Selasa, Jun 28, 2022

Sidi Rifa`ie & Anjing

Dalam entri yang lepas, faqir berkongsi kisah Sidi Rifa`ie dengan kucing dan nyamuk, maka dalam entri ini, faqir kongsikan kisah beliau dengan haiwan najis mughallazah iaitu anjing. Sebagaimana yang diketahui, membela anjing tanpa sebab yang wajar seperti untuk menjaga harta, hukumnya adalah haram dan mengakibatkan pahala seseorang dipotong. Namun, ini tidak bererti seseorang boleh menyakiti atau menzalimi anjing. Bahkan, Islam menyuruh berbuat ihsan hatta kepada makhluk anjing, hingga diriwayatkan dalam hadis yang shahih bahawa ada orang yang mendapat keampunan Allah gara - gara memberi anjing yang kehausan minum. Namun, tidaklah perlu sampai menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan (pet) untuk hiburan semata atau suka - suka untuk menyentuh dan membelainya. Silalah rujuk kepada ulama dan kitab tentang perincian hukum membela dan menyentuh anjing, haiwan yang sekujur badannya, dalam mazhab kita, dikategorikan sebagai najis mughallazah.

Kisah ini disebut oleh al-`Allaamah al-Muhaqqiq al-Muarrikh Syaikh Muhammad Thahir bin 'Abdul Qadir al-Kurdi rahimahullah. Kisah ini beliau catat dalam Tuhfatul `Ibaad pada halaman 147 - 148. Syaikh Muhammad Thahir menyatakan bahawa beliau pernah mendengar cerita tentang seekor anjing yang terkena penyakit judzam (leprosy) sehingga penduduk negeri / bandar tempat tinggal Sayyid Ahmad ar-Rifa`ie radhiyaAllahu `anhu memandangnya dengan jijik. Maka Sidi Rifa`ie telah membawa anjing tersebut ke hutan / padang yang tiada berpenghuni, lalu mendirikan tempat berteduh bagi anjing tersebut. Beliau juga mengurus makan minum serta merawat anjing tersebut selama 40 hari sehingga anjing tersebut sembuh. Setelah sembuh, beliau memandikan anjing tersebut dengan air panas dan membawanya balik ke bandar. Penduduk bandar bertanya kepada Sidi Rifa`ie tentang kesungguhan beliau menjaga dan mengambil berat tentang kebajikan anjing tersebut. Beliau menjelaskan bahawa beliau khuatir nanti Allah akan mempersoalkan belaiu kerana tidak menaruh kasihan belas kepada satu makhluk daripada makhluk - makhlukNya.

Sebenarnya kisah ini telah dikisahkan dan dinukil oleh ulama kita terdahulu hatta oleh ulama Nusantara. Dalam kitab Hadiqaatul Azhar karya Tok Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah pada halaman 126 - 127 dikisahkan sebagai berikut: ... Dan hasil bagi seekor anjing judzam, maka diluatikan dia oleh segala nafsu ahli negerinya. Dan jadilah tiap - tiap seorang itu dihalaukan dia daripada pintunya. Maka diambilkan dia oleh Sayyidi Ahmad ar-Rifa`ie dan keluar ia dengan dia ke padang dan dibuat baginya tempat berteduh dan diubatikan dia dan diberi makan dan minum akan dia hingga sembuh ia kemudian daripada 40 hari. Dan dimandikan dia dengan air panas kemudian dimasukkan dia ke negeri. Maka dikata orang baginya: "Engkau amat - amati dengan ini anjing akan sebagai ini amat - amati?" Katanya: "Bahkan takutku bahawa berkata Allah ta`ala bagiku pada hari kiamat, "Tiadakah bagimu kasihani bagi itu anjing? Tiada takutmu bahawa Aku bala`kanmu dengan itu bala`?"......

Begitulah kasihan belas yang ditunjukkan oleh Sidi Rifa`ie terhadap haiwan yang biasanya dipandang hina dan jijik. Betapalah kasihan belas beliau kepada sesama umat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mudah - mudahan bermanfaat dan dapat dijadikan teladan, juga mudah - mudahan kita mendapat syafaat Sidi Rifa`ie radhiyaAllahu `anhu.

Syaikh Thahir Kurdi (1903-1980)

Jumaat, Jun 24, 2022

Keturunan Nabi Bukan Nabi

 



اللهم صل على سيدنا محمد و على آل سيدنا محمد و سلم.

Isnin, Jun 20, 2022

Pemanggul Akidah Haq

Syaikh Ali Jum'ah menegaskan bahawa pengikut mazhab al-Asyaa`irah adalah pemanggul aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah sehingga Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Oleh itu janganlah kalian terpedaya dengan dakyah "Wahabi -Silapi" yang mengaku ikut al-Quran dan as-Sunnah dan malu dipanggil Wahabi, yang syok alim sehingga berpendapat sebaliknya. Semua orang boleh mendakwa ikut al-Quran dan as-Sunnah, namun dari kacamata siapa mereka memandangnya. Faqir lebih selesa memahami al-Quran dan as-Sunnah menerusi kacamata para ulama kita yang muktabar. Ketahuilah bahawa pengikut mazhab al-Asyaa`irah sejak dahulu lagi sehingga kini merupakan kumpulan majoriti umat Islam dan sesungguhnya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam berpesan agar kita mengikut as-sawaadul a'dzam (kelompok terbesar) daripada umat baginda. Sabda Baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Sesungguhnya Allah tidak akan menghimpunkan umatku dalam kesesatan, ketika kamu melihat ikhtilaf (perselisihan dalam kalangan mereka), maka hendaklah kamu berpegang dengan as-sawaadul a'dzam (golongan yang terbesar)." Perselisihan yang disebut oleh Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah perselisihan yang membawa kepada kesesatan, yakni perselisihan dalam urusan pokok akidah yang menjadi teras iktikad, bukannya perselisihan dalam bab - bab furu` syariat. Oleh itu, jika mahu selamat daripada kesesatan ikutilah jalan Ahlis Sunnah wal Jama`ah, yakni al-Asyaa`irah dan al-Maturidiyyah,  jauhi segala kumpulan serpihan walaupun namanya indah - indah dengan slogan kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah. Sesungguhnya pengikut dan pendokong akidah ahlul haq, al-Asyaa`irah dan al-Maturidiyyah, tidak perlu "kembali" kepada al-Quran dan as-Sunnah, kerana sekali - kali mereka tidak pernah meninggalkan al-Quran dan as-Sunnah. Yang perlu kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah adalah puak - puak yang telah meninggalkan al-Quran dan as-Sunnah, sehingga ada yang mentasybihkan Allah dengan makhluk. Amalan kita Ahlis Sunnah wal Jama`ah adalah tasbih dan bukannya tasybih, yakni kita mensucikan Allah dari sebarang penyerupaan dengan makhluk ciptaanNya dan sekali - kali tidak menyerupakan Allah dengan makhlukNya. SubhanaAllah wa bi hamdih.....

Khamis, Jun 16, 2022

Pengarang Kitab "Perukunan"

Di antara kitab yang masyhur dalam masyarakat kita adalah kitab yang biasa dipanggil sebagai "Perukunan" atau "Perukunan Melayu" atau "Perukunan Besar" atau dalam lahjah Banjarnya disebut "Parukunan". Menurut almarhum TG Haji Wan Mohd Shaghir, hampir setiap rumah orang kita menyimpan kitab yang berkat ini. Ini ada benarnya kerana kebiasaan orang - orang tua kita dahulu menyebut dan merujuk kepada kitab "Perukunan" sebagai panduan mereka beramal. Sungguh pun begitu, mungkin ramai yang tidak tahu siapa penyusun kitab ini.

Tuan Guru Haji Abdur Rasyid bin Ramli al-Banjari al-Azhari yang dikenali sebagai Muallim Wahid @ Guru Utama yang dilahirkan pada tahun 1884M di Desa Pekapuran, Amuntai, Kalimantan Selatan, Pulau Borneo, satu pulau dengan Malaysia Timur. Beliau rahimahullah inilah yang menyusun dan menerbitkan kitab "Parukunan" dengan tulisan Jawi berbahasa Melayu. TG Haji Abdur Rasyid menerima asuhan agama sejak kecil lagi dan berkesempatan untuk berguru dengan beberapa ulama kenamaan Banjar, antaranya TG Hj Umar Awang Padang Kelua,TG Ahmad Sungai Banar, TG Jaferi bin Umar Teluk Betung dan TG Abdur Rahman Pasungkan Nagara. Dalam tahun 1908, beliau berangkat ke Mesir untuk menyambung pelajarannya di Universiti al-Azhar. Beliau tercatat sebagai anak Banjar /  Kalimantan yang pertama belajar di al-Azhar dan berjaya meraih Syahadah `Alamiyyah lil Ghuraba` dari sana. Untuk menampung kos sara hidup selama di Mesir, beliau bekerja di restoran dan ini tidak menjadi penghalang untuk beliau menimba ilmu secara formal di universiti dan informal di ruwaq Masjid al-Azhar dengan para masyaikh yang ada. Ketika di Kaherah inilah beliau menulis kitab "Perukunan". Setelah kira - kira 10 tahun di Mesir, barulah beliau pulang ke Banjar, sebelumnya beliau singgah dahulu ke Mekah untuk menunaikan fardhu haji dan meneguk ilmu para ulama Haramain. Di Mekah, beliau sempat menimba ilmu daripada Tuan Guru Syaikh Muhammad Khalid yang mengajar di Babus Salam, Masjidil Haram. Syaikh Muhammad Khalid rahimahullah adalah ulama asal Tangga Ulin, Amuntai dan telah lama mengajar dalam Masjidil Haram.

Sesampainya TG Haji Abdur Rasyid ke tanahair, beliau terus melibatkan diri dalam dakwah dan penyebaran ilmu pengetahuan. Beliau mulanya membuka halaqah ilmu di rumah mertuanya, lalu kemudian berpindah ke langgar (surau) dan akhirnya beliau membuka sebuah sekolah madrasah formal yang dinamakan Arabische School (Sekolah Arab). Setelah sekolah ini diserahkan pengurusannya kepada TG Juhri Sulaiman, namanya beliau tukar kepada al-Madrasatur Rasyidiah, sempena nama pendirinya TG Haji Abdur Rasyid untuk mengenang jasa beliau. Ketika era Ustaz M. Arief Lubis, sekolah ini dinamakan sebagai Ma'had Rasyidiyah dan pelajaran - pelajaran ilmu pengetahuan umum mula dimasukkan dalam silibusnya. Pada zaman KH Idham Khalid yang memimpin, sekolah ini ditukar nama kepada Normal Islam, kemudian diganti kembali sebagai Rasyidiyah Khalidiyyah atau singkatannya Rakha untuk mengenang jasa pendiri awalnya TG Haji Abdur Rasyid dan guru beliau TG Haji Muhammad Khalid. Sekolah ini, sejak dari Arabische School lagi telah melahirkan ramai ulama, pendakwah dan lain - lain insan yang berbakti kepada agama, nusa dan bangsa. Di antara murid yang sempat belajar di Arabicshe School terus dengan TG Haji Abdur Rasyid adalah almarhum Tan Sri Abdul Jalil Hasan yang merupakan alumni Arabische School tahun 1928.

Tuan Guru Haji Abdul Rasyid menghembuskan nafas beliau yang terakhir pada  19 Syawwa1 1353H bersamaan 14 Februari 1934. Beliau dimakamkan di desa kelahirannya, Desa Pekapuran, Amuntai. Selain kitab "Perukunan", beliau juga mempunyai karya lain, antaranya kisah Isra` Mi'raj yang ditulis dalam bahasa Arab dengan jodol Sirajul Wahhaj yang dikarang pada tahun 1325H. Semoga hujan rahmatnya Allah sentiasa bercucuran atas roh beliau dan ditempatkan beliau bersama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam Jannatul Firdaws, Allahumma aamiin .... lahu al-Fatihah.

Selasa, Jun 14, 2022

Sidi Rifa`ie & Kucing

Sidi Ahmad ar-Rifa`ie radhiyaAllahu `anhu adalah salah seorang wali Quthub yang termasyhur. Imam  adz-Dzahabi dalam karangan beliau, Siyarul A'laam an-Nubala`, pada juz ke-21, halaman 77, menyebut nama penuh beliau dengan gelaran - gelaran mulia seperti al-Imam, al-Qudwah, al-`Aabid, az-Zaahid, Syaikhul `Aarifiin (Gurunya Para Wali), Abul `Abbas, Ahmad bin Abil Hasan `Ali bin Ahmad bin Yahya bin Haazim bin `Ali bin Rifaa`ah ar Rifaa`ie al-Maghribi. Tidak dapat disangkal lagi Sidi Ahmad ar-Rifa`ie sebagai salah satu tokoh agung dalam dunia tashawwuf, bahkan beliau menjadi pengasas bagi Thariqat ar-Rifa`iyyah yang diamalkan ramai Muslimin hatta di bumi Nusantara kita ini. 

Dalam kitab tersebut, Imam adz-Dzahabi rahimahullah menukil kisah - kisah yang menarik untuk menggambar betapa kasih sayang Sidi Rifa`ie kepada sesama makhluk ciptaan Tuhan, hatta kepada yang namanya haiwan. Dikisahkan pada halaman 78. bahawa satu ketika, seekor kucing tertidur atas lengan jubah beliau. Apabila masuk waktu shalat, Maka Sidi Ahmad ar-Rifa`ie pun hendak mengambil jubah tersebut untuk pergi menunaikan shalat. Namun, beliau mendapati kucing tersebut masih lagi tidur di atas lengan jubahnya. Kasihan melihat kucing tersebut tidur, Sidi Rifa`ie tidak tega untuk membangunkannya, lalu beliau menetas lengan jubahnya untuk mengambil jubah tersebut dan membiarkan kucing itu terus tidur. Setelah beberapa ketika, kucing tersebut jaga dan meninggalkan lengan baju yang dijadikan alas tidurnya. Maka, Sidi Rifa`ie mengambil lengan baju tersebut dan menjahitnya semula ke jubahnya. Beliau menyatakan bahawa tiada sesuatu pun berubah, yakni jubahnya masih tetap dapat dipakai seperti sebelumnya. Juga diceritakan bahawa pernah ketika beliau sedang berwudhu, datang seekor nyamuk lalu hinggap di tangan beliau. Sidi Rifa`ie membiarkan sahaja nyamuk tersebut tanpa menghalau atau memukulnya. Setelah nyamuk itu terbang pergi, beliau menyambung semula wudhunya. Allahu .... Allah, begitulah gambaran sifat belas kasih beliau. 

Kisah Sidi Rifa`ie dengan kucing tersebut ada dinukilkan oleh Tok Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah dalam karya beliau Hadiiqatul Azhaar war Rayaahin pada halaman 127 sebagai berikut: ....." Dan tidur seketika di atas tangan bajunya oleh kucing dan masuk waktu sembahyang, maka diguntingkan tangan bajunya dan tiada ia kejutkan dia. Dan tatkala pulang ia daripada sembahyangnya, dapat ia kucing itu sudah bangun, maka menghubung ia dan menjahit ia akan tangan bajunya....."

Di sini kita dapat melihat betapa kasihan belas Sidi Ahmad ar-Rifaie hatta terhadap seekor haiwan. Tetapi jangan pula lupa, Sidi Ahmad juga seorang faqih yang mengikut mazhab asy-Syafie dan amat menitik berat dan menjaga hukum syarak. Di antara tegahan pada syarak adalah tidak berbuat idha`atul maal yakni mensia-siakan harta tanpa sebarang faedah, apatah lagi untuk melakukan maksiat atau melakukan pembaziran. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam pernah bersabda: " Sesungguhnya Allah membenci bagi kamu tiga perkara, (i) bercakap yang tiada berfaedah (cekcok atau bertengkar yang tiada manfaat), (ii) mensia-siakan harta dan (iii) banyak meminta - minta (mengemis)." Makanya Sidi Rifa`ie radhiyaAllahu `anhu menjahit semula lengan jubahnya itu agar dapat dipakai kembali seperti sediakala. Jika kucing kita tidur atas baju atau pakaian kita, kejutkan atau alihkanlah sahaja elok - elok, jangan disepak terajang sudah. Jangan nak memandai - mandai gunting lengan baju atau pakaian tersebut, konon - konon nak tiru Sidi Rifa`ie, kerana endingnya membawa kepada mensia-siakan harta yang boleh jadi haram hukumnya. Jangan perasan nak ikut Sidi Ahmad ar-Rifa`ie yang faqih lagi sufi lagi wali yang arifbillah. ..Allahu ... Allah. Ukurlah baju di badan sendiri.

Jumaat, Jun 10, 2022

Tadzkirah Hb Taufiq

Di antara nikmat yang dikurniakan Allah kepada hambaNya yang dikehendaki adalah jalur nasab keturunan yang mulia, apatah lagi jika dalam susunan jalur nasab tersebut adanya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dan hal ini semata - mata anugerah Allah `azza wa jalla yang tidak dapat diusahakan. Sebagai satu nikmat, ianya perlulah disyukuri, maka cara mensyukurinya adalah menjaganya dengan sebaik mungkin agar tidak tercemar nama - nama mulia yang ada dalam silsilah tersebut. Jangan pula ia menjadi sebab bagi menjerumuskan seseorang ke lembah ghurur, tertipu dek nasab keturunan. Ingat pesanan Hujjatul Islam al-Ghazali radhiyaAllahu `anhu, nasab keturunan itu boleh menjadi sebab seseorang itu tertipu. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda, yang mafhumnya: "Sesiapa yang diperlambatkan oleh amalannya, maka tidak akan dipercepatkan oleh nasab keturunannya." Imam an-Nawawi radhiyaAllahu `anhu dalam syarahnya bagi Shahih Muslim pada juz 17, halaman 35, menyatakan sebagai berikut:- ...Maknanya, sesiapa yang amalannya kurang (yakni kurang beramal shalih), tidaklah dia dapat diangkat sedarjat dengan mereka-mereka yang beramal. Maka seharusnya dia tidak semata - mata bersandar kepada kemuliaan nasab, kelebihan datuk neneknya sehingga kurang melakukan amal...."

Ingat, segala nikmat atas mukabumi ini, juga merupakan ujian. Jangan jadikan nasab keturunan sebagai modal berbangga diri sehingga memandang orang lain sebelah mata. Belajarlah tawadhu dan khumul. Jangan hanya pada luaran zahir, tapi ikhlas dari lubuk hati sanubari. Pastikan jangan ada terbetik dalam hati, bahawa aku lebih mulia kerana aku turunan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Itu nikmat dan juga ujian. Akhirul kalam, hayati sabdaan leluhur teragung, yang mafhumnya: "Datanglah kepadaku esok pada hari kiamat dengan amal perbuatan kamu dan bukannya dengan (hanya) nasab keturunan kamu. Sesungguhnya aku tidak akan dapat memberikan suatu pertolongan pun buat kamu di sisi Allah (dengan bersandarkan nasab keturunan semata). Juga pesanan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam kepada kaum kerabat baginda: "Janganlah sampai orang datang kepadaku (yakni di Mahsyar kelak) dengan membawa amalan - amalan shalih mereka, sedangkan kalian datang kepadaku dengan hanya membawa nasab - nasab kalian sahaja."
************
Habib Taufiq as-Seggaf

Selasa, Jun 07, 2022

Abu Thalib Mukmin - TG Hj Hadi ?

Sebagaimana yang pernah faqir nyatakan terdahulu, ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah berbeza pendapat mengenai keislaman Abu Thalib. Jumhur ulama kita, termasuk kalangan habaib, berpendapat bahawa beliau tidak menerima Islam sehingga menghembuskan nafasnya. Mereka tidak menafikan kecintaan Abu Thalib dan pengorbanan yang telah beliau berikan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, yang menjadi masalah, antaranya, adalah menjelang kewafatannya, Abu Thalib telah menolak ajakan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam untuk bersyahadah. Dari kerana itu, mereka menyatakan bahawa Abu Thalib meninggal dalam keadaan tidak bersyahadah atau tidak menerima Islam. Namun, segelintir lagi ulama kita, seperti Sidi Ahmad Zaini Dahlan rahimahullah berpendapat sebaliknya. Sidi Mufti rahimahullah mempertahankan pandangan beliau dengan keras sehingga menulis satu risalah khusus untuk mendatangkan dalil - dalil bagi pandangan tersebut. Bahkan dikhabarkan pernah berlaku polemik antara beliau dengan Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki rahimahullah, seorang ulama besar bermazhab Syafie juga, pengarang antaranya kitab ar-Riyaadhul Badii`ah. Di antara punca meruncingnya polemik antara mereka adalah ketika amir (gabenor) Mekah hendak membina kubah atas kubur Abu Thalib, Sidi Ahmad Zaini Dahlan menyokong pembinaan tersebut kerana menurut beliau Abu Thalib adalah seorang mukmin, sebaliknya Syaikh Muhammad Hasbullah al-Makki menentangnya kerana beliau berpegang bahawa Abu Thalib bukanlah seorang Islam. Mudah - mudahan Allah mengampuni kesalahan dan kesilapan para ulama kita serta menempatkan mereka bersama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam di Jannatul Firdaus. Kisah polemik antara kedua beliau ini disebut secara ringkas, antaranya, dalam karya sejarawan Arab Saudi, almarhum Ustaz Husain Muhammad Bafaqih, yang berjodol Dzaakiratur Riwaaq pada halaman 226. 

Maka, ketahuilah bahawa masalah Islam atau tidaknya Abu Thalib, bukanlah perkara asas dalam agama. Kita tidak akan ditanya mengenai keimanan Abu Thalib, keimanan kita sendiri yang akan ditanya. Di situ juga ada khilaf perbezaan pendapat di kalangan para ulama kita yang muktabar. Terpulanglah kepada masing - masing untuk mengikut pandangan tersebut, samada pendapat jumhur atau sebaliknya. Akhirul kalam, sekadar berkongsi klip video TG Haji Hadi hafizahullah mengenai perkara ini dan nampaknya dalam klip ini beliau cenderung dengan pendapat minoriti, bahawa Abu Thalib adalah seorang mukmin yang menerima kerasulan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dan TG Haji Hadi berlaku amanah dalam ilmu dengan mendatangkan pendapat jumhur terlebih dahulu walaupun beliau tidak sependapat. Walaupun ini pendapat segelintir ulama kita, namun tetap ianya adalah pendapat ulama Ahlis Sunnah wa Jama`ah juga, maka janganlah dengan sebab ini dituduh pula mereka - mereka ini sebagai Syiah atau tasyaiyu`.