Isnin, Januari 24, 2011

Allah Tiada Bertempat - Fatawa Fathaniyah

Kita selaku pengikut Ahlus Sunnah wal Jama`ah beri'tiqad dan menyakini bahawa Allah SWT tidak perlu kepada tempat yang merupakan makhluk yang Dia cipta. Maha Suci Allah daripada mengambil faedah daripada ciptaanNya dan Maha Suci Allah daripda mengambil tempat.

Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahUllah ditanya orang sebagai berikut:-

(Masalah) Apa kata kamu pada barang yang telah banyak jatuhnya daripada awam, iaitu apabila ditanyakan setengah mereka itu: "Adakah bagi engkau Tuhan?" Menjawab ia: "Ada." Maka ditanyakan: "Apa dalil adaNya?" Katanya: "Langit dan bumi ini." Dan ditanyakan: "Di mana duduk Tuhan?" Katanya: "Tiada tahu di luar alamkah atau di dalamnya, di atasnya kah atau di bawahnya."

(Jawab) Alhamdulillah wa shallaAllahu 'ala Sayyidina Muhammad wa aalihi wa shahbihi wa sallam. Allahumma hidayatan lish showab, Rabbi zidni `ilman. Bermula jawab orang yang 'aami, tatkala ditanyakan dia di mana Tuhan duduk { "Tiada aku tahu di luar alamkah atau di dalamnya, di atasnya kah atau di bawahnya" } itu, tiada jadi murtad ia dengan sebabnya dan tiada pula haram atasnya kerana muwafaqah perkataannya dengan sebenar, iaitu bahawasanya Allah ta`ala itu tiada bagiNya tempat kerana bersifatNya subhanahu wa ta`ala dengan bersalahanNya bagi segala yang baharu, dan lazim daripada ketiadaan tempat bagiNya itu bahawa tidak diketahuikan tempat bagiNya sekali-kali. Dan bahawa tiada diketahui akan keadaanNya di atas sesuatu atau di bawahnya dan di luar sesuatu atau di dalamnya, maka iaitulah makna katanya: "Tiada aku tahu." WaAllahu a'lam.

- Al-Fatawal Fathaniyah, jilid 1, halaman 2 - 3.

Sabtu, Januari 22, 2011

Mazhab Bantu Memahami Agama

Mazhab bantu memahami agama

SOALAN:
Apakah maksud sebenar mazhab dan apakah kepentingan kita mengikut sesuatu mazhab?

JAWAPAN:

MAZHAB menurut kamus dewan adalah: "Cabang ajaran Islam yang diikuti oleh umat Islam". (Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm: 1010).

Mazhab adalah berasal daripada bahasa arab, yang bermaksud kecenderungan dalam sesuatu perkara. Soalan sebegini sudah acap kali orang bertanya.

Bila baca soalan sebegini dan sebelum ini ada juga yang bertanya soalan yang seumpama dengan ini lantas apa yang terlintas di benak saya, adakah kita lebih hebat daripada Imam Syafie, Imam Hanafi, Imam Maliki dan Imam Hanbali sehingga sudah tidak mahu berpegang kepada mazhab?

Saya tidak salahkan yang bertanya, tetapi saya yakin pertanyaan ini adalah sebagai landasan mendapat penjelasan yang betul dalam persoalan yang dimusykilkan.

Kepentingan bermazhab adalah bagi membolehkan kita mengamalkan agama dengan faham yang sebenarnya. Sebabnya, kita tidak mampu dan kebanyakan kita tidak layak kerana tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk berijtihad. Para ulama yang muktabar telah memudahkan kita memahami Islam dengan lebih mudah.

Contohnya hadis berkaitan wuduk dalam sahih al-Bukhari dalam kitab bersuci, wuduk, di bawah tajuk ini adalah 75 bab dan 105 hadis, di dalam kitab al-Ghusl (mandi) terdapat 29 bab dan 44 hadis.

Kadang-kadang dalam satu bab ada ada dua tiga mungkin lebih lagi. Mungkin juga di antara hadis-hadis itu pada zahirnya macam bertentangan tetapi hakikatnya tidak. Semua ini orang awam boleh faham ke untuk menghasilkan hukum?

Tidak semudah yang disangka. Memang Islam itu mudah, tapi tidaklah sampai dimudah-mudahkan Islam itu.

Pandangan peribadi saya adalah lebih baik orang awam di negara ini berpegang kepada satu mazhab, iaitu mazhab Syafie, yang menjadi pegangan majoriti penduduk dunia.

Saya juga mengagumi dan menghormati mazhab-mazhab yang lain. Tetapi negara ini kita sudah serasi dan menjadi pegangan untuk kian lama.

Silibus fiqh di sekolah dan universiti juga bermazhab Syafie. Oleh sebab itu, saya berani mengatakan mazhab Syafie telah menjadi mazhab rasmi masyarakat yang beragama Islam di negara ini.

Keadaan umat Islam semakin bercelaru dengan berbagai aliran dan pemikiran selepas kewafatan Rasululah SAW. Terutama pada zaman Saidina Ali yang muncul berbagai-bagai fahaman seperti aliran Khawarij, Mu'tazilah dan Syiah dan macam-macam ajaran yang membingungkan hala tuju manusia.

Oleh kerana terdapat berbagai aliran ini, tepatlah al-hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Al-Imam al-Thabarani: "Bahawa pada akhir zaman, umat ku terbahagi pada 73 golongan, hanya satu golongan sahaja yang dapat memasuki syurga manakala yang lain terjun ke dalam neraka. Maka sahabatnya pun bertanya, siapakah golongan yang satu tersebut, ya Rasulullah? Jawab baginda Ahlul Sunnah Wal Jamaah (ASWJ)".

ASWJ adalah mereka yang mengikut sunnah Rasululah dan juga sunnah sahabat-sahabat Baginda serta sunnah umat zaman Tabiin (Zaman 300 tahun selepas Rasulullah). Keempat-empat Imam ASWJ iaitu Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Al-Shafie dan Imam Hambali tersebut hidup pada zaman tabiin yakni lingkungan 300 tahun selepas Rasulullah SAW.

Mendalami ilmu

Imam Hanafi lahir pada 80 hijrah dan Imam Malik lahir pada tahun 93 hijrah dalam kurun yang pertama lagi. Imam Al-Syafie lahir pada pada 150 hijrah dan Imam Hambali lahir pada 164 hijrah.

Semua mereka terkenal dengan sifat-sifat terpuji dan terkenal dengan ketokohan mereka dalam bidang ilmu. Seawal usia mereka telah menghafal al-Quran, selesai menghafal al-Quran mereka akan mendalami ilmu hadis serta ilmu tafsir, disusuli dengan ilmu fiqh dan tauhid.

Mereka sanggup berehlah ribuan batu untuk mendapatkan ilmu, sanggup mengharung perit maung dalam mencari ilmu. Sepanjang riwayat hidup mereka kita akan dengar yang baik-baik, yang indahnya mereka adalah ulama yang jujur dalam menegakkan kebenaran demi Allah SWT dan Rasul-Nya.

Perjuangan mereka jujur ijtihad mereka juga semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Keempat-empat Imam tersebut juga boleh mengistinbatkan hukum selain dari al-Quran dan al-hadis. Selain itu, keempat-empat mereka juga mempunyai kitab rujukan pada anak murid dan umum.

Seperti Imam Hanafi yang mempunyai kitab al-hadis yang bernama Al Wasit, Imam Malik dalam kitab Al-Muwattha, Imam Al-Shafie dalam kitab Al-Uum dan Al-Imam Hambali (Ahmad bin Hambal).

(Mazhab bagi keluarga Ibn Tamiyah di mana bapanya adalah ulama bermazhab Hambali) dalam kitab al-Hadis yang terkenal yang bernama Al-Musnad yang merangkumi 35,000 hadis di dalamnya.

Keempat-empat Imam tersebut apabila memberi fatwa atau berijtihad atau mengeluarkan hukum, mereka merujuk kepada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Kalau ada mana-mana pihak yang mengikuti salah satu daripada empat mazhab tersebut, ertinya mereka juga telah mengikut al-Quran dan al-hadis.

Cuma sebagai orang awam yang tidak tahu ayat al-Quran dan al-hadis mana yang diterima pakai. Kerana itu digelar muqalidin atau pengikut.

Memang sudah menjadi sunnatullah sejak Nabi Adam sehingga pada akhir zaman, orang yang jahil tentang ilmu Islam lebih ramai daripada orang alim. Walaupun sebenarnya ramai yang ingin menjadi alim.

Begitu juga dalam ilmu pengetahuan, sedikit sahaja yang berilmu tetapi yang jahil amat ramai. Dalam pada itu patutkah diminta pendapat orang awam mengkaji dan menggali sendiri al-Quran dan hadis?

Tidak munasabah meminta mereka berijtihad sendiri kepada al-Quran dan hadis. Oleh yang demikian berpegang kepada satu mazhab yang muktabar seperti mazhab Syafie adalah lebih baik dan lebih selamat.

Ini kerana kita akan seragam dalam penghayatan dan pengamalan serta mengelakkan pertelingkahan antara satu sama lain

Ahad, Januari 16, 2011

Habib Sangeng al-Haddad

Beliau adalah Habib 'Abdullah bin 'Ali bin Hasan bin Husain bin Ahmad bin Hasan bin Shohibur Ratib Habib 'Abdullah al-Haddad.

Dilahirkan pada tanggal 2 Shafar al-Khair 1261H di Kota Hawi, Tarim, Hadhramaut. Habib 'Abdullah bin 'Ali al-Haddad @ Habib Sangeng lahir dalam keluarga yang kuat berpegang dengan agama, keluarga keharuman ahlul bait dan kewalian semerbak mewangi. Sejak kecil lagi beliau dididik dan diasuh sendiri oleh ayahanda beliau sehingga dalam usia kecil tersebut beliau telah hafal al-Quran.

Kemudian beliau berguru pula dengan berbilang ulama besar di Hadhramaut, antara guru beliau adalah:-
  1. Habib 'Abdur Rahman al-Masyhur, mufti Hadhramaut, pengarang kitab "Bughyatul Mustarsyidin";
  2. Habib 'Umar bin Hasan al-Haddad;
  3. Habib 'Aidrus bin Umar al-Habsyi, pengarang "Iqdul Yawaaqit";
  4. Habib Muhsin bin 'Alwi as-Saqqaf;
  5. Habib Muhammad bin Ibrahim BilFaqih;
  6. Habib Thahir bin 'Umar al-Haddad;
  7. Syaikh Muhammad bin 'Abdullah BaSaudan;
  8. Habib Ahmad bin Muhammad al-Muhdhar;
Pada tahun 1295 H, berangkatlah beliau menuju ke Haramain untuk menunaikan ibadah haji. Di kota Makkah, beliau tinggal di kediaman Al-Habib Muhammad bin Husain al-Habsyi, ayahanda Shohibul Mawlid Habib 'Ali bin Muhammad al-Habsyi, yang berada di daerah Jarwal. Di sana keduanya saling mengisi dengan membaca bersama-sama kitab-kitab agama. Pada saat di kota Madinah, beliau bertemu dengan Asy-Syaikh Muhammad Abdul Mu''thi bin Muhammad Al-'Azab, seorang faqih dan pakar bahasa dan kesusasteraan Arab, serta pengarang kitab Mawlid al-'Azab. Di sana juga keduanya saling mengisi dengan saling memberikan ijazah. Di Kota Madinah juga, kemuliaan dan ketinggian maqam beliau tersingkap apabila Mufti Haramain, Sayyid 'Umar Syatha datang kepada beliau dan sangat-sangat memuliakan beliau. Diceritakan bahawa sebelumnya, Sayyid 'Umar telah bermimpikan Junjungan Nabi SAW yang memerintahkan beliau untuk menziarahi Habib 'Abdullah bin 'Ali al-Haddad dan Junjungan SAW turut memaklumkannya bahawa Habib 'Abdullah al-Haddad ini adalah cucu baginda yang sebenar.

Pada tahun 1297 H, beliau melakukan hijrah dalam rangka berdakwah ke negeri Melayu. Tempat awal yang beliau tuju adalah Singapura, kemudian beliau menuju ke Johor. Di Johor beliau tinggal selama 4 tahun. Setelah itu beliau meneruskan perjalanan dakwahnya ke pulau Jawa. Sampailah beliau di daerah Betawi. Beliau lalu meneruskan perjalanan ke kota Bogor, Solo dan Surabaya. Beliau tidak tertarik tinggal di kota-kota tersebut, walaupun diajak penduduk setempat untuk menetap di kotanya.

Sampai akhirnya pada tahun 1301 H, tepatnya akhir Syawal, beliau tiba di kota Bangil. Disanalah beliau menemukan tempat yang cocok untuk menetap dan berdakwah. Mulailah beliau membuka majlis taklim dan rauhah di kediaman beliau di kota Bangil. Beliau juga mengembangkan dakwah Islamiyyah di daerah-daerah lain di sekitar kota Bangil. Di sana juga beliau mengamalkan ilmunya dengan mengajar kepada murid-murid beliau. Keberadaan beliau di kota Bangil banyak membawa kemanfaatan bagi masyarakat di kota tersebut. Tidak jarang pula, masyarakat dari luar kota datang ke kota itu dengan tujuan untuk mengambil manfaat dari beliau. Di antara murid-murid beliau yang menjadi ulama dan kiyai besar adalah:-
  1. Kiyai Kholil Bangkalan;
  2. Kiyai Zayadi;
  3. Kiyai Husein;
  4. Kiyai Mustafa;
  5. Kiyai Muhammad Thahir;
  6. Habib Muhammad bin Ahmad al-Muhdhar;
  7. Habib 'Alwi bin Muhammad al-Haddad;
  8. Habib 'Ali bin Abdur Rahman al-Habsyi (Habib Ali Kwitang);
  9. Habib Ahmad bin Muhsin al-Haddar.
Beliau juga ada mengarang beberapa karya tulis, antaranya:-
  1. Hujjatul Mukminin fit Tawassul bi Sayyidil Mursalin;
  2. Maulidil Haddad, nazam maulid Junjungan Nabi SAW.
Habib 'Abdullah bin Ali al-Haddad adalah seorang yang sangat pemurah dan sangat memperhatikan para fakir miskin. Bahkan setelah bermastautin di Kota Bangil, beliau bukan sahaja menyara keluarga dan murid-muridnya bahkan puluhan lagi keluarga miskin yang berada di sekitarnya dibiayai belanja mereka pada setiap bulan. Dan sering pada waktu malam, ketika orang tidur, beliau akan meronda sekitar Kota Bangil untuk mencari orang yang perlukan bantuan.

Habib 'Abdullah adalah seorang yang tidak suka dengan kemasyhuran. Beliau tidak suka difoto atau dilukis. Beberapa kali dicoba untuk difoto tanpa sepengetahuan beliau, tetapi foto tersebut tidak jadi atau rusak. Beliau adalah seorang yang mempunyai sifat tawadhu. Beliau selalu menekankan kepada para muridnya untuk tidak takabur, sombong dan riya. Dakwah yang beliau jalankan adalah semata-mata hanya mengharapkan keridhaan Allah Azza wa Jalla. Dan inilah bendera dakwah beliau yang tidak lain itu semua mengikuti jalan yang telah ditempuh oleh para pendahulunya.

Pada hari Jum'at, 15 Shafar 1331 H, sesudah melaksanakan shalat Ashar, berpulanglah Habib 'Abdullah bin 'Ali al-Haddad kepada Tuhan Rabbul Alamin dengan amal baik beliau yang beliau tanam semasa hidupnya. Beliau disemadikan di daerah Sangeng, Bangil. Moga-moga Allah meredhai dan merahmatinya sentiasa dan menghubungkan keberkatan beliau kepada kita sekalian.... al-Fatihah.


*********************************************
Qasidah karangan Habib Sangeng
Dikatakan bahawa bait-bait istighatsah ini adalah mujarrab sebagai wasilah untuk menarik rezeki, menyembuhkan penyakit, menolak bala`, fitnah, pancaroba, wabak dan kejahatan musuh. Boleh dibaca setiap malam selepas membaca ratib.

Khamis, Januari 13, 2011

Hayatul Anbiya` - Fatwa al-Baarizi

Imamul Fuqaha`, Syaikhul Islam, Syarafuddin, HibatUllah bin 'Abdur Rahim bin Ibrahim al-Baarizi adalah seorang ulama terkemuka bermazhab Syafi`i. Beliau dilahirkan di Hamah pada 27 Ramadhan 645H dan dibesarkan dalam keluarga ilmuwan. Ayahanda beliau, Abdur Rahim digelar sebagai Najmuddin, adalah seorang qadhi. Begitulah juga dengan datuk beliau, Ibrahim yang diberi gelaran Syamsuddin. Pendidikan awalnya diperolehi daripada ayah dan datuknya tersebut. Kemudian, beliau turut belajar dengan ramai ulama terkemuka, antaranya Syaikhul 'Iraq Abil 'Abbas Ahmad bin Ibrahim al-Faarutsi, al-Muhaddits Ibrahim bin 'Abdullah al-Armuni, al-Muhaddits Muhammad bin 'Abdul Mun`im, Syaikhul Qurra` Muhammad bin Ayyub al-Tadzafi dan Hujjatul 'Arab Muhammad bin 'Abdullah bin Malik ath-Tho-ie.

Imam al-Baarizi menekuni jalan ilmu dan menyebarkannya. Kealiman beliau diakui umat sezaman dengannya dan ramai pelajar datang untuk belajar dengan beliau. Di antara murid beliau ialah Qadhi Qudhah Ismail bin Muhammad al-Lakhmi an-Andalusi al-Maliki, al-Faqih Muhammad bin Muhammad al-Maushili, Syaikh 'Umar bin Ibrahim al-'Ajmi al-Halabi, al-Hafiz al-Barzali, al-Hafiz adz-Dzahabi, al-Mu`arrikh Ibnul Wardi, Imam Taqiyuddin as-Subki dan ramai lagi. Bahkan menurut Imam Ibnu Hajal al-`Asqalani, Imam as-Sakhawi pernah mengutus beberapa pertanyaan kepada Imam al-Baarizi dan beliau telah memberikan jawapannya yang kemudiannya dicatat oleh Imam as-Sakhawi dalam karya-karya beliau.

Pada tahun 675H, Imam al-Baarizi telah dilantik menjadi qadhi Hamah., jawatan yang dipegangnya selama 40 tahun. Tugas sebagai qadhi dilaksanakannya dengan menuruti sunnah Junjungan Nabi SAW dengan penuh amanah dan adil. Beliau menolak upah atau gaji yang diberikan kepadanya sebagai seorang qadhi dan memilih untuk hidup zuhud dengan menjauhi segala perhiasan duniawi. Beliau mempunyai kegemaran membaca dan mengumpul berbagai jenis kitab, bahkan dikatakan bahawa tiada siapa yang memiliki koleksi kitab sepertinya. Setelah beliau wafat, kitab-kitabnya diwakafkan bagi penuntut ilmu dan dianggarkan nilainya berjumlah 100,000 dirham.

Imam al-Baarizi meninggalkan banyak karya tulis dalam bidang fiqh, tauhid, hadits, qiraah dan sebagainya. Qadhi Safadi Syamsuddin Muhammad bin 'Abdur Rahman al-'Uthmani dalam tabaqatnya menyebut bahawa Imam al-Baarizi menulis lebih dari 70 buah kitab. Di antara karya beliau adalah:-
  1. al-Asas fi Ma'rifah Ilahin Naas;
  2. Badi`ul Qur`an;
  3. Asrarut Tanzil;
  4. an-Nasikh wal Mansukh;
  5. al-Bustan fi Tafsiril Qur`an;
  6. al-Faaridah al-Baariziyyah fi Syarhi asy-Syathibiyyah;
  7. Tautsiqu 'Ural Imaan fi Tafdhil Habibir Rahman;
  8. al-Wafa` fi Ahaditsil Musthofa;
  9. al-Mujarrad minal Musnad;
  10. at-Tamyiz;
  11. Nadzam al-Hawi ash-Shoghir;
  12. Syarah al-Hawi ash-Shoghir.
Imam al-Baarizi dikurniakan umur yang panjang lagi berkat. Beliau wafat pada malam Rabu tanggal 20 haribulan Dzul Qa`idah, 738H dalam usia 93 tahun. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya sepanjang masa dan ketika. .... al-Fatihah.

Imam al-Baarazi rahimahUllah telah ditanyai berhubung Junjungan Nabi SAW, samada baginda hidup (yakni dengan kehidupan barzakhiyyah) selepas kewafatan baginda. Beliau menjawab soalan tersebut dengan katanya:-

Sesungguhnya baginda SAW itu hidup (yakni dengan kehidupan barzakhiyyah yang sempurna). Telah berkata al-Ustaz Abu Manshur 'Abdul Qaahir bin Thohir al-Baghdaadi, seorang yang faqih lagi ahli ushul, syaikhnya para pengikut mazhab asy-Syafi`iyyah: "Ulama ahli kalam yang benar daripada kalangan sahabat kami (yakni daripada kalangan ulama asy-Syafi`iyyah) berpendapat bahawa Junjungan Nabi kita SAW hidup selepas kewafatan baginda, baginda bergembira dengan ketaatan umatnya dan bersedih dengan maksiat yang dilakukan oleh para penderhaka daripada kalangan umatnya. Bahawasanya disampaikan kepada baginda akan sholawat yang diucapkan kepada baginda oleh umatnya. Sesungguhnya para nabi itu (yakni jasad mereka) tidak punah binasa dan tidak sedikit pun dimakan tanah. Nabi Musa AS telah wafat pada zamannya dan Junjungan Nabi SAW telah mengkhabarkan yang baginda sesungguhnya telah melihatnya di dalam kuburnya menunaikan sholat. Disebut dalam hadits mi'raj bahawa Junjungan Nabi SAW melihat Nabi Musa AS di langit ke-4, baginda juga melihat Nabi Adam AS di langit dunia dan melihat Nabi Ibrahim yang mengucapkan "Selamat datang, wahai anak dan nabi yang sholeh" kepada baginda. Maka bersandarkan kepada asas yang shohih kami menyatakan bahawa Junjungan Nabi kita Muhammad SAW adalah hidup setelah kewafatan baginda dan tetaplah baginda atas maqam kenabiannya. " - tamat perkataan al-Ustaz. Telah berkata al-Hafiz, Syaikhus Sunnah Abu Bakar al-Baihaqi dalam kitab "al-I'tiqad":- "Para nabi 'alaihimus sholatu was salam setelah diwafatkan, dikembalikan roh mereka dan adalah mereka di sisi Tuhan seperti orang-orang yang mati syahid. Junjungan Nabi SAW telah melihat sebahagian daripada mereka dan baginda telah mengimamkan mereka dalam sembahyang. Telah diberitakan daripada riwayat yang benar bahawasanya sholawat kita dibentangkan kepada baginda dan salam kita disampaikan kepadanya. Sesungguhnya Allah ta`ala telah mengharamkan bumi dari memakan jasad para nabi. Kami telah menulis satu kitab yang khusus bagi mentsabitkan kehidupan mereka (setelah wafat)......"
Oleh itu, janganlah pula kita yang mematikan hubungan kita dengan Junjungan Nabi SAW. Berusahalah agar baginda sentiasa hidup dalam diri, hati dan jiwa kita sentiasa. Biarlah berderai air mata kita tatkala mengucapkan salam dan sholawat atas baginda, kerana pasti ianya diketahui dan disampaikan kepada baginda dan percayalah baginda pasti akan membalas kebaikan dengan kebaikan. Baginda terlalu mulia dan tinggi untuk melupai kebaikan seseorang walaupun kebaikan itu sebenarnya tiada nilai sekupang pun. Syafaat ... Syafaat Ya RasulAllah.

Selasa, Januari 04, 2011

Hb. Abdul Rahman Bukit Duri

Habib Abdur Rahman bin Ahmad bin Abdul Qadir as-Seggaf rahimahUllah adalah seorang ulama dan waliyUllah yang dilahirkan di Cimanggu, Bogor pada tahun 1908. Beliau yang mesra dengan dipanggil sebagai "walid", adalah seorang anak yatim yang miskin di mana ayahanda beliau al-Habib Ahmad as-Seggaf wafat ketika beliau masih kecil. Namun kemiskinan tidak menghalang beliau untuk menuntut ilmu pengetahuan dan menguasainya. Beliau menimba ilmu di Jami`at al-Khair, di samping dengan para ulama di tempatnya. Antara guru beliau adalah Habib 'Abdullah bin Muhsin al-'Aththas (Habib Keramat Empang Bogor), Habib 'Alwi bin Thohir al-Haddad (mantan Mufti Johor), Habib 'Alwi bin Muhammad bin Thohir al-Haddad, Habib 'Ali bin Husain al-'Aththas (Habib Ali Bungur), Habib 'Ali bin Abdul Rahman al-Habsyi (Habib Ali Kwitang), KH Mahmud Betawi dan KH 'Abdullah bin Nuh, rahimahumUllahu jami`an.

Habib 'Abdur Rahman mempunyai kecintaan yang luar biasa kepada ilmu. Beliau sanggup menjalani perjalanan yang jauh dan sukar semata-mata untuk menghadiri majlis-majlis ilmu. Semasa menuntut ilmu, Habib Abdur Rahman sangat tekun dan rajin, itulah sebabnya beliau mampu menyerap ilmu yang diajarkan guru-gurunya. Ketekunannya yang luar biasa menjadikan beliau menguasai semua bidang ilmu agama. Justru itu, beliau amat disayangi para gurunya dan menjadi kebanggaan mereka.

Setelah mencapai usia dewasa, Habib Abdur Rahman diberi kepercayaan menjadi tenaga pengajar di madrasahnya. Disinilah bakat dan keinginannya untuk mengajar semakin menyala. Beliau menghabiskan waktunya untuk mengajar. Dan hebatnya, Habib Abdur Rahman ternyata tidak hanya piawai dalam ilmu-ilmu agama, tapi bahkan juga pernah mengajar atau lebih tepatnya melatih bidang-bidang yang lain. Belakangan beliau berpindah ke Bukit Duri dan berbekal pengalaman yang luas, beliau pun mendirikan madrasah sendiri yang dinamakan Madrasah Tsaqafah Islamiyyah, yang hingga sekarang masih ada di Bukit Duri, Jakarta.

Sebagai ulama sepuh yang sangat alim, beliau sangat disegani dan menjadi contoh tauladan. layak diteladani. Selain gigih mendidik dan mengajar, beliau juga produktif menulis. Kitab-kitab karyanya tidak sebatas satu macam ilmu agama, melainkan juga mencakup berbagai macam ilmu, mulai dari Tauhid, Tafsir, Akhlaq, Fiqih hingga Sastra. Bukan hanya dalam bahasa Arab, tapi juga dalam bahasa Melayu dan Sunda yang ditulis dengan huruf Arab - dikenal sebagai huruf Jawi atau pegon. Antaranya karya beliau adalah:-
(i) Hilyatul Janan fi Hadyil Qur`an;
(ii) Safinatus Sa`id;
(iii) Misbahuz Zaman;
(iv) Bunyatul Ummahat;
(v) Untaian Syair Bunga Melati;
dan lain-lain lagi.

Pada hari Isnin 7 Rabi`ul Awwal 1428H / 26 Mac 2007, Habib 'Abdur Rahman telah kembali ke rahmatUllah dalam usia sepuh. Dan keesokan harinya jenazah beliau diiringi lautan pelayat d dikebumikan di belakang makam guru beliau, Habib 'Abdullah bin Muhsin al-'Aththas. Moga rahmat Allah sentiasa dilimpahkan atas beliau ... al-Fatihah.


************************************************
Cuplikan dari "Untaian Syair Bunga Melati".

Puji dan syukur Lillahi Akbar
Atas nikmatnya kecil dan besar
Sholawat akmal beserta salam
Di atas Nabi Pelita Alam

Dan atas keluarganya Nabi
Fathimah, Hasan, Husein dan Ali
Dan turunannya Hasan dan Husein
Hingga kiamat beserta Qur`an

Sebelum sesuatu terjadi
Allah jadikan cahyanya Nabi
Allah jadikan dari cahya-Nya
Nur Nabi Muhammad kekasih-Nya

Dan segenap para Nabi
Dijadikan dari cahaya Nabi
Demikian pun Arsy dan Kursi
Loh, Qalam, Syurga, Bidadari

Dan langit, bumi, bulan dan bintang
Dan matahari yang sangat terang
Dan lain-lain makhluknya Rabbi
Asal mula dari cahaya Nabi

Jika tak kerna wujudnya Nabi
Tak ada Syurga dan Bidadari
Tak ada Arsy, Loh dan Qalam
Tak ada Kursi tak ada alam

Tak ada dunia, langit dan bumi
Tak ada bulan, bintang dan matahari
Tak ada malam, tak ada siang
Tak ada gelap, tak ada terang

Tak ada manusia dan hewan
Tak ada emas, perak, intan, berlian,
Seluruh itu Allah siapkan
Kerna Nabi akan dizahirkan

Dizahirkan Nabi kerna rahmat
Bagi seluruh alam dan umat

Isnin, Januari 03, 2011