Selasa, Disember 30, 2008

Talqin - Raudhatuth Tholibin

Amalan membaca talqin setelah mayat dikebumikan adalah satu amalan yang diterima sebagai sunnat atau mustahab dalam mazhab Syafi'i. Dan amalan ini telah diamalkan oleh umat Islam di Nusantara ini sejak awal kemasukan Islam lagi, tanpa ada yang mempertikaikannya atau menolaknya. Maka kenapa kini amalan sebegini dijadikan sasaran untuk menghukum orang lain sebagai pelaku bid'ah yang tidak mengikuti sunnah? Jika pun tidak mahu bertalqin, maka sewajarnya berlapang dadalah kerana ianya termasuk dalam bab khilafiyyah pada furu', di mana dalam mazhab Syafi'i ianya adalah sesuatu yang dihukumkan sebagai sunnat atau mustahab. Imam an-Nawawi rhm. menulis dalam kitab "Raudhatuth Tholibiin" seperti berikut:-

... Dan mustahab hukumnya mentalqinkan mayyit setelah dikebumi. Maka dikatakan: "Wahai hamba Allah anak hamba perempuan Allah, ingatlah dengan apa yang atasnya engkau keluar meninggalkan dunia, iaitu penyaksian bahawa tiada tuhan selain Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad pesuruh Allah. Sesungguhnya syurga itu benar, neraka itu benar, kebangkitan itu benar, hari kiamat pasti datang tanpa keraguan, dan Allah akan membangkitkan sesiapa sahaja dari kubur. Sesungguhnya engkau telah redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai nabi, al-Quran sebagai panutan, ka'bah sebagai qiblat dan kaum mukminin sebagai saudara". Telah warid dengannya hadits Junjungan Nabi s.a.w.
Selanjutnya Imam an-Nawawi meneruskan lagi:-

Inilah talqin yang dihukumkan mustahab oleh perhimpunan daripada sahabat kami (yakni para ulama asy-Syafi'iyyah), antara mereka adalah al-Qadhi Husain, Shohibut Tatimmah, Syaikh Nashr al-Maqdisi dalam kitabnya "at-Tahdzib" dan selain mereka. Qadhi Husain telah menukilkan bahawa secara mutlak di sisi ulama Syafi'i, membaca talqin ini adalah mustahab . Dan adapun hadits yang datang mengenai hukum talqin ini adalah dhoif, akan tetapi hadits-hadits (dhoif) berkaitan keutamaan (fadhoil) adalah tidak mengapa untuk diamalkan di sisi ahli ilmu daripada kalangan muhadditsin dan selain mereka. Dan telah diperkukuhkan hadits mengenai talqin ini dengan kesaksian beberapa hadits yang shohih, seperti hadits : "Mohonlah kepada Allah baginya (yakni bagi si mati) akan ketetapan (yakni ketetapan dalam menjawab fitnah kubur)," dan wasiat Sayyidina 'Amr bin al-'Aash: "Berdirilah kamu di sisi kuburku (walaupun hanya) selama kadar menyembelih seekor sembelihan dan membahagi-bahagi dagingnya, sehingga aku dapat merasakan ketenangan dengan kalian dan aku mengetahui dengan apa akan aku kembalikan utusan-utusan Tuhanku (yakni Munkar dan Nakir)", sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam shohihnya. Sentiasalah penduduk Kota Syam beramal dengan amalan talqin ini sejak zaman permulaan Islam lagi, iaitu zaman di mana orang-orangnya dijadikan ikutan. Maka berkata para sahabat kami (yakni ulama Syafi'i): " Dan duduklah orang yang membaca talqin itu di sisi kepala kuburan si mati, dan adapun anak kecil yang belum baligh dan seumpamanya, maka tidaklah ditalqinkan."
Oleh itu, janganlah memandang remeh urusan talqin mayyit setelah dikubur. Ianya adalah amalan yang punya dalil dan asas dalam Mazhab Syafi'i. Bukan hanya kita di Malaysia yang bertalqin zaman berzaman, Imam an-Nawawi rahimahullah telah menyatakan bahawa umat Islam di Kota Syam turut mengamalkannya sejak dahulu lagi. Jauhilah sikap mempersenda-sendakan amalan orang lain, apatah lagi jika ianya yang punya dasar, dan diamalkan oleh para ulama dan awliya'. Negeri Sembilan Darul Khusus adalah negeri yang telah mewartakan fatwa berhubung talqin. Di mana dalam Warta Kerajaan Jil. 50 No. 19 bertarikh 11 September 1997 mewartakan fatwa berikut:-

1. Talqin hukumnya adalah sunat dan masa talqin itu ialah semasa ihtidar (hampir mati) dan atau selepas dikebumikan.

2. Semasa di dalam ihtidar (hampir mati) maka sunat diajarkannya mengucap kalimah syahadah iaitu La ilaha illallah dan bagi mayat yang telah dikebumikan maka dikata di sisi kuburnya, kata olehmu Tuhanku Allah, Agamaku Islam, Nabiku Muhammad S.A.W. hingga akhir talqin.

3. Mana-mana orang atau kumpulan orang adalah dilarang -

(a) membid'ahkan mana-mana orang lain yang membacakan talqin kepada mayat.

(b) memegang, mengamal atau mengajarkan bahawa bacaan talqin kepada mayat adalah dilarang.

(c) menyiar, menyebar, menghebahkan atau mendedahkan dengan apa-apa cara pun bahawa bacaan talqin kepada mayat adalah dilarang.

4. Mana-mana orang Islam adalah dilarang menjadi anggota, pemimpin atau penyokong mana-mana orang atau kumpulan orang yang dilarang di dalam perenggan 3.


Isnin, Disember 29, 2008

Senjata Mukmin

الدعاء سلاح المؤمن
و
عماد الدين
و
نور السماوات و الأرض

Doa itu senjata mukmin
Tiang agama
Cahaya langit dan bumi













***********************************************************
Doakanlah kesejahteraan bagi saudara-saudara kita




اللهم انصر اخواننا في فلسطين على اليهود الغاصبين
اللهم اصلح احوال المسلمين في فلسطين

اللهم اصلح احوال المسلمين في كل مكان
و صلى الله على سيدنا محمد و على آله و صحبه و سلم

Ya Allah
Berilah bantuanMu kepada saudara-saudara kami di Palestin
Dalam menghadapi keganasan perampok Yahudi

Ya Allah perbaikkanlah hal ehwal umat Islam di Palestin
Ya Allah, perbaikkanlah hal ehwal umat Islam di setiap tempat

Ahad, Disember 28, 2008

Salam Ma'al Hijrah 1430

Hari ini hari terakhir tahun 1429H. Mari kita bermuhasabah diri, melihat apa yang telah kita lakukan sepanjang 1429 yang akan melabuhkan tirainya petang ini. Segala kebajikan hendaklah disyukuri, manakala dosa kesalahan hendaklah dipohon keampunan. Perbaharuilah azam dan tekad untuk menjadi hamba Allah yang sejati, sentiasa tunduk patuh kepadaNya, mencari keredhaanNya, dengan penuh cinta kasih mahabbah yang hakiki.



Khamis, Disember 25, 2008

Dato' Kiyai Shamsuddin

Dato' Kiyai Shamsuddin bin Haji Redzuan adalah seorang tokoh ulama tanahair yang disegani. Beliau lahir di Kepet, Madiun, Jawa Timur pada 11 November 1911. Menimba ilmu dari beberapa pesantren di Pulau Jawa sebelum berhijrah ke Malaysia,, antaranya ialah Pesantren Termas dan Pesantren Tebuireng yang masyhur. Beliau merupakan pendiri Madrasah Shamsuddiniah Assalafiah yang didirikannya pada tahun 1940. Madrasah ini terletak di Kampung Parit Medan, Kundang Ulu, Muar, Johor Darul Takzim dan masih ada sehingga kini. Kini ianya dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah.

Selain daripada terlibat terus dalam bidang pendidikan, Dato Kiyai juga pernah memegang pelbagai jawatan penting di Negeri Johor, antaranya sebagai penasihat Sultan, Ahli Jemaah Majlis DiRaja Johor, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Ahli Jawatankuasa Lujnah Fatwa Negeri Johor. Beliau juga bukan sahaja alim dalam ilmu-ilmu agama, bahkan ahli dalam ilmu-ilmu pertahanan diri. Semasa zaman "Bintang 3" beliau adalah antara tokoh yang berjuang menentang pihak komunis dan mengerahkan anak-anak muridnya untuk berjuang sama demi mempertahankan maruah agama. Dato' Kiyai menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 1 Ramadhan 1418 (9 Januari 1997) meninggalkan 18 orang anak termasuklah Shohibus Samahah Datuk Haji Mohd. Tahrir, mufti Johor sekarang.

Di antara karya beliau adalah sebuah kitab himpunan sholawat berjodol "Majmuu'atush Sholawaat" yang mengandungi berbagai sholawat yang masyhur termasuklah Sholawat Tafrijiyyah dan Sholawat Syifa`. Pada mukaddimahnya pula disebut, antara lain hadits "lawlak" yang tidak lepas dari khilaf ulama mengenainya. Ada ulama yang mentsabitkannya, ada yang menolaknya dan ada pula yang walaupun tidak mentsabitkannya tetapi menyatakan bahawa maknanya shohih. Insya-Allah wa bi 'awnihi, nantilah kita cuba bicarakan mengenainya. Apa yang zahir dari karya Dato' Kiyai ini, beliau nampaknya tergolong dalam kalangan ulama yang mentsabitkan hadits tersebut. Dalam mukaddimahnya tersebut beliau menulis antara lain:-

Sholawat itu satu amalan atau satu ibadah yang sangat-sangat besar pahalanya dan dituntut pada tiap-tiap orang mukminin memperbanyakkan sholawat atas Rasulullah (se)bagaimana firman Allah s.w.t.:

ان الله و ملائكته يصلون على النبي يا ايها الذين امنوا صلوا عليه و سلموا تسليما

Dan tiada syak lagi bahawa Rasulullah itu 'waashitah', bahkan Rasulullah itu:


اصل الإيجاد لكل مخلوق
كما قال ذو العزة و الجلال: لولاك لما خلقت الأفلاك

"Asal bagi kewujudan setiap makhluk", sebagaimana firman Tuhan yang empunya kemuliaan dan kebesaran (yakni dalam hadits qudsi) yang ertinya: " Jika tidak wujud Rasulullah, Allah ta'ala tidak menjadikan bumi dan langit."
Sungguh Junjungan Nabi itu adalah sebab bagi kewujudan segala yang ada di alam ini. Maka hendaklah kita sentiasa menjaga hubungan dengan orang yang menjadi sebab bagi kewujudan kita. Malanglah sesiapa yang memutuskan hubungan dengan baginda. Moga Allah merahmati Kiyai Haji Shamsuddin dan menempatkan beliau bersama para sholihin. Allahumma ... aamiin ... al-Fatihah.

Isnin, Disember 22, 2008

Rabu, Disember 17, 2008

Zikir Pagi Jumaat TG

Alhamdulillah, gagasan puak kaum muda(h) untuk membid'ahharamkan bahkan mensyirikkan beberapa amalan yang kita warisi daripada para ulama kita yang merupakan waris para nabi, nampaknya telah ditolak oleh kebanyakan masyarakat kita. Yang telah termakan dengan dakyah mereka, tak dapek ese nak kato apo-apo, sudah rezeki masing-masing, moga nantinya diberi hidayah dan taufiq. Antara amalan-amalan yang telah diserang oleh mereka adalah amalan bersholawat dengan Sholawat Tafrijiyyah dan Sholawat Syifa`. Tentangan mereka bertambah hebat apabila ayam-ayam tambatan mereka yang punya gelar "Dr." mula berkokok. Dengan menjaja gelar-gelar bid'ah tersebut, serangan dilancarkan untuk menyesatkan bahkan mensyirikkan pengamal Sholawat Syifa`.

Namun, cahaya kebenaran pastikan sentiasa bersinar walaupun di balik kabut, hilang kabut tampaklah ia. Mari kita sama-sama hayati zikir yang diajar dan dialun oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul 'Aziz hafizahullah. Di antara zikir-zikir yang diamalkan oleh Tuan Guru tersebut adalah tahlil yang menjadi wirid Thoriqat Ahmadiyyah dan sholawat-sholawat yang dihukumkan bid'ah oleh para ahli bid'ah termasuklah Sholawat Syifa` dan Sholawat Tafrijiyyah. Maka sesiapa yang hendak menuduh zikirnya para sholihin itu bid'ah, atau menuduh sesiapa yang membaca Sholawat Syifa' itu syirik, maka eloklah fikir-fikirkan semula. Janganlah bersikap sebagaimana kata tok nenek kita dahulu - "tiada beban batu digalas".


***********************************************************
Zikir Amalan Tuan Guru Nik Aziz

Selasa, Disember 09, 2008

Penerangan Mufti Perak

Penerangan Shohibus Samahah Mufti Perak mengenai sikap Asri, mantan mufti termuda yang telah dipencenkan muda, dan jawapan terhadap beberapa isu yang ditimbulkannya. Moga Allah memberikan kita sekalian hidayah dan taufiqNya.





Jumaat, Disember 05, 2008

Ceramah Habib 'Umar

Ceramah Habib 'Umar BinHafiz di Pasuruan


Tanda ulama dunia, membenci kitab-kitab Imam al-Ghazali
Tanda ulama akhirat, mencintai kitab-kitab Imam al-Ghazali