Mawlid al-`Arus
Pada entri ini, faqir ingin bicara sedikit tentang karya mawlid yang ditulis sekitar abad ke-6H. Karya mawlid yang dinisbahkan kepada Imam Jamaluddin `Abdur Rahman bin `Ali Ibnul Jauzi al-Hanbali (510 - 597H) rahimahullah. Imam Ibnul Jauzi terkenal sebagai ulama yang mempunyai karangan yang banyak. Di situ juga ada beberapa karya yang ulama tidak sepakat menisbahkannya sebagai karya beliau, antara yang sedemikian adalah karya mawlid yang masyhur dengan nama Mawlid al-`Arus. Sebahagian ulama mensabitkannya sebagai karya asli Imam Ibnul Jawzi, manakala sebahagian yang lain agak ragu dengan alasannya masing - masing. Apa yang pasti, tidak ada kata putus dalam perkara ini. Di sesetengah tempat di Timur Tengah, seperti Mesir dan Syria, Mawlid al-`Arus libni Jawzi masih dibaca terutama sekali dalam majlis - majlis mawlid atau dengan istilah yang lebih nyunnah versi Indera Kayangan, majlis - majlis Zikra al-Rasul. Oleh itu, mudah - mudahan Allah menjadikan dada kita seluas lautan lepas untuk berlapang dada sesama Ahlis Sunnah wal Jama`ah.
Sebenarnya, Mawlid `Arus bukanlah satu - satunya karangan mawlid yang dinisbahkan kepada Ibnul Jawzi. Beliau banyak menulis, sama berbentuk natsar maupun nazam, tulisan - tulisan yang memuji dan berkisah tentang Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Misalnya Mawlid Syaraful Anam yang masyhur itu pun dikatakan sebagai karya Imam Ibnul Jawzi. Bahkan, demi meraiekan pendapat tersebut, Syaikh Nawawi al-Bantani rahimahullahi ketika mensyarahkan Syaraful Anam telah memberikan dua jodol bagi syarah beliau tersebut, iaitu Fathush Shamad al`Alim `ala Mawlid asy-Syaikh Ahmad ibn Qasim kerana menurut kata Syaikh Ahmad al-Marzuqi, kitab mawlid tersebut adalah karangan Syaikh Ahmad bin al-Qasim al-Maliki, dan al-Bulugh al-Fawzi li bayani alfadz Mawlid Ibn al-Jawzi kerana meraiekan pendapat yang masyhur bahawa ianya karya Imam Ibnul Jawzi.
Berbalik kepada Mawlid al-`Arus, di antara sebab sebahagian ulama menolaknya sebagai karangan Ibnul Jawzi kerana dikatakan yang mula - mula mendakwa ianya sebagai karangan Ibnul Jawzi adalah seorang orientalis German yang bernama Carl Brockelmann (1868 - 1956). Juga dikatakan bahawa ia mengandungi riwayat - riwayat tentang penciptaan Nur Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam yang dipermasalahkan. Namun, ini mungkin kerana pihak yang menolak sememangnya sejak awal bermasalah dengan konsep Nur Muhammad dan keterdahuluannya (awwaliyah / asbaqiyyah), seperti almarhum Syaikh Abdullah al-Harari dan pengikut - pengikutnya. Kesimpulannya, status Mawlid al-`Arus ini adalah karya yang dipertikaikan, sebahagian ulama menerima, bahkan menjadikannya bacaan dalam majlis - majlis sambutan mawlid, manakala sebahagian lain tidak menerimanya bukan sahaja sebagai karya Ibnul Jawzi tapi mendakwa ianya sebagai karya yang bermasalah. Maka yang nak pakai pakai, yang tak nak pakai, pakai yang lain. Nak bergaduh buat apa, baca shalawat lagi baik, dah masing - masing ada hujjah dan pandangan.
Di antara ilmuwan kontemporer yang berpandangan bahawa Mawlid al-`Arus adalah karya Imam Ibnul Jawzi dan tidak ada masalah pada isi kandungannya adalah Dr. Abdul Hafidz al-Baqaali al-Ghazwani. Dalam membuat kajian, beliau telah meneliti banyak manuskrip mawlid tanpa jodol khas yang dinisbahkan kepada Imam Ibnul Jawzi. Lalu beliau memilih lapan (8) manuskrip yang lebih kurang sama kandungannya untuk kajian lanjut. Hasil penelitian tersebut, beliau terbitkan pada tahun 2015 naskhah Mawlid al-`Arus dengan tahkikannya. Dr. Abdul Hafidz al-Baqaali adalah seorang doktor perubatan kelahiran Maghribi 1954. Beliau memiliki latar belakang pendidikan agama secara tradisional dan juga ijazah dari Universiti Qarawiyyin dalam bidang Usuluddin.
Sebagai penaik semangat bermawlid, maka faqir nukilkan antara yang dicatat dalam Mawlid al-`Arus berdasarkan kepada naskhah yang ditahkik dan diterbitkan pada tahun 2015 pada halaman 66 sebagai berikut:- ...Mahasuci Tuhan yang telah menjadikan nabi yang mulia ini sebagai Sulthanul Anbiya` (penguasa para nabi) dan telah mengangkat kedudukan serta namanya di alam malakut; Dan menjadikan bagi sesiapa yang bergembira dengan mawlidnya (kelahirannya) suatu hijab pendinding dari api neraka; Dan sesiapa yang menafkahkan satu dirham untuk mawlidnya, (mudah-mudahan) Junjungan al-Mustafa shallaAllahu`alaihi wa sallam memberikan syafaat baginya dan membalas setiap dirham yang dia belanjakan itu dengan sepuluh kali ganda...
Sebagai penutup, kita dengarkan bacaan fasal awwal dari Mawlid al-`Arus oleh ulama lagi wali yang masyhur di Syria, mursyid Thariqat Syazaliyyah Hasyimiyyah Darqawiyyah almarhum Syaikh `Abdur Rahman asy-Syaghuri. Mudah - mudahan ada manfaatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan