Ikhwah, di antara amalan yang dianjurkan untuk dilakukan pada hari `Asyura adalah memberi keluasan atau kelapangan kepada ahli keluarga kita. Bahkan, amalan ini, selain daripada anjuran berpuasa, adalah antara amalan yang tsabit dengan nas yang sahih menurut sebahagian muhadditsin sebagaimana dinyatakan oleh al-Imam Syamsuddin Abul Mahasin Muhammad bin Khalil bin Ibrahim al-Masyisyi al-Qaawuqji rahimahullah. Imam al-Qawuqji adalah seorang ahli hadits, sufi dan ulama besar bermazhab Hanafi yang dilahirkan pada tahun 1224H atau 1225H /1810M. Beliau ini digelar sebagai "Musnid bilad asy-Syam" atas ketokohan dan penguasaannya dalam ilmu - ilmu hadits.
Dalam karya beliau mengenai amalan-amalan yang dianjurkan untuk dilakukan pada hari `Asyura yang dinamakan "Tuhfatul Muhibbin wa Minhatul Mustarsyidin" pada halaman 71-72 menyatakan antara lain:-
"Dan adapun meluaskan perbelanjaan bagi ahli rumah dan keluarga, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu `Abdil Bar dengan sanad yang jayyid (elok) daripada Sayyidina Jaabir bin Abdullah yang berkata: "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: " Sesiapa yang meluaskan (yakni melapangkan atau menyenangkan) atas dirinya dan ahli keluarganya pada hari `Asyura, Allah akan meluaskan (rezekinya) sepanjang tahun." Sayyidina Jabir RA berkata: "Kami telah mencubanya dan memperolehi yang sedemikian tadi (yakni apa yang dinyatakan tadi)."Imam al-Baihaqi meriwayatkan dalam "Syu`abul Iman" daripada hadits Sayyidina Abu Hurairah RA yang menyatakan: "Sesiapa yang melapangkan atas keluarganya dan ahli rumahnya pada hari `Asyura, Allah akan melapangkan atasnya sepanjang tahunnya."Sayyidina `Umar bin al-Khaththaab RA berkata: "Perbanyakkanlah berbuat kebaikan kepada ahli-ahli rumah kamu pada malam `Asyura dan harinya, dan luaskanlah bagi ahli-ahli keluarga kamu padanya daripada rezeki yang halal, sesiapa yang tidak mempunyai kemampuan untuk itu, maka lapangkan dengan akhlaknya terhadap kaum kerabatnya dan dengan memaafkan sesiapa yang menzalimi dirinya."Dan telah berkata Shahibul Madkhal bahawa meluaskan belanja pada hari `Asyura atas ahli rumah, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang - orang miskin serta menambah nafkah dan sedekah adalah amalan mandub yang sewajarnya tidak dilupa pengamalannya pada setiap tahun.
Oleh itu, hendaklah kita keluarkan sedikit belanja tambahan, menurut kemampuan dan tidak membebankan, untuk menggembirakan anak isteri dan ahli keluarga kita dengan memberi nafkah yang lebih dari biasa atau menyediakan makanan dan minuman yang lebih istimewa berbanding hari-hari lain. Biarlah mereka merasakan kelainan yang menyukakan segala hati pada hari tersebut, hari di mana Allah telah memberi berbagai kemenangan, keselamatan dan kebahagiaan kepada para nabiNya yang terdahulu, juga hari di mana Allah telah menganugerahkan darjat syuhada` kepada Sayyidina Husain RA. Biarlah anak-anak kita tahu bahawa hari `Asyura ini ada signifikannya dalam kehidupan kita selaku umat Muhammad SAW. Tetapi barang diingat pesanan Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah agar jangan disambut hari Asyura dengan pesta-pesta kegembiraan sebagaimana perlakuan golongan Nawasib yang merayakan pembunuhan Sayyidina Husain RA dan jangan pula dengan ratapan kesedihan sebagaimana amalan puak Syiah. Hendaklah kita, pengikut Ahlus Sunnah wal Jama`ah, menyambut hari Asyura dengan penuh kesyukuran atas nikmat - nikmat yang telah Allah anugerahkan kepada para anbiya` dan awliya` terdahulu dan juga dengan penuh keinsafan terutama sekali terhadap peristiwa yang telah menimpa keluarga Junjungan Nabi SAW. Dan jangan pula lupa berpuasa bagi yang mampu kerana berpuasa pada hari ini adalah sunnat muakkadah, nak makan-makan tu biorle sewaktu berbuka nanti atau tatkala bersahur kalau ada seleranye. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan `Asyura tahun ini dan juga tahun-tahun yang mendatang. Allahumma aamiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan