Shalawat Tafrijiyyah
Shalawat Tafrijiyyah (shalawat memohon kelepasan dari kesusahan dan bencana) adalah antara shalawat yang terkenal diamalkan oleh para ulama kita. Shalawat ini juga dikenali sebagai Shalawat at-Tafrijiyyah al-Qurthubiyyah (dinisbahkan kepada Imam al-Qurthubi), ada ulama yang menisbahkannya kepada Imam 'Ali Zainal 'Abidin bin Imam al-Husain r.anhuma, dan ada juga yang menisbahkannya kepada Syaikh Ibrahim at-Tazi. Di negeri sebelah maghrib, ianya dikenali sebagai Shalawat an-Naariyah kerana menjadi amalan mereka apabila ingin melaksanakan sesuatu hajat atau menolak sesuatu bencana, mereka akan berkumpul dan membaca shalawat ini 4444 kali lalu terkabul hajat mereka dan tertolak segala malapetaka secepat api yang menyambar atau membakar. Ianya juga dikenali sebagai Miftahul Kanzil Muhiith li naili muraadil 'abiid (kunci perbendaharaan yang meliputi untuk menyampaikan harapan si hamba). Shalawat ini mempunyai keistimewaannya kerana selain sholawat ianya merupakan tawassul kepada Allah dengan Junjungan Nabi s.a.w. di mana kita menyebut nama dan dhamir Junjungan s.a.w. sebanyak 8 kali.
Menurut Imam al-Qurthubi sesiapa yang melazimi akan shalawat ini setiap hari 41 kali atau 100 kali atau lebih, nescaya Allah melepaskan kedukaan, kebimbangan dan kesusahannya, menyingkap penderitaan dan segala bahaya, memudahkan segala urusannya, menerangi sirnya, meninggikan kedudukannya, memperbaikkan keadaannya, meluaskan rezekinya, membuka baginya segala pintu kebajikan, kata-katanya dituruti, diamankan dari bencana setiap waktu dan dari kelaparan serta kefakiran, dicintai oleh segala manusia, dimakbulkan permintaannya. Akan tetapi untuk mencapai segala ini, seseorang itu hendaklah mengamalkan shalawat ini dengan mudaawamah (berkekalan).
Imam as-Sanusi berkata bahawa sesiapa yang melazimi membacanya 11 kali setiap hari, maka seakan-akan rezekinya turun langsung dari langit dan dikeluarkan oleh bumi.
Imam ad-Dainuri berkata bahawa sesiapa yang membaca shalawat ini dan menjadikannya wirid setiap selepas shalat 11 kali, nescaya tidak berkeputusan rezekinya, tercapai martabat yang tinggi dan kekuasaan yang mencukupi. Sesiapa yang mendawamkannya selepas shalat Subuh setiap hari 41 kali, tercapai maksudnya. Sesiapa yang mendawamkannya 100 kali setiap hari, terhasil kehendaknya dan memperolehi kehormatan/kemuliaan melebihi kehendaknya. Sesiapa yang mendawamkannya setiap hari menurut bilangan para rasul (313 kali) untuk menyingkap segala rahsia, maka dia akan menyaksikan segala apa yang dikehendakinya. Sesiapa yang mendawamkannya 1000 kali sehari, maka baginya segala yang tidak dapat hendak diterang dengan kata-kata, tidak pernah dilihat mata, tidak pernah didengar dan tidak pernah terbetik di hati manusia.
Imam al-Qurthubi juga berpesan bahawa sesiapa yang berkehendak untuk menghasilkan hajatnya yang besar atau menolak bencana yang menimpa, maka bacalah shalawat ini sebagai tawassul dengan Junjungan Nabi yang empunya akhlak yang agung 4,444 kali, nescaya Allah ta`ala akan menyampaikan kemahuan dan harapan itu atas niat si pembaca. Ibnu Hajar al-'Asqalani telah menyebut akan kelebihan bilangan ini sebagai iksir fi sababit ta`siir (pati ubat sebagai penyebab berlakunya kesan).
Menurut kata ulama, shalawat ini adalah merupakan satu perbendaharaan daripada khazanah-khazanah Allah, dan bershalawat dengannya merupakan kunci-kunci pembuka segala khazanah-khazanah Allah yang dibukakan Allah bagi sesiapa yang mendawaminya serta dengannya seseorang boleh sampai kepada apa yang dikehendaki Allah s.w.t. Oleh itu silalah ikhwah semua merujuk kepada para ulama kita (ingat bukan ulama mereka kerana karang semuanya akan dibid`ahsesatkan) dan melihat akan karangan-karangan terdahulu seperti "Afdhalush Shalawat 'ala Sayyidis Saadaat" karangan Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani, "Jawahirul Mawhub" dan "Lum`atul Awrad" kedua-duanya karangan Tok Syaikh Wan 'Ali Kutan al-Kelantani, "Khazinatul Asrar" karangan Syaikh Muhammad Haqqi an-Naazili dan lain-lain lagi. Sesiapa yang tak ingin beramal dengannya, tak mengapa, amalkan sahaja apa yang kamu nak amal, jangan nak berbalah pulak dengan aku kerana aku sekadar menukil kata ulama. Daripada berbalah, elok kita perbanyakkan shalawat, shollu 'alan Nabiy.
5 ulasan:
Insyaallah, Shaikh Nuruddin al-Banjari al-Makki akan mengijazahkan solawat tafrijiyyah dalam programnya kali ini. Dan kalau tidak silap dalam program di Seremban 2. Dan mungkin juga di Masjid al-Falah USJ. Wallahu a'lam
Elok pi ramai-ramai, tabarrukan
Program pengijazahan tu bukan di Seremban 2 tapi di Surau Al-Hikmah, Subang Bestari, Seksyen U5 Shah Alam pada 31/03/2006 sebelah malam selepas syarahan perdana.
Elok la mai pasai .... majlis Syarahan Perdana sempena menyambut Maulidur Rasul 1427H [Jumaat, 31 Mac 2006]
Insya Allah, sesiapa yang beriman dan mencintai Rasulullah (sollallahu 'alaihi wa sallam), dan mengamalkan Selawat at-Tafrijiyyah ini sekurang-kurangnya 100 kali setiap hari, akan dapat bermimpi bertemu dengan Rasulullah (sollallahu 'alaihi wa sallam)di dalam mimpi sebanyak beberapa kali, selama dia berusaha bersungguh-sungguh untuk mencontohi akhlak Rasulullah (sollallahu 'alaihi wa sallam) pada kehidupan hariannya.
Mari lah kita beramai2 melakukan nya 4444 dan memohon kpd Allah semoga kita semua di bebaskan dpd wabak coviq19
Catat Ulasan