Rabu, Disember 02, 2009

4 Imam 4 Jemaah

Syaikh al-Qadhi Abu 'Abdillah Muhammad bin Ibrahim al-Lawati (704 - 779H / 1304 - 1377M) atau terkenal dengan gelaran Ibnu Battutah rahimahUllah dalam catatan perjalanan beliau yang dikenali dengan "Rehlah Ibn Battutah" atau jodol sebenarnya "Tuhfah an-Nuzzar fi ghara`ib al-amsar wa `aja`ib al-asfar" yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu oleh Ustaz Syed Nurul Akla dan Dr. Adi Setia dengan jodol "Pengembaraan Ibn Battutah", pada halaman 183 - 184 di bawah subtopik "Adat yang diamalkan oleh penduduk Makkah dalam solat dan kedudukan Imam-Imam Mazhab" dinyatakan, antara lain:-
Berbanding dengan 3 orang imam yang lain, imam Mazhab Syafi`e diberikan penghormatan untuk memulakan solat di Maqam yang mulia, iaitu Maqam al-Khalil Ibrahim AS dan di Hatim yang cantik serta khusus untuk beliau. Inilah antara adat dan kebiasaan penduduk Makkah. Imam Mazhab Syafi`e ini dilantik oleh pihak pemerintah. Kebanyakan penduduk Makkah berpegang pada mazhab ini. ............

Apabila imam Mazhab Syafi`e selesai menunaikan solat, imam Mazhab Maliki pula menunaikan solat di sebuah mihrab yang menghala ke Rukn al-Yamani. Imam Mazhab Hanbali juga akan mendirikan solat pada waktu yang sama di satu tempat yang menghala ke sebahagian daripada dinding Kaabah, iaitu di antara Hajar al-Aswad dengan Rukn al-Yamani.

Akhir sekali, imam Mazhab Hanafi pula menunaikan solat di satu tempat berhadapan dengan pancuran (mizab), iaitu di bawah satu ruang berpagar yang disediakan untuknya. Lilin akan diletakkan di hadapan imam-imam ini di mihrab mereka semasa mendirikan Solat Subuh, Zuhur, Asar dan Isyak.

Semasa Sholat Maghrib, mereka akan bersembahyang serentak dan setiap imam akan bersembahyang dengan pengikut-pengikutnya. Akibatnya, orang ramai nebhadu keliru. Adakalanya seseorang yang bermazhab Maliki akan rukuk bersama-sama dengan imam Mazhab Syafi`e dan seseorang yang bermazhab Hanafi pula menurut sujud pengikut Mazhab Hanbali. Kamu dapat melihat mereka menumpukan sepenuh perhatian kepada suara muazzin yang memperdengarkan bacaan kepada pengikutnya supaya mereka tidak lalai dan membuat kesilapan.
Begitulah keadaan sholat di Masjidil Haram yang disaksikan oleh Ibnu Battutah yang hidup pada kurun yang ke-8H. Keadaan tersebut berterusan ratusan tahun lagi sehinggalah kejatuhan Khilafah Utsmaniyyah Turki dan Hejaz dijajah oleh puak Wahabi dari Nejd. Kenapa umat Islam pada masa tersebut dan ratusan tahun setelahnya, tidak bersholat di bawah seorang imam dalam Masjidil Haram yang mulia. Adakah kerana mereka tidak bersatu dan kerana mereka terlalu taksub dengan mazhab masing-masing? Sesungguhnya justru kerana mereka tidak bersikap taksub dan fanatik dengan mazhab masing-masinglah maka perkara tersebut terjadi. Ini jelas kerana setiap mazhab tidak saling menyalahkan antara sesama mereka, mereka saling hormat menghormati pendapat pihak lain selagimana ianya berdasarkan kepada ijtihad yang diterima dan mereka tidak ingin hendak meng"impose" mazhab mereka kepada orang lain. Dan hal ini terjadi di Masjidil Haram kerana ianya adalah milik umat Islam keseluruhannya, Tanah Haram bukan milik pengikut Mazhab Syafi`e, walaupun mazhab ini adalah mazhab yang paling dominan di Hejaz. Maka atas adab dan tasamuh yang tinggi, para penguasa Hejaz yang bermazhab Syafi`e tidak memaksa mazhab mereka kepada pengikut mazhab lain, sebaliknya setiap mazhab Ahlus Sunnah wal Jama`ah diberi ruang untuk beribadah dalam Masjidil Haram mengikut pandangan dan pegangan mazhab masing-masing. Patutkah kita memaksa para pengikut Hanafi untuk sembahyang Asar bersama dengan kita sedangkan menurut mazhab mereka waktu Asar masih belum masuk lagi, sudah tentu tidak patut dan tidak adil bagi mereka. Yang patut dan wajar, kita biarkan mereka menunaikan sholat Asar setelah masuk waktunya di sisi mereka. Sungguh keberadaan sholat 4 Imam dengan jemaah masing-masing tersebut membuktikan sikap tasamuh dan toleransi sesama umat yang tinggi, malangnya segelintir telah silap tanggapan bahawa ianya tanda umat berpecah belah.

Apakah benar, ketika itu umat Islam menjadi berpecah-belah? Jawapannya adalah sebaliknya, kerana sejarah telah membuktikan bahawa kala itu umat Islam adalah umat yang bersatu dan kuat sehingga menguasai dunia. Lain pula halnya sekarang, walaupun umat Islam bersholat di Masjidil Haram di bawah seorang imam sahaja yang pada zahirnya nampak bersatu tetapi hati-hati mereka telah berpecah belah dengan saling salah menyalah sesama umat. Kesatuan dan perpaduan itu berakhir dengan salamnya imam... Allahu ... Allah. Justru kekuatan umat Islam itu adalah pada kepelbagaian pendapat yang ditangani dengan sikap tasamuh yang tinggi serta saling hormat-menghormati. Di situlah kunci perpaduan yang sejati.

Ketahuilah bahawa Masjidil Haram itu milik seluruh umat. Mungkin sekarang sudah tidak praktikal untuk sholat dengan 4 jemaah berasingan tersebut dilaksanakan kerana bilangan pengunjung masjid yang bertambah, tetapi setidak-tidaknya kerajaan Saudi yang mengaku diri mereka sebagai khadam DuaTanah Haram, sepatutnya menjaga dua Tanah Haram tersebut atas nama umat Islam sekaliannya. Mereka sepatutnya menunjukkan bahawa mereka tidak fanatik dengan mazhab mereka dengan melantik imam-imam Masjidil Haram dan Masjidin Nabawi dari kalangan 4 mazhab yang utama, di mana imam-imam tersebut diberikan tugas menjadi imam secara bergilir menurut mazhab masing-masing. Buktikan bahawa mereka tidak fanatik dan taksub kepada mazhab mereka sahaja. Moga dengannya umat akan menjadi lebih bertasamuh dalam perkara-perkara khilafiyyah. Mudah-mudahan keagungan Islam dan umatnya dikembalikan dan Islam terus menerajui manusia sejagat .... takbiiiirrrrrrrrr. ..... الله اكبر الله اكبر الله اكبر و لله الحمد

***************************************
(i) Binaan 1 - Maqam Syafi`i
(ii) Binaan 2 - Maqam Hanafi
(iii) Binaan 3 - Maqam Maliki;
(iv) Binaan 4 - Maqam Hanbali.

6 ulasan:

  1. salam,,kita kene doa pada Allah supaya Allah letak kita dan umat islam yang lain dalam jemaaah umat islam yang sebenarnya....amin.

    BalasPadam
  2. Shaikh, cuba belek lagi buku tue masa Ibn Battutah ziarah damsyik. Di masjid umawi pun solat 4 mazhab. kalau sy xsilap ada dlm catatan rehlahnya juga. keadaan ini berlangsung shingga pd zaman syaikh soleh farfur pun masih ada lagi.Mgkn boleh buat entri imam 4 jemaah di damsyik pula. Barakallahu fiik.

    BalasPadam
  3. Salam.

    Ya di Masjid Umawi jugak pernah dilakukan begitu, bahkan mihrab setiap imam pun masih ada rasanya.

    Hal ini kalau di masjid di mana pengikut berbagai mazhabnya ramai tak apa jugaklah, tapi kalau rata-rata Hanafi atau Syafi`i, tak payahlah nak buat jemaah lain dalam satu masjid. Ra`iekan sahajalah kumpulan majoriti.

    BalasPadam
  4. Dari sudut sejarah, keempat-empat imam dan pengikutnya didapati sentiasa mengamalkan toleransi yg tinggi, hormat menghormati, perpaduan, bahkan tiada sebarang masalah pun hingga menggugat perpaduan ummah.
    Tetapi yg bermasalah ialah bila ada timbul pula puak wahabi dari Nejd.
    waallahualam

    BalasPadam
  5. السلام عليكم

    سيدي الأستاذ
    Kebetulan saya baru belek buku (أئمة المسجد الحرام)yang saya beli masa umrah dulu. Pengarangnya (Wahabi) ada menyentuh tentang masalah ini dan cukup bangga kerana orang Wahabi dapat menghapuskan amalan imam 4 mazhab di Mekah ini yang dianggap bidaah taksub mazhab. Orang Wahabi di Saudi memang bangga kerana kononnya dapat menyatukan perpecahan antara mazhab ini dan bersolat dengan 1 imam. Saya pun rasa terpengaruh kerana kerasionalannya.

    Bagaimanapun saya masih mahukan penjelasan lanjut (terutama hujah) tentang mengapa ramai ulama dahulu mengharuskan perkara sedemikian. Kalau ustaz atau sesiapa boleh bantu...?

    BalasPadam
  6. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam