Mazhab bantu memahami agama
SOALAN:
Apakah maksud sebenar mazhab dan apakah kepentingan kita mengikut sesuatu mazhab?
JAWAPAN:
MAZHAB menurut kamus dewan adalah: "Cabang ajaran Islam yang diikuti oleh umat Islam". (Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm: 1010).
Mazhab adalah berasal daripada bahasa arab, yang bermaksud kecenderungan dalam sesuatu perkara. Soalan sebegini sudah acap kali orang bertanya.
Bila baca soalan sebegini dan sebelum ini ada juga yang bertanya soalan yang seumpama dengan ini lantas apa yang terlintas di benak saya, adakah kita lebih hebat daripada Imam Syafie, Imam Hanafi, Imam Maliki dan Imam Hanbali sehingga sudah tidak mahu berpegang kepada mazhab?
Saya tidak salahkan yang bertanya, tetapi saya yakin pertanyaan ini adalah sebagai landasan mendapat penjelasan yang betul dalam persoalan yang dimusykilkan.
Kepentingan bermazhab adalah bagi membolehkan kita mengamalkan agama dengan faham yang sebenarnya. Sebabnya, kita tidak mampu dan kebanyakan kita tidak layak kerana tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk berijtihad. Para ulama yang muktabar telah memudahkan kita memahami Islam dengan lebih mudah.
Contohnya hadis berkaitan wuduk dalam sahih al-Bukhari dalam kitab bersuci, wuduk, di bawah tajuk ini adalah 75 bab dan 105 hadis, di dalam kitab al-Ghusl (mandi) terdapat 29 bab dan 44 hadis.
Kadang-kadang dalam satu bab ada ada dua tiga mungkin lebih lagi. Mungkin juga di antara hadis-hadis itu pada zahirnya macam bertentangan tetapi hakikatnya tidak. Semua ini orang awam boleh faham ke untuk menghasilkan hukum?
Tidak semudah yang disangka. Memang Islam itu mudah, tapi tidaklah sampai dimudah-mudahkan Islam itu.
Pandangan peribadi saya adalah lebih baik orang awam di negara ini berpegang kepada satu mazhab, iaitu mazhab Syafie, yang menjadi pegangan majoriti penduduk dunia.
Saya juga mengagumi dan menghormati mazhab-mazhab yang lain. Tetapi negara ini kita sudah serasi dan menjadi pegangan untuk kian lama.
Silibus fiqh di sekolah dan universiti juga bermazhab Syafie. Oleh sebab itu, saya berani mengatakan mazhab Syafie telah menjadi mazhab rasmi masyarakat yang beragama Islam di negara ini.
Keadaan umat Islam semakin bercelaru dengan berbagai aliran dan pemikiran selepas kewafatan Rasululah SAW. Terutama pada zaman Saidina Ali yang muncul berbagai-bagai fahaman seperti aliran Khawarij, Mu'tazilah dan Syiah dan macam-macam ajaran yang membingungkan hala tuju manusia.
Oleh kerana terdapat berbagai aliran ini, tepatlah al-hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Al-Imam al-Thabarani: "Bahawa pada akhir zaman, umat ku terbahagi pada 73 golongan, hanya satu golongan sahaja yang dapat memasuki syurga manakala yang lain terjun ke dalam neraka. Maka sahabatnya pun bertanya, siapakah golongan yang satu tersebut, ya Rasulullah? Jawab baginda Ahlul Sunnah Wal Jamaah (ASWJ)".
ASWJ adalah mereka yang mengikut sunnah Rasululah dan juga sunnah sahabat-sahabat Baginda serta sunnah umat zaman Tabiin (Zaman 300 tahun selepas Rasulullah). Keempat-empat Imam ASWJ iaitu Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Al-Shafie dan Imam Hambali tersebut hidup pada zaman tabiin yakni lingkungan 300 tahun selepas Rasulullah SAW.
Mendalami ilmu
Imam Hanafi lahir pada 80 hijrah dan Imam Malik lahir pada tahun 93 hijrah dalam kurun yang pertama lagi. Imam Al-Syafie lahir pada pada 150 hijrah dan Imam Hambali lahir pada 164 hijrah.
Semua mereka terkenal dengan sifat-sifat terpuji dan terkenal dengan ketokohan mereka dalam bidang ilmu. Seawal usia mereka telah menghafal al-Quran, selesai menghafal al-Quran mereka akan mendalami ilmu hadis serta ilmu tafsir, disusuli dengan ilmu fiqh dan tauhid.
Mereka sanggup berehlah ribuan batu untuk mendapatkan ilmu, sanggup mengharung perit maung dalam mencari ilmu. Sepanjang riwayat hidup mereka kita akan dengar yang baik-baik, yang indahnya mereka adalah ulama yang jujur dalam menegakkan kebenaran demi Allah SWT dan Rasul-Nya.
Perjuangan mereka jujur ijtihad mereka juga semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Keempat-empat Imam tersebut juga boleh mengistinbatkan hukum selain dari al-Quran dan al-hadis. Selain itu, keempat-empat mereka juga mempunyai kitab rujukan pada anak murid dan umum.
Seperti Imam Hanafi yang mempunyai kitab al-hadis yang bernama Al Wasit, Imam Malik dalam kitab Al-Muwattha, Imam Al-Shafie dalam kitab Al-Uum dan Al-Imam Hambali (Ahmad bin Hambal).
(Mazhab bagi keluarga Ibn Tamiyah di mana bapanya adalah ulama bermazhab Hambali) dalam kitab al-Hadis yang terkenal yang bernama Al-Musnad yang merangkumi 35,000 hadis di dalamnya.
Keempat-empat Imam tersebut apabila memberi fatwa atau berijtihad atau mengeluarkan hukum, mereka merujuk kepada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
Kalau ada mana-mana pihak yang mengikuti salah satu daripada empat mazhab tersebut, ertinya mereka juga telah mengikut al-Quran dan al-hadis.
Cuma sebagai orang awam yang tidak tahu ayat al-Quran dan al-hadis mana yang diterima pakai. Kerana itu digelar muqalidin atau pengikut.
Memang sudah menjadi sunnatullah sejak Nabi Adam sehingga pada akhir zaman, orang yang jahil tentang ilmu Islam lebih ramai daripada orang alim. Walaupun sebenarnya ramai yang ingin menjadi alim.
Begitu juga dalam ilmu pengetahuan, sedikit sahaja yang berilmu tetapi yang jahil amat ramai. Dalam pada itu patutkah diminta pendapat orang awam mengkaji dan menggali sendiri al-Quran dan hadis?
Tidak munasabah meminta mereka berijtihad sendiri kepada al-Quran dan hadis. Oleh yang demikian berpegang kepada satu mazhab yang muktabar seperti mazhab Syafie adalah lebih baik dan lebih selamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan