Isnin, Disember 25, 2006
Selasa, Disember 19, 2006
Antara 'Ajwah & Kokka
Antara ciptaan Allah ta`ala adalah satu pokok kayu yang namanya masyhur sekarang, kayu kokka. Ada kekawan yang mintak aku menulis mengenai kayu kokka, sebab ada yang menceritakan khasiat kayu ini dan ada jugak yang menolak, bahkan ada yang menghukumkan syirik jika percaya kepada khasiat kayu tersebut. Bolehkah seseorang menjadi syirik jika percaya kayu kokka ini ada khasiat tertentu ? Memang boleh, jika dii'tiqadkan bahawa kayu tersebut yang mempunyai kuasa dan memberi ta'tsir memberi bekas, tetapi jika tidak ada i'tiqad tersebut, maka di manakah kedudukan syiriknya? Bab syirik ni bukan mudah, ianya termasuk dalam urusan dalaman. Oleh itu, janganlah bermudah-mudah menuduh seorang ahli qiblat sebagai syirik. Besar punya tuduhan tuuuuu.
Jika ada Tok Peti dalam Mesia ni yang kata ianya boleh bawa syirik. Aku kata, betullah tu, bukan sahaja kayu kokka, padi yang jadi beras yang jadi nasik pun kalau silap gaya boleh bawak syirik. Tapi sebagaimana yang aku kata kat atas syirik tu urusan dalaman, silap-silap kalau Tok Peti dok bergantung dengan jawatannya itu hingga lupa i'timad pada Allah pun boleh gak jadi syirik. Oleh itu, jangan gopoh mengeluarkan hukum apatah lagi vonis tuduhan sedahsyat syirik tu. Kesian kat para penjual dan penjaja tu, dituduh agen syirik lagi, sodih...sodih.... tapi aku tengok ada Pak Cik Kayu Kokka tu setiap waktu sholat dia mesti ada di semejid, takkan nak hukum agen syirik. Tapi yang jual kayu kokka pun janganlah lebih-lebih pulak bawak riwayat kelebihan dan kehebatan kayu atau batu, sampai habis sebut tongkat dan bahtera, kalau pun benar kayu kokka itu bahan baku bahtera dan tongkat, maka ianya bukanlah kayu yang dijual tu. Pada yang dok jual menjual ni pun janganlah terlalu ghairah menggunakan ayat-ayat dan hadits-hadits dengan TUJUAN MELARISKAN PERNIAGAAN MEREKA SEMATA-MATA.
Betul ke kayu kokka ni ada khasiat? Entahlah, aku pun tak tahu, tapi sebahagian orang yang tahu habaq memang ada khasiat. Ada gak yang berhujjah, kalau khasiat zahir masuk dek akal, tapi ini sampai setan dan hantu pun takut, ooo tak betul ni, karut ni. Aku nak tanya dua soklan je, Adakah mesti setan takutkan kokka ? Sudah tentu tidak mesti sebab tak dak nash yang shorih habaq setan takutkan kayu kokka. Soklan kedua: Adakah mesti setan tak takutkan kokka ? Sudah tentu tidak mesti juga kerana kita pun tak dapat nak pastikan, mana nash yang kata setan tak takutkan kayu kokka. Jadi yang kita dok kalut nak jawab mende yang mumkin dengan satu definite answer, nape ?
Rahsia-rahsia alam, masih banyak yang belum dijangkau ilmu kita yang sedikit.Dan bukanlah suatu perkara yang mustahil jika benda zahir juga mempunyai khasiat segi batin (sini yang aku maksudkan dengan batin ialah bab-bab tak nampak dek mata zahir le, seperti sihir, jin dan setan ni, bukan batin SX18 ke atas.) Contoh yang betul dan benar ialah khasiat kurma 'Ajwah atau kurma Nabi. Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud dan Imam Ahmad telah meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:
"Sesiapa yang makan pada waktu pagi akan 7 biji kurma 'Ajwah, tidak akan memberi mudarat kepadanya racun dan sihir pada hari tersebut (yakni dia akan dipelihara sepanjang hari itu dari bahaya racun dan sihir)."Sihir tu mende, dapat tengok ke dengan mata, kesannya bolehlah dilihat. Jadi ada benda zahir macam buah kurma tu punya khasiat bersifat batin yakni menyelamatkan daripada sihir. Jadi idaklah mustahil, jika Allah meletakkan sejenis khasiat pada kayu kokka tersebut yang menyebabkan hantu dan setan takut. Ini sekadar contoh sahaja, bukanlah aku nak samakan khasiat kurma 'ajwah yang sabit melalui lidah ash-Shodiqul Mashduq dengan khasiat kayu kokka yang aku pun tak tahu mana datang khasiatnya. Tapi mungkinlah ahli-ahli perubatan tradisional yang telah melakukan tajribah mereka terhadap kayu kokka dan membuat kesimpulan bahawa khasiat kayu ni begini - begini. Ini semuanya benda mumkin, yang kita nak gaduh kata mustahil sebab apa ? Tok Guru aku dulu pun habaq yang tasbih kayu kokka ni elok dan ada khasiat-khasiatnya, tapi idaklah Tok Guru aku tu sebut pasal Tongkat Nabi Musa a.s. dan Bahtera Nabi Nuh a.s.
La ni, aku nukilkan sahaja buat tatapan kalian, beberapa khasiat kayu kokka. Ini bukan aku punya kata dan bukan jugak kata Tok Guru aku tu, tapi ini aku nukil saja daaa, sebab aku ni jahil tak reti apa. Allahu...Allah, bab kayu pun aku tak reti, inikan pula bab ilmu wahyu....Allahu...Allah. Jadi nak bergaduh, carilah tuan-tuan punya nukilan yang aku nukilkan di sini.
Pertama khasiat kayu kokka sebagaimana disebut dalam buku "Mushaf * Tasbih * Tongkat - Koleksi Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu`izzaddin Wad daulah" susunan Pehin Mufti Negara Brunei Darussalam, Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned (mufti sekarang ini) yang diterbitkan pada tahun 2001 oleh Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam. Pada halaman 235 - 236 dinyatakan:-
Terdapat tiga jenis kayu kuka asli, iaitu Kuka Nigeria, Kuka Iran dan Kuka Turki. Kayu Kuka dipercayai mempunyai khasiat yang banyak. Antara lain khasiat tasbih kayu kuka ini adalah seperti berikut:-Wah, wah, wah, itu antara khasiatnya. Semuanya, insya-Allah, jadi nak pakai pakai, tak nak sudah. Bagi yang pakai aku nasihatkan jangan pergi taman ular karang tak pasal-pasal ular yang tak berdosa tu patah tulang belikatnya.... hehehe.... melawak je. Allah yang Maha berkuasa, jangan lupa, bukannya kokka dan bukan jugak 'Ajwah.
- Air yang telah direndam dengan tasbih kayu kuka boleh dibuat sebagai penawar atau ubat untuk:- (1.1) Sakit gigi - airnya diminum dan dikumur dalam mulut. (1.2) Sakit kerongkong, seperti tonsil, guam dan ruam - airnya diminum dan dititikkan dalam mulut. Insya-Allah. (1.3) Keracunan - airnya diminum. Insya-Allah. (1.4) Demam panas - airnya diminum. Insya-Allah.
- Jika tasbih kayu kuka dipakai di badan dengan syarat ianya menyentuh kulit badan, ia boleh jadi penawar kepada: (2.1) Gigitan dan sengatan binatang berbisa seperti ular tedung - letakkan tasbih itu di tempat gigitan / sengatan. (2.2) Kemalangan - Dengan pertolongan Allah, jika seseorang itu membawa tasbih kayu kuka, Insya-Allah terselamat daripada nahas dan kecederaan. (2.3) Melecur air atau minyak panas - kulit tidak melecit dan rasa panas / sakitnya hanya sebentar. (2.4) Khianat orang terhadap pemakainya - tidak berjaya. (2.5) Menjadi pemanis - pemakainya akan disukai ramai.
- Tasbih kayu kuka boleh dibuat penawar kepada: (3.1) Rasukan makhluk halus - jika kanak-kanak dirasuk hantu, gosokkan tasbih kayu kuka di dahinya. Insya-Allah. (3.2) Sakit kepala - gosokkan di bahagian kepala yang berkenaan. Insya-Allah. (3.3) Sakit otot dan urat - gosokkan di tempat yang sakit. Insya-Allah.
- Sekiranya tasbih kuka diletakkan berhampiran ular berbisa seperti tedung dan senduk, ular akan lemah kerana tulang belikatnya patah.
Sesuatu yang menarik, kalu pun tidak pada kome tapi pada aku, ialah ada jugak tokoh sunnah (baca: salapi, dengan huruf "p" untuk membezakan salafus sholeh yang terdahulu) yang menulis berhubung dengan khasiat kayu kokka ni. Ustaz 'Abdullah al-Qari bin Haji Salleh, antara penulis yang dikenali ramai kerana dia antara yang produktif menterjemah dan mengarang buku-buku keagamaan menurut pemahamannya. Dalam bukunya yang berjodol "Ensiklopedia Herba-Herba Sekeliling Kita" halaman 150 dia menyatakan seperti berikut:-
Kok Kak : Takuk: Sejenis pokok yang agak luar biasa khasiyat dan mahal nilainya:-
- Menjadikan cerdas: selalu dipakai sebagai cincin.
- Tahan sakit: diletakkan di tempat sakit (yang berpunca daripada syaitan atau hantu).
- telah ditapis oleh lembaga penapisan blog, kalau nak tahu sila contact Ustaz 'Abdullah atau beli je buku tu.
- Ditakuti syaitan / hantu: syaitan / hantu terhalang dari memasuki rumah yang ada kayu ini.
- Sakit Pinggang: dia direndam dan airnya diminum.
- Sawan: dia direndam, airnya diberi minum kepada anak; dan juga disapukan ke muka.
- Demam Panas: seperti no.6 juga.
- Sakit Gigi: dia direndam dan airnya dimasukkan ke lubang gigi dengan minyak panas yang dicelup dengan kapas.
- Bengkak: dia diletakkan di tempat bengkak.
Sabtu, Disember 16, 2006
Tawhid 2 - Dr. Uthman
Tawhid 1 - Dr. Uthman
Khamis, Disember 14, 2006
Haul Syaikh Utsman Sarawak
Naskhah kitab ini yang ada pada aku ialah naskhah cetakan pertama tahun 1340H cetakan Mathba`ah al-Ahmadiyyah, Singapura. Pada helaian pertama terjemahan Manaqib ini ditulis:-
Bermula ini manaqib dibaca pada tiap-tiap malam Jumaat bagi orang yang kuasa dan dengan tertentu pula pada 23 daripada bulan Dzil Qa`edah.Tetapi sepanjang usiaku belum lagi aku menemui anak negeriku yang melakukan majlis pembacaan manaqib ini secara berjemaah seperti yang berlaku dalam peringatan haul di Tanah Jawa. Mungkin haul Syaikh Utsman hanya dibuat secara kecil-kecilan sahaja oleh anak keturunan beliau yang masih ada lagi di Sarawak dan di Makkah. Mudah-mudahan anak cucu beliau akan meneruskan perjuangan nenda mereka ini dengan sebaik mungkin dan mempelajari sejarah hidup nenda mereka ini agar dapat dijadikan contoh dan tauladan. Inilah yang menggerakkan hatiku untuk menulis berhubung tarikh kewafatan dan haul ulama besar ini, agar dapat diketahui dan diperingati oleh ikhwah sekalian umumnya dan anak negeriku khususnya. Harap kesudian kalian menghadiahkan sekalung al-Fatihah buat ulama yang berjasa ini, ulama yang telah mencetak anak-anak murid yang kemudiannya menjadi pembela dan penjaga pegangan anak negeriku dari terhakis akibat penjajahan orang putih. Sayogia, jasa dan budi beliau dikenang sepanjang masa, sesungguhnya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:
"Sesiapa yang tidak tahu berterima kasih kepada manusia, maka tidaklah dia tahu bersyukur kepada Allah."Untuk mengambil berkat aku nukilkan di sini sedikit pribadi Syaikhuna Utsman as-Sarawaki sebagaimana dicatat oleh Syaikhuna Zainuddin as-Sarawaki dan diterjemahkan dalam Bahasa Melayu kita:
- Adalah almarhum itu mudah-mudahan merahmat akan dia oleh Allah ta`ala banyak diam dan perangainya itu murah
- Dan tingkah lakunya merendah akan diri dan memuliakan segala orang 'alim
- Dan adalah sangat cermat atas mencapai pemandai dan adab
- Lebih daripada cermat manusia atas perak dan mas
- Dan thoma` ia pada mengikut jalanan sebaik-baik 'Ajam dan 'Arab
- Iaitu Rasulullah s.a.w. terlebih kuat dan terlebih sampai daripada thoma` (Asy'ab) iaitu seseorang yang masyhur dengan thoma` pada orang 'Arab
- Bermula malamnya melihat kitab dan menyebut akan Tuhannya
- Dan siangnya mengajar dan berfikir
- Kasih ia akan segala orang yang miskin dan faqir
- Dan menjauh ia akan dirinya daripada mereka yang mempunyai fasik dan pembohong dan mempunyai takabbur
- Memulia ia akan segala anak-anak yatim
- Dan memberi ia akan makanan kepada orang-orang dan melembut akan perkataan
- Dan adalah ia membesar akan tiap-tiap orang yang terbangsa ia bagi ilmu hingga segala anak-anak yang baharu belajar
- Dan tiada didengar bahawasanya mengumpat akan seseorang atau menyalahi ia akan dia atau menyumpah akan dia
- Dan apabila berkata, benar ia pada perkataannya
- Dan apabila orang bercakap baginya dibenarkannya
- Dan adalah ia sentiasa mengekali atas membuat segala kebajikan dan taat
- Dan membesar ia bagi segala bangsa Syarif - Syarif dan Sayyid - Sayyid
- Dan adalah ia menunduk kepalanya kerana malu
- Dan tiada ia beramal kerana mintak puji
- Hingga mendatangkan akan dia oleh mati
- Maka bahawasa sesungguhnya kami bagi Allah dan kepadaNya jua kembali kami.
Jikalau adalah engkau yang mempunya akal, maka hendaklah engkau membanyakkan sholawat * Atas Nabi Muhammad dan atas keluarganya ahli menyempurna
Maka dengan sholawat ini mencapai engkau akan syafaat dan keuntungan * Dan sejahtera dan terpelihara daripada orang yang jahat dan derhakaMarilah kita memperbanyakkan bersholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. sebagai pesanan Syaikhuna Utsman bin 'Abdul Wahhab as-Sarawaki rhm.
Mudah-mudahan merahmat oleh Tuhan atas Nabi Muhammad dan keluarganya * Selama-lama ada bumi dan yang didalamnya menyempurna
Isnin, Disember 11, 2006
Jabal Abi Qubais
Dan seawal-awal jabal yang diletakkan Allah atas bumi adalah Abu Qubais, kemudian terpencar (tersebar) darinya segala jabal. Ibnu 'Asaakir menyatakan bahawa dalam sanad hadits ini ada rawi yang majhul dan bahawasanya ianya dihafaz / diterima daripada perkataan 'Atho`.
Dalam sebahagian kitab-kitab tafsir seperti "Tafsir al-Jalalain" dan "Tafsir al-Qurthubi", dalam memberikan tafsiran bagi firman Allah s.w.t. yang kira-kira bererti:- "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh", (al-Hajj: 25 - Tafsir Pimpinan ar-Rahman") menyatakan bahawa seruannya Nabi Ibrahim ini dilakukan baginda dari puncak Jabal Abi Qubais. Imam al-Qurthubi meriwayatkan dalam tafsirnya tersebut daripada Sayyidina Ibnu 'Abbas r.a. dan Sayyidina Ibnu Jubair r.a. yang menceritakan bahawa setelah Nabi Ibrahim menyelesaikan pembinaan Baitullah, maka Allah berfirman kepada baginda: "Serukanlah segala manusia untuk mengerjakan haji." Maka Nabi Ibrahim bertanya: "Wahai Tuhan, adakah seruanku akan sampai kepada mereka"? Allah menjawab: "Serulah dan atas Akulah menyampaikannya." Lalu naiklah Nabi Ibrahim Khalilullah akan Jabal Abi Qubais dan berteriaklah baginda dengan katanya: "Wahai manusia ! Bahawasanya Allah telah memerintahkan kamu untuk menunaikan haji ke Baitullah ini, untuk diganjari kamu dengan haji tersebut akan syurga dan diselamatkan kamu daripada azab neraka, maka berhajilah kamu." Seruan Nabi Ibrahim ini telah dijawab oleh segala roh manusia yang berada di tulang-tulang sulbi lelaki dan rahim-rahim perempuan dengan ucapan talbiyyah "LaibaikAllahumma labbaik", sesiapa yang menjawabnya pada hari tersebut maka dia akan berhaji sebanyak mana jawapannya, jika menjawab sekali akan berhaji sekali dan jika dua kali akan berhaji dua kali, dan dari sinilah bermulanya ucapan talbiyyah yang menjadi semboyan atau syiar para hujjaj. Selain daripada itu, diriwayatkan juga bahawa batu-batu yang digunakan untuk membina Baitullah yang mulia diambil dari Jabal Abi Qubais.
Terdapat juga riwayat yang menyatakan bahawa mukjizat Junjungan s.a.w. membelah bulan berlaku di Jabal Abi Qubais, di mana setelah diminta oleh kaum musyrikin Makkah agar Junjungan Nabi s.a.w. memperlihatkan satu mukjizat, maka baginda dengan tunjukan jari baginda yang mulia telah membelah bulan menjadi dua belahan, sehingga disaksikan oleh kaum musyrikin Makkah bahawa bulan benar-benar terbelah dua, satu belahan di atas Jabal Qubais, manakala belahan keduanya pergi ke Jabal Qu`ayqa`aan (Jabal Qiiqa`aan atau Jabal Hindi).
Selain peristiwa tersebut, sebahagian mufassir juga menceritakan bahawa tatkala turun firman Allah s.w.t yang kira-kira bererti:- "Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat." (asy-Syu`araa`: 214 - Tafsir Pimpinan ar-Rahman), yang memerintahkan dakwah secara terang-terangan kepada kaum kerabat baginda, maka Junjungan Nabi s.a.w. membuat seruan tersebut dari Jabal Abi Qubais Ini adalah mengikut riwayat sebahagian mufassir, manakala sebahagian lain menyatakan baginda melakukan seruan dakwah tersebut dari Bukit Shofa. Kedua-dua riwayat ini tidaklah bercanggah kerana Jabal Shofa tempat memulakan ibadah sa`ie, terletak di hujung Jabal Abi Qubais dan merupakan sebahagian daripada jajaran Jabal Abi Qubais, manakala Jabal Marwah berada di permulaan jajaran Jabal Qiiqa`aan / Jabal Qu`ayqa`aan / Jabal Hindi.
Berbalik kepada peristiwa Nabi Ibrahim a.s. membuat seruannya agar umat manusia menunaikan haji dari atas Jabal Abi Qubais, maka dahulu ramai orang naik ke atasnya untuk berbuat sedemikian kerana mengambil sempena. Dahulu di atas puncak bukit tersebut ada sebuah masjid kecil yang dinamakan Masjid Bilal. Menurut cerita sesetengah orang, masjid tersebut dibina atas tapak di mana Nabi Ibrahim membuat seruan baginda tersebut. Oleh itu, maka sebagai menelusuri jejak sejarah dan mengambil sempena, manusia datang menziarahi masjid tersebut untuk "melambai", yakni berdoa agar ahli keluarga dan rakan taulan yang belum berkesempatan datang ke Baitullah diberi peluang untuk ke sana. Alhamdulillah, musim haji tahun 1974, aku sempat menaiki Jabal Abi Qubais dan menziarahi masjid tersebut dan memang Baitullah nampak dengan jelas dari sana. Sekarang, semua ini sudah tidak ada lagi, kerana kini tiada lagi rumah, tiada lagi rubath, tiada lagi masjid atas Jabal Abi Qubais, yang ada hanyalah istana mewah keluarga Sa`ud....Allahu .... Allah.
Pemusnahan dan penjarahan tempat-tempat bersejarah di Tanah Suci hingga kini berterusan atas nama pembangunan dan pemodenan. Tidak mustahil satu hari di masa hadapan, masjid agung Makkah ini akan dikelilingi bangunan - bangunan moden pencakar langit kerana sekarang pun telah ada pencakar langit berupa hotel mewah bersebelahan Masjidil Haram yang mulia. Harap-harap janganlah berlaku di masa hadapan di mana jika bukan kerana Masjidil Haram, Baitullah, dan suasana ibadah, manusia merasakan dirinya berada di Kota New York yang penuh pencakar langit (kata orang le...sebab aku belum pernah lagi ke New York). Mudah-mudahan segala tempat bersejarah ini tetap dikenang dan dikenali umat.
Khamis, Disember 07, 2006
Hadits Jariah - Imam Muslim
Untuk posting ini aku nukil yang diriwayatkan Imam Muslim dalam "al-Jami` ash-Shohih" jilid 1, juzuk 2, halaman 70 - 71, kitab al-masaajid wa mawaadhi` ash-sholaah, bab tahriim al-kalaam fi ash-sholaah wa nasakha maa kaana min ibaahatih. Ianya adalah sebahagian daripada hadits yang panjang yang menceritakan kisah Sayyidina Mu`aawiyah bin al-Hakam as-Sulamiy r.a. mentasymit seseorang yang bersin ketika bersholat di belakang Junjungan Nabi s.a.w., lalu selesai sholat dia ditegur oleh Junjungan Nabi s.a.w. dengan menyatakan bahawa dalam sholat tidak boleh berbicara selain daripada tasbih, takbir dan pembacaan al-Quran. Setelah itu Sayyidina Mu`aawiyah telah bertanya beberapa persoalan kepada Junjungan Nabi s.a.w. dan di antaranya ialah mengenai permerdekaan seorang hambanya (jariahnya) yang telah ditempelengnya. Untuk ringkas aku tidak nukilkan keseluruhan hadits tersebut, cuma aku letakkan di sini bahagian akhirnya berhubung dengan kisah jariah tersebut.
Pada halaman 71, jilid 1, juzuk 2 kitab tersebut, Imam Muslim rhm. meriwayatkan, antara lain, sebagai berikut:
" (Telah berkata Mu`aawiyah bin al-Hakam as-Sulamiy) Aku mempunyai seorang jariah yang menggembala kambingku di sebelah bukit Uhud dan al-Jawwaniyyah. Suatu hari ketika aku menjengoknya, tiba-tiba seekor serigala telah melarikan seekor kambing dari gembalaannya. Dan aku sebagai seorang manusia menjadi marah sebagaimana manusia lainnya, lalu aku menampar mukanya sekali. Kemudian aku mendatangi Junjungan Nabi s.a.w. dan baginda memandang serius perbuatanku yang sedemikian (yakni menampar muka si jariah tersebut). Aku berkata kepada Junjungan Nabi s.a.w.: "Wahai Rasulallah, adakah kumerdekakan dia", (yakni sebagai menebus kesilapan menampar tadi, dia hendak memerdekakan si jariah tersebut) ? Junjungan Nabi s.a.w. menyuruh agar si jariah didatangkan kepada baginda. (Apabila si jariah berada di hadapan Junjungan Nabi s.a.w.), Junjungan Nabi s.a.w. bertanya kepadanya: "Di manakah Allah ?" Jariah tersebut menjawab: " Di langit." Junjungan s.a.w. bertanya lagi: "Siapakah aku?", jariah tersebut menjawab: "Engkau Rasulullah." Junjungan bersabda: "Merdekakanlah dia, bahawasanya dia seorang wanita yang beriman."
Itulah matan hadits mengenai jariah tersebut, manakala di pinggir atau tepi halaman yang sama tercatat nota tepi seperti berikut:
Perkataannya (yakni perkataan dalam matan hadits) - "Dia (si jariah) berkata: "Di langit," - yakni (sebagai membuktikan) bahawasanya dia bukan termasuk dalam golongan yang menuhankan selain Allah yang Maha Gagah yang kegagahan dan keperkasaanNya mengatasi segala hamba dan tidak ada sesuatu pun yang menyerupaiNya. Dan dikatakan bahawasanya tafsir bagi firman Allah : "Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan (yang pusat pemerintahanNya) di langit itu ..." (al-Mulk: 16 - Tafsir Pimpinan ar-Rahman), tafsir "Dia yang di langit" itu ialah Allah ta`ala dengan takwil kekuasaanNya (yakni ditafsirkan dengan takwil seperti dikatakan "Allah yang (kekuasaanNya) di langit" atau "Allah yang (pusat kekuasaanNya atau pemerintahanNya) di langit", bukan hanya ditafsirkan dengan semata-mata makna "Allah yang di langit")Sekarang, mari ikhwah lihat apa perkataan Imam an-Nawawi rhm. berhubung hadits ini. Komentar Imamuna an-Nawawi ini terdapat dalam syarahnya yang masyhur atas Shohih Muslim iaitu "Shohih Muslim bi syarhi al-Imam an-Nawawi", jilid 3, juzuk 5, halaman 24, di mana Imam an-Nawawi menyatakan, antara lain:-
Sabda Junjungan Nabi s.a.w. ("Di manakah Allah ?" Jariah tersebut menjawab: " Di langit." Junjungan s.a.w. bertanya lagi: "Siapakah aku?", jariah tersebut menjawab: "Engkau rasulullah." Junjungan bersabda: "Merdekakanlah dia, bahawasanya dia seorang wanita yang beriman."). Hadits ini adalah daripada hadits-hadits sifat yang dalam memahaminya ada 2 mazhab (jalan atau cara) yang mana kedua-duanya telah dinyatakan terdahulu dalam kitab al-iman (yakni pada awal atau permulaan kitab).Diharap ikhwah yang budiman boleh memahami akan perkara ini dengan sebenar-benar faham. Jelas sudah mengikut Imam an-Nawawi yang menukilkan kalam Qadhi 'Iyaadh yang menyatakan bahawa dengan ayat-ayat atau hadits-hadits sifat yang mutasyabbihat, maka ianya ditanggapi dengan 2 cara atau kaedah, iaitu ditakwilkan secara ijmal dengan mentanzihkan Allah daripada menyerupai makhlukNya yang baharu dan ditafwidhkan maknanya terus kepada Allah semata-mata, tanpa sebarang komentar. Ini yang diisyaratkan oleh Imam Ibnu Hajar al-'Asqalaani yang menyebut dalam "Fathul Bari" bahawa Imam al-Baihaqi telah meriwayatkan dengan sanad yang shohih daripada Imam Ahmad bin Abi al-Hawaari bahawasanya Imam Sufyan bin 'Uyainah rhm berkata: "Segala sifat yang difirmankan Allah bagi diriNya dalam al-Quran, maka tafsirannya ialah pembacaan ayat tersebut dan diam daripada membicarakannya." Hal ini jugalah dinyatakan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam "Fatawa Haditsiyyah" yang menyatakan bahawa sesungguhnya khilaf ulama salaf dengan ulama khalaf hanyalah pada penggunaan takwil tafshil sahaja, di mana ulama salaf lebih mengutamakan takwil secara ijmal dan mendiamkan diri daripada berbicara lebih lanjut mengenainya kerana keelokan zaman mereka itu menyebabkan perbahasan panjang lebar mengenai hal ini tidak diperlukan. Tetapi para khalaf mengutamakan takwil secara tafshil kerana zaman mereka telah banyak manusia-manusia yang rosak, ahli-ahli bid`ah dan sebagainya.
Jalan yang pertama ialah beriman dengannya (yakni dengan hadits tersebut) tanpa mendalami apa yang dimaksudkannya disertai dengan i'tiqad bahawasanya Allah ta`ala itu tidak menyerupai sesuatu apa pun dan mensucikanNya daripada segala tanda-tanda atau sifat-sifat makhluk.
Jalan yang kedua pula ialah mentakwilkan hadits tersebut dengan apa yang layak bagi Allah. Maka sesiapa yang berpegang dengan jalan yang kedua ini, berpeganglah dia dengan bahawasanya yang dimaksudkan dengan hadits tersebut ialah Junjungan Nabi s.a.w. menguji jariah tersebut untuk mengetahui sama ada dia seorang ahli tawhid yang mengakui Maha Pencipta, Maha Pentadbir dan Maha Pembuat adalah Allah semata-mata, yang mana Dialah Tuhan yang apabila seseorang memohon kepadaNya maka dia menghadap ke langit sebagaimana apabila seseorang sembahyang dia menghadap kaabah, dan tidaklah perlakuan sedemikian ini (yakni menghadap ke langit ketika berdoa atau menghadap kaabah ketika bersholat) menunjukkan bahawasanya Allah terbatas di langit sebagaimana juga tidaklah Dia terbatas pada jihat (arah) kaabah (yakni Allah tidak dibatasi oleh sebarang tempat kerana Dia Maha Suci daripada segala tempat dan arah, subhanAllah). Bahkan perbuatan menghadap ke langit itu adalah kerana langit itu adalah kiblat orang yang berdoa sebagaimana kaabah itu kiblat bagi orang yang sholat. Atau si jariah tadi ialah seorang penyembah segala berhala yang menyembah berhala-berhala tersebut di hadapan mereka (yakni di sisi atau bersama mereka di bumi), maka tatkala dia menjawab: "Di langit," diketahuilah bahawasanya dia seorang ahli tawhid dan bukannya seorang penyembah berhala (yakni jika jariah tersebut seorang penyembah berhala, nescaya dia tidak akan menjawab bahawa Allah Tuhannya di langit, tetapi dia akan menunjukkan berhala yang disembahnya yang berada bersamanya di bumi ini).
Telah berkata al-Qaadhi 'Iyaadh: "Tidak ada khilaf di kalangan umat Islam sekaliannya (qaathibatan), ahli-ahli fiqh mereka, ahli-ahli hadits mereka, ahli-ahli kalam mereka, para pemuka dan pengikut mereka bahawasanya segala nas yang pada zahirnya menyebut Allah di langit seperti firman Allah ta`ala: "Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan (yang pusat pemerintahanNya) di langit itu, menunggang-balikkan bumi menimbus kamu,.....( al-Mulk: 16 - Tafsir Pimpinan ar-Rahman) dan ayat-ayat yang seumpamanya tidaklah diertikan atau dimaknakan secara zahir bahkan ditakwilkan di sisi mereka semua (yakni semua umat Islam, salaf dan khalaf semuanya mentakwilkan nash-nash ayat dan hadits tersebut, cuma kebanyakan ulama salaf mentakwilkannya secara ijmal sahaja dan mentafwidhkan makna hakikinya kepada Allah semata-mata, sekali-kali tidak mereka berpegang dengan makna zahir ayat dan hadits tersebut, bahkan mereka takwilkan maknanya dengan mengakui kelemahan fikiran mereka untuk memahami makna hakikinya lalu mereka mensucikan Allah dari menyerupai makhlukNya serta menyerahkan bulat-bulat makna dan pengertian ayat atau hadits tersebut kepada Allah s.w.t. sahaja, manakala kebanyakan ulama khalaf mentakwilkannya dengan tafshil).
Untuk memperjelaskan lagi, yang dimaksudkan dengan takwil ijmal itu ialah lencongan makna kalimah dengan ringkas tanpa memberi erti alternatifnya. Contoh, kalimah al-yad yakni tangan, jika dikatakan "Tangan Allah atas segala tangan mereka", maka takwil ijmalnya ialah kalimah tangan di sini dilencongkan maknanya dari pengertian biasa sebagai satu anggota atau satu juzuk tubuh badan kepada makna selain pengertian biasa tersebut, iaitu ianya bukan membawa erti satu anggota atau satu juzuk daripada Dzat Allah yang Maha Mulia, tetapi ianya adalah satu sifat yang tidak kita ketahui akan hakikatnya dan Allah sahaja yang mengetahui hakikatnya. Maka tangan yang asal maknanya satu juzuk anggota dilencongkan maknanya kepada satu sifat yang lemah akal kita untuk memahami hakikatnya. Inilah takwil ijmal perlakuan kebanyakan salaf. Tidaklah mereka beri'tiqad bahawa Allah itu bertangan dengan tangan yang layak bagi Dzatnya. Ini bukan i'tiqad para salaf, tetapi i'tiqad orang-orang yang mengaku salaf zaman ini. Bila salaf kata tangan Allah, ia merujuk kepada satu sifat dan bukan satu juzuk atau satu anggota daripada Dzat yang Maha Mulia, subhanAllah, Maha Suci Allah daripada berjuzuk-juzuk dan beranggota-anggota. Kaedah ini memang lebih selamat (aslam), kerana hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui, tetapi bagi kalangan awam yang hanya duduk mendengar - dengar sahaja mungkin dikhuathiri membawa fitnah kerana awam akan memahami kalimah tangan itu dengan makna lazim iaitu satu anggota, lalu beri'tiqadlah si awam bahawa Allah juga beranggota kerana mempunyai tangan, cuma tanganNya tidaklah seperti tangan makhluk, iaitu tangan yang layak bagi DzatNya, subhanAllah, ini tidak lain melainkan i'tiqad hasywiyah dan mujasimah yang mentasybih serta mentajsimkan Allah, subhanAllah. Oleh itu, apabila sampai zaman khalaf, di mana manusia-manusia terutama golongan awam sudah mengutamakan dunia daripada akhirat, di mana banyak juhala` berbanding 'ulama, maka para Khalaf yang merupakan pewaris para salaf mentakwilkan ayat-ayat dan hadits-hadits mutasyabbihaat ini dengan takwil tafshil demi menutup jalan bagi awam untuk berfikir yang bukan-bukan terhadap Dzat Allah yang Maha Mulia. Maka ditakwilkan tangan itu kepada kekuasaan dan sebagainya, maka bila dikatakan "Tangan Allah di atas segala tangan mereka", ditakwilkanlah secara tafshil sebagai "Tangan yakni kekuasaan Allah mengatasi segala kekuasaan mereka". Maka terhindarlah orang awam daripada berfikir yang bukan-bukan, oleh itu dikatakan bahawa jalan khalaf ini lebih ahkam yakni lebih mantap kerana ianya memantap dan menetapkan pegangan awam serta mencegah mereka daripada mengkhayal-khayalkan sifat yang tidak layak bagi Allah, seperti menyerupai akan segala makhluk yang baharu.
Harap segala ikhwan, baik lelaki maupun perempuan, khuntsa pun jika ada, faham betul-betul akan bahasan ini. Jika masih belum faham, maka diam itu keselamatan sebagaimana sabdaan Junjungan Nabi s.a.w. : man shomata najaa (yakni "Sesiapa yang mendiamkan diri, selamat"), dan duduklah tuan dan puan, sidi dan siti di hadapan para ulama tuan-tuan guru dengan mengaji menadah segala kitab peninggalan para ulama salaf dan khalaf. Sesungguhnya ilmu itu cahaya, bertambah ilmu nescaya bertambah cahaya, insya-Allah, tapi syaratnya hendaklah ilmu yang naafi` yang bermanfaat, bukan ilmu semata-mata ilmu untuk berjidal dan bermegah-megah.
Berbalik kepada hadits jariah tadi, maka selain penjelasan di atas, ada lagi penjelasan dan keterangan lain daripada para ulama kita dari berbagai aspek bahasannya. Dari semua penjelasan tersebut, maka mereka menyimpulkan bahawa apa yang dimaksudkan oleh hadits tersebut bukanlah menetapkan tempat bagi Allah. Oleh itu, sesiapa yang mengatakan bahawa Allah itu bertempat di sesuatu tempat seumpama langit, maka menyalahilah dia akan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah, jadi janganlah dok perasan bahawa dirinya pembela Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Dan tidaklah tepat baginya untuk menjadikan hadits jariah ini sebagai hujjah untuk mensabitkan bahawa Allah bertempat di langit. Apatah lagi hadits ini walaupun shohih tidaklah mencapai darjat mutawatir. Maka apa caranya dia hendak menjadikan hadits ini sebagai hujjahnya untuk menyesatkan orang yang tidak sependapat dengan i'tiqad hasywiyahnya itu. Perkara ini adalah antara kesimpulan yang telah ditekan dan diperjelaskan oleh mantan Mufti Tunisia, Syaikh Muhammad Mukhtar as-Salaami (hafizahUllah).
Bahkan, jika dilihat "Shohih Muslim", kita dapati bahawa Imam Muslim rhm sendiri tidak meletakkan hadits ini dalam himpunan hadis-hadis yang berhubung dengan keimanan dan pegangan aqidah tetapi beliau meletakkannya dalam himpunan hadis-hadis hukum fiqh berhubung hukum hakam sembahyang yang kemudiannya diberikan nama babnya oleh ulama sebagai kitab al-masaajid wa mawaadhi` ash-sholaah, bab tahriim al-kalaam fi ash-sholaah wa nasakha maa kaana min ibaahatih (kitab mengenai masjid-masjid dan tempat-tempat sembahyang, bab haram berkata-kata dalam sembahyang serta menasakhkan riwayat yang mengharuskan berkata-kata dalamnya). Maka isyaratnya ialah hadits ini hanyalah untuk dijadikan hujjah dalam bab-bab fiqh semata-mata. Menjadikannya sebagai hujjah dalam mensabitkan secara qathi`e akan usul aqidah menunjukkan lemahnya si penghujjah itu daripada memahami uslub dan kaedah dalam menetapkan 'aqidah pegangan umat ini. Oleh itu, jika datang kepada ikhwah akan orang yang hendak berhujjah untuk menetapkan Allah bertempat di langit dengan hadits ini, maka katakanlah kepadanya dengan lemah-lembut dan elok perkataan "keribang rebus, pegi belajar lagik....." dengan nada yang lemah lembut....hehehe....jangan marah noooo.... melawak jee.
Isnin, Disember 04, 2006
Ratib al-Haddad
"Bahawasanya sesiapa yang membaca ratib ini teristimewa lafaz tahlilnya dengan adab, hudhur hati, yakin dan niat (ikhlas bertaqarrub kepada Allah) dan menyempurnakan tahlilnya 1,000 kali, nescaya akan terzahir baginya sesuatu daripada segala nur milik Allah ta`ala."
Tuan Guru Haji Muhammad Sulum @ Sulung al-Fathani (1895M - 1954M) pula menukilkan Ratibul Haddad dalam khatimahnya bagi karangannya "Gugusan Cahaya Keselamatan" di mana sebagai pengenalannya beliau menulis:-
"Kenyataan wirid yang sangat berkat dunia dan akhirat bagi waliyullah yang besar Habib 'Abdullah al-Haddad dan ratib baginya."Bahkan ramai lagi ulama kita yang menjadikan Ratibul Haddad ini sebagai pakaian mereka seperti al-'Alim al-'Allaamah asy-Syaikh Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani yang dikenali sebagai Tok Kelaba al-Fathani dan juga ulama terbilang Acheh Darus Salam, asy-Syaikh Teungku Hasan Krueng Kalee yang empunya kitab berjodol "Risalah Lathifah fi adabi adz-dzikri wa at-tahlil wa kaifiyyati tilaawati ash-Shomadiyyah 'ala thoriqati Quthubil Irsyad al-Habib 'Abdullah al-Haddad".
Sebagai penutup, aku nukilkan di sini artikel berjodol "Syarh Ratib al-Haddad - Dari Yaman ke Dunia Melayu" karangan Fadhilatul Ustaz Wan Mohd. Shoghir bin Wan Abdullah al-Fathani (mudah-mudahan Allah memanjangkan usia beliau serta memanfaatkannya bagi agama dan umat).
Mudah-mudahan Allah mencucurkan hujan rahmat dan keredhaan atas Shohibur Ratib Imam al-Haddad serta para ulama kita terdahulu ...... al-Fatihah.Syarh Ratib al-Haddad
Dari Yaman ke Dunia MelayuSEKURANG-KURANGNYA ada dua jenis "wirid" atau disebut juga dengan "Ratib" yang sangat berpengaruh di kalangan orang-orang Arab, terutama golongan "Habaib" (Habib-Habib atau Saiyid/Syed) yang datang ke dunia Melayu. Yang pertama disebut "Ratib Al-Haddad" dan yang satu lagi dinamakan "Ratib Al-Attas". Sebahagian besar yang diketahui oleh para pengamalnya, "Ratib Al-Haddad" ialah satu amalan yang dapat menenangkan jiwa, penuh berkat, terdapat beberapa fadhilat yang kadang-kadang menyalahi adat. Wirid atau ratib yang tersebut adalah disusun berdasarkan ayat-ayat al-Quran, doa, selawat, istighfar, dan sejenisnya. Yang pertama mengamalkannya ialah Al-Quthub al-Ghauts al-Habib as-Saiyid 'Abdullah bin 'Alawi bin Muhammad al-Haddad Ba'alawi al-Huseini al-Hadhrami asy-Syafi'ie. Ulama besar keturunan Nabi Muhammad S.A.W ini dilahirkan di Tarim, Yaman, pada 5 Safar 1044 H/30 Julai 1634 M dan wafat pada 7 Zulqa'idah 1132 H/10 September 1720 M.
Artikel ini bukan menceritakan riwayat hidup ulama yang tersebut tetapi adalah lebih memperkenalkan satu-satunya manuskrip bahasa Melayu yang membahas secara mendalam tentang "Ratib Al-Haddad". Perlu saya sebutkan di sini bahawa hingga kini belum dijumpai "Ratib Al-Haddad" bahasan yang mendalam sepertinya dalam bentuk cetakan bahasa Melayu. Sungguh pun demikian, belum begitu lama, terdapat yang diusahakan oleh Syed Ahmad bin Muhammad bin Zain bin Semit cetakan yang ditulis dalam bahasa Arab, cetakan yang kedua Zulhijjah 1417 H/1997M, diterbitkan oleh Pustaka Nasional Singapura. Manuskrip yang dalam bahasa Melayu diselesaikan pada hari Ahad, jam 4.00 petang, bulan 24 Syawal 1224 H/2 Disember 1809 M. Disalin kembali tahun 1317 H/1899 M. Judul lengkap manuskrip dalam bahasa Arab "Sabil al-Hidayah wa ar-Rasyad fi Syarh ar-Ratib al-Haddad". Judul terjemahan dalam bahasa Melayu "Jalan Pertunjuk dan Pengajaran Pada Menyatakan Faedah Kelebihan Quthub Bangsa Haddad". Karangan asal dalam bahasa Arab dilakukan oleh keturunan ulama tersebut, beliau ialah Habib 'Alawi bin Ahmad bin al-Hasan bin 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad. Nama penterjemah dari bahasa Arab ke bahasa Melayu tidak dinyatakan, kemungkinan adalah diterjemahkan oleh yang mengaku pemiliknya bernama Ahmad Salim ibnu al-Marhum Syeikh Mat Juban Pontianak, Kampung Melayu.
Selain yang diberi judul di atas terdapat lagi manuskrip dalam bahasa Melayu, tetapi bahasan kandungannya berbeza, ialah "Kaifiyat Qiraat ar-Ratib al-Haddad". Judul ini diterjemah oleh Saiyid Ahmad bin Muhammad al-'Aidrus, tidak terdapat tarikh selesai penterjemahan. Manuskrip ini bekas dimiliki oleh Ahmad bin 'Abdullah bin Qadhi. Manuskrip "Kaifiyat Qiraat ar-Ratib al-Haddad" lebih bercorak cara-cara mengamalkan ratib, tanpa mengemukakan dalil. Sedang "Sabil al-Hidayah wa ar-Rasyad" (manuskrip yang pertama) secara garis besar kandungannya ialah lebih mengutamakan dalil-dalil al-Quran dan hadis lebih lengkap untuk membuktikan bahawa amalan yang diajar oleh Quthub al-Ghauts al-Habib as-Saiyid 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad adalah tidak menyimpang dari ajaran Islam yang diajarkan oleh datuk nenek beliau, iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Jika kita membuat perbandingan kandungan yang terperinci antara manuskrip bahasa Melayu dengan yang bahasa Arab cetakan Pustaka Nasional Singapura ternyata ada beberapa perkara yang dibicarakan dalam manuskrip Melayu tidak terdapat dalam yang bahasa Arab. Demikian juga sebaliknya.
Dalam manuskrip yang bahasa Melayu dicatatkan tulisan Saiyid 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad dalam "Kitab Manaqib", kata beliau, "Barangsiapa orang yang membiasakan atas ratib kami, nescaya dikurniai [oleh] Allah Ta'ala akan dia sebaik-baik kesudahan mati di dalam kalimah ... ". Yang dimaksudkan di sini ialah mati dalam agama Islam dan beriman. Sebagaimana terdapat pada salah satu doa dalam ratib, yang terjemahannya "... matikan kami dalam agama Islam". Doa ini pula ada hubungkait dengan doa dalam ratib juga, yang maksudnya, "Kami semata-mata ridha terhadap Allah, tuhan kami, kami suka agama Islam, adalah agama kami dan Nabi Muhammad S.A.W, Nabi kami. " Terhadap Allah, Islam dan Nabi adalah sangat ditekankan dalam ilmu 'aqidah supaya beri'tiqad dengan jazam dan betul. Perlulah diperhatikan, kerana sewaktu kita masuk kubur yang tersebut adalah pertama-tama perkara yang ditanya. Selain fadhilah untuk menghadapi sakarat al-maut, beliau sebut juga bahawa "Ratib al-Haddad" berfungsi "Dipeliharakan [oleh] Allah Ta'ala daripada terbakar, dan kecurian, dan tiada terbunuh orang akan dia ... Ratib ini dibaca tiap-tiap ditimpa dukacita, nescaya diberi [oleh] Allah kesukaan". Semua yang diriwayatkan bahawa bacaan-bacaan dalam ratib ada hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dalam hadits shahih.
Sebagai bukti "Ratib al-Haddad" sangat berpengaruh, dalam rangka "Majlis Haul Habib as-Saiyid 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad", telah diadakan perhimpunan acara membaca ratib tersebut di Masjid Baitul Aman, di Jalan Damai, Kuala Lumpur, pada malam Sabtu 1 Zulqa'idah 1426 H/3 Disember 2005 M. Yang hadir selain dari seluruh Malaysia, ramai pula yang datang dari Singapura, Brunei Darussalam, Indonesia, India, Yaman, dan negara-negara lainnya. Acara diteruskan ke Batu Pahat (Johor), Temerloh (Pahang) dan Singapura. Selain membaca "Ratib al-Haddad" juga diadakan ceramah yang khusus membicarakan kehebatan dan jasa-jasa besar Saiyid 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad dalam penyebaran Islam. Karya-karya beliau telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa dan tersebar di seluruh dunia.
Rabu, November 29, 2006
Haul Imam al-Haddad
Mufti Hadhramaut, Habib 'Abdur Rahman bin Muhammad bin Husain bin 'Umar al-Masyhur Ba 'Alawi dalam "Ghaayatu Talkhish al-muraad min fatawa Ibni Ziyaad" menyatakan bahawa Imam a-Haddad adalah mujaddid kurun ke-11H. Elok juga, jika aku nukilkan kalam Mufti Hadhramaut ini untuk tatapan kalian. Pada halaman 293 - 294 di pinggir "Bughyatul Mustarsyidin", beliau menyatakan:-
[Masalah] Hadits "Bahawasanya Allah akan membangkitkan buat umat ini pada awal setiap 100 tahun orang yang akan memperbaharui (mentajdidkan) agama umat ini (yakni yang akan memperbaharui pegangan dan keyakinan umat terhadap agama mereka)," dikeluarkan hadits ini oleh Imam Abu Dawud dan Imam al-Hakim dan selain kedua mereka. Dan dalam lafaz lain dinyatakan "Pada setiap 100 tahun seorang lelaki daripada ahli baitku," sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ahmad. Berkata Imam as-Sayuthi, hadits ini adalah masyhur dengan diriwayatkan oleh para hafiz yang muktabar. Maka mujaddid bagi:-Ikhwah tengoklah senarai ulama yang mujaddid di atas. Semua mereka melakukan tajdid dan kebanyakan mereka masih tetap berpegang dengan mazhab, bahkan menjadi ulama besar dalam mazhab. Lihat Imam al-Asy'ari, Imam ash-Sha'luki, Imam Baaqilani, Hujjatul Islam al-Ghazali, Imam Fakhrur Razi dan lain-lain, semuanya masih berpegang dengan mazhab dan mengajar dan mengarang menurut mazhab tertentu. Jadi tajdid bukanlah bererti memusuhi mazhab atau anti-mazhab atau menyeru agar semua orang, termasuk kalangan awam untuk melakukan ijtihad dan menolak taqlid. Tajdid bukan bererti semua umat, termasuklah para petani dan nelayan, tokey kedai, tokey kain, tokey togey dan sebagainya, kena berijtihad. Seruan agar semua umat berijtihad, tanpa melihat tahap keilmuan mereka, adalah seruan yang menyeru kepada fitnah dan bukanlah tajdid, tapi seruan untuk menjahanamkan kemurnian Islam, apa tidaknya jika orang yang buta kayu pun disuruh berijtihad dan diharamkan bertaqlid, bukankah ini satu fitnah ? Kalimah ittiba` yang direka seolah-olah berbeza dengan taqlid, adalah seperti perbezaan yang mereka berikan kepada kalimah "rabb" dan "ilah". Janganlah terperdaya dengan permainan kalimah oleh puak-puak anti-mazhab dan anti-taqlid ini yang berselindung atas slogan kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah. Tanyakan kepada mereka 124,000 sahabi adakah semua mereka itu mujtahid ?Dan ini kurun ke-13, kami berharap daripada Allah s.w.t. agar mentajdidkan umat ini dengan seseorang daripada kalangan khawaashul muqarrabinNya.
- Kurun pertama: Sayyidina 'Umar bin 'Abdul 'Aziz;
- Kurun ke-2: Imam Muhammad bin Idris asy-Syafi`i;
- Kurun ke-3: Ibnu Suraij atau al-Asy'ari;
- Kurun ke-4: ash-Sha'luki atau Abu Hamid al-Isfaraini atau Qadhi Abu Bakar al-Baaqilani;
- Kurun ke-5: Imam al-Ghazali tanpa ada khilaf;
- Kurun ke-6: al-Fakhrur Razi atau ar-Rifaa`i;
- Kurun ke-7: Ibnu Daqiiqil 'Eid;
- Kurun ke-8: al-Bulqini dan Zainuddin al-'Iraqi atau Ibnu Bintil Mailaq;
- Kurun ke-9 : Syaikh Zakaria al-Anshari sebagaimana dinyatakan oleh guru kami ath-Thanbadaawi dan adalah Imam asy-Sayuthi telah menisbahkan tajdid kepada dirinya (yakni menyatakan dirinya sebagai mujaddid), dan tiada syak bahawa Syaikh Zakaria lebih memberi manfaat (buat umat) dan lebih masyhur, maka dialah mujaddid ke-9 ini, insya-Allah;
- Kurun ke-10: yang aku jumpa daripada keterangan para masyaikh bahawa mujaddid kurun ini ialah Syaikh Ahmad bin Hajar al-Haitami atau Imam Muhammad ar-Ramli, dan dirajihkan oleh sebahagian ulama bahawa mujaddidnya ialah Imam Muhammad ar-Ramli kerana Imam Ibnu Hajar meninggal sebelum berlalu kurun (yakni Imam Ibnu Hajar meninggal di akhir kurun dan tidak bertemu dengan awal kurun yang baru);
- Kurun ke-11: Sayyidinal Quthub 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad 'Alawi;
- Kurun ke-12: al-Quthub Ahmad bin 'Umar BinSumaith Alawi.
Berbalik kepada Imam al-Haddad, di sini aku nukilkan kalam beliau berhubung persoalan "di manakah Allah?". Dalam "an-Nashooih ad-Diniyyah wal washooyaa al-Imaaniyyah", halaman 433, Imam al-Haddad menyatakan:-
Dan bahawasanya Dia (yakni Allah s.w.t.) suci dari masa dan tempat, suci dari menyerupai segala ciptaan, tidaklah Dia diliputi oleh segala arah (jihat), dan tidaklah Dia bersifat dengan segala sifat yang baharu. Dia beristiwa` atas arasyNya sebagaimana yang difirmankanNya dengan makna yang dikehendakinya, istiwa` yang layak dengan kemuliaan keagunganNya dan ketinggian kemuliaanNya dan kebesaranNya (ini merupakan tafwidh mutlak Imam al-Haddad terhadap firman tersebut kepada Allah, dengan menyerahkan bulat-bulat pengertian makna hakikinya kepada Allah, tanpa membicarakannya lebih daripada itu. Dan perhatikan bahawa hal ini dinyatakan oleh Imam al-Haddad selepas dia mensuci atau mentanzihkan Allah daripada bertempat.)Manakala dalam risalahnya "al-'Aqiidah as-Sadiidah al-muwaafaqah bil kitaab was sunnah al-hamiidah", halaman 14 - 15 di atas "al-Minhatul Fariidah syarhu 'Aqiidah al-Haddad as-Sadiidah" karangan murid Buya al-Maliki, Kiyai 'Ali Badriy Masyhuri al-Baasuruwaani, Imam al-Haddad menulis:-
Allah bersih daripada penyerupaan dan penyamaan, daripada sekutu dan pembantu, dari masa dan tempat, daripada sahabat dan anak, dari batasan atau had. Dialah Allah Ahadush Shomad, yang tidak beranak dan tidak diperanak, dan tiada ada sesuatupun yang setara denganNya...Jadi jelas menurut Imam al-Haddad sebagaimana juga para ulama kita yang lain bahawa Allah wujud tanpa bertempat. Maka sesiapa yang menyatakan bahawa wujud Allah itu dengan menduduki sesuatu tempat, maka bukanlah itu i'tiqad Ahlus Sunnah wal Jama`ah sebagaimana difahami oleh para ulama kita. Marilah kita menghadiahkan al-Fatihah kepada Imam al-Haddad dan mudah-mudahan Allah mengalirkan sebanyak-banyak keberkatan kepada kita sekalian. Untuk keterangan lanjut berhubung i'tiqad Imam al-Haddad silalah ikhwah rujuk posting yang lalu, antaranya:-
- http://bahrusshofa.blogspot.com/2005/12/itiqad-imam-al-haddad.html
- http://bahrusshofa.blogspot.com/2005/12/itiqad-imam-al-haddad-2.html
Selasa, November 28, 2006
Di mana Allah ?
- Bulughul Mada min ushulil huda;
- Fadaih al-Karramiyyah;
- al-Farqu bainal firaq;
- al-Fakhir fil awail wal awakhir;
- al-'Imad fi mawaritsil 'ibaad;
- Ibtal al-qawl bit tawallud;
- Manaqib al-Imam asy-Syafi`i;
- Masyariq an-Nur wa Madarik as-Surur fil kalam;
- al-Milal wan Nihal;
- Nafy Khalq al-Quran;
- Syarh Miftah Ibn al-Qass;
- al-Kalam wal Wa`id;
- Nasikh al-Quran wa mansukhhuh'
- Mi'yar an-Nazar;
- Naqd Abi Abdillah al-Jurjani fi tarjih Madzhab Abi Hanifah;
- al-Qadhaya fid dawr wal washoya;
- Syarh hadits Iftiraq Ummati;
- ash-Shifat;
- Tafdhil al-faqir ash-shobir 'ala al-ghani asy-syakir;
- Tafsir al-Quran.
Dan Ahlus Sunnah wal Jama`ah telah ijma` bahawasanya Allah s.w.t. tidak bertempat dan tidak lalu atasNya masa, bersalahan dengan pegangan golongan al-Hisyaamiyyah dan al-Karaamiyyah yang mendakwa Allah bertempat di arasyNya. Dan telah berkata Amirul Mu'minin 'Ali r.a.: "Sesungguhnya Allah ta`ala telah menciptakan arasy untuk menzahirkan qudratNya dan bukan untuk dijadikan tempat bagi zatNya". Baginda juga berkata: "Dan adalah Allah ta`ala wujud tanpa tempat dan Dia sekarang atas sebagaimana sediakalanya".Kesimpulannya, mudah sahaja: Kewujudan Allah berbeza dengan kewujudan makhluknya. Antara perbezaannya ialah wujud Allah tanpa bertempat dan wujud makhluk mengambil tempat dalam bahso tok-tok guru dulu "mengambil bagi lapang". Bagaimana orang yang berakal boleh menempatkan tempat bagi Allah, sedangkan tempat itu juga satu makhluk yang baharu. Jika dikatakan Allah di atas arasy, maka yang dimaksudkan dengan atas itu adalah kadar kedudukan atau maqamnya yang Maha Tinggi dan bukannya difahami secara zahir sebagai tempat kedudukannya. Insya-Allah, di lain posting kita akan lihat tafsiran para ulama kita berhubung dengan ayat-ayat dan hadits-hadits sifat ini.
Kita beriman dengan firman Allah bahawa Dia beristiwa` atas arasy sebagaimana difirmankanNya, tetapi tidaklah dikita ketahui makna hakikat firmanNya itu dan kita serahkan maksudnya kepada Allah semata-mata tanpa pergi lebih jauh daripada itu. Inilah pegangan kebanyakan ulama Salaf. Tetapi jika ada ulama yang mentakwilkan istiwa` itu sebagai menguasai, maka tidaklah boleh dikeji sebagai silap, kerana hakikatnya memanglah Allah yang menguasai arasy dan sekalian makhluk ini. Hanya yang sesat ialah orang yang mengatakan bahawa Dzat Allah itu memang berada atau bertempat di arasy, maka itulah pendapat yang salah dan sesat. Maha Suci Allah daripada mengambil bagi lapang.
Jumaat, November 24, 2006
Sholawat Munjiyyah
Ya Allah, limpahkanlah sholawat atas Junjungan kami Nabi Muhammad; Sholawat yang dengan keberkatannya Engkau lepaskan kami dari segala huru hara dan bala bencana; Sholawat yang dengan keberkatannya Engkau tunaikan bagi kami segala hajat; Sholawat yang dengan keberkatannya Engkau sucikan kami dari segala kesalahan; Sholawat yang dengan keberkatannya Engkau tinggikan kedudukan kami di sisiMu; Sholawat yang dengan keberkatannya Engkau sampaikan segala matlamat kami dari sekalian kebajikan dalam hidup ini dan selepas kematian; Limpahkanlah juga sholawat ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda dengan disertai salam sejahtera.Ini adalah sholawat yang paling masyhur di lidah ulama dan awam di rantau kita. Kelaziman Tok-Tok Imam kat tempat aku akan memulakan doa mereka dengan sholawat ini selepas hamdalah. Sholawat ini telah ditulis oleh ramai ulama dalam kitab-kitab mereka, samada ulama Timur Tengah dan tak kurang juga ulama Jawi. Panutan kita, Khaatimatul Muhaqqiqin, Syaikhul Islam, Imam Ibnu Hajar al-Haitami rhm. dalam kitabnya "ad-Durrul Mandhuud fish Sholaati was salaami 'ala Shoohibil Maqaamil Mahmuud" pada halaman 174 menulis kelebihan sholawat ini seperti berikut:-
(Ke-25) ketika takut karam / tenggelam. Diceritakan oleh al-Faakihaaniy daripada sebahagian sholihin bahawasanya dia berada dalam sebuah kapal yang berlayar di lautan lepas yang hendak karam. Maka tertidur orang sholih tersebut lalu dalam tidurnya dia bermimpikan Junjungan Nabi s.a.w. memberitahunya supaya menyuruh penumpang - penumpang kapal tersebut untuk membaca 1,000 kali : "Allahumma sholli 'ala Muhammadin ..... hingga akhirnya Sholawat Munjiyyah tersebut." Maka dimaklumkanlah hal mimpinya tadi kepada para penumpang, lalu mereka pun membaca sholawat tersebut, tatkala sampai 300 kali bacaan, mereka diselamatkan Allah daripada bahaya karam tersebut. Inilah yang diriwayatkan oleh Imam al-Majdu al-Faakihaaniy dengan segala sanadnya, dan telah ditambah oleh sebahagian akan riwayatnya dengan perkataan: Bahawasanya sesiapa yang mengucapkannya bagi setiap urusan penting atau menghadapi bala bencana 1,000 kali, nescaya dilepaskan dia Allah ta`ala dari bala bencana tersebut dan ditunaikan keinginannya.Inilah antara kelebihan sholawat ini menurut ulama kita. Ra-isul Muhadditsin Mawlana Zakaria al-Kandahlawi memuatkan kisah sholawat ini dalam karangannya mengenai kelebihan sholawat yang berjodol "Fadhilat Sholawat". Hal ini juga dinukil oleh ulama Jawi kita, antaranya oleh Tok Syaikh Wan Ali Kutan al-Kelantani dalam "Lum`atul Awrad"nya yang masyhur. Manakala mantan Mufti Sarawak, Allahyarham Datuk Haji Abdul Kadir Hasan juga menulis serba sedikit mengenai sholawat ini dalam fatwanya. Antara lain almarhum menyatakan:-
Doa atau sholawat "Allahumma sholli 'ala Sayyidina Muhammadin sholaatan tunjina ..... hingga akhir" adalah satu-satunya sholawat atau doa yang paling popular di kalangan para ulama, yang sering kita dengar dibaca dalam doa atau permulaan doa. Sholawat ini dinamakan Sholawat Munjiyyah, diambil daripada perkataan tunjina atau tunajjina yang maksudnya "dengan berkat sholawat ini kita bermohon kepada Allah supaya kita diselamatkan daripada segala kesusahan dan penyakit."......... Ada warid dalam kitab "Dala-il" dan syarahnya daripada al-Hasan bin 'Ali al-Asnawi bahawasanya beliau berkata: "Barangsiapa membaca doa ini ketika menghadapi kedukaan atau bala` 1,000 kali nescaya dilepaskan oleh Allah daripada bahaya tersebut dan dia mendapat segala yang dicita-citakannya."
Dan daripada seorang Syaikh yang sholih, Musa adh-Dhorir rhm., beliau berkata: "Suatu ketika saya telah menaiki kapal laut, tiba-tiba datang angin yang kencang dan jarang-jarang orang boleh terselamat daripada karam dalam keadaan angin yang kencang seperti itu. Penumpang-penumpang di dalam kapal menjerit ketakutan, tiba-tiba saya tertidur lalu melihat Nabi s.a.w. Baginda bersabda kepada saya menyuruh penumpang-penumpang kapal membaca sebanyak 1,000 kali Sholawat Munjiyyah ini. Kemudian saya pun terjaga, lalu saya memberitahu penumpang-penumpang tentang apa yang saya lihat di dalam masa saya tertidur itu. Kami pun mengucap sholawat tersebut sehingga 300 kali dan Allah telah menyelamatkan kami daripada bahaya yang tersebut."
Daripada kenyataan yang telah saya sebutkan ini, jelaslah bahawa Sholawat Munjiyyah ini sesungguhnya terbilang daripada sholawat-sholawat yang masyhur yang banyak diamalkan oleh ulama-ulama.
Kalau ada orang yang mengatakan sholawat itu tidak boleh diamalkan, apakah alasannya ? Mungkin alasan mereka mengatakan sholawat ini tidak diriwayatkan daripada Nabi, tidak ada Nabi mengajar membaca sholawat yang bunyinya seperti itu. Memang sholawat ini tidak diriwayatkan daripada Nabi menyebutkan seperti itu. Tetapi adakah jadi salah seorang Muslim membaca sholawat seperti itu atau adakah tidak boleh kita mengucapkan sholawat ke atas Nabi lain daripada sholawat yang diriwayatkan daripadanya. Jawabnya yang jelas tidak ada tegahan selagi ucapan sholawat itu tidak bertentangan dan tiada membawa kepada merendahkan atau menghina maqam Rasulullah s.a.w. sama juga dengan doa. Ada doa yang diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan ada doa yang tidak diriwayatkan daripada Nabi, hanya doa yang disusun oleh ulama-ulama. Adakah tidak harus kita berdoa dengan doa-doa yang disusun oleh ulama-ulama itu ? Jawabnya serupa juga selagi doa itu tidak bertentangan dengan dasar-dasar agama, maka tidaklah ditegah berdoa dengan doa-doa itu.
Rabu, November 22, 2006
Orang Muda
Telah dilantik menjadi mufti
Bertakhta di Indera Kayangan negeri
Memukul canang memalu tabuh serata negeri
Lihat orang muda kami jadi mufti negeri
Mufti paling ganteng seantero negeri
Awas kalian pengaruh kami mula berdiri
Tapi, janganlah lupa wahai saudara saudari
Orang muda bukan hanya Asri
Di luar sana masih ramai lagi
Yang muda yang alim berilmu tinggi
Lagi berakhlak tak suka menonjol diri
Apatah lagi hendak meninggi diri
Fasih sekali membaca dan memahami
Kitab gondol karangan ulama bistari
Tak kurang yang bijak mengarang dan mentafsiri
Bukan hanya seorang Asri
Oleh itu jangan kamu terlebih bangga
Ingat jawatan diberi ujian semata
Sejauhmana kata dikota
Jangan hanya tahu menyerang khilafiyyah yang nyata
Hanya tahu membid`ah mengata
Sedangkan haram nyata
Dipejam mata
Ingat wahai Asri si orang muda
Dalam politik hendaklah waspada
Jangan kamu ditunggang si ahli politik tua
Kerana hendak terus mengekal kuasa
Ingat kamu Mufti di sana
Jadi fatwanya kamu yang memfatwa
Bukannya ahli politik yang besar cita
Harap jangan tersinggung dengan madah ku ini
Kalau merapu, kamu sapulah ke tepi
Kalau ada yang baik barang seinci
Ambillah dengan senang hati
Jadilah mufti terhebat di negeri
Telaahlah kitab dengan hati-hati
Jangan berpada hanya dengan Albani dan al-Harrani
Ditambah dua tiga daripada Qardhawi dan ulama Saudi
Kasihanlah pada kami orang awam yang jahil ini
Jahil-jahil pun kami masih saudaramu penganut Islam yang suci
Mana yang khilafiyyah berlapanglah hati
Janganlah dihentam habis-habisan dan dikasari
Jika tidak serasi dengan pegangan diri
Berlalulah pergi tanpa menyakitkan hati
Akhirul kalam, kuhulurkan tangan
Buat Asri dan ikhwah yang sudi menatap karangan
Salam persaudaraan seagama dan satu Tuhan
Berbeza pendapat bukan ertinya bermusuhan
Cuma satu harapanku dari kalian
Para ulama terdahulu jangan mudah diperlekehkan
Itu bagiku pantang perguruan
Melanggar pantang akibatnya ketulahan
Ikhwah, aku tak reti nak bermadah dan berpuisi selain daripada menjadi tukang karut, harap-harap isinya tak mengarut, kerana kalau mengarut, takut-takut kenak parut... hehehe.
Bukan apa, sahaja nak release tension, kerja banyak tak kunjung selesai. Coretan di atas, yang entahlah aku sendiri tak tahu nak sebut apa, sebab aku bukan ahli sastera, tidak seperti Faisal Tehrani, tapi biarlah aku buta sastera, asalkan aku tahu kebenaran Sunni berbanding Syiah dan Wahhabi, aku tulis saja-saja je sebagai menyahut seruan Zain Y.S. untuk mendiskusikan artikel "Mufti termuda dari USM", aku nak buat kat laman depa, depa tak bagi. Jadi aku buatlah kat sini, sesiapa yang nak baca-bacalah, kalau tak emboh, tak payahlah baca, pejam mata saja.
Alhamdulillah, ramai anak muda yang berilmu di luar sana, cuma mungkin kita tidak tahu ramai sebab kurang promosi (bak kata akhie Tawel, promosi pun penting, weh Tawel mari beri promosi pada ulama-ulama kita, baik yang tua maupun yang muda, blog ambo ini tak payahlah promosi, karang tambah poning kepalo den). Antara yang diketahui ramai especially dalam dunia siber agama di Malaysia ini ialah Dr. MAZA ( Dr. ini bukannya doktor dR. Sam, bukan jugak doktor medical dan bukan juga doktor ayam, tapi doktor Phd. UIA kasi, kalau aku tak silaplah).
Selain Dr. MAZA, sesekali muncul nama Ustaz Muhammad Fuad bin Kamaludin ar-Rembawi yang sebenarnya tidak kurang sedikit pun daripada MAZA. Masih berusia muda, lebih kurang lingkungan usia MAZA jugak. Hasil tulisan dan terjemahannya telah mencapai lebih 115 buah dalam pelbagai disiplin ilmu agama termasuk 12 karangan berbahasa 'Arab yang diterbitkan di Mesir. Sejak tahun 2003, beliau telah dilantik menjadi ahli majlis fatwa Negeri Sembilan selain mengurus sebuah Madrasah dan Darul Aitam di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau. Atas usaha ilmu dan dakwahnya, dia telah menerima Anugerah Khas Maal Hijrah Negeri Sembilan, 1427H. Tetapi promosi mengenai Syaikh Fuad ini masih tak sehebat promosi yang diberikan kepada MAZA. Anak-anak murid MAZA hebat dalam mempromosikan diri MAZA. Aku salute kat mereka dalam bab ini. Mana anak-anak murid Syaikh Fuad, tolonglah buatkan satu website ke atau setidak-tidaknya blog sebagai upaya menyebar ilmu dan dakwah Syaikh Fuad, agar kami yang jahil yang duduk jauh ini dapat manfaatnya. Dan biarlah website atau blognya itu aktif, bukan hanya sekadar nama website atau blog....betul tak Tawel (maaplah Tawel, dah nama mu sahaja yang mudah aku ingat, hope you don't mind). Aku tahu kewujudan laman web Yayasan Sofa, tapi kurang aktif dan jarang dikemaskini. Harap selalulah dikemaskini dengan ilmu dan maklumat yang bermanfaat.
Bagi MAZA, Fuad Kamaludin dan lain-lain orang muda di luar sana, doaku agar Allah menjadikan kalian pembela Islam yang sebenar yang membawa umat ke arah kecemerlangan dan perpaduan utuh, bukan kepada perpecahan dan kehinaan demi mencari populariti pribadi. Jangan lupa menghargai jasa orang tua, ingatlah satu ketika kita pun, insya-Allah, akan menjejaki usia tua.