Kisah-kisah pertemuan seseorang, terutamanya kaum sholihin, dengan Nabi Khidhir 'alaihis salam banyak dikisahkan dalam karya-karya besar karangan tokoh-tokoh ulama Islam. Imam al-Qusyairi rahimahUllah tidak ketinggalan menulis kisah-kisah tersebut dalam karya-karya beliau. Antara yang dibawanya adalah sebuah kisah mengenai bagaimana pertemuan seorang lelaki saleh bernama Bilal al-Khawwash dengan Sayyidina Khidhir AS. Kisah ini tercatat pada halaman 405 dalam karya agung Imam al-Qusyairi yang berjodol "ar-Risalah al-Qusyairiyyah".
"... Aku telah mendengar Bilal al-Khawwash berkata: " Adalah satu waktu, ketika aku berada di padang Tih Bani Israil (yakni padang pasir tempat Bani Israil berkeliaran apabila terhalang memasuki bumi Palestin), tiba-tiba muncul seorang lelaki berjalan bersamaku. Kemunculannya secara tiba-tiba tersebut amat menghairankan aku, lalu aku diilhamkan bahawa lelaki tersebut adalah Nabi Khidhir AS. Aku pun bertanya kepadanya: "Demi Allah, siapakah engkau?" Baginda menjawab: "Saudaramu al-Khidhir." Maka aku berkata lagi kepadanya: "Aku mohon untuk bertanya kepadamu". Nabi Khidhir berkata: "Tanyalah". Maka aku bertanya: " Apa yang engkau kata mengenai Imam asy-Syafi`i rahimahUllah ta`ala?" Baginda menjawab: "Dia tergolong dalam kalangan wali awtad (yang menjadi pasaknya agama)." Aku bertanya lagi: " Bagaimana pula dengan Imam Ahmad bin Hanbal?" Baginda menjawab: "Dia seorang lelaki yang shiddiq." Aku bertanya lagi: " Bagaimana pula dengan Bisyr bin al-Harits al-Haafi?" Baginda menjawab: " Allah belum lagi mencipta seseorang seumpamanya setelah dia meninggal dunia. Kemudian aku bertanya lagi: "Apakah penyebabnya sehingga aku dapat bertemu denganmu?" Baginda menjawab: "Dengan sebab kebaktianmu kepada ibumu."Allahu ... Allah, tidak dimungkiri lagi bahawa kedua orang tua kita, teristimewanya ibu, adalah manusia - manusia penting dalam kehidupan kita. Mereka itu adalah antara sebab bagi kebahagiaan kita dunia dan akhirat. Betapa tidak, jika Allah SWT memerintahkan kita agar sentiasa berbakti kepada mereka dan Junjungan Nabi SAW telah menggandengkan keredhaan Allah SWT dengan keredhaan mereka berdua. Sebahagian fuqaha` menghukumkan wajib bagi seseorang memutuskan sholat sunnatnya apabila ibunya memanggilnya berulang-ulang. Benarlah kata sebahagian bijakpandai bahawa ibubapa itu adalah seumpama wali-wali keramat bagi anak-anak mereka. Malang sekali jika kita mendurhakai mereka, baik sewaktu hayat mereka maupun setelah mereka berpulang ke rahmat Allah. Kita disuruh berbakti kepada mereka sewaktu mereka hidup di alam dunia, juga setelah mereka berpindah ke alam baqa. Ketaatan kepada mereka juga mempunyai andil besar dalam melancarkan perjalanan kerohanian seseorang untuk menuju keredhaan Allah dan ma'rifatUllah. Dengan berbakti kepada mereka, nescaya perjalanan yang dijalani seseorang akan dimudahkan Allah SWT dan menghasilkan kejayaan. Moga Allah menjadikan kita anak-anak yang sentiasa berbakti kepada dua ibubapa kita, ketika hayat mereka dan setelah kewafatan mereka.
**********************
Doa Untuk Ayah Ibu
Doa Untuk Ayah Ibu
Salam Tuan.
BalasPadamBagus artikel ni. Jarang benar blog nak papar tentang bab kasih sayang kepada kedua ibubapa.
Wasalam.