Imam Thabrani rahmatullah `alaih meriwayatkan bahawa pada satu hari seorang lelaki telah datang kepada Junjungan Nabi SAW. Tujuan kedatangannya adalah memohon bantuan baginda untuk membuat persediaan bagi perkahwinan anak perempuannya. Namun ketika itu, Junjungan Nabi SAW tidak memiliki apa-apa untuk diberikan kepada lelaki tersebut. Namun bukanlah sifat Junjungan Nabi SAW untuk menghampakan permintaan seseorang, lalu baginda SAW telah meminta sebiji botol kosong daripada lelaki tersebut. Kemudian baginda mengumpul peluh baginda yang mulia dan memasukkannya ke dalam botol tersebut. Botol itu baginda berikan kepada lelaki itu dan baginda bersabda: "Suruhlah anakmu berwangi-wangian dengannya". Apabila anak lelaki tersebut menggunakan wangian yang berasal daripada peluh mulia Junjungan Nabi SAW maka tersebarlah bau semerbak keharuman yang tiada tara sehingga dapat dihidu oleh para penghuni kota. Sehingga akhirnya, para penduduk kota tersebut telah menggelar rumah lelaki itu sebagai "Baitul Muthoyyabin" yakni "rumah yang diharumi wangian". Allahu ... Allah, alangkah bertuahnya jika hidung kita yang banyak dosa maksiat ini dapat mencium keharuman Junjungan Nabi SAW tersebut. Semoga kita direzekikan Allah dengannya, kalau tidak di dunia yang fana ni, di dalam syurga nanti hendaknya. Mudah -mudahan Allah mengharumkan rumah kita dengan keberkatan bacaan mawlid Junjungan Nabi SAW dan keberkatan sholawat dan salam ke atas baginda. Allahumma aamiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan