Khamis, Julai 18, 2024

Pengarang Jawahirul Khams

Ulama kita Nusantara, ketika memperturunkan amalan hasballah 70 kali beserta doanya untuk dibaca pada hari `Asyura menjelaskan ianya dinukil daripada seorang yang dikatakan sebagai wali al-Ghauts dalam kitabnya yang berjodol Jawahirul Khams atau dalam sesetengah naskhah ditulis sebagai Jawahirul Khamis dan ada juga yang menulisnya sebagai Jawahirul Khamsah. Misalnya, Mawlana Syaikh Daud rahimahullah dalam Kifaayatul Mubtadi halaman 35 menulis sebagai berikut:- Faedah yang adzimah yang nafisah disebut di dalam kitab Jawahirul Khamis bagi Sayyidi Muhammad al-Ghauts radhiya Allahu `anhu.... Maka siapakah ulama yang digelar al-Ghauts ini? 

Sidi Muhammad al-Ghauts merupakan seorang ulama sufi yang amat tersohor dan terkenal, ahli makrifat yang amat disanjungi dan disegani oleh kawan maupun lawan, yang hidup di Benua IndoPak. Beliau ini adalah ulama sufi yang besar pengaruhnya dan merupakan tokoh dalam berbagai thariqah terutama sekali Thariqat Syathariyyah. Thariqat Syathariyyah merupakan thariqat yang banyak diamalkan oleh ulama - ulama Nusantara terdahulu termasuklah Mawlana Syaikh Daud al-Fathani dan daripada beliau - beliau ini menyebar ke seluruh Nusantara. Maka tidak pelik jika karya Syaikh Muhammad al-Ghauts ini dijadikan rujukan untuk beberapa amalan para ulama kita. Riwayat hidup, ajaran - ajarannya, karya - karyanya, juga pengaruh dan keterlibatannya dalam polemik dan politik telah banyak dibuat kajian oleh para pengkaji dan sarjana. Tuan - tuan bolehlah cari sendiri jika berminat untuk mengetahui lebih lanjut lagi mengenai Sidi Muhammad al-Ghauts yang juga dikenali sebagai Syaikh Muhammad Ghouse Gwaliori kerana makamnya berada di Gwalior, Madhya Pradesh, India.

Dalam entri ini, niat faqir hanyalah untuk secara santai memperkenalkan tokoh ulama ini menerusi beberapa karya, agar kita tidak mudah memandang remeh kepada para ulama terdahulu. Dalam al-A`laam, juz ke-6, halaman 114, az-Zirikli hanya memberikan sedikit informasi mengenai Syaikh Muhammad al-Ghauts. Beliau menyatakan nama penuhnya sebagai Abul Muayyad, Muhammad bin Khathiruddin bin Bayazid al-`Aththar. Wafat tahun 970H bersamaan 1562M. Seorang ahli tasawwuf India yang disifatkan sebagai al-Ghauts (yakni wali ghauts). Beliau mengarang kitab Jawahirul Khams di Gujerat pada tahun 956H.

Sebagaimana yang faqir nyatakan di atas, Syaikh Muhammad al-Ghauts ini adalah seorang ulama sufi yang berperanan besar dalam Thariqat Syathariyyah. Bahkan kebanyakan silsilah Thariqat Syathariyyah yang diamalkan oleh para ulama Nusantara bersambung dengan beliau. Mawlana Syaikh Daud rahimahullah dalam Kaifiat Khatam Quran halaman 174 - 176 menyebut silsilah thariqat beliau, antaranya sebagai berikut:-  Alhamdulillah, telah talqinkan zikir Syathariyyah ini serta dengan bay`ahnya dan libasul khirqah dan kaifiat yang tersebutnya itu oleh faqir ila Allah ta`ala Syaikh Daud bin Abdullah Fathani akan ikhwanana filllah, al-muhibbu lillah, an-naasik, al-muwaafiq, daripada al-`Arif billah Sayyidi asy-Syaikh Muhammad As`ad qaddasaAllahu sirrahu serta ia ijazahkan faqir, ia ambil daripada bapanya Syaikh Muhammad Sa`id Thahir, ia ambil daripada bapanya Sayyidi asy-Syaikh Ibrahim al-Madani, ia ambil daripada bapanya al-`Arif billah, al-`Alim Syaikh Muhammad Thahir, ia ambil daripada bapanya al-`Arif billah, al-Jaami` bainasy Syariah wal Haqiqah, Syaikh Mulla Ibrahim al-Kuraani, ia ambil daripada Quthbul Madaar wa Qudwatul Muqarrabin al-Abraar, Sayyidi Ahmad al-Qusyasyi, ia mengambil daripada Quthbu Daairatu Musyahadah ar-Rabbani, al-Munfarid fi awaanihi bi tsulatsi, Abil Mawahib `Abdullah bin Ahmad at-Tanawi thayyibaAllahu tsarahu, ia mengambil daripada Sulthanul `Arifin, Sayyidi Shibghatullah, ia mengambil daripada Imamul Qidam wa Ulama-ul A'lam, Sayyidina Wajihuddin al-`Alawi, ia mengambil daripada Ghautsul Jaami, Sayyidina Muhammad al-Ghauts...... Maka Syaikh Muhammad al-Ghauts menduduki tangga ke-10 dalam mata rantai silsilah tersebut.

Syaikh Muhammad al-Ghauts juga tercatat sebagai salah seorang guru bagi seorang lagi wali yang masyhur, iaitu Syaikh Shahul Hameed an-Nagore. Perkara ini diketahui umum dan tercatat dalam karya - karya manaqib bagi Syaikh Shahul Hameed Nagore, antaranya sebagaimana tulisan Imam Mahmud ath-Thaybi `alaihi rahmatul Bari yang berjodol Manaaqib al-Quthbul Majid as-Sayyid Shahul Hameed al-Manakpuri an-Naahuuri yang menyatakan bahawa Shahul Hameed telah dididik dan ditarbiah dalam berbagai ilmu terutama sekali ilmu - ilmu kerohanian oleh Syaikh Muhammad bin Khathiruddin (dalam naskhah yang dimiliki faqir ditulis sebagai "Muhammad ibni Khadziruddin" dengan "dhzo" yang mungkin clerical mistake si penyalin), yang dikhitabkan Allah dengan panggilan "Ya Ghauts" secara yakin. Juga dinyatakan bahawa Syaikh Shahul Hameed an-Nagore juga menerima kitab Jawahirul Khamsah daripada beliau.

Akhir sekali, Mawlana Zakaria al-Kandahlawi rahimahullah dalam Tareekh Masyaikh Chisti, karangan beliau mengenai latar belakang para masyaikh dalam silsilah Thariqat Chistiyyah. Ketika menulis mengenai Maulana Shah `Abdul Quddus Gangohi qaddasaAllahu sirrah, beliau menyentuh pertemuan antara Mawlana `Abdul Quddus dengan Syaikh Muhammad al-Ghauts, pengarang kitab Jawahirul Khamsah. Dikisahkan pada halaman 206 bahawa Syaikh Muhammad al-Ghauts ingin bertemu dengan Mawlana `Abdul Quddus yang lebih berusia daripada dirinya. Lalu beliau yang mempunyai murid atau khadam daripada kalangan jin, telah menyuruh beberapa jin untuk membawa Mawlana `Abdul Quddus kepadanya. Namun, singkat cerita, jin - jin tersebut sebaliknya telah membawa Syaikh Muhammad al-Ghauts kepada Mawlana `Abdul Quddus atas perintah Mawlana `Abdul Quddus. Dalam pertemuan tersebut, Mawlana Abdul Quddus telah memberikan teguran, nasihat dan pengajaran kepada Syaikh Muhammad al-Ghauts. Syaikh Muhammad al-Ghauts juga mengambil bay`ah daripada Mawlana Abdul Quddus sehingga beliau mencapai kedudukan shahibun nisbat (yakni satu kedudukan kerohanian yang tinggi).

Sebagai penutup, Syaikh Muhammad al-Ghauts meninggal dunia di Agra pada 17 Ramadhan 970H dan dimakamkan di Gwalior. Beliau meninggalkan ramai murid dan khalifah thariqat, juga beberapa karya lain seperti Mairaj Namah, Bahrul Hayat dan Khalid e Makhzan. Begitulah sekelumit kecil daripada riwayat hidup Syaikh Muhammad al-Ghauts qaddasaAllahu sirrah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Syaikh Muhammad al-Ghauts dan menyampaikan keberkatannya kepada kita sekalian.

Kubah Makam Syaikh Muhammad al-Ghauts di Gwalior

Tiada ulasan: