Rabu, April 09, 2014

Thaibahlah bukan Yatsrib

Yatsrib dikatakan sebagai nama lama bagi Kota Madinah al-Munawwarah. Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 13 mengisahkan bagaimana orang - orang munafik yang hati - hati mereka mengandung penyakit telah menggunakan  nama Yatsrib sebagai merujuk kepada al-Madinah. Ketika Junjungan Nabi SAW sampai ke kota yang mulia ini, baginda SAW telah menukar namanya kepada al-Madinah dan baginda SAW tidak suka penggunaan nama Yatsrib. Imam Bukhari rahimahullah dan Imam Muslim rahimahullah meriwayatkan daripada Sayyidina Abu Hurairah RA bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: 
" Aku diperintahkan untuk berhijrah ke satu kota yang akan menelan kota - kota lain, mereka (yakni kaum jahiliyyah dan para munafik) menggelarnya sebagai Yatsrib dan ia adalah al-Madinah yang akan mengeluarkan orang jahat sebagaimana api mengeluarkan kekotoran besi".
Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani rahimahullah dalam "Fathul Bari" menjelaskan bahawa:
"...Sebahagian orang munafik menamakannya sebagai Yatsrib sedangkan nama yang layak baginya adalah al-Madinah. Dan daripada hadits tersebut telah difahami oleh sebahagian ulama bahawa adalah makruh (tidak disukai) untuk menamakan al-Madinah dengan Yatsrib. Dan apa yang termaktub dalam al-Quran adalah pengkisahan tentang perkataan orang - orang yang tidak beriman. Imam Ahmad telah meriwayatkan daripada hadits al-Barra` bin `Aazib RA bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang menamakan al-Madinah dengan Yatsrib, maka hendaklah dia beristighfar kepada Allah `azza wa jalla. Ia adalah Thaabah, ia adalah Thaabah".
Madinah al-Munawwarah tempat bersemayam Baginda Nabi SAW juga dikenali sebagai Thaibah dan Thaabah yang membawa erti "baik, suci, bersih dan harum". Madinah juga mempunyai berbagai nama - nama indah. Sebahagian ulama menghitung 95 nama lain bagi al-Madinah, manakala sebahagian lagi menyenaraikan sehingga 115 nama. Imam an-Nawawi rahimahullah dalam "Tahdzibul Asma` wal Lughat" menyatakan:-
" Ketahuilah bahawa banyaknya nama menunjukkan kebesaran yang dinamakan, sebagaimana nama Allah SWT dan nama Junjungan Rasul SAW yang banyak. Kami tidak mengetahui suatu tempat yang mempunyai banyak nama selain Kota Makkah dan Kota Madinah, kerana kedua-duanya merupakan sebaik-baik tempat di bumi dan kerana banyaknya sifat yang boleh dinamakan pada kedua-duanya."
Dahulu ianya dipanggil Yatsrib kerana bersempena nama orang yang dikatakan sebagai pengasas kota yang suci ini, iaitu Yatsrib bin Qaniah yang merupakan anak cucu Nabi Nuh AS. Setelah hijrah baginda Nabi SAW ke kota ini, maka ianya lebih dikenali sebagai Madinah al-Munawwarah yang bermandikan cahaya Junjungan Nabi SAW. Junjungan Nabi SAW tidak menyukai nama Yatsrib kerana ianya membawa erti yang kurang baik kerana berasal dari perkataan tsaraba atau tatsrib yang bererti kerosakan, membalas dendam, buruk atau keji.

Imam an-Nawawi dalam Syarah Muslim menyatakan:-
....sebahagian orang munafik dan lainnya menamakannya sebagai Yatsrib, sedangkan namanya adalah al-Madinah, Thaabah dan Thaibah, maka dihukumkan makruh menamakannya Yatsrib. Imam Ahmad bin Hanbal dalam musnadnya meriwayatkan daripada Junjungan Nabi SAW tentang dibenci (yakni makruh) menamakannya dengan Yatsrib. Dan diceritakan daripada `Isa bin Dinar (daripada kalangan ulama Malikiyyah) bahawasanya dia berkata: "Sesiapa yang menamakannya Yatsrib ditulis atasnya satu kesalahan". Dan dikatakan bahawa sebab makruh menamakannya Yatsrib kerana lafaz tatsrib yang membawa erti keji atau celaan, dan dinamakan ia sebagai Thaibah dan Thaabah kerana elok lafaz keduanya dan adalah Junjungan Nabi SAW menyukai nama yang elok dan membenci nama yang buruk. Adapun penyebutan nama Yatsrib dalam al-Quran adalah sebagai menceritakan tentang orang munafik yang hati mereka berpenyakit telah menggunakan nama Yatsrib untuk merujuk kepada al-Madinah."
 Oleh itu, janganlah dibiasakan menggunakan nama Yatsrib untuk merujuk kepada kota al-Madinah. Kota yang dicintai oleh Junjungan Nabi SAW selayaknya turut dijadikan kecintaan kita pula kerana pasti ada rahsia dan sebab serta hikmah kenapa Allah SWT memilih kota ini sebagai tempat hijrah dan tempat persemadian kekasihNya yang mulia. 

1 ulasan: