Sabtu, Disember 05, 2009

Setakat Satu Kesakitan

Imam al-Hafiz Nuruddin `Ali bin Abu Bakar al-Haitsami rahimahUllah, meriwayatkan dalam karya beliau "Majma` az-Zawaaid wa Manba` al-Fawaaid" pada bab maa jaa-a fil birri wa haqqil walidain seperti berikut:-
وعن بريدة أن رجلاً جاء إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال‏:‏ يا رسول الله، إني حملت أمي على عنقي فرسخين في رمضاء شديدة لو ألقيت فيها بضعة من لحم لنضجت، فهل أديت شكرها‏؟‏ فقال‏:‏ "‏لعله أن يكون لطلقة واحدة‏"‏‏
Sayyidina Buraidah RA meriwayatkan bahawa pernah seorang lelaki datang mengadap Junjungan Nabi SAW dan berkata kepada baginda: " Wahai Utusan Allah, sesungguhnya aku telah memikul ibuku atas bahuku sejauh 2 farsakh dalam panas terik yang memasakkan daging, maka adakah aku telah menunaikan kewajipanku untuk berterima kasih / bersyukur kepadanya?" Junjungan Nabi SAW menjawab: "Barangkali untuk satu kesakitan yang dirasainya ketika melahirkan."

Allahu ... Allah, 1 farsakh, kalau ikut ulama kita dulu-dulu, jaraknya adalah 3 mil (mile) dan 1 mil itu 6000 hasta dan 1 hasta itu 24 jari melintang. Kalau ikut kiraan sekarang, 1 farsakh itu jaraknya adalah kira-kira 5.544 kilometer. Jadi 2 farsakh itu sama dengan 6 mil atau 36ooo hasta atau 11.09 kilometer. Jarak yang kalau ditempoh dengan berjalan kaki berlenggang tak bawak satu benda pun mengeluarkan peluh basah kuyup, senang cakap berpeluh abih, baik peluh jantan peluh betina. Inikan pula nak memikul orang, bukan bawak ngan kereta berhawa dingin ... Allahu ... Allah. Hadits ini walaupun tidak mencapai darjat shohih, tetap ianya boleh dijadikan panduan agar kita sedar dan insaf serta memberi perhatian lebih kepada ibu kita yang telah melahirkan kita ke dunia ini. Jasa yang amat sukar dan payah bahkan hampir mustahil untuk kita balas dengan setimpal. Fikirkanlah berapa banyak kesakitan dan kepayahan yang telah ditanggung oleh ibu kita untuk membawa kita ke alam dunia ini, yang pastinya banyak banyak banyak banyak dan bukan hanya satu kesakitan ... Allahu ... Allah. Hanya kepada Allahlah kita bermohon agar memberikan sebaik-baik balasan kepada ibu kita. Dan semoga Allah jadikan kita anak yang sentiasa berbakti kepada ibubapanya serta tidak lemah dan segan untuk jadi pemandu pribadi mereka.

**********************************

Tiada ulasan:

Catat Ulasan