Isnin, November 06, 2023

Qunut Di Luar Shalat

Bagi kita sebagai pengikut Mazhab Syafie, Doa Qunut sudah tidak asing lagi di sisi kita. Sejak kecil, ketika mula belajar sembahyang lagi, kita telah diajar dan disuruh menghafal doa yang penting ini. Ini adalah kerana kedudukan istimewa doa ini sebagai sunat ab`adh ketika Shalat Subuh dan meninggalkannya dengan sengaja atau terlupa, menyebabkan shalat tersebut bolong (yakni berkurang pahala shalat kita menurut mazhab kita) sehingga disunatkan untuk menjabarkannya yakni menampal atau menampung kekurangan tersebut dengan sujud sahwi. Qunut juga menjadi sunat ab`adh dalam Shalat Witir selepas pertengahan Ramadhan sehingga ke akhirnya. Maka tidak pelik, bagi kebanyakan umat Islam yang bermazhab Syafie menghafal doa yang sangat berkat ini.

Sebahagian ulama dan awliya, tidak sahaja menjadikan Doa Qunut sebagai bacaan dalam shalat - shalat tadi. Bahkan, di luar shalat pun mereka menjadikan Doa Qunut sebagai amalan dan wirid harian mereka. Ada di kalangan mereka yang menjadikan Doa Qunut sebagai doa penutup majlis - majlis kebajikan atau majlis - majlis ilmu. Bagi orang yang kurang arif, mungkin merasa janggal atau pelik bila Doa Qunut dibaca di luar Shalat Subuh. Namun bagi yang mengerti pasti tidak. Habib al-Quthub Ahmad bin Hasan al-`Aththas rahimahullah dalam Tadzkirun Naas, halaman 97 - 98, menyebut bahawa telah menjadi adat kebiasaan Shahibur Ratib, Quthubul Habib `Umar bin `Abdur Rahman al-`Aththas rahimahullah dan anak - anak beliau untuk membaca berulang - ulang kali akan Doa Qunut (Allahummahdina fi man hadait ... hingga akhir yakni dengan shighah jamak) selepas Shalat Isyak hinggalah ke fajar pada setiap malam. 

Dr. Jahid Sidek hafizahullah, yang pernah menjadi tenaga pengajar dan pensyarah di Universiti Malaya. Seorang tokoh yang mendalami ilmu - ilmu tasawwuf dan thariqat, bahkan beliau adalah syaikh mursyid bagi Thariqat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah dari jalur Syaikh Abdul Wahhab Rokan @ Babus Salam, yang beliau terima daripada mursyid beliau, Imam Ishak bin Muhammad Arif, Dong, Raub, Pahang. Beliau juga terkenal sebagai seorang perawat yang menjalankan kaedah rawatan kerohanian seperti dengan ayat - ayat suci dan zikir - zikir. Beliau menganjurkan agar kita selalu mengamalkan Doa Qunut ini di luar shalat. Menurut beliau, selari dengan pemahaman hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang menyatakan bahawa: "Sebaik-baik amalan itu adalah yang diamalkan secara berkekalan walaupun sedikit", maka Doa Qunut yang telah kita amalkan sejak kecil atau baligh sehingga dewasa ini adalah termasuk dalam amalan yang diamalkan secara berkekalan sehingga ianya dapat dimasukkan dalam pengertian hadis tadi. Maka, beliau menganjurkan agar Doa Qunut diamalkan 41 kali atau 13 kali setiap hari atau malam. Menurut beliau, ini antara amalan yang paling baik untuk keselamatan dan perlindungan diri dan rumah tangga dari segala kejahatan termasuklah daripada gangguan jin dan syaitan. Pengalaman pribadi faqir, ketika kecil dahulu, pernah kenal dengan seorang tua yang selain alim dan warak, dikenali juga sebagai orang yang pandai membuat air penawar dan  penerang hati. Dan faqir masih ingat beliau menyebut bahawa yang beliau baca ketika menawar air hanyalah Fatihah, Shalawat dan Doa Qunut. 

Sebelum menutup entri ini, suka faqir nyatakan bahawa membaca Doa Qunut ini dengan lafaz atau shighah jamak (plural) walaupun ketika membaca seorang diri, samada di dalam Shalat Subuh atau di luar shalat, tidaklah menjadi kesalahan. Bahkan sebahagian guru faqir menyukai agar Doa Qunut atau lain - lain doa dibaca dengan shighah jamak dan kita qasadkan menghimpun permohonan yang terkandung dalam doa tersebut bukan sahaja bagi diri kita "aku" tetapi juga bagi "kami" iaitu anak - isteri kita, kaum kerabat kita, sahabat handai kita, bahkan sekalian umat Islam. Mudah - mudahan bermanfaat.

Rabu, November 01, 2023

Doa Nashiri 2





Doa Nashiri

Sebagaimana yang telah sering kita dengar, kata - kata yang sering dinisbahkan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menyatakan bahawa : "Doa itu senjata orang mukmin." Maka di antara doa yang elok untuk diamalkan, terlebih lagi pada masa ini, ketika mana Rejim Zionis sedang mempertingkatkan lagi penjajahan, penindasan dan pembunuhan di Gaza dan Tanah Suci Baitul Maqdis, adalah seuntaian doa yang disusun Syaikh Muhammad bin Muhammad bin Ahmad bin Nashir ad-Dar`i rahimahullah.

Syaikh Muhammad ad-Dar`i adalah seorang ulama Maghribi. Beliau dilahirkan  sebuah kampung bernama Tamergroute, Sijilmasa sekitar tahun 1012H/1603M dan wafat sekitar tahun 1085H/1674M. Beliau mendalami dan belajar ilmu - ilmu Islam di Maghribi, al-Azhar dan juga al-Haramain sehingga menjadi ulama yang cemerlang penguasaannya dalam ilmu pengetahuan. Doa Nashiri ini beliau karang sebagai respons kepada situasi umat di zaman beliau, di mana berlakunya kezaliman dan penindasan sehingga mendatangkan kesusahan dan kepayahan terhadap rakyat jelata dan umat yang lemah. Bahkan, doa ini sering dibaca dan diamalkan ketika penjajahan Perancis ke atas Maghribi, Algeria dan negeri -negeri Afrika Utara yang lain. Menurut Syaikh Abdul Hay al-`Imrawi, seorang ulama dari Kota Fes, penjajah Perancis amat tidak senang dengan doa ini, sehingga mereka melarang pembacaannya secara terbuka di masjid - masjid.

Di Malaysia, antara yang mula - mula memperkenalkan pembacaan doa ini adalah almarhum TG Haji Nik `Abdul `Aziz. Bahkan beliau rahimahullah telah menterjemahkan doa ini ke Bahasa Melayu agar lebih dihayati oleh para pembaca. Mudah - mudahan mengamalkan doa ini tercatat sebagai tanda keprihatinan dan sumbangan kita terhadap perjuangan mereka - mereka yang sedang menghadapi penindasan dan kezaliman di mana jua tempatnya, teristimewa sekali di Bumi Gaza, tanah kelahiran Imam kita asy-Syafie dan Baitul Maqdis.

Bacaan Doa Nashiri [Langgam Maghrib].