Sabtu, September 29, 2018

Nur Muhammad - Mufti Penang

Hafiz Ghulam Sarwar al-Haj rahimahullah adalah seorang ulama dan ilmuan Islam yang dilahirkan di Lahore, India/Pakistan. Beliau dilahirkan pada 29 Disember 1873. Beliau adalah seorang anak yang cerdik, ketika berusia 3 tahun, beliau sudah dihantar untuk belajar al-Quran dan mendalami agama. Pada usia 5 tahun beliau sudah memasuki alam persekolahan formal. Beliau berjaya untuk menghafal al-Quran dalam usia 11 tahun. Beliau menamatkan pengajian di peringkat sarjana pada tahun 1894 di Universiti Punjab dan pada tahun 1896 beliau menamatkan pengajiannya di St. John's College, Universiti Cambridge. Seterusnya beliau meneruskan pengajian dalam pengkhususan Bahasa Arab di Imperial Institute of Modern Languages sehingga tamat pada tahun 1900. Setelah tamat pengajian, beliau memilih untuk menyertai perkhidmatan awam dengan pihak kolonial British di Negeri-Negeri Selat.

Sepanjang tempoh perkhidmatan dengan pihak koloni, Hafiz Ghulam Sarwar memegang berbagai jawatan dalam kerajaan tersebut. Menariknya, di antara jawatan yang pernah disandang oleh beliau adalah sebagai Mufti Pulau Pinang. Di antara sebab pemilihan beliau tentulah kerana ilmu agama yang ada pada dirinya. Beliau aktif berdakwah, berceramah dan menulis mengenai Islam dalam Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain yang beliau kuasai. Beliau turut menterjemah al-Quran dalam Bahasa Inggeris.  Terjemahan beliau ini, walaupun tidak semasyhur terjemahan sahabat beliau, Abdullah Yusuf Ali, namun ada keistimewaannya kerana ia lebih ringkas dan mudah untuk difahami oleh orang biasa, terutama sekali yang bahasa ibundanya bukan Inggeris. Terjemahan beliau ini juga kerap menjadi rujukan kepada penterjemah-penterjemah yang datang kemudian seperti Abdullah Yusuf Ali dan lain-lainnya. Di antara karya lain beliau ialah "The Word of God and The Wonders of Science", "Philosophy of The Quran" dan "Mohammad The Holy Prophet." Beliau juga meninggalkan karya tulis dalam bahasa Parsi dan Urdu dalam berbagai topik agama Islam.

Terjemahan berbahasa Inggeris yang berjodol  "Translation of The Holy Qur-an" telah beliau siapkan ketika beliau masih berada di London. Ianya pertama kali diterbit dan dicetak pada tahun 1928 di England, menjadikan ianya antara terjemahan awal al-Qur`an dalam Bahasa Inggeris yang dilakukan oleh seorang Muslim. Yayasan Restu telah mencetak semula terjemahan tersebut bersekali dengan al-Quran dalam satu cetakan yang bermutu lagi indah. Mufti Hafiz Ghulam Sarwar rahimahullah meninggalkan dunia yang fana ini pada 13 Disember 1954 di Pulau Pinang, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas beliau dan menempatkannya bersama para shalihin..... lahumul Fatihah.

Dimuatkan pada halaman - halaman awal terjemahan al-Quran tersebut dua teks kuliah yang pernah disampaikan oleh Mufti Ghulam Sarwar sekitar tahun 1924 dan 1925 di London dan Singapura.  Pada halaman 37 terjemahan terbitan Yayasan Restu, beliau menyatakan: ...In the spiritual realm Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam is the refulgent star or self-illuminating lamp. His light is not borrowed from other luminaries. It is a spark of the light of the Almighty. We ordinary human beings, are like pieces of flint-stones. No light comes out of us till we are struck together, but Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam is himself a light-giving lamp. His soul is illumined by the light of Allah, and illumines those that come in contact with it. How can others be like him? "Is he then whose heart Allah has expanded for Islam so that He is upon a light from his Lord (like a disbeliever)?" (Al-Zumar, 22). That is Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Is he like others whose hearts are closed to Islam? Certainly not. But we can walk in the light of Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, the light of Islam, the light of Allah.....

Pada halaman 41, Hafiz Ghulam Sarwar menukil hadis yang masyhur mengenai Nur Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam yang telah dicipta Allah `azza wa jalla 2000 tahun sebelum penciptaan Nabi Adam `alaihis salam. Beliau rahimahullah menyatakan: Our Holy Prophet shallaAllahu `alaihi wa sallam is reported to have said: " I was the light with Allah the Exalted before Adam was created by two thousand years. This light was praising the glory of Allah the Exalted, so were the angels with His glorification, so that when Allah the Exalted created Adam He put this light in his clay and Allah sent me down towards the earth in Adam's back; and bore me up in the Ark in Nuh's back; and put me in the back of Ibrahim, the friend of Allah, when he was thrown towards the fire; and He continued to transfer me from sacred backs towards pure and high pedigreed wombs until He brought me out between my two parents in holy wedlock.".....

Maka janganlah terlalu allergic dengan "Nur Muhammad", sehingga membuat tuduhan dan tohmahan yang bukan-bukan mengenainya. Ingat jika seorang ulama yang menolaknya, maka ada 10 yang lain menerimanya. Jauhilah perbuatan mengutuk atau mencaci atau merendah-rendahkan pegangan dan fahaman mengenai Nur Muhammad. Sebagaimana yang telah kerap dinyatakan bahawa yang salah dan sesat adalah penyelewengan dan tafsiran songsang mengenai Nur Muhammad. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan, berapa banyak ajaran suci Islam yang telah disalahfahami atau diselewengkan oleh golongan tertentu? Maka apakah wajar, kita menyalahkan Islam atau jihad, kerana ada tafsiran yang salah daripada segelintir manusia? Jadi janganlah kerana tafsiran yang salah atau pemahaman yang songsang tersebut, maka kita menghukum bahawa konsep Nur Muhammad semuanya karut dan sesat. Telah terbukti bahawa jumhur ulama menerimanya dengan kefahaman yang benar dan terbukti juga bahawa asas pegangan mereka bukan hanya satu Hadis Jabir semata-mata. Penolakan terhadap Hadis Jabir tersebut juga perlu kepada penelitian kerana penolakannya hanya kerana pihak - pihak tersebut gagal menemuinya dalam Mushannaf Abdul Razak yang beredar pada masa ini dan/atau gagal menemui sanadnya dan/atau matan mana Hadis Jabir yang dimaksudkan.

Isnin, September 24, 2018

Revolusi Syiah Khomeini

Ketika revolusi Iran mendapat tempat setelah berjaya mengguling Dinasti Syiah Pahlavi di tangan para mullah Syiah (baca: Syiah lawan Syiah) di bawah pimpinan Khomeini, maka timbul perasaan kagum dalam diri mereka di luar Iran (baca: di luar firqah Syiah) terhadap revolusi tersebut kerana ianya digembar-gembur atas nama Islam. Apatah lagi bila Iran diisytiharkan sebagai Islamic Republic of Iran. Maka ramai yang tergiur dengan perkara tersebut ditambah lagi dengan mainan slogan-slogan perpaduan ummah. Ustaz Sa`id Hawwa rahimahullah, tokoh penting Ikhwanul Muslimin yang disegani, sempat berkunjung ke Iran selepas kejayaan revolusi tersebut dan bertemu dengan Khomeini, pemimpin agung revolusi. Syaikh Sa`id Hawwa setelah melihat dan meneliti suasana sebenar, berasa kecewa kerana revolusi yang mengatasnamakan Islam itu sebenarnya hanyalah kesinambungan makar dan penipuan firqah Syiah yang fahamannya berseberangan dengan Ahlis Sunnah wal Jama`ah.

Sekembalinya dari lawatan tersebut, Ustaz Sa`id Hawwa menulis hasil penelitiannya dalam karya beliau yang berjodol al-Khumainiyyah Syudzudz fil `Aqaa-id wa Syudzudz fil Mawaaqif (Fahaman al-Khomeinisma, keganjilan dalam `aqidah dan pendirian). Menurut Ustaz Sa`id Hawwa, hasil penelitian yang dilakukan terhadap Republik "Islam" Iran ni, memperlihatkan realiti yang berbeza daripada apa yang dilaung-laungkan oleh Khomeini dan pendokongnya. Revolusi tersebut tidak lain melainkan kebangkitan khusus mewakili kelompok Syiah Imamiyyah yang sesat semata-mata dan bukannya sebagaimana didakwa kononnya mewakili Islam tanpa mengira firqah dan mazhab. Ustaz Sa`id Hawwa menjelaskan bahawa Khomeini masih kental dengan pegangan Syiahnya, bahkan tidak segan silu mencerca dan mentohmah para sahabat termasuklah Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar radhiyaAllahu `anhuma sebagaimana ditulis dalam karangannya seperti Kasyful Asrar yang memuatkan 2 fasal yang mentohmah dan menuduh Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina 'Umar sebagai menyalahi ajaran al-Quran.  Turut didedahkan amalan taqiyyah Syiah dan kerjasama-kerjasama rahsia kerajaan Syiah Iran dengan Israel dan Russia. Apa yang diperjuangkan oleh Khomeini hanyalah untuk kepentingan ajaran sesat Syiah Imamiyyah. Khomeini dengan taqiyyahnya amat licik memperdaya umat Islam, pada suatu masa dia melaungkan penentangan terhadap Israel tetapi dalam masa yang sama mengadakan kerjasama sulit dengan mereka demi kemaslahatan dan kepentingan Syiah. Ustaz  Sa`id Hawwa mengingatkan umat Islam agar jangan terpedaya dengan Khomeini dan Khomeinisma.

Pada khatimah buku tersebut, Ustaz Sa'id Hawwa menyimpulkan, antara lain, bahawa Khumainiyyah (Khomeinisma) adalah satu wabak (ta`un) yang sedang melanda dunia Islam, di mana akidah, ibadah dan manhaj kehidupan mereka adalah berbeza dan tidak sama dengan Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang kita pegang. Lalu bagaimanakah kita hendak menyokong puak yang mengaku sebagai "firqah najiyyah (golongan yang berjaya)", namun sebenarnya mereka lari dari syurga menuju neraka serta mengikut jalan selain daripada jalan orang-orang yang beriman. Beliau menutup karangannya dengan doa memohon perlindungan Allah serta menyatakan berlepas diri dengan Allah daripada Khomeini dan Khomeinisma juga daripada penyokong dan pendokongnya.

Oleh itu, janganlah terpedaya dengan slogan-slogan yang dilaungkan oleh puak Syiah ini. Hati-hati dengan dakyah Syiah yang kini mengatasnamakan kecintaan kepada ahli bait. Sebenarnya puak inilah yang memusuhi ahli bait, merekalah yang telah memperdaya Sayyidina Husain bin 'Ali radhiyaAllahu `anhuma sehingga baginda syahid di Karbala. Darah Imam Husain terpercik atas wajah-wajah mereka. Mudah-mudahan Allah menyelamatkan kita daripada kesesatan Syiah dengan berkat Imam Husain radhiyaAllahu `anhuma

Selasa, September 18, 2018

Amalan 'Asyura: Nihayatuz Zain

Bersempena Hari 'Asyura yang bakal menjelang tiba, faqir kongsikan di sini nukilan dari kitab Nihayatuz Zain fi irsyadil mubtadi-in karya al-'Alim al-'Allaamah Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani rahimahullah, mudah-mudahan ada manfaatnya, guna menambah amalan kebajikan sebagaimana dianjurkan secara umum dalam banyak nas syarak yang mulia. Tutuplah telinga daripada mendengar kata-kata sumbang yang menghalangi kita beramal, biarkanlah anjing menyalak bukit dan biarkanlah si Luncai terjun dengan labu-labunya.

Kata Syaikh Nawawi rahimahullah pada halaman 196 kitab yang berkat tersebut:
Dan dinukilkan daripada sebahagian al-afaadhil (yakni orang-orang mulia yang memiliki kelebihan dan keutamaan) bahawanya amalan-amalan pada Hari 'Asyura ada 12 amalan: (i) shalat, dan yang awlanya didirikan Shalat Tasbih; (ii) puasa; (iii) sedekah; (iv) meluaskan nafkah perbelanjaan keluarga; (v) mandi; (vi) ziarah orang 'alim yang shalih; (vii) melawat orang sakit; (viii) menyapu kepala anak yatim; (ix) bercelak; (x) memotong kuku; (xi) membaca Surah al-Ikhlas 1000 kali dan (xii) bersilatur rahim. Telah warid hadis-hadis mengenai anjuran berpuasa dan melapangkan perbelanjaan keluarga pada Hari 'Asyura. Adapun amalan-amalan selain keduanya tidak ada dinyatakan dalam hadis-hadis (yakni hadis-hadis yang sahih atau hasan, kalau pun ada hanya disebut dalam hadis-hadis yang dhaif sahaja).  
Telah menyebut Imam para muhadditsin Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam Syarah al-Bukhari beberapa kalimat yang sesiapa yang membacanya pada Hari 'Asyura, maka hatinya tidak akan mati, iaitu ......(di sini Syaikh Nawawi mendatangkan wirid 'Asyura yang masyhur) ..... 
Telah menukil Sayyidi 'Ali al-Ajhuri bahawa sesiapa yang membaca pada Hari 'Asyura 70 kali : "HasbiyaAllahu wa Ni'mal Wakil, Ni'mal Mawla wa Ni'man Nashir", Allah ta'ala akan menjaganya dari kejahatan sepanjang tahun tersebut.
Marilah kita rebut peluang yang ada, umur yang berbaki untuk menambah lagi amalan buat bekal di alam baqa nanti. Janganlah sampai kita masuk kubur tanpa bertemankan amalan-amalan shalih yang dianjurkan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan pewaris - pewaris baginda iaitu para ulama yang mukhlashin.

Rabu, September 12, 2018

Haji Sulaiman Rasjid

Satu masa dahulu, ketika mana buku - buku agama Bahasa Melayu bertulisan rumi dalam bidang fiqh agak terhad, maka salah satu karya masyhur mengenai bidang tersebut adalah tulisan Ustaz H. Sulaiman Rasjid yang berjodol Fiqh Islam. Inilah antara buku fiqh bertulisan rumi yang sering dibaca dan dipelajari orang awam yang tidak mahir tulisan jawi ketika itu. Buku yang mula diterbit pada tahun 1954 ini sudah banyak terpakai oleh masyarakat, baik di kalangan umum maupun di kalangan para pelajar dan mahasiswa. Departemen Agama Republik Indonesia pernah menjadikan buku Fiqh Islam ini sebagai buku teks wajib di Madrasah Tsanawiyyah/Aliyyah dan Perguruan Tinggi di Indonesia. Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Buya Hamka) rahimahullah telah sempat menulis kata pengantar bagi buku ini. Kiyai Haji Fathullah Harun rahimahullah pernah menjadikan buku ini sebagai teks untuk mengajar kelas dewasa bagi kaum ibu. Walaupun kandungan buku ini ringkas, agak bebas dalam mengutarakan hukum - hakam di mana ia tidak terlalu terikat dengan qawl muktamad mazhab Syafie, memiliki beberapa kesilapan dalam nukilan qawl-qawl mazhab Syafie dan sedikit sebanyak terpengaruh dengan fahaman Kaum Muda, namun tidak dapat dinafikan bahawa ianya bermanfaat bagi orang hendak mengenali dan mempelajari bab-bab hukum fiqh yang luas. Ini adalah kerana ia tidak hanya menghadkan perbahasan mengenai persoalan amal ibadah pokok semata-mata tetapi turut menjangkau bab-bab lain seperti mu`amalah, jinayah, jihad bahkan persoalan berhubung dengan khilafah. Maka ketika membaca buku ini, perlulah juga merujuk kepada guru-guru yang benar dan kitab-kitab turats yang muktabar dalam Mazhab Syafie, samada yang berbahasa 'Arab maupun berbahasa Melayu karangan ulama Jawi terdahulu agar tidak terkeliru dan pegangan hukumnya sesuai dengan pendapat muktamad dalam Mazhab Syafie.

Siapakah penulis Fiqh Islam ini ? Beliau adalah Ustaz Haji Sulaiman Rasjid (Rasyid) bin Lasa rahimahullah yang dilahirkan sekitar tahun 1896/1898/1901 di Pekon Tengah, Liwa Krui, Lampung Utara, Pulau Sumatera. Setelah tamat sekolah dasar, pendidikan agama secara formalnya beliau kecapi di Perguruan Thawalib Padang Panjang, Sumatera Barat mulai 1919-1926. Beliau juga pernah berguru selama 5 tahun dengan Kiyai Haji Abas, Padang Japang, Payakumbuh, Sumatera Barat. Pada tahun 1926, beliau melanjutkan pelajarannya ke sekolah Mu`allim (sekolah perguruan) di Mesir lalu kemudiannya ke Universiti al-Azhar dalam jurusan takhassus fiqh. Beliau tamat pengajian di Mesir sekitar tahun 1935 dan pulang ke Indonesia.

Sepulangnya ke Indonesia yang ketika itu masih dijajah Belanda, beliau berkhidmat sebagai Ketua Penyelidik Hukum Agama di Lampung. Apabila Jepun menjajah Indonesia, Ustaz Sulaiman Rasjid dilantik menjadi Pegawai Tinggi Agama di Kantor Syambu. Ustaz Sulaiman Rasjid juga terlibat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan Indonesia bahkan beliau sempat turut serta mengangkat senjata melawan penjajah Belanda di Kalianda, Lampung Selatan, setahun menjelang kemerdekaan.

Setelah Indonesia merdeka, Presiden Sukarno menugaskan beliau di Departemen Agama Republik Indonesia sebagai kepala Jawatan Agama Republik Indonesia, Jakarta sepanjang tempoh 1947-1955 serta merangkap kepala Perjalanan Haji Indonesia. Beliau mempunyai sumbangan besar ke arah berdirinya Kantor Agama setelah kemerdekaan Indonesia sebagaimana disebut oleh M. Fuad Nasar dalam bukunya H.S.M. Nasaruddin Latif : Biografi & Pemikiran, pada halaman 5 menyatakan sebagai berikut:- Di tahun 1946 bersama rekan-rekan seperjuangan seperti H. Sulaiman Rasjid dan Zainal Abidin Datuk memerintis berdirinya Kantor Agama di Jakarta, untuk menampung dan membantu memecahkan masalah agama yang timbul di kalangan masyarakat yang baru lepas dari penjajahan dengan Proklamasi Kemerdekaan 17 Augustus 1945.

Ustaz Sulaiman Rasjid juga pernah dilantik menjadi staf ahli Kementerian Agama Republik Indonesia sekaligus menjadi asisten dosen Perguruan Tinggi Agama Islam Jakarta sambil mengajar juga di PTAIN Yogyakarta. Pada tahun 1960, beliau diangkat menjadi guru besar Ilmu Fiqh. Jawatan terakhir yang disandang beliau adalah sebagai Rektor Institut Agama Islam Negeri Lampung, Sumatera. Ustaz Sulaiman Rasjid (Rasyid) tutup usia pada 26 Januari 1976 dan dimakamkan di Lampung. Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat dan keampunan ke atasnya serta menempatkannya bersama para shalihin.

Ahad, September 09, 2018

Selamat Tahun Baru 1440H



Selamat Tahun Baru, mudah-mudahan dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, diberi kesihatan dan afiat serta tutup usia dalam keimanan yang sempurna.

Selasa, September 04, 2018

Wahabi Mazhab Jahat & Keji

Puak Wahabi yang tersasar dalam blog ini mungkin terasa hati dengan tajuk entri ini. Tapi jika nak marah pun, janganlah marah kat ese, ese sekadar menyampaikan sahaja, bak kata omputeh "don't kill the messenger" dan meminjam kata Ustaz Ebit hafizahullah: "Saya cuma posmen". Tapi jika difikir, nama Wahabi telah pun busuk sejak sekian lama, sehingga puak-puak tu pun malu nak guna nama tersebut. Apa-apa pun gasaklah koranglah, ese cuma ingin mengutarakan apa yang al-'Alim al-'Allaamah al-Wali Tok Syaikh Ahmad al-Fathani rahimahullah sebut dalam kitab beliau Hadiqatul Azhar war Riyaahin

Tok Syaikh Ahmad al-Fathani rahimahullah pada halaman 169 kitab tersebut, ketika menceritakan beberapa fitnah yang terjadi pada zaman Sultan Salim al-'Uthmani daripada Khilafah Uthmaniyyah Turki, menyatakan bahawa di antara fitnah-fitnah tersebut adalah fitnah yang timbul daripada puak Wahabi yang memerangi Khalifah Bani 'Uthman dan menawan al-Haramain. Kata Tok Syaikh rahimahullah:- (Dan) setengah daripadanya, fitnah Thaifah Wahhabiyyah yang melampaui mereka itu hingga merentah mereka itu akan dua tanah haram yang mulia. Dan mereka itu satu kaum yang mempunyai mazhab yang jahat dan jalan yang sesat dan iktikad yang mudarat. Dan adalah yang menghantarkan mazhab mereka itu yang keji dan yang merentahkan dia Muhammad anak Abdul Wahhab dan asalnya daripada masyriq daripada Bani Tamim....


Maka hendaklah tuan-puan ambil tahu dan fahami serta ingat apa yang telah dilakukan oleh puak Wahabi terhadap kaum Muslimin penduduk Hejaz dan Semenanjung Arab. Tuan-puan jangan ingat Wahabi masuk Kota Mekah dengan bagi salam, tidak sekali-kali, sejarah membuktikan bahawa mereka memasukinya dengan mengangkat senjata, memerangi dan membunuh kaum Muslimin. Dalam Perang Wahabi ke-2, yang berakhir dengan penjajahan mereka ke atas Hejaz, tidak kurang daripada 400,000 umat Islam yang telah mereka bunuh atau cederakan. Bahkan di tempat-tempat seperti Taif, Burayda dan al-Huda, mereka melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduknya. Ini belum lagi termasuk orang-orang yang dibunuh setelah mereka menguasai Hejaz dan Semenanjung Arab. Mereka bersekongkol dengan musuh Islam, penjajah British, untuk  melemahkan dan akhirnya menumbangkan khilafah umat Islam ketika itu, iaitu Khilafah Uthmaniyyah. Jangan sekali-kali tuan-puan lupa sejarah ini,  janganlah kerana dapat pembiayaan petrodolar, maka kita lupa segala-galanya. Maka tidaklah pelik jika para ulama kita menegaskan bahawa puak Wahabi ini memiliki mazhab yang jahat, jalan yang sesat dan iktikad yang mudarat. Oleh itu, mari kita jauhi puak-puak ini, terutama sekali zaman ini di mana ada ustaz-ustaz yang mesra Wahabi cuba memutihkan sejarah dan pegangan Wahabi dengan berbagai alasan yang menyedapkan hati. Mudah-mudahan Allah selamatkan umat Islam daripada fitnah Wahhabiyyah.