Bahang Gerakan Tabdi’/Membid’ah
Gerakan Tabdi` / Gerakan membida`ah mula terasa bahangnya. Pada mulanya saya tidak berminat untuk menulisnya dalam blog ini tetapi memandangkan sudah ada bibit-bibit perpecahan berpunca dari sikap agresif sebahagian daripada pengikut-pengikut kumpulan ini tanpa berbekalkan kebijaksanaan dan belom berupaya mengiplikasi ilmunya bila berhadapan dengan mad`uu dan persekitaran, maka saya terpanggil untuk manjadikannya bahan blog Dewan Syura kali ini. Ia bukan bertujuan untuk mengkondem asas-asas dan dasar yang menjadi sandaran pegangan mereka tetapi cara penyampaian dan persoalan urutan keutamaan tidak dicermati.
Memerangi kemungkaran yang sudah jelas kedudukan haramnya memang menjadi tanggungjawab untuk dibasmi dan dihapuskan. Walau bagaimanapun sekiranya dengan menegah suatu kemungkaran boleh mencetuskan kemungkaran yang lebih besar dan lebih dahsyat lagi, maka lebih baik didiamkan buat sementera waktu sehingga tiba masanya yang sesuai. Kalaulah demikian anjuran para mujahid dakwah yang terunggul dan teragong seperti Dr Ali Garisyah, Prof Dr Yusuf Qardhawi, As-Syahid Hassan Al-Banna dan lain-lain lagi dalam mendepani perkara yang sudah jelas tentang haram hukumnya secara qatie, sudah barang tentu dalam menangani masalah khilafiah yang dalilnya berdasarkan zanni/samar-samar, lebih memerlukan sikap tasamuh dan toleransi yang amat tinggi lagi.
Pesanan Syeikh Muhd Najib alMuthi`e’
Saya teringat dengan pesanan Syeikh Muhd Najib al-Muthi`e sewaktu saya berkunjong ke kedai beliau di jalan Abbasiah, Kaherah. Beliau adalah penyambung/pelengkap kitab "almajmuk" oleh Imam an-Nawawi. Saya bertanya kepada beliau sikap yang semestinya, bila berhadapan dengan kumpulan yang rigid dalam masalah khilafiah. Pesan beliau kepada saya:- Ya ibni(wahai anakku) kena berlapang dada dan berhujah dengan bijaksana. Prof. Dr Yusuf Qardhawi juga mengingatkan kita supaya bekerjasama dalam perkara yang disepakati dan bertoleransi dalam perkara yang berbeza pendapat.
Nampaknya perkara yang menjadi perhatian serious dan keutamaan kumpulan ini ialah masalah qunut, doa selepas solat berjemaah, azan dua kali solat juma’at, sunat qabliah jumaat, qabliah maghrib dan lain-lain lagi. Masalah ini sudah lama dibincangkan oleh ulamak-ulamak mujtahidin. Bagi saya sesiapa yang sudah mengambil keputusan dan yakin dengan mana-mana pendapat tersebut silakan tetapi elakkan diri dari tuduh menuduh dan semacam memaksa orang lain mesti mengikuti pendirian diri. Dan yang kurang menyenangkan hati sebelah pihak lain ialah cara berkomunkasi dan cara penyampaian sehingga sampai ke peringkat ghulu/melampau, sama ada mereka menjadi tamu kepada tuan rumah atau surau atau masjid atau sebaliknya bila ternampak suatu yang berbeza dengan pegangan mereka, mereka secara terbuka mengkritik atau menegur sehingga menjatuhkan air muka tuan rumah atau menimbulkan konflik dan kegusaran di kalangan masyarakat.
Saya tidak bercadang untuk mengemuka sandaran hukum kedua-dua kumpulan ini sama ada yang pro maupun yang kontra, tak tahulah di lain masa, tetapi yang saya coba sentuh, itupun secara ringkas perkara-perkara yang berikut:
Saya tertanya-tanya kenapa kumpulan ini beriya-iya sangat menyerang masalah khilafiah dalam bahagian ibadah khususiah sahaja seperti contoh-contoh yang saya sebutkan di atas tetapi diam membisu seribu bahasa dalam banyak hal yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah saw tetapi masih dilakukan oleh orang Islam seperti system ekonomi, politik, pendidikan, maksiat berluas-luasan, rasuah dan seumpamanya. Apakah perkara ini bukan masalah pokok dan tidak mendatangkan kesan yang buruk dalam kehidupan bermasyarakat dan beragama?
Saya selalu mengingatkan diri saya dan juga mereka yang rapat dengan saya termasuklah jemaah masjid di taman saya dan siapa sahaja yang coba meninjau pendapat saya yang serba cetek ini, bukan sahaja dalam yang hal yang kita bincang ini, malah dalam perkara yang lain juga, saya selalu berpesan agar banyak membaca, banyak berguru samada secara formal atau non formal seperti dengan bermuzakarah. Jangan fanatik membuta tuli. Bila berbincang tentang hukum, tidak cukup dengan hanya berpegang kepada terjemahan alquran sahaja tetapi perlu membaca tafsirannya. Tafsir pula berbagai-bagai. Ada tafsir yang memfokaskan tentang sebab turun al-quran, tafsir ahkam, tafsir berkaitan dengan sains dan bahasa dan tafsir gerakan dan lain-lain lagi. Selain daripada berminat dalam hukum hakam dan Hadis jangan lupa membaca buku-buku yang berkaitan dengan dakwah dan fiqhud-dakwah untuk bekalan berhadapan dengan mad`uu/sasaran dakwah.
Mujahid-mujahid dakwah berpesan elakkan diri dari menimbulkan masalah-masalah khilafiah dalam organisasi kerana ahli-ahli dalam organisasi mungkin terdiri dari berbagai-bagai latar belakang mazhab kecuali dengan tujuan ilmiah. Dipantangkan sekali membincangkannya secara terbuka, lebih-lagi menggunakan pentas/khalayak ramai untuk menjaja dan memasarkan produk masalah khilafiah dengan tujuan menafikan amalan khilafiah yang sudah establish, yang masih dalam kerangka yang dibenarkan berbeza pendapat. Berlainan dengan masalah rasuah, kezaliman, judi, arak dan seumpamanya. Sekiranya pendakwah/pendidik/ustaz menimbulkan masalah khilafiah, ia akan menjauhkan mad`uu. Ya, memang ada pengikut-pengikut dan peminat-peminat fanatik anda. Bukankah lebih baik tanpa menyentuhnya, peminat anda akan bertambah ramai lagi.
Enough Is Enough
Yang sudah itu sudahlah. Enough Is Enough. Banyak sebab yang boleh menimbulkan berbagai-bagai salah faham sehingga menyebabkan perselisihan yang boleh membawa kepada kebencian dan akhirnya mengundang musibah perpecahan telah berlaku dan sedang berlaku. Jangan ditambah lagi dengan masalah membid`ah. Punca-puncanya banyak. Kalau hendak disenaraikan bukan sedikit, banyak tetapi blog Dewan Syura tidak berminat menggunakan pendekatan seperti itu.
Di permulaan tulisan saya di atas ada diperkatakan tentang bibit-bibit, bunga-bunga perpecahan kerana masalah khilafiah. Di sekitar bandar dan di kampong-kampong sudah ada pengikut-pengikut yang mengasingkan diri dari kelompok masyarakat lain, yang sebelom ini hubungan mereka dengan masyarakat setaman dan sekampong bagitu akrab. Puncanya amalan-amalan yang dilakukan di masjid dan di surau berkenaan yang pernah diamalkannya juga sebelom ini, sebelom mengikut kumpulan ini, seperti berqunut, berdoa selepas solat berjemaah, bersalam sejurus selesai solat jemaah, membaca yasin malam jumaat, nisfu, sudah bercanggah dengan pendirian dan doktrin pegangannya. Kalau pun hadir ke majlis walimah atau majlis kematian sekadar bersalaman, selepas itu mohon beredar - sekadar menunjuk muka. Ini membuktikan rasa kekitaan dan ukhuwah Islamiah secara secara senyap-senyap mula terhakis dan akhirnya mengundang musibah perpecahan. Bila perkara ini terjadi musuh bertepok tangan dan imej Islam ikut tercalar. Sebenarnya inilah yang mereka tunggu. Pucuk dicinta, ulam mendatang. Perangkap samar yang ditanam musuh terlalu banyak, secara kasar maupun secara halus. Masalah khilafiah pun mereka pergunakan sebagai perangkap samar melalui hero-hero dalam cerita khilafiah. Sebagai buktinya coba anda rujuk semula dalam blog ini di bawah tajuk perjanjian Camp David dan masalah khilafiah.
Jabatan Agama dan Jabatan Mufti
Sebelom masalah gerakan tabdi` ini mengancam kerharmonian penduduk setempat berluas-luasa, perlulah pihak-pihak yang berkenaan dan pihak yang berwajib bersemuka dengan kumpulan ini untuk mencari jalan penyelesaian jika belom diusahakan. Jika sudah dilakukan alhamdulillah. Pihak berwajib yang saya maksudkan ialah Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti. Selain daripada itu, program-program dakwah atau apa sahaja namanya, untuk pelajar-pelajar di pusat pengajian tinggi awam dan swasta perlu diaktifkan lagi kerana sepanjang pengetahuan saya, kurang ada program secara rasmi yang dikelola oleh pihak berwajib secara konsisten. Saya berkeyakinan dengan keupayaan dan kebolehan pihak yang wajib mampu melakukannya .
Wihdatul Fikri di antara Mahasiswa dan Pelajar-Pelajar Menengah dengan badan yang berwajib amat perlu diusahakan. Mana mungkin mereka sehaluan dengan halatuju badan yang berwajib kalau mereka tidak ditarbiah mengikut acuan badan yang berwajib. Acuan yang berwajib sudah pastinya tidak lain dari acuan Allah swt.
Akhir kalam saya suka mengetengahkan adab para ulama dalam manangani masalah khilafiah.
1. Imam Alhafiz Abu Musa bin Abdul A’la al-Masriyy pernah berkata” Tidak aku dapati orang yang berakal (lebih cerdas) selain daripada Imam Syafi`ee. Pada suatu hari aku pernah berdebat dalam satu masalah dan kami bertelingkah lalu beliau menemuiku serta memegang tanganku, kemudian berkata: Wahai Abu Musa, hendaklah kita santiasa bersaudara sekalipun kita tidak bersepakat dalam satu masalahpun.
2. Imam Syafi`ee rahimahullah pernah solat Subuh di masjid dekat makam Imam Abu Hanifah dan beliau tidak melakukan qunut sebagaimana mazhab beliau dan itu beliau lakukan kerana menghomati Imam Abu Hanifah, pada hal Imam Abu Hanifah telah wafat tepat pada tahun Imam Syafiee rahimahulah dilahirkan.
3. Diceritakan daripada Imam Abu Ya’la alhambali bahawa pernah ada seorang ulamak fiqh yang datang kepada beliau untuk belajar dan membaca kitab fiqh berdasarkan mazhab imam Ahmad bin Hambal. Beliau (Imam Abu Ya’la) bertanya tentang negeri asalnya, maka dia pun memberitahukannya kepada beliau, maka beliau berkata kepadanya: Sesungguhnya penduduk negerimu seluruhnya mengikut mazhab imam Syafi`ee, lalu mengapakah engkau meninggalkannya dan ingin beralih kepada mazhab kami? Dia menjawab: Saya meninggalkan mazhab ini kerana saya berasa lapang dan tertarik hati denganmu. Selanjutnya Imam Abu Ya’la berkata: Ini tidak dibenarkan kerana jika engkau di negerimu bermazhab dengan mazhab Ahmad rahimahullah sedangkan seluruh masyarakat di sana mengikut mazhab Imam Syafi`ee maka engkau tidak akan mendapatkan seorangpun yang beribadat (di dalam mazhab Ahmad) rahimahullah bersamamu dan tidak pula yang belajar denganmu. Bahkan boleh jadi engkau akan membangkitkan permusuhan dan menimbulkan pertentangan. Maka sepatutnya kamu berada di mazhab as-Syafi`ee adalah lebih utama dan lebih baik.
4. Imam Syafi`ee pernah berkata:Pendapatku, menurutku adalah benar tetapi ada kemungkinan salah dan pendapat orang lain, menurutku adalah salah, namun ada kemungkinan benar. Sifat tawadhuk Imam Syafi`ee ni telah diambil kesempatan oleh mereka yang tidak mahu terikat dengan amalan bermazhab - tidak bermazhab - pada hal maksud sebenarnya bukan demikian (blogger). Wallahu a`lam.
Selasa, Jun 02, 2009
Bahang Gerakan Tabdi` - Ustaz Awang Pon
Tuan Haji Awang Pon bin Awang Sebon atau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Awang Pon adalah mantan Ketua Hakim Syarie Negeri Sarawak. Beliau adalah antara ulama Sarawak yang khumul dan berfikiran sederhana. Beliau adalah keluaran Madrasah al-Junaid, Singapura dan Universiti al-Azhar asy-Syarif, Mesir. Kalau tidak silap, sebelum ke Mesir, beliau pernah mengajar di Madrasah al-Maarif yang dipimpin oleh Fadhilatul Ustaz Haji Muhammad Taha as-Suhaimi rahimahUllah. Mudah-mudahan Allah memberikan kesembuhan kepada Ustaz Awang Pon dan memanjangkan umur beliau untuk manfaat Islam dan umatnya. Di bawah ini ese nukilkan antara tulisan beliau dalam blog Dewan Syura untuk kita ambil manfaat daripadanya.
**************************************************
Begitulah antara tulisan Shohibul Fadhilah Ustaz Awang Pon. Sungguh apa yang dinyatakan beliau punya kebenarannya. Baru-baru ini berlaku sedikit kekecohan apabila ada orang yang tidakpun dijemput telah terhegeh-hegeh bertindak menjadi imam sholat Jumaat dengan pembawaan yang berbeza daripada amalan masyarakat setempat yang bermazhab Syafi`i. Alangkah baiknya jika orang ini mahu mencontohi akhlak Imamuna asy-Syafi`i tatkala beliau meninggalkan qunut sewaktu sholat di masjid Abu Hanifah demi meraikan pendapat Imam Abu Hanifah. Kenapa orang ini yang bertindak menjadi Imam kepada makmum yang rata-rata bermazhab Syafi`i melakukan sholatnya menurut mazhabnya sendiri? Ese ingat lagi yang Tok-Tok Imam Masjidil Haram, Masjidin Nabawi dan Masjidil Aqsha yang kekadang datang ke tempat ese pun ikut cara penduduk setempat sewaktu menjadi Imam viz. baca jahar basmalah, baca qunut, berdoa ramai-ramai lepas sholat dan lain-lain lagi. Moga Allah selamatkan kita dari menjadi pejuang sunnah yang maghrur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan