Jumaat, Oktober 16, 2009

Keluasan Rahmat Allah

Keihsanan Allah SWT tiada taranya, rahmatNya amat luas walaupun seksaanNya amat pedih dan dahsyat. Sesiapa yang melaksanakan satu kebajikan pasti akan mendapat ganjaran walaupun ianya hanya seberat zarah. Seseorang yang melakukan amal sholeh pasti tidak akan dipersia-siakan Allah. Tidak ada balasan bagi sesuatu keihsanan melainkan ihsan jua. Keihsanan Allah terhadap hamba-hambanya yang mukmin tidak terputus dari dunia hinggalah ke akhirat. Sewaktu-waktu di alam barzakh, tatkala arwah orang mukmin menunggu tibanya hari kebangkitan, rahmat belas ihsan Allah tetap berlaku. Samada disebabkan oleh perbuatan mereka sendiri tatkala hidup di dunia dahulu, ataupun sebab amalan dan perbuatan saudara-saudara seagama mereka yang masih hidup. Benar Junjungan SAW dalam sebuah sabdaan menyatakan apabila anak Adam itu mati, terputuslah amalannya selain 3 perkara yang masyhur sebutannya. Jelas yang putus itu adalah amalan si mati tersebut, sedangkan amalan orang yang masih hidup tidak terputus. Yang hidup masih boleh melakukan berbagai amalan seperti doa dan istighfar buat arwah di barzakh, juga masih boleh tahlilan dan yaasinan buat mereka. Ya semua itu adalah keihsanan atas saudara seagama dan tiadalah balasan bagi keihsanan melainkan ihsannya Ilahi. Sampai atau tidak, ya itu bukan urusan kita. Atas kita amalnya, atas Allah qabulnya, tetapi kalau pun tidak yakin, tetap kuat sangkaan yang ianya pasti sampai sebagaimana pernyataan ramai ulama kita yang kebilangan. Ya kalau ngak sampai pun ngak apa-apa, itu tetap sebagai bukti keihsanan kita dan Allah itu lebih lagi keihsanan daripada kita. Sesiapa yang bergantung harap kepadaNya pasti tidak akan dihampakan.

Mari ambil faedah dari nukilan Mufti Hadhramaut, Habib 'Abdul Rahman bin Muhammad bin Husain bin 'Umar Ba 'Alawi rahimahumUllah dalam karya beliau "Bughyatul Mustarsyidin" halaman 97 seperti berikut:-

(Faedah) seseorang melalui kawasan perkuburan lalu dia membaca al-Fatihah dan menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada ahli kubur yang berada di situ, maka adakah pahala tersebut dibahagi-bahagi antara ahli-ahli kubur itu ataupun setiap seorang daripada mereka akan memperolehi seumpama pahala yang sempurna? Imam Ibnu Hajar rahimahUllah menjawab dengan perkataannya: "Telah memfatwakan sekumpulan ulama dengan yang kedua (yakni setiap seorang ahli kubur tersebut akan memperolehi seumpama pahala yang sempurna bagi bacaan yang telah dihadiahkan itu) dan inilah yang layak dengan keluasan rahmat Allah ta'ala."
Moga rahmat Allah dan ihsanNya sentiasa atas kita dan sekalian umat yang mengaku bernabikan Junjungan Sayyidina Muhammad SAW.

**********************************
Kenduri Arwah & Tahlil - Syaikh Nuruddin

2 ulasan: