Doa Bulan Rejab
Walaupun sudah hampir pertengahan bulan Rejab, masih ada yang bertanya tentang doa yang biasa dibaca orang ketika menjelang bulan Rejab atau diamalkan sepanjang bulan Rejab. Doa yang sudah masyhur dan diamalkan sejak zaman berzaman dalam masyarakat Islam di Nusantara. Jika pun riwayat doa tersebut dianggap dhaif sekalipun, maka tetap tidak menyalahi syarak untuk kita mengamalkannya. Jangankan doa daripada sumber yang dhaif, doa yang langsung tak bersumberkan sebarang riwayat hadis, yang dikarang sendiri pun tidak bermasalah untuk diamalkan asalkan tidak menyalahi akidah dan hukum. Imam an-Nawawi radhiyaAllahu `anhu menukilkan dalam kitab al-Adzkar pada halaman 288 sebagai berikut:- Telah kami riwayatkan sebuah hadis yang terkandung dalam Hilyatul Awliya` dengan sanad yang mengandungi perawi yang dhaif, daripada Ziyad an-Numairi daripada Sayyidina Anas radhiyaAllahu `anhu yang menyatakan bahawasanya Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika masuk bulan Rejab berdoa dengan: "Ya Allah, berkatilah kami pada Rejab (ini) dan Sya'ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan." Kami juga meriwayatkannya dari kitab Ibnus Sunni dengan penambahan, wa Allahu a'lam.
Maka status dhaif riwayat doa ini seharusnya jangan dijadikan isu dan perdebatan, terutama sekali di kalangan masyarakat awam, sehingga merenggangkan ukhuwwah sesama umat dan menjadi saling bermusuhan dek sebab yang terlalu kecil. Oleh itu, tak perlulah diperbesar - besarkan perkara ini. Sesiapa yang hendak mengamalkannya, silakan dan sesiapa yang tidak mahu, tidaklah menjadi kesalahan, yang jadi kesalahan adalah mencemuh, mengejek dan membid`ahsesatkan pihak yang mengamalkannya.
Berlepas dari isu kedhaifan riwayat doa tersebut, timbul lagi isu apakah Rajab itu dibaca Rajaba atau Rajabin, sebab ada ustaz yang baca "Allahumma baarik lana fi Rajaba wa Sya'baan" dan ada ustaz lain yang baca "Allahumma baarik lana fi Rajabin wa Sya'baan". Maka poninglah jugak orang awam, ada yang ambil jalan mudah dan bijak, diwaqafkannya sajalah pada kalimah Rajab, Allahumma baarik lana fi Rajab, wa Sya'baan .... Sebenarnya, kedua - dua bacaan tersebut adalah benar dan betul. Jika dibaca Rajaba maka maksudnya adalah Rajab yang tertentu (mu`ayyan), dan jika dibaca Rajabin maka maksudnya adalah Rajab secara umum. Hal ini telah dijelaskan dalam kitab - kitab nahu, antaranya Hasyiah al-Haamidi `alal Kafrawi dan Hasyiah Khudhari `ala Ibni `Aqil, juz 1, halaman 718. Mudah - mudahan bermanfaat hendaknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan