Rabu, Februari 03, 2010

Lukisan Makam Rasulullah ??

Tulisan ese kali ini hanyalah untuk memberikan pandangan ese mengenai gambar foto makam Junjungan Nabi SAW yang banyak beredar sekarang. Ustaz Mohd Khafidz hafizahUllah dalam blog beliau"Sawanih Wa Khawatir", ada menulis sedikit mengenai beredarnya gambar-gambar tersebut, di mana ianya bukanlah foto makam Junjungan Nabi SAW tetapi foto makam Mawlana Jalaluddin ar-Rumi rahimahUllah di Konya. Di samping itu, ada juga beredar foto lain yang dikatakan sebagai foto makam baginda SAW, sedangkan ianya adalah foto makam Sultan 'Uthman al-Ghazi rahimahUllah, pengasas Khilafah Uthmaniyyah Turki. Memandangkan sekarang kita tidak berpeluang untuk melihat sendiri keadaan makam Junjungan SAW, maka tidaklah dapat kita pastikan rupa sebenar makam Junjungan SAW tersebut. Mungkin makam Junjungan Nabi SAW pernah memiliki rupa atau penampilan seperti atau seumpama makam-makam tersebut, mengambilkira fakta bahawa Khilafah Uthmaniyyah pernah mentadbir dan memerintah al-Haramain untuk satu jangkamasa yang panjang. Apa-apa pun hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui. Tidak mungkin sultan-sultan Bani 'Uthman membiarkan makam Junjungan Nabi SAW tak terurus. Diceritakan bahawa sewaktu pemerintahan Uthmaniyyah, kerja-kerja pembersihan Hujrah Nabawiyyah dilakukan sendiri oleh sultan yang memerintah. Sultan akan memasuki ruangan bilik yang mulia tersebut dalam keadaan merangkak. Kerja-kerja pembersihan juga dilakukan dalam keadaan merangkak dan penuh adab. Setelah dibersihkan, pati minyak bunga mawar dari Isparta akan disapu ke seluruh kawasan hujrah yang mulia. Pati minyak tersebut diperolehi dari bunga-bunga mawar yang ditanam khusus untuk tujuan ini. Allahu ... Allah, begitulah adab mereka dengan baginda Nabi SAW.

Selain gambar foto tersebut, turut beredar gambar-gambar lukisan yang dikatakan sebagai makam Junjungan Nabi SAW. Ese sendiri ada dihadiahkan oleh seorang kenalan rapat sekeping poster lukisan makam Junjungan Nabi SAW seperti gambar lukisan yang ese letak di atas tu. Lukisan tersebut sampai sekarang masih tergantung dekat pintu kediaman ese, setiap kali melihatnya pasti akan terlancar ucapan sholawat dan salam atas Baginda Muhammad SAW. Adakah begitu rupa makam Junjungan Nabi SAW, idak le ese tahu dengan pasti, cuma ada jugak teman ese bermimpi berziarah ke makam Junjungan SAW dan katanya begitule rupanya makam baginda. Tapi inikan cuma mimpi, entahlah apa hakikat sebenarnya. Sebenarnya lukisan kat atas tu, ese ambik dari buku karangan Ustaz Muhammad Taha as-Suhaimi rahimahUllah berjodol "Haji Ifrad". Lukisan tersebut juga ada dalam karya beliau yang lain berjodol "'Umrah Dan Ziarah". Selain Ustaz Muhammad Taha, murid Syaikh 'Umar al-Khatib rahimahUllah, Ustaz M. Salleh bin A. Hamid, turut memuatkan lukisan tersebut dalam karangan beliau yang diberi jodol "Panduan Ilmu Fiq'h Syeikh Omar al-Khatib: Bab Haji, Umrah & Ziarah", pada halaman 292 (seperti tertera kat pada sudut kanan perenggan ini).

Baru-baru ni, ese dapat pulak buku susunan Ustaz Ahmad Lutfi yang berjodol "Kesan-Kesan Peninggalan Rasulullah SAW". Pada halaman 79 buku tersebut terdapat juga lukisan makam tersebut dengan keterangan - "Gambar nadir ini telah diilhamkan oleh Sayyid Ali Muhammad Taqi Al Hayimi Al Arabi." Jadi lukisan tersebut dilukis menurut ilham seseorang, tetapi tidak dinyatakan pula daripada datangnya ilham tersebut, dari mimpi ke atau dari melihat sendiri atau dari melihat makam-makam lain, hanya Allah yang mengetahui. Walau apapun, sebagaimana yang ese tulis di atas, kemungkinannya tetap ada, mungkin pernah satu ketika dalam sejarah Islam, makam Junjungan Nabi SAW berupa sedemikian, tetapi ianya satu kemungkinan, mungkin pernah dan mungkin juga tidak. Ese turut dimaklumkan bahawa akhbar Arab Saudi, al-Muslimun, pernah menyiarkan lukisan makam tersebut dalam satu artikel berkenaan pemandangan dalam Hujrah an-Nabawiyyah. Ese cuba mencarinya tetapi tidak berjumpa, yang ese jumpa adalah sebuah klip video dari YouTube yang ada menyentuh berkenaan hal ini,. Malangnya klip video tersebut dalam Bahasa Tamil. Tak dak rotan, akar pun jadilah, ese bubuhlah jugak klip tersebut di bawah buat tatapan sesiapa yang reti.

Jurugambar terkenal, Syaikh Abdul Adheem Peter Sanders, memberikan pandangan beliau mengenai gambar-gambar dan lukisan-lukisan makam Junjungan SAW seperti berikut (pandangan beliau ese kutip dari laman Islam - The Modern Religion):-
"Inside the Prophet's (saw) tomb - no I have not seen inside. I asked a sheikh what's inside - he's one the people who clean the area. He said light, light..nothing but light. The picture going round on the Internet - it's not a real picture, it's a painting from someone's vision because there's nothing in there, they've completely concealed it up. That might have been what it was like in the Turkish times, I don't know. It seems very authentic - I've seen in different shuyukh's houses. It's possible that it is what it did look like or what it does look like in the unseen, I don't know. Allahuwalam. As far as I know, there is nothing there. The sheikh said there is only light and he added, people who don't see this light only see their own darkness."
Akhirul kalam, ese nak bawak satu lagi cerita mimpi. Harap korang sudi membacanya, jangan pulak korang mimpi ya. Kalau nak mimpipun, bacalah sampai habis. Kisahnya begini:- Pernah satu ketika seorang sholeh telah bermimpi seolah-olah beliau berada di Kota Madinah sedang duduk menghadap ke arah makam Junjungan Nabi SAW. Tiba-tiba beliau terdengar seruan yang menyatakan bahawa Junjungan Nabi SAW hadir, maka beliau dan sekalian hadirin semua berdiri demi menta'dzimkan Junjungan Nabi SAW dan semua mata tertumpu ke arah makam Junjungan SAW. Malangnya orang sholeh ini tidak dapat melihat Junjungan Nabi SAW, beliau hanya menatap makam baginda SAW. Hal ini menghairankannya, tiba-tiba terngiang-ngiang di telinganya hatif yang menyatakan bahawa "hanya yang hidup dapat melihat yang hidup", yakni orang yang mati hatinya, pandangannya hanya sebatas makam sahaja dan tidaklah dia memandang kepada Shohibul Maqam. Terbangun orang sholeh ini sambil menangis semau-maunya, kerana baginya mimpi tersebut memberi peringatan agar dirinya jangan lalai dan hendaklah dia sentiasa menghidupkan hati dengan mencintai Allah dan kekasihNya. Ya ini cuma cerita mimpi. Ya hanya sebuah mimpi, tapi bagaimana keadaan kita ya, punya ngak pertautan erat dengan Shohibul Maqam SAW???? Apakah tatkala kita berziarah ke makam Junjungan SAW, yang kita ziarahi cuma makam sahaja atau memang sesungguhnya kita menziarahi Shohibul Maqam? Bukankah Imam Malik bin Anas RA diriwayatkan sebagai tidak menyukai seseorang untuk berkata : "Aku menziarahi kubur Rasulullah", sebaliknya hendaklah dia berkata: "Aku menziarahi Rasulullah SAW." Fahami bebetul ye, yang tidak sukai oleh Imam Malik adalah ucapan tersebut, bukannya ziarah ke makam Junjungan Nabi SAW. Sesungguhnya menziarahi makam Junjungan Nabi SAW itu adalah amalan yang dipandang sunnah dan dianjurkan oleh para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah termasuklah Imam Malik bin Anas RA. Ese sudahi entri ini dengan sebuah sabdaan Junjungan Nabi SAW, yang diriwayatkan antaranya oleh Imam al-Baihaqi, Imam ath-Thabrani dan Imam ad-Daraquthni, berbunyi:-

Sesiapa yang menziarahiku selepas kewafatanku,
maka seumpama dia menziarahiku sewaktu hayatku.

*********************************************
Lukisan Makam Junjungan SAW
pada halaman 79 buku Ustaz Ahmad Lutfi
********************************************
Ini pula lukisan makam Junjungan Nabi SAW sebagaimana terpapar di belakang sebuah kitab tua himpunan dua karya mawlid, iaitu Mawlid ad-Diba`i dan Mawlid al-'Azab yang ese terima daripada Allahyarham ayahanda ese, moga Allah merahmati beliau sentiasa.

**************************************************
Ini adalah gambar al-Muwaajahah asy-Syarifah tahun 1326H


*******************************************************
Ini video yang ese jumpa berkaitan dengan laporan di akhbar al-Muslimoon, Jeddah, yang memuatkan artikel dan lukisan pemandangan dalam Hujrah Nabawiyyah asy-Syarifah. Disampaikan oleh seorang penceramah dari sebuah pertubuhan Ahlus Sunnah wal Jama`ah di Kerala, India. Takat tu yang ese faham, sebab video ni dalam Bahasa Tamil. Sesiapa yang faham tolong terjemah sikit.

2 ulasan:

  1. jemput baca posting terbaru saya
    http://ziarah76.blogspot.com/2010/02/memenuhi-jemputan-multaqa_09.html

    BalasPadam
  2. Mampir ke
    http://www.kios-islam.co.cc/

    BalasPadam