Imam Bukhari meriwayatkan dalam shohihnya beberapa hadits berkaitan mimpi orang - orang mukmin yang sholeh. Antaranya diriwayatkan bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: "Mimpi yang elok yang dimimpikan oleh seorang sholeh adalah satu bahagian daripada 46 bahagian nubuwwah." Diriwayatkan juga bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda bahawa: "Sesiapa yang melihat aku dalam mimpinya, maka (benarlah) dia telah melihat aku" dan "Sesiapa yang mimpi melihat aku (dalam mimpinya) maka apa yang dilihatnya itu adalah benar kerana syaitan tidak dapat menyerupaiku". Silalah tuan-tuan belek akan karya-karya hadits mengenai persoalan mimpi kaum sholihin ini sebelum memberi komentar-komentar yang tidak sewajarnya. Janganlah diqiyaskan mimpi para sholihin ini dengan mimpi-mimpi kita yang tholihin ini, ngak benar itu qiyas. Juga kepada yang menerima mimpi-mimpi para sholihin, maka berpada-padalah juga jangan berlebih-lebihan pula. Tidaklah menjadi kesalahan untuk kita memberi perhatian kepada mimpi-mimpi kaum sholihin, asalkan ianya tidak sampai kepada melampaui had batas ketentuan hukum syarak yang mulia.
Dalam sambutan haul Imam al-Haddad pada 16 Oktober 2010 (Sabtu malam Ahad), habib kita yang dimuliakan, Habib Umar bin Muhammad BinHafiz hafizahUllah telah membawa satu kisah di mana seorang syaikh daripada keluarga BaFadhal yang kesedihan kerana tidak berkesempatan untuk menziarahi makam Junjungan Nabi SAW di Madinah al-Munawwarah telah bermimpikan Junjungan Nabi SAW dan dalam mimpi tersebut Junjungan Mulia telah menggembirakan beliau dengan menyatakan bahawa sesiapa yang menziarahi makam anakanda baginda Imam al-Haddad di Tarim nescaya akan dikabulkan 70 hajatnya. Kisah yang serupa juga ese dengar daripada yang dimuliakan Ustaz Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Abdul Rahman al-Qadri hafizahUllah. Ya inikan sekadar cerita mimpi, oleh itu usahlah mempertikaikannya sampai memutuskan ukhuwwah, sesiapa yang percaya ya silakan, sesiapa yang rasa tak nak percaya, ya terpulang. Ianya termasuk perkara mumkin, apatah lagi bila terdapat warid hadits-hadits sebagaimana tersebut terdahulu yang menyatakan bahawa mimpi orang mukmin itu adalah 1/46 daripada nubuwwah atau 1/70 daripadanya. Dan ada juga riwayat yang menyatakan bahawa sesiapa yang bermimpikan Junjungan Nabi SAW, maka benarlah yang dimimpikannya itu adalah baginda SAW.
Bagi yang mempercayainya akan kisah mimpi tersebut, kerana ianya dikhabarkan oleh ulama yang kepercayaan (yang tak percaya kepada ulama, tok sahlah nak halang sesiapa yang percaya), ulama yang tahu bahawa berdusta tentang mimpi adalah salah satu dusta yang paling buruk sebagaimana disabdakan oleh Junjungan Nabi SAW dalam sebuah hadits yang diriwayat oleh Imam al-Bukhari, maka mereka-mereka ini janganlah berlebih-lebihan pula berpegang dengan mimpi tersebut sehingga ianya dijadikan seolah-olah hukum yang qath`ie. Mimpi itu hanyalah sebagai tanda alamat dan bukannya sebagai ketetapan hukum. Dan janganlah pula dita'birkan mimpi Syaikh BaFadhal tersebut sebagai ketetapan bahawa menziarahi makam Imam al-Haddad itu lebih afdhal atau menyamai menziarahi makam Junjungan Nabi SAW. Sewajarnya mimpi tersebut dita'birkan bahawa jika saja menziarahi makam Imam al-Haddad menjadi penyebab dikabulkan 70 hajat, maka pasti menziarahi Junjungan Nabi SAW di Madinah al-Munawwarah berlipat kali ganda lagi fadhilat dan kelebihannya. Pasti apa yang akan dianugerahkan kepada para penziarah makam nenda Imam al-Haddad yang teragung, Junjungan Nabi SAW, yang bersemayam di Kota Madinah al-Munawwarah, melebihi apa yang diberikan kepada para penziarah Imam al-Haddad di Tarim. Sholawat dan salam ke atas Junjungan sekalian 'alam, para ahli keluarga baginda dan para sahabat sekalian. Keredhaan yang khusus moga dilimpahkan ke atas Shohibul Haul, Syaikhul Islam, al-Imam, al-Quthub, al-Ghauts, al-Habib 'Abdullah bin 'Alawi bin Muhammad al-Haddad. Dengan keberkatan mereka moga kita juga mendapat redha Ilahi Rabbi.
**********************************
Cuplikan Ceramah Habibna 'Omar hafizahUllah
Cuplikan Ceramah Habibna 'Omar hafizahUllah