Isnin, April 29, 2013

Sakit Jadi Ringan ......

Imam al-Muzani rahimahullah menceritakan bahawa pernah pada suatu ketika Sulthanul A-immah Muhammad bin Idris asy-Syafie RA sakit. Maka salah seorang daripada pembesar Mesir telah datang untuk melawat beliau. Ketika bertemu dengan Imam asy-Syafie RA, sang pembesar berkata: "Wahai Abu Abdillah, sakit akan terasa ringan apabila ramai orang datang melawat." Lalu dijawab Imam as-Syafie RA dengan berkata: "Wahai saudaraku, sakit akan terasa ringan jika kita ingat akan ganjaran pahalanya daripada Allah dan kita menyakini bahawa ianya adalah satu kaffarah bagi dosa - dosa kita."


Khamis, April 25, 2013

Tempat Jatuh Pandangan Mata

Mata adalah salah satu pancaindera kurniaan Allah kepada para hambaNya. Ianya juga adalah ujian ni'mat yang akan diminta pertanggungjawabannya kelak di hadapan Qadhi Rabbul Jalil. Makanya kita diperintahkan untuk sentiasa menjaga mata kita daripada memandang kepada sesuatu yang diharamkan kita melihatnya. Di samping itu, menjaga pandangan juga akan menyebabkan kekhusyukkan timbul dalam sholat kita. Oleh itu, para ulama, berdasarkan kepada beberapa nas, telah memberikan panduan bagaimana kita menjaga dan mengendali mata dalam sholat kita. 

Entri ini merupakan satu jawapan bagi pertanyaan seorang sahabat hafizahullah mengenai arah pandangan mata ketika dalam sholat menurut mazhab Syafi`i. Dinyatakan dalam "Fathul `Allam bi Syarhi Mursyidil Anaam" pada halaman 359 - 360, juzuk ke-2, sebagai berikut:-
"Di antara sunnat haiah dalam sholat adalah memandang ke tempat sujud walaupun ketika sholat di sisi Ka'bah. Berbeza dengan pendapat yang dipegang oleh Imam al-Mawardi dan orang yang mengikutinya yang berpendapat bahawa orang yang sholat di sisi Ka`bah disunnatkan memandang kepada Ka'bah. Perbuatan memandang ke arah tempat sujud ini disunnatkan dalam seluruh shalat tersebut daripada awal sehingga akhirnya melainkan ketika mengucapkan "illa Allah" dalam tasyahhud. Maka ketika itu, sunnat memandang kepada jari telunjuk yang diangkat walaupun ianya tertutup (yakni jari telunjuk tersebut terlindung di bawah kain seperti rida` yang digunakan oleh mushalli) berdasarkan kepada hadits yang shahih. Dan berkekalan memandang kepadanya selama ianya diangkat dan ianya (yakni jari telunjuk tadi) diangkat sehinggalah si mushalli berdiri untuk rakaat seterusnya dalam tasyahhud awwal dan sehingga si mushalli mengucapkan salam dalam tasyahhud akhir."
Habib Hasan bin Ahmad al-Kaaf hafizahullah dalam "at-Taqriirat as-Sadiidah" pada halaman 150 yang merupakan nukilan daripada ajaran guru beliau, al-Habib Zain BinSumait hafizahullah, menjelaskan bahawa antara sunnat haiah dalam sholat adalah memandang ke tempat sujud walaupun ketika bersholat di belakang Ka'bah atau di belakang Junjungan Nabi SAW. Maka pandangan adalah dijatuhkan ke tempat sujud secara mutlak melainkan ketika mengucapkan "illa Allah", di mana pandangan dijatuhkan ke jari telunjuk sehinggalah salam.
  
Oleh itu, ketika sholat, apa jua jenis sholat, sunnat mata kita memandang ke arah tempat sujud pada setiap masa melainkan ketika mengacungkan jari telunjuk tatkala mengucapkan "illa Allah"dalam tasyahhud. Ketika jari telunjuk diangkat maka pandangan mata kita sunnat diarahkan kepadanya sehinggalah ianya diturunkan ketika bangkit untuk ke rakaat ketiga atau ketika salam setelah tasyahhud akhir. Inilah pandangan yang dipegang oleh kebanyakan ulama kita termasuklah Imam Ibnu Hajar rahimahullah dan Imam Ramli rahimahullah.

Selain pandangan di atas, ada juga ulama kita yang mempunyai pendapat yang berbeza. Habib Muhammad bin Ahmad bin 'Umar asy-Syaathiri rahimahullah dalam "Syarah al-Yaqut an-Nafis" halaman 157 - 158 menyatakan bahawa menurut Syaikh Khatib asy-Syarbini rahimahullah pandangan mata seseorang mushalli ketika dalam sholat hendaklah diarahkan seperti berikut:-
  1. ketika qiyam, memandang ke arah tempat sujud;
  2. ketika rukuk, memandang ke arah tapak kaki;
  3. ketika duduk, memandang ke arah peha;
  4. ketika mengucap "illa Allah" pada tahiyyat, memandang jari telunjuk kanan;
  5. ketika shalat di depan Ka'bah, memandang kepadanya;
  6. ketika shalat atas tempat bercorak (seperti sejadah) yang boleh melekakan, memandang ke hadapan;
  7. pada sholat jenazah, memandang kepada jenazah.
Sebagaimana dinyatakan terdahulu, antara hikmah perbuatan ini adalah agar mata kita dapat dikendali dan dijaga agar tidak merayau ke sana ke mari dalam sholat, di mana dengannya diharap akan hadir khusyuk. Selamat beramal dan mudah-mudahan Allah menganugerahkan kita dengan sholat yang khusyuk lagi sempurna.

Rabu, April 17, 2013

Karamah Bediuzzaman

Syaikh Bediuzzaman Said Nursi rahimahullah adalah salah seorang tokoh yang sudah dikenali ramai bahkan dianggap sebagai seorang mujaddid. Tokoh yang gigih mempertahankan Islam ketika berhadapan dengan bid`ah sekularisma yang dibawa oleh Ataturk. Beliau tidak pernah gentar dalam perjuangan sucinya itu walaupun beberapa kali dipenjarakan dengan zalim oleh pemerintah Turki sekular. Kisah perjuangan beliau telah banyak dibukukan dan boleh tuan - tuan baca untuk dijadikan pedoman dan meraih rahmat yang diturunkan Allah ketika orang - orang yang dikasihiNya disebut.

Di sini ese hanya ingin menukilkan antara karamah yang diberikan Allah SWT kepada Syaikh Bediuzzaman rahimahullah. Diceritakan bahawa Syaikh Bediuzzaman rahimahullah pernah dilihat melaksanakan ibadah di dalam beberapa masjid sedangkan pada waktu itu beliau sedang dipenjara. Hal ini telah berlaku banyak kali ketika beliau dalam tahanan. Kisah - kisah ini boleh tuan - tuan baca dalam karya Sukran Vahide @ Mary Weld yang berjodol "Bediuzzaman Said Nursi : Author of the Risale-i-Nur". Antaranya adalah ketika beliau di penjarakan di Afyon, sebagaimana diceritakan oleh Hilmi Pancaroglu sebagai berikut:-
"Ketika dalam penjara (di Afyon), Syaikh Bediuzzaman rahimahullah telah memohon keizinan untuk keluar menghadiri sholat Jumaat di masjid, namun permohonan beliau tersebut telah ditolak oleh pihak penjara. Maka apabila tiba waktu sholat Jumaat, Syaikh Bediuzzaman rahimahullah telah didapati hilang dari penjara dan warden penjara tidak melihat beliau dalam selnya. Dalam keadaan panik, warden telah mengarahkan pihak polis untuk mencari Syaikh Bediuzzaman rahimahullah. Pihak polis telah berpecah kepada beberapa kumpulan dan masing - masing diarahkan untuk pergi ke satu masjid dalam rangka mencari Syaikh Bediuzzaman rahimahullah. Apa yang menghairankan adalah setiap kumpulan polis tersebut telah mendapati dan melihat Syaikh Bediuzzaman rahimahullah menunaikan sholat Jumaat dalam beberapa masjid di Imarat, Otpazari dan Misirli pada masa yang sama. Namun setelah selesai sholat Jumaat, pihak polis gagal pula untuk menemui beliau walaupun para jemaah telah bersurai. Ketika kembali ke penjara, mereka mendapati bahawa Syaikh Bediuzzaman rahimahullah berada dalam sel penjaranya sebagaimana biasa. Cerita ini telah masyhur diketahui oleh para penduduk Afyon.
Allahu ... Allah, perkara yang luar biasa seumpama ini walaupun amat mencengangkan kita, bukanlah sesuatu yang mustahil bagi Allah untuk melakukannya. Kita yang daripada "tiada" kepada "ada" pun dapat dilakukanNya, apa lagi kalau hanya setakat menempatkan seseorang yang telah "ada" di beberapa tempat pada satu waktu. Perkara sebegini masih berada dalam ruang lingkup perkara mumkin, di mana harus bagi Allah untuk menempatkan seseorang di  beberapa tempat pada waktu yang sama. Kekeramatan sebegini telah disaksikan berlaku bukan sahaja kepada Syaikh Bediuzzaman rahimahullah, bahkan kepada ramai lagi para ulama dan awliya antaranya Sidi Ahmad al-Badawi rahimahullah dan Syaikh Abdul Wahhab asy- Sya'raani rahimahullah. Di Nusantara pula, kita pernah mendengar kekeramatan Sayyidisy Syaikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi rahimahullah di mana dikisahkan bahawa beliau pernah bertemu dengan 3 orang muridnya pada masa yang sama di tempat yang berlainan.

Sebagai penutup bagi entri ini, bersempena pilihanraya ke-13 yang akan diadakan pada 5 Mei 2013 nanti, ese nukilkan lagi satu kisah untuk renungan kita bersama agar dalam keghairahan berpolitik dan berkempen,  kita tidak lupa bahawa, sebagai umat Islam, kita sentiasa terikat dengan hukum - hakam syariat. Jangankan dalam berkempen politik, dalam melaksanakan jihad berperang pada jalan Allah pun ada hukum dan etika yang perlu kita patuhi. Mungkin kita pernah mendengar ucapan Syaikh Bediuzzaman Said Nursi rahimahullah yang berbunyi "A`udhu billahi minasy syaithan was siyasah" yang bererti "aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik". Bukanlah maksud Syaikh Bediuzzaman rahimahullah untuk menolak politik, tidak sama sekali tidak. Politik yang beliau tolak dan mohon perlindungan Allah SWT daripadanya adalah politik kotor yang didasari hawa nafsu serakah para politikus yang hanya memikirkan kemenangan tanpa mempedulikan etika, norma dan hukum. 

Berbalik kepada ungkapan Syaikh Bediuzzaman rahimahullah tersebut, maka ese datangkan kisahnya sebagaimana diceritakan oleh beliau sendiri dalam tulisannya "al-Ikhlash wal Ukhuwwah" yang diterjemahkan oleh Ustaz Nasir bin Ismail sebagai berikut:-
"Saya (yakni Syaikh Bediuzzaman Said Nursi) pernah melihat, iaitu akibat ikutan yang membuta tuli, seorang ulama yang mendahului ulama yang seorang lagi, dalam usahanya menjatuhkan ulama yang mempunyai pandangan politik yang berbeza dengannya, menyatakan bahawa ulama itu (yakni lawannya) bukanlah orang yang beriman. Beliau juga memuji dan menghormati golongan munafik yang menyokongnya. Saya merasa ngeri dengan akibat buruk dari penglibatan politik seperti ini. Saya berkata: "AKU BERLINDUNG DENGAN ALLAH DARIPADA SYAITAN DAN POLITIK," dan daripada saat itu saya menarik diri daripada terlibat dengan politik kotor ini.
Mudah - mudahan Allah menyelamatkan kita dan negara kita, juga negara segala umat Islam yang lainnya daripada para politikus yang berperangai seperti tikus yang sukakan kekotoran dan mengamalkan politik kotor. Mudah-mudahan kerajaan kita yang baru nanti akan lebih mendaulatkan Islam sebagai satu-satunya cara hidup yang membawa kepada keredhaan Allah SWT yang dengannya kita dan segala rakyat akan memperolehi rahmat dan kemakmuran yang berpanjangan. Allahumma ... aamiin.

Isnin, April 01, 2013

Syaikh al-Buthi

Spekulasi, Pendirian dan Kesyahidan Syeikh al-Buti رحمه الله

(tulisan al-Fadhil Ustaz Khafidz Soroni hafizahullah)
 
Hingga kini ramai yang masih bingung tentang pembunuhan al-‘Allamah Syeikh al-Buti.. Saya juga masih bingung memikirkannya. Tambah dukacita lagi, apabila ada orang Islam yang bersorak gembira atas kematian beliau.
 
Mengapa beliau dibunuh? Apakah semata-mata kerana beliau menyokong Rejim Asad? Jika jelas apakah ada dalil syar’i yang membenarkan darah seseorang muslim itu halal semata-mata kerana zahirnya ia menyokong pemimpin yang zalim? Sedang Nabi SAW menyatakan, tidak halal darah seseorang muslim itu melainkan dengan tiga perkara; iaitu penzina yang sudah berkahwin, membunuh orang tanpa hak dan orang yang meninggalkan agamanya, yang berpisah daripada jemaah muslimin (muttafaq ‘alaih).
 
Dalam pada itu, satu kumpulan jemaah jihad mendakwa merekalah yang bertanggungjawab atas pembunuhan Syeikh al-Buti dan mengancam pula untuk membunuh Mufti Syria, Syeikh Hassun. Meskipun wujud spekulasi lain yang mengatakan, beliau dibunuh oleh Rejim Asad sendiri kerana beliau mula cenderung dengan perjuangan rakyat Syria.
 
Di saat ramai umat Islam berduka atas pembunuhannya, sebahagian umat Islam lain bergembira dan bersyukur atas pembunuhan tersebut.. Disebabkan perbezaan mazhab dan pemikiran, mereka bukan sekadar bergembira dan bersyukur, bahkan mencaci dan mencerca Syeikh al-Buti yang sudah kembali menemui Allah SWT.. La hawla wala quwwata illa biLlah… Apakah Nabi SAW menganjurkan kita mencaci dan mencerca orang muslim yang sudah mati?! Lalu timbullah alasan-alasan dan dalil-dalil rekaan yang cuba membenarkan perbuatan mereka..
Hanya pada Allah SWT saja kita serahkan semua urusan..
Jika diamati dan difikirkan, tidak mungkin seorang alim besar menyokong pemimpin yang zalim secara membuta tuli tanpa sebarang apa-apa alasan yang munasabah. Tidak mungkin Syeikh al-Buti rela dan redha dengan pembunuhan dan penyembelihan yang dilakukan oleh Rejim Asad terhadap rakyatnya sendiri. Pasti ada sebab lain… Tulisan-tulisan dan kata-kata Syeikh al-Buti tidak pun menggambarkan yang beliau telah terkeluar daripada usul syarak. Bahkan semuanya masih menunjukkan beliau seorang yang amat kuat berpegang dengan usul syarak.
 
Setidak-tidaknya pun dalam isu ini, beliau masih melihat dirinya berada di dalam lingkungan ijtihad, yang jika benar ia mendapat dua pahala, dan jika salah ia tetap mendapat satu pahala. Walaupun barangkali orang lain tidak berfikir begitu.
 
Sebenarnya bukan baru kini saja muncul pemimpin-pemimpin yang zalim, bahkan dalam sejarah Islam sendiri sudah menyaksikan kemunculan ratusan pemimpin-pemimpin yang zalim. Maka, sebagaimana para ulama pada zaman itu bertindak, begitu juga para ulama pada zaman ini bertindak. Pasti ada antara pro dan kontra. Secara zahirnya, tidak mungkin seorang muslim biasa yang waras redha dengan kezaliman mana-mana pemimpin, apatah lagi seorang alim.
 
Pasti ada sebab lain atas tindakan Syeikh al-Buti. Yang pastinya, beliau menyokong Rejim Asad bukan kerana kebenaran rejim tersebut, tapi kerana tidak mahu berlaku perkara-perkara kemudharatan yang lebih besar terhadap masyarakat Islam Syria, penduduk Syam, yang disabdakan oleh Nabi SAW:
إِذَا فَسَدَ أَهْلُ الشَّامِ فَلاَ خَيْرَ فِيكُمْ.
“Jika binasa penduduk Syam, maka tiada kebaikan lagi pada kamu sekalian...” (HR al-Tayalisi, Ahmad dan at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih).
 
Memang Rejim Asad itu suatu mudharat, namun huru-hara, kekacauan, kekejaman dan pembunuhan yang berlaku adalah suatu mudharat yang lebih besar. Ini menurut pandangan beliau. Meskipun ia bersesuaian dengan usul syarak, namun ia mungkin dilihat tidak sesuai dengan konteks dan faktor semasa menurut ramai ulama yang lain.
 
Bagaimanapun, setelah menyaksikan pelbagai kekejaman dan kebiadapan Rejim Asad, dikatakan Syeikh al-Buti di akhir hayatnya mula cenderung dengan perjuangan rakyat dan tidak mahu lagi menyokong Rejim Asad, sebagaimana menurut Syeikh Muhammad Abu al-Huda al-Ya’qubi.
 
Anak perempuan beliau juga menyatakan, ayahnya sebenarnya dipaksa dan diancam oleh Rejim Asad yang akan merosakkan maruah keluarga dan anak cucunya jika beliau tidak menyokongnya.
 
Beliau juga ditanya mengapa tidak mahu meninggalkan Syria, tapi beliau menjawab:
"أشعرني الله بانني في هذه المرحله إن تركت هذا البلد فسوف يكون شأني كشأن أب له أهل و أولاد وأطفال يتركهم الى حيث لا يعلم مصيرهم".
“Allah menjadikan aku merasakan pada tahap sebegini, jika aku meninggalkan negara ini, maka keadaanku nanti akan menjadi seperti keadaan seorang bapa yang mempunyai isteri, keluarga dan anak-anak, lalu ia tinggalkan mereka tanpa mengetahui nasib yang bakal menimpa mereka”.
 
Dua minggu sebelum kejadian, al-Habib ‘Ali al-Jufri sempat menelefon Syeikh al-Buti dan beliau mengatakan;
"إنه لم يبق من العمر إلا أياما معدودة وإني لأَستروح الجنة من ورائها فلا تنس أخاك من الدعاء"...
Tidak tinggal lagi umurku kecuali beberapa hari sahaja. Dan aku dapat mencium bau syurga di belakang hari-hari tersebut. Maka janganlah kamu lupakan saudaramu ini daripada doamu..”
 
Seolah-olah beliau tahu beliau akan dibunuh dengan sebab perubahan pendiriannya.. Apa lagi yang dinantikan oleh seorang lelaki yang sudah lanjut usianya?
 
Tiada yang menafikan kewarakan dan kealiman Syeikh al-Buti. Ketika beliau berkunjung ke Malaysia, saya sempat berjabat tangan dengannya dan cuba mencium tangan beliau.. Namun dengan pantas beliau menyentap tangannya. Rupa-rupanya bukan saja pada saya, bahkan itu juga berlaku kepada ramai orang dan rakan yang cuba mencium tangan beliau dek kerana sifat tawadhuk dan rendah diri beliau. Dengan sifat ulama seperti inilah kita mempelajari adab dan akhlak.
 
Bukan rahsia lagi, para pembenci beliau bersuka ria atas kematiannya.. Sebagaimana mereka juga pernah bersuka ria atas kewafatan Syeikh Muhammad ‘Alawi al-Maliki رحمه الله.. Mereka menggunakan hujah, harus bergembira dan bersujud syukur atas kematian ahli bidaah…??! Allah… Apakah ukuran dan ciri ahli bidaah di sisi mereka yang malang ini?? Mereka tidak pun peduli dengan bagaimana kewafatan Syeikh al-Buti yang sedang mengajar agama di dalam masjid dan pada malam Jumaat pula.. yang sedang berada di dalam satu taman daripada taman-taman syurga!...رحمه الله
Semoga Allah Taala merahmati roh Syeikh al-Buti dan menempatkan beliau dalam kalangan para anbiya’ dan para solihin. Di sisi Allah Taala Yang Maha Adil kelak akan bertemu segala permusuhan…