besar beliau pada saat mengajar di YAPI, beliau sempat mengarang kamus Bahasa Arab yaitu Bahasa Dunia 'Ashriyah dan kitab percakapan Bahasa Arab (Muhawaroh Jilid I, II) yang pada saat ini banyak dipakai di berbagai pondok pesantren dan perguruan tinggi Islam.

Selain mengajar di tempat yang telah disebut di atas, beliau juga pernah mengajar di berbagai pondok pesantren diantaranya: Pondok Pesantren Sidogiri Pasuruan, Pondok Pesantren Salafiyah asy-Syafi'iyah Asembagus Situbondo, Pondok Pesantren Langitan Tuban, dan lain-lain. Pada waktu cuti pondok pesantren, beliau gunakan waktunya untuk menyebarkan dan mengembangkan Bahasa Arab ke berbagai pondok pesantren, baik di Jawa Timur atau di Jawa Tengah.

Pada tahun 1982, beliau dengan telah membuka pondok pesantren sendiri dengan 6 orang santri yang belajar di rumah sewa di Kota Bangil Kabupaten Pasuruan. Dengan sarana dan prasarana yang sangat sederhana para santri tersebut dibina langsung oleh beliau dan Habib Ahmad as-Saqqaf. Perkembangan selanjutnya, pada tahun 1983 membuka atau menerima santri putri yang berjumlah 16 orang yang bertempat di daerah yang sama. Keadaan (tempat pondok pesantren) terus berpindah-pindah tempat sewa sebanyak 11 kali kontrak rumah hingga tahun 1984. Dengan jumlah santri yang terus berkembang serta tempat (rumah sewa) tidak dapat menampung perkembangan jumlah, maka pada tahun 1985 Pondok Pesantren Darul lughah Wad dakwah pindah ke Desa Raci Kecamatan Bangil ( lokasi sendiri) sebuah desa yang masih jarang penduduknya dan belum ada sarana letrik. Dengan jumlah santri sebanyak 186 orang santri yang terdiri dari 142 orang santri putra dan 48 orang santri putri. Pondok pesantren ini berkembang pesat dan setelah wafatnya diterajui oleh anakandanya Habib Zain bin Hasan bin Ahmad BaHarun yang merupakan murid asuhan Almarhum Buya Habib Muhammad bin 'Alawi bin 'Abbas al-Maliki.

Mudah-mudahan Allah membalasi Buya Habib Hasan BaHarun dengan sebaik-baik balasan serta meninggikan maqamnya di syurga Firdaus tertinggi.....aaamiin....al-Fatihah.

Talaffuz bin Niyyah - Ketetapan Muzakarah 1


Petikan dari "Risalah Ketetapan Majlis Muzakarah 'Ulama` SeMalaya - Di Kepala Batas", mukasurat 16 - 18:-

  • Masalah membaca ushalli ketika hendak sembahyang. Hukumnya:- Membaca ushalli itu hukumnya SUNNAT bukan bid`ah dhalalah.
  • Dalilnya:- Tersebut di dalam an-Nihayah juzuk yang pertama muka nombor 340 ...yang ertinya..."Dan disunnatkan berkata dengan barang yang diniatkan dahulu sedikit daripada takbir supaya menolong lidah akan hati dan supaya terjauh daripada was-was dan supaya keluar daripada khilaf orang yang mewajib akan dia".
  • Dan ditambah pada tempat ini di dalam Tohfah dengan katanya: ..."Dan kerana qiyas pada niat haji yang akan datang" - dan ibaratnya pada kitab al-Haj :-......yang bererti:- " Orang yang menghendaki ihram itu berniat ia dengan hatinya kerana hadis "innamal a'malu bin niyyaat" dan berlafaz dengan lidahnya kerana mengikut Nabi s.a.w. kerana hadis yang telah meriwayat oleh Anas bin Malik berkata ia: ......yang bererti:- "Aku dengan Rasulullah s.a.w. berkata ia: "Labbaika bi hajjatin wa 'umratin".
  • Difaham daripada ibarat Nihayah dan Tohfah yang tersebut itu dan seumpama keduanya al-Muhadzdzab dan Mughni bahawa berlafaz (ushalli) itu SUNNAT. Dan illahnya (1) supaya menjadi pertolongan kepada hati; (2) supaya terjauh daripada was-was; (3) kerana memelihara qaul yang mengatakan wajib; (4) kerana qiyas pada niat haji, dan telah sabit bahawa Nabi s.a.w. berlafaz dengan niat haji seperti yang zahir pada riwayat Sayyidina Anas yang tersebut itu.

Jadi ikhwah, kalau berlafaz dengan ushalli itu bid`ah dhalalah, maka jadilah keseluruhan ulama kita ahli bid`ah dhalalah yang semuanya terjun ke neraka. Soalan, siapa yang berani hukumkan sedemikian ? Geng anak Pak Wahhab dan Kaum Muda @ Mudah anti mazhab mungkin berani. Apakah semua ulama kita tak tahu hukum dan nas ??????????? Atau kepala kita yang terlalu besar sehingga tak faham-faham nas ulama.

Rabu, Mac 08, 2006

Talaffuz bin Niyyah


Kutipan daripada kitab "al-Fiqh 'alal Madzahibil Arba`ah" karangan Syaikh 'Abdur Rahman al-Jazairi, juzuk 1, mukasurat 205, terjemahan bebasnya seperti berikut:-
  • DISUNNATKAN melafazkan dengan lidah akan niat (yakni niat sembahyang) seperti dia mengucap dengan lidahnya, sebagai contoh : "Usholli Fardhadzh-Dzhohri", kerana pada yang sedemikian itu peringatan bagi hati (yakni dengan melafazkan niat boleh mengingatkan hati akan perbuatannya mendirikan sholat itu)........... Dan hukum ini disepakati di sisi mazhab asy-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah (yakni melafazkan niat ini hukumnya sunnat pada mazhab kita, Syafi`i dan mazhab Hanbali).
  • Bagi mazhab Malikiyyah dan Hanafiyyah, melafazkan niat tidak disyariatkan pada sembahyang, melainkan apabila adalah musholli itu orang yang bersifat was-was.
  • Dalam mazhab Malikiyyah hukum melafazkan niat bagi orang yang tidak was-was hukumnya KHILAFUL AWLA, tetapi bagi yang was-was DISUNNATKAN.
  • Dalam mazhab Hanafiyyah, melafazkan niat itu adalah bid`ah dan dipandang baik untuk menolak was-was (yakni bid`ah hasanah).

Ikhwah, jadi hukum melafazkan niat untuk sholat seperti yang biasa kita amal hukumnya SUNNAT dalam mazhab kita. Begitulah juga hukumnya dalam mazhab Hanbali. Mazhab Maliki dan Hanafi memandangnya sebagai tidak disyariatkan atau bid`ah, tetapi tidak menghukumkannya sebagai bid`ah dhalalah yang seharusnya ditentang habis-habisan pengamalannya seperti seruan puak Wahhabi Ahli Bid`ah wadh-Dhalalah itu. Aku ingat lagi Tok Syaikh aku yang dari India bermazhab Hanafi siap lafaz niat sembahyang dalam bahasa Urdu. Jadi menurut keterangan Tuan Syaikh pengarang kitab di atas, pendapat kaum muda @ Wahhabi yang anti tallaffuz bin niyyah itu tidak termasuk dalam pendapat mana-mana mazhab yang 4, jadi agaknya mereka mazhab yang ke-5. Jadi saudara-saudara yang anti talaffuz, korang semua tak payahlah nak talaffuz, jangan ganggu kami dalam ibadah kami. Lagi pun tak batal sembahyang kami dengan melafazkan niat sebelum takbiratul ihram. Kepada Sunniyun Syafi`iyyun mantapkan hati kita untuk beramal menurut ajaran para ulama kita, ingat mazhab kita bukan baru semalam lahir dan bukan hanya ada seorang dua ulama sahaja. INGAT BETUL-BETUL, MELAFAZKAN NIAT SEMBAHYANG DI LIDAH HUKUMNYA SUNNAT KERANA IANYA BOLEH MENOLONG MEMANTAPKAN HATI DAN MENOLAK WAS - WAS. APA ERTI SUNNAT, DIBUAT DIBERI PAHALA, JADI ELOKLAH KITA YANG BERMAZHAB SYAFI`I MELAKUKANNYA.

Allahu a'laam.

Isnin, Mac 06, 2006

Fadhilat Khidmat - Hidayatul Mukhtar


Syaikh al-Hafiz 'Abdul 'Azim al-Mundziri menulis sebuah kitab berjodol "Hidayatul Mukhtar fi Fadhli al-'ilmi wa fadhli shohibihi min kalami Sayyidil Akhyar s.a.w." dan kitab ini telah diterjemah oleh Syaikh Wan Hasan Besut bin Syaikh Wan Ishaq al-Fathoni pada mukasurat 12 diriwayatkan sebuah hadits yang berbunyi:
  • "MAN KHADAMA 'ALIMAN SAB`ATA AYYAMIN FAQAD KHADAMA-ALLAHU TA`ALA SAB'ATA AALAAFI SANAH WA A'THOOHU-ULLAHU KULLA YAWMIN TSAWABA MI-ATI SYAHIIDIN", ertinya "Barangsiapa berkhidmat (kepada) orang yang 'alim 7 hari, maka sesungguhnya telah mengkhidmatkan Allah ta`ala 7,000 tahun dan memberi akan dia oleh Allah ta`ala pada tiap-tiap hari pahala 100 orang yang mati syahid."
Aku tak tahu apa darjat hadis ini. Mungkin ikhwah yang lebih 'arif dalam bidang hadis dapat menjawabnya. Aku sekadar menukil apa yang ditulis dalam kitab tersebut. Apa pun darjat hadis di atas, khidmat kepada orang 'alim memang sesuatu yang dianjurkan oleh agama. Anjuran tersebut tidak memerlukan sandaran kepada hadis di atas. Untuk pengetahuan ikhwah, Ustaz Fuad Kamaluddin al-Rembawi al-Maliki juga telah merumikan terjemahan Syaikh Wan Hasan Besut tersebut.

Khidmat Terhadap Guru - Kisah Syaikh 'Ali


Antara murid terdekat dan terkanan bagi Habib 'Umar bin 'Abdur Rahman al-'Attas, penyusun Ratib al-'Attas yang masyhur, adalah Syaikh 'Ali bin 'Abdullah Baaraas. Rapatnya hubungan murid dan guru ini sehingga Habib 'Umar pernah berkata: "Sesiapa yang memisahkan aku dengan Syaikh 'Ali tidak akan mendapat kebahagiaan". Habib 'Umar juga berpesan agar jika dibacakan Fatihah kepadanya maka hendaklah dibacakan juga untuk Syaikh 'Ali dan sebab itu kita dapati dalam Ratib al-Attas, Fatihah kepada Habib 'Umar diganding dengan Fatihah kepada Syaikh 'Ali. Syaikh 'Ali Baaraas dilahirkan di Huraidhah pada tahun 1027H. Sewaktu beliau datang kepada Habib 'Umar untuk belajar, Habib 'Umar tidak mengajarnya seperti murid-murid lain tetapi beliau telah disuruh oleh Habib 'Umar untuk membuat kerja-kerja rumah seperti menyapu, menggembala kambing dan lain-lain sehingga beberapa lama. Setelah sekian lama berkhidmat untuk Habib 'Umar, pada satu masa ketika Syaikh 'Ali sedang menimba air perigi, Iblis datang kepadanya dalam bentuk manusia dan berkata:- "Ya 'Ali, Apa engkau buat membuang masa di sini. Bukan ada ilmu di sini. Pergilah engkau ke Tarim. Di sana tempat ilmu." Kata-kata Iblis tersebut mengganggu ketenteraman Syaikh Ali, lalu beliau pun pergi mengadap Habib 'Umar. Apabila bertemu dengan Habib 'Umar, belum pun sempat Syaikh Ali mengeluarkan isi hatinya, Habib 'Umar berkata: "Ya 'Ali, adakah engkau mahu dengar kata-kata Iblis dan tidak mahu lagi mendapat berkat di sini ?" Kemudian Habib 'Umar bertanya tentang kitab apa yang ada padanya, dan Syaikh 'Ali menjawab yang ada padanya adalah kitab Bidayatul Hidayah. Habib 'Umar menyuruhnya membaca permulaan kitab tersebut sehingga beberapa fasal, kemudian Habib 'Umar menyuruhnya berhenti lalu berkata: "Aku memberi ijazah kepada kamu dalam ilmu Syariat, ilmu Thoriqat dan ilmu Hakikat." Sesudah itu, sesiapa yang datang untuk bertanya apa-apa masalah kepada Habib Umar akan disuruhnya bertanya kepada Syaikh 'Ali dengan katanya: "Ana shunduuq wa qufli 'Ali Baaraas" (Aku peti dan kunciku 'Ali Baaraas). Maka yang bertanya kepada Habib 'Umar akan pergi kepada Syaikh 'Ali dengan pertanyaan mereka dan dijawab oleh beliau dengan tepat dan betul menurut ilmu yang sebenar.

  • Begitulah keberkatan berkhidmat kepada guru. Pernah juga guruku bercerita bahawa hal yang sama berlaku kepada Syaikh 'Ali al-Khawwas yang merupakan guru Syaikh 'Abdul Wahhab asy-Sya'raani. Berkhidmat bukan ertinya bermalas-malas untuk belajar ilmu, tetapi lebih kepada mempelajari ilmu secara praktikal dengan mendapat arahan terus daripada seorang guru yang betul-betul mursyid. Justru menadah kitab di hadapan guru kemudian balik tidur lebih mudah daripada memberikan khidmat kepada guru. Murid yang baik akan memberikan khidmatnya kepada gurunya dan guru yang mursyid tidak akan mengambil kesempatan atas khidmat dan ketaatan muridnya. Perlakuan murid kepada gurunya adalah mencari pelajaran dan perlakuan guru kepada muridnya adalah memberi pelajaran, apa pun bentuk perlakuan tersebut tidaklah terikat dengan membaca kitab atau di dalam halaqah sahaja. Oleh itu sebahagian ulama pernah berpesan: "Sesiapa yang tidak mahu berkhidmat (kepada gurunya), dia akan menyesal." Al-Fatihah ila ruuhi Sayyidina wa Habiibina wa Barakatina Shohibir Raatib, Quthubil Anfaas, al-Habib 'Umar bin 'Abdur Rahman al-'Attas, tsumma ila ruuhi asy-Syaikh 'Ali bin 'Abdillah Baaraas.........al-Fatihah.

Jumaat, Mac 03, 2006

Kembali Kepada al-Quran dan as-Sunnah

Ini merupakan slogan yang biasa kita dengar daripada puak kaum mudah (i.e. sebab mereka ingat mudah benar nak rujuk al-Quran dan as-Sunnah). Bila kita berhujjah dengan pandangan ulama mazhab, maka dengan sombong mereka menjawab, mana Quran, mana hadis. Ingat kesombongan kamu itu silap-silap boleh menyebabkan kamu jatuh kepada kekufuran. Apa tidaknya, seolah-olah para ulama tersebut tidak berpegang dengan Quran dan Hadis. Yang tak ikut Quran dan Sunnah tu Iblis, bukan ulama yang terkenal keilmuan dan waraknya. Oleh itu jangan tertipu dengan slogan-slogan bersemangat tersebut. Ingat berpegang kepada ulama itu bererti kita mengikut al-Quran dan as-Sunnah menurut pengertian sebenarnya, bukan ikut tafsiran budak mentah yang baru semalam belajar. Ulama itu waris kepada para Nabi.

Seperkara yang orang kita lupa bahawa sumber hukum dalam Ahlus Sunnah wal Jama`ah bukan setakat al-Quran dan al-Hadits, tetapi ada jugak ijma' dan qiyas. Bahasan Quran dan hadits sahaja sudah cukup luas apatah lagi jika ditambah dengan 2 yang kemudian. Oleh itu, jangan mudah melatah dalam mengeluarkan hukum, jangan ingat bila tak ada dalam Quran, tak ada dalam Sunnah, maka ertinya tidak ada sumber, mungkin sumbernya pada qiyas atau pada ijma'.

Ini bahasan ulama, dan bukan calang-calang ulama. Sebab itu kalau kita tengok tawarikh, jarang kita lihat ulama dahulu walaupun sealim Imam an-Nawawi mentarjih pendapat mazhab selain mazhab dirinya. Berbeza dengan zaman kita ini, dah ada ulama yang aku kiralah taklah setaraf dengan Imam an-Nawawi atau as-Sayuthi telah berani mentarjih pendapat-pendapat mazhab lain. Tarjih dalam mazhab yang sama memang biasa dilakukan oleh ulama terdahulu, kerana usul dan kaedah istinbath yang digunakan adalah sama. Tetapi tidak adil kita mentarjih mazhab lain yang kaedah dan usulnya mempunyai perbezaan, sedikit sebanyak.

Kalau Dr. pakar kata, kita terima sahajalah, tok sah nak menyampuk, nak tunjuk terer, kata dalam medical journal kata macam ni, macam tu. Lainlah kalau kita pun sama-sama diiktiraf kepakaran dalam bidang tersebut. Macam tu jugak ulama, kalau ulama itu sememangnya telah diterima oleh umat, kenapa kita nak pertikaikan kepakaran mereka. Apa kita sahaja yang tahu hadis dan mereka tak tahu. Kome kena ingat, Imam Hadis (muhaddisin) pun ikut mereka, apatah lagi orang macam kita yang jadi murid hadis pun bukan. Tengok kakilah, sebelum bercakap.

Aku teringat ada Tok Guru aku yang syadid, berfatwa sesiapa yang berkata kepada orang sembahyang Tarawih 20 rakaat : "Kamu ikut Umar ke ikut Nabi", maka boleh tanggal imannya kerana dia telah menuduh Sayyidina Umar tak ikut Nabi.

Aku tak leh nak cakap panjang bab ni, darah aku dah naik, sebelum aku melalut baik aku pen off dulu (wah lama betul tak guna istilah ni). Lain hari, baik punya hari kita sambung lagi.

Rabu, Mac 01, 2006

Wasiat Syaikh Abdullah Fahim 2


  • Bismillahir Rahmanir Rahim. Alhamdulillah was sholatu was salamu 'ala Sayyidina Muhammad wa 'ala alihi wa ashabihi. (Amma ba'd), tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu seMalaya ini dari peringkat ke bawah hingga ke peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri hingga raja-raja sekalian mereka itu bermazhab dengan mazhab al-Imam asy-Syafi`i ijma`an tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafi`i (yahrumu kharqul ijma`/ diharamkan merobek ijma`).
  • Ambil mereka itu hukum-hukum fiqh Syafi`i daripada kitab Tohfah dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya dan terjemahnya kepada bahasa Melayu seperti Sabilal Muhtadin, Bughyatuth Thullab dan Mathla`ul Badrain dan lainnya.
  • Usuluddin atas perjalanan Abil Hasan al-Asy`ari diambilkan daripada syuruh dan hawasyi Ummul Barahin dan Jawharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu.
  • Ilmu tasawwuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhajul 'Abidin, Ihya` Ulumiddin dan terjemahnya kepada Melayu seperti Siyarus Salikin.
  • Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya segala hukum dalamnya kesemua mustanbath daripada Quran dan hadits yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-u ajilla` (ulama yang cemerlang lagi terbilang) diamal dengan dia sudah lebih daripada 1000 tahun dan diterjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.

Ikhwah, di mana salah silapnya mazhab Syafi`i sehingga kita hendak gugah pegangan masyarakat kita terhadapnya. Jika mazhab Syafi`i mensunnatkan qunut dalam sembahyang Subuh kenapa kita nak tolak dengan mendatangkan pendapat mazhab lain ? Salahkah mazhab Syafi`i ? Bukankah ini hanya perkara khilafiyyah, yang pihak-pihak kena menghormati sesamanya. Masyarakat kita yang sudah sebati dengan qunut, dengan talaffuz bin niyyah, kenduri tahlil dan sebagainya, bukankah semua hal ini termasuk khilafiyyah yang sewajarnya ditangani dengan lapang dada, bukan dengan tuduhan bid`ah membid`ah, sesat menyesat dan sebagainya.

Wasiat Syaikh Abdullah Fahim 1

Ikhwah, sebenarnya aku terlupa, almaklumlah nama sahaja insan tempat berlaku khata` dan nisyan (salah dan lupa). Alhamdulillah, nasib baik ada sahabat yang mengingatkan aku berhubung dengan pesanan Syaikh Abdullah Fahim kepada anak bangsanya. Dalam buku "Tokoh-tokoh Ulama' Semenanjung Melayu (2)" dipetik antara pesanan beliau:-
  • Supaya jangan berpecah belah oleh bangsa Melayu sendiri. Sekarang sudah ada timbul di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang keluar dari mazhab 4 mazhab Ahlis Sunnah wal Jama`ah. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan hendak merobohkan pakatan bangsa Melayu yang jati. Dan menyalahkan kebanyakan bangsa Melayu.
  • Hukum-hukum mereka itu diambil daripada kitab Hadyur-Rasul yang mukhtasar daripada kitab Hadyul-'Ibad dikarang akan dia oleh Ibnul Qayyim al-Khariji, maka Ibnul Qayyim dan segala kitabnya ditolak oleh ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah.
  • Tuan-tuan bangsa Melayu jangan tertipu daya hasutan mereka itu dikeluar hukum-hukum yang tiada terpakai dalam Mazhab Syafie, dan fatwa mereka itu akan masalah yang buruk-buruk, sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa Melayu jangan berpecah belah sesama bangsa sendiri.
  • Siapa yang datang kepada kamu dan menyuruh kamu semua supaya taat kepada seorang lelaki tertentu tujuannya untuk memecahkan persatuan kamu dan menghancurkan kesatuan kamu maka bunuhlah akan dia.

Syadid jugak Tok Wan Pak Lah ni. Dan saudara lihat juga bagaimana Tok Syaikh Abdullah Fahim mengisytihar Ibnu Qayyim sebagai seorang khawarij sebagaimana pernah dihukumkan oleh ulama-ulama sebelum beliau terhadap puak Wahhabi. Apa tidak khawarijnya, selain mereka semua tak betul, semua bid`ah, semua sesat, semua masuk neraka. Aku harap Pak Lah pegang dengan wasiat Tok Wan dia ni. Hadhari hadhari jugak, tapi carilah mana dia al-Ghazali, mana dia asy-Syafi`i. Imam asy-Syafi`i dan Hujjatul Islam al-Ghazali pergi meninggalkan warisan bernilai tinggi berupa kitab-kitab dan juga murid-murid yang berkesinambungan sehingga ke masa kita ini, alhamdulillah. Para ulama Syafi`i yang muktabar semuanya bersambung sanad dan silsilah keilmuan dengan mereka, jadi kalau nak cari mereka pergi kat ulama mazhab, bukan kepada ulama khawarij seperti kata Tok Wan tadi.

Yang aku pelik sekarang, kenapa masih ada ustaz bila orang awam bertanya mengenai sesuatu hukum, maka jawapan yang diberi bersandarkan kepada pendapat Ibnu Taimiyyah atau Ibnu Qayyim, sedangkan yang bertanya tu umumnya bermazhab Syafi`i. Sejak bila Ibnu Taimiyyah atau Ibnu Qayyim atau al-Qardhawi jadi ulama sandaran dalam Mazhab Syafi`i ? Bawalah keterangan ulama-ulama Syafi`i kita, Imam Ibnu Hajar ke, Syaikh Ramli ke atau sebagainya. Ini yang menyebabkan orang awam keliru dan pening kepala. Ini yang jadi punca qunut jadi bid`ah, talqin jadi bid`ah, talaffuz bin niyyah jadi bid`ah.

Aku rasa pihak Mufti Pulau Pinang dengan Jabatan Agamanya sekarang kena buat pemantauan terhadap perkembangan dakyah pencinta dan pentaksub Ibnu Qayyim yang berpusat di sana. Siap buat dewan pengajian atas nama Ibnu Qayyim. Besar sangat ke jasa Ibnu Qayyim kat bangsa Melayu Islam kat rantau ini ? Jagalah amanah Mufti pertama Pulau Pinang di atas.