Jumaat, Mac 21, 2014

"Penat" 1000 Hari

Imam ath-Thabraani dalam "al-Kabir" dan "al-Awsath", Imam Nuruddin Abul Hasan 'Ali al-Haytsami dalam "Majma` az-Zawaaid", al-Khatib dan Ibnu an-Najjar meriwayatkan daripada Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda:
 "Sesiapa yang mengucapkan: "JazaAllahu `anna Muhammadan maa huwa ahluh - Mudah-mudahan Allah membalas bagi pihak kami akan segala kebajikan yang  dilakukan oleh Junjungan Nabi Muhammad dengan balasan yang selayaknya buat baginda", ianya memenatkan 70 malaikat pencatat amalan selama 1000 pagi (yakni 1000 hari)."
Apa yang disabdakan oleh Junjungan Nabi SAW tadi adalah ibarat dan kinayah tentang besarnya ganjaran yang bakal diperolehi bagi seseorang yang mengamalkan bacaan tersebut sehingga dikatakan ianya seumpama memenatkan 70 malaikat menulis pahalanya  selama 1000 hari. Punyalah banyak sehingga diibaratkan malaikat yang tak reti penat pun akan "kepenatan". Nian besar fadhilatnya sehingga ramai ahli ibadah yang menjadikannya wirid harian mereka, antaranya Imam asy-Sya'raani rahimahullah yang menyatakan dalam karya beliau "al-`Uhuud al-Muhammadiyyah":- "Ucapan ini adalah antara wirid-wirid yang menjadi amalanku, di mana aku membacanya 1000 kali setiap pagi dan 1000 kali setiap petang pada setiap hari, alhamdulillah."

Allahu ... Allah, sungguh Allah adalah asy-Syakur, amalan yang ringan ini diberiNya balasan yang amat besar. Janganlah dipersia-siakan anugerah Allah ini, perjalanan akhirat itu jauh dan sukar maka perbanyakkanlah bekalan. So, kome nak tunggu apa lagi !!!!!!! JazaAllahu `anna Sayyidana Muhammadan maa huwa ahluh.

5 ulasan:

  1. Allahu...Allah besar sungguh Rahmat Allah atas hambanya.Mudah2an istiqomah atas diriku.

    BalasPadam
  2. Tuan, apakah status hadis ini ? Ada yang mengatakan sanadnya terlalu dhaif.

    BalasPadam
  3. apakah status hadis ini ? ada kawan mengatakan ianya daif jiddan..

    BalasPadam
  4. Memang sebahagian muhadits menghukumkannya sebagai marfu` yang dhoif jiddan kerana rawi yang bernama Hani` bin al-Mutawakkil. Dan ada juga muhadits seperti Imam alHaitsami yang menghukumnya sebagai dhoif.

    Perlu diingatkan bahawa hadits ini telah masyhur di sisi para ulama, Abu Nu`aim menukilkannya dalam al-Hilyah, Imam Ismail al-Isbahani dalam at-Targhib dan at-Tarhib, al-Khatib dalam Tarikh. Para ulama dan tokoh sufi telah menjadikan bacaan tersebut sebagai zikir dan wirid mereka. Hal ini dilakukan walaupun mereka tahu status kedudukan hadis tersebut. Bukan baru ini sahaja, status hadis tersebut baru diketahui, ulama dah tahu sejak dulu lagi, namun mereka masih menyebarkan dan mengamalkannya. Cuma puak sebelah sahaja yang baru - baru buat kecoh seolah - olah status hadis tersebut baru diketahui.

    Sungguh pun begitu, tiada salahnya kita mengucapkan ucapan tersebut kerana tsabit dalam hadits yang shohih untuk kita berterima kasih dengan ucapan jazakallah khairan kepada orang yang telah berbakti kepada kita sebagaimana diriwayatkan oleh Imam at-Tarmidzi.

    Allahu a'lam.

    BalasPadam