Tatkala kembali dari Thaybah menuju ke Makkah, di satu tempat bernama Abwa`, kembalilah Sayyidah Aminah radhiyaAllahu `anha ke rahmatUllah. Beliau meninggalkan Junjungan Nabi SAW yang ketika itu baru berusia 6 tahun. Junjungan Nabi SAW tidak pernah lupakan bonda baginda, baginda telah meminta izin untuk menziarahi kubur bondanya itu dan telah diizinkan. Perkara ini dinyatakan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Imam Abu Dawud dan Imam an-Nasa-i rahimahumUllah sebagai berikut:-
"Sayyidina Abu Hurairah RA berkata bahawasanya Junjungan Nabi SAW telah menziarahi kubur bonda baginda, lalu baginda telah menangis dan para sahabat yang ada bersama turut menitiskan air mata mereka. Kemudian baginda bersabda: " Aku telah meminta izin daripada Tuhanku untuk beristighfar baginya, tapi Dia tidak mengizinkannya, lalu aku meminta keizinanNya untuk menziarahi kuburnya, maka aku dizinkan. Oleh itu ziarahilah kamu akan segala kubur kerana sesungguhnya perbuatan tersebut mengingatkan akan kematian."Hadits ini kerap dinukilkan oleh segelintir manusia untuk memberikan tanggapan bahawa bonda Junjungan Nabi SAW itu adalah tergolong daripada kalangan orang musyrik atau kafir yang menjadi penghuni neraka yang ditegah kita memohon keampunan Allah bagi pihak mereka. Adakah pandangan ini benar ? Syaikh Manshur 'Ali Naasif rahimahUllah, seorang ulama al-Azhar yang disebut oleh Musnid Dunya Syaikh Yaasin al-Fadani dalam "al-Kawaakib ad-Daraari " halaman 376 sebagai gurunya, dalam karya beliau yang masyhur "at-Taaj al-Jaami' lil Ushuul fi Ahaadiitsir Rasul SAW", menyangkal pendapat tersebut. Beliau menuliskan penjelasannya itu pada halaman 382 sebagai berikut:-
Ziarah Junjungan Nabi SAW akan kubur bonda baginda. Beliau adalah as-Sayyidah Aminah binti Wahb rahimahAllahu wa radhiya `anha. Ketika Junjungan Nabi SAW menziarahi kuburnya, baginda telah menangis kerana bondanya tidak sempat menemui zaman Islam dan menikmati nikmat Islam. Baginda tidak diberi keizinan untuk beristighfar bagi bondanya kerana Islam adalah syarat bagi membolehkan beristighfar baginya sedangkan bonda Nabi SAW telah wafat atas agama kaumnya sebelum Junjungan Nabi membawa syariat Islam. Akan tetapi ini tidak menafikan yang bonda Junjungan Nabi SAW akan memasuki syurga kerana sesungguhnya beliau termasuk dalam golongan ahlul fatrah dan jumhur ulama berpendapat bahawa mereka adalah golongan yang selamat daripada dimasukkan ke neraka, di mana Allah telah berfirman: "Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul" - iaitu kepada setiap umat. Bahkan telah warid dan sahih di sisi para awliya` yang kasyaf bahawasanya Allah ta`ala telah menghidupkan ayahanda dan bonda Nabi SAW setelah baginda diutuskan menjadi rasul, lalu mereka berdua telah beriman dengan baginda SAW. Maka dari itu, jadilah keduanya daripada golongan ahli syurga dengan pasti. Sebahagian ulama telah bersyair menyatakan:-Oleh itu, amatlah penting untuk kita merujuk kepada para ulama yang muktabar dalam ikhtiar kita memahami sesuatu ayat al-Quran al-Karim atau al-Hadits asy-Syarif. Sentiasalah melihat akan kelemahan diri kerana dengan begitu kita akan sentiasa tawadhu dengan para ulama yang tentu lebih alim daripada kita yang baru belajar ini serta dapatlah kita memahami segala ajaran Islam menurut pandangan para pakarnya dan tidaklah kita meraban mengkhinzir buta.Telah kuyakini bahwa ayah bonda Junjungan Nabi
Dihidupkan Tuhan al-Karimul Bari
Atas kebenaran kerasulan baginda mereka bersaksi
Maka kejadian sedemikian tadi
Adalah suatu kemuliaan bagi Pilihan Allah Baginda Nabi
Justru sesiapa yang mendhaifkan akan khabaran ini
Maka dia yang lemah lagi dari hakikat berlepas diri
Dan hal ini bukanlah sesuatu yang mustahil dan pelik untuk diterima akal, kerana sesungguhnya anugerah Allah itu luas dan permuliaanNya kepada kekasihNya adalah tersangat murah lagi luas, Allahu a'laam.
Salam.
BalasPadamAda tertulis dalam kitab Aqidatul Najin bab ayahanda dan bonda Rasulullah s.a.w ni.
Memang tidak mustahil.
wassalam.