Ahad, Februari 21, 2010

Hadiah Pahala - Imam Nawawi

Maka tersebutlah di dalam kitab "al-Adzkar" yang masyhur karya ulama waliyUllah terbilang, Imamuna an-Nawawi 'alaihi rahmatul Bari, pada halaman 258, antara lain:-

".... Dan para ulama telah berbeza pendapat mengenai sampainya pahala bacaan al-Quran (kepada si mati). Maka pendapat yang masyhur daripada mazhab asy-Syafi`i dan sekumpulan ulama bahawasanya pahala bacaan al-Quran tersebut tidak sampai kepada si mati. Imam Ahmad bin Hanbal serta sekumpulan ulama yang lain dan sekumpulan ashab asy-Syafi`i (yakni para ulama mazhab asy-Syafi`i) berpendapat bahawa pahala tersebut SAMPAI. Maka (pendapat) yang terpilih adalah si pembaca al-Quran tersebut hendaklah berdoa setelah bacaannya : "Ya Allah sampaikanlah pahala apa-apa yang telah aku bacakan kepada si polan."

Allahu ... Allah, maka di manakah dinyatakan bahawa dalam "al-Adzkar," Imam an-Nawawi menyatakan pahala bacaan al-Quran tidak sampai kepada si mati? Apa yang jelas adalah Imam an-Nawawi setelah menerangkan mengenai pendapat-pendapat ulama mengenai sampai atau tidak pahala bacaan kepada orang mati, kemudian beliau rahimahUllah telah membuat kesimpulan bahawa pendapat yang terpilih adalah sampai pahala tersebut dengan syarat disertakan doa memohon agar ianya disampaikan setelah selesai bacaan. Jika Imam an-Nawawi berpegang dengan pendapat tidak sampai, maka kenapa disuruh agar si pembaca memohon agar disampaikan?

Perlu juga diingat bahawa qawl masyhur yang dinisbahkan kepada Imam asy-Syafi`i RA tersebut tidaklah bermakna bahawa itulah sahaja satu-satunya qawl Imam asy-Syafi`i. Ianya memberi faham bahawa Imam asy-Syafi`i RA mempunyai qawl lain yang berpendapat sebaliknya. Juga perlu kita tekankan bahawa "qawl masyhur" tidak semestinya qawl yang dimuktamadkan dalam mazhab. Insya-Allah, di lain kesempatan kita akan cuba bincangkan lagi mengenai perkara ini. Selain daripada itu, perlu juga diketahui bahawa para ulama kita turut menyatakan bahawa pada qawl masyhur tersebut mempunyai beberapa ihtimal, antaranya ialah:- (i) bacaan al-Quran tidak sampai kepada si mati kerana tidak dibaca di sisi mayyit atau di sisi kuburnya; atau (ii) tidak diniatkan pahalanya untuk si mati; atau (iii) tidak disertai dengan doa agar pahalanya disampaikan kepada si mati. Segala ihtimalat ini mempunyai asas kerana perlu diketahui bahawa Imam asy-Syafi`i RA telah menghukumkan mustahab untuk membaca al-Quran di sisi kubur si mati, bahkan dianjurkan agar dikhatamkan sekalian al-Quran tersebut. Ini menunjukkan bahawa bacaan al-Quran itu tetap bermanfaat kepada si mati. Fahamilah dengan benar wahai segala ikhwan dengan kefahaman bersuluhkan keterangan para ulama Syafi`iyyah yang sebenar. Bukannya dengan keterangan mereka-mereka yang tidak berpegang dengan mazhab Syafi`i tetapi memandai-mandai mengatakan bahawa Imam Syafi`i kata begini - begitu atau ulama Syafi`i kata begini-begitu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan