Isnin, Januari 29, 2024

Hikayat Kepala Khinzir

Kita mesti pernah mendengar cerita tentang seorang anak yang ayahnya ketika meninggal dunia, jasad atau rupanya berubah menjadi hodoh, lalu si anak bermimpi melihat Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam datang memberikan syafaat baginda kepada si ayah kerana si ayah tadi ketika hidupnya banyak membaca shalawat. Di entri ini faqir datangkan versi cerita seumpama tersebut yang dinukil dalam Nuzhatul Majalis. Suka faqir ingatkan bahawa ini sekadar cerita atau hikayat, maka nak dengar, dengar: Tak nak, duduk diam - diam, tak payah nak berisik.

Hikayat ini sebenarnya nukilan Syaikh Abdul Rahman bin Abdus Salam ash-Shafuri (w.894H) rahimahullah dari kitab karya asy-Syaikh al-Imam al-'Alim al-'Allaamah Jamaluddin bin Abu Bakar al-Khawarizmi yang berjodol Mufidul Ulum wa Mubidul Humum yang memuatkan hikayat ini pada halaman 125. Nukilan ash-Shafuri pula dalam Nuzhatul Majalis pada halaman 356 sebagai berikut:-

Hikayat: Tersebut dalam kitab Mufidul `Ulum wa Mubidul Humum karangan Abu Hamid al-Qazwini bahawa ada seorang lelaki bermusafir bersama dengan bapanya. Dalam perjalanan, bapanya tersebut telah menemui ajalnya. Setelah meninggal, kepala bapanya berubah menjadi kepala babi, maka menangislah si anak sambil merayu kepada Allah. Tiba - tiba si anak dikalahkan oleh mengantuk lalu tertidur. Dalam tidurnya si anak bermimpi mendengar seseorang berkata: "Adalah bapamu pemakan riba (itulah sebab diubah kepalanya menjadi babi), namun Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam telah memberikan syafaat kepadanya kerana dia setiap kali mendengar (nama) Nabi Muhammad disebut pasti akan bershalawat ke atas baginda, dengan syafaat itu Kami kembalikan rupanya kepada asal".

Hikayat ini memperikan keberkatan bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tidak dapat dinafikan bahawa bershalawat ketikamana Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam disebut adalah satu perbuatan yang sangat dituntut bahkan ada ulama yang mewajibkannya sebagaimana pendapat Imam Abu Ja'far at-Tahawi serta sekelompok ulama daripada kalangan Hanafiyyah, juga Imam Abu Abdullah al-Halimi dan Syaikh Abu Hamid al-Isfarayini bersama sekumpulan ulama Mazhab Syafie. Imam at-Tahawi menyatakan bahawa: "Wajib  bershalawat ke atas Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, setiap kali seseorang mendengar (nama) Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam disebut, samada daripada orang lain atau dia sendiri yang menyebutnya." Inilah pandangan beberapa ulama tersebut dan pandangan ini dianggap sebagai  al-ahwath yakni pendapat yang paling berhati-hati (ihtiyath) oleh Qadhi Ibnul `Arabi al-Maliki. Namun, menurut jumhur ulama hukumnya sunat atau mustahab sahaja. Sesiapa yang melakukannya akan mendapat ganjaran yang besar, namun yang tidak berbuat sedemikian tidaklah berdosa, melainkan jika keengganannya bershalawat itu untuk meremeh atau merendah Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Walaupun ada perbezaan pendapat tadi, kita harus ingat ada beberapa riwayat yang sahih mengenai perkara ini, antaranya, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Kehinaanlah bagi sesiapa yang ketikamana aku disebut di hadapannya lalu dia tidak bershalawat untukku." Jadi dapat difahami bahawa orang yang bershalawat ketika mana dia mendengar nama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam disebut akan mendapat kemuliaan dan berbahagia, sebagaimana dia memuliakan Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan bershalawat dan merasa bahagia ketika mendengar nama baginda disebut. Oleh iti, jangan alpa hal ini, sayogia diberi perhatian dan dititikberat.

Akhirul kalam, jangan juga diambil hikayat ini atau mana - mana hikayat, hatta riwayat sekalipun, yang memperikan apa jua kelebihan, kehebatan atau keutamaan shalawat atau apa jua bentuk amal shalih, sebagai dalih atau alasan untuk kita berani durhaka, meremehkan dosa dan berbuat maksiat kepada Allah. Ingat bahawa segala fadhilat dan syafaat itu tertakluk kepada kehendak dan izin Allah semata. Renungi penggalan Ayatul Kursi yang menyatakan: "...Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberikan syafaat di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya..." Dan jangan lupa juga bahawa pengampunan juga hak mutlak Allah ta`ala. Dosa besar yang diberi keampunan oleh Allah tidak jadi mudarat, sebaliknya dosa kecil yang tidak Allah ampun akan menjerumuskan seseorang ke neraka. Oleh itu, sentiasa istiqamah atas takwa dengan menjalankan ketaatan dan menjauhi tegahan, Allahul Musta`an.



2 ulasan: