Ahad, April 23, 2023

Minal 'Aaidin


Selamat Menyambut Hari Raya 'Aidil Fitri,

Maaf Zahir Batin.



Isnin, April 17, 2023

Ashlul Qadr

Sebagai penutup bicara Ramadhan ini mengenai Ahli Badar radhiyaAllahu `anhum, faqir kongsikan sekelumit tentang satu lagi karya ulama Nusantara yang bermotifkan wasilah dengan nama - nama para sahabat yang mulia ini. Nazam "Ashlul Qadr fi khashaishi fadhaili Ahli Badr"  yang memuatkan 148 bait adalah karya ulama besar Banten, KH Muhammad Dimyathi @ Buya Dim (w. 2003) rahimahullah. Karya ini diperkirakan disusun sekitar tahun 1965 dan sejak itu ianya tersebar dan masyhur diamalkan awam dan santri, teristimewa di Banten. 

Mukaddimah dan doa penutup nazam ini merupakan gubahan asli Abuya Dimyathi, manakala yang selainnya adalah nukilan beliau dari beberapa karya, terutamanya dari kitab "Jabrul Kasr fi nadzmi asma-i Ahli Badr" karangan Syaikh al-`Allaamah Musthafa Rusydi Affendi ad-Dimasyqi bin Ismail Affendi rahimahullah. Syaikh Musthafa Rusydi adalah seorang ulama dan pembesar Kerajaan Uthmaniyyah yang menjadi anggota Majlis Kabir al-Ma`arif al-Umumiyyah (lembaga pendidikan umum) dan pengarang kitab ar-Rawdhatun Nadiyah.

Dengan tersebar dan memasyarakatnya nazam ini  di tengah masyarakat yang kental dan cenderung dengan ilmu - ilmu kebatinan dan mistik, Abuya Dimyathi berjaya mengalih budaya dan pandangan masyarakat yang ketika itu cenderung kepada keanehan dan keajaiban mistik yang bersandarkan ilmu - ilmu kebatinan dan tangkal khurafat kepada sesuatu pegangan yang lebih Islamik dan tidak menyalahi akidah dan syariat. Makanya, antara yang disebut oleh Abuya Dimyathi dalam mukaddimah Nazam tersebut:- 

Maka dengan menyebut nama mereka, (mudah -mudahan) menjadi sebab untuk mendapat penjagaan Allah, menundukkan musuh, memperolehi pangkat kewalian, mensucikan jiwa, menolak qadha buruk, mengangkat bala, menyembuhkan orang sakit. Membawa (tulisan nama - nama) mereka (semoga) menjadi sebab mendapat pertolongan Allah dan mencapai kemuliaan.

Mudah - mudahan Allah merahmati KH Muhammad Dimyathi dan sekalian pembaca blog ini sentiasa dan semoga kita memperolehi keberkatan para Ahli Badar serta dipanjangkan umur sehingga dapat bertemu kembali dengan Ramadhan tahun hadapan.

Bacaan Ashlul Qadar





Khamis, April 13, 2023

Badriyyah & Bid`ah Masjid

Umum mengetahui dan pernah mendengar lantunan Shalawat Badar yang masyhur susunan KH Ali Mansur rahimahullah. Seorang lagi ulama Nusantara yang telah menyusun shalawat dengan tema Ahli Badar adalah KH Mahmud Mukhtar asy-Syarbuni rahimahullah, ulama kenamaan Cirebon yang wafat tahun 2008. Shalawat tersebut beliau namakan sebagai Shalawat al-Badriyyah. Selain shalawat tersebut beliau turut menulis sebuah kitab menazamkan nama - nama Ahli Badar yang diberi jodol Syarhus Shadri bi Ahli Badri.

Syarhus Shadar
 beliau tulis sekitar tahun 1960an, ketika beliau bermukim di Pesantren Bendo, Pare, Kediri, Jawa Timur, di bawah asuhan KH Khozin yang merupakan bapa saudara kepada Kiyai Ihsan Dahlan Jampes, Kediri, pengarang Sirajuth Thalibin syarah bagi Minhajul Abidin. Nazam beliau ini juga telah diberi taqridz (kata alu - aluan) oleh beberapa ulama besar Jawa Timur ketika itu, seperti KH Jazuli Usman Ploso, KH Abdul Majid Kedunglo, KH Musta`in Romli Peterongan dan KH Mundzir Bakri Mangusari. Selain menjadi pengasuh Pesantren Darul `Ulumisy Syar`iyyah, Bode, Plumbon, Cirebon, KH Mahmud juga banyak menulis, antara karya beliau adalah:-
  1. Mandzumatud Durratis Saniyyah fi Ilmit Tafsir (ilmu tafsir);
  2. Mawahibul Mughits fi musthalah al-hadits (ilmu musthalah hadis);
  3. Syarah Jawharil Maknun ( Bahasa Arab);
  4. al-Musyriq fi ilmil mantiq (ilmu logika);
  5. Ghunyatul Miskin fi Mandzumatis Sittin (ilmu fiqh);
  6. Nukhbatul Banin min Ummil Barahin (ilmu tawhid);
  7. I`anatur Rafiq  fi nadzmi Sullamit Tawfiq (ilmu fikih); 
  8. Bintus Sa`ah fi `Awamil Mi`ah (Bahasa Arab);
  9. Bida`ul Masajid; dan
  10. Ghayatuz Zain (ilmu fiqh).
Beberapa hari yang lalu, tersebar di medsos suatu insiden, di mana seorang kafir telah mendatangi sebuah surau dengan marah - marah kerana pembesar suara yang digunakan untuk memperdengarkan bacaan imam ketika shalat tarawih terlalu bising sehingga menyebabkan dia terganggu. Sebenarnya perkara ini, sedar tak sedar, sering kali dilakukan oleh masjid dan surau kita. Pembesar suara hendaklah digunakan dengan sewajarnya dan tidak disalahgunakan. Namun apa yang kerap berlaku adalah penyalahgunaan pembesar suara sehingga mengakibatkan gangguan kepada pihak lain. Islam tidak melarang penggunaan pembesar suara, apatah lagi untuk urusan seperti mengumandangkan azan. Namun, untuk  memperdengarkan bacaan imam atau bacaan al-Quran atau ceramah atau pengajian, penggunaannya hendaklah mengikut keperluan yang sewajarnya. Janganlah bacaan imam ketika shalat berjemaah dalam shalat jahriyyah pun diperdengarkan full blast dari corong pembesar suara di luar masjid atau surau, lainlah kalau ada makmum yang ikut sama berjemaah di luar masjid yang bersambung dengan shaf yang di dalamnya. Mustahil gamaknya ada orang yang hendak berimamkan imam di dalam masjid dari serambi atau halaman rumahnya dan berapa kerat pula yang loba nak mendengar pengajian di masjid dari bilik tidurnya di rumah? Bertambah parah lagi apabila bacaan imam pun ke laut, dek kerana memang original begitu atau dek kerana sound engineering failed. Maka apalah faedahnya, bahkan ini boleh menimbulkan dampak negatif, tohmah dan fitnah terhadap agama suci kita. Ianya boleh menjadi haram kerana mengganggu pihak lain seperti orang yang sedang shalat di rumahnya, anak - anak kecil yang sedang tidur, murid yang sedang belajar, orang yang sedang ngobrol melayan tetamunya, kafir zimmi yang sedang santai dan lain - lain seumpamanya. Janganlah dijadikan alasan menghidupkan syiar, syiar mestilah dalam kerangka syariat dan bukannya di luar batasan syariat. Maka cukuplah penggunaannya sekadar keperluan para jemaah di dalam masjid atau surau tersebut. Kepada AJK masjid dan surau, sila control volume. 

KH Mahmud rahimahullah menyentuh hal ini dalam karangan beliau, Bida`ul Masajid, menurut beliau hal tersebut adalah bid`ah dhalalah kerana melanggar larangan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam agar tidak meninggikan atau mengeraskan suara dalam masjid seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah yang kira - kira bermaksud: "Jauhkan masjid - masjidmu dari suara kerasmu" dan kisah Sayyidina `Umar memarahi dua orang penduduk Thaif yang mengeraskan suara mereka dalam Masjid Nabawi sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Antara lain, beliau rahimahullah menulis sebagai berikut:- "....Perlu diperhatikan bagi guru ngaji / kiyai / ustadz bahwa pengajian di dalam masjid harus dengan suara yang sederhana / tidak terlalu keras sehingga melebihi pendengaran mukhothob / hadirin. Tetapi cukup sekedar dapat didengar oleh hadirin saja..... [Penulis mendatangkan nas yang faqir terjemahkan secara ringkas sekadarnya sebagai berikut: "Dalam Qurratul `Ain halaman 52 dinyatakan sebagai berikut:  "Makruh mengangkat suara (mengeraskan suara) dalam mengajar ilmu melebihi kadar yang diperlukan untuk pendengaran mukhathab (audience), walaupun di tempat selain masjid (yakni hukumnya sama sahaja bagi masjid atau tempat selainnya) menurut pendapat yang masyhur (qawl masyhur)"]. ....... Mengeraskan suara di dalam masjid, walaupun dengan bacaan zikir atau Qur`an, adalah bid`ah dholalah / perbuatan yang menyimpang dari ajaran agama.... Dari sahabat Watsilah bin Asqo`: Berkata Nabi SAW: Jauhkan masjidmu dari suara kerasmu .............. Apa lagi (lebih - lebih dilarang) mengeraskan suara dengan pakai corong (speaker) yang pasti lebih keras seribu kali, apa lagi setelah azan semakin bertambah dilarang (haram) karena tasywisy / bribin, rongeh yang mengganggu ketenangan umum... Menggunakan pengeras suara / speaker di waktu salat atau khutbah adalah bid`ah dhalalah apabila suara imam atau khatib sendiri sudah bisa sampai / di dengar oleh makmum / hadirin....

Begitulah antara penjelasan seorang ulama kita, Ahlis Sunnah wal Jama`ah bermazhab Syafie, Harapnya dalam beribadah, jangan sampai kita mendatangkan gangguan dan kesakitan kepada orang lain. Letakkanlah setiap sesuatu itu pada tempat yang sewajarnya. Faqir teringat sewaktu kecil, faqir pernah mengaji dengan almarhum Maulana Abdul Lathif al-Hafiz dan almarhum Maulana Rahmatullah al-Hafiz, Imam Masjid India. Kelas kanak - kanak mengaji al-Quran setiap hari dibuat di serambi masjid dan malamnya, selepas Maghrib, pengajian kitab yang dihadiri oleh penuntut tua dan muda, dibuat dalam bilik kecil tempat tinggal imam bersebelahan dengan masjid. Maka bersesaklah para penuntut ilmu dalam bilik kecil tersebut. Ketika ditanya kenapa tidak belajar dalam masjid sahaja, maka antara jawapan almarhum Mawlana adalah beliau takut menjadi gangguan kepada orang - orang yang baru singgah untuk menunaikan shalat di masjid tersebut, kerana Masjid India ini letaknya di pasar, di mana ada sahaja orang yang akan singgah untuk menunaikan shalat mereka masing - masing setelah shalat jemaah dilaksanakan. Juga membuat faqir teringat kepada guru faqir, Ustaz Afi Kemboja, yang memperlahankan suaranya ketika mengajar dalam kelas kerana takut mengganggu kelas sebelah. Semoga Allah merahmati guru - guru kita sekaliannya.

Akhirul kalam, kembali kepada awalnya, maka inilah Shalawat Badriyyah karya Syaikh KH Raden Mahmud Mukhtar asy-Syarbuni rahimahullah. Mudah - mudahan berkat hendaknya dan al-Fatihah untuk penyusunnya, para guru beliau dan guru kita serta sekalian muslimin - muslimat.




Bacaan KH Mahmud bersama jemaah akan Shalawat Badriyyah



Selasa, April 11, 2023

Kemuliaan Ahli Badar

Masih belum telat untuk faqir menulis sedikit sebagai memperingati para pejuang Ahli Badar radhiyaAllahu `anhum. Para sahabat yang berjuang bersama Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam peperangan Badar al-Kubra menduduki tempat yang istimewa dalam hieraki para sahabat. Bahkan, demikian besar kemuliaan dan penghargaan yang diberikan kepada mereka sehingga ada ulama berpandangan bahawa mereka adalah maksum (yakni terpelihara daripada melakukan dosa), bersandarkan kepada riwayat yang shahih bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda berkenaan Ahli Badar: "Bahawasanya Allah telah berfirman bagi mereka: "Berbuatlah menurut kemahuanmu (yakni berbuatlah sesukamu), maka sesungguhnya telah Aku ampunkan bagi kamu." Namun, ini pendapat atau pandangan yang marjuh, sedangkan yang RAJIH adalah para sahabat Ahli Badar tidak maksum, tetapi ketika mana berlaku atau jatuhnya dosa kesalahan atas mereka, ianya segera disertai dengan keampunan, yakni apabila mereka melakukan dosa, Allah akan mentaufikkan mereka untuk segera bertaubat dan memohon keampunan Allah, lalu Allah mengampunkan mereka. Ini dalam istilah sebahagian ulama disebut sebagai mahfuz (yakni orang yang Allah pelihara daripada berkekalan atas dosanya dengan segera bertaubat dan rujuk kembali kepada Allah.) Hal ini disentuh sedikit oleh Amirul Mukminin fil hadits, Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani rahimahullah dalam Fathul Bari, juz 8.

Kemuliaan para sahabat pejuang Badar ini juga terzahir apabila nama - nama mereka dipercayai, oleh sesetengah khawas dan awam, sebagai mengandungi keberkatan. Dengan menyebut nama - nama mereka atau memperingati mereka akan terwujud rahmat dan berkat bagi sipelaku. Ini bukanlah sesuatu yang pelik, kerana memang rahmat dan keberkatan itu turun ketika mana para shalihin disebut atau diperingati. Mengenai keberkatan nama - nama Ahli Badar radhiyaAllahu `anhum, ramai ulama yang menyatakan hal ini dengan berbagai testimoni. Imam al-`Allaamah Nuruddin Ali al-Halabi asy-Syafie rahimahullah menulis dalam kitab sirahnya yang masyhur,  as-Sirah al-Halabiyyah, juz 2, halaman 194, antaranya sebagai berikut: " Imam ad-Dawaani menyatakan yang beliau telah mendengar daripada para masyaikh hadits (guru - guru hadits) bahawa berdoa ketika menyebut para sahabat Ahli Badar adalah mustajab dan hal ini telah diuji kemujarrabannya.

Syaikh Muhammad bin `Abdullah al-Jardani ad-Dimyathi rahimahullah dalam syarah beliau bagi Hadis 40 Imam Nawawi yang berjodol al-Jawaahirul Lu`luiyyah pada halaman 188 menyatakan sebagai berikut:- Para ulama telah menyatakan bahawasanya doa ketika menyebut mereka (yakni Ahli Badar) adalah mustajab dan hal ini telah diuji kemanjurannya. Diceritakan daripada sebahagian ulama yang berkata: "Aku telah menulis nama - nama mereka dan memeliharanya (yakni dengan menjaga tulisannya atau menghafalnya). Aku bertawassul dengan mereka setiap selepas shalat bagi memohon Allah memberikan aku futuh (yakni pembukaan bagi ilmu, ma'rifat dan segala kebaikan). Maka dalam waktu yang singkat sahaja, Allah telah merezekikan aku dengan futuh. Tidak ada sesuatu (ilmu) yang aku dengar melainkan aku dapat menghafalnya; Tidak ada sesuatu (ilmu) yang aku lihat (baca) melainkan aku dapat memahaminya; Tidak aku letakkan tanganku atas kepala orang sakit sambil aku membaca nama - nama mereka dengan niat tulus ikhlas melainkan dia disembuhkan Allah ta`ala atau jika ajalnya sudah hampir diringankan sakaratnya."

Begitulah antara keberkatan dan kemuliaan Ahli Badar yang direkodkan oleh ulama. Maka tidak hairan jika Syaikhul Islam Sayyid Ahmad `Arif Hikmat al-Husaini (w. 1275H) rahimahullah, ulama yang menduduki jawatan Syaikhul Islam, pemilik perpustakaan yang terkenal di Madinah, Maktabah `Arif Hikmat, menulis bait nazam yang kira - kira ertinya: "Sahabat - sahabat Badar meratai akan mereka kegemilangan redha; Nama - nama mereka mengandungi faedah - faedah (yang banyak) seperti  titisan - titisan air hujan." Mudah - mudahan kita direzekikan Allah mendapat bahagian daripada keberkatan dan syafaat para sahabat Ahli Badar radhiyaAllahu `anhum, sahabat - sahabat Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam yang memperolehi kedudukan tinggi dan pandangan khusus Allah dan rasulNya.

Selasa, April 04, 2023

Telan Jangan Luah

Tidak semua yang kita telan atau teguk atau togok atau tungam ketika berpuasa itu membatalkan puasa. Ada yang tidak membatalkan puasa, bahkan sangat - sangat dianjurkan ketika kita berpuasa. Dengan menelan atau menungamnya, bukan sahaja puasa tidak batal, bahkan diberikan ganjaran yang besar. Sabar dulu, yang ditelan itu bukanlah makanan dan yang diteguk itu bukanlah minuman, tetapi kemarahan yang muncul di hati kita. Ketika hati menggelegak panas, kemarahan membuak - buak, maka kita dianjurkan untuk bersabar dan menahannya, jangan luahkan kemarahan tersebut. Jangan sampai kemarahan tersebut keluar ke mulut, menyemburkan nama - nama haiwan dan sumpah seranah. Yang dianjurkan kepada kita adalah menahan kemarahan tersebut dan menelannya, jangan bagi keluar. Nikmati aja kemarahan tersebut sebagaimana kita menikmati makanan panas atau minuman dingin. "Easier said than done", tapi itulah yang perlu kita latih diri dan ingat ada berbagai insentif yang dijanjikan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam kepada sesiapa yang melakukannya. Orang yang menahan kemarahan dan memberi kemaafan juga disifatkan sebagai orang yang punya ketakwaan kepada Allah dan orang - orang yang baik (al-muhsinin), sebagaimana firmanNya dalam surah Ali `Imran ayat ke-134.

Imam Ibnu Majah rahimahullah dalam Sunannya meriwayatkan dengan sanad yang sahih bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Tidak ada sesuatu yang diteguk (yakni ditelan) yang lebih besar ganjarannya di sisi Allah dari tegukan kemarahan yang ditahankan dia oleh seseorang hamba demi mencari keredhaan Allah." Imam Ahmad rahimahullah dalam Musnadnya juga meriwayatkan hadis yang senada bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Tidaklah seseorang hamba meneguk satu tegukan yang lebih afdhal di sisi Allah dari seteguk kemarahan yang ditahannya kerana Allah, demi mencari keredhaan Allah." Mudah - mudahan Allah menjadikan kita orang - orang yang penyabar yang dapat mengendali kemarahan kita. Allahummaj `alna shabuura....