Risalah untuk Kaum Muslimin ini adalah catatan kata lisan
Professor Syed Muhammad Naquib al-Attas pada tahun 1973, ketika beliau
bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai Mahaguru Penyandang
Kerusi Bahasa dan Kesusasteraan Melayu dan juga sebagai Pengasas serta
Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di
Universiti itu. Ianya adalah karya yang berbentuk risalah (surat) yang diutuskan sebagai daya merungkai kecelaruan dan kekeliruan yang berlaku dalam masyarakat akibat salah faham terhadap Islam sebagai pandangan hidup. Beliau turut menyentuh faktor yang berkait dengan fahaman pembaharuan yang dibawa oleh al-Afghani dan Abduh, di mana antara pandangan beliau mengenainya diutarakan dalam perenggan 60 risalah tersebut yang menyatakan antara lain:-
Meskipun dapat diakui benar bahawa ulama-ulama penggugat seperti ibn Taimiyyah dan beberapa ratus tahun kemudiannya, ibn 'Abd al-Wahhāb, yang bawaannya gemar mencabar kewibawaan yang sah dan menyamaratakan darjat yang cukup sempurna ke taraf yang kurang sempurna, dalam ajarannya masing-masing tiada menganjurkan perpisahan dari faham bermazhab. Bahkan mereka tetap mengisbatkan ajaran para imam dalam gelanggang Ahlu'l-Sunnah waʾl Jamāʿah, yang berpegang kepada ajaran sunnah dan para Sahabat dan Tabiin dan para Pengikut Tabiin. Akan tetapi kita lihat bagaimana perkembangan pengaruhnya, yang dibantu pula dengan terebutnya kuasa oleh para pengikutnya di negeri Arab lebih kurang dua ratus tahun ini, dan dengan timbulnya aliran baharu di Mesir akibat ajaran al-Afghani dan Muḥammad Abduh, maka semakin terjadi deras aliran yang menganjurkan perpisahan dari ajaran-ajaran ulama lama yang merupakan pelbagai pelita agung yang telah menerangi suasana Umat Islām berabad-abad.
Dengan ajaran al-Afghani dan Abduh mulai menyeludup masuk pengaruh-pengaruh dari jurusan luar yang merupakan sebab-sebab tambahan yang membawa akibat keruntuhan adab di kalangan kita. Meskipun benar tujuannya demi mempertahankan Islām [daripada] serangan-serangan Barat, dan maksudnya untuk menyerang-balas kebudayaan dan tamadun Barat dengan senjata-senjata ilmiahnya sendiri, namun demikian senjata-senjata ilmiah olahan Barat yang digunakannya itu demikian halusnya cara-gaya mengelirukan yang mensifatkannya sehingga tiada terdaya pelopor-pelopor aliran baharu itu menguasai serta mengawalnya - kerana kelengkapan ilmiah yang ada pada dirinya memang tiada menyamai taraf mutu yang dimiliki oleh para agung mujtahidin zaman lampau.
Maka akibatnya bukannya kebudayaan dan tamadun Barat yang terkena serang-balas dengan senjata-senjata ilmiahnya sendiri, akan tetapi yang menyalahgunakannyalah yang terkena derita 'senjata makan tuan'
Moga kita dapat memahami dan merenungi apa yang disampaikan oleh Professor, dan dapat memperbaiki diri kita agar jangan sampai "senjata makan tuan".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan