Selasa, Jun 26, 2012

Haram Pilihanraya Musim Haji - MURSHID

Berdosa Jika Pilihanraya Dilaksanakan Sewaktu Musim Haji
Oleh:- Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID)
Kami, selaku pendakwah dan asatizah telah dan kerap ditanya berkenaan isu mengadakan pilihanraya sewaktu musim haji. Justeru itu, sebagai respon kepada pertanyaan tersebut, pihak Multaqa Asatizah & Duat (MURSHID) dalam mesyuarat yang lalu berpendapat seperti berikut :-

Di dalam system demokrasi, pilihanraya dan proses pengundian adalah ibarat suatu mahkamah besar bagi memilih siapa yang lebih layak diberikan amanah memerintah, maka sewaktu sistem demokrasi dijadikan panduan dan diterima oleh majoriti rakyat, tugas terbesar kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah memastikan semaksima mungkin penyertaan rakyat dalam pilihanraya, justeru kempen untuk pendaftaran pengundi mestilah dipertingkatkan kecanggihannya dan dipermudah di seluruh tanahair. Rakyat Malaysia selaku pengundi layak yang berada di luar negara perlu dijamin hak mereka agar boleh mengundi melalui kaedah yang berkesan lagi dipercayai.

Kami juga bersepakat bahawa Pilihanraya dan proses pengundian TIDAK BOLEH atau HARAM dilaksanakan sewaktu musim perayaan dan ibadah umat Islam khususnya musim haji yang mana berpuluh ribu pengundi dan petugas haji sedang berada di luar Negara.

Sekiranya pilihanraya tetap dilakukan di musim haji, itu merupakan suatu pengkhianatan terhadap amanah dan sistem pemilihan. Ini adalah kerana proses pengundi adalah suatu proses KESAKSIAN.

Firman Allah :
وأشهدوا ذوى عدل منكم .....الطلاق:
Mafhum : “Bersaksilah dengan mereka yang adil dari kalangan kamu”( At-Talaq: 2)

Juga Firman Allah :
وَلاَ يَأْبَ الشُّهَدَاء إِذَا مَا دُعُوا
Ertinya : Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil ( Al-Baqarah : 282)

Dalil-dalil di atas menunjukkan, apabila kita berada di dalam suatu situasi atau keadaan sistem yang memerlukan mereka yang bermaklumat memberi kesaksian demi memberikan keputusan demi keadilan, mereka adalah dikira sebagai saksi yang diharamkan untuk menolak dari memberikan keterangan dan kesaksian.

Dalam konteks pilihanraya, rakyat sebenarnya bertindak sebagai SAKSI sama ada untuk menyokong atau menolak mana-mana calon yang bertanding. Justeru, SEKIRANYA pihak berkuasa memutuskan pilihanraya akan dijalankan pada musim haji, ia adalah suatu tindakan yang akan menghalang rakyat dari keluar menunaikan tanggungjawab mengundi.

Jika seorang saksi TIDAK DIBENARKAN untuk menolak tanggungjawab memberi kesaksian, maka tentunya DIHARAMKAN juga bagi pihak ketiga untuk menghalang saksi dari memberikan kesaksian seperti sengaja mengadakan sesi perbicaraan ketika saksi berada di luar negara.

Justeru, setiap individu yang mempunyai hak dan berkelayakan memberikan kesaksian samada di mahkamah, termasuk kesaksian dalam bentuk mengundi sewaktu pilihanraya, tidak dibolehkan untuk sengaja menyembunyikan kesaksian atau dinafikan hak dan ruang memberi kesaksian termasuk oleh pihak berkuasa sekalipun. Firman Allah Ta'ala :

وَلَا تَكْتُمُوا الشَّهَادَةَ وَمَنْ يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ
 
"Maka janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (Al-Baqarah :283)

Akhirnya, kami menyeru pihak berkuasa agar teguh menjalankan amanah yang terbaik buat rakyat bagi mereka menjalankan tugas dan amanah selaku pengundi yang perlu memberi penyaksian parti dan calon yang dipercayainya. Kami yakin, pihak berkuasa tentunya bijak dalam memutuskan keputusan dalam hal ini.

Sekian dari kami,
1. Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
2. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
3. Dr. Zahazan Mohamed
4. Dr. Maszlee Malek
5. Dr. Abd Basit Abd Rahman
6. Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar
7. Dr. Khairuddin Aman Razali
8. Dr. Sukki Othman
9. Ustaz Roslan Mohammad
10. Ustaz Zamri Zainuldin
11. Ustaz Mohd Nidzam Abd Kadir
12. Ustaz Imam Muda Asyraf Ridzuan
13. Ustaz Izhar Ariff Mohd Kashim
14. Ustaz Aizam Mas’ud
15. Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
16. Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil
17. Ustaz Syed Mohamad Nurhisham Tuan Padang
18. Ustaz Ramadan Fitri Elias
19. Ustaz Abdullah Bukhari Abd Rahim
20. Xifu Naseer Abd Rahman

Isnin, Jun 18, 2012

Merokok Itu Haram - Mufti `Ali Jum`ah

Allahu ... Allah, ada seseorang yang ingin menyanggah fatwa para ulama (baca: fatwanya para ulama dan bukannya fatwa ese) yang mengharamkan merokok. Beliau, membawakan cuplikan video youtube yang telah lama beredar, di mana Syaikh `Ali Jum`ah hafizahullah menceritakan bahawa Musnid Dunya Syaikh Yaasin al-Fadani rahimahullah juga menghisap rokok. Dipertontonkan cuplikan tersebut dengan sangkaan bahawa al-`Alim al-`Allaamah Mufti `Ali Jum`ah termasuk ulama kontemporer yang mengharuskan atau sekadar memakruhkan merokok. Namun sangkaan tersebut adalah jauh terpeleset kerana ternyata Mufti `Ali Jum`ah adalah antara ulama yang mengharamkan merokok. Sebagaimana Syaikh Nuruddin al-Banjari hafizahullah, yang juga pernah menimba ilmu dengan Syaikh Yaasin rahimahullah, Mufti Dr. `Ali Jum`ah telah memfatwakan merokok adalah haram. Fatwa beliau ini termaktub dalam himpunan fatwa beliau yang masyhur, "al-Bayaan li maa yasyghal al-adzhaan".

Silalah tuan-tuan lihat fatwa beliau sepenuhnya sebagaimana tersebut pada halaman 357 - 358, beliau, antara lain, menyatakan bahawa asalnya rokok dibawa dan disebarkan oleh penjajah Inggeris ke wilayah - wilayah Othmaniyyah, manakala di wilayah Maghrib ianya diperkenalkan oleh Yahudi. Beliau juga menyebut bahawa sebab berlaku perbezaan pendapat di kalangan ulama terdahulu (qadiman) mengenai hukum merokok adalah kerana mereka berselisih mengenai kemudaratannya. Namun, sesuai dengan peredaran masa, di mana hari demi hari, kajian dan penyelidikan kesihatan moden telah membuktikan bahawa merokok adalah sangat memudaratkan kesihatan manusia. Oleh itu, Mufti Dr. `Ali Jum`ah hafizahullah telah menghukumkan merokok sebagai HARAM dan di akhir fatwanya, beliau dengan tegas menyatakan:-

و لذا نرى أن التدخين عاذة سيئة محرمة شرعا، نسأل الله أن يتوب على من ابتلي بها
" Dengan itu, kami berpendapat bahawa merokok adalah kebiasaan yang buruk yang diharamkan syarak. Kami memohon kepada Allah agar memberikan kesedaran untuk bertaubat kepada sesiapa yang dibala`kan dengan perbuatan tersebut."
Janganlah mudah - mudah membawa kisah ulama terdahulu yang menghisap rokok sebagai dalil untuk menyanggah fatwa terkini mengenai merokok. Sesuatu hukum itu disandarkan kepada illahnya (sebabnya). Merokok itu haram kerana ianya memudaratkan kesihatan, mungkin ulama terdahulu mengharuskan merokok atau hanya memakruhkannya kerana menurut ilmu mereka ketika itu, merokok tidak mendatangkan mudarat. Mudarat atau tidak, itulah `illah tempat berlegarnya hukum. Tidaklah boleh dihujjahkan bahawa merokok itu halal atau harus atau makruh kerana Syaikh fulan kuat merokok. Jawab dahulu dengan jujur persoalan samada merokok itu memudaratkan atau tidak mengikut kajian pakar ? Ulama terdahulu diberi keuzuran (ma'dzur) kerana kurangnya pengetahuan dan kajian ketika itu mengenai bahaya dan mudarat merokok. Juga, kemungkinan rokok yang ada pada ketika itu berbeza kandungan bahannya dengan rokok-rokok yang beredar sekarang yang mempunyai berbagai kandungan kimia yang membahayakan. Kepada yang merokok, moga-moga Allah memberikan kekuatan kepada kalian untuk berhenti merokok dan menjadikan kalian orang yang banyak ruku' dan bukan banyak rokok.

Rabu, Jun 13, 2012

Man Fariha Bina, Farihna Bihi

Ese nak berkongsi dengan teman sekalian akan suatu kisah yang pernah diceritakan suatu masa dahulu. Kisah ini kembali dalam ingatan ese tatkala melihat "Tadzkiratul Waa`idhziin" karangan Maulana Muhammad Ja'far al-Quraisyi al-Hanafi. Sebelum itu, ese peringatkan bahawa ini hanyalah kisah mimpi, maka tok sahlah nak gaduh-gaduh, terpulanglah samada nak percaya atau tidak. Dalam kitab tersebut, pada halaman 124 dalam bab yang ke-52, mengenai mawlid Junjungan Nabi SAW disebut dua kisah yang hampir sama ceritanya, kisah yang pertama dinisbahkan kepada Ibnu Nu'man sebagai orang yang telah bermimpikan Junjungan Nabi SAW, manakala dalam kisah yang kedua ianya dinisbahkan kepada sebahagian ulama sahaja tanpa disebutkan nama yang bermimpi. 

Diceritakan daripada sebahagian ulama bahawa dia telah bermimpi bertemu dengan Junjungan Nabi SAW dalam tidurnya, lalu dia bertanya kepada Junjungan Nabi SAW: "Wahai Rasulullah, apakah pendapatmu  mengenai majlis-majlis mawlid yang dibuat orang di mana mereka berkumpul kerananya, bergembira dengannya, menafkahkan padanya harta-harta mereka dan menambah padanya akan amal-amal yang shaleh? Maka Junjungan Nabi SAW menjawab: " 
"Sesiapa yang gembira/suka dengan kami, 
kami pun gembira/suka dengannya".

Allahu ... Allah...`aadhziim...., walaupun sekadar mimpi namun tiada salahnya bagi kita selaku umat baginda untuk bergembira dengan Junjungan Nabi SAW, bukankah ianya satu perintah Allah SWT kepada kita. Yang tidak gembira dengan kelahiran Junjungan Nabi SAW, mungkin ada sesuatu yang tak kena pada dirinya. Laksanakanlah majlis-majlis mawlid dengan penuh mahabbah kecintaan dan kegembiraan atas anugerah rahmat teragung daripada Allah SWT buat semesta alam, iaitu Junjungan Nabi SAW.  Semoga kita dijadikan pengikut dan pencinta baginda yang shodiq lagi tulus. Mudah-mudahan dengan kecintaan tersebut, kita akan dihimpunkan bersama baginda di syurga tertinggi kelak. Allahumma aamiin.

Jumaat, Jun 01, 2012

Salam Jumaat

Alhamdulillah, kita bertemu lagi dengan penghulunya segala hari. Hari yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh orang - orang yang beriman bagi menambahkan saham akhirat mereka. Pada hari ini ganjaran amalan kebajikan seseorang akan dibalas dengan berganda sebagaimana dinyatakan oleh Sayyidina Abu Hurairah RA yang diriwayatkan oleh Imam ath-Thabarani bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: " Ganjaran bagi segala kebajikan digandakan pada hari Jumaat". Makhluk Allah selain Bani Adam juga tidak ketinggalan menunggu dan bergembira dengan kedatangan hari yang mulia ini. Hujjatul Islam Imam al-Ghazali rahimahullah menyebut bahawa Ka`ab al-Ahbar RA menyatakan bahawa haiwan dan mergastua apabila bertemu antara sesama mereka pada hari Jumaat akan mengucapkan "Salam, Salam hari yang baik."

Hari ini juga adalah hari di mana segala amalan kita di mana amalan kita ditunjukkan kepada Baginda Nabi SAW sebagaimana dinyatakan dalam hadits "tu'radhul a'maal" yang masyhur, yang menyatakan:-


Segala amalan dibentangkan kepada Allah pada tiap-tiap hari Isnin dan Khamis. Dan dibentangkan kepada para Nabi dan para ibubapa pada hari Jumaat, maka mereka bergembira dengan (melihat) segala kebaikan mereka yang hidup tersebut dan bertambah bercahaya wajah-wajah mereka serta bersinar-sinar. Maka bertaqwalah kamu kepada Allah dan janganlah kamu menyakiti orang-orang mati kamu (yakni dengan melakukan dosa dan maksiat yang menyebabkan kesedihan kepada si mati).

Hari ini juga adalah hari ucapan shalawat kita kepada Junjungan Nabi SAW akan dipersembahkan terus kepada baginda, sebagaimana dinyatakan dalam banyak hadits, antaranya yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: "Perbanyakkanlah bersholawat ke atasku pada setiap hari Jumaat, kerana shalawat umatku dibentangkan / dipersembahkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang banyak bershalawat ke atasku, jadilah mereka orang yang paling hampir kedudukannya denganku."

Marilah kita rebut peluang keemasan ini dengan sebaik-baiknya. Basahkan lidah dengan ucapan shalawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Moga ungkapan shalawat kecintaan tersebut meresap ke hati sanubari kita dan menumbuhkan pohon - pohon mahabbah yang sejati kepada Baginda Nabi SAW. Ingat senantiasa bahawa sesiapa yang kasihkan sesuatu atau seseorang, pasti dia akan banyak menyebut dan mengingatinya. Ingat juga bahawa seseorang itu akan bersama dengan orang yang dikasihinya.

اللهم صل على النبي الهاشمي
سيدنا محمد و على آله و صحبه
و سلم تسليما