Khamis, Oktober 14, 2010

Hol Sultan Aali Baa 'Alawi

7 Dzulqaedah setiap tahun diperingati sebagai hari haulnya Imam al-Haddad rahimahUllah. Adat atau tradisi "haul" atau "hol" sudah tidak asing lagi dalam masyarakat kita di Nusantara. Tradisi ini bukanlah perkara yang dibuat-buat sendiri oleh orang-orang Melayu, tetapi adat yang telah diterima daripada para ulama terdahulu. Tradisi ini juga wujud dalam masyarakat Islam di berbagai pelosok dunia termasuklah Kota Suci Makkah al-Mahmiyyah. Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani rahimahUllah menulis dalam "Nihayatuz Zain" halaman 281 sebagai berikut:- "... Dan telah menjadi adat kebiasaan orang untuk bersedekah bagi si mati pada hari ke-3 dari kematiannya, hari ke-7, pada sempurnanya hari ke-20, hari ke-40, hari ke-100, dan setelah itu dilakukan setiap tahun pada genapnya haul dari tarikh kematiannya...."

Kebiasaannya dalam majlis hol ulama, akan diperdengarkan serba sedikit mengenai biografi atau riwayat hidup almarhum Shohibul Haul. Dengan pembacaan manaqib dapatlah kita mengenali Shohibul Haul dan jasa-jasa beliau. Imam al-Haddad rahimahUllah, sedikit sebanyak, pasti ada jasanya kepada kita, umat Islam Nusantara, melalui dakwah para pendakwah yang datang dari Timur Tengah khususnya Hadhramaut. Maka sewajarnya kita mengenang jasa-jasa beliau dan juga jasa-jasa sekalian ulama yang telah menyampaikan kepada kita ajaran Junjungan Nabi SAW yang menjadi suluh dalam kehidupan kita. Membaca sejarah para pemuka Islam ini mempunyai faedah dan kelebihan tersendiri. Cukuplah faedahnya jika perjalanan hidup mereka menjadi tauladan bagi kita dalam menuruti jejak langkah Junjungan Nabi SAW.

Imam 'Abdul Rahman al-Masyhur rahimahUllah, mufti Hadhramaut, menulis dalam karya beliau "Bughyatul Mustarsyidin" sebagai berikut:-


Dan telah warid dalam satu atsar daripada Sayyidil Basyar SAW bahawasanya baginda bersabda: " Sesiapa yang menulis sejarah seorang mukmin (yakni seorang yang benar-benar beriman viz. wali), maka seumpama dia menghidupkannya. Sesiapa yang membaca sejarahnya seumpama dia menziarahinya. Sesiapa yang menziarahinya, maka pasti dia memperolehi keredhaan Allah ta`ala dalam kenyamanan syurga dan menjadi hak (yakni kewajipan) bagi seseorang untuk memuliakan penziarahnya."
Habib Muhammad bin Salim al-Hafiz, Habib Hasan bin 'Abdullah asy-Syaathiri dan al-'Allaamah Syaikh Saalim bin Sa`id Bukair rahimahumUllah dalam ta'liq mereka atas "Bughyatul Mustarsyidin" menyatakan atsar tersebut turut disebut oleh Imam as-Sakhawi al-Hafiz rahimahUllah dalam karya beliau berjodol " al-I'laan bi at-Tawabikh li Man Dzam at-Taarikh".

Mudah-mudahan dengan menghadiri haul seorang waliyUllah dan ulama besar seumpama Imam al-Haddad, kita memperolehi madad dan nadzrah Shohibul Haul yang bermuarakan syafaat dan jah Baginda Rasul SAW. Sesungguhnya Shohibul Haul, al-Imam al-Habib al-Quthub al-Ghawts 'Abdullah bin 'Alawi bin Muhammad al-Haddad al-Husaini asy-Syafi`i at-Tarimi rahimahumUllah adalah seorang ulama yang tidak dipertikaikan kewaliannya. Mereka - mereka yang sezaman dengan beliau telah mempersaksikan hal ini. Tersebut dalam beberapa manaqib Imam al-Haddad, antaranya "Busyral Fuad bi tarjamah al-Imam al-Haddad" karya Habib 'Alwi bin Hasan al-Haddad rahimahumAllah, "Nurul 'Ain wal fuad fi ba'dh manaqib as-Sayyid 'Abdillah bin as-Sayyid 'Alawi al-Haddad" karangan Syaikh Muhammad Taqiyuddin bin 'Umar bin 'Abdul Qaadir az-Zur`ah rahimahUllah dan "Irsyaadul 'Ibaad li ba'dhi manaqib Quthubil Irsyaad wa Ghawtsil 'Ibaad wal Bilaad 'Abdillah bin 'Alawi al-Haddad" karya Habib 'Aqiil bin Muhammad as-Saqqaf rahimahUllah, bahawa Quthubul Anfaas al-Habib 'Umar bin 'Abdul Rahman al-'Aththas rahimahUllah sangat memuliakan Imam al-Haddad dan memujinya dengan pujian-pujian yang tinggi. Bahkan jika Imam al-Haddad hadir, maka Imam al-Haddadlah yang akan disuruh menjadi Imam, mengepalai doa dan memulakan majlis. Begitulah ketinggian Imam al-Haddad dan kekhumulan Imam al-'Aththas. Manakala al-'Arif billah al-Habib 'Ali bin 'Abdullah al-'Aydrus rahimahUllah, Shohibu Surat, menyatakan bahawa Imam al-Haddad adalah SULTHAN KELUARGA BA 'ALAWI pada zamannya.

Maka marilah kita datang memeriahkan majlis haul Sulthan aali Baa 'Alawi ini. Datanglah kerana Allah ta`ala, kerana Rasulullah SAW, kerana al-Habib rahimahUllah, tanpa mengira siapa yang akan memberi tausyiah dalamnya nanti. Dambakanlah rahmat Allah yang akan diturunkan tatkala para sholihin diingati, dambakanlah syafaat Junjungan Nabi SAW tatkala para pewaris baginda dimuliakan, dambakanlah madad daripada al-Habib tatkala ratibnya dibaca. Insya-Allah, pasti keihsanan akan dibalas dengan keihsanan. Allah Maha Pemurah.

يا الله يا جوّاد ، جد لنا بالمراد بالحبيب قطب الإرشاد
عبد الله الحداد

Tiada ulasan:

Catat Ulasan