Syaikh Ahmad bin Abdul Karim al-Hasaawi asy-Syajjar rahimahullah, murid Quthubul Irsyad Habib Abdullah bin `Alawi bin Muhammad al-Haddad @ Imam al-Haddad, Shahibur Ratib radhiyaAllahu `anhu meriwayatkan satu faedah daripada guru beliau tersebut berupa bacaan bagi merawat penyakit "burok" yang tidak kunjung sembuh. Dalam Tatsbitul Fuaad, juz 2, halaman 12, disebut akan faedah yang bagus tersebut sebagai berikut:- Adalah Imam al-Haddad radhiyaAllahu `anhu pernah membaca kalimat - kalimat ini pada kaki seseorang yang menghidap luka ( "burok") yang tidak dapat diubati oleh para doktor dan perawat. Beliau berkata kepadaku: "Hafalkanlah kalimat - kalimat ini, kerana kami meriwayatkan daripada para pendahulu kami:- Ya dzan nabatil manbuut (atau dengan iqlab, mambuut), mut fi badani man (atau diidghamkan, may) yamuut, bi qudratil Hayyil ladzi la yamuut. (Wahai yang tumbuh ditumbuhkan Allah, matilah engkau dahulu dari badan orang yang akhirnya pasti mati jua, dengan qudrat Allah al-Hay (Tuhan yang Maha Hidup) yang tidak akan mati selamanya.)"
Kata sebahagian ulama, doa ini juga boleh diamalkan sebagai ikhtiar bagi orang - orang yang terkena ulcer atau apa - apa penyakit yang sifatnya merebak pada badan seperti kudis, kurap, burok yang lambat sembuh, atau penyakit ketumbuhan seperti barah atau kanser dan seumpamanya. Mudah - mudahan penyakit - penyakit tersebut dimatikan Allah dan tidak merebak lagi, juga diberikanNya kesembuhan yang sempurna.