Selasa, Mei 24, 2011

Ya Amaanal Khaaifin

Di atas adalah bentuk doa "Ya Amaanal Khaaifiin" yang biasa diamalkan orang kita. Ianya ese ambil dari himpunan "`Aziizul Manaali wa Fathu Baabil Wishaal" yang berisikan antara lain, Ratib al-`Aththas, yang dihimpun oleh al-`Alim KH Fathullah Harun rahimahUllah. Beliau meletakkan doa ini selepas doa ratib yang masyhur tersebut. Biasanya orang-orang kat tempat kami menjadikan doa ini sebagai doa penutup setelah sembahyang fardhu dan sebagainya. Tiada sesiapa yang menyanggah amalan berdoa dan menyeru Allah dengan panggilan "Ya Amaanal Khaaifiin" tersebut di tempat kita ini, sehinggalah sekitar tahun 2003 di mana satu polemik mengenainya dicetuskan oleh seseorang yang mengaku bergurukan kepada Syaikh Muhammad bin `Abdul Qadir al-Mandili yang kononnya menyatakan bahawa doa tersebut tidak boleh diamalkan kerana ianya berasal daripada doa kaum Yahudi yang memohon keselamatan daripada Haman. Mujur juga polemik tersebut cepat dipadamkan oleh para ulama kita. Bahkan pihak Mufti Kerajaan Johor telah memutuskan mengenai doa tersebut pada 26 Rejab 1424H bersamaan 23 September 2003, yang antara lainnya menyebut:-

  • Kita tidak dilarang berdoa dengan karangan kita sendiri apatah lagi doa yang dikarang dan diamalkan oleh ulama`, selagi mana kalimah / perkataan doa tersebut tidak bercanggah dengan akidah, syariat dan akhlak Islam, juga dengan adab-adab berdoa.
  • Doa يا أمان الخائفين boleh dibaca kerana doa tersebut menyeru dan memohon kepada Allah S.W.T, dan beramal dengan doa tersebut tidak menjejaskan akidah Islamiah.
Sungguhpun begitu, nampaknya ada lagi segelintir yang masih ingin memunculkan semula polemik tersebut sebagaimana berlaku di tempat ese. Ada ustaz berkelulusan Timur Tengah yang meng"haram"kan beramal dengan doa tersebut. Ese idaklah hendak menafikan hak sang ustaz untuk beramal dengan pemahamannya mengenai nama-nama Allah yang mungkin bagi dirinya adalah perkara tauqifiyyah yang terhenti atas nash dan dalil. Tetapi adalah tidak wajar jika pemahaman tersebut hendak dipaksakan ke atas pihak lain yang memiliki pandangan lain yang juga dii'tibar. Tambah malang lagi apabila cerita dongeng yang kononnya doa tersebut berasal daripada Yahudi ditimbulkan lagi, lalu dituduhlah bahawa mereka-mereka yang mengamalkan doa tersebut sebagai memohon kepada Haman dan seumpamanya daripada segala tohmahan yang keji lagi dusta.

Jika kita telusuri khazanah para ulama silam yang muktabar, pasti kita akan dapati bahawa seruan "Ya Amaanal Khaaifiin" telah digunakan dalam karya-karya mereka. Antaranya yang mudah kita lihat dan luas penyebarannya adalah karya yang berisikan wirid yang dihimpun oleh Imam Mulla `Ali al-Qari bin Sultan Muhammad al-Hirawi al-Makki `alaihi rahmatul Bari (wafat tahun 1014H), seorang ulama besar yang menguasai berbagai disiplin ilmu Islam termasuklah ilmu hadits. Dalam himpunan wirid beliau tersebut yang masyhur dengan nama "al-Hizbul A'dhzam" pada Manzil yang ke-7, bacaan hari Jumaat, beliau menganjurkan dibaca sholawat yang berbunyi:-

Kan jelas dalam sholawat tersebut digunakan seruan "Ya Amaanal Khaaifiin" bagi Allah SWT. Siapa yang mengamalkannya, bukan hanya Mulla `Ali al-Qari tetapi ramai lagi ulama kita kerana "Hizbul A'dhzam" adalah antara amalan wirid yang telah tersebar ke segenap penjuru dunia Islam. Ulama kita di Nusantara juga ramai yang telah menerima dan mengamalkan "Hizbul A`dhzam" tersebut. Antaranya adalah Syaikh `Abdullah Fahim @ Syaikh `Abdullah bin Syaikh Ibrahim al-Falfalani al-Jawi yang menerimanya daripada Syaikh Muhammad Amin Ridhwan yang menerimanya daripada Syaikh Abdul Ghani an-Naqsyabandi yang menerimanya daripada Syaikh Isma`il ar-Rumi al-Madani yang menerimanya daripada Syaikh Shaleh al-Fulani yang menerimanya daripada Syaikh Muhammad bin Muhammad bin Sunnah daripada Mawlay asy-Syarif Syaikh Muhammad bin `Abdullah al-Wulati yang menerimanya daripada Syaikh `Abdul Qadir ath-Thabari yang menerimanya daripada Syaikh al-`Alim al-`Allamah Mulla `Ali al-Qari al-Hirawi rahimahumUllah. Jika sahaja amalan tersebut salah dan menyalahi ajaran Islam Ahlus Sunnah wal Jama`ah, pasti para ulama ini akan bangkit membantah dan tidaklah mereka memperturunkannya kepada para murid mereka.

Oleh itu, amat keji dongeng yang menisbahkan penggunaan "Ya Amaanal Khaaifiin" kepada Yahudi. Kenapa mereka tergamak membuat kisah-kisah dongeng tersebut ? Tidakkah mereka tahu akibatnya? Tergamakkah mereka menuduh para ulama kita seperti Mulla `Ali al-Qari al-Hanafi tersebut sebagai tidak memahami persoalan dan perbahasan mengenai nama-nama Allah yang mulia dan penggunaan serta kaedah Bahasa Arab. Adakah mereka merasakan bahawa hanya mereka sahaja yang faham akan Islam berbanding para ulama kita ? Allahu ... Allah...... moga diberi tawfiq dan hidayah.

1 ulasan:

  1. Barakallah

    Link bagus insyaaAllah

    http://www.asharis.com/creed/

    BalasPadam