Selasa, Ogos 18, 2009

Puasa Selepas Nishfu - 3

Menyambung lagi keterangan para ulama kita berhubung puasa sunnat selepas Nishfu Sya'baan. Kali ini kawan ambik keterangan beberapa ulama yang masanya hampir dengan kita serta yang memiliki tempat yang khusus di sisi para Saadah Bani Alawi. Yang pertamanya dipetik dari "Irsyadul Anaam fi tarjamati arkanil Islam" karangan Mufti Betawi, Habib 'Utsman bin 'Abdullah bin 'Aqil BinYahya rahimahUllah. Pada halaman 29 Yang Mulia Habib menyatakan:-

Sebagi lagi HARAM memulakan puasa dari hari 16 bulan Sya'baan hingga akhirnya.
Dan yang keduanya, kita ambil dari karya al-Imam al-'Allaamah al-Muhaqqiq az-Zahid asy-Syaikh 'Abdullah bin Ahmad BaSaudan al-Kindi al-Hadhrami rahimahUllah yang berjodol "al-Anwarul Laami`ah wat Tatimmatul Wasi`ah lir Risaalatil Jaami`ah wat Tadzkiratin Naafi`ah" di mana pada halaman 415 dinyatakan bahawa tidak sah berpuasa (sunnat) pada nishfu terakhir bulan Sya'baan melainkan jika berbetulan dengan kebiasaan orang yang berpuasa tersebut atau disambungkan dengan puasa sebelumnya (yakni puasa sebelum nishfu yang terakhir tersebut). [Perincian bagi pengecualian haram berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan ini, ikhwah bolehlah baca dalam entri-entri yang lepas].

Kawan harap dengan ini terungkailah masalah berpuasa sunnat selepas nishfu yang kedua bulan Sya'baan. Inilah pandangan ulama kita asy-Syafi`iyyah, jadi sesiapa yang punya pandangan yang berbeza, ya mungkin ianya pendapat mazhab lain atau qawl lain yang bukan mu'tamad dalam Mazhab Syafi`i. Maka pengamal Mazhab Syafi`i kenalah beri perhatian mengenai perkara ini kerana ketentuan hukumnya dalam mazhab ini adalah HARAM menurut kebanyakan ulama Syafi`i, kalaulah tidak dikatakan semuanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan