Selasa, Mei 24, 2011

Ya Amaanal Khaaifin

Di atas adalah bentuk doa "Ya Amaanal Khaaifiin" yang biasa diamalkan orang kita. Ianya ese ambil dari himpunan "`Aziizul Manaali wa Fathu Baabil Wishaal" yang berisikan antara lain, Ratib al-`Aththas, yang dihimpun oleh al-`Alim KH Fathullah Harun rahimahUllah. Beliau meletakkan doa ini selepas doa ratib yang masyhur tersebut. Biasanya orang-orang kat tempat kami menjadikan doa ini sebagai doa penutup setelah sembahyang fardhu dan sebagainya. Tiada sesiapa yang menyanggah amalan berdoa dan menyeru Allah dengan panggilan "Ya Amaanal Khaaifiin" tersebut di tempat kita ini, sehinggalah sekitar tahun 2003 di mana satu polemik mengenainya dicetuskan oleh seseorang yang mengaku bergurukan kepada Syaikh Muhammad bin `Abdul Qadir al-Mandili yang kononnya menyatakan bahawa doa tersebut tidak boleh diamalkan kerana ianya berasal daripada doa kaum Yahudi yang memohon keselamatan daripada Haman. Mujur juga polemik tersebut cepat dipadamkan oleh para ulama kita. Bahkan pihak Mufti Kerajaan Johor telah memutuskan mengenai doa tersebut pada 26 Rejab 1424H bersamaan 23 September 2003, yang antara lainnya menyebut:-

  • Kita tidak dilarang berdoa dengan karangan kita sendiri apatah lagi doa yang dikarang dan diamalkan oleh ulama`, selagi mana kalimah / perkataan doa tersebut tidak bercanggah dengan akidah, syariat dan akhlak Islam, juga dengan adab-adab berdoa.
  • Doa يا أمان الخائفين boleh dibaca kerana doa tersebut menyeru dan memohon kepada Allah S.W.T, dan beramal dengan doa tersebut tidak menjejaskan akidah Islamiah.
Sungguhpun begitu, nampaknya ada lagi segelintir yang masih ingin memunculkan semula polemik tersebut sebagaimana berlaku di tempat ese. Ada ustaz berkelulusan Timur Tengah yang meng"haram"kan beramal dengan doa tersebut. Ese idaklah hendak menafikan hak sang ustaz untuk beramal dengan pemahamannya mengenai nama-nama Allah yang mungkin bagi dirinya adalah perkara tauqifiyyah yang terhenti atas nash dan dalil. Tetapi adalah tidak wajar jika pemahaman tersebut hendak dipaksakan ke atas pihak lain yang memiliki pandangan lain yang juga dii'tibar. Tambah malang lagi apabila cerita dongeng yang kononnya doa tersebut berasal daripada Yahudi ditimbulkan lagi, lalu dituduhlah bahawa mereka-mereka yang mengamalkan doa tersebut sebagai memohon kepada Haman dan seumpamanya daripada segala tohmahan yang keji lagi dusta.

Jika kita telusuri khazanah para ulama silam yang muktabar, pasti kita akan dapati bahawa seruan "Ya Amaanal Khaaifiin" telah digunakan dalam karya-karya mereka. Antaranya yang mudah kita lihat dan luas penyebarannya adalah karya yang berisikan wirid yang dihimpun oleh Imam Mulla `Ali al-Qari bin Sultan Muhammad al-Hirawi al-Makki `alaihi rahmatul Bari (wafat tahun 1014H), seorang ulama besar yang menguasai berbagai disiplin ilmu Islam termasuklah ilmu hadits. Dalam himpunan wirid beliau tersebut yang masyhur dengan nama "al-Hizbul A'dhzam" pada Manzil yang ke-7, bacaan hari Jumaat, beliau menganjurkan dibaca sholawat yang berbunyi:-

Kan jelas dalam sholawat tersebut digunakan seruan "Ya Amaanal Khaaifiin" bagi Allah SWT. Siapa yang mengamalkannya, bukan hanya Mulla `Ali al-Qari tetapi ramai lagi ulama kita kerana "Hizbul A'dhzam" adalah antara amalan wirid yang telah tersebar ke segenap penjuru dunia Islam. Ulama kita di Nusantara juga ramai yang telah menerima dan mengamalkan "Hizbul A`dhzam" tersebut. Antaranya adalah Syaikh `Abdullah Fahim @ Syaikh `Abdullah bin Syaikh Ibrahim al-Falfalani al-Jawi yang menerimanya daripada Syaikh Muhammad Amin Ridhwan yang menerimanya daripada Syaikh Abdul Ghani an-Naqsyabandi yang menerimanya daripada Syaikh Isma`il ar-Rumi al-Madani yang menerimanya daripada Syaikh Shaleh al-Fulani yang menerimanya daripada Syaikh Muhammad bin Muhammad bin Sunnah daripada Mawlay asy-Syarif Syaikh Muhammad bin `Abdullah al-Wulati yang menerimanya daripada Syaikh `Abdul Qadir ath-Thabari yang menerimanya daripada Syaikh al-`Alim al-`Allamah Mulla `Ali al-Qari al-Hirawi rahimahumUllah. Jika sahaja amalan tersebut salah dan menyalahi ajaran Islam Ahlus Sunnah wal Jama`ah, pasti para ulama ini akan bangkit membantah dan tidaklah mereka memperturunkannya kepada para murid mereka.

Oleh itu, amat keji dongeng yang menisbahkan penggunaan "Ya Amaanal Khaaifiin" kepada Yahudi. Kenapa mereka tergamak membuat kisah-kisah dongeng tersebut ? Tidakkah mereka tahu akibatnya? Tergamakkah mereka menuduh para ulama kita seperti Mulla `Ali al-Qari al-Hanafi tersebut sebagai tidak memahami persoalan dan perbahasan mengenai nama-nama Allah yang mulia dan penggunaan serta kaedah Bahasa Arab. Adakah mereka merasakan bahawa hanya mereka sahaja yang faham akan Islam berbanding para ulama kita ? Allahu ... Allah...... moga diberi tawfiq dan hidayah.

Ahad, Mei 15, 2011

Habib Kuncung

Beliau adalah al-Habib Ahmad bin Alwi al-Haddad, dilahirkan di Kota Ghurfah, Tarim, Hadhramaut tanggal 26 Sya'baan 1254H. Selain ayahandanya, guru-guru beliau, antaranya, adalah Habib `Ali bin Husain al-Hadar, Habib `Abdur Rahman bin `Abdullah al-Habsyi dan Habib `Abdullah bin Muhsin al-`Athtas (Habib Keramat Empang, Bogor). Oleh gurunya, Habib `Abdullah bin Muhsin al-`Aththas, beliau dipanggil dengan panggilan "Habib Kuncung" kerana kopiah kuncung yang selalu dipakainya. Maka terkenallah beliau dengan gelaran tersebut.

Habib Kuncung amat mencintai para guru beliau. Dengan Habib `Abdullah Keramat Empang, beliau memiliki hubungan yang cukup akrab bak anak dengan ayah. Bahkan di mana pun ada Habib `Abdullah, pasti di situ ada Habib Kuncung. Hubungan ini berterusan sehinggalah gurunya ini wafat. Habib Kuncung pada asalnya menjalankan perniagaan dan berjaya menjadi seorang pedagang yang berjaya sehingga memiliki harta di Singapura. Kemudiannya, beliau lebih suka menjalani hidup dengan berkelana di bumi Allah. Beliau terkenal sebagai seorang wali ahlud darkah yang dianugerahkan dengan berbagai karamah yang khawariqul adah. Di antara perkara yang ganjil yang sering berlaku adalah beliau sering muncul dengan tak semena-menanya dalam majlis-majlis di mana nama beliau disebut. Dalam majlis-majlis ulama, beliau sering diminta untuk menjadi pembaca kitab-kitab salaf kerana beliau memiliki suara yang lantang, menguasai bahasa Arab dan berilmu tinggi. Sungguhpun demikian, Habib Kuncung sentiasa bersikap tawadhu` dan khumul. Sebagaimana beliau muncul dalam sesuatu majlis, maka begitulah juga beliau menghilangkan dirinya dengan tiba-tiba dari majlis tersebut tanpa disedari orang. Itulah antara sikap beliau yang sentiasa menghindarkan diri dari kemasyhuran.

Habib Kuncung rahimahUllah meninggalkan dunia yang fana ini pada 29 Sya'baan 1345H dan dimakamkan di pemakaman keluarga al-Haddad, Kalibata, Jakarta Selatan. Makam beliau sehingga kini masih tetap diziarahi ramai... al-Fatihah.

****************************
Makam Habib Kuncung


Sabtu, Mei 14, 2011

Keutamaan Ahli Ilmu


Ulama yang haq itu adanya
Disifatkan oleh Junjungan SAW sebagai pewaris baginda.
Telah masyhur akan sabdaan Baginda mengenainya.
Oleh itu, carilah kamu wahai saudara
Carilah akan pewaris - pewaris baginda

Pabila berjumpa
Duduklah kamu besertanya
Sambil menghirup dan menikmati ilmu dan akhlaknya
Baik yang masih hidup bernyawa di dunia fana
Dengan hadir majlis-majlis mereka
Menuntut dan menadah di hadapan mereka

Bagi yang telah berpindah ke alam baqa
Bersamalah mereka dengan kecintaanmu sentiasa
Telaah dan kaji tinggalan mereka
Berupa kitab karangan, makalah, risalah juga
Jangan jemu dan jangan leka daripadanya

Antara keutamaannya ulama
Sebagai dinyata ulama tabi`in yang tiada tara
Imam Hasan al-Bashri atasnya rahmat Tuhan semesta
Dipungut dari karya pemuka ulama
Habib 'Abdur Rahman mufti bangsa al-Masyhur ternama
Kitab cemerlang "Bughyatul Mustarsyidin" rujukan utama

Goresan pena orang alim itu adanya
Adalahlah ia tasbih umpamanya
Mencatat ilmu juga berfikir mengenainya
Adalah ia suatu ibadah utama
Tinta yang digunakan untuk mencatat ilmunya
Diumpamakan dengan darahnya para syuhada
Pabila dibangkitkan ia dari kuburnya
Takjub segala makhluk memandangnya
Dengan anbiya kan ia dihimpunkan bersama

Itulah antara kelebihan alim ulama
Oleh itu jadikanlah dirimu alim akan agama
Jangan hanya tahukan dunia
Rakus merebutnya tak tentu masa
Ilmu agama jadi dialpa
Akhirnya terpinggir di almari sahaja

Tuntut telaah mengaji janganlah lupa
Juga jadikan amalan jangan dileka
Biar tergolong kita dalam himpunan pencinta ilmu dan ulama
Sungguh seseorang itu akan bersama
Sesiapa yang menjadi kecintaannya.

Isnin, Mei 09, 2011

Hukum Menggantung Foto

Menggantung gambar-gambar foto adalah satu kelaziman dalam masyarakat kita. Barang mana tempat kita pergi, baik pejabat, sekolah maupun rumah kediaman, kita akan melihat foto-foto digantung atau diletak di sana sini, baik foto para pemimpin negara atau foto-foto ahli keluarga. Jadi perbuatan menggantungkan gambar-gambar fotografi ini telah diterima oleh masyarakat kita, tanpa menafikan wujudnya perselisihan pendapat mengenainya. Apa yang zahir bahawa kebanyakan umat Islam di negara ini menerima pendapat yang mengharuskan gambar-gambar fotografi yang munasabah dan yang tidak menimbulkan fitnah. Pendapat yang mengharamkan secara mutlak akan gambar-gambar fotografi nampaknya tidak diikuti oleh masyarakat kita.

Di antara ulama yang memfatwakan keharusan memotret atau merakam gambar-gambar fotografi adalah mantan mufti Mesir, al-'Alim al-'Allaamah Syaikh Muhammad Bakhit al-Muthi`ie rahimahUllah dan pandangan beliau ini diutarakannya dalam karyanya berjodol "al-Jawaabul Kaafi fi ibahaatit tashwiiril futughafi." Fatwa beliau juga diikuti oleh ramai ulama terbilang dahulu dan sekarang termasuklah Dr. Yusuf al-Qardhawi hafizahUllah. Sebaliknya, fatwa yang mengharamkannya pula juga didukung oleh sekelompok ulama dari berbagai aliran mazhab, baik dari benua kecil IndoPak maupun dari Timur Tengah. Setiap pihak mempunyai dalil dan hujjah masing-masing.

Oleh itu jika dihukumkan gambar foto itu harus dan bukannya haram, maka menggantungkannya pun diharuskan pada hukum asal. Namun jika ianya digantung untuk dipuja - umpamanya:- gantung pastu letak kalung bunga pastu kasi colok pastu mengadap simayang - pasti tiada kesangsian pada kejinya perbuatan tersebut dan haramnya, bahkan suatu kesyirikan atau yang menjurus kepada syirik. Namun kalau semata-mata menggantung, bukan dengan niat memuja atau memuliakannya, sebab yang menggantungnya itu orang Islam yang beriman, yang tidak sewajarnya kita berprasangka buruk kepadanya, kenapa harus ada prasangka jahat dalam benak kita untuk menuduh bahawa saudara kita yang beriman ini memuja gambar???? Jika begitu, apakah harus kita berprasangka bahawa setiap mukmin yang menggantung gambar pemimpin, baik pemimpin negara maupun parti, akan dianggap sebagai memuja-muja mereka melebihi Allah dan rasulNya? Sebenarnya, ia terpulanglah dengan niat dan tujuan masing-masing, jika baik niatnya maka baiklah balasannya dan jika jahat maka jahatlah pula jadinya, dengan mengambilkira keadaan foto tersebut juga.

Shohibus Samahah, Dr. 'Ali Jum`ah hafizahUllah, mufti Mesir ditanyai mengenai hukum bagi seseorang menggantung foto ayah ibunya yang sudah wafat di tempat masuk apartment kediamannya agar sesiapa memasuki kediamannya dan melihat gambar tersebut akan mendoakan kedua mereka. Untuk melihat kepada pertanyaan dan fatwa tersebut silalah layari Darul Ifta` Mishriyyah di mana ianya telah dijawab oleh Shahibus Samahah Mufti dengan:-
Link
Tidak mengapa (yakni HARUS) hukumnya mengedar gambar-gambar fotografi atau menggantungkannya, samada gambar manusia maupun haiwan. Ini adalah kerana gambar fotografi hanyalah suatu upaya penahanan atau perakaman imej (yakni imej sesuatu itu ditangkap atau hanya dirakam dengan sejenis alat seperti kamera umpamanya). Maka tidaklah ada padanya usaha untuk menyaingi penciptaan Allah yang mana warid amaran bagi orang yang membuat lukisan (yakni imej yang ditahan atau dirakam itu tetap imej ciptaan Allah dan bukannya sesuatu yang dibuat oleh seseorang. Maka tidak timbul rekayasa si pelukis untuk mencipta sesuatu seolah-olah hendak menyaingi ciptaan Allah SWT). Ini adalah apabila foto tersebut bukannya foto bogel atau foto yang boleh menimbulkan fitnah. Yang dimaksudkan dengan "tashwir @ membuat gambar" yang diancam dalam hadits adalah pembuatan patung-patung yang sempurna bentuknya, di mana terdapat padanya upaya untuk seolah-olah menyaingi ciptaan Allah ta`ala. Oleh itu merakam gambar secara fotografi walaupun juga dinamakan sebagai "tashwir" tidaklah haram kerana tidak wujud `illah tersebut padanya dan sesuatu hukum itu bersama dengan illahnya sama ada wujud atau tidak. Merakam gambar fotografi pada hakikatnya hanyalah penahanan @ rakaman imej dan ianya tidaklah dinamakan sebagai "tashwir" melainkan secara majaz sahaja. Ketetapan bagi sesuatu hukum adalah berdasarkan kepada yang dinamakan dan bukannya pada namanya.

Dibina atas yang sedemikian dan sebagaimana yang ditanya, maka sesungguhnya perbuatan menggantung foto ayah dan ibumu tersebut menurut Hukum Syarak adalah HARUS kerana tujuan yang murni tersebut selagi mana foto ibumu itu layak dan sopan (yakni tidak mendedahkan aurat). Tidak menjadi masalah sama ada foto tersebut, foto imej yang sempurna ataupun tidak. Yang sedemikian itu bukanlah sesuatu yang diharamkan, jadi ianya tidaklah sebagaimana dikhabarkan sebahagian orang kepadamu.
Mudah-mudahan kita dapat faedah daripada fatwa Shohibus Samahah Mufti hafizahUllah. Kepada yang merasakan ianya tidak sebagaimana difatwakan, maka mereka berhak dengan pendapat mereka sebagaimana kita juga berhak untuk mengikut pendapat mana yang hendak kita jadikan pegangan kerana persoalan ini hanyalah berkaitan isu furu` fiqhiyyah yang tidak lepas daripada khilaf. Berlapang dadalah wahai saudara-saudara seagama, moga kita semua dirahmatiNya dan dapat beramal sholeh dengan aman tanpa gangguan suara-suara sumbang.