Jumaat, Ogos 26, 2011

Fadhilat Sholawat - Syarhul Ainiyyah

Jumaat terakhir bulan Ramadhan bagi tahun ini, insya-Allah, Jumaat depan dah berada dalam bulan Syawal. Mudah-mudahan keberkatan Ramadhan diperolehi kita semua. Jangan lupa memperbanyakkan sholawat ke atas Junjungan Nabi SAW pada hari yang mulia lagi berkat ini dan dalam bulan yang mulia lagi berkat ini. Insya-Allah, ganjaran yang berlipat ganda akan dianugerahkan oleh Allah yang Maha Pemurah. Untuk renung bersama, dinukilkan beberapa kelebihan bersholawat ke atas Junjungan Nabi SAW sebagaimana diutarakan oleh Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi rahimahUllah dalam "Syarhul `Ainiyyah" yang masyhur.

Telah bersabda Junjungan Nabi s.a.w. : " Orang yang bakhil itu adalah orang yang ketika mana aku disebut di sisinya dia tidak mengucapkan sholawat ke atasku." Hadits diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Baginda 'Ali r.a. dan dihukumkannya sebagai hasan shohih.

Juga didatangkannya satu riwayat lagi:- "Sesiapa yang bersholawat ke atasku, para malaikat akan bersholawat ke atasnya. Sesiapa yang bersholawat ke atasku sekali, Allah bersholawat ke atasnya 10 kali, dihapuskan daripadanya 10 kesalahan dan diangkatkan baginya 10 darjat," - dalam satu riwayat - "ditulis baginya 10 kebajikan".

Telah warid hadits yang menyatakan:- "Sesiapa yang mengucapkan salam ke atasku 10 kali, maka seolah-olah dia memerdekakan seorang hamba." ........ "Sungguh akan datang kepadaku beberapa kaum (pada hari kiamat nanti) yang aku tidak mengenali mereka melainkan dengan banyaknya sholawat mereka ke atasku." ...... "Orang yang paling berjaya di antara kamu pada kedudukannya nanti di hari kiamat adalah sesiapa di antara kamu yang paling banyak bersholawat ke atasku."

Sayyidina Abu Bakar r.a. berkata:- "Sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. lebih kuat pada menghilangkan dosa-dosa daripada air sejuk memadamkan api; Dan salam ke atas baginda lebih utama daripada memerdekakan hamba."

Daripada Sayyidina 'Umar dan Sayyidina 'Ali radiyaAllahu 'anhuma:- "Sesungguhnya doamu terhenti di antara langit dan bumi (yakni tidak naik), sehinggalah engkau mengucapkan sholawat ke atas Nabimu."

Dan telah warid: "Doa yang dipanjatkan antara dua ucapan sholawat ke atasku tidak akan ditolak. Dan sesungguhnya Allah telah mewakilkan di kuburku satu malaikat yang diberi keupayaan untuk mendengar segala ucapan makhluk. Maka tiadalah seseorang yang bersholawat ke atasku sehinggalah ke hari kiamat, melainkan sampai kepadaku akan namanya dan nama bapanya: "Inilah si fulan anak si fulan yang telah bersholawat ke atasmu."

Dan telah datang riwayat bahawasanya Allah ta'ala telah mewahyukan kepada Nabi Musa a.s.: "Keadaanmu yang paling Aku sukai dan yang paling hampir denganKu (yakni hampir dengan keredhaanNya), adalah ketika engkau memperbanyakkan ucapan sholawat ke atas Nabi Muhammad."

Dan telah warid: "Sholawat kamu ke atasku menyebabkan doa-doa kamu diterima, menyebabkan Tuhan kamu redha, menjadi zakat penyucian bagi badan (diri) kamu. Dan sesiapa yang bersholawat ke atasku dalam kitab (yakni dengan tulisan atau dengan mengucapkan sholawat apabila bertemu dengan nama Junjungan dalam sesebuah tulisan), maka sentiasalah para malaikat beristighfar baginya selama mana namaku masih berada dalam kitab tersebut."

Dan telah diriwayatkan daripada Junjungan s.a.w.: "Sholawat ke atasku adalah nur." ...."Penyuci hati umatku dan pembersihnya daripada kekaratan adalah ucapan sholawat ke atasku."

Diriwayatkan daripada Junjungan s.a.w. daripada Allah ta'ala (yakni hadits qudsi):- "Wahai Muhammad, Aku telah menjadikan engkau sebagai satu zikir daripada zikirKu, sesiapa yang menyebutmu maka dia telah berzikir kepadaKu, dan sesiapa yang mencintaimu, maka dia telah mencintaiKu."

Dan telah warid: "Sesiapa yang mengucapkan sholawat ke atasku pada hari Jumaat 80 kali, Allah akan mengampuni baginya dosa-dosa 80 tahun."

Rebutlah peluang untuk memperbanyakkan sholawat di hujung-hujung bulan yang mulia ini. Semoga segala amalan kita diterima Allah SWT.... Allahumma aamiiin.

Khamis, Ogos 25, 2011

Kemurahan Rezeki - Petua Hb. Ahmad

Imam al-`Allaamah al-Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi rahimahUllah adalah seorang ulama besar yang berguru antaranya kepada Imam al-Haddad rahimahUllah. Disebut dalam manaqib beliau, "Qurratul 'Ain wa Jilaa-ul Rain", bahawa beliau menyatakan bahawa antara amalan yang sangat - sangat membantu bagi meraih rezeki adalah seseorang itu beri'tikaf di masjid setelah sholat Subuh sehingga terbit matahari sambil berzikir dengan mengulang-ulang nama-nama Allah yang agung, iaitu:

يا كافي ، يا مغنى ، يا فتاح ، يا رزاق

Ya Kaafi, Ya Mughni, Ya Fattaah, Ya Razzaaq


Selasa, Ogos 23, 2011

Jangan Lupa Shalawat

Satu lagi hadits masyhur yang biasa kita dengar mengkhabarkan kehinaan bagi orang yang berat mulutnya untuk bershalawat ketika nama Junjungan Nabi SAW disebut di hadapannya. "Kehinaan bagi orang yang aku disebut di sisinya namun dia tidak bershalawat ke atasku," itulah mafhum sabdaan Junjungan SAW. Maka jangan lupakan shalawat, insya-Allah terpelihara kita daripada kehinaan yang abadi di akhirat nanti. Jangan malas-malas bershalawat, biar shalawatnya dengan bersemangat, dengan bersungguh-sungguh dan sepenuh hati. Jangan lupa juga untuk memeriahkanlah majlis-majlis kita dengan sholawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Pasti ada keberkatannya di dunia dan di akhirat.

Surat Terbuka Buat MAZA.

Surat terbuka buat Dr. MAZA — Hudzaifah Al-Yaman

August 23, 2011

23 OGOS — Bismillahirrahmanirrahim. Dimulai surat ini dengan doa, mudah-mudahan Dr. MAZA beroleh kasih sayang Allah SWT hendaknya, dan terus istiqamah melagang perjuangan Islam di muka bumi ini, tanpa secuit pun rasa takut kepada makhluk; atau secalit rasa curiga diserang pelbagai sudut. Firman Allah SWT: “Dan mereka tidak merasa takut selain kepada Allah.” (at-Taubah: 18)

Dr. MAZA, membaca dan meneliti pandang sisi tuan mutakhir ini, khususnya mengenai korelasi antara isu murtad dan isu agihan zakat, membuat saya semakin tertanya-tanya. Persoalannya ialah, apakah rahsianya menyebabkan agihan zakat di negara ini tidak berkesan dalam menangani isu-isu kemiskinan dan sejauh manakah inisiatif yang telah dilakukan demi memperbaiki keadaan.

Dr. MAZA, Tuan menyatakan di Malaysia ini ada 14 jabatan agama. Ya, itu bermakna Malaysia juga mempunyai 14 pusat zakat dan 14 orang mufti. Wang zakat terkumpul mencecah billion ringgit saban tahun.

Sayangnya, kenapakah masih ramai umat Islam yang tidak tersantuni dengan dana zakat. Ingin rasanya saya bertanya kepada seorang mufti demi seorang mufti, apakah yang berlaku di sebalik tirai zakat di setiap negeri.

Namun, sayugianya saya juga ingin menanyakan soalan yang sama terlebih dahulu kepada Dr. MAZA. Bukankah dahulu Dr. MAZA adalah seorang mufti juga, yang menjabati kondisi mufti di Perlis Darus Sunnah? Maka, kala Dr. MAZA sendiri menjawati jawatan mufti, apakah tindakan konstruktif Dr. MAZA dalam memperbetulkan segala ketempangan ini, khususnya dalam pengurusan zakat di Malaysia, atau paling minimal di Perlis Darus Sunnah, negeri Dr. MAZA paling ‘berkuasa’?

“Amat besar kemurkaan Allah, bagi sesiapa yang mengatakan apa yang tidak dikerjakannya.” (as-Saff: 3). Justeru, jujurnya saya berharap dan amat yakin, pastinya Dr. MAZA tidak sesekali termasuk ke dalam kategori di atas. Lalu, dengan harapan dan keyakinan yang sama, pastinya Dr. MAZA juga boleh memberikan penjelasan saksama, secara ditil dan komprehensif, apakah gendalanya yang menyebabkan amalan zakat khususnya aspek agihan zakat masih di takuk lama, termasuklah di Perlis Darus Sunnah.

Kami, para golongan awam ternanti-nanti penjelasan Dr. MAZA dalam hal ini, sesungguhnya! “Maka, bertanyalah kamu sesuatu perkara kepada ahlinya jika kamu tidak mengetahuinya.” (An-Nahl: 43).

Dr. MAZA, sebagai bersifat adil dan tidak bias, saya memaksa diri membuat sedikit kajian dan gelintaran. Lalu, saya dapati di Malaysia ini, keunikannya bukan sekadar dengan 14 orang mufti dan 14 jabatan agama segala; tetapi juga unik justeru semua urusan agama ditadbir berbeza-beza oleh negeri. Padanlah harga zakat fitrah pun berbeza juga, sedangkan kita ini semuanya dalam satu Malaysia.

Maka, saya tidak fikir Dr. MAZA, seorang cendekiawan yang amat cakna dengan keadaan; tidak menyedari senario ini. Pastinya Dr. MAZA punya kenalan di sektor undang-undang yang arif perihal perlembagaan negara, buat menjelaskan kepada Dr. MAZA apakah implikasinya kepada amalan zakat apabila wujudnya pengasingan kuasa agama mengikut negeri. Secara umumnya, pastilah sukar bagi disatukan kendaliannya, kerana masing-masing punya wewenang tersendiri. Pastilah besar juga kesannya kepada isu-isu agihan zakat, bukan?

Ya, saya yakin pasti ada kesan. Antaranya, negeri masing-masing tertakluk kepada undang-undang zakat sendiri. Bila zakat dikutip, pasti setiap negeri mengutamakan negerinya sendiri. Apa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan juga, tidak semestinya menjadi ikutan negeri. Saya tidak fikir, Dr. MAZA terlepas pandang semua hal ini.

Apa yang saya risaukan, ketidak selarasan ini mengakibatkan ada negeri yang maju dalam pengurusan zakat dan ada yang mundur dan jauh ketinggalan. Apabila Dr. MAZA menembak dengan peluru penabur, maka tembakan Dr. MAZA akan berterabur dan menyimbah merata-rata, kerana pastinya peluru penabur Dr. MAZA tidak bermata dan tidak ada deria rasa.

Bagi saya yang tidak sealim Dr. MAZA, pastilah situasi ini tidak bersifat adil bagi sesetengah negeri yang telah berusaha sebaik daya memperkasakan pengurusan zakat. Ini kerana, jika dilihat kepada Pusat Zakat Pulau Pinang sendiri, tempat Dr. MAZA bermastautin dan mencari rezeki, pengurusan zakatnya adalah antara yang terbaik di Malaysia.

Saya tidak tahulah, jika Dr. MAZA tidak mempunyai koneksi dan hubungan yang baik dengan pusat zakat ini. Namun, berdasarkan apa yang saya baca dan saya amati, Pusat Zakat Pulau Pinang telah melaksanakan pelbagai pendekatan demi memastikan pengagihan zakat dibuat secara telus, berkesan dan sistematik.

Bahkan, di samping Pulau Pinang, Selangor juga dilihat antara negeri yang maju pengurusan zakatnya. Berdasarkan paparan berita di laman sesawang Lembaga Zakat Selangor (saya fikir Dr. MAZA patut selalu singgah di portal mereka, klik sahaja di www.e-zakat.com.my), pelbagai mekanisme agihan mereka jalankan. Secara jujur dan sedar, saya fikir mereka juga layak dianggap negeri termaju pengurusan zakatnya — sama ada kutipan mahu pun agihan.

Apa yang menjadi masalah, adalah beberapa buah negeri yang tidak begitu terurus rapi organisasi zakatnya. Dan seperti yang saya nyatakan di atas, sebagai mantan mufti di Perlis Darus Sunnah selama beberapa tahun, apakah tindakan konstruktif Dr. MAZA untuk memperkasakan institusi zakat di sana? Bukankah Dr. MAZA orang paling besar dalam membuat kata putus dalam urusan fatwa? Maka, apakah fatwa-fatwa berkaitan zakat yang boleh dianggap terbaik dalam menanggapi keperluan asnaf zakat di Perlis Darus Sunnah?

Harus kita ingat, Perlis adalah negeri kecil. Namun, dalam negeri sekecil Perlis pun masih ramai orang miskin. Apakah susah bagi Dr. MAZA mempengaruhi pihak pengurusan zakat di negeri yang beliau sendiri menjadi muftinya untuk membuat perubahan mendasar, yang mampu mendatangkan kebaikan secara holistik kepada umat Islam khususnya asnaf zakat dan paling utama, Dr. MAZA mampu meninggalkan satu legasi sebagai contoh nyata pengurusan terbaik di Malaysia kepada semua pihak.

Inilah namanya, medan menyatakan pandangan tidak sama dengan medan merealisasikan harapan. Sebagai seorang pemikir, ada moleknya Dr. MAZA berfikir dan memberikan saranan dan cadangan, agar pengurusan zakat di Malaysia dapat diselaraskan. Bagi saya seorang awam, amat susah menerangkan bila seorang Cina non-muslim menanyakan soalan: “You orang Islam, apa pasal dalam you punya agama, ada banyak beza...satu negeri kata rokok haram, satu negeri kata halal, itu saham sini haram, sana negeri kata halal, sana negeri kata boleh, sini negeri kata no...”

Dr. MAZA, inilah secebis keluhan kami orang awam yang hanya berpandukan panduan para ulama dan umara dalam kehidupan. Hanya kepada Tuhan kami berserah, tempat kami menggantung harapan. Ampun maaf andai ada kekhilafan. Salam Ramadan daripada saya dan semoga Dr. MAZA terus istiqamah menabur ilmu dan menyemai bakti di Malaysia, tanpa ada sebarang keraguan, tanpa segaris ketakutan dan tanpa sekelumit anasir berkepentingan. Wallahua’lam.

* Hudzaifah Al-Yaman adalah pembaca The Malaysian Insider.

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Sabtu, Ogos 20, 2011

Jom Shalawat

Dalam bulan Ramadhan ini, jangan lupa untuk kita memperbanyakkan lagi sholawat ke atas Junjungan Nabi SAW. Tanpa Baginda tidaklah sampai al-Quran kepada kita kerana kepada bagindalah Allah SWT mewahyukan al-Quran. Bagindalah wasithah bagi penyampaian al-Quran kepada umat manusia, justru jangan kita abaikan jasa dan hak baginda yang agung. Maka selain membaca al-Quran yang mulia, jangan pula diabaikan shalawat atas Junjungan SAW, ungkapkanlah ucapan sholawat yang disertai kerinduan dan mahabbah kepada baginda. Para ulama kita terdahulu sungguh bijaksana apabila mereka menghiaskan pada sela-sela sholawat Tarawih dengan ucapan sholawat dan salam ke atas Junjungan SAW. Maka bergemalah ucapan sholawat dan salam tersebut sehingga perlaksanaan tarawih secara berjemaah menjadi meriah dan bersemangat. Namun fenomena akhir-akhir ini di beberapa masjid/surau kek tompek ese ni, suasananya lemah dan layu apabila ucapan sholawat dan salam daripada bilal tiada disambut oleh jemaah. Maka tinggallah kedengaran suara serak-serak basah tok bilal tu sorang-sorang je .... Allahu ... Allah.

Bukankah dalam hadits masyhur yang biasa kita dengar tatkala masuk Ramadhan mengenai doa Jibril ketika Junjungan Nabi SAW naik mimbar, memberi amaran bukan sahaja kepada orang yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi gagal memperolehi keampunan, ianya juga memberi amaran kepada orang yang mendengar nama Junjungan Nabi SAW disebut namun gagal bershalawat ke atas baginda. Untuk lebih menghayati, ese bawakan hadits tersebut:-

Daripada Sayyidina Ka`ab bin 'Ujarah RA yang menyatakan bahawa satu ketika Junjungan Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabat: "Datanglah kamu ke mimbar", maka para sahabat pun datang berkumpul di sekitar mimbar. Ketika baginda menaiki satu anak tangga, baginda mengucapkan "aamiin", ketika baginda menaiki anak tangga kedua, baginda mengucapkan lagi "aamiin", dan ketika baginda menaiki anak tangga ketiga, baginda mengucapkan "aamiin". Apabila baginda selesai berkhutbah dan turun ke bawah, kami bertanya kepada baginda: " Wahai Rasulallah, kami telah mendengar daripadamu pada hari ini sesuatu yang belum pernah kami dengar." Maka Junjungan SAW bersabda: " Bahawasanya Jibril telah muncul kepadaku dan berkata: Kutukanlah bagi sesiapa yang mendapatkan bulan Ramadhan namun gagal memperolehi keampunan bagi dirinya", maka aku pun berkata: "aamiin". Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata: "Kutukanlah bagi sesiapa yang engkau disebut di sisinya, namun dia tidak bershalawat ke atasmu", aku pun berkata; :"aamiin". Ketika aku naik ke anak tangga ketiga, dia berkata: "Kutukanlah bagi sesiapa yang mendapat ibubapanya atau salah seorang daripadanya berusia lanjut, namun mereka berdua tidak menjadi sebab baginya untuk mendapat syurga", aku pun berkata : "aamiin".
Allahu ... Allahu.... ingat wahai ikhwah sekalian, tatkala nama Junjungan SAW disebut, ucapkanlah shalawat. Begitulah juga hendaknya apabila kita mendengar ucapan shalawat ke atas Junjungan SAW, sambutlah juga dengan shalawat, jangan dibiarkan begitu sahaja, takut-takut terkena kutukan Jibril AS yang diaminkan oleh Junjungan Nabi SAW. Sungguh sesiapa yang melalaikan amalan bershalawat, dia pasti akan kerugian yang amat sangat di sana nanti. Shalawat itu antara sebesar-besar amalan untuk kita bertaqarrub kepada Allah SWT sebagaimana kata Syaikh al-`Alim al'`Allaamah Wan Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani rahimahUllah dalam karya beliau yang berjodol "Hadiqatul Azhar war Riyahin" sebagai berikut:-
"Ketahuilah olehmu, bahawasanya shalawat atas Nabi SAW itu setengah daripada sebesar-besar barang yang mendampingkan diri hamba kepada Tuhannya. Dan daripada seelok-elok dan sepatut-patut barang yang dihaluankan (yakni ditujukan) kepada hadratnya SAW kerana syukur baginya atas hidayatnya bagi kita. Dan dengan dialah tertolak sekalian mudarat dan tertarik sekalian manfaat pada dunia dan akhirat."
Makanya, hadir Tarawih jangan lupa menjawab shalawat ke atas baginda SAW. Dan marila kita sempena peristiwa Badar al-Kubra, bermunajat kepada Allah berwasilahkan Shalawat Badar yang masyhur. Moga kita meraih segala keberkatan dunia dan akhirat.


Rabu, Ogos 17, 2011

Akhlak Junjungan SAW

Perang Badar al-Kubra yang berlaku dalam bulan Ramadhan telah menyaksikan berbagai kepayahan dan kesukaran yang ditempohi Junjungan Nabi SAW dan para sahabat baginda sekalian. Jarak antara Kota Madinah dan Badar yang lebih kurang 160 kilometer ditempoh oleh para mujahid ini bersama Sayyidul Mujahidin SAW dengan berjalan kaki dan bergilir-gilir menunggang unta yang hanya 70 ekor. Imam Ahmad bin Hanbal RA dalam musnadnya meriwayatkan bahawa ketika Perang Badar tentera Islam menaiki unta secara bergilir-gilir dengan setiap 3 orang berkongsi seekor unta tunggangan. Maka adalah Junjungan Nabi SAW bergiliran dengan Sayyidina `Ali RA dan Sayyidina Abu Lubabah RA. Ketika tamat masa giliran Junjungan Nabi SAW, maka dua sahabat mulia tersebut berkata kepada baginda: " Wahai Rasulallah, biarlah kami berjalan dan tetaplah tuan atas tunggangan." Namun baginda menolak cadangan dua sahabat tersebut dengan sabdanya:
ما انتما بأقوى مني و لا انا بأغنى عن الأجر منكما
" Kalian tidaklah lebih kuat daripada aku, dan aku tidak kurang mendambakan pahala daripada kalian."

Allahu ... Allah, lihat betapa mulianya akhlak Junjungan Nabi SAW. Betapa tawadhu`nya baginda sehingga baginda menyatakan bahawa baginda juga amat mengharapkan pahala sama seperti para sahabatnya yang mulia. Junjungan Nabi SAW sekali-kali tidak mengambil kesempatan atas para sahabat baginda. Sungguh bertuah sesiapa yang bersahabatkan baginda, tuah yang berpanjangan dari dunia sehingga ke syurga. Teramat kejilah sesiapa yang lancang mulut menghina orang-orang yang menjadikan sahabat baginda. Moga dengan keberkatan Ramadhan dan jah sahabat-sahabat pilihan, para pejuang Badar, kita dirahmati dan diberkati Allah sentiasa.

Mufti Kota Bercahaya, Madinah al-Munawwarah, wali Allah yang tiada tara, Syaikh Sayyid Ja'far al-Barzanji rahimahUllah, penyusun Mawlid Barzanji yang masyhur di alam raya, telah mengarang satu nazam yang indah berisikan tawassul dengan para pejuang Badar, para syuhada` Uhud, para ahli bait dan para ulama dan wali. Himpunan ini beliau namakan dengan "Jaliyatul Kadar bi dzikri asmaa` Ahlil Badri wa Syuhadaa` Uhudis Saadatil Ghurar". Moga-moga dengan membacanya kita memperolehi keberkatan para pejuang tersebut.... Allahumma aamiin.

******************************
Jaliyatul Kadar

Selasa, Ogos 16, 2011

Status Ayah Bonda Junjungan - JAIS

PANDANGAN MENGENAI STATUS IBU BAPA NABI MUHAMMAD S.A.W. MATI DALAM KEADAAN KAFIR ATAU SEBALIKNYA.

ISU DAN MASALAH:-

Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menerima surat aduan bertulis mengenai status keislaman ibu bapa Nabi Muhammad S.A.W yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan bertarikh 30 April 2010 (Jumaat). Persoalan tersebut telah dijawab secara panjang lebar oleh seorang pendakwah dari sebuah IPTS. Dengan menggunakan hujah beberapa hadith, pendakwah tersebut menyimpulkan bahawa ibu Nabi (Aminah) dan bapa Nabi (Abdullah) mati dalam keadaan bukan dalam Islam dan kedua-duanya akan masuk api neraka dan diazab.

Berikutan penjelasan isu di atas, ianya telah menimbulkan sensitif di kalangan umat Islam dan terdapat rungutan supaya jawapan tersebut dikaji semula. Berikut adalah sanggahan terhadap isu tersebut.

PENJELASAN MENGENAI HADITH BERKAITAN BAPA NABI DI DALAM NERAKA

Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Muslim dengan lafaz:

Daripada Hammad ibn Salamah daripada Thabit, daripada Anas ibn Malik RA: “Sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah S.A.W. “Wahai Rasulullah! Di manakah bapaku?” Rasulullah S.A.W. menjawab, “Di dalam neraka.” Tatkala lelaki tersebut berpaling, Rasulullah S.A.W. memanggilnya lalu berkata, “Sesungguhnya bapaku dan bapamu di dalam neraka.”

Keterangan daripada pendakwah tersebut menterjemahkan maksud lafaz hadith secara harfiah: “Sesungguhnya bapaku dan bapamu di dalam neraka.” Tanpa meneliti dengan lebih mendalam pelbagai disiplin ilmu, maka dengan tergesagesa beliau menyatakan bahawa ayahanda Nabi mati dalam kekufuran.

Bahagian Penyelidikan & Pembangunan, JAIS menyanggah pandangan tersebut di atas. Jika diteliti dalam kesepakatan para ahli hadith, mereka mengesahkan bahawa lelaki yang bertanya kepada Rasulullah S.A.W. itu ialah seorang A’rabi (Badwi). Pendapat ini disepakati berdasarkan hadith yang menceritakan kisah yang sama, yang diriwayatkan oleh Mu`ammar daripada Thabit. Tetapi, perbezaan di antara kedua-dua jalan ialah hadith yang diriwayatkan melalui jalan Mu’ammar tidak mempunyai lafaz:

إِنﱠ أَﺑِﻲ وَ أَﺑَﺎكَ ﻓِﻲاﻟﻧﱠﺎرِ

Maksudnya : “Sesungguhnya bapaku dan bapa kamu di dalam neraka.”

Berdasarkan maksud hadith berkenaan jelaslah bahawa lafaz di atas tidak disepakati oleh para perawi hadith.

Hadith yang diriwayatkan oleh Mu’ammar tanpa lafaz tersebut lebih diyakini dari aspek riwayat dan lafaz, menurut ahli hadith, Mu’ammar adalah seorang yang lebih terpelihara hafazannya dan dia tidak menerima sebarang kritikan dari ulama Jarah dan Ta’dil. Tambahan lagi al-Bukhari dan Muslim bersepakat dalam menyatakan keyakinan mereka terhadap Mu’ammar. Ini berbeza dengan situasi Hammad yang hanya diyakini oleh Muslim tetapi tidak di sisi al-Bukhari.

Katakanlah lafaz Hammad ibn Salamah dalam Sahih Muslim di atas adalah dari lafaz Nabi S.A.W. sendiri, maka ia tidak juga boleh dijadikan sandaran dalam menghukum kekufuran ayah Nabi S.A.W. kerana ‘illah dari aspek matan menunjukkan bagaimana Rasulullah S.A.W. menggunakan teknik dan kaedah yang membawa erti kesamaran supaya keadaan menjadi lebih tenang dan terkawal. Rasulullah S.A.W. menggunakan lafaz persamaan kedudukan bagi kedua-dua bapa untuk tujuan-tujuan tertentu.

Di antaranya:

a) Tujuan menyemarakkan semangat mendalami ajaran Islam.

Apabila Rasulullah S.A.W. menyatakan persamaan kedudukan kedua-dua bapa mereka di dalam neraka, wujud persamaan dan tautan hati lelaki A’rabi terhadap Rasulullah S.A.W. dan lebih bersemangat untuk mendalami ajaran Islam.

b) Tujuan mengelak kontroversi ke agama asal.

Sekiranya Rasulullah S.A.W. menyatakan bahawa bapa A’rabi tersebut di dalam neraka, sedangkan bapa Baginda S.A.W. di dalam syurga, maka lelaki A’rabi itu akan merasakan jurang perbezaan di antara mereka berdua dan dikhuatiri perkara ini akan menyebabkan lelaki A’rabi tersebut menjauhi Islam serta kembali murtad.

c) Tujuan menang-menang.

Sekiranya Rasulullah S.A.W. membezakan kesudahan bagi kedua-duanya, dikhuatiri lelaki A’rabi yang terkenal dengan sikap degil dan keras hati akan mengeluarkan kata-kata sumpahan dan cacimaki terhadap Rasulullah S.A.W. yang bakal mengundang laknat dan kemurkaan Allah S.W.T.

d) Tujuan dakwah secara bijaksana.

Teknik yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. bertujuan untuk mengelakkan fitnah dan sebarang kejadian yang tidak diingini terhadap kaum A’rabi dan kaum kerabatnya. Ini juga bertujuan untuk menarik lebih ramai kaum kerabat lelaki A’rabi tersebut memeluk Islam.

Sekiranya dikaji dengan lebih luas lagi, terdapat banyak lafaz-lafaz dari hadith Nabi S.A.W. yang menunjukkan gaya kaedah sebegini. Kerana Nabi S.A.W. adalah seorang yang bijak dalam berdakwah dan berbicara dengan manusia sekadar mana pencapaian akal para pendengarnya.

Apabila berurusan dan berbicara dengan orang Arab Badwi, maka mu’`malah Nabi S.A.W. lebih lembut, mengalah, bertolak ansur dan lunak berbanding dengan mereka yang telah lama memahami serta mendalami Islam.

Selanjutnya jika dikaji secara teliti, terdapat pandangan daripada Hafiz al-Suyuti mengatakan bahawa hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ini diriwayatkan oleh Hammad ibn Salamah dengan makna, bukan dengan lafaz.

Manakala lafaz itu berbunyi :

إِنﱠ أَﺑِﻲ وَ أَﺑَﺎكَ ﻓِﻲاﻟﻧﱠﺎرِ

Ianya merupakan lafaz yang tidak disepakati oleh para perawi dari jalan hadith yang lain. Berdasarkan riwayat Mu’ammar daripada Thabit pula, tidak kedapatan lafaz di atas, akan tetapi diriwayatkan dengan lafaz yang lebih umum.

Dalam riwayat yang lain, dikeluarkan oleh al-Bazzar dalam Musnadnya dan alTabrani di dalam kitab al-Mu’jam al-Kabir dengan sanad rijal yang sahih, daripada Sa’ad ibn Abi Waqqas :

Maksudnya, “Sesungguhnya seorang A’rabi datang bertemu Nabi S.A.W. lalu bertanya, “Wahai Rasulullah! Di manakah bapaku?” Rasulullah S.A.W. menjawab, “Di dalam neraka.” Maka lelaki Badwi tadi bertanya pula, “Di mana pula bapamu?” Rasulullah S.A.W. menjawab, “Tatkala kamu berjalan berhampiran kubur seorang kafir, beritakan kepadanya bahawa dia di dalam neraka.”

Hadith yang diriwayatkan dari Sa’ad ibn Waqqas ini secara jelas menerangkan bahawa lelaki yang bertanya soalan kepada Rasulullah S.A.W. ini adalah seorang badwi. Disebabkan oleh Badwi tersebut dikhuatiri akan murtad kerana imannya belum mantap, kefahamannya mengenai Islam masih cetek. Kerana itu, secara psikologi Rasulullah S.A.W. menjawab sedemikian.

Para ulama menyatakan bahawa lafaz “Abi” di dalam riwayat Muslim bukanlah ditujukan kepada Abdullah kerana tradisi masyarakat Arab ialah mereka memanggil ayah, bapa saudara dan datuk dengan gelaran “Abi”. Ini yang harus difahami dengan jelas oleh para penafsir hadith.

RUMUSAN

Jika diteliti kesimpulan yang diberikan oleh pendakwah dari IPTS itu, beliau menegaskan bahawa berdasarkan hadith-hadith sahih yang dipetik dari Bukhari dan Muslim, jelaslah ibu bapa Nabi meninggal dunia berstatus kafir. Walaupun hadith tersebut sahih dari segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa teks hadith ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ia adalah suatu yang biasa berlaku ketika penafsir berinteraksi dengan hadith. Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadith. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadith itu sendiri yang perlu dipatuhi.

Berdasarkan kaedah-kaedah dalam memahami sesuatu teks hadith, jelaslah bahawa penafsiran hadith di atas tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi S.A.W. kufur dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadith ini tidak boleh diterima kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran. Antaranya, ayat-ayat yang mensabitkan bahawa Nabi S.A.W. adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti dalam Surah al-Syu’ara’ 26 : 219 yang bermaksud, “dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud”. Ibnu ‘Abbas r.a, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi, berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi sa.w. telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi di kalangan nenek moyang yang sujud dan beriman.

Maksud zahir hadith ini juga bertentangan dengan nas-nas al-Quran.

Hal ini menurut satu kaedah bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan para rasul-Nya untuk menyampaikan agama yang benar. Lihat al-Qur’an Surah al-Isrā’ 17 : 15, Surah al-An’ām 6 : 131, Surah al-Syu’arā’ 26 : 208 dan Surah al-Nisā’ 4 : 165. Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad S.A.W. sebelum kebangkitan Baginda. Lihat juga Surah Sabā’ 34 : 44 dan Surah al-Qasas 28 : 46. Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah kedua-dua ibu dan bapa Nabi S.A.W. sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada di zaman yang tiada rasul, menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.

Adalah menjadi suatu kewajipan bagi semua umat Islam termasuk para pendakwah hendaklah meneliti sesuatu hukum itu dengan mendalam dan mengambil kira kesan positif terhadap umat Islam sejagat. Pandangan yang bersifat membina kekuatan umat Islam lebih afdal berbanding mengeluarkan sesuatu kenyataan yang bersifat merendahkan maruah umat Islam di kalangan bukan Islam. Adalah lebih baik dan berakhlak dengan mencontohi akhlak seperti yang ditunjukan dalam al-Qur`an. Jika diteliti dalam al-Qur`an, terdapat satu ayat berbunyi dengan maksudnya “Sesungguhnya mereka yang menyakiti Allah dan RasulNya, mereka dilaknat oleh Allah di dunia dan akhirat serta disediakan bagi mereka azab yang menghinakan.”

Dalam satu kenyataan yang lain disebut : Dan tiadalah perkara yang lebih menyakitkan Rasulullah S.A.W. selain menyatakan bapa Baginda diazab di dalam neraka. Berdasarkan maksud ayat di atas dapatlah difahamkan bahawa umat Islam diperintahkan supaya sentiasa menjaga adab dan menghormati Nabi S.A.W. dan ahli keluarga termasuk kedua ibu bapanya.

Umat Islam tidak dibenarkan untuk menyakiti hati Rasulullah S.A.W. dengan mengeluarkan apa-apa kenyataan sama ada secara tulisan mahupun secara lisan. Adalah amat tidak beradab bagi orang yang sanggup mengeluarkan kata-kata yang secara langsung menyakiti ibu bapa Rasulullah S.A.W. dengan berpandukan hadith-hadith seperti yang dinyatakan di atas.

Justeru, JAIS berpandangan, ibu bapa Rasulullah S.A.W. mati dalam keadaan tidak diazab dan tidak dimasukkan dalam neraka kerana berpandukan ayat al-Qur`an Surah Al-Isra 17 : 16 yang maksudnya : “Dan Kami tidak akan mengazab seseorang pun kecuali telah sampai padanya utusan (dakwah) dan dia enggan menerima”.

Dalam istilah yang lebih mudah difahami, dapat dikatakan bahawa kedua ibu bapa Nabi Muhammad iaitu Aminah dan Abdullah termasuk dalam golongan ahli fatrah iaitu golongan manusia yang tidak sampai dakwah dan golongan tersebut tidak diazab oleh Allah S.W.T. Sementara itu, kebanyakan ulama Shafie berpendapat bahawa ibu bapa Nabi dan ahli keluarganya sebelum kedatangan Islam, adalah berpandukan kepada agama al-Hanifiyyah dan tiada bukti mereka menyembah berhala. Sila lihat Fatwa Mantan Mufti Mesir Asy-Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’iy dalam Al-Fatawa Al-Islamiyyah, 1982.

PENUTUP

Adalah dicadangkan supaya umat Islam tidak membincangkan hadith-hadith yang menjurus kepada timbulnya isu percanggahan pendapat di kalangan para ulama secara terbuka. Dikhuatiri ianya boleh memberi impak negatif terhadap masyarakat awam yang kurang memahami tentang percanggahan pendapat tersebut.

Perbincangan ilmiah berkaitan sesuatu hadith secara tertutup sama ada di kalangan pelajar atau golongan akademi adalah sesuatu yang amat digalakkan, tetapi perbincangan secara terbuka khususnya melalui media massa seperti surat khabar dan sebagainya tidak digalakkan dan hendaklah dihentikan serta merta !

Semua pihak hendaklah berhati-hati dengan mana-mana media yang didapati mempunyai tendensi yang kuat bagi membuka ruang dan peluang memperagakan lslam dengan permasalahan remeh temeh dan sensitif.

Disediakan oleh,
Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan
Jabatan Agama Islam Selangor
Pada: 3 Jun 2010 / 20 Jamadilakhir 1431H

Sabtu, Ogos 13, 2011

Penghuni Hadzhiratul Qudsi

Imam al-Faqih Abul Laits as-Samarqandi al-Hanafi meriwayatkan Sayyidina `Ali RA menyatakan bahawa di antara sebab bagi Sayyidina `Umar RA untuk menganjurkan sholat Tarawih dilaksanakan secara berjemaah adalah kerana satu hadits yang baginda dengar daripada Sayyidina `Ali RA. Hadits tersebut menyatakan bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: "Adalah bagi Allah di sekitar arasy itu satu tempat yang dinamakan sebagai "Hadzhiratul Qudsi" yang dicipta daripada nur. Padanya terdapat malaikat - malaikat yang tiada terhitung jumlahnya melainkan Allah ta`ala. Mereka beribadah kepada Allah `azza wa jalla tanpa henti-henti sepanjang masa. Ketika menjelang malam-malam bulan Ramadhan, para malaikat ini meminta keizinan Allah untuk turun ke bumi agar mereka dapat bersholat bersama-sama anak Adam. Maka turunlah mereka ke bumi pada setiap malam tersebut, lalu sesiapa yang disentuh oleh mereka atau menyentuh mereka nescaya dia akan memperolehi kebahagiaan yang tiada penderitaan setelahnya selama-lamanya". Mendengar sabdaan ini, maka Sayyidina `Umar pun berkata : " Kita lebih berhak untuk ini" (yakni lebih berhak dan perlu untuk memperolehi kelebihan ini), lalu baginda pun menghimpunkan manusia untuk bertarawih secara berjemaah dan menegakkannya. Diriwayatkan bahawa Sayyidina `Ali RA apabila keluar pada malam bulan Ramadhan dan mendengar bacaan al-Quran dari masjid-masjid dan melihat lampu - lampu yang menghiasi / menyinari masjid-masjid tersebut, berdoa dengan katanya: "Semoga Allah menerangi kuburnya `Umar sebagaimana diterangkannya masjid-masjid dengan al-Quran."

Mudah-mudahan masjid-masjid kita juga sentiasa makmur dengan para mushalli yang beribadah dengan tulus ikhlas kepada Allah SWT, bukan sahaja dalam bulan yang mulia ini, bahkan dalam bulan-bulan yang lain juga.