Isnin, Januari 29, 2024

Hikayat Kepala Khinzir

Kita mesti pernah mendengar cerita tentang seorang anak yang ayahnya ketika meninggal dunia, jasad atau rupanya berubah menjadi hodoh, lalu si anak bermimpi melihat Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam datang memberikan syafaat baginda kepada si ayah kerana si ayah tadi ketika hidupnya banyak membaca shalawat. Di entri ini faqir datangkan versi cerita seumpama tersebut yang dinukil dalam Nuzhatul Majalis. Suka faqir ingatkan bahawa ini sekadar cerita atau hikayat, maka nak dengar, dengar: Tak nak, duduk diam - diam, tak payah nak berisik.

Hikayat ini sebenarnya nukilan Syaikh Abdul Rahman bin Abdus Salam ash-Shafuri (w.894H) rahimahullah dari kitab karya asy-Syaikh al-Imam al-'Alim al-'Allaamah Jamaluddin bin Abu Bakar al-Khawarizmi yang berjodol Mufidul Ulum wa Mubidul Humum yang memuatkan hikayat ini pada halaman 125. Nukilan ash-Shafuri pula dalam Nuzhatul Majalis pada halaman 356 sebagai berikut:-

Hikayat: Tersebut dalam kitab Mufidul `Ulum wa Mubidul Humum karangan Abu Hamid al-Qazwini bahawa ada seorang lelaki bermusafir bersama dengan bapanya. Dalam perjalanan, bapanya tersebut telah menemui ajalnya. Setelah meninggal, kepala bapanya berubah menjadi kepala babi, maka menangislah si anak sambil merayu kepada Allah. Tiba - tiba si anak dikalahkan oleh mengantuk lalu tertidur. Dalam tidurnya si anak bermimpi mendengar seseorang berkata: "Adalah bapamu pemakan riba (itulah sebab diubah kepalanya menjadi babi), namun Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam telah memberikan syafaat kepadanya kerana dia setiap kali mendengar (nama) Nabi Muhammad disebut pasti akan bershalawat ke atas baginda, dengan syafaat itu Kami kembalikan rupanya kepada asal".

Hikayat ini memperikan keberkatan bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tidak dapat dinafikan bahawa bershalawat ketikamana Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam disebut adalah satu perbuatan yang sangat dituntut bahkan ada ulama yang mewajibkannya sebagaimana pendapat Imam Abu Ja'far at-Tahawi serta sekelompok ulama daripada kalangan Hanafiyyah, juga Imam Abu Abdullah al-Halimi dan Syaikh Abu Hamid al-Isfarayini bersama sekumpulan ulama Mazhab Syafie. Imam at-Tahawi menyatakan bahawa: "Wajib  bershalawat ke atas Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, setiap kali seseorang mendengar (nama) Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam disebut, samada daripada orang lain atau dia sendiri yang menyebutnya." Inilah pandangan beberapa ulama tersebut dan pandangan ini dianggap sebagai  al-ahwath yakni pendapat yang paling berhati-hati (ihtiyath) oleh Qadhi Ibnul `Arabi al-Maliki. Namun, menurut jumhur ulama hukumnya sunat atau mustahab sahaja. Sesiapa yang melakukannya akan mendapat ganjaran yang besar, namun yang tidak berbuat sedemikian tidaklah berdosa, melainkan jika keengganannya bershalawat itu untuk meremeh atau merendah Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Walaupun ada perbezaan pendapat tadi, kita harus ingat ada beberapa riwayat yang sahih mengenai perkara ini, antaranya, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Kehinaanlah bagi sesiapa yang ketikamana aku disebut di hadapannya lalu dia tidak bershalawat untukku." Jadi dapat difahami bahawa orang yang bershalawat ketika mana dia mendengar nama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam disebut akan mendapat kemuliaan dan berbahagia, sebagaimana dia memuliakan Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan bershalawat dan merasa bahagia ketika mendengar nama baginda disebut. Oleh iti, jangan alpa hal ini, sayogia diberi perhatian dan dititikberat.

Akhirul kalam, jangan juga diambil hikayat ini atau mana - mana hikayat, hatta riwayat sekalipun, yang memperikan apa jua kelebihan, kehebatan atau keutamaan shalawat atau apa jua bentuk amal shalih, sebagai dalih atau alasan untuk kita berani durhaka, meremehkan dosa dan berbuat maksiat kepada Allah. Ingat bahawa segala fadhilat dan syafaat itu tertakluk kepada kehendak dan izin Allah semata. Renungi penggalan Ayatul Kursi yang menyatakan: "...Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberikan syafaat di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya..." Dan jangan lupa juga bahawa pengampunan juga hak mutlak Allah ta`ala. Dosa besar yang diberi keampunan oleh Allah tidak jadi mudarat, sebaliknya dosa kecil yang tidak Allah ampun akan menjerumuskan seseorang ke neraka. Oleh itu, sentiasa istiqamah atas takwa dengan menjalankan ketaatan dan menjauhi tegahan, Allahul Musta`an.



Sabtu, Januari 20, 2024

Qulhu Di Bulan Rejab

Tidak ada sesiapa yang dapat menafikan kelebihan dan keistimewaan Surah al-Ikhlas. Dalam riwayat - riwayat yang berbagai darjat, dari shahih ke dhaif, banyak yang mengkhabarkan kelebihan dan fadhilat surah yang dinobatkan sebagai sepertiga Quran ini. Ini tidak termasuk berbagai hikayat, kisah dan cerita mengenainya yang dialami dan diceritakan oleh para awliya` dan shalihin. Ajaran pokok yang terkandung dalam surah yang mulia ini adalah tauhid dan tidak ada sesuatu yang paling berharga dan bernilai di dunia mau pun akhirat selain mentauhidkan Allah
`azza wa jalla. Para rasul `alaihimush shalatu wa sallam diutus untuk mengajar dan membawa manusia untuk mentauhidkan Allah. 

Wujudnya alam semesta ini dari tiada kepada ada, menjadi antara bukti bahawa Sang Penciptanya itu Esa tanpa ada sekutu. Jika Sang Pencipta tidak Esa, maka pasti alam ini berantakan atau binasa, bahkan tidak akan wujud. Allah yang Maha Esa berfirman, surah al-Anbiya` ayat ke-22, yang kira - kira bererti: "Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan - tuhan selain Allah, tentulah kedua -duanya binasa. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan) Maha Suci Allah Tuhan yang mempunyai `arasy daripada apa - apa yang disifatkan oleh mereka." 

Makanya, dikatakan bahawa alam ini, bumi dan langit, dibina atau diasaskan atas "Qul Huwa Allahu Ahad" yakni atas dasar Tauhid, hanya Allah sahaja Tuhan yang mencipta dan mentadbir alam ini. Imam Abu Bakar Ahmad bin Marwan ad-Dinawari al-Qadhi al-Maliki (wafat 333H) rahimahullah meriwayatkan dalam al-Mujalasah wa Jawahirul `Ilm, jilid 8, halaman 156, bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda sebagai berikut: "Diasaskan atau dibina akan tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi atas (dasar) "Qul Huwa Allahu Ahad". Imam as-Sayuthi rahimahullah menukilkan riwayat ini dalam al-Jami`ush Shaghir dan menurut beliau ia berstatus dhaif. Sungguh pun sanad riwayatnya bermasalah, namun pengertiannya adalah benar, yakni yang dikehendaki dengan riwayat tersebut adalah segala langit dan bumi dibina sebabnya adalah untuk mentawhidkan Allah, menjelaskan shamadhiyyahNya (yakni hanya kepadaNya makhluk berharap, bergantung dan bersandar bagi memenuhi hajat keperluan mereka), menzahirkan uluhiyyahNya dan mentanzihkanNya daripada beranak, diperanak, sekutu dan pendamping; Sebagaimana perkataan Imam Shan`ani dalam at-Tanwir, jilid 2, halaman 358.

Sebahagian ulama lain, menghubungkan riwayat tersebut hanya kepada Sayyidina Ka`ab al-Ahbar. Misalnya, Ibnu Dhurais (w. 294H) rahimahullah dalam Fadhailul Quran, halaman 110, meriwayatkannya sebagai atsar daripada seorang hamba yang shalih, iaitu Ka`ab al-Ahbar rahimahullah, yang menyatakan: "Bahawasanya segala bumi ini diasaskan atas "Qul Huwa Allahu Ahad".

Maka kejadian langit dan bumi serta alam semesta ini menjadi dalil atau tanda atau alamat atas keesaan Sang Penciptanya, iaitu Allah `azza wa jalla. Bersempena keberadaan kita dalam bulan Rejab yang mulia, faqir nukilkan hikayat / riwayat yang disampaikan oleh ulama yang ada kaitan dengan kelebihan Surah al-Ikhlas. Syaikh Muhammad Amin al-Kurdi al-Irbili qaddasaAllahu sirrahul `aziz dalam karyanya Dhia-us Siraj halaman 9 menulis sebagai berikut: 

...(Faedah yang lain) daripada sebahagian orang shalih juga, (yang menyatakan bahawa:) " (Mudah - mudahan) sesiapa sahaja hamba Allah yang membaca pada setiap hari dari hari - hari di bulan Rejab akan surah "Qul Huwa Allahu Ahad" sekali (yakni sekurang - kurangnya sekali), melainkan dikurniakan kepadanya ganjaran pahala yang tidak diketahui kadarnya oleh selain Allah ta`ala. Maka jikalau ada 10,000 unta yang menanggung muatan kertas - kertas, lalu berhimpun pula para malaikat penghuni langit yang di tangan - tangan mereka ada pena emas untuk mencatat pahalanya atas kertas - kertas tersebut, nescaya mereka tidak akan mampu untuk menulis kadar pahala (bacaan) "Qul Huwa Allahu Ahad" tadi.

Syaikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani @ Tok Syaikh Nik Mat Kecik rahimahullah  dalam al-Bahjatul Mardhiyyah, halaman 139, menyatakan sebagai berikut: 

...Dan menyebut oleh asy-Syaikh al-Hannaathi: "Barangsiapa membaca `Qul Huwa Allahu Ahad' pada tiap - tiap hari daripada Rejab sekali, yakni tiap - tiap hari sekali (yakni setidak - tidaknya sekali), maka seolah - olah memuat ia 10,000 unta pelari (yakni unta yang gagah) akan kertas dan berhimpun isi tujuh petala langit dan bumi dengan tangan mereka itu qalam daripada emas, menyurat sekalian akan pahala `Qul Huwa Allahu Ahad' pada demikian kertas itu..."

Allahu ... Allah, urusan ganjaran pahala ini adalah hak mutlak Allah ta`ala, dan terhenti atas nas, maka jika pun tiada warid yang sedemikian itu daripada nas, maka anggap sahajalah apa yang dinyatakan dan dinukil oleh para ulama tadi sebagai termasuk dalam bab khabariyyah lafzan insyaiyyah ma'nan. Yang pasti membaca surah yang mulia tersebut sememangnya memiliki ganjaran pahala dan kelebihan sebagaimana warid dalam nas - nas yang shahih lagi masyhur. Semoga bermanfaat hendaknya dan tetap istiqamah atas Surah al-Ikhlas dengan seikhlas - ikhlasnya.