Majlis mawlid adalah majlis di mana kaum muslimin berhimpun memperingati Junjungan Nabi SAW, menceritakan sirah baginda yang agung, memuji-muji Allah kerana telah mengutuskan baginda sebagai rahmat bagi sekalian alam, berzikir, membaca ayat - ayat al-Quran, bersholawat dan membaca qasidah puji-pujian bagi Allah dan kekasihNya, Junjungan Nabi SAW. Sungguh ini adalah antara cara untuk kita meninggikan sebutan Junjungan Nabi SAW. Jika dahulu, apabila kaum musyrikin mencaci Junjungan Nabi dengan mendendangkan syair-syair yang mencemuh baginda, maka cemuhan kaum jahiliyyah tersebut telah dijawab pula oleh para sahabat melalui syair-syair mereka yang membela, memuji dan mengagungkan Junjungan Nabi SAW. Maka sejarah yang berulang sekarang, di mana puak kafir mencaci-maki, mencemuh, merendah-rendahkan Junjungan Nabi SAW dengan berbagai cara, maka wajar jika sekiranya kita mengadakan majlis-majlis di mana Junjungan Nabi SAW diagungkan, dibesarkan, ditakzimkan, dipuji dan dipuja kerana perutusan baginda, kerana akhlak baginda, kerana baginda adalah rahmat bagi sekalian alam. Maka amat tidak wajar bagi seseorang yang mengaku dirinya muslim pengikut Junjungan Nabi SAW untuk merasa benci kepada saudara-saudara seagama yang mengadakan perhimpunan memuji dan mengagungkan Junjungan Nabi SAW.... amat tak patuuuttttt. Sewajarnya majlis-majlis mawlid ini dilestarikan, sebagai tindakbalas terhadap perlakuan puak-puak yang mencemuh dan mencaci Junjungan Nabi SAW. Makin hebat musuh Allah mencemuh Junjungan Nabi SAW, sepatutnya makin hebat lagi kita mengagungkan baginda.
Maka tersebutlah satu kisah dalam "Targhiibul Musytaaqiin" karangan Imam an-Nawawi ats-Tsani, Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani rahimahUllah, diceritakan oleh Syaikh Abdullah bin 'Isa al-Anshari tentang jirannya seorang wanita yang sholehah. Jirannya itu mempunyai seorang anak lelaki yang juga sholeh. Wanita yang sholehah ini tidak mempunyai harta selain satu dinar hasil kerja tenunnya. Tatkala wanita tersebut meninggal dunia, wang satu dinar tersebut diwarisi oleh anaknya. Anaknya yang sholeh tersebut berkata kepada dirinya bahawa wang satu dinar hasil kerja ibunya itu hanya akan dibelanjakan untuk tujuan akhirat.
Pada suatu hari, pemuda anak perempuan sholehah tersebut keluar dari kediamannya kerana suatu keperluan, dia melalui satu perhimpunan orang sedang membaca al-Quran dan mengadakan Mawlidin Nabi SAW pada bulan Rabi`ul Awwal. Lalu dia pun duduk bersama mereka dan mengikuti majlis mawlid tersebut. Pada malamnya, pemuda tersebut telah bermimpi seolah-olah kiamat telah berlaku dan seorang penyeru menyeru: "Di manakah si fulan anak si fulan", disebutnya nama-nama orang yang dalam satu perhimpunan lalu digiringlah mereka ke syurga, dan adalah pemuda tersebut termasuk dalam kalangan mereka. Tatkala memasuki syurga, si penyeru tadi berkata: "Bahawasanya Allah telah memberi bagi setiap kamu sebuah mahligai dalam syurga." Maka masuklah si pemuda tadi ke dalam mahligainya, tidak pernah dia melihat mahligai yang seumpamanya dari segi keelokan dan keindahannya, ianya dipenuhi bidadari dan pada segala pintunya dijaga oleh khadam. Pemuda tersebut melihat bahawa ada mahligai-mahligai lain yang lebih elok daripada mahligainya, lalu dia pun berkehendak untuk memasukinya. Tatkala berdetik hatinya untuk memasuki mahligai tersebut, berkatalah khadam kepadanya: "Ini bukanlah untukmu, bahawasanya ini diperuntukkan bagi orang yang membuat mawlid Rasulullah SAW."
Keesokan harinya, pemuda tersebut awal-awal pagi lagi terus menggunakan satu dinar warisan daripada ibunya tersebut untuk mengadakan Mawlid Nabi SAW kerana sukacitanya dengan mimpinya itu. Dia menghimpunkan para faqir untuk berzikir kepada Allah, membaca al-Quran dan membaca Mawlid Nabi SAW. Dia juga menceritakan tentang mimpinya itu kepada mereka, lalu semua mereka merasa gembira mendengar ceritanya itu. Pemuda tersebut telah bernazar untuk tidak akan meninggalkan mengadakan mawlid selama hayatnya.
Kemudiannya, si pemuda tadi telah bermimpi lagi dan dalam mimpinya itu dia telah bertemu dengan ibunya. Ibunya berada dalam keadaan yang amat baik, berhias dengan segala perhiasan syurga dan berwangian dengan bauan syurga. Pemuda tersebut mencium tangan ibunya dan ibunya mengucup kepalanya lalu berkata: "Moga Allah membalasmu dengan kebaikan, wahai anakku, malaikat telah datang kepadaku membawa segala perhiasan ini." Si pemuda bertanya kepada ibunya: "Dari manakah ibu memperolehi kemuliaan ini?" Si ibu menjawab: "Kerana engkau telah mempergunakan satu dinar yang engkau warisi daripadaku untuk mengadakan mawlid Penghulu orang-orang terdahulu dan orang-orang yang kemudian, dan inilah balasan bagi orang yang mengagungkan Nabinya dan mengadakan mawlid baginda."
Di sini kita sekadar berkongsi kisah mimpi seorang yang sholeh yang diberitakan oleh seorang yang sholeh dan dinukilkan pula oleh seorang yang sholeh. Moga ada keberkatannya pada kesholehan mereka, sehingga kita pun digolongkan dalam kalangan mereka. Mudah-mudahan sahaja mimpi yang dimimpikan itu adalah suatu mubasysyiraat sebagaimana yang disabdakan oleh Junjungan Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:-
"Tiadalah tinggal daripada kenabian / nubuwwah melainkan khabar-khabar gembira." Para sahabat bertanya: "Apakah itu al-mubasysyiraat?" Junjungan SAW bersabda: "Mimpi yang baik."
********************************
Why We Celebrate Mawlidin Nabi ?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan